Author: Admin

  • Jangan lupa…RUU Anti Lompat Parti ‘hasil percikan’ skandal 1MDB

    Jangan lupa…RUU Anti Lompat Parti ‘hasil percikan’ skandal 1MDB

    TEBUAN Tanah (TT) rimas bila ada orang dok kait tindakan wakil rakyat lompat parti sebagai pengkhianat, tak bertanggungjawab dan tidak ada maruah. Jadi mereka kata, pasal tu terpaksa wujud undang-undang anti lompat parti.

    Bila dengar perbahasan kat Dewan Rakyat semalam, hampir semua dok cakap pasal ‘Langkah Sheraton’ dan tindakan Ahli Parlimen UMNO lompat masuk ke Bersatu. Cuma TT perasan ada yang cakap tu seolah-olah tak pernah nak kaji kenapa kedua-dua itu berlaku.  Cuma fikirkan bagaimana ‘Langkah Sheraton’ boleh wujud? Dan macam mana Ahli Parlimen boleh lompat parti?

    Jangan lupa  segalanya bermula apabila BN tumbang dalam PRU-14. Kenapa BN tumbang dan UMNO hilang kuasa? Salah satu faktor utama ialah isu 1MDB. Isu inilah mengubah senario politik negara sekarang sehingga terpaksa dibuat undang-undang khas untuk halang wakil rakyat lompat parti.

    Apabila isu 1MDB wujud, siapakah paling lantang dalam UMNO yang minta kepemimpinan parti khususnya Najib Razak membuat penjelasan? Jawapannya Muhyiddin Yassin yang kini adalah Presiden Bersatu dan Pengerusi PN. Akibat bersuara lantang dalam isu yang hari ini telah terbukti menggemparkan dunia dan memalukan negara kita, Muhyiddin disingkirkan dari kerusi Timbalan Presiden dan Timbalan Perdana Menteri.

    Perjuangan beliau pada masa itu turut disokong oleh Dr.Mahathir Mohamad, Mukhriz Mahathir dan Shafie Apdal. Akhirnya terwujudlah Bersatu dan bergabung bersama PH untuk menumbangkan BN dalam PRU-14.

    Kita boleh kata apa sahaja kepada wakil rakyat UMNO yang melompat ke Bersatu…ikutlah nak kata apapun…tetapi hakikatnya  keadaan itu tidak akan berlaku jika siapapun yang menjadi kerajaan memberi layanan adil kepada pembangkang dan siapa yang berada dalam kerajaan memahami sensitiviti dalam sesuatu tindakan.

    Cuba tanya sekali lagi, apa punca “Langkah Sheraton’? Bukankah ia disebabkan Dr.Mahathir meletakkan jawatan tanpa berunding dengan sesiapa termasuk Kabinet PH ketika itu dan sekaligus dari segi undang-undang keseluruhan kerajaan bubar. Tanyalah Dr.Mahathir apa punca sebenarnya beliau meletakkan jawatan sehingga runtuh kerajaan PH, bukannya persoal Langkah Sheraton yang bertujuan selamatkan negara?

    Untuk menyelamatkan negara, Muhyiddin mengambil inisiatif berunding dengan parti-parti lain termasuk UMNO dan Pas untuk menubuhkan kerajaan serta memilih seorang Perdana Menteri baharu.

    Ketika itu semua kepemimpinan UMNO menyokong untuk bekerjasama dengan Bersatu. Masa itu tak ada pula orang nak potong bawang kat dapur pertikai langkah Muhyiddin? Maknanya sedikit sebanyak pokok pangkal sehingga tercetusnya undang-undang lompat parti ini adalah bermula dengan ‘percikan’ skandal kewangan melibatkan 1MDB.

    Kalau 1MDB tak ada, mungkin situasi politik negara kita berbeza, siapa tahu? Sepatutnya kita berterimakasih kepada Muhyiddin. Disebabkan keberanian beliaulah, negara terselamat daripada penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah yang lebih besar melibatkan 1MDB.

    Oleh itu logikkah kita anggap seorang ahli Parlimen itu menjadi pengkhianat atau tidak bertanggungjawab dan harus kosongkan kerusi semata-mata mahu menegakkan kebenaran sepertimana dilakukan oleh Muhyiddin?

    Sekurang-kurangnya Muhyiddin dan ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyertai Bersatu kerana tidak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang ada masalah integriti bukannya seperti  tahun 1988 apabila ramai ahli Parlimen masuk ke Parti Melayu Semangat 46 atas sebab politik bila Ku Li kalah dalam merebut jawatan Presiden UMNO menentang Dr.Mahathir.

    Sebab itulah TT minta yang dok kutuk-kutuk ahli Parlimen atau ADUN lompat parti ini, bermuhasabah dan kaji betul-betul fakta. TT percaya ahli Parlimen terlibat juga tak kisah nak buat undang-undang lompat parti itu tetapi biarlah adil bukan akhirnya menjadi zalim sepertimana kata Muhyiddin semalam.

    Susahlah seorang Ahli Parlimen hilang kelayakan apabila dipecat partinya. Kalau macam tu siapa yang berani nak tegur kepemimpinan parti…tak kanlah parti dok sanjung pemimpin bermasalah, ahli Parlimen kena sokong jugak… kalau tak kena pecat.

    Satu lagi TT nak tanya…yang mana lebih khianat…diam saja bila pemimpin lakukan salahguna kuasa atau lompat parti kerana tak mahu bersekongkol dengan pemimpin yang korup? Fikirlah sendiri.

  • 1MDB: Pertimbang saranan Muhyiddin dengan serius

    1MDB: Pertimbang saranan Muhyiddin dengan serius

    Tok Chey nampak ekonomi Malaysia menunjukkan petanda positif ke arah pemulihan daripada Covid-19 apabila jumlah pelaburan langsung (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) pada tahun lalu meningkat 83.1 peratus berbanding pada 2020.

    Pelaburan berjumlah RM306.5 bilion dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan itu tertinggi dalam sejarah menjadikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik untuk pengembangan perniagaan global dan serantau.

    Selain itu, pembelian saham oleh pelabur asing di Bursa Malaysia dalam 11 minggu pertama tahun ini berjumlah RM6.7 bilion menandakan kembalinya minat pelabur asing terhadap pasaran Malaysia.

    Indeks FBMKLCI juga telah melepasi 1,600 mata yang menjadi petunjuk sentimen positif ke arah pemulihan ekonomi dan refleksi kepada peralihan fasa endemik.

    Kepercayaan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia turut didorong oleh kestabilan politik negara yang telah dilakukan melalui MoU yang ditandatangani oleh Kerajaan dan pembangkang.

    Kerjasama itu menjadi elemen penting sokongan parti politik untuk mengetepikan buat sementara waktu agenda politik demi membawa Malaysia keluar daripada permasalahan ekonomi dan kesihatan.

    Tok Chey percaya keyakinan pelabur luar juga didorong oleh imej kerajaan ketika ini yang menampilkan kepimpinan bebas daripada masalah berkaitan integriti apabila mana-mana pemimpin yang terpalit dengan kes mahkamah tidak memegang sebarang jawatan dalam kabinet.

    Bagi menambahkan lagi keyakinan pihak luar dan mengembalikan imej negara yang pernah terpalit dengan skandal paling mengejutkan dunia iaitu berkaitan 1MDB, maka saranan bekas Perdana Menteri, Tan Muhyiddin Yassin perlu diberi perhatian dengan serius.

    Muhyiddin pada Sabtu menggesa perbicaraan berkaitan skandal 1MDB di Malaysia disegerakan susulan keputusan mahkamah Amerika Syarikat yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.

    Tok Chey lihat gesaan Muhyiddin amat berasas sekali kerana negara luar dengan pantas bertindak untuk menyelesaikan kes itu dan mahkamah di Malaysia seharusnya tidak melayan sebarang usaha bagi menangguhkan prosiding kes tersebut.

    Skandal membabitkan 1MDB adalah isu yang amat besar sekali dan rakyat ingin tahu pengakhiran yang sebenarnya kerana apa yang diketahui setakat ini, Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak sedang dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

    Selain merupakan Perdana Menteri pada masa kesalahan itu didakwa dilakukan, Najib juga merupakan Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

    Tok Chey – seperti juga rakyat Malaysia yang lain yang bencikan rasuah dan salah guna kuasa, amat geram, marah dan kecewa apabila membaca pelbagai pendedahan membabitkan 1MDB ketika prosiding dilakukan di Amerika Syarikat.

    Sepertimana yang dilaporkan oleh media seluruh dunia, Peguam Breon Peace dalam siaran langsung dari pejabat peguam di New York berkata, Roger Ng dan kroninya melihat 1MDB bukan sebagai satu entiti yang boleh membantu rakyat Malaysia, tetapi sebagai tabung simpanan untuk memperkayakan diri dengan wang yang disalah guna daripada dana itu.

    Jelas Peace, antara 2012 dan 2013, Roger Ng menerima lebih daripada AS$35 juta dolar dalam bentuk sogokan untuk menjalankan peranannya mencuri dan mencuci berbilion dolar daripada 1MDB.

    Ia termasuk dana 1MDB yang dikumpul pada 2012 dan 2013 melalui tiga transaksi bon dan ia digunakan bagi wang untuk merasuah.

    Tambah Peace lagi, skandal itu sangat besar skalanya dan Roger Ng dan konspirator bersamanya menggelapkan berbilion dolar daripada dana itu.

    Peguam AS itu mengatakan ia adalah perlakuan yang melampau apabila Roger Ng memperoleh perniagaan melalui cara salah yang menguntungkan majikannya dengan merasuah pegawai- pegawai kerajaan di Malaysia dan di Abu Dhabi.

    Oleh itu, berdasarkan apa yang dinyatakan berkaitan 1MDB, maka pelaku yang bertanggungjawab di Malaysia harus segera dihukum dan tidak boleh dibiarkan bebas tanpa rasa bersalah.

  • Asid sulfurik tumpah, 61 pelajar SMA Nurul Islam dikejarkan ke hospital

    Asid sulfurik tumpah, 61 pelajar SMA Nurul Islam dikejarkan ke hospital

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Tumpahan asid sulfurik di Sekolah Menengah Agama (SMA) Nurul Islam, Ayer Hitam dekat Kubang Pasu, Kedah hari ini, menyebabkan seramai 61 pelajar di situ terpaksa dibawa ke hospital setelah mengalami simptom tertentu.

    Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Suprintendn Rodzi Abu Hassan berkata, kebanyakan pelajar tersebut mengadu sakit tekak, pening dan loya dipercayai akibat terhidu udara yang tercemar dengan tumpahan asid sulfurik tersebut.

    “Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi ketika kontraktor dilantik, sedang menjalankan tugas untuk memindahkan asid sulfurik yang telah tamat tempoh dari sekolah tersebut ke tempat lebih selamat.

    “Begitu pun salah satu daripada tong itu dikatakan pecah menyebabkan asid sulfurik tersebut mencemarkan udara di situ, sebelum dihidu oleh pelajar di kelas berhampiran,” katanya.

    Tambahnya, kesemua pelajar terdiri daripada sembilan lelaki dan 52 perempuan kemudiannya dibawa ke Hospital Jitra, Klinik Kesihatan Ayer Hitam dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Jitra bagi menjalani pemeriksaan lanjut.

    “Asid yang telah tamat tempoh itu sepatutnya dipindahkan dan akan digantikan dengan yang baharu bagi tujuan pembelajaran.

    “Kita bernasib baik kerana tidak berlaku letupan di situ. Semua pihak terdiri daripada polis, bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertindak cepat bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.

    Dalam pada itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, tumpahan tersebut hanya melibatkan sebuah tong yang berisi asid sulfurik di sekolah tersebut.

    “Kalangan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra telah melakukan proses pengudaraan serta mencuci sisa asid sulfurik berkenaan,” katanya.

  • Untitled post 32305

    Anwar Ibrahim kekal Presiden PKR, Nurul Izzah tak tanding apa-apa jawatan

    Pi mai pi mai tang tu jugak

  • Van sekolah terbabas, pemandu alami serangan jantung, 1 murid cedera

    Van sekolah terbabas, pemandu alami serangan jantung, 1 murid cedera

    SEORANG murid cedera manakala pemandu van sekolah tersepit apabila van berkenaan terbabas dan merempuh penghadang jalan di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur, pukul 1.24 tengah hari tadi.

    Insiden berkenaan dipercayai berlaku akibat pemandu van sekolah berkenaan mengalami serangan jantung.

    Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, Salmi Abdul Mukti berkata, satu jentera dan satu unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian.

    Katanya, setiba di lokasi kejadian, didapati van sekolah terbabit melanggar penghadang jalan, lapor Harian Metro.

    “Kemalangan membabitkan lima mangsa iaitu empat murid sekolah dan seorang warga emas yang juga pemandu van berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, seorang murid berusia tujuh tahun mengalami kecederaan di kepala manakala pemandu van tersepit di tempat duduk pemandu.

    “Pemandu van berkenaan berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas.

    “Mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

  • Tiga termasuk pengawal keselamatan ditahan curi kabel

    Tiga termasuk pengawal keselamatan ditahan curi kabel

    SEORANG pengawal keselamatan bersama-sama dua rakannya dicekup polis selepas mencuri kabel tembaga penebat kilat di tapak pembinaan di Lipat Kajang, Jasin, pada Khamis lalu.

    Semua suspek berjaya ditangkap polis kurang 24 jam selepas melakukan jenayah tersebut.

    Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, tangkapan dibuat susulan laporan dibuat seorang jurutera projek di tapak pembinaan itu berhubung kehilangan 21 gelung tembaga.

    Katanya, pengadu berusia 30 tahun itu memaklumkan semua tembaga berkenaan disimpan di dalam kontena di tapak pembinaan itu dan kerugian dianggarkan berjumlah RM42,000.

    “Kehilangan 21 gelung tembaga itu disedari pengadu ketika memeriksa kontena itu kira-kira pukul 1 tengah hari pada 7 April lalu.

    “Pengadu yang mengesyaki kehilangan tembaga ada kaitan dengan pengawal keselamatan bertugas di tapak itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Jasin,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Mispani berkata, bertindak atas laporan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin melakukan siasatan dan berjaya menahan pengawal keselamatan berusia 35 tahun pada pukul 2 pagi, Jumaat lalu.

    Katanya, penahan suspek membawa kepada tangkapan dua lagi lelaki iaitu bekas pengawal keselamatan di tempat sama berusia 31 tahun dan penganggur berusia 34 tahun.

    “Hasil soal siasat, mereka mengaku mencuri empat gelung tembaga setiap satu seberat 50 kilogram dan dijual kepada seorang pembeli barangan terpakai di Batu Berendam.

    “Pengawal keselamatan itu adalah dalang yang bertindak mengambil kunci kontena di pejabat sebelum mencuri empat gulung tembaga bersama suspek kedua.

    “Mereka kemudiannya mengajak rakan mereka menjualnya kepada pembeli terbabit,” katanya lagi.

    Mengulas lanjut Mispani berkata, polis berjaya merampas semula empat gelung tembaga dicuri itu daripada pembeli terbabit.

    “Suspek menjual empat gelung tembaga itu pada harga RM6,000, namun hanya menerima RM3,000 sahaja sebelum mereka ditangkap,” katanya.

    Mispani berkata, semakan mendapati ketiga-tiga suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk kes samun, curi dan dadah, namun ujian saringan air kencing mereka adalah negatif.

    “Ketiga-tiga mereka direman lima hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Mispani menunjukkan empat gelung tembaga penebat kilat setiap satu seberat 50 kilogram yang dicuri tiga lelaki sebelum dijual kepada pembeli barangan lusuh.

  • Hakim lawat lokasi penganiayaan Bella Rabu ini

    Hakim lawat lokasi penganiayaan Bella Rabu ini

    HAKIM Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak terbabit dalam kes penganiayaan dan pengabaian remaja sindrom down dikenali sebagai Bella, akan melawat Rumah Bonda di Wangsa Maju, Rabu ini.

    Hakim Izralizam Sanusi akan melakukan pemeriksaan dengan lebih jelas di sebuah kondominium terutama bilik dobi berdasarkan keterangan saksi pendakwaan kelima, Yasmin Nahar Mahmood, 19, yang juga bekas penghuni Rumah Bonda.

    Yasmin dalam keterangannya pada minggu lalu memberitahu mahkamah, beliau diarahkan oleh Siti Bainun Ahd Razali (tertuduh) supaya menggigit perut Bella kerana tidak mengikut arahan tertuduh supaya berdiri di bahagian dobi sebuah unit kondominium di Wangsa Maju.

    Isralizam hari ini, membenarkan permohonan peguam Nur A’minahtul Mardiah Md. Nor yang mewakili Siti Bainun yang juga pengasas Rumah Bonda untuk melawat tempat kejadian bagi mendapatkan gambaran jelas berdasarkan gambar dikemukakan kepada mahkamah sebelum ini.

    Bagaimanapun, hanya pihak pendakwaan dan pembelaan, saksi serta tertuduh dibenarkan melawat lokasi kejadian.

    Hakim itu berkata, mahkamah berpendapat selepas meneliti eksibit gambar lokasi kejadian, beliau perlu melihat dengan lebih jelas gambaran atau pandangan bilik (dobi) supaya lebih memahami insiden yang diceritakan dalam keterangan saksi.

    “Saya teliti gambar itu, tidak dapat memberikan gambaran yang jelas terutamanya di tingkap kerana tidak tahu mana satu tingkap yang boleh dibuka dan boleh masukkan tangan.

    “Jadi seperti yang peguam hujahkan, adalah wajar untuk saya pergi ke tempat kejadian sendiri dan melihat,” katanya, memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pada prosiding minggu lalu, pembelaan mengemukakan permohonan untuk ke lokasi kejadian bagi mendapatkan situasi sebenar rumah dan saiz bilik dobi di mana insiden didakwa berlaku.

    Sementara itu, Ahli Dewan Negara yang juga Presiden Orang Kurang Upaya (OKU) Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi turut hadir pada prosiding hari ini.

    Nur A’minahtul Mardiah dalam kenyataan pula berkata, lawatan ke tempat kejadian amat penting apabila saksi memberikan deskripsi yang tidak boleh dizahirkan melalui gambar yang dikemukakan di mahkamah.

    “Lawatan ini juga penting bagi memastikan mahkamah, pihak pendakwaan dan pembelaan memahami serta menghargai keterangan yang sudah dan bakal diberikan di mahkamah mengenai lokasi kejadian.

    “Permohonan lawatan ke tempat kejadian adalah satu permohonan yang biasa dibuat dalam kes perbicaraan jenayah dan adalah proses dinamakan ‘in the interest of justice’ (demi kepentingan keadilan),” katanya,” katanya.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down berusia 13 tahun sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021, mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

  • Sindiket curi kenderaan lama tumpas, 9 lelaki ditahan polis

    Sindiket curi kenderaan lama tumpas, 9 lelaki ditahan polis

    POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan sindiket mencuri kenderaan yang menyasarkan kereta model lama, motosikal dan lori yang aktif menjalankan kegiatan itu di negeri tersebut serta di Kedah dan Perak.

    Sindiket itu ditumpaskan menerusi Op Lejang Mutiara yang dijalankan pada 2 hingga 8 April lalu yang mana seramai sembilan lelaki tempatan yang kebanyakannya bekerja sebagai mekanik berusia 31 hingga 40 tahun turut ditahan.

    Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, kesemua suspek berjaya diberkas di Seberang Perai Tengah (SPT); Bedong dan Kuala Ketil, Kedah.

    Dalam operasi itu tambah beliau, polis turut merampas tiga buah lori, tiga buah kereta, lima buah motosikal dan sebuah enjin kereta yang dianggarkan bernilai RM150,000.

    Ujarnya, turut dirampas di salah sebuah rumah sewa yang didiami suspek di Bedong, Kedah adalah dua pistol tiruan, tujuh unit telefon bimbit, enam rangkai kunci pelbagai jenis kenderaan dan sepasang gari.

    Fisol melihat beberapa motosikal yang dicuri, selepas sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    “Kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau disyaki aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan sejak awal tahun ini.

    “Modus operandi mereka adalah mencuri kenderaan lama dengan cara menggunakan peralatan ‘master key’ dan kenderaan curi itu akan diberikan kepada ahli kumpulan yang bekerja sebagai mekanik untuk dileraikan serta dicanaikan nombor casis,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Fisol, pihaknya percaya sindiket itu mencuri kenderaan lama untuk dijadikan alat ganti kenderaan dan ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati empat daripada mereka positif methamphetamine.

    Jelas beliau, dengan penahanan suspek itu polis percaya berjaya menyelesaikan 18 kes curi kenderaan lama iaitu 13 kes yang dilaporkan di sekitar Pulau Pinang manakala lima kes di Perak dan Kedah.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379A (1) Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan motor dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama tujuh tahun dan dikenakan denda,” katanya.

  • Pistol, syabu dirampas dalam bot nelayan

    Pistol, syabu dirampas dalam bot nelayan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Batu Pahat berjaya mematahkan satu cubaan menyeludup keluar dadah disyaki syabu seberat 12 kilogram di perairan Parit Raja, Pontian, pukul 6.30 pagi tadi.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Maritin Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa berkata, rampasan dibuat berikutan hasil maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot nelayan asing di perairan tersebut.

    “Sebuah bot ronda maritim telah diatur gerak ke lokasi bagi melakukan pemantauan sekitar pukul 6.30 pagi sebelum mengesan sebuah bot berwarna coklat tanpa nombor pendaftaran.

    Sepucuk pistol angin dan sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki syabu ditemukan

    “Bot berkenaan dipercayai bot nelayan asing tersebut dikendalikan dua lelaki dan apabila diarahkan berhenti, bot tersebut terus memecut laju dengan menukar arah menuju ke beting Parit Raja, Pontian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, dua suspek itu bertindak melarikan diri ke daratan dan meninggalkan bot tersadai di benteng batu Parit Raja dalam keadaan tenggelam bahagian belakang.

    Hasil pemeriksaan ke atas bot itu katanya, menemukan sepucuk pistol angin berisi tiga butir peluru dalam sebuah beg sandang, satu telefon bimbit dan sebuah tong ikan berwarna oren mengandungi satu bungkusan beg plastik merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki syabu.

    Beliau memberitahu, semua rampasan tersebut termasuk bot berkenaan dianggarkan keseluruhannya bernilai kira-kira RM628,800.

    “Dadah ini dipercayai cuba diseludup keluar ke Indonesia dan jumlah penggunaannya boleh menampung 60,000 penagih dadah,” katanya.

    Satu bungkusan beg plastik merah mengandungi 12 paket hablur kaca disyaki syabu disembunyikan dalam tong ikan warna oren

    Kesemua penemuan tersebut dirampas dan dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat, kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960, katanya.

    Maritim ujarnya, akan terus mempergiatkan lagi pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang kegiatan atau perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan.

    Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07-4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

  • ADUN Bukit Melawati tawar diri calon Timbalan Ketua Wanita PKR

    ADUN Bukit Melawati tawar diri calon Timbalan Ketua Wanita PKR

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli akan untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti tersebut.

    Juwairiya membuat pengumuman pencalonan tersebut dalam Facebook miliknya, lapor Sinar Harian.

    Menurut Juwairiya, keputusan untuk bertanding jawatan itu dibuat bagi menguatkan PKR pada masa depan.

    “Pemilihan ini adalah usaha terbesar untuk memperkukuhkan kembali kekuatan parti dengan muka-muka pelapis atau generasi baru untuk menerajui kepimpinan wanita pusat PKR bagi menghadapi PRU15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) tidak lama lagi,” katanya.

    Katanya, selain beliau, jawatan itu turut ditandingi Siti Aishah Shaik Ismail dan Datin Sabrina Ahmad.