Author: Admin

  • Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk, kata Syed Saddiq

    Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk, kata Syed Saddiq

    AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, undang-undang yang mengharamkan perubatan menggunakan kanabis atau ganja sudah lapuk.

    Malah katanya, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri telah pun mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik.

    “Realitinya bila cakap mengenai rokok, rokok membunuh lapan juta orang setiap tahun, di Malaysia sahaja 27,000. Alkohol pula tiga juta kematian setiap tahun.

    “Tapi bila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu tabu dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan. Ingat, pesakit bukan penjenayah!” tegasnya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, lapor Sinar Harian, hari ini.

    Syed Saddiq dalam masa sama turut memohon maaf kepada penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman kerana terlepas pandang hantaran Facebooknya pada 14 Oktober tahun lalu yang menyokong sepenuhnya usaha beliau memperjuangkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan.

    “Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada saudara Yasin sebab terlepas pandang hantaran saudara pada Oktober lepas.

    “Ia merupakan rayuan meminta tolong bukan sahaja untuk Yasin tetapi juga untuk orang lain yang turut menderita dan memerlukan perubatan ganja sebagai rawatan.

    Tangkap layar hantaran Facebook Yasin pada Oktober tahun lalu

    “Tidak ada mak ayah yang nak tengok anak mereka sakit dan masuk penjara sebab cari rawatan. Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk “kesihatan anak-anak. Mama saya pun merayu, mohon bantu saudara Yasin,” katanya.

    Sebelum ini, penyanyi lagu Mimpi Laila itu memohon agar Syed Saddiq dapat menyegerakan kelulusan dadah jenis kanabis untuk perubatan.

    Yasin berkata demikian ketika dibawa ke mahkamah bagi menghadapi dua pertuduhan kes berkaitan dadah, iaitu menanam 17 pokok disyaki ganja dan mengedar dadah jenis sama, minggu lalu.

    Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, beliau juga ada berjumpa dengan ibu bapa yang terpaksa mendapatkan CBD atau ‘cannabidiol’ dari luar negara untuk tujuan perubatan anak-anak mereka.

    “Saya ada jumpa mak ayah yang terpaksa beli CBD dari luar negara untuk anak-anak mereka. Doktor-doktor pun ada cuba bantu dapatkan CBD untuk pesakit.

    “Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi Yasin yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul,” katanya.

  • Dua beranak dituduh bunuh kanak-kanak

    Dua beranak dituduh bunuh kanak-kanak

    SEORANG bapa dan anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, bulan lalu.

    Tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya berusia 18 hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh, lapor Harian Metro.

    Menurut pertuduhan, mereka secara bersama-sama pada 3 Mac 2022 kira-kira pukul 7 malam di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan, 5.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

    Khalid Redza turut didakwa membunuh Meriammah Abdullah Basam, 29, pada tarikh antara 15 hingga 17 Mac 2022 di lokasi sama.

    Bagi pertuduhan itu juga tiada pengakuan direkodkan dan tertuduh hanya mengangguk faham selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norzaliza Tesmin.

    Selain itu, di Mahkamah Sesyen pula, Khalid Redza didakwa menyebabkan cedera parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulitnya melecur yang dilakukan antara 1 Disember 2021 hingga 24 Mac 2022.

    Pertuduhan bagi kes itu dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan denda serta sebat.

    Peniaga itu juga didakwa mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 melakukan kesalahan pengabaian Sufiy Hasrul Izwan, 20 bulan, di lokasi sama pada 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022.

    Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM50,000 atau dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.

    Kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan.

    Mahkamah menetapkan kesemua pertuduhan berkenaan disebut semula pada 17 Mei ini dan tiada jaminan ditawarkan.

    Dalam pada itu di Mahkamah Majistret, Khalid Redza mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang dilakukan di lokasi sama antara 1 Disember 2021 hingga 23 Mac 2022.

    Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tujuh tahun dan denda.

    Mengikut fakta kes, pada 23 Mac lalu, doktor di Hospital Tuanku Jaafar yang melakukan pemeriksaan terhadap mangsa mendapati dia mengalami luka melecur baru dan lama di seluruh badan seperti ditekap objek panas selain patah tulang femur sebelah kanan dan luka kecil di muka.

    Media pada Khamis lalu melaporkan polis menemukan rangka dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Bukit Zamrud selepas operasi pencarian dilakukan sejak 28 Mac lalu.

    Pada 28 Mac lalu juga polis membawa seorang wanita yang dipercayai ada kaitan dengan penemuan mayat wanita di kawasan gaung dekat Jalan Lama Bukit Putus ke satu kawasan belukar di Jalan Bukit Zamrud bagi menunjukkan lokasi tempat kanak-kanak itu ditanam.

  • Cederakan isteri dengan rotan: Pemilik restoran dipenjara 10 tahun, empat sebatan

    Cederakan isteri dengan rotan: Pemilik restoran dipenjara 10 tahun, empat sebatan

    SEORANG pemilik restoran dihukum penjara 10 tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau hari ini kerana mencederakan isterinya menggunakan sebatang rotan minggu lepas.

    Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Faizal Md Yusuf, 34, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

    Mohd Faizal didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya, Siti Nur Ajeerah Lama, 32, menggunakan sebatang rotan di Restoran D’Archery Garden, Batu 1, Jalan Kuhara, Tawau, pada 1 tengah hari, 6 April lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

    Terdahulu ,Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh kerana selain kepentingan awam, tahap kecederaan dialami mangsa perlu diambil kira yang sehingga kini masih mendapatkan rawatan di Hospital Tawau serta mengalami trauma.

    Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian memohon hukuman diringankan dan memberitahu mahkamah bahawa tindakan itu atas perasaan marah kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.

    Awang Kerisnada dalam penghakimannya berkata hukuman dikenakan itu turut mengambil kira tahap keseriusan kecederaan dialami mangsa.

    “Tidak kira sama ada betul atau tidak mangsa curang, itu tidak sepatutnya dijadikan alasan tertuduh memukul mangsa dengan begitu teruk.

    “Tertuduh boleh sahaja membuat laporan polis atau merujuk ke Mahkamah Syariah atau mendapatkan khidmat kaunseling kerana perbuatan terhadap isteri itu tidak wajar dan mendera,” katanya. – Bernama

  • Azmin Ali berjaya batal saman pengundi Gombak terhadapnya

    Azmin Ali berjaya batal saman pengundi Gombak terhadapnya

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan rayuan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari sebagai Ahli Parlimen kawasan itu.

    Panel tiga hakim iaitu Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Hashim Hamzah memutuskan tuntutan pengundi itu tidak kukuh dan tiada keperluan bagi saman itu diteruskan untuk perbicaraan penuh.

    Yaacob, yang menyampaikan keputusan sebulat suara itu, membenarkan rayuan Mohamed Azmin untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun tahun lepas yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman itu.

    “Kami berpandangan terdapat kesilapan oleh hakim Mahkamah Tinggi semasa tidak membenarkan permohonan perayu (Mohamed Azmin) untuk membatalkan saman yang memerlukan campur tangan rayuan,” katanya.

    Mahkamah bagaimanapun tidak memberikan award kos atas alasan kes itu adalah kes kepentingan awam.

    Pada 27 Nov 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin, yang merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

    Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

    Mereka menuntut ganti rugi teruk dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

    Beliau mendakwa saman itu melanggar hak asasinya untuk kebebasan berpersatuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Fasal (1) (c) Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam prosiding hari ini yang dijalankan secara maya, mahkamah mendengar hujahan peguam Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid yang mewakili Mohamed Azmin dan peguam K. Shanmuga yang mewakili pengundi.

    Muhammad Nizamuddin berhujah bahawa saman itu perlu dibatalkan kerana dakwaan pengundi pasti gagal kerana mereka tidak akan dapat membuktikan bahawa mereka telah mengundi Mohamed Azmin semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

    Beliau berkata, Mohamed Azmin tidak membuat sebarang perwakilan secara peribadi kepada pengundinya semasa PRU14 sebaliknya manifesto yang digunakan telah disediakan Pakatan Harapan pada Mac 2018 untuk tujuan berkempen semasa pilihan raya umum itu.

    Muhammad Nizamuddin juga berkata, tuntutan pengundi itu mempunyai kesan menyekat hak anak guamnya untuk kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 (1)(c) Perlembagaan Persekutuan.

    Shanmuga dalam hujahan balas berkata, saman itu perlu diteruskan untuk perbicaraan kerana pengundi boleh membuktikan mereka mengundi Mohamed Azmin pada PRU14 dengan memberikan keterangan secara lisan di mahkamah.

    Beliau berkata, dakwaan pengundi bukan berdasarkan manifesto tetapi berdasarkan representasi yang dibuat Mohamed Azmin kepada mereka (pengundi).

    Shanmuga berkata, tuntutan pengundi tidak menjejaskan hak kebebasan berpersatuan Mohamed Azmin kerana tuntutan itu bukan untuk menjatuhkan beliau daripada menjadi Ahli Parlimen.

    Turut mewakili Mohamed Azmin ialah peguam Nurul Najwa Zanuddin manakala peguam Yohendra Nadarajan, Surendra Ananth dan Kee Hui Yee turut mewakili pengundi. – Bernama

  • Budak perempuan 4 tahun maut dihempap tiang batu pagar

    Budak perempuan 4 tahun maut dihempap tiang batu pagar

    SEORANG kanak-kanak perempuan yang sedang bermain di luar rumah maut selepas dihempap tiang batu pagar rumahnya di Kampung Bangla, Bukit Nangka, Alor Gajah pada pukul 7 petang semalam.

    Nur Iman Irdina Abdul Nuur, 4, sedang bermain bersendirian, manakala ibu mangsa sedang menyiapkan juadah berbuka di dapur dan abangnya berada di ruang tamu.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, secara tiba-tiba tiang batu pagar rumah yang terletak di ruang beranda tumbang dan menghempap tengkuk mangsa.

    Menurutnya, ibu mangsa yang terdengar bunyi dentuman kuat dari arah luar rumah segera melulu ke arah mangsa dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap serta berlumuran darah pada kepala.

    “Mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan.

    “Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Tambahnya, Nur Iman Irdina merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan bedah siasat dijalankan mendapati, mangsa mati akibat kesan hentakan kuat dari objek keras.

    “Hasil siasatan awal didapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

  • Tujuh individu didakwa miliki kereta mewah hasil kegiatan judi haram

    Tujuh individu didakwa miliki kereta mewah hasil kegiatan judi haram

    TUJUH individu termasuk dua wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam, Selangor hari ini atas tujuh pertuduhan berkaitan kes pengubahan wang haram dalam pengumpulan dan pemilikan harta hasil daripada kegiatan judi haram.

    Kesemua tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Helina Sulaiman.

    Mengikut kertas pertuduhan, Chung Chee Yang, 44, dan isterinya Lim Lee Cheng, 40, telah menggunakan sebuah premis sebagai operator mesin judi.

    Ahli perniagaan itu dan pasangannya dituduh melakukan kesalahan terbabit di Bandar Botanik, Klang pada 15 April 2021.

    Chung juga turut dituduh bersama isteri dan ibunya, Tan Kwee Eng, 65, serta empat lagi lelaki atas dakwaan memiliki enam kereta mewah hasil daripada aktiviti haram berkenaan.

    Mengikut pertuduhan, Chung bersama enam lagi tertuduh didakwa telah memiliki enam kereta mewah iaitu tiga kereta Bentley, masing-masing sebuah kereta jenis BMW X5, Toyota Alphard dan Honda Accord yang didaftarkan di bawah nama enam individu iaitu Lim; Kwee Eng; Ng Min Lin, 43; Tan Kah Hock, 37; Khor Beng Sin, 68, dan Lai Yee Peng, 73, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Kesemua mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Bandar Sunway, Subang Jaya dan Bandar Bukit Tinggi, Klang pada 16 April 2021.

    Kesemua mereka didakwa di bawah Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Aidil Akmal Sharidan, Izzat Dzulkafli dan Ahmad Faiz Munawar.

    Harris Ong mencadangkan kepada mahkamah supaya menetapkan wang jaminan sebanyak RM100,000 diberikan kepada Chung manakala tertuduh yang lain dikenakan RM50,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Aidil Akmal bagaimanapun memohon agar kesemua tertuduh dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

    Hakim Helina membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dan perlu melapor diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah dan kes akan disebut semula 31 Mei ini.

    Media sebelum ini melaporkan, Chung pada April tahun lepas telah dituduh di Mahkamah Majistret Klang dan Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan memukul dan mengugut dua pengawal peribadinya menggunakan pistol. – Bernama

  • Tiga lagi banduan larikan diri ditahan, seorang masih bebas

    Tiga lagi banduan larikan diri ditahan, seorang masih bebas

    TIGA lagi banduan yang melarikan diri dari Penjara Jelebu, pada Ahad lepas ditahan di kawasan semak Jalan Purun, Kuala Klawang, di Negeri Sembilan, malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, Mohamad Aminuddin Khan Mohd Yusof, 28; Mazlan Samah, 39, dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Zainuddin, 62, ditahan pada pukul 10 malam dan direman empat hari bermula hari ini.

    “Operasi mengesan seorang lagi banduan yang masih bebas iaitu Muhammad Syafiq Rohmat, 32, dipanggil Umai masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu di talian 06-6136 222 atau pegawai penyiasat Insp Zuria Anis Mahassan di talian 016-6096 996.

    Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita tidak tepat yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan siasatan polis.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi di Blok Muhasabah 2, Penjara Jelebu, iaitu lokasi kesemua banduan reman terbabit ditempatkan, mereka dipercayai telah melarikan diri melalui lubang siling serta keluar melalui lubang pagar yang disyaki dipotong menggunakan pemotong besi, menuju ke semak di belakang penjara itu. – Bernama 

  • Lelaki Myanmar maut ditikam rakan senegara

    Lelaki Myanmar maut ditikam rakan senegara

    SEORANG lelaki warga Myanmar ditemui mati dipercayai ditikam rakan senegaranya di Jalan Gigih, Seksyen 25 di Shah Alam, kelmarin.

    Seorang saksi yang tinggal di sekitar lokasi terbabit kemudian menghubungi pihak polis. yang tinggal di sekitar lokasi terbabit.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 20-an ditemui kira-kira jam 6.30 petang dan dipercayai maut akibat kecederaan parah akibat tikaman di perut.

    “Pemeriksaan menemui dua bilah pisau berhampiran mangsa dan berdekatan longgokan sampah di lorong berhampiran.

    “Susulan itu, polis menahan suspek seorang wanita yang bekerja sebagai tukang jahit dan dua lelaki bekerja sebagai penjaga kedai makan yang kesemuanya warga Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Sinar Harian.

    Mohd. Iqbal memberitahu, polis masih merakam percakapan beberapa saksi lain dan siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti motif serta menjejak baki suspek.

    Katanya, kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun kini direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menyalurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Afandi di talian 03-55202222,” ujarnya.

  • 27 tan organ kerbau sejuk beku dari India disita

    27 tan organ kerbau sejuk beku dari India disita

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KIRA-KIRA 27 tan pelbagai organ kerbau sejuk beku dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang dalam pemeriksaan di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT), Pulau Pinang Sabtu lalu.

    Pengarah Maqis Pulau Pinang, Muhammad Ikram Abd. Talib berkata, pihaknya menyita 2,516 kotak mengandungi produk ruminan sejuk beku dari India seberat 26,988 kilogram (kg) itu selepas dipercayai menggunakan maklumat tidak tepat dan mengelirukan.

    Ujar beliau, hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan dagangan diimport itu merupakan bahagian kerbau terdiri daripada 1,000 kg ‘hock tendon’; ekor (2,988 kg); hati (6,000 kg) dan jantung (17,000 kg).

    Maqis menyita 2,516 kotak mengandungi produk ruminan sejuk beku dari India seberat 26,988 kilogram (kg)

    “Kesemua produk berkenaan dianggarkan bernilai RM262,079.63 dan ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Muhammad Ikram berkata, penggunaan maklumat tidak tepat dan mengelirukan akan disiasat di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

    “Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar selain mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

  • 1MDB:Rohana setuju pulangkan USD10 juta wang 1MDB

    1MDB:Rohana setuju pulangkan USD10 juta wang 1MDB

    BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Rohana Rozhan dikatakan secara dasarnya bersetuju menyerahkan semula wang USD10 juta diberikan oleh bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc. itu.

    Menurut sumber, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat mendapatkan wang terbabit selepas Rohana bersetuju menyerahkan aset dimilikinya daripada Leissner yang menggunakan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

    “Proses mendapatkan aset berkenaan giat dilakukan SPRM ketika ini,” kata sumber itu, menurut laporan Free Malaysia Today (FMT) yang memetik laporan Utusan Malaysia.

    Rohana sebelum ini dikatakan menjalin hubungan dengan Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Tim Leissner yang merupakan saksi utama pendakwaan jenayah berkaitan kes penyelewengan dana syarikat pelaburan strategik negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Ketika memberi keterangan di mahkamah di New York, Leissner berkata, dia memberi Rohana USD10 juta di mana wanita itu membeli rumah bernilai USD7 juta di Montpelier Street, London.

    Siasatan terhadap 1MDB yang dianggap skandal kewa­ngan terbesar di dunia menyaksikan berbilion dolar dana agensi itu diseleweng pelbagai pihak.

    Keterangan Leissner dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berkaitan 1MDB di Amerika Syarikat (AS) mendorong SPRM mengambil keterangan daripada Rohana, Februari lalu.

    Rohana sebelum ini menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa dan SPRM dalam siasatan kes itu.

    SPRM memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001.

    Isu berkaitan rumah di London dan nama Rohana disebut oleh bekas Pegawai Bank Goldman Sachs Group Inc Tim Leissner yang mendakwa mereka mempunyai hubungan sejak 2003 hingga 2013 dan berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

    Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti-rasuah AS dan konspirasi pengubahan wang.