Author: Admin

  • Polis klasifikasi penemuan mayat dengan kaki terikat besi sebagai kes bunuh

    Polis klasifikasi penemuan mayat dengan kaki terikat besi sebagai kes bunuh

    KEJADIAN seorang lelaki Indonesia yang mayatnya dijumpai mati dalam keadaan kaki kiri diikat dengan rantai besi pada sebuah kerusi di kawasan parkir di sebuah apartmen di Jelutong, Pulau Pinang pada Jumaat lalu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Soffian Santong berkata, perkara itu berikutan terdapat beberapa perkara yang mencurigakan dalam kes tersebut khususnya berhubung penggunaan rantai besi pada kaki mangsa.

    Selain itu ujar beliau, tindakan rakan serumah mangsa yang melarikan diri sejurus kejadian itu juga menjadi tanda tanya.

    ”Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan, kita mengklasifikasikan semula kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan membunuh,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Pada 22 April lalu, mayat seorang lelaki warga Indonesia ditemukan dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi selepas terjatuh dari tingkat lapan sebuah inap desa di apartment Eastern Court, Jelutong, Pulau Pinang.

    Mangsa berusia 33 tahun itu dijumpai orang awam di pekarangan tempat letak kereta apartment tersebut kira-kira pukul 5.30 petang.

    Sementara itu Soffian berkata, polis turut menahan dua lelaki termasuk rakan serumah mangsa bagi membantu siasatan berhubung kejadian berkenaan.

    Ujar beliau, kedua-dua lelaki merupakan warga tempatan yang mana suspek pertama berusia 52 tahun ditahan di sebuah hotel di Jalan Penang pukul 12.10 tengah malam tadi manakala suspek kedua berusia 45 tahun ditahan pukul 1.30 pagi tadi di sebuah rumah di Jalan Lintang Air Itam.

    ”Kedua-dua mereka direman sehingga 29 April ini bagi membantu siasatan dan kita juga berjaya mengesan rakan serumah mangsa yang melarikan diri selepas kejadian tersebut,” katanya.

    Dalam pada itu tambah beliau, bedah siasat mendapati kematian mangsa disebabkan kecederaan parah di kepala dan badan akibat jatuh dari tempat tinggi selain mangsa turut didapati positif Covid-19.

    “Bagaimanapun, laporan bedah siasat tidak menjumpai sebarang tanda-tanda pergelutan, namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

  • Penuntut USM maut dipercayai jatuh tingkat 8 asrama kediaman

    Penuntut USM maut dipercayai jatuh tingkat 8 asrama kediaman

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG penuntut Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dijumpai maut dipercayai terjatuh dari tingkat lapan asrama penginapan Desa Siswa Tekun, Bayan Baru malam tadi.

    Mangsa yang dikenali Lukman Hakim Mat Rani, 22, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri di pekarangan bangunan berkenaan oleh orang awam.

    Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi media mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian melibatkan seorang penuntut di universiti berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

    Jelas beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi menunggu proses bedah siasat dijalankan termasuk ujian saringan Covid-19.

    “Polis juga mengenal pasti rakan sebilik si mati dan akan memanggil mereka untuk memberi keterangan mengenai kejadian itu,” katanya.

    Tambah beliau, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dijalankan dan polis mengklasifikasikan kematian penuntut berkenaan sebagai mati mengejut (SDR) buat masa ini.

  • Dipenjara 15 tahun, 8 sebatan cedera isteri dan keluarga mentua

    Dipenjara 15 tahun, 8 sebatan cedera isteri dan keluarga mentua

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG suami dipenjara 15 tahun dan lapan sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, hari ini atas kesalahan mencederakan ahli keluarganya dengan sebilah parang panjang, dua minggu lalu.

    Hadi Hashim, 38, yang bekerja sebagai pemandu lori membuat pengakuan itu bagi empat pertuduhan yang dihadapinya ketika dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norsiah Ujang.

    Dia didakwa menyebabkan cedera parah ke atas ibu mentuanya, Puasa Yasik, 57, menggunakan sebilah parang panjang di Jalan Siakap 5, Kampung Sedili Kecil, kira-kira pukul 8.22 malam, pertengahan bulan ini.

    Tertuduh juga didakwa melakukan perbuatan sama ke atas isterinya, Norwahida Rosli, 33, dan dua adik iparnya iaitu Norwadiha Rosli, 32, serta Mohamad Amirul Iskandar Kamaruzaman, 16, di lokasi dan waktu yang sama.

    Hadi didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat bagi Seksyen 326.

    Sementara bagi Seksyen 326A, dia boleh dihukum penjara bagi satu tempoh sehingga dua kali ganda tempoh maksimum yang mana boleh dipenjara maksimum 40 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YGBK), Nur Shuhadah Mahzan.

    Dalam rayuannya, Nur Shuhadah memohon hukuman tertuduh diringankan kerana lelaki itu mempunyai keluarga dan tanggungan dua anak berusia lima tahun dan tiga bulan serta hanya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,300 sebulan.

    Hujahnya, punca kejadian itu akibat selisih faham kerana wang bernilai RM4,000 di mana ketika kejadian, tertuduh baru pulang bekerja dan telah diasak berkenaan duit tersebut oleh ibu mentuanya.

    Disebabkan keadaan diri tertuduh yang penat menyebabkan dia hilang pertimbangan ketika itu, namun telah ke balai polis untuk menyerah diri tidak lama kemudian selain insaf dan sedar serta tidak akan mengulangi perbuatan sama.

    Namun, Muhammad Irsyad memohon mahkamah mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh dan tertuduh tidak wajar dikenakan hukuman minimum ekoran kesalahan serius dilakukan kerana perbuatan tidak wajar sehingga menyebabkan cedera parah ke atas semua mangsa yang kini masih trauma.

    Norsiah kemudian memerintahkan tertuduh menghadapi hukuman 15 tahun penjara dan dua sebatan atas setiap pertuduhannya yang berjalan serentak daripada tarikh tertuduh ditahan.

  • Tiada kompromi kes jenayah babit atlet, jurulatih:Ahmad Faizal

    Tiada kompromi kes jenayah babit atlet, jurulatih:Ahmad Faizal

    KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) tidak akan bertolak ansur sekiranya atlet atau jurulatih terlibat dengan sebarang tindakan menyalahi undang-undang.

    Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan, KBS akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sebarang tindakan yang bertentangan dengan undang-undang di negara ini.

    “Tindakan tegas perlu diambil kepada mana-mana pihak yang didapati bersalah melakukan jenayah.

    “Kita tidak berkompromi langsung dengan apa-apa tindakan yang menyalahi undang-undang negara malah kita kecam dan kita nak semua rakyat terutama golongan belia, atlet serta mereka yang ada kedudukan yang sepatutnya menjadi contoh kepada rakyat untuk tidak melakukan apa sahaja perkara yang menyalahi undang-undang negara.

    “Undang-undang negara kita gubal untuk kepentingan semua dan negara. Kita tidak mahu sikap tamak, sikap apa jugalah sanggup menyalahi undang-undang untuk memenuhi nafsu masing-masing,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) di Masjid Abu Bakar As-Siddiq di Pusat Latihan PGA, Ulu Kinta, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau mengulas laporan seorang jurulatih renang bersama empat individu yang ditangkap polis dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah pada Jumaat dan Sabtu lalu.

    Ditanya mengenai nasib jurulatih berkenaan, Ahmad Faizal berkata, pihak persatuan bertanggungjawab untuk mengambil tindakan terhadap individu tersebut jika didapati bersalah.

    “Kalau seseorang pemegang jawatan itu telah didapati bersalah apabila didakwa di mahkamah dan sebagainya, tentunya persatuan terbabit akan mengambil tindakan.

    “Persatuan mungkin akan menggantung, memberhentikan atau memecat mereka daripada terus memegang jawatan di dalam tugasan sebelum itu,” katanya.

    Hari ini, polis menahan empat lelaki termasuk seorang jurulatih renang dipercayai pengedar dadah dan merampas 287 kilogram syabu dianggarkan bernilai RM10.3 juta dalam empat serbuan berasingan di Selangor, Johor pada Jumaat dan Sabtu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua suspek berusia 25 hingga 29 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Johor dan JSJN Selangor.

  • Lari dari depot tahanan:Lapan lagi berjaya ditahan semula

    Lari dari depot tahanan:Lapan lagi berjaya ditahan semula

    SERAMAI lapan lagi tahanan pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Sementara Relau, Bandar Baharu, Rabu lalu berjaya ditahan semula hari ini.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, kini tinggal 61 lagi tahanan yang masih diburu polis.

    Beliau memberitahu, Jumlah tahanan yang masih belum dijumpai itu makin berkurang berbanding 69 orang pada pukul 6 pagi tadi.

    “Jumlah tahanan belum ditemui melibatkan 51 lelaki, enam perempuan, seorang kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.

    “Bagaimanapun, seramai 467 tahanan daripada keseluruhan 528 tahanan yang meloloskan diri dari depot tahanan itu telah ditemui,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar harian.

    Tambah beliau, seramai lapan tahanan iaitu lapan lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan yang ditempatkan di depot berkenaan ketika ini.

    Sebelum ini, media melaporkan polis giat memburu baki 69 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Rabu lalu.

    Pada Rabu lalu, seramai kira-kira 700 tahanan dari Depot Imigresen Sementara Relau melarikan diri dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi.

    Daripada jumlah itu, enam tahanan yang cuba melintas di Kilometer 165 Lebuhraya Utara- Selatan maut dilanggar kenderaan dalam kejadian lebih kurang 6.50 pagi.

    Mangsa maut terdiri daripada masing-masing dua lelaki dan wanita dewasa, manakala masing-masing seorang kanak-kanak perempuan dan lelaki.

  • Mekanik edar dadah terlepas hukuman gantung

    Mekanik edar dadah terlepas hukuman gantung

    MAHKAMAH Tinggi Kota Bharu hari ini melepaskan seorang mekanik terlepas daripada hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar 58.33 gram (g) dadah jenis metamphetamine, dua tahun lalu.

    Sinar Harian melaporkan, Zambri Ahmad, 38, bagaimanapun dihukum penjara tujuh tahun dan 10 sebatan rotan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan kerana memiliki dadah berkenaan.

    Hukuman terhadap tertuduh diputuskan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya Kota Bharu, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas.

    Menurut pertuduhan pilihan itu, Zambri didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 58.33 gram di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Air Chanal, Tanah Merah pada 25 Julai 2020.

    Pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Pada pertuduhan asal, tertuduh didakwa mengedar dadah berkenaan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

    Pihak Pendakwaan diwakili Pendakwa Raya, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam bela, Nik Saiful Adli Burhan dan Muhammad Hasif Hasan.

    Mohamad Abazafree dalam alasan penghakiman berkata, mahkamah mengambil kira sokongan keluarga terhadap tertuduh yang mana isterinya sentiasa hadir memberi sokongan di mahkamah.

    “Mahkamah juga mengambil kira pengakuan bersalah oleh tertuduh sebaik sahaja pertuduhan dibacakan.

    “Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan rotan berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Julai 2020,” katanya.

    Sebelum itu, peguam bela merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadap anak guam mereka kerana tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

    “Mohon mahkamah mengambil kira tertuduh yang diumpamakan ‘terhukum’ apabila tidak dapat menguruskan kematian bapanya hampir dua tahun lalu kerana ketika itu dia berada dalam tahanan reman,” katanya.

  • Warga emas antara 33 individu ditahan judi lumba kuda

    Warga emas antara 33 individu ditahan judi lumba kuda

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 33 individu termasuk seorang wanita yang terlibat dalam kegiatan judi lumba kuda ditahan polis menerusi serbuan di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di Johor Bahru semalam.

    Sebanyak 37 buah telefon bimbit, enam kertas catit taruh, 19 keping surat khabar bertulisan Cina mengandungi jadual perlumbaan kuda dan wang tunai sebanyak RM29,981 dirampas.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 36 hingga 76 tahun itu ditangkap dalam Op Dadu pada pukul 3.15 petang.

    “Sepasukan polis dari bahagian D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara telah membuat serbuan di Taman Ungku Tun Aminah.

    “Dalam serbuan itu, polis telah menahan seramai 32 lelaki dan seorang wanita tempatan yang berusia 36 hingga 76 tahun dalam Op Dadu yang diadakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Shahurinain berkata, kesemua yang ditangkap disiasat di bawah Seksyen 6(1) dan 6(3) Akta Pertaruhan 1953.

    Semua suspek berusia lingkungan 36 hingga 76 tahun itu ditangkap dalam Op Dadu pada pukul 3.15 petang.

    “Bagi kesalahan di bawah Seksyen 6(1) boleh dihukum dengan denda tidak kurang RM5,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali manakala bagi Seksyen 6(3) boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM200,000 dan juga akan dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun jika disabitkan kesalahan.

    “Polis Johor akan sentiasa melakukan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis-premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian bagi mengekang dan membanteras kegiatan ini daripada berleluasa,” katanya.

    Tambahnya, orang awam mempunyai maklumat yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan perjudian, boleh menghubungi bilik gerakan Kontinjen Johor di talian 07-2254074.

  • KPM teliti tindakan guru siar TikTok ‘live’ dari dalam kelas

    KPM teliti tindakan guru siar TikTok ‘live’ dari dalam kelas

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) sedang meneliti tindakan sewajarnya yang perlu ke atas mana-mana guru yang memuat naik rakaman sesi pembelajaran sebagai kandungan dalam laman sosial termasuk TikTok.

    Menterinya, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, ini kerana tindakan itu mungkin boleh mendatangkan kesan negatif terhadap pelajar.

    Jelasnya, kadang-kadang cara tersebut mungkin menyebabkan murid malu untuk menjawab soalan kerana diperhatikan secara dalam talian dari seluruh pelosok dunia.

    “Perkara ini kita sedang perincikan… tentang apakah pendekatan yang paling sesuai dan kita sudah maklumkan kepada guru-guru supaya elakkan berbuat demikian.

    “Risiko kesan yang perlu didepani oleh pelajar juga adalah besar kerana isi kandungan video yang dimuat naik itu akan kekal selamanya,” katanya ketika hadir pada Majlis Pelancaran Generasi Penamat Anti Rokok 18 (GEGAR-18), di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Seri Putra, di Bangi, hari ini, lapor Astro Awani.

    KPM juga katanya, akan mengeluarkan makluman perincian kepada semua guru-guru secara rasmi tentang garis panduan isu tersebut.

    Sementara itu, menyentuh mengenai isu membabitkan tindakan guru-guru yang lebih cenderung memilih untuk bersara lebih awal, Radzi menjelaskan bahawa KPM juga sedang melakukan penelitian terperinci sebelum membuat sebarang tindakan.

    Katanya lagi, data semasa menunjukkan bahawa trend bersara awal dalam kalangan guru-guru di negara ini sejak 2017 sehingga sekarang adalah hampir sama.

    “Cuma kita sedang perincikan lebih sedikit untuk mengkaji apakah punca-punca trend tersebut. Insya-Allah dalam masa terdekat kita akan beri penjelasan yang lebih mendalam.

    “Jadi ada orang kata ia disebabkan bermula pada waktu Covid-19, ia tidak semestinya betuk kerana trend itu bermula lebih awal sebelum berlakunya Pandemik Covid-19,” Jelasnya lagi.

    KPM katanya, akan mencari jalan penyelesaian paling sesuai terhadap isu tersebut selepas berpuas hati dengan segala perincian yang diperolehi sedikit masa lagi.

  • Enam lelaki tempatan jadi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja

    Enam lelaki tempatan jadi mangsa sindiket penipuan kerja di Kemboja

    HASRAT enam lelaki untuk mendapat gaji lumayan bekerja di Kemboja bertukar tragedi apabila dipaksa melakukan aktiviti penipuan melalui telefon sebaik tiba di negara itu.

    Polis menerima laporan daripada ahli keluarga mangsa berusia 19 hingga 36 tahun itu pada 20 dan 22 April lalu yang mendakwa mereka menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan.

    Susulan itu kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd. Azman Ahmad Sapri, kertas siasatan kini dibuka dan usaha sedang dijalankan untuk mengesan enam mangsa berasal dari Padawan itu di Kemboja.

    “Siasatan awal mendapati semua mangsa ditawarkan peluang pekerjaan di Kemboja oleh ejen pekerjaan, bagaimanapun selepas tiba berada di negara itu mereka sedar diperdaya selepas dipaksa melakukan kerja di pusat panggilan yang melakukan penipuan menerusi telefon

    “Berikutan itu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Sarawak membuka dua kertas siasatan berhubung kes berkenaan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Kuching, hari ini, lapor Harian Metro.

    Mohd. Azman berkata, Bahagian Urus Setia/Perundangan JSJK Bukit Aman akan mengambil tindakan menerusi Interpol untuk mengesan mangsa di Kemboja, sekali gus menjalankan tangkapan terhadap ejen terbabit.

    Menurutnya, trend kes penipuan terbabit kian meningkat mengikut kajian berbanding tahun sebelumnya kerana keadaan amat memerlukan duit untuk meneruskan hidup.

    “Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu, sebanyak 666 kes dilaporkan berbanding tempoh sama pada 2021 iaitu 640 kes di mana ia meningkat sebanyak 26 kes atau 27.45 peratus,” katanya.

  • RM18,000 lesap gara-gara iklan My Maid, termasuk duit KWSP

    RM18,000 lesap gara-gara iklan My Maid, termasuk duit KWSP

    NIAT seorang lelaki untuk mendapatkan servis membersihkan rumah menjadi pengalaman ngeri, apabila ditipu sindiket penipuan sehingga hampir seluruh simpanan di dalam bank miliknya lesap.

    Muhammad Nor Izzudin Hamzah, 32, langsung tidak menyangka dia sendiri akan menjadi mangsa penipuan meskipun sentiasa berwaspada setiap kali membuat transaksi.

    Katanya, segalanya bermula apabila dia tertarik dengan satu iklan berbayar mengenai servis untuk membersihkan rumah dalam Facebook, dan terus menekan pautan ke aplikasi WhatsApp yang disediakan untuk bertanya mengenai servis berkenaan pada Jumaat lalu.

    “Setelah kami berbincang, orang yang dihubungi itu meminta saya memuat turun aplikasi yang disediakan atas nama My Maid. Ketika itu, saya tidak syak apa-apa kerana saya fikir kalau ditipu pun, mungkin hanya akan rugi RM20 sahaja untuk deposit servis itu.

    “Apabila cuba melakukan transaksi, aplikasi berkenaan meminta saya memasukkan kata laluan Maybank2U saya. Namun laman itu agak pelik daripada Maybank2U yang biasa. Cuma ketika itu saya tidak sedar. Apabila saya mengisi kata laluan, transaksi itu gagal,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

    Izzudin turut berkongsi pengalaman di akaun Facebook miliknya.

    Bagaimanapun, perunding Takaful itu mencuba lagi untuk membuat transaksi, namun gagal sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada individu yang dihubungi menerusi WhatsApp. Mereka bersetuju untuk membuat pembayaran secara tunai selepas mendapatkan servis tersebut.

    “Kira-kira dua jam sekitar jam 4.25 petang, saya mendapat satu notifikasi yang mengatakan saya membuat transaksi. Kebiasaannya kalau kita membuat transaksi dalam jumlah yang besar, sepatutnya kita perlu memasukkan kod transaksi TAC. Tetapi kali ini, tiada permohonan dapatkan TAC.

    “Saya menyangka ada hutang atau sebagainya, tetapi bila tengok kepada nama di notifikasi itu, saya kenal pun tidak. Saya bingung dan syak sesuatu tidak kena dan terus hubungi Maybank untuk menyekat semua transaksi,” ujarnya.

    Namun, dalam beberapa minit Izzudin mendapat dua lagi notifikasi mengesahkan dia melakukan transaksi lain sebelum menyedari hampir seluruh duit simpanannya dalam akaun bank itu lesap, dengan anggaran kerugian sebanyak RM18,000.

    Izzudin membuat laporan polis, dan masih berurusan dengan pihak bank bagi mendapatkan kenyataan butiran lengkap transaksi berkenaan.

    “Hampir semua duit saya hilang termasuk duit KWSP yang baru sahaja masuk dua hari sebelum itu, serta komisyen bulanan saya. Yang tinggal hanya RM20 sahaja,” luahnya lagi.

    Kecewa dengan kejadian itu, Izzudin mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati sebelum membuat sebarang transaksi, namun Izzudin lebih berharap agar bank meningkatkan kempen kesedaran mengenai modus operandi sindiket penipuan.

    “Sistem bank sudah cukup bagus, namun tidak semua pelanggan celik teknologi dan peka dengan situasi semasa dan kadang-kadang kita terlepas pandang. Jadi kesedaran perlu dirancakkan lagi.

    “Seperti contoh, kes seperti saya ini, ada bank yang buat video kesedaran namun hanya dimuat naik di laman YouTube mereka sahaja. Kalaulah mereka iklankan video tersebut di media sosial, sekurangnya boleh capai lebih ramai pengguna.

    “Penipu atau scammer ini bijak dengan modus operandi mereka, namun bank perlu satu langkah lebih kehadapan dalam menyalurkan maklumat kepada pelanggan dalam memastikan keselamatan dan peringatan kepada pelanggan,” katanya.