Author: Admin

  • Empat GRO ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

    Empat GRO ditahan dalam serbuan di pusat hiburan

    BAHAGIAN Siasatan Jenayah Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Kuala Lumpur melakukan serbuan dan menahan empat wanita pelayan pelanggan (GRO) di sebuah pusat hiburan di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

    Menerusi serbuan pada pukul 12.50 tengah malam itu pihak polis membuat pemeriksaan terhadap 24 individu membabitkan 15 pelanggan dan sembilan pekerja premis bagi tujuan dokumentasi.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, daripada jumlah itu, mpat wanita disyaki GRO membabitkan seorang warga Thailand dan tiga warga Vietnam berusia 22 hingga 39 tahun ditahan.

    “Kami turut menahan seorang lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus di pusat hiburan terbabit.

    “GRO terbabit dipercayai menerima bayaran antara RM100 hingga RM150 bagi satu jam layanan mereka kepada pelanggan.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada GRO itu digajikan oleh premis berkenaan yang juga tidak berlesen atau dibawa dari luar oleh pengunjung.

    “Semua individu yang ditahan itu dibawa ke balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan (AHWP) 1992,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

  • KDN kesan sindiket keluar kad UNHCR kepada warga Indonesia, India-Hamzah

    KDN kesan sindiket keluar kad UNHCR kepada warga Indonesia, India-Hamzah

    KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) akan memanggil wakil Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia bagi mengemukakan bukti kesalahan yang dilakukan pertubuhan itu dalam mengeluarkan kad berkenaan kepada pelarian di negara ini.

    Pihak KDN mengesan kerjasama UNHCR dalam mengeluarkan kad serta surat menggunakan nama persatuan Rohingya kepada individu warga Indonesia dan India yang bukannya pelarian.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, sedangkan individu berkenaan bukan dari negara yang bergolak.

    “Contoh dalam operasi ini, bagaimana seorang warga Indonesia boleh mendapat kad UNHCR sedangkan mereka bukan dari negara bergolak. Disebabkan itu, kita mahu beritahu kepada UNHCR bahawa ini adalah negara kita, jangan keluarkan kad dengan sewenang-wenangnya atas persetujuan Persatuan Rohingya.

    “Ini menunjukkan mereka seolah-olah ada kerjasama kerana mana boleh satu persatuan yang tidak tertubuh dan tidak didaftarkan di Malaysia melakukan sesuatu dengan mengeluarkan satu surat mengatakan warga Indonesia ini patut diberikan perlindungan melalui UNHCR.

    “Sudah nampak ada bukti kesalahan yang dilakukan pihak terbabit termasuk UNHCR,” katanya ketika ditemui dalam operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pasar Besar Meru, lapor Harian Metro, hari ini.

    Turut hadir, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengarah Imigresen Selangor Dr Muhammad Syahmi Jaafar dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Syamsul Badrin Mohshin.

    Dalam operasi itu, seramai 704 warga asing dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia dan India berusia antara setahun hingga 55 tahun diperiksa.

    Katanya, daripada jumlah itu, 637 individu mempunyai kad UNHCR, manakala 51 lagi tidak mempunyai sebarang dokumen.

    “Hasil pemeriksaan juga, kami mengesan beberapa individu warga Indonesia serta India yang tidak layak mempunyai kad dan surat yang dikeluarkan oleh UNHCR. Kita tidak menolak kemungkinan wujud sindiket dalam mengeluarkan kad UNHCR.

    “Susulan itu, kita akan memanggil wakil UNHCR untuk menunjukkan bukti kesalahan yang dikesan ini termasuk menyertakan dokumen yang disalah guna dan diberikan kepada warga asing yang tidak layak,” katanya.

    Pada masa sama, pihaknya juga akan terus memburu baki 60 pelarian etnik warga Rohingya yang masih lolos dari Depoh Imigresen Sementara Relau, Sungai Bakap, Pulau Pinang, dalam insiden rusuhan pada April lalu.

    Menurutnya, KDN sedang melancarkan operasi di seluruh negara bagi mengesan 60 individu berkenaan.

    “Operasi yang kita lakukan ini bukan sahaja di sini (Pasar Besar Meru), namun di seluruh negara. Kita mahu mengesan 60 baki warga Rohingya yang masih lolos.

    “Kita mahu maklumkan kepada rakan mereka (etnik Rohingya) yang tinggal di sini (Malaysia) bahawa kita akan tetap mengesan mereka sehingga berjaya.

    “Sesiapa sahaja yang melindungi mereka, kita akan tahan (individu berkenaan) kerana perbuatan itu adalah satu kesalahan,” katanya.

  • Siapa calon PM ditentukan selepas PH, PN menang PRU-15

    Siapa calon PM ditentukan selepas PH, PN menang PRU-15

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SIAPA calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) yang akan dipilih sekiranya kedua-dua gabungan itu bersetuju menjalin kerjasama politik akan ditentukan selepas menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, perkara itu bukan masalah utama kerana yang penting ketika ini membentuk persefahaman PH dan PN bagi menentang Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu pada PRU-15.

    “Calon Perdana Menteri boleh ditentukan apabila PH dan PN menang serta berjaya membentuk kerajaan campuran selepas PRU-15.

    “Calon Perdana Menteri daripada PH atau PN nanti itu biar Yang Dipertuan Agong tentukan. Calon Perdana Menteri nanti kita boleh tengok siapa yang layak dan parti yang mempunyai kerusi lebih banyak.

    “Kalau PH sudah tentulah kita menamakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon kita. Apa paling penting ketika ini adalah persetujuan untuk agihan kerusi antara PH dan PN,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengunjungi dua pesakit kronik, Den Mohammad Bavagan, 61, dan Jais Abdul, 64, di Perjiranan 8, flat Taman Air Biru, Pasir Gudang.

    Hassan melawat dan memberikan sumbangan kepada Jais yang terlantar di rumahnya di Perjiranan 8, flat Taman Air Biru, Pasir Gudang

    Hassan menyampaikan sumbangan Pusat Khidmat Parlimen Pasir Gudang berupa lampin, alas tilam dan wang tunai kepada kedua-dua pesakit itu.

    Pada Rabu, Hassan mencadangkan PH dan PN sudah boleh memulakan berbincang berkenaan agihan kerusi untuk PRU-15 bagi mencari jalan yang pragmatik dan praktikal untuk mengelak dua gabungan itu bertembung sesama sendiri.

    Sebelum ini PH kekal menamakan Anwar yang juga Presiden PKR sebagai calon Perdana Menteri manakala PN pula tetap menamakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri gabungan itu.

    Mengulas lanjut, Hassan berkata, persefahaman untuk PRU-15 itu bukan bermaksud parti komponen PH perlu bergabung atau masuk PN, begitu juga sebaliknya kerana kerjasama politik itu bagi mencari kaedah tidak bertembung kerusi.

    Katanya, selepas isu pembahagian kerusi dapat dicapai dan calon siapa Perdana Menteri tidak dibangkitkan sehingga menang PRU-15, PN
    PH atau PN masing-masing boleh merangka dasar termasuk manifesto PRU-15.

    Jelasnya, manifesto itu perlu realistik dan dapat menyelesai masalah rakyat ketika ini antaranya isu ekonomi, menangani hutang negara, inflasi, kenaikan harga barang dan masalah ketiadaan pekerjaan.

    “Manifesto ini mestilah ringkas, mampu dilaksana dan bukan retorik. Manifesto ini dibantu golongan teknokrat, ahli ekonomi, pakar dan mereka yang profesional. Ini tawaran kita untuk jangka masa pendek dan dalam tempoh masa lima tahun boleh nampak hasilnya,” katanya.

  • Pengganti Zuraida tak semestinya calon wanita

    Pengganti Zuraida tak semestinya calon wanita

    AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Faiz Na’aman berpendapat, calon menggantikan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin tidak semestinya datang daripada pemimpin wanita dalam parti itu.

    “Kriteria utama yang perlu diambil kira adalah kebolehan dan kemampuan calon itu melaksanakan tugas.

    “Kita tidak lihat tempat Zuraida itu untuk wanita sahaja, melainkan beliau adalah ketua Srikandi Bersatu,” kata Muhammad Faiz, menurut Free Malaysia Today yang memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, lazimnya, keutamaan diberikan kepada ahli Parlimen, diikuti senator atau ahli MPT.

    “Itulah kelazimannya. Tapi, boleh juga dia tiba-tiba pergi lantik ahli Parlimen yang bukan MPT,” katanya.

    Ketua Pemuda Bersatu, Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, MPT belum mengadakan perbincangan untuk mencadangkan nama calon.

    Ini kerana, katanya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mempunyai prerogatif membincangkan calon menggantikan Zuraida dengan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

    “Kami di pihak pucuk pimpinan parti serahkan kepada presiden (Muhyiddin) untuk berunding dengan perdana menteri,” katanya.

  • Senarai hitam agensi pembantu rumah yang langgar kontrak

    Senarai hitam agensi pembantu rumah yang langgar kontrak

    DUTA Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono berkata, agensi pembantu rumah yang melanggar kontrak akan disenarai hitam dan tidak lagi dibenar mengambil pekerja domestik dari republik itu.

    Beliau berkata, Kedutaan Indonesia kini akan lebih tegas terhadap agensi pembantu rumah bagi menangani pelbagai insiden, termasuk kes penipuan terhadap pekerja domestik dan juga penipuan terhadap majikan.

    “Kita letak tanggungjawab lebih kepada agensi. Selama ini, banyak agensi itu sebahagian daripada masalah, bukan sebahagian daripada penyelesaian.

    “Kita sekarang akan lebih tegas pada agensi-agensi yang tidak baik, yang tidak bertanggungjawab. Kami akan serta-merta letak mereka sebagai senarai hitam. Kalau anda tak bisa kerja dengan kami, tak payah ambil pekerja dari Indonesia,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Kuala Lumpur-Jakarta pada April lalu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pengambilan dan perlindungan Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI).

    MoU itu dilihat sarat dengan perlindungan kepada pembantu rumah dari Indonesia, yang pada Hermono, adalah usaha untuk menangani segala ketidakadilan terhadap kelompok itu.

    Media sebelum ini melaporkan terdapat majikan yang tidak membayar gaji pembantu rumahnya bertahun-tahun, termasuk mereka yang bergelar ‘Datuk’ dan ‘Tan Sri’.

    Banyak kes agensi lesap selepas membekalkan pembantu rumah bermasalah kepada majikan dan tidak kurang pula agensi bersikap lepas tangan, apabila majikan membuat aduan bahawa pekerja yang dibekal mereka tidak pandai bekerja, kata Hermono.

    “MoU ini sebetulnya memberikan perlindungan kepada majikan juga. Kalau bisakan dia mendapat pekerja yang tidak sesuai dengan kontraknya, dia boleh buat aduan dengan agensinya. Agensinya berkewajipan menyelesaikan persoalan-persoalan (yang timbul),” tegasnya.

    Hermono memberitahu, pekerja domestik yang mahu bekerja di Malaysia akan diberikan latihan terlebih dahulu bagi memastikan majikan mendapat pekerja berkualiti.

    Namun, tetap ada cabarannya apabila terdapat agensi tidak bertanggungjawab merekrut pembantu rumah tanpa menjalani latihan asas.

    “Yang menjadi masalah selama ini, sebetulnya adalah mereka yang bekerja secara tidak sah, pendatang asing tanpa izin (PATI) itu, sebab mereka ini tidak dipersiapkan. Mereka ini dari kampung, lalu langsung dikirim ke Malaysia, dia tak tahu bekerja. Tapi kalau ikut semua yang ada dalam MoU, ada jaminan majikan pun akan datang pekerja yang terlatih.

    “Kalau katakanlah pekerja yang diterima (majikan) tidak sesuai dengan kontrak, agensi bertanggungjawab. Dia harus ganti,” katanya.

    Berdasarkan MoU itu, Malaysia dijangka menerima kemasukan pembantu rumah dari Indonesia akhir bulan ini, dengan bayaran gaji minimum RM1,500 sebulan.

  • 2,683 guru CoS 2020 dilantik semula-Dr. Radzi

    2,683 guru CoS 2020 dilantik semula-Dr. Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan melantik semula secara kontrak 2,683 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 selepas tempoh lantikan mereka tamat pada 9 Jun nanti.

    Menterinya, Datuk Mohd. Radzi Jidin berkata, mereka sebelum ini merupakan lantikan Contract of Services (CoS) tahun 2020.

    Jelasnya, perkara tersebut telah mendapat persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) baru-baru ini.

    Selain itu, Mohd. Radzi berkata, pihak SPP juga telah mengeluarkan keputusan temuduga untuk CoS one-off bagi tahun 2021, dan pemohon boleh mula menyemak keputusan di www.spp.gov.my.

    “Kita tahu guru-guru yang mana pengambilan CoS tahun 2020 mereka amat khuatir kerana akan tamat pada Jun 2022 ini. Dan untuk makluman semua, semalam kita telah mendapat makluman SPP bahawa mereka akan dilanjutkan tempoh mereka bagi membolehkan proses berkaitan pelantikan mereka sebagai guru di bawah bidang kuasa SPP dapat dilaksanakan.

    “Guru-guru CoS 2020 jangan risau, kita dah dapat maklumbalas SPP semalam, tempoh akan dilanjutkan bagi membolehkan segala proses dapat dilaksanakan dengan baik. Begitu juga ada yang bertanya tentang CoS one-off yang kita umumkan akan dibuat sebelum 31 Mei, dan SPP telah mengeluarkan keputusan temuduga untuk CoS ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada media selepas selesai menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek SK Putrajaya Presint 8(3), Putrajaya, hari ini, lapor Astro Awani.

    Sebelum ini lebih 2,600 guru CoS menzahirkan kebimbangan tentang status mereka, selepas kontrak tamat pada Jun ini.

    Bagaimanapun Mohd. Radzi telah memberi jaminan bahawa nasib mereka akan terbela, dan gaji mereka untuk Mei tetap akan masuk seperti biasa.

    Mengulas mengenai projek pecah tanah tersebut, beliau berkata, SK Putrajaya Presint 8(3) merupakan antara yang disenaraikan dalam Rancangan Malaysia ke-11, dan Jabatan Kerja Raya akan membuat kerja-kerja pembinaan dengan segera.

    Katanya lagi, sekolah tersebut akan menelan kos pembinaan sekitar RM38 juta, dan dijangka beroperasi pada Januari 2024.

    “Pada masa ini, murid SK Putrajaya Presint 8(3) menumpang di SMK Putrajaya 11 (2) melibatkan 439 murid di 18 bilik darjah. Telah menumpang sejak tahun 2020. Keputusan beroperasi secara co-exist di SMKPP 11(2) adalah berdasarkan pertambahan keperluan bilik darjah bagi murid Tahun 1 kemasukan tahun 2020 di kawasan Presint 8.

    “KPM sentiasa memberi keutamaan kepada isu kepadatan pelajar dan komitmen untuk menyediakan sekolah satu sesi. Sehingga kini, jumlah sekolah yang berada di Putrajaya adalah sebanyak 16 sekolah rendah dan 11 sekolah menengah,” katanya lagi.

    Selain itu, Mohd. Radzi berkata, terdapat tiga lagi projek pembinaan sekolah baharu di Putrajaya yang telah diluluskan bagi pembinaan, iaitu kompleks sekolah Presint 15, SK Putrajaya Presint 17(2) dan kompleks Presint 5(2).

  • 180 Tabika, Taska seluruh negara ditutup akibat HFMD

    180 Tabika, Taska seluruh negara ditutup akibat HFMD

    PENULARAN penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) menyebabkan sebanyak 180 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska) di seluruh negara ditutup sehingga semalam.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah tersebut, penutupan premis itu adalah membabitkan 105 Tabika dan 75 Taska kecuali di Negeri Sembilan dan Melaka.

    Katanya, penutupan dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

    “Penutupan Tabika dan Taska selama 10 hari dan selepas tempoh itu, sama ada boleh dibuka atau tidak adalah bergantung kepada keputusan KKM,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Aidilfitri Bersama warga Jabatan Kemajuan Masyarakat di Kuantan hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohamad Yasid Bidin.

    Menurut Mahdzir Kemas sentiasa memantau perkembangan dan mengambil langkah proaktif dalam menangani penularan HFMD melibatkan Tabika dan Taska.

    Beliau berkata, ibu bapa dan penjaga juga tidak perlu bimbang kerana Kemas sentiasa memantau setiap hari kehadiran kanak-kanak yang hadir ke Tabika dan Taska.

    “Kita juga meminta 12,043 Pendidik di Tabika dan 1,837 Pendidik Taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan membuat saringan awal seperti mengimbas suhu badan setiap kali kanak-kanak ini hadir ke kelas.

    “Apabila tamat sesi pembelajaran juga kita buat pemerhatian jika terdapat kanak-kanak mempunyai simptom jangkitan HFMD dan ibu bapa akan dimaklumkan segera untuk membawa anak mereka mendapat rawatan doktor.

    “Murid Tabika dan Taska Kemas juga akan diasingkan jika didapati mempunyai gejala HFMD bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain,” ujarnya.

    Sehubungan itu, Mahdzir meminta ibu bapa memantau kesihatan anak masing-masing sekiranya mempunyai gejala seperti demam, ulser pada mulut dan lidah, ruam dan lepuh pada tangan serta kaki, malah dinasihatkan tidak menghantar mereka ke Tabika atau Taska.

  • Naqiu kemalangan dilanggar teksi

    Naqiu kemalangan dilanggar teksi

    PENYANYI Naqiu berhadapan dengan detik cemas apabila mengalami kemalangan setelah langgar oleh sebuah teksi dari arah bertentangan.

    Kemalangan yang berlaku di Putrajaya berlaku kira-kira pukul 8 malam tadi sebaik sahaja dia pulang daripada menjalani latihan untuk persembahan sempena Anugerah Meletop Era yang akan berlangsung esok.

    “Memang kejadian berlaku sangat cepat dan saya hanya perasan apabila beg udara  terkeluar dan kereta mula berasap. Waktu tu saya panik dan tak tahu nak buat apa-apa.

    “Bila keadaan sudah okay barulah saya hubungi pengurus memaklumkan kejadian tersebut. Janhan risau tak ada kecederaan serius pun,” katanya, lapor Satu Berita.

    Namun penyanyi berusia 37 tahun ini mendedahkan beberapa anggota badan termasuklah muka, bahagian dada dan kaki sakit akibat kemalangan tersebut.

    Dalam kejadian itu, dia tidak keseorangan sebaliknya bersama pengawal perhubungan awam syarikat naungannya.

    Kedua-dua mereka sudah pun membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut di Sepang dan mendapatkan rawatan di hospital untuk pemeriksaan lanjut.

  • Pekerja empangan lemas ketika menjala ikan

    Pekerja empangan lemas ketika menjala ikan

    SEORANG lelaki yang hilang selepas perahu dinaiki bersama tiga rakan karam ketika menjala ikan berhampiran Empangan Baleh, Putai, Kapit pada malam Rabu lalu ditemukan lemas pukul 4.11 petang semalam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Timoty Barat berkata, mangsa, Julius Melina, 35, dijumpai terapung oleh orang awam berhampiran Klinik Kesihatan Nanga Merirai.

    “Dalam insiden itu, mangsa gagal menyelamatkan diri manakala dua rakan mangsa selamat selepas berjaya berenang ke tebing sungai yang berlaku sekitar tengah malam Rabu lalu.

    “Mayat mangsa dijumpai terapung oleh orang awam kira-kira 40 kilometer daripada lokasi perahu mereka karam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan Borneo.

    Timoty berkata, mangsa berasal dari Nanga Ibau, Kapit dan merupakan seorang pekerja Empangan Balleh Putai.

    Katanya, mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi pencarian telah ditamatkan semalam.

    Operasi pencarian tersebut juga dibantu oleh pasukan polis (empat), Angkatan Pertahanan Awam (dua orang) dan tiga orang dari Lembaga Sungai-Sungai Sarawak.

  • 14 ekor gajah liar ceroboh tiga kampung, penduduk ketakutan

    14 ekor gajah liar ceroboh tiga kampung, penduduk ketakutan

    SEBANYAK 14 ekor gajah liar dipercayai dari kumpulan Awang Tok Uban menceroboh masuk ke tiga buah kampung di Lata Rek, Kuala Krai dan merosakan kawasan kebun untuk mencari makanan, petang kelmarin.

    Kehadiran sekawan gajah liar itu menyebabkan lebih 100 keluarga dari Kampung Tok Uban, Kubang Kerian dan Catan diselubungi kebimbangan.

    Seorang penduduk, Mohd. Rizuman Hanafi, 37, berkata, kejadian gajah liar menceroboh masuk ke kawasan kampung bukan perkara baharu malah semakin menjadi-jadi ketika ini.

    Menurutnya, kumpulan gajah liar mula menceroboh masuk ke kawasan kampung sejak 2020.

    “Ketika itu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah berjaya menangkap salah seekor daripada kumpulan gajah tersebut iaitu Awang Tok Uban.

    “Sejak itu kumpulan gajah yang terbahagi kepada dua iaitu 14 dan 16 ekor terus menceroboh masuk ke kawasan kebun dan penempatan penduduk bersilih ganti.

    “Keadaan tersebut menyebabkan penduduk menjadi takut untuk keluar menoreh getah,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Mohd. Rizuman berkata, susulan itu lebih 20 penoreh getah terpaksa ‘menggantung’ pisau toreh selepas tidak berani untuk masuk ke kawasan kebun.

    “Sudah tiga hari saya dan penduduk tidak dapat keluar menoreh getah.

    “Apabila tidak dapat keluar menoreh, pendapatan kami terjejas kerana menoreh getah merupakan sumber pendapatan utama penduduk di sini untuk menyara keluarga,” katanya.

    Menurutnya, penduduk kampung telah membuat laporan berhubung pencerobohan gajah itu ke Perhilitan.

    Katanya, penduduk berharap Perhilitan dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah tersebut.

    Sinar Harian pada 18 Oktober lalu melaporkan, seekor gajah jantan berusia 30 tahun di Kampung Tok Uban, Sungai Rek di sini yang ditangkap Perhilitan berjaya dipindahkan dengan bantuan dua ekor gajah denak iaitu Abot dan Rambai.