Author: Admin

  • Tiada jaminan Ismail Sabri kekal jadi PM – Tajuddin

    Tiada jaminan Ismail Sabri kekal jadi PM – Tajuddin

    TIADA jaminan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Memetik laporan FMT, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman membayangkan kemungkinan itu walaupun MKT mencadangkan Ismail Sabri dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

    “Tetapi tidak ada jaminan (Ismail Sabri jadi Perdana Menteri) ‘poster boy’ di Johor dulu siapa? Hasni tapi tak jadi pun (MB), tapi kita doakan yang terbaiklah, kita tak mahu bersangka buruk,” katanya.

    MKT UMNO hari ini sebulat suara mencadangkan bahawa Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti menjadi calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15.

    Keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Ibu Pejabat UMNO, Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur petang tadi.

  • Lelaki bertuala ditemui mati di tepi jalan raya

    Lelaki bertuala ditemui mati di tepi jalan raya

    MAYAT lelaki yang hanya mengenakan tuala ditemukan dipercayai digilis kenderaan di Kilometer 19, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, Gerik pukul 8 pagi tadi.

    Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, mangsa dipercayai digilis kenderaan berat dan mayatnya ditemui orang awam
    dengan kesan kecederaan parah.

    “Keputusan bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Gerik mendapati, tiada kesan tusukan senjata ke badan mangsa sekali gus menafikan terdapat unsur jenayah dalam kes ini.

    “Hasil bedah siasat juga mendapati, punca kematian adalah disebabkan kecederaan parah akibat dilanggar,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Menurut beliau, tiada dokumen pengenalan diri ditemui selain tiada laporan polis diterima membabitkan kehilangan mangsa.

    “Kami masih mengenal-pasti identiti mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

  • Polis tahan Fahmi Reza, dipercayai satira hina institusi raja

    Polis tahan Fahmi Reza, dipercayai satira hina institusi raja

    POLIS menahan aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza dan melakukan soal siasat berkenaan lakaran satira yang dipercayai menghina institusi diraja.

    Perkara itu dimaklumkan beliau dalam satu ciapan di Twitter miliknya hari ini.

    Katanya, kertas siasatan tersebut akan dibuka di bawah Akta Hasutan dan perkara tersebut diketahui apabila beliau mendapat satu panggilan telefon dari pejabat polis Bukit Aman.

    “Aku dah terima panggilan telefon dari polis Bukit Aman. Tak sampai 15 jam, polis dah buka kertas siasatan bawah #AktaHasutan dan #AktaSakitHati kerana grafik satira #beruk yang aku post malam tadi.

    “Polis minta datang balai untuk disoal siasat petang ini juga. Kita jumpa kejap lagi PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Semalam, Fahmi sekali lagi hangat diperkatakan di media sosial apabila melakar satira yang dipercayai bertujuan menghina institusi diraja.

    Hantaran itu telah mencetus pelbagai persepsi terutama pengguna media sosial.

    Majoriti netizen di ruangan komen meluahkan rasa marah dengan menganggap bahawa perkara tersebut keterlaluan.

  • Bella dipaksa makan 80 cili seminggu

    Bella dipaksa makan 80 cili seminggu

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu, remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun dikenali Bella diberi makan 20 biji cili padi selama beberapa kali seminggu oleh pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd. Razali.

    Selain itu mahkamah mendengar keterangan bahawa remaja itu tidak dibenarkan minum air selama beberapa hari kerana tidak mendengar cakap Siti Bainun, lapor Harian Metro, hari ini.

    Menurut keterangan saksi pendakwaan kelima yang juga penghuni rumah kebajikan itu, Yasmin Nahar Mahmood, Bella juga dimarah dan diugut diberi air panas jika tidak mendengar cakap, selain ditendang di perut jika menjerit kuat ketika diberi suntikan picagari.

    Menceritakan lanjut kejadian itu, saksi berkata, beliau atau seorang lagi penghuni rumah terbabit dikenali sebagai Aida mengira jumlah cili padi berkenaan.

    Yasmin menjawab soalan balas peguam Siti Bainun, Farhan Maaruf bersetuju bahawa cili padi itu diberi kepada Bella beberapa kali seminggu.

    SITI Bainun (kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini bagi sambung bicara kes yang dihadapinya. FOTO Bernama

    Farhan bertanyakan sama ada Siti Bainun mengeluarkan arahan untuk mengira jumlah cili itu secara spesifik dan Yasmin Nahar menjawab ‘ya’.

    Peguam itu mempersoalkan adakah mangsa tidak mengalami sakit perut akibat memakan 80 cili jika diikutkan perkiraan mangsa diberi makan empat kali seminggu.

    “Katakan Bella didera empat bulan, kiranya 1,280 cili padi disumbat dalam mulut Bella,” soal peguam itu.

    Semalam, dalam keterangannya Yasmin berkata, Siti Bainun mendera remaja itu setiap hari selama hampir empat bulan yang berlaku pada setiap malam sejak Mac 2021 hingga 24 Jun 2021.

    Ditanya sama ada mulut Bella menunjukkan tanda melecet dan kemerah-merahan akibat makan cili padi itu, Yasmin berkata, terdapat kesan merah dan cili padi itu dibuang mangsa.

    Mengenai isu Bella tidak dibenarkan minum air, saksi berkata, remaja itu curi-curi minum dan beliau pun memberikan Bella minum secara curi-curi.

    “Siti Bainun juga arahkan saya pegang bahu Bella ketika berdiri dan menyuruh remaja itu untuk melutut dan diugut bagi air panas.

    “Bella juga ada dihentak kepala di dinding, diejek dan diperbodohkan,” katanya.

    Siti Bainun, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

    Dia didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, antara Februari dan Jun 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung esok.

  • Kerajaan Persekutuan, Sabah setuju amaun pemberian khas dinaikkan

    Kerajaan Persekutuan, Sabah setuju amaun pemberian khas dinaikkan

    AMAUN pemberian khas baharu kepada Sabah dinaikkan sebanyak 4.7 kali ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta bagi tahun 2022, menurut kenyataan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

    Amaun berkenaan akan terus meningkat setiap tahun bagi tempoh 2023-2026, mengikut kadar kenaikan yang dipersetujui bersama.

    Kenyataan bersama itu menyebut kenaikan amaun itu, ekoran kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah telah berjaya mencapai kata sepakat mengenai kajian semula pemberian khas kepada Sabah, di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan pada hari ini.

    “Ini merupakan susulan kepada beberapa perbincangan dan rundingan yang diadakan oleh Kementerian Kewangan dan kerajaan Sabah, dengan kebanyakan terma dipersetujui pada 14 Feb 2022.

    “Persetujuan ini juga merupakan satu petanda penting memandangkan kali terakhir kajian semula berkenaan dibuat adalah pada 1969,” menurut kenyaataan itu.

    Menurut kenyataan itu persetujuan kajian semula baharu tersebut turut merangkumi perkara lain iaitu, kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah akan terus berunding berhubung tuntutan 40 peratus daripada hasil Sabah, dan menjalankan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

    Ini bertujuan untuk mendapatkan suatu amaun pemberian khas baharu yang dapat mengimbangi keperluan Sabah, tanpa menjejaskan kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan.

    “Sekiranya suatu amaun baharu yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak berjaya dicapai sebelum tahun 2026, maka amaun baharu tersebut akan diguna pakai untuk menggantikan bayaran pemberian khas kepada negeri Sabah bermula 2022,” menurut kenyataan itu lagi.

    Menurut kenyataan itu persetujuan tersebut adalah tanpa prejudis terhadap kewajipan dan hak kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah, untuk meneruskan kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dengan mengambil kira kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan, serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri.

    Kerajaan Sabah juga berhak untuk bergantung kepada formula asal seperti dinyatakan dalam Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

    Pelaksanaan kajian semula pemberian khas itu, termasuk hak kedua-dua kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah untuk merujuk perkara itu kepada penaksir bebas (jika tiada persetujuan dicapai), seperti dinyatakan dalam Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan.

    “Kedua-dua pihak iaitu kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah akan membekalkan data dan maklumat mengenai kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan, serta keperluan kerajaan Sabah berhubung kos perkhidmatan negeri yang akan diambil kira dalam proses kajian semula pemberian khas tersebut,” menurut kenyataan itu lagi.

    Menurut kenyataan itu persetujuan berjaya dimeterai antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah itu melambangkan semangat Keluarga Malaysia, komitmen kerajaan Persekutuan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 kepada kerajaan Sabah, serta keprihatinan negeri di bawah bayu itu terhadap peranan dan kemampuan kerajaan Persekutuan untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan.

    “Penghargaan kami kepada delegasi kerajaan Persekutuan yang diketuai Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) dan delegasi kerajaan Sabah yang diterajui Menteri Kewangan II Sabah (Datuk Seri Masidi Manjun) dalam pencapaian bersejarah ini,” menurut kenyataan itu. – Bernama

  • Sam Ke Ting fail rayuan, mohon tangguh hukuman penjara

    Sam Ke Ting fail rayuan, mohon tangguh hukuman penjara

    SAM Ke Ting yang dijatuhi hukuman enam tahun penjara dan denda RM6,000 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru itu.

    Memetik laporan FMT, peguamnya, Muhammad Faizal Mokhtar berkata, kedua-dua notis usul kebenaran merayu dan penangguhan pelaksanaan hukuman difailkan hari ini melalui sistem e-filing mahkamah.

    Katanya, perakuan segera juga telah difailkan oleh Sam Ke Ting hari ini.

    Wanita tersebut yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak di Johor Bahru, dipenjara enam tahun bermula semalam.

    Hakim Mahkamah Tinggi Johor Bahru, Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan tersebut terhadap Sam Ke Ting, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya memutuskan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

    Jurujual itu turut didenda sebanyak RM6,000 dan jika gagal bayar akan ditambah hukuman penjara enam bulan selain hilang kelayakan lesen memandu selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani tempoh hukuman.

    Abu Bakar berhujah, Mahkamah Bicara (Majistret) telah terkhilaf apabila gagal memutuskan pembelaan responden secara bersumpah bersifat penafian semata-mata bahawa responden tidak nampak kumpulan basikal di tempat kemalangan dan ada kenderaan lain yang melanggar kumpulan itu dan telah melarikan diri.

    “Mahkamah bicara turut terkhilaf apabila menerima pembelaan responden yang tidak mengetahui adanya aktiviti basikal lajak pada malam kejadian sebagai alasan untuk memandu kereta secara merbahaya sehingga mengorbankan mangsa.

    “Responden seharusnya memandu kereta dengan lebih berhati-hati dan bukannya memandu laju kerana mengambil kira pencahayaan tidak begitu terang dan jarak penglihatan ke depan terhad,” hujahnya sebelum menjatuhkan hukuman.

  • BKBJ RM144.36 juta untuk 3.69 juta rakyat Johor

    BKBJ RM144.36 juta untuk 3.69 juta rakyat Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN Johor menyediakan Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) berjumlah RM144.36 juta untuk 3.69 juta rakyatnya menjelang Aidilfitri.

    BKBJ merupakan inisiatif kerajaan Johor bagi membantu rakyat selepas peralihan fasa endemik.

    Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menjelaskan, BKBJ merangkumi 28 inisiatif merangkumi lima kategori utama iaitu kemasyarakatan, kebajikan, orang muda Johor, pendidikan dan ekonomi.

    “Menerusi kategori kemasyarakatan, sebanyak lapan inisiatif digariskan melibatkan dana berjumlah RM34.16 juta kepada pekerja GIG, pemandu bas awam, bas ekspres, imarah masjid dan surau, nelayan serta ketua kampung.

    “Bantuan Beras Bangsa Johor dengan peruntukkan RM 23.67 juta turut diperkenalkan di mana setiap rumah di negeri ini akan menerima bantuan beras 10 kilogram (kg). Ia akan manfaat kepada 3.69 juta penduduk Johor dengan 903,000 ketua isi rumah,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada pengumuman khas di Pejabat Menteri Besar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Onn Hafiz berkata, bagi kategori kebajikan pula, sebanyak enam inisiatif dilaksanakan membabitkan dana berjumlah RM44.74 juta dan memberi manfaat kepada 103,790 orang.

    “Pertama, bantuan khas Aidilfitri, sebanyak RM400 akan disumbangkan kepada fakir dan RM300 kepada golongan miskin. Sebanyak 85,800 golongan fakir miskin akan menerima manfaat daripada inisiatif ini dengan melibatkan dana RM14.2 juta.

    “Setiap pusat jagaan warga emas dan anak yatim di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga bakal menerima bantuan geran RM10,000 dengan RM340,000 diperuntukkan,” katanya.

    Bagi inisiatif Anak Johor Prihatin, beliau berkata, bantuan akan diberikan kepada anak yang menjadi yatim kerana Covid-19 dan inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 1,825 penerima (dengan peruntukan RM3 juta).

    Selain itu katana, antara inisiatif lain melibatkan:

    1. Inisiatif i-Berkat. Bakal membantu 1,600 golongan B40, warga emas dan orang kurang upaya (OKU) dengan dana RM1 juta diperuntukkan. Di bawah skim ini, penerima boleh membeli barang keperluan seperti pesakit kronik dan terlantar.
    2. Insentif mesra PPR – Pengecualian sewa kediaman melibatkan Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi tahun 2022 kepada 11,511 penyewa membabitkan peruntukkan RM22.25 juta.
    3. Insentif mesra Rumah Sewa Kerajaan (RSK)– Pengecualian sewa rumah kerajaan bagi tahun 2022 kepada 3,020 penyewa dengan melibatkan dana sebanyak RM 3.95 juta
    4. Bantuan Raja Sehari. Bantuan RM1,000 akan diberikan kepada setiap pasangan pengantin yang pertama kali berkahwin dengan pendapatan bersama RM5,000 ke bawah. Inisiatif ini melibatkan peruntukan RM10 juta.
    5. Bantuan geran kepada Southern Volunteers yang melibatkan dana sebanyak RM800,000.
    6. Bantuan geran kepada Majlis Belia Negeri Johor sebanyak RM200,000
    7. Bantuan geran kepada Dewan Muda Johor sebanyak RM200,000
  • Penjaga spa mengaku tidak bersalah abai, buang mayat bayi

    Penjaga spa mengaku tidak bersalah abai, buang mayat bayi

    SEORANG penjaga spa mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan hari ini atas dua pertuduhan, membabitkan pengabaian kanak-kanak di bawah peliharaannya dan menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membuang mayat seorang bayi pada minggu lepas. 

    Chong Kim Fui, 43, sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Chong Yi Sing (tidak daftar kelahiran), telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara memberi minum susu dan membiarkannya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu sesak nafas. 

    Kim Fui membuat pengakuan itu, sebaik pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa dalam Bahasa Mandarin terhadapnya di hadapan Hakim Noridah Adam di Mahkamah Sesyen Klang.

    Kim Fui didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kondominium, Jalan Batu Tiga Lama, Klang pada 6 April 2022, jam lebih kurang 3 petang hingga 8 malam.

    Dia dituduh di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) yang boleh di hukum di bawah Seksyen 31 (1) Akta yang samam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.

    Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Abd Raoff mencadangkan kepada mahkamah untuk menetapkan wang jaminan RM20,000 dengan seorang penjaminm dan tertuduh diminta untuk tidak menganggu saksi kes itu.

    Kim Fui yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon agar jumlah itu dikurangkan memandangkan dia hanya mempunyai pendapatan sekitar RM2,000 ke RM3,000 sebulan.

    Hakim Noridah menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi-saksi lain. Kes akan disebut semula 30 Mei nanti.

    Manakala di Mahkamah Majistret Klang, Kim Fui membuat pengakuan tidak bersalah atas tuduhan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat seorang bayi pada Khamis lepas, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret P. Sarulatha.

    Mengikut pertuduhan, Kim Fui didakwa dengan sengaja menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan membuang mayat seorang bayi yang dilahirkan oleh seorang wanita warga asing, yang mana bayi itu telah mati selepas dilahirkan.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 7 April 2022 di tempat pembuangan sampah di kondominium, Jalan Batu Tiga Lama, Klang pada jam 4 pagi. 

    Kim Fui ituduh melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan, yang mana boleh dihukum di bawah Seksyen yang sama dan jika sabit kesalahan dia boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Nuruljannah Aimi (repeat Nuruljannah) mencadangkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh melaporkan diri ke balai polis berhampiran.

    Peguam Lau Yih Ying yang mewakili tertuduh, meminta agar wang jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dan memohon sebulan sekali untuk anak guamnya melaporkan diri di balai polis sekiranya ada keperluan. 

    Mahkamah menetapkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran. Kes di sebut semula pada 30 Mei nanti.

    Media sebelum ini melaporkan, polis telah menahan seorang wanita warga asing dan teman lelakinya pada Khamis, susulan penemuan mayat bayi lelaki yang dianggarkan berusia empat bulan di tempat pembuangan sampah, di sebuah kondominium di Klang.– Bernama

  • 121 terkorban, 81 mangsa tertimbus ribut Megi di Filipina

    121 terkorban, 81 mangsa tertimbus ribut Megi di Filipina

    ANGKA kematian akibat ribut tropika yang melanda Filipina pada hujung minggu lalu meningkat kepada 121 orang, termasuk 81 mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh di bandar tengah Filipina, lapor Xinhua memetik pihak berkuasa pada Khamis.

    Jumlah kematian itu termasuk 118 orang di tengah Filipina dan tiga di selatan Filipina – kawasan yang mengalami banjir dan tanah runtuh besar akibat ribut tropika Megi.

    Bagaimanapun, Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan melaporkan hanya 76 kematian dan 29 orang hilang setakat ini.

    Agensi itu, yang menerima laporan dari wilayah yang terjejas akibat bencana, berkata ia sedang mengesahkan jumlah korban.

    Kolonel Polis, Ma Bella Rentuaya, jurucakap polis negara di wilayah Visayas Timur berkata, sehingga Khamis, 113 orang maut akibat tanah runtuh dan banjir di wilayah itu.

    Menurut beliau, 81 orang maut dalam tanah runtuh di Baybay City dan 31 lagi mangsa di bandar Abuyog di wilayah Leyte, dan satu di wilayah Samar, sambil menambah lima lagi hilang, dan sekurang-kurangnya 236 penduduk cedera dalam ribut itu.

    Megi, yang membadai darat Ahad lalu, merupakan ribut tropika pertama tahun ini yang melanda negara Asia Tenggara itu, yang dilanda kira-kira 20 taufan dan ribut setiap tahun. Kepulauan Filipina terletak di lingkaran taufan Pasifik, menjadikannya antara negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia.- Bernama

  • Rindu M Nasir terubat, bakal tampil konsert raya

    Rindu M Nasir terubat, bakal tampil konsert raya

    HAMPIR tiga tahun berada dalam era ‘huru-hara’, tiada siapa yang dapat menebak apa yang bersarang dalam hati lelaki yang satu ini. Jika sebelum ini Datuk M. Nasir sering tampil dengan persembahan berskala besar, fasa pandemik yang dilalui membuatkan terpaksa memperlahankan sedikit karier seninya.

    Mengubat kerinduan sendiri dan kerinduan peminat yang mahu menyaksikan persembahannya, kini dia tampil dengan Konsert Satu Hari Di Hari Raya Bersama Dato M. Nasir yang bakal diadakan pada 27 Mei hadapan.

    “Selepas penganjuran konsert solo saya pada 2019, saya akui amat rindu untuk membuat persembahan di hadapan peminat. Justeru apabila ditawarkan untuk menjayakan konsert ini, saya terus menerimanya kerana saya tahu peminat memang sudah lama menantikan saat ini.

    “Sebagai penyanyi, saya sendiri sangat berbesar hati dengan tawaran yang diberikan. Saya anggap persembahan ini adalah sebagai hadiah untuk peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seni saya sejak empat dekad lalu,” ujarnya memetik laporan Satu Berita.

    Jika ada yang masih ingat, penyanyi yang popular dengan lagu Tanya Sama Itu Hud Hud ini mengadakan konsert solo pada 2019. Konsert yang diadakan ketika itu mendapat sambutan hangat daripada peminat yang sentiasa menantikan kemunculannya di atas pentas.

    Kali ini, dia sudah mempersiapkan diri untuk memberikan pembaharuan dan kelainan bagi membalas keterujaan peminat yang mahu menyaksikan persembahannya.

    “Untuk konsert selama satu setengah jam itu, persembahan saya bakal diiringi oleh sembilan orang pemuzik termasuk penyangi latar. Bersesuaian dengan konsep, saya juga akan menyampaikan lagu bertemakan Hari Raya termasuk lagu yang pernah hits sebelum ini.

    “Dari segi persiapan, saya akan mula menjalani latihan tidak lama lagi. Lagipun kebanyakan lagu yang dipilih adalah lagu yang memang kerap saya nyanyikan dalam mana-mana persembahan.

    “Walaupun konsert ini berlangsung di dalam dewan tertutup dan bukannya di pentas terbuka namun saya akan pastikan peminat bukan sahaja terhibur tetapi dapat bersama-sama menyanyi dam menari bersama saya,” tambahnya lagi.

    Bakal mengadakan konsert di Dewan Merdekat, Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL), konsert ini merupakan anjuran Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) bersama rakan kongsi, Roman Abdi Sdn Bhd dan Luncai Emas Sdn Bhd .

    Sebahagian daripada jualan tiket pula akan disalurkan kepada beberapa pihak yang memerli laman sebagai salah satu inisiatif mereka untuk membantu penggiat seni yang berhadapan dengan kesukaran hidup.

    Jualan meja sudah mula dibuka dan bagi peminat yang ingin turut serta, boleh mendapatkan meja dengan kapasiti lapan orang dengan harga RM3,800; RM5,800; RM7,800, RM9,800 dan RM15,000.