Author: Admin

  • Lelaki jatuh Sungai Semantan ditemui lemas hari ini

    Lelaki jatuh Sungai Semantan ditemui lemas hari ini

    SEORANG lelaki yang hilang selepas terjatuh dari Jambatan Songsang, Sungai Semantan, Temerloh Ahad lalu ditemui mati lemas hari ini.

    Mayat Mohamad Hanizam Md. Khalisb, 30, ditemui pukul 9 pagi tadi oleh orang awam berhampiran sebuah sangkar ikan.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat tersebut ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

    “Anggota bomba membantu membawa naik mayat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

    “Susulan penemuan mayat mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejak Ahad lalu ditamatkan kira-kira jam 9.30 pagi pada Selasa,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Ahad lalu, mangsa yang dipercayai mengalami masalah mental dilaporkan terjatuh dari Jambatan Songsang ke dalam Sungai Semantan berdasarkan penemuan motosikal dan selipar miliknya di tempat kejadian.

    Operasi SAR diaktifkan kira-kira pukul 11 pagi pada hari kejadian melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh dibantu Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) dari BBP Bukit Angin, Temerloh.

    Operasi pencarian turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam.

  • Tahanan dalam lokap meninggal dunia akibat Covid-19

    Tahanan dalam lokap meninggal dunia akibat Covid-19

    JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan punca kematian tahanan di lokap Balai Seri Alam, Johor Bahru, kelmarin adalah disebabkan radang paru-paru akibat dijangkiti Covid-19.

    Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad berkata, bedah siasat terhadap tahanan berkenaan sudah dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, semalam dan mendapati tiada sebarang kecederaan.

    “Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.

    Azri berkata, bagaimanapun pihaknya akan meneruskan siasatan daripada pelbagai sudut sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada koroner.

    Kelmarin, Azri dilaporkan berkata, lelaki tempatan berusia 48 tahun itu yang ditahan atas kesalahan dadah ditemui lemah dalam lokap berkenaan.

    “Pada pukul 8.35 pagi, tahanan itu berada dalam keadaan lemah dan pegawai bertugas menghubungi Klinik Kesihatan Masai, Johor.

    “Hasil pemeriksaan pegawai kesihatan mengesahkan tahanan itu meninggal dunia pada 9.35 pagi,” katanya.

  • 88.5 peratus doktor pelatih Pulau Pinang alami tekanan kerja

    88.5 peratus doktor pelatih Pulau Pinang alami tekanan kerja

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEBANYAK 88.5 peratus doktor pelatih di Pulau Pinang menilai tahap tekanan yang dialami mereka ketika bertugas pada skala tiga dan lima.

    Lebih mengejutkan, seperti yang didedahkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), kira-kira 15.4 peratus daripada mereka menilai tahap tekanan yang dialami pada skala maksimum iaitu lima.

    Menurut Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, pekerjaan profesional perubatan meletakkan seseorang dalam kedudukan unik yang mudah terdedah kepada tekanan.

    Ini kerana katanya, mereka berada di bawah tekanan yang berterusan dengan rasa tanggungjawab untuk menjaga nyawa orang lain.

    Sehubungan itu tambah Mohideen, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menjalankan kajian di seluruh negara memandangkan kes buli doktor pelatih dan doktor junior tidak terbatas kepada doktor di Pulau Pinang sahaja.

    “Kajian itu seharusnya termasuk profesional penjagaan kesihatan lain seperti jururawat kerana mereka juga berada dalam persekitaran kerja dan sistem yang sama.

    “Kajian di negara seperti seperti Finland, Norway, Australia, Singapura, dan China menunjukkan peningkatan dalam kebimbangan, kemurungan dan pemikiran ingin membunuh diri dalam kalangan pelajar perubatan dan profesional perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambah Mohideen, kes doktor pelatih yang dijumpai maut terjatuh dari bangunan di Pulau Pinang baru-baru ini sangat membimbangkan serta tidak boleh dibiarkan dan siasatan mengenainya harus dibuat secara menyeluruh.

    Disebabkan isu-isu yang melanda profesion berkenaan juga, pihaknya menggesa kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas yang diwakili doktor, jururawat dan masyarakat awam untuk menyiasat dakwaan layanan buruk terhadap doktor pelatih, beban kerja dan keadaan kerja mereka.

    “Jawatankuasa ini perlu menerbitkan laporan dengan cadangan untuk memperbaiki keadaan kerja mereka dan memulihkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang wajar,” katanya.

  • Jangan buat andaian mudah, pandang rendah gerakan politik negara

    Jangan buat andaian mudah, pandang rendah gerakan politik negara

    AHLI Majlis Pimpinan Tinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Faiz Naaman berpendapat penganalisis politik tidak sewajarnya memandang rendah dan membuat andaian mudah kepada mana-mana wadah politik di negara ini.

    Dia berkata sedemikian sebagai respons terhadap artikel diterbitkan Free Malaysia Today (FMT) yang beranggapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai benteng terakhir bagi Perikatan Nasional (PN).

    Hal ini kerana dia melihat analisis yang dikeluarkan pakar politik bukanlah fakta dan bukanlah sesuatu yang semestinya berlaku.

    Faiz juga percaya pengalaman lepas telah menunjukkan bahawa ramalan mengenai parti yang dilihat sebagai ‘underdog’ untuk tewas dalam sesebuah pilihan raya tidak melumpuhkan atau menamatkan perjuangan parti berkenaan meskipun tidak memperolehi kejayaan.

    “PKR adalah contoh parti yang pernah dan sentiasa diramal untuk ‘bungkus’ jika mereka kalah PRU, namun mereka tetap wujud hingga ke hari ini,” ulasnya lanjut, lapor Satu Berita hari ini.

    Beliau turut percaya sambutan dan populariti sesebuah parti tidak menjadi kayu ukur untuk melihat perjuangan dan semangat yang akan diteruskan.

    Dalam artikel yang dikeluarkan FMT hari ini, James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania percaya PRU 15 merupakan peluang terakhir bagi PN dalam landskap politik negara.

    Artikel itu turut menyebutkan bahawa penganalisis itu percaya PN mampu bertahan sehingga pilihan raya akan datang, namun prestasi yang kurang memberangsangkan akan menghancurkan gabungan itu.

  • Penganggur mengaku salah tampar, buli remaja OKU

    Penganggur mengaku salah tampar, buli remaja OKU

    SEORANG lelaki didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Taiping, hari ini selepas mengaku bersalah sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang remaja orang kurang upaya (OKU) lembam, Sabtu lalu.

    Majistret Nurfarah Syahidah Mohd Noh turut menetapkan hukuman penjara selama sebulan sekiranya Mohammad Hidayat Hamzah, 22, gagal membayar denda yang dikenakan, lapor Harian Metro.

    Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang tidak bekerja didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada mangsa yang berusia 13 tahun di sebuah lokasi di Taman Tasik Taiping, Taiping pada 2.15 pagi, 7 Mei lalu.

    Kesalahan itu dibaca mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Amalina Harun, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Ng Wei Jun.

    Tertuduh yang hadir ke mahkamah dengan ditemani bapanya dan kemudiannya membayar denda yang dikenakan.

    Terdahulu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisiober Osman Mamat dilaporkan berkata, suspek ditahan susulan video berdurasi satu minit dan dua saat itu tular di media sosial.

    Vidoe itu menunjukkan seorang lelaki menampar hingga mangsa terduduk selain dibuli sehingga menangis ketakutan sambil memegang basikal.

    Insiden itu dipercayai berlaku selepas suspek mahu meminjam basikal milik mangsa.

  • Pekerja restoran nasi kandar tumbuk pelanggan didenda RM1,500

    Pekerja restoran nasi kandar tumbuk pelanggan didenda RM1,500

    MAHKAMAH Majistret Bahau hari ini menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap seorang lelaki yang bertindak menumbuk seorang pelanggan di sebuah restoran nasi kandar di Bahau pada 5 Mei lalu.

    Tertuduh, Mohd. Isa Ramliee, 21, yang merupakan pekerja restoran, mengaku salah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Hidayat Wahab.

    Harian Metro melaporkan, jika gagal membayar denda itu, tertuduh boleh dikenakan penjara sembilan bulan.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 30 tahun sebuah restoran nasi kandar di Bahau, pada jam 1 pagi, 5 Mei lalu.

    Oleh yang demikian tertuduh dituduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Loqman Hakim Ahmad Khairie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Guru wanita pukul murid hingga lebam di lengan, bengkak pipi

    Guru wanita pukul murid hingga lebam di lengan, bengkak pipi

    SEORANG murid perempuan Tahun Lima lebam lengan kiri serta bengkak pipi selepas dipukul guru wanita ketika sesi pembelajaran dalam kelas di sebuah sekolah rendah, Kulim, semalam.

    Murid berkenaan dipukul kerana menghilangkan buku matematik sebelum kejadian itu ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 5 petang kerana tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.

    Harian Metro melaporkan, menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati ibu kanak-kanak itu mengetahui perkara berkenaan daripada nenek mangsa yang menghubungi dan memaklumkan kejadian menimpa murid terbabit.

    “Mendengarkan anaknya mengalami kecederaan akibat dipukul guru, ibu mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum mangsa dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Kulim.

    “Setakat ini, siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipukul gurunya kerana dia menghilangkan buku matematik,” katanya.

    Sehingga kini katanya, siasatan menyeluruh sedang serta masih dijalankan termasuk akan mengambil keterangan daripada guru wanita berusia 40-an yang didakwa memukul mangsa itu.

    “Selain itu, kita juga sudah memaklumkan kejadian terbabit kepada pegawai perhubungan serta pihak sekolah itu sendiri bagi memudahkan siasatan dilakukan,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh ketika dihubungi mengesahkan kejadian berhubung kes terbabit namun enggan mengulas lanjut mengenainya kerana masih dalam siasatan.

    Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

  • Negara minoriti Islam perlu contohi Malaysia – Idris

    Negara minoriti Islam perlu contohi Malaysia – Idris

    AMALAN toleransi dan muhibah yang telah dipraktikkan dan dilaksanakan di Malaysia mampu menjadi panduan kepada dunia Islam ketika ini dalam proses menyatupadukan ummah.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, sudah tiba masanya untuk negara dengan penduduk minoriti beragama Islam mencontohi Malaysia untuk hidup aman damai bersama kaum muhibah dengan meletakkan Islam sebagai agama rasmi.

    Menurut beliau, hal ini kerana lazimnya, negara yang mempunyai penduduk dengan majoriti beragama Islam mampu bertoleransi dengan kaum lain dengan perkara sebaliknya berlaku dalam negara yang mempunyai penduduk yang minoritinya beragama Islam.

    “Asas yang telah kita bina di Malaysia, diharapkan negara lain juga boleh ikut termasuklah dalam kalangan negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam supaya mereka juga boleh meniru bagaimana sikap toleransi dan harmoni yang wujud.

    “Malahan, apabila kita telah meletakkan konsep Keluarga Malaysia, keluarga sejahtera yang menggambarkan realiti yang kita ada di negara kita sekarang,” kata Idris selepas berakhirnya persidangan Majlis Komuniti Islam Sedunia di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 8 hingga 9 Mei lalu, lapor Satu Berita, hari ini.

    Tambah beliau, konsep yang telah lama diamalkan di Malaysia, iaitu melaksanakan dan menterjemahkan fiqh al-Ta’ayush dengan meletakkan tiga prinsip utama dalam membina hubungan persaudaraan yang baik terhadap semua lapisan masyarakat.

    Idris juga melihat persidangan julung kali diadakan itu berjaya dengan menghimpunkan idea melalui perbincangan yang dijalankan bersama 105 buah negara, melibatkan 500 perwakilan dalam mendepani cabaran dalam menyatukan ummah.

    Katanya, Emiriah Arab Bersatu juga menzahirkan minat untuk menjadikan Malaysia sebagai hos untuk penganjuran edisi berikutnya namun, perkara itu masih di peringkat awal perbincangan.

    “Setakat hari ini, kita akan bincang dulu kerana perkara itu membabitkan soal polisi dan sebagainya. Munkin perkara itu boleh dibawa… kita boleh bincang dengan negara penganjur ini untuk kemungkinan mengadakan kerjasama dan sebagainya,” katanya.

    Sempena penutupan persidangan itu, lima resolusi berjaya dicapai antaranya adalah kepentingan penggunaan media tradisional dan baharu dalam membentuk kesedaran kolektif umat Islam bagi dalam semua komuniti dan bahasa bagi membolehkan mereka memahami topik utama yang membimbangkan umat Islam hari ini.

    Bertemakan Perpaduan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran, persidangan itu menghimpunkan tokoh Islam sedunia yang dirasmikan Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, Sheikh Nahyan bin Mubarak Al Nahyan.

  • Lelaki terbaring tepi jalan mangsa samun, pukul

    Lelaki terbaring tepi jalan mangsa samun, pukul

    SEORANG lelaki yang dijumpai terbaring di tepi jalan di Taman Tenaga, Cheras dalam keadaan tidak sedarkan diri, dengan klip video keadaannya itu tular di media sosial hari ini, dipercayai dipukul dan disamun.

    Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, isteri lelaki itu sudah membuat laporan polis berhubung kejadian, dan lelaki itu kini dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Cheras, Kuala Lumpur.

    “Berdasarkan siasatan awal kita percaya lelaki itu dipukul dan disamun oleh dua lelaki warganegara tempatan, dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan berkaitan jenayah samun hingga mendatangkan kecederaan,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata polis percaya dua lelaki dilihat menaiki motosikal, yang dipaparkan dalam rakaman video yang tular itu, adalah suspek utama kejadian.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan. Sekiranya terdapat sebarang maklumat, sila hubungi Hotline Polis Cheras dengan menelefon 03-9284 5050/ 5051, atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau tampil di balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. – Bernama

  • Warga emas tinggal kereta Perodua Kancil sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    Warga emas tinggal kereta Perodua Kancil sebelum terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG warga emas meninggalkan kereta jenis Perodua Kancil di atas Jambatan Pulau Pinang sebelum dilaporkan terjatuh ke laut dalam kejadian awal pagi tadi.

    Mangsa disyaki lelaki, Lau Choon Chye, berusia 66 tahun itu dipercayai berasal dari Paya Terubong, Air Hitam, Pulau Pinang.

    Menurut Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed, pihaknya menerima panggilan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat berhubung kejadian individu dipercayai terjun Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 4.0 arah Perai menghala ke pulau pukul 7.07 pagi tadi.

    Jelasnya, maklumat kejadian disalurkan terus ke Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi untuk pengaktifan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT).

    Dalam masa sama ujar beliau, bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian.

    Maritim mengarahkan bot PERKASA 1221 diatur gerak ke lokasi kejadian bagi melakukan pencarian

    “Operasi CARILAMAT yang diaktifkan pukul 8 pagi tadi turut membabitkan Jabatan Bomba Dan Penyelamat; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Pasukan Polis Marin Batu Uban,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Jeti Polis Marin Batu Uban dan sehingga kini usaha pencarian masih diteruskan.

    Tambahnya, kes individu terjun dari jambatan itu adalah yang keempat direkodkan untuk awal bulan Mei ini sahaja dan yang kelapan secara keseluruhan dari awal Januari lalu.

    “Dalam pada itu, orang awam diminta melaporkan sebarang penemuan dan kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian 04-2626146,” katanya.