Author: Admin

  • Polis tunggu laporan bedah siasat kematian pelajar UUM

    Polis tunggu laporan bedah siasat kematian pelajar UUM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KEMATIAN seorang pelajar perempuan Universiti Utara Malaysia (UUM), S. Vinosiny, 21, di asrama pusat pengajian tinggi itu di Sintok, Kedah pada Sabtu lalu setakat ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR) sementara menanti laporan bedah siasat.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, pihaknya ada menerima laporan mengenai kematian pelajar itu dengan siasatan awal mendapati, pelajar terbabit dipercayai tersebut diserang sawan.

    Begitu pun katanya, pihaknya masih hasil laporan bedah siasat serta laporan kimia lengkap berhubung kejadian itu.

    Sebelum ini tular di media sosial dakwaan menyatakan Vinosiny maut akibat terkena renjatan elektrik.

    Dalam pada itu UUM dalam satu kenyataan memaklumkan, Vinosiny merupakan pelajar semester empat Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat) di universiti berkenaan.

    Menurut kenyataan tersebut, pihak universiti juga masih menanti laporan penuh bedah siasat dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

    “Sebagai tanda keprihatinan, UUM akan membantu meringankan beban keluarga mendiang dengan menyalurkan banuan bersesuaian yang diperlukan keluarga tersebut.

    “Naib Canselor serta seluruh warga UUM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

  • Mohamed Haniff tidak pernah dilantik peguam Bersatu-Wan Saiful

    Mohamed Haniff tidak pernah dilantik peguam Bersatu-Wan Saiful

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang menolak permohonan penghakiman terus peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla terhadap parti itu, merupakan satu kelebihan kepada Bersatu.

    Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini memandangkan Mohamed Haniff tidak pernah dilantik sebagai peguam parti, bahkan tuntutan itu juga dianggap tidak munasabah.

    “Pagi ini saya mendapat berita baik. Hakim Mahkamah Tinggi Yang Arif Akhtar Tahir menolak permohonan peguam Haniff Khatri untuk satu penghakiman terus mengarahkan Bersatu membayar beliau RM12.5 juta, tetapi sebaliknya mengarahkan Haniff pula membayar kos kepada Bersatu.

    “Haniff Khatri tidak pernah dilantik sebagai peguam parti dan tuntutan bayaran yang begitu tinggi sebanyak RM12.5 juta adalah tidak munasabah.

    “Keputusan mahkamah pagi ini menyebelahi Bersatu,” katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook miliknya, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Tahun lalu, media melaporkan Mohamed Haniff telah menfailkan saman terhadap Bersatu bagi menuntut yuran guaman yang tidak dibayar berjumlah RM12.5 juta.

    Tuntutan itu juga dibuat kepada anggota parti iaitu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Datuk Mohamed Salleh Bajuri yang memegang jawatan bendahari.

    Dalam tuntutannya, beliau berkata, wang yang dituntut adalah untuk khidmat guaman sebelum Bersatu ditubuhkan sehingga ia menarik diri dari gabungan Pakatan Harapan (PH) dan seterusnya menyertai Perikatan Nasional (PN).

    Sementara itu, Mohamed Haniff menerusi satu hantaran dalam Facebooknya turut memberitahu Permohonan Aturan 14 bagi tujuan perolehan penghakiman terus oleh firman guaman beliau telah dipanggil untuk bicara di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa.

    Katanya, Mahkamah telah membuat keputusan untuk menolak Permohonan Aturan 14 tersebut dengan kos sebanyak RM3,000 dibayar kepada Bersatu.

    “Selain itu, Mahkamah juga menetapkan tindakan sivil ini untuk bicara penuh dengan keperluan panggilan saksi dan penampilan dokumen yang perlu untuk tempoh awalan sebanyak lima hari mulai 18 Mac 2024 hingga 22 Mac 2024,” katanya.

  • Posmen mengaku tidak bersalah curi, jual barang kemas pelanggan

    Posmen mengaku tidak bersalah curi, jual barang kemas pelanggan

    SEORANG posmen yang bertugas di bahagian kaunter serahan sebuah syarikat penghantaran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Melaka hari ini atas pertuduhan mencuri dan menjual bungkusan berisi barang kemas milik pelanggan.

    Tertuduh, Mohamad Azizal Rebu, 42, membuat pengakuan tersebut selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh, lapor Sinar Harian.

    Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mencuri seutas rantai leher emas yang mempunyai loket bertulis ‘Atieda’ dan satu loket emas kecil pada 10 Mac lalu kira-kira jam 8 hingga 10.30 pagi di Pusat Serahan Ayer Keroh, Taman Tasek Utama.

    Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

    Mohamad Azizal turut berdepan dua lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 kanun sama kerana menghapuskan harta curi berkenaan dengan cara menjual di sebuah premis pajak gadai di Jalan Munshi Abdullah.

    Perbuatan itu dilakukan menerusi dua transaksi berasingan pada 12 dan 21 Mac lalu dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri memohon jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius manakala tertuduh pula diwakili peguam, Amritpal Singh.

    Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 7 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

  • Pengambilan pengawal keselamatan selain Nepal sudah dipersetujui

    Pengambilan pengawal keselamatan selain Nepal sudah dipersetujui

    KERAJAAN bersetuju untuk mencari sumber pekerja asing yang baharu bagi sektor keselamatan selain Nepal.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya sudah memulakan rundingan dan keputusan dasar berhubung cadangan membuka peluang kepada negara lain selain daripada Nepal untuk sektor itu sudah dipersetujui kerajaan.

    “Pihak yang terbabit sudah boleh mengemukakan permohonan (mendapatkan pekerja asing) bagaimanapun kemasukan bergantung kepada keputusan negara sumber.

    “Kita sudah benarkan kemasukan dari negara lain selain Nepal cuma nak bawa masuk itu bergantung kepada pengalaman kerja sama ada pernah bekerja di sektor keselamatan di negara mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Maritim Malaysia di Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencadangkan untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

    Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata, perkara itu dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan KDN akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

    Pengumuman muktamad akan diumumkan selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan termasuk pemain industri serta agensi kerajaan yang terbabit seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

    Ia bagi memastikan bahawa tiada masalah lain yang timbul apabila pekerja-pekerja luar ini mula diimport nanti kerana mereka perlu dipastikan benar-benar bekerja dalam negara dan bukannya menjadi ejen negara luar atau sebagainya.

  • Tapak pelupusan sampah Pulau Burung sekali lagi terbakar

    Tapak pelupusan sampah Pulau Burung sekali lagi terbakar

    TAPAK pelupusan sampah Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar sekali lagi malam tadi selepas kejadian sama berlaku Januari lepas.

    Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Abdul Syukur @ Mohd Ilhami Musa berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.34 malam dan jentera pertama dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal digegaskan ke lokasi kejadian.

    “Sejurus tiba, anggota bomba mendapati kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 40,000 kaki persegi.

    “Kami (bomba) menggunakan tiga pengorek-kaut dan jentolak dalam operasi tersebut bagi menyekat kebakaran merebak selain pemadaman dilakukan dengan membuat semburan air dari bekalan tangki jentera bomba,” katanya yang dihubungi hari ini.

    Beliau berkata bomba berjaya mengawal kebakaran pada 12.01 tengah malam namun mengambil masa lebih empat jam untuk memadamkan api sepenuhnya memandangkan masih terdapat kebakaran di bahagian bawah timbunan sampah.

    Abdul Syukur berkata operasi pemadaman yang melibatkan 50 pegawai dan anggota bomba dengan dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) itu tamat sepenuhnya pada 3 pagi.

    Menurutnya punca kebakaran sedang disiasat namun pihak bomba tidak menolak ia kemungkinan berpunca akibat cuaca panas kebelakangan ini.

    Pada 12 Jan lepas, kebakaran dilaporkan berlaku di tapak pelupusan sampah berkenaan yang melibatkan kawasan seluas 11.3 hektar daripada keseluruhan 16.2 hektar dengan operasi pemadaman mengambil masa hampir sebulan.

    Kebakaran tersebut menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 berdasarkan Majlis Keselamatan Negara.

    Susulan itu, 86 keluarga membabitkan kira-kira 400 penduduk yang tinggal berdekatan terpaksa dipindahkan bagi memastikan keselamatan mereka selain 10 sekolah ditutup tiga hari. – Bernama

  • Maritim tahan empat nelayan Myanmar

    Maritim tahan empat nelayan Myanmar

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak menahan empat kru warga Myanmar tanpa dokumen yang berkerja di atas dua bot nelayan di perairan Kuala Trong dan Pantai Remis, Lumut.

    Pengarahnya, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, dua bot itu ditahan pada kedudukan 7.0 batu nautika barat daya Sungai Belukang dan 7.5 batu nautika Pulau Pasir Hitam pada kelmarin dan semalam.

    “Empat kru warga asing berusia antara 40 hingga 55 tahun itu ditahan selepas didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan.

    “Pemeriksaan bot pertama pukul 9.40 pagi mendapati bot itu dikendalikan tiga kru warga Myanmar tanpa dokumen pengenalan diri sedang melakukan aktiviti perikanan di bawah lapan batu nautika yang tidak mematuhi kebenaran syarat sah lesen.

    “Sementara, sebuah lagi bot pukat tunda tempatan ditahan di perairan Pantai Remis juga sedang melakukan aktiviti penangkapan ikan yang mana tekong bot warga Myanmar tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya memetik laproan Harian Metro, hari ini.

    Beliau berkata, empat warga asing itu disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 Seksyen 8 (b) dan Akta Imigresen 1959/63.

    Katanya, bot bersama empat kru warga asing dan kira-kira 130 kilogram hasil tangkapan pelbagai jenis ikan itu diiring ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Sitiawan untuk tindakan lanjut.

  • 2 juruterbang maut jet pejuang terhempas

    2 juruterbang maut jet pejuang terhempas

    DUA juruterbang Iran maut selepas jet pejuang F7 mereka terhempas hari ini berhampiran Anarak, 200 kilometer (km) timur bandar Isfahan, Iran.

    “Misi jet itu adalah untuk berlatih menembak tetapi berlaku kemalangan pada 8:30 pagi (waktu tempatan),” kata seorang pegawai dari wilayah Isfahan kepada IRNA, lapor Berita Harian memetik berita rasmi Iran.

    Pakar berkata, Iran mempunyai rekod keselamatan udara yang lemah, dengan kemalangan berulang, kebanyakannya membabitkan pesawat yang dibeli sebelum Revolusi Islam 1979 dan kekurangan alat ganti untuk penyelenggaraan.

    Pada Februari, sebuah jet F5 yang digunakan oleh tentera Iran terhempas ke dinding sebuah sekolah di bandar barat laut Tabriz, membunuh dua juruterbang dan seorang di atas tanah. 

  • Enam kontraktor didenda RM50,000 palsukan dokumen

    Enam kontraktor didenda RM50,000 palsukan dokumen

    MAHKAMAH Sesyen Alor Setar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM50,000 terhadap enam kontraktor selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk melayakkan mereka mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

    Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Zulhilmi Abdul Jabar,43; Mohd. Yusrizal Ismail,43; Muhamad Hairi Md. Ismail, 38; Ranzi Halim, 51; Muhammad Amir Che Azid, 36 dan Badaruddin Mohamad, 40.

    Sinar Harian melaporkan, mereka juga diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda terbabit.

    Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun bagi bulan Oktober, November dan Disember 2018, yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

    Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dalam tempoh bermula 1 hingga 22 Januari 2019 di Wisma Idaman Sdn Bhd, No.163 & 164 Bandar Baru Stargate Jalan BSG 4, Lebuhraya Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

    Mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rehab Abdul Shukur.

    Muhammad Amir, Mohd. Yusrizal dan Zulhilmi diwakili peguam Intan Nursyafina Baharudin manakala Muhamad Hairi, Ranzi dan Badaruddin diwakili Syed Fakhruzzaman Syed Mansor.

  • Bakal pengantin didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    Bakal pengantin didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

    SEORANG bakal pengantin didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen sah, enam tahun lalu.

    Tertuduh, Lee Jan Wee, 32, mengaku tidak bersalah pertuduhan dibaca dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman.

    Sinar Harian melaporkan, mengikut pertuduhan, dia didakwa atas kesalahan itu di Jalan Wangsa Delima 5, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 2016.

    Itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM250,000 hingga RM1 juta, atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Anisha Jamilludin menawarkan tertuduh diikat ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin dan dikenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis terdekat sekali sebulan.

    Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Izzat Amir merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menanggung seorang anaknya yang berusia tiga tahun.

    Menurutnya, dia yang juga seorang duda, kini tinggal bersama-sama ibu bapa akan melangsungkan perkahwinan bulan hadapan.

    “Anak guam saya tidak mempunyai rekod jenayah lampau malah tidak berisiko untuk melarikan diri.

    “Dulu dia bekerja di bengkel kereta dan menjual nasi ayam,” katanya.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sabariah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

    Mahkamah menetapkan 27 Jun depan untuk sebutan semula kes.

    Pada Isnin, polis menahan seorang lelaki yang didakwa memperdaya mangsa dalam urusan pinjaman wang tanpa lesen sehingga mangsa menyerahkan dua kenderaan sebagai cagaran namun ia telah dijual tanpa pengetahuan mangsa.

  • Usaha bawa pulang dana 1MDB belum selesai – Azam Baki

    Usaha bawa pulang dana 1MDB belum selesai – Azam Baki

    USAHA untuk membawa pulangan setiap sen dana syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng masih belum selesai.

    Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pada tahun 2020, sejumlah RM14 bilion berjaya dituntut melalui kompaun dan penyelesaian daripada pelbagai pihak manakala RM5.11 bilion lagi diperoleh pada tahun lalu.

    “Kerja (tuntutan) belum selesai. Rakyat mesti menuntut setiap sen wang yang dilaburkan oleh 1MDB,” katanya menurut laporan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian menerusi  ucaptama Forum Anti Rasuah Malaysia, hari ini.

    Menurutnya, sejak tahun 2018, kerajaan mempergiat pelbagai usaha untuk mengembalikan aset 1MDB termasuklah melakukan pendakwaan terhadap beberapa individu.

    “SPRM juga bekerjasama dengan beberapa badan antarabangsa dan agensi penguatkuasaan asing bagi mendapatkan semua dana yang diseleweng,” katanya.

    Beliau berkata, pengalaman Malaysia mengendalikan dan memulihkan sejumlah besar aset seperti ini secara berterusan mendapat pujian daripada badan-badan antarabangsa.

    “SPRM berkongsi pengalaman yang tidak ternilai ini dalam pelbagai platform peringkat antarabangsa khususnya dalam menguruskan siasatan yang merentasi banyak benua dan pelbagai jenis aset,” katanya.

    Pada 19 November lalu, media melaporkan SPRM dengan kerjasama agensi penguat kuasa asing berjaya memulangkan lebih RM20.53 bilion kepada kerajaan.

    Usaha pemulihan aset dana 1MDB itu giat diteruskan di dalam dan luar negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Emiriah Arab Bersatu (UAE), Taiwan dan Singapura.