Author: Admin

  • Kerjasama PN-BN tidak akan berlaku lagi- Hadi

    Kerjasama PN-BN tidak akan berlaku lagi- Hadi

    TIMBALAN Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Si Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa kerjasama dengan BN tidak akan berlaku sama sekali.

    Beliau yang juga adalah presiden PAS berkata, PN akan berusaha untuk mendapatkan majoriti kerusi di Parlimen pada hari penentuan esok.

    “Dasar kita, kita tidak akan bersama dengan parti yang agresif, yang ekstrem seperti Pakatan Harapan dan parti yang tidak bersih daripada rasuah.

    “Kita tidak buat rasuah dan kita tidak akan ikut (perbuatan itu),” katanya yang dipetik Bernama.

    Dia sebelum itu menghadiri program Jelajah PN Best Grand Finale PRU15 di Padang Astaka dekat Chukai malam tadi.

    Media sebelum ini memetik Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyatakan kemungkinan PN membentuk kerajaan persekutuan dengan BN jika gagal memenangi kerusi mencukupi pada 19 Nov ini.

    Katanya, dia yakin PN dapat membentuk kerajaan persekutuan sama ada secara sendirian atau gabungan dengan pihak lain termasuk BN.

    Susulan kenyataan itu Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menyanggahnya dan berkata beliau tidak pernah memberi mandat kepada Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, untuk bertindak sedemikian.

    Hadi kemudiannya dilaporkan berkata PAS rela menjadi pembangkang jika PN gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU15 ini.

    Pada ceramahnya, malam tadi, Hadi juga mengingatkan saf kepimpinan parti supaya tidak terlibat dengan sebarang provokasi.

    Sebaliknya, dia menasihatkan mereka supaya mengambil pendekatan damai dalam menyampaikan mesej selaras dengan dasar ‘menerang dan bukannya menyerang.’

    Katanya jika terdapat pemimpin yang dilihat agresif dan bertentangan dengan dasar tersebut, mereka akan disekat daripada menyampaikan sebarang mesej seperti ceramah dan akan dipantau.

    “Itulah konsep dan prinsip yang kita bawa. Mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan ‘menyerang,’ kita ‘gam.’ Hentikannya daripada berceramah.

    “Tindakan itu ada, kita tidak mahu (perkara sedemikian) kerana PAS adalah parti demokratik dan aman sejak dahulu lagi.

    “Kita hentikan dia berceramah termasuk menulis (di media sosial),” katanya.

  • Negara lebih stabil jika Pas tadbir, kata Nik Abduh

    Negara lebih stabil jika Pas tadbir, kata Nik Abduh

    PENTADBIRAN negara akan menjadi lebih stabil sekiranya Pas menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rekod bersih dan bebas rasuah membuktikan parti itu mampu mentadbir dengan baik sebagaimana yang ditunjukkan semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan di bawah Perikatan Nasional (PN).

    “Kebanyakan kes rasuah yang dilemparkan kepada Pas bersifat tohmahan semata-mata.

    “Tohmahan itu gagal dibuktikan secara jelas menerusi pendakwaan di mahkamah,” katanya semasa berceramah di Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera, di Pasir Tumboh, Kota Bharu, malam tadi.

    Menurut beliau, perkara tersebut turut dibuktikan oleh Pas selama 32 tahun mentadbir Kelantan.

    Katanya lagi, rekod bersih itu meletakkan Pas menjadi parti bersih dan bebas dari rasuah.

    “Bagaimanapun Barisan Nasional (BN), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan DAP yang merupakan parti besar di negera ini terpalit dengan isu rasuah sehingga ada pendakwaan di mahkamah,” katanya lapor Sinar Harian.

    Ujar beliau, komponen PN iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) bebas daripada kes rasuah.

    “Jika rakyat Malaysia memilih PN pada PRU15 Sabtu ini, komponen itu mampu mentadbir negara dengan lebih baik,” katanya.

  • Kembali contohi akhlak, sirah nabi untuk kehidupan sejahtera:Muhyiddin

    Kembali contohi akhlak, sirah nabi untuk kehidupan sejahtera:Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    UMAT Islam disaran kembali mencontohi peribadi dan akhlak serta menghayati sirah Nabi Muhammad SAW sebagai panduan mengharungi kehidupan dunia yang semakin mencabar ketika ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini akan menjadikan kehidupan umat Islam lebih sejahtera, bahagia dan tenang.

    “Hari ini banyak masalah dan cabaran umat Islam di negeri kita, bukan sahaja berdepan soal pembangunan insaniah tetapi juga dalam bidang-bidang lain.

    “Apa yang penting untuk kita kembali semula kepada sirah dan perjalanan yang ditunjukkan Rasullullah SAW supaya hidup kita lebih aman, sejahtera dalam keadaan perpaduan yang ditekankan Islam.

    “Ini bagi menentukan umat Islam di negara kita dan juga di seluruh dunia berada dalam satu saf yang kuat dan kukuh, jadi contoh dan teladan kepada bangsa lain di dunia,” katanya.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata demikian ketika berucap dalam Program Pagoh Selawat Malam Cinta Rasul di Kompleks Sukan Pagoh, pekan Pagoh, Muar, malam ini.

    Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal yang juga bekas Menteri Besar Johor.

    Muhyiddin berkata, umat Islam pada masa ini amat dituntut untuk menitikberatkan soal pembentukan akhlak dan budi pekerti.

    Jelasnya, pendidikan di sekolah dan pembangunan akhlak serta sahsiah oleh keluarga terutama ibu bapa akan menjamin masa depan umat Islam yang lebih selamat.

    Sementara itu, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengingatkan mereka yang sudah boleh mengundi supaya menunaikan tanggungjawab tersebut pada Sabtu ini.

    Katanya yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh, pilihan raya umum (PRU) akan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

  • Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    Warga emas tak mengaku rogol, amang seksual fizikal terhadap 2 cucu tiri

    WARGA emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua cucu tirinya.

    Tertuduh yang berusia 67 tahun dan bekerja sebagai kontraktor membuat pengakuan itu selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

    Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia tujuh tahun 11 bulan di sebuah rumah di daerah ini antara jam 2 petang hingga 7 malam pada Oktober lalu.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan disebat tidak kurang 10 sebatan.

    Berita Harian melaporkan, tertuduh turut berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

    Tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dan adik perempuannya yang berusia enam tahun lima bulan di lokasi, waktu dan tarikh sama.

    Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Tiada sebarang jaminan ditawarkan terhadap tertuduh.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala diwakili tertuduh tidak diwakili peguam.

  • PH sempitkan matlamat PRU untuk Anwar sebagai PM

    PH sempitkan matlamat PRU untuk Anwar sebagai PM

    SETELAH sekian lama, akhirnya muncul juga agenda sebenar di poster calon Pakatan Harapan (PH), menyertai pilihan raya semata-mata untuk kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Agenda sempit berkepentingan individu, bukan untuk rakyat.

    Jika agenda reformasi dahulu dilihat serampang dua mata, tidak ‘lurus ke depan’ tetapi hari ini nampaknya semakin keluar cerita sebenar. Hanya bermatlamatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

    Soalnya betulkah hanya Anwar Ibrahim sahaja layak sebagai Perdana Menteri?

    Atas indikator apa keyakinan ini diterjemahkan sehingga diletakkan sebagai tawaran utama dalam poster calon?

    Namun jika dilihat lebih teliti, tidak semua poster calon PH memasukkan tawaran ini. Apa lagi DAP langsung tidak bersuara walaupun menjadi majoriti dalam meletakkan calon dalam komponen PH.

    Saya percaya PN, BN dan Pejuang juga mempunyai perancangan menamakan Perdana Menteri mengetuai kerajaan yang bakal dibentuk tetapi tidaklah sampai menjadi gula-gula pilihan raya yang utama. Langsung tidak mendahulukan kebajikan rakyat.

    Jika sesempit itu perjuangan PH, sayugia saya tidak rasa kebersamaan mereka dalam cerita prihatin rakyat melibatkan ekonomi dan kestabilan negara akan menjadi perkara utama.

    Salam hormat.

    Mohamad Kamal Mohamed
    Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Kelantan

  • Pegawai bank mengaku salah lacurkan isteri

    Pegawai bank mengaku salah lacurkan isteri

    SEORANG pegawai bank mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memperdagangkan isterinya di sebuah hotel di Kuala Pilah bulan lalu.

    Tertuduh yang berusia 35 tahun itu membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

    Berdasarkan pertuduhan tertuduh pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah telah memperdagangkan isterinya berumur 35 tahun yang bukan merupakan seorang kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks.

    Dengan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

    Sinar Harian melaporkan, kesalahan itu membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Hsiao Tung manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah seterusnya menetapkan tiada jaminan diberikan terhadap tertuduh dan mengeluarkan perintah identiti mangsa tidak didedahkan di mana-mana media dan berita.

    Sementara itu, di kamar mahkamah berasingan, tertuduh mengaku salah di atas pertuduhan hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan isterinya sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

    Perbuatan itu dilakukan pada 30 Oktober lalu lebih kurang jam 1.30 petang di sebuah hotel di Kuala Pilah.

    Oleh demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh 15 tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Atiqah Abu Hassan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan 21 November ini sebagai tarikh untuk hukuman bagi kedua-dua pertuduhan.

  • BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BN tak akan menang mudah, hilang banyak kerusi, kata Bersatu

    BERSATU yakin Barisan Nasional (BN) tidak akan menang dengan mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) susulan populariti kerajaan ketika ini sangat rendah, ditambah sentimen terhadap pemimpin UMNO yang terkait kluster mahkamah.

    Ketua Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, berkata malah BN dijangka hilang banyak kerusi Parlimen dalam usaha gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan.

    “Saya cukup yakin, sebetulnya Perikatan Nasional (PN) lebih popular kerana ketelusannya, integritinya dan keupayaan mentadbir sewaktu negara dilanda Covid-19.

    “Masyarakat menilai. Sebetulnya PN tetap terbaik,” katanya dalam temubual eksklusif bersama FMT.

    Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah BN boleh menang selesa pada PRU-15 seperti dilakukan gabungan itu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Melaka.

    Sahruddin berkata, BN ketika ini juga berdepan pelbagai isu seperti kepimpinan dan pentadbiran dalam menghadapi PRU-15.

    Pada PRN Johor, BN meraih kemenangan selesa apabila memperoleh majoriti dua pertiga selepas menawan 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PN hanya menang tiga kerusi.

    Manakala, pada PRN Melaka BN menang 15 daripada 28 kerusi DUN dipertandingkan.

    Sahruddin yakin kerusi kubu kuat UMNO semasa PRU-14 akan berjaya dirampas PN berikutan sokongan Melayu semakin meningkat.

    Beliau mendakwa, kecenderungan pengundi Melayu memilih PN sangat tinggi berikutan jasa dan bantuan oleh pengerusi gabungan itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa menjadi perdana menteri.

    “Antaranya menghapuskan hutang peneroka Felda. Mereka lihat yang menyelamatkan dan membantu mereka adalah PN.

    “Apa lagi pengundi dan masyarakat Felda. Begitu juga masyarakat Melayu dengan kecenderungan mereka melihat Muhyiddin bersih, berintegriti, amanah dan jujur jika dibandingkan dengan pemimpin parti lain,” katanya.

    PRU15 dan PRN Johor berbeza

    Sementara itu, Sahruddin berkata PRU-15 dan PRN Johor adalah berbeza dan terdapat banyak faktor yang memenangkan BN sebelum ini.

    Katanya, antaranya adalah ramai jentera daripada parti BN turun ke Johor untuk menguatkan jentera masing-masing selain jumlah yang keluar mengundi tidak terlalu ramai.

    Bagaimanapun, beliau berkata di kedua-dua PRN iaitu Johor dan Melaka, Bersatu melihat terdapat peningkatan signifikan masyarakat untuk mengundi PN.

    “Harus diingat kedua-dua negeri ini bubar DUN sewaktu kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri Yaakob. Umno itu sendiri.

    “Sebetulnya Umno ini menyebabkan kerajaan negeri, pusat jadi tidak stabil dan sangat mengganggu pentadbiran kerajaan yang ada,” katanya.

    Bekas menteri besar Johor itu turut menyasarkan kerusi utama perlu dimenangi pada PRU-15 adalah Parlimen Muar, Pagoh, Mersing dan Batu Pahat.

    PAS bukan liabiliti

    Dalam perkembangan lain, Sahruddin berkata kehadiran PAS dalam PN bukan liabiliti kepada gabungan itu.

    Beliau berkata, PAS merupakan parti sederhana dan ini perlu diterangkan kepada masyarakat bukan Melayu.

    “PAS telah memerintah Kelantan 32 tahun dan saya dimaklumkan PAS paling kurang amalan rasuahnya. Sebetulnya mereka tidak faham, jadi tanggungjawab sebagai ahli parti adalah menerangkan kepada pengundi bukan Melayu untuk tidak takut dengan PAS,” katanya.

  • Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    Kecewa dengan Ketua Bahagian UMNO Balik Pulau, 100 ahli keluar parti, bubar cawangan

    KIRA-kira 100 ahli UMNO Cawangan Matahari Naik di sini mengumumkan keluar parti serta-merta, sekali gus membubarkan cawangan tersebut pada Ahad.

    Ketua cawangannya, Razali Ismail mendakwa Bahagian UMNO Balik Pulau yang dipimpin Datuk Shah Headan Ayoob Shah sudah lumpuh dan menjangkakan akan ada lagi cawangan yang akan mengikut jejak mereka sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

    Beliau menyatakan hilang kepercayaan terhadap Shah Headan yang juga Ketua Bahagian UMNO itu kerana tidak mengambil peduli kewujudan cawangan serta kebajikan ahli sejak setahun lalu.

    “Tiada sebarang keistimewaan kepada ahli atau aktiviti dilakukan di cawangan ini.

    “Malah sumbangan 300 telefon pintar yang diberikan pada setiap tahun kepada penduduk di sini adalah hasil sumbangan sesama ahli, UMNO tidak ambil peduli langsung,” katanya pada sidang media di sini pada Ahad.

    Mengulas lanjut Razali turut menyatakan kekecewaan dengan Shah Headan yang tidak mengunjunginya atau bertanya khabar tentang dirinya setelah terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dia hilang upaya kekal tangan kanan.

    “Ini adalah keputusan sebulat suara daripada semua ahli dan bukan keputusan peribadi saya,” tambahnya lagi lapor Astro AWANI.

    Dalam pada itu, Razali turut menyatakan beralih sokongan kepada calon bebas Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Sabaruddin Ahmad yang juga anak jati Balik Pulau.

    “Beliaulah (Sabaruddin) yang menolong saya dan ahli-ahli yang lain sejak berpuluh tahun,” ujarnya lagi.

    Shah Headan bakal berdepan dengan persaingan enam penjuru dengan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Pakatan Harapan), Datuk Seri Johnny c’Hng Ewe Gee (Bebas), Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid (Perikatan Nasional), Sabaruddin (Bebas) dan Ahmad Fazli Mohamad dari PEJUANG pada PRU-15 ini.

  • Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    Motosikal curi, nombor pendaftaran pula milik ketua pengarah

    TINDAKAN dua lelaki menunggang motosikal curi menggunakan nombor pendaftaran palsu gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan di sekatan jalan raya di Jalan Titiwangsa Off Jalan Pahang di sini pada Ahad.

    Lebih malang apabila nombor pendaftaran palsu digunakan untuk mengaburi mata pihak berkuasa itu merupakan milik seorang ketua pengarah salah satu badan penguat kuasa.

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur dalam satu hantaran Facebook memaklumkan, kedua-dua suspek terbabit ditahan dalam Op Motosikal Pelbagai Kesalahan sekitar jam 11.30 pagi.

    “Telah tahan dua lelaki tempatan yang menunggang dan membonceng motosikal jenis Honda C-100 berwarna hitam dalam keadaan mencurigakan.

    “Motosikal tersebut juga masih dilaporkan hilang bersangkut repot di Balai Polis Chow Kit pada 17 Ogos 2022,” menurut hantaran terbabit pada Ahad.

    JSPT Kuala Lumpur memaklumkan, kedua-dua suspek yang berusia 46 dan 39 tahun terbabit ditahan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan motosikal berkenaan telah disita lapor Sinar Harian.

  • Media sosial Pas sinonim dengan pengundi muda-Hadi Awang

    Media sosial Pas sinonim dengan pengundi muda-Hadi Awang

    PENDEKATAN secara lebih santai melalui media sosial yang dibawakan Pas terhadap golongan muda membolehkan parti itu lebih popular dan sinonim dalam kalangan pengundi baharu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, peranan media sosial amat penting terutama melibatkan pendedahan terhadap aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan anak muda.

    “Anak muda perlu dibahagikan sama ada dalam bandar, pinggir bandar dan luar bandar serta yang mempunyai pendidikan serta kurang pendidikan.

    “Golongan-golongan ini perlu didekati secara berhemah menggunakan medium media sosial,” katanya selepas penamaan calon di Marang, semalam, lapor Sinar Harian

    Abdul Hadi berkata, antara agenda besar yang dibawakan Pas kali ini ialah kefahaman terhadap perpaduan ummah.

    Katanya, Pas berusaha untuk menyatukan orang Islam, orang Melayu sama ada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan dalam masa yang sama penyertaan beberapa kaum lain yang tidak ekstrem.

    “Kita juga akan sama-sama berkempen dan bertanding secara bersopan dan beradab sepanjang tempoh pilihan raya ini,” jelasnya.