Author: Admin

  • Penganggur dipenjara, didenda pandu melulu hingga menyebabkan kematian

    Penganggur dipenjara, didenda pandu melulu hingga menyebabkan kematian

    SEORANG penganggur dijatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau hari ini kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian, dua tahun lalu.

    Tertuduh Mohd. Ali Tammalun, 26, mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957 (Akta 333/87) dihadapan Majistret Amir Shah Amir Hassan, lapor Utusan Borneo.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 7 Februari 2020 pukul 3.35 petang di KM 55 Jalan Tawau- Semporna.

    Mohd. Ali didakwa memandu secara cuai dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian Surtrisno, 25, dan Gyatri Usman, 21.

    Dalam fakta kes, tertuduh yang memandu kenderaan pacuan empat roda dari arah Semporna menuju ke Tawau bersama tiga penumpang.

    Kemalangan berlaku apabila tertuduh cuba memotong sebuah kenderaan dengan memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan dinaiki dua mangsa.

    Pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Joan Lee dalam hujahannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal selepas mengambil kira kepentingan awam serta pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.

    Amir Shah kemudiannya menjatuhkan hukuman dua tahun penjara dan denda RM5,000 terhadap tertuduh.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara enam bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung dua tahun.

  • Warga asing mati di depot tahanan imigresen Serian

    Warga asing mati di depot tahanan imigresen Serian

    SEORANG lelaki warganegara asing dijumpai mati di sebuah depot tahanan imigresen di Serian, awal pagi tadi.

    Pihak polis menerima laporan terdapat seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar pukul 3.55 pagi.

    Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superitendan Aswandy Anis berkata, anggotanya kemudian pergi ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

    “Siasatan awal mendapati mangsa telah meninggal dunia.

    “Bagaimanapun, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca kematian mangsa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini, laor Utusan Borneo.

    Tambahnya, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

    Kes tersebut setakat ini diklasifikasikan sebagai ke mati mengejut (SDR).

  • RUU Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen 18 Julai

    RUU Anti Lompat Parti dibentang di Parlimen 18 Julai

    JAWATANKUASA Pilihan Khas sudah memuktamadkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya 18 Julai ini

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, RUU Anti Lompat Parti ini akan membabitkan pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Perkara 10, 48, dan penggubalan Artikel 49(a).

    “Pindaan juga akan dibuat dalam Perkara 160 dan Jadual Lapan dalam Perlembagaan Persekutuan. RUU ini akan terpakai kepada Ahli Parlimen yang keluar daripada parti yang dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) untuk masuk ke parti lain.

    “Ahli Parlimen yang bertanding sebagai calon Bebas namun selepas menang kemudiannya menyertai parti politik lain juga akan terpakai bagi RUU ini.

    “Dalam dua keadaan ini, Ahli Parlimen terbabit perlu mengosongkan kerusi mereka seterusnya PRU perlu dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 60 hari selepas Speaker Dewan Rakyat menerima maklumat mengenai perkara berkenaan (lompat parti),” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, hari ini, lapor Harian Metro.

    Katanya, menerusi cadangan RUU itu juga, Ahli Parlimen yang disingkirkan daripada parti yang diwakili ketika menang PRU tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka.

    Wan Junaidi berkata, jika berlaku kekosongan kerusi, Speaker Dewan Rakyat perlu mengesahkan perkara itu dalam tempoh 20 hari.

    Katanya, dalam tempoh itu Speaker akan memberi notis kepada SPR mengenai kekosongan kerusi sebelum pilihan raya diadakan.

    “Saya akan mengusulkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar RUU ini dibentangkan namun terpulang kepada beliau sama ada ia akan dibentangkan dalam Persidangan Khas Parlimen atau persidangan seterusnya Julai ini.

    “Jika ia dibentangkan dalam persidangan khas, saya jangka RUU ini boleh digunakan pada September dan selewat-lewatnya Januari depan jika menanti sidang Parlimen pada Julai ini,” katanya.

    Beliau berkata, bagi membolehkan RUU ini diluluskan, seramai 148 Ahli Parlimen perlu menyokong ketika pembentangan kelak.

    Namun, katanya, beliau yakin RUU ini mendapat sokongan hasil daripada komitmen yang ditunjukkan setiap parti yang berada Jawatankuasa Pilihan Khas selain respons baik yang diterima daripada ramai Ahli Parlimen.

  • Remaja tikam ibu alami halusinasi-Polis

    Remaja tikam ibu alami halusinasi-Polis

    POLIS percaya seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun yang menikam ibunya di dada di Bukit Yong, Pasir Puteh, malam kelmarin dipercayai mengalami halusinasi dan pemikiran yang tidak normal.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung tingkah laku pelajar berkenaan dirumah dan juga di sekolahnya serta pemeriksaan lanjut di hospital serta pakar psikiatri.

    “Dia akan direman dan jika mengikut kenyataannya dia seolah-olah berada dalam situasi tidak normal, berhalusinasi, berpemikiran tidak normal, tapi itu perlu dibuktikan, kenyataannya tidak boleh pakai sepenuhnya, jadi kita akan hantar ke hospital untuk pemeriksaan dan pakar psikologi,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka Polis Kelantan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, remaja berkenaan akan menjalani pemeriksaan manakala keputusan ujian air kencing yang dijalankan negatif dari sebarang penyalahgunaan dadah.

    Muhammad Zaki berkata, tindakan remaja itu dianggap menyayat hati dan ianya bukanlah disebabkan faktor keganasan atau sebagainya sebaliknya ia dipengaruhi unsur lain.

    Semalam, media melaporkan seorang pelajar lelaki tingkatan dua sebuah sekolah di daerah Pasir Puteh bertindak menikam ibunya dengan pisau dalam satu kejadian di Bukit Yong, Pasir Puteh.

    Mangsa ditikam dibahagian dada ketika sedang tidur dalam sebuah bilik bersama suspek kira kira pukul 11.45 malam.

    “Mangsa (ibu) berusia 41 tahun bersama suspek sedang tidur dalam bilik yang sama dengan tiba-tiba mangsa terasa sakit pada bahagian dada dan apabila tersedar mangsa melihat pisau tertusuk di bahagian dada.

    Hasil siasatan awal polis mendapati, mangsa telah ditikam oleh suspek menggunakan sebilah pisau yang diambil daripada dapur.

    Mangsa ditikam di dada dan kejadian itu mengakibatkan paru-parunya bocor serta kehilangan banyak darah dan kini dirawat di zon merah
    Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

  • Dua lelaki diberkas guna Proton Wira curi kelapa sawit

    Dua lelaki diberkas guna Proton Wira curi kelapa sawit

    POLIS menahan dua lelaki kerana mencuri buah kelapa sawit menggunakan sebuah kereta di Felda Raja Alias 5, Jempol, pada Sabtu lalu.

    Ketua Polis Daerah Jempol, Superitendan Hoo Chang Hook berkata, kedua-dua suspek berusia 38 tahun itu ditahan bersama-sama sebuah kereta Proton Wira berisi 19 tandan buah kelapa sawit.

    Katanya, pemeriksaan di lokasi juga mendapati beberapa batang pokok ada kesan buah sawit baharu dipetik.

    “Kedua-dua suspek mengaku terlibat mencuri buah sawit berkenaan bersama seorang lagi yang masih bebas.

    “Suspek difahamkan mengambil dan menggangkut buah sawit di tempat kejadian dengan menggunakan kereta bapa suspek yang masih bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, suspek difahamkan mengambil dan menggangkut buah sawit di tempat kejadian dengan menggunakan kereta bapa suspek yang masih bebas.

    Chang Hook berkata, ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

    “Hasil semakan juga mendapati salah seorang suspek mempunyai empat rekod lampau penyalahgunaan dadah termasuk satu dikehendaki oleh polis.

    “Kedua-dua suspek telah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Sementara itu, dalam perkembangan sama, Chang Hook berkata, polis mengesan seorang lelaki bernama Zulkefli Shahari@Angah bagi membantu siasatan.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohd. Razif Karim di talian 06-4582222,” katanya.

  • Empat lelaki ditahan cuba seludup 119 etnik Rohingya

    Empat lelaki ditahan cuba seludup 119 etnik Rohingya

    CUBAAN empat lelaki tempatan menyeludup masuk 119 etnik Rohingya di perairan Sungai Kedah gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Selasa lepas.

    Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, sepasukan anggota Maritim Malaysia yang membuat rondaan Operasi Aman telah mengesan dan menahan sebuah bot nelayan tempatan di kawasan perairan tersebut pada 9.20 malam.

    “Hasil pemeriksaan menjumpai 119 etnik Rohingya iaitu 47 lelaki, 32 wanita, 23 kanak-kanak perempuan dan 17 kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berumur lima hingga 38 tahun sedang bersembunyi di ruangan bawah lantai bot berkenaan.

    “Turut ditahan ialah empat lelaki tempatan berumur 32 hingga 39 tahun yang mana dua daripadanya adalah penjawat awam. Mereka ditahan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, empat lelaki tempatan itu direman mengikut prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) di bawah Seksyen 4(5) selama 28 hari.

    Wan Hassan berkata, kesemua pendatang asing pula disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(1)(b) akta sama selama 14 hari.

    “Polis akan menjalankan siasatan secara adil dan telus terutamanya melibatkan isu keselamatan dan imej negara. Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi ke atas kes ini. Sekiranya mempunyai sebarang maklumat perlakuan jenayah boleh menghubungi talian MERS 999 atau hadir ke balai polis berdekatan,” katanya. – Bernama

  • Tuntutan palsu:Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    Tuntutan palsu:Penyelia Rela dipenjara 14 hari, denda RM10,000

    MAHKAMAH Sesyen Seremban hari ini menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dan denda RM10,000 terhadap seorang penyelia Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) atas pertuduhan membuat tuntutan penugasan palsu daripada jabatan berkenaan, tahun lalu.

    Hakim Rushan Lutfi Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, S. Vijaiyan, 56, selepas dia membuat pengakuan bersalah, lapor Sinar Harian.

    Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar denda terbabit.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penyelia Rela Seremban telah mengemukakan Borang Tuntutan Elaun Penugasan Rela bagi penugasan di sebuah pusat kuarantin Covid-19 atas nama seorang wanita bagi bulan November 2021 berjumlah RM960, walhal wanita itu tidak hadir bertugas pada masa dan tarikh yang dicatatkan.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Rela Daerah Seremban pada Disember 2021.

    Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta yang sama.

    Selain itu, mahkamah melepas dan membebaskan tertuduh bagi enam pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah, selepas mengambil kira pengakuan bersalah serta persetujuan pihak pendakwaan dan tertuduh untuk mengguna pakai TIC (Take Into Consideration).

    Sebelum itu, peguam R. Subash memohon hukuman paling minimum untuk anak guamnya yang perlu menanggung seorang isteri dan 12 anak.

    Katanya, pengakuan salah tertuduh juga dapat menjimatkan masa mahkamah dan sepanjang proses siasatan dilakukan, tertuduh memberikan kerjasama.

    “Tertuduh sudah berkhidmat dengan jabatan Rela selama 16 tahun dan mempunyai rekod yang cemerlang. Ini kesalahan pertamanya jadi pihak pembelaan merayu satu hukuman penjara paling minimum,” katanya.

    Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali.

  • Rakyat Malaysia hilang di Korea Selatan sudah ditemui

    Rakyat Malaysia hilang di Korea Selatan sudah ditemui

    RAKYAT Malaysia, Noorizlin Farahin Ayob, 24, yang dilaporkan hilang di Korea Selatan semalam sudah ditemui.

    Perkara itu dimaklumkan oleh seorang individu dikenali sebagai Ling Ling, yang sebelum ini berkongsi maklumat mengenai kehilangan Noorizlin.

    “Alhamdulillah, dah jumpa tapi minta maaf, saya hanya boleh beritahu Noorizlin sudah ditemui kerana kes kehilangannya rumit sedikit.

    “Saya tidak dapat nak cakap lebih banyak lagi, minta maaf ya,” katanya lapor Sinar Harian.

    Semalam, Sinar Harian melaporkan berkaitan kehilangan Noorizlin Farahin.

  • Zikir dan selawat sumber kekuatan warga emas ketika hilang seminggu dalam kebun

    Zikir dan selawat sumber kekuatan warga emas ketika hilang seminggu dalam kebun

    ZIKIR dan selawat menjadi sumber kekuatan buat seorang pesara kakitangan awam, Yaakub Ismail, 76, sepanjang seminggu dia dilaporkan hilang di kawasan kebun durian dan buah-buahan miliknya di Kampung Pasir Dusun di sini, sebelum ditemukan selamat pada Rabu.

    Yaakub yang hilang sejak 19 Mei itu ditemui oleh orang ramai yang turut serta dalam operasi dan menyelamat (SAR) pada pukul 6.45 petang selepas berada dalam sebuah pondok berhampiran kawasan kejadian, kira-kira empat kilometer dari kawasan kebunnya.

    Anak mangsa, Mohd Sufian Yaakub, 49, berkata, sepanjang tempoh tersebut ayahnya tidak putus-putus berzikir dan berselawat sepanjang perjalanan untuk mencari jalan keluar dari kawasan kebun tersebut.

    “Ayah juga makan pisang hutan, daun-daun kayu dan minum air daripada lopak-lopak anak sungai bagi meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tersesat di dalam hutan.

    “Itu antara cerita yang dikongsikan oleh ayah kepada kami sebaik sahaja dia selamat ditemukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

    Menurutnya, dia bersyukur ayah ditemukan dalam keadaan sedar walaupun badan agak lemah selepas mengharungi perjalanan panjang untuk mencari jalan keluar selepas tersesat.

    Katanya, mengikut cerita ayah, dia mahu melihat kawasan kebun sebelah yang baharu diusahakan namun terlajak jalan.

    “Ayah telah cuba laluan baharu dan kemudian tersesat di kawasan tersebut. Alhamdulillah, kesihatan ayah bertambah baik pada hari ini dan dia kini sedang berehat di rumah di Kampung Berangan, Tumpat.

    “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua iaitu Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), pengamal perubatan tradisional dan penduduk kampung yang membantu mencari ayah,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata, ketika ditemukan mangsa berada dalam keadaan sedar dan mampu bercakap serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Mangsa memberitahu sebelum hilang dia keluar dari kebunnya untuk melihat anak pokok getah.

    “Kemudiannya, dilaporkan mangsa hilang arah disebabkan tidak tahu jalan untuk kembali semula ke kebun,” katanya.

    Menurutnya, mangsa telah dihantar ke Hospital Jeli untuk mendapatkan rawatan sebelum diserahkan kepada pihak keluarga.

  • Tambang bas sekolah mungkin naik

    Tambang bas sekolah mungkin naik

    PERSATUAN Bas Sekolah Selangor Putrajaya dan Kuala Lumpur (PBSSPKL) berkemungkinan akan menaikkan tambang bas sekolah.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusi, Mohd. Haron Mohd. Sidik yang berkata, kenaikan itu akan dilakukan sama ada pada bulan depan atau Julai ini. 

    Beliau berkata, kenaikan itu adalah bagi menampung kos penyelenggaran dan alat ganti kenderaan telah naik mendadak antara 50 hingga 80 peratus.

    Bagaimanapun, katanya, jumlah kenaikan itu bergantung kepada perbincangan dan persetujuan antara pengusaha dengan pelanggan.

    “Bayaran tambahan juga akan dikenakan untuk penghantaran dan pengambilan pelajar dari kelas kokurikulum, kelas-kelas tambahan, latihan sukan, tuisyen dan sebagainya yang luar dari waktu rasmi balik dari sekolah.

    “Pengusaha terpaksa mengkaji dan menaikkan tambang kerana pihak kami sudah tiada pilihan lagi untuk menampung kos penyelenggaraan bas,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Satu Berita.

    Jelas beliau, PBSSPKL ada mengemukakan cadangan dan menghantar memorandum kepada kerajaan supaya menanggung separuh tambang bas sekolah dan selebihnya ditanggung oleh ibu bapa.

    Tambahnya, pihaknya turut memohon kerajaan memberikan subsidi minyak petrol dan diesel RM1 seliter kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah seluruh Malaysia.

    “Sekiranya berlaku sebarang bencana dan sekolah ditutup, hanya kerajaan sahaja yang perlu membayar tambang bas sekolah untuk memastikan kelangsungan pengusaha bas sekolah,” katanya.