KEGIATAN satu sindiket menjadikan sebuah rumah di Kepong Baru, Kuala Lumpur sebagai tempat menyimpan rokok seludup terbongkar apabila diserbu pukul 11 pagi semalam.
Menerusi serbuan itu Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas 8,207 karton rokok pelbagai jenama disyaki tanpa cukai.
Komander Briged Tengah PGA, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Jonit berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 55 tahun.
“Kita merampas sebanyak 8,207 karton rokok pelbagai jenama, sebuah telefon bimbit dan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang disyaki digunakan dalam menjalankan aktiviti pengedaran rokok tidak bercukai.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,022,632.20,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Zulkifli berkata, sindiket pengedaran rokok tidak bercukai itu menyewa kediaman untuk dijadikan sebagai stor penyimpanan rokok.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.
PENGERUSI Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan memaklumkan, terdapat dua laporan diterima berhubung kes doktor pelatih (HO) dibuli di dua buah hospital di Negeri Sembilan.
“Kedua-dua kes tersebut dilaporkan berlaku pada Mac dan April lalu. Seorang HO memberitahu telah terima layanan tidak sepatutnya daripada doktor pakar yang melatihnya sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil cuti kerana alami tekanan emosi.
“Seorang lagi HO mendakwa doktor mentornya memberi penilaian tidak adil terhadap kerjanya yang dipercayai disebabkan ada isu komunikasi dan masalah peribadi antara mereka,” kata Veerapan memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan telah diminta melakukan siasatan lanjut dan jika benar wujud elemen buli terhadap kedua-dua HO terbabit tindakan boleh diambil.
Beliau tidak menolak kemungkinan ada lagi kes terbabit yang tidak dilaporkan.
“Sehubungan itu mana-mana doktor pelatih yang merasakan mereka menjadi mangsa buli diminta membuat aduan kepada pihak sepatutnya supaya siasatan lanjut boleh dilakukan.
“Tidak sepatutnya budaya buli wujud dalam bidang perubatan kita dan mengajar atau melatih bukan lesen untuk membuli, mereka sepatutnya bersikap lebih profesional,” katanya.
Sehubungan itu beliau mencadangkan satu badan bebas diwujudkan di setiap hospital khusus bagi membuat penilaian terhadap HO sekali gus dapat mengelakkan konflik.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia akan menubuhkan sebuah pasukan bertindak bebas bagi menyiasat kematian seorang doktor pelatih yang bertugas di Hospital Pulau Pinang (HPP) bulan lalu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, pasukan berkenaan juga akan menyiasat dakwaan berlakunya budaya buli terhadap doktor pelatih yang berlaku di dalam hospital.
ANAK kepada bekas diktator Filipina, Ferdinand Marcos Sr mendapat kemenangan menakjubkan dalam Pilihan Raya Presiden Filipina pada Isnin lalu.
Bekas Gabenor Ilocos Norte, Ferdinand Marcos Jr mendapat majoriti kukuh sejak revolusi yang berlaku pada tahun 1986.
Menurut Sinar Harian yang memetik laporan Agensi, revolusi yang menyaksikan kebangkitan rakyat itu telah menyebabkan mendiang bapanya melarikan diri ke Hawaii, Amerika Syarikat (AS).
Menurut Reuters, satu pengiraan tidak rasmi menunjukkan Marcos Jr, 64 yang lebih dikenali sebagai Bongbong, telah melepasi 27.5 juta undi yang diperlukan untuk mendapatkan majoriti.
Kemenangan itu menyebabkan kembalinya pemerintahan keluarga Marcos memimpin Filipina selepas Marcos hidup dalam buangan di Hawaii.
Beliau akan menggantikan Rudrigo Duterte sebagai Presiden Filipina pada Jun depan untuk memerintah selama enam tahun.
Duterte tidak bertanding pada pilihan raya itu kerana undang-undang negara tersebut menetapkan Presiden bertanding untuk satu penggal sahaja.
SEBANYAK 80,000 akaun pengguna Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) di Kedah mengalami masalah gangguan bekalan air berikutan insiden runtuhan ban kanan Terusan Tengah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Pokok Sena, semalam.
SADA menerusi satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu memaksa pihaknya menghentikan tugas empat loji rawatan air (LRA) di kawasan berhampiran iaitu LRA Bukit Pinang, Pokok Sena, Jenun Lama dan Jenun Baru.
Katanya, gangguan bekalan itu bermula kira-kira pukul 4.15 petang semalam.
“Henti tugas empat LRA ini akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan anggaran 80,000 akaun merangkumi empat daerah tersebut.
“MADA kini sedang giat mengambil langkah proakti bagi mengatasi isu ini dengan segera,” katanya.
Tambah kenyataan itu lagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat telah diaktifkan serta merta dengan pengguna boleh menyalurkan aduan atau pertanyaan menerusi talian 04-7408976 selain selain platform sedia ada iaitu pusat informasi SADA (SIC) di talian ‘hotline’ 1300 88 0017.
“SADA memahami kesukaran dihadapi pengguna akibat gangguan bekalan air itu dan memohon maaf atas kesulitan yang berlaku.
“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform digital rasmi Facebook SADA dan laman sesawang www.sada.com.my,” katanya.
KEADAAN pencemaran Sungai Skudai, Johor Bahru yang tular sejak beberapa hari lalu akibat kewujudan buih putih tidak menjejaskan kualiti air di Loji Rawatan Air (LRA) Sultan Ismail dan kini dilaporkan berada pada paras normal.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor segera melakukan pemantauan di sekitar kawasan sungai yang didakwa mengalami pencemaran itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya negeri, K. Raven Kumar berkata, siasatan sudah dilakukan susulan aduan pencemaran sungai berkenaan yang berbuih berwarna putih.
“Saya selaku Exco bertanggungjawab telah turun sendiri bersama pasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Johor untuk menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan yang dilakukan mendapati tiada lagi tompokan buih yang dikesan di lokasi berkenaan iaitu di kawasan Sungai Skudai berhampiran jambatan Taman Impian Emas, Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata, persampelan kualiti air sungai di LRA Sultan Ismail turut mendapati tahap kualiti air adalah normal dengan bacaan Oksigen Terlarut (DO) 4.95 dan pH adalah 7.
Sebelum ini, satu rakaman video yang memaparkan permukaan sungai berkenaan dipenuhi buih putih mulai tular dalam Facebook sejak semalam.
Raven Kumar meninjau keadaan sungai Skudai yang dicemari dengan tompok putih sebelum ini dan keadaan itu tular dalam media sosial
Sementara itu, Raven Kumar berkata, kerajaan negeri menerusi JAS Johor akan terus menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca pencemaran yang berlaku.
“Usaha itu melibatkan pemantauan terutamanya di premis-premis yang beroperasi di sepanjang Sungai Skudai yang dilihat berpotensi menyebabkan pencemaran sungai berbuih berlaku,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim berkata, pihak JAS sudah melakukan pemantauan dan anggota penguat kuasa jabatan itu berada di kawasan terbabit bagi mencari punca.
“Saya juga telah menyelusuri kawasan sungai berkenaan namun buih putih sudah tidak sebanyak seperti di dalam video yang tular,” katanya.
Timbalan Pengarah JAS Johor, Mohd. Rashdan Topa pula berkata, tahap alkali (ph) air sungai itu direkodkan pada bacaan 7 apabila sampelnya diuji.
SEBUAH keluarga di Sungai Petani tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran pada Hari Raya Aidilfitri pertama, pada pukul 2.30 petang Isnin lalu.
Mangsa, Nadratul Rahmi, 43, berkata, ketika kejadian, dia dan suami, Azizan Saad, 48, bersama-sama dua lagi anak, Puteri Izzatul Aina, 13 dan Muhammad Adam Haziq, 7, sedang beraya kampung dekat Guar Chempedak, Yan.
“Saya terkejut dapat panggilan rumah terbakar. Kami bergegas balik rumah selepas mengetahui kejadian itu.
“Bagaimanapun, disebabkan jarak perjalanan jauh, rumah yang kami sewa kira-kira tujuh tahun lalu itu hangus sekelip mata.
“Mujur semasa kejadian, anak sulung, Muhammad Nadzrul Fahmy, 17, sempat menyelamatkan diri setelah dibantu jiran yang lain,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.
Nadratul berkata, mereka lima beranak kini terpaksa menumpang berteduh di Dewan Belia Insan Sungai Pasir buat sementara waktu kerana masih belum dapat mencari rumah sewa baharu yang berpatutan.
Nadratul bersama suami dan tiga anak terpaksa menumpang di sebuah dewan kerana masih belum dapat mencari rumah sewa yang berpatutan.
“Kesemua perabot serta perkakasan rumah hangus tanpa sempat diselamatkan kerana api marak terlalu cepat.
“Sayu melihat keadaan rumah, masa tinggal berada dalam keadaan elok tetapi bila balik semula, semua dah tiada,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh membantu melalui RHB Bank bernombor 1-52028-0023572-0 atas nama Nadratul Rahmi
SEKUMPULAN lapan lelaki yang ditahan kerana mencetuskan ‘perang’ mercun pada malam Aidilfitri lalu dikenakan bon berkelakuan baik dan didenda RM300.
Memetik laporan Harian Metro, keputusan itu dibuat Majistret Mohd Firdaus Saleh di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, hari ini selepas semua tertuduh membuat pengakuan bersalah.
Enam lelaki berusia 19 hingga 23 tahun itu dikenakan bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah selepas kesemua mereka membuat pengakuan bersalah.
Sementara dua individu berusia 22 dan 33 tahun didenda RM300 selepas mengaku bersalah mengikut Peraturan 74, Peraturan-Peraturan Bahan Letupan 1923 kerana menjual mercun dan bunga api tanpa permit.
Media sebelum ini melaporkan tular rakaman video di media sosial memaparkan dua kumpulan lelaki bermain mercun seolah berperang dengan menghalakan mercun berkenaan ke arah satu sama lain.
Kejadian dipercayai berlaku di kawasan rumah kedai dekat Jalan BPS 3, Taman Bandar Prima Senawang, Seremban, pada malam raya pertama lalu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof dilaporkan berkata, susulan kejadian itu, pihaknya menahan 10 lelaki yang dipercayai terbabit di dalam video itu.
POLIS Pulau Pinang membuka kertas enkuiri polis (KEP) bagi menyiasat dakwaan anggota polis trafik negeri itu mengasari pengguna jalan raya di sekatan jalan raya (SJR) di Bukit Mertajam pagi semalam.
Tindakan itu diambil selepas kejadian tersebut yang turut tular di dalam media sosial disahkan berlaku kira-kira pukul 1.15 pagi semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, kertas siasatan kes itu apabila selesai kelak akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk mendapatkan arahan lanjut.
“Kita (PDRM Pulau Pinang) membuat satu laporan polis berhubung kejadian ini supaya siasatan lanjut dapat dilakukan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Awal hari ini, satu rakaman video yang memaparkan seorang lelaki dipukul oleh anggota polis trafik ketika SJR di Bukit Mertajam tular di laman sosial Facebook.
Rakaman insiden itu mendapat kecaman daripada pengguna media sosial yang mendakwa anggota polis berkenaan sengaja mengasari lelaki terbabit.
Dalam pada itu Mohd. Shuhaily berkata, polis juga akan mengenal pasti serta mendapatkan keterangan pemilik akaun Facebook ‘Penang My Hometown’ berhubung video yang tular tersebut.
Selain itu kata beliau, polis juga masih mengesan mangsa dalam kejadian tersebut yang sehingga kini belum membuat laporan.
Tambahnya, siasatan insiden itu akan dijalankan dengan adil dan telus bagi memberi keadilan kepada semua pihak.
“Kesemua pegawai dan anggota trafik yang terlibat dalam kejadian itu telah dilucutkan sementara daripada tugas hakiki dan ditempatkan di bahagian pentadbiran sehingga siasatan selesai,” katanya.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Maritim Kuala Perlis merampas 70 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM12,600 di kedudukan 3.1 batu nautika dari barat daya pantai Sungai Baru semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim Mat Zain berkata, rampasan itu dibuat hasil aduan orang awam melalui talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis berkaitan sindiket tempatan yang melakukan aktiviti menyeludup keluar daun ketum ke negara jiran.
“Susulan itu, pihak Maritim mengatur gerak aset laut serta pasukan operasi ke lokasi bagi melakukan pemantauan dan pengawasan di lokasi berkenaan lebih kurang 1.56 tengah hari semalam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, di lokasi tersebut anggota bot peronda menemukan empat bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum terapung di laut dengan anggaran berat lebih kurang 70kg dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.
Katanya, modus operandi yang digunakan oleh penyeludupan sama seperti tangkapan sebelum ini iaitu menggunakan bot fiber enjin sangkut menuju ke sempadan Thailand untuk dipindah ke bot nelayan Thailand di sempadan perairan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, aktiviti penyeludupan keluar daun ketum dilihat semakin aktif berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan RM70 sekilogram sahaja.
Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – Bernama