Author: Admin

  • Empat kenderaan rosak dilanggar bas undur sendiri

    Empat kenderaan rosak dilanggar bas undur sendiri

    EMPAT buah kenderaan rosak selepas sebuah bas yang sedang diparkir tiba-tiba mengundur sendiri lalu melanggar kenderaan berkenaan di pekan Goh Tong Jaya, Genting Highlands, semalam.

    Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, bas tersebut diletakkan di hadapan sebuah hotel dengan empat kenderaan yang terlibat diletakkan di tempat letak kereta, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, bas tersebut milik sebuah institut pendidikan perguruan di Kuala Terengganu manakala empat kenderaan yang terlibat terdiri daripada sebuah pacuan empat roda, kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan kereta.

    “Hasil siasatan polis mendapati bas tersebut telah diletakkan di hadapan hotel dalam keadaan enjin dimatikan kira-kira pukul 5 petang sementara pemandunya yang berusia 60 tahun telah keluar untuk beriadah.

    “Pada jam lebih kurang 6 petang, bas itu dipercayai bergerak sendiri secara mengundur dan melanggar empat kenderaan tersebut yang diletakkan di tepi jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Ujarnya, kejadian menyebabkan empat kenderaan itu rosak, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

    “Kita mohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian ini untuk tampil membantu siasatan,” tambahnya.

  • Tanah diambil pemaju, penduduk risau diusir bulan depan

    Tanah diambil pemaju, penduduk risau diusir bulan depan

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    KIRA-KIRA 20 penduduk di Kampung Paya, Teluk Kumbar di Georgetown kini menghitung hari apabila pihak pemaju akan mengambil tanah di kampung tersebut untuk dimajukan dengan projek komersial.

    Difahamkan, tanah kampung tersebut yang didiami mereka secara sewa tahunan lebih 50 tahun lalu dijual pemilik asal kepada syarikat pemaju yang mahu membangunkannya tidak lama lagi.

    Mereka diberikan tempoh oleh pihak pihak pemaju untuk berpindah dan mengosongkan tanah tersebut sebelum 17 Jun ini.

    Susulan itu, rata-ratanya yang merupakan warga emas, ibu tunggal dan bekerja sebagai nelayan di kampung tersebut bimbang dengan nasib mereka.

    Malik Mohamad Sharif, 59, serta lebih 20 penduduk yang masih tinggal di kampung tersebut merayu pihak berkaitan khususnya kerajaan negeri Pulau Pinang turut melihat kepada aspek kebajikan mereka sebelum mengambil langkah pengusiran.

    Ujarnya yang bekerja sebagai nelayan, keluarganya yang sudah tinggal di kampung itu lebih dari tiga generasi tidak mempunyai tempat lain untuk dituju atau membina semula kehidupan sekiranya terus dipaksa berpindah.

    “Sebab itu kami berharap pihak pemaju atau kerajaan negeri boleh mempertimbangkan untuk memberikan kami rumah baharu di kawasan ini sebelum kami berpindah.

    “Pampasan yang ditawarkan iaitu sebanyak RM48,000 tidak memadai untuk kami mencari rumah baharu di kawasan ini dan meneruskan kehidupan kami di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Terdahulu, Malik serta penduduk Kampung Paya yang terlibat dengan pengusiran itu mengadakan demonstrasi aman di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown.

    Selain bantahan aman, mereka turut menyerahkan memorandum kepada wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk dipanjangkan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow sempena sidang DUN yang bermula hari ini.

    Seorang lagi penduduk, Sazali Hanafi, 63, berkata, pampasan tersebut tidak besar nilainya untuk mereka mencari kediaman baharu termasuk di kawasan asal mereka di Teluk Kumbar.

    Malah katanya, projek perumahan baharu yang dirancang di tapak asal kampung mereka juga akan dijual pada harga bermula RM72,000 iaitu jauh lebih tinggi daripada nilai pampasan ditawarkan kepada mereka.

    “Kami bersedia berpindah jika kerajaan negeri dan pihak pemaju dapat menawarkan kami unit di projek perumahan tersebut kerana ini adalah tempat asal kami dan kami tidak mahu berpindah dari sini,” katanya yang bekerja sebagai nelayan.

    Bagi ibu tunggal, Rodiah Shuib, 65, turut merayu pihak berkenaan dapat menyediakan penempatan baharu kepadanya di kawasan tersebut sebelum langkah pengusiran dilakukan.

    Dia yang sudah menetap di situ lebih 50 tahun lalu bimbang jika terpaksa berpindah dan memulakan kehidupan di tempat lain apatah lagi dia tidak mempunyai pendapatan kerana tidak lagi mampu bekerja dan hanya bergantung hidup kepada dua anaknya.

    “Saya masih lagi dalam kesedihan selepas kehilangan anak akibat Covid-19 baru-baru ini, dan arahan supaya saya mengosongkan rumah sehingga pertengahan bulan depan makin membuatkan saya sedih dan tertekan,” katanya.

  • Maritim tahan 3 kapal tangki asing pindah minyak secara haram

    Maritim tahan 3 kapal tangki asing pindah minyak secara haram

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA buah kapal asing ditahan kerana melakukan pemindahan minyak secara haram kedudukan 9.1 batu nautika timur Tanjung Siang, Kota Tinggi antara jam 12 tengah hari hingga 7 malam tadi.

    Kapal yang berdaftar dari Singapura, Malabo dan Monrovia itu ditahan dalam operasi melibatkan sebuah pesawat udara milik maritim Malaysia dan tujuh anggota Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia.

    Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, penahan terpaksa dilakukan semua kru dari kapal berkenaan tidak memberikan kerjasama semasa pemeriksaan.

    “Penahanan terpaksa dilakukan secara ‘force boarding’ oleh Pasukan Tindakan Khas Maritim Malaysia berikutan kedegilan kru kapal itu memberikan kerjasama untuk diperiksa penguat kuasa.

    Kapal tangki itu dikendalikan 39 kru warga Indonesia, Singapura dan Rusia berumur di antara 24 hingga 62 tahun

    “Kapal tangki itu dikendalikan 39 kru warga Indonesia, Singapura dan Rusia berumur di antara 24 hingga 62 tahun dan mempunyai pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Nurul Hizam, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan 491B(1)(L) bagi kesalahan bersauh tanpa kebenaran.

    “Jika didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

    “Nakhoda ketiga-tiga kapal turut disiasat di bawah Sekyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM 10,000 atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah,” katanya.

  • Empat tokan dadah diberkas polis bersama rampasan bernilai RM11,550

    Empat tokan dadah diberkas polis bersama rampasan bernilai RM11,550

    POLIS Kelantan menahan empat tokan dadah dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan di Tumpat dan Kota Bharu, semalam.

    Menurut Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dadah bernilai RM11,000 itu berjaya dirampas bersama-sama suspek lelaki berusia dari 26 hingga 48 tahun itu.

    Menurut beliau, serbuan pertama membabitkan penahanan dua lelaki di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, Tumpat pada pukul 1 pagi.

    “Jumlah dadah dalam serbuan pertama adalah sebanyak 1,020 pil kuda dan empat biji pil epam bernilai RM10,220,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Muhamad Zaki, dalam serbuan kedua pula, polis menahan seorang lelaki di belakang sebuah rumah di Kampung Jal Kechik, Tumpat pada pukul 2.30 pagi.

    Sementara serbuan kedua pula katanya, menemukan 23 biji pil kuda dan tiga gram dadah bernilai RM730.

    “Kemudian dalam serbuan ketiga, seorang lelaki ditahan di sebuah rumah di Kampung Sireh Bawah Hilir, Kota Bharu dan polis merampas 55 biji pil kuda bernilai RM550,” ujarnya.

    Tambah Muhamad Zaki, kesemua suspek direman lima hari bermula Ahad sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

    Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah dalam ketiga-tiga serbuan tersebut berjumlah RM11,550 selain sebuah motosikal jenis RS 150 berwarna hitam bernilai RM6,000 disita.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B, 39A (1) dan 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Pil yaba paling popular, permintaan tinggi di Kelantan

    Pil yaba paling popular, permintaan tinggi di Kelantan

    PIL yaba merupakan dadah paling popular di Kelantan dan mendapat permintaan tinggi kerana senang digunakan selain mudah dibawa.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dadah jenis itu lebih terkenal di negeri itu heroin.

    “Selain daripada segi mudah dibawa, harga yang murah juga menyumbang kepada faktor permintaan tinggi.

    “Sebiji pil yaba berharga RM10 sahaja. Namun jika permintaan tinggi dan bekalan sukar diperoleh susulan kawalan ketat, harga akan meningkat sehingga mencecah RM20 sebiji.

    “Kita akan meningkatkan operasi bagi membuat tangkapan terhadap tokan dadah terbabit dalam usaha membanteras jenayah dadah di negeri ini,” katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini, lapor Harian Metro.

    Pada sidang media berkenaan, Muhamad Zaki turut memaklumkan, pihaknya menahan empat lelaki yang juga pengedar dadah menerusi tiga serbuan berasingan di Kota Bharu dan Tumpat semalam.

    Katanya, hasil serbuan pukul 1 pagi hingga 12 tengah hari itu membawa kepada 1,098 biji pil kuda, 3 gram heroin dan empat biji Epam yang keseluruhannya bernilai RM11,550.

    “Pemeriksaan mendapati, tiga daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan kesemua mereka berusia antara 26 hingga 48 tahun itu ditahan reman sehingga Khamis ini.

    “Sekiranya dadah ini terlepas, ia boleh digunakan seramai 580 orang penagih dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.


  • Dua anggota polis bebas tuduhan seks oral, cabul, peras ugut

    Dua anggota polis bebas tuduhan seks oral, cabul, peras ugut

    MAHKAMAH Sesyen Kota Bharu hari ini melepas dan membebaskan dua anggota polis atas lapan pertuduhan termasuk melakukan seks oral, mencabul dan peras ugut terhadap sepasang kekasih di Pengkalan Chepa, kira-kira dua tahun lalu.

    Hakim Ahmad Bazli Bahruddin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh iaitu Koperal Mohd. Hanafi Mohd. Zaki, 37, dan Lans Koperal Mohammad Izauddin Abdul Wahab, 32.

    Ahmad Bazli dalam penghakiman berkata, selepas meneliti dan mempertimbangkan hujahan semua pihak, pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Mohd. Hanafi dan Mohammad Izauddin.

    “Oleh itu, mahkamah melepas dan membebaskan kedua-dua tertuduh tanpa perlu membela diri daripada kesemua pertuduhan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Sementara itu, Mohammad Izauddin ketika ditemui berkata, sepanjang lebih setahun, dia dan rakannya ditahan kerja dan hanya melakukan kerja kampung untuk menampung kehidupan.

    Katanya, selain itu, mereka sekeluarga juga terpaksa menanggung malu berikutan kes itu ditularkan dalam media sosial.

    “Alhamdulillah, akhirnya kebenaran berpihak kepada kami sekali gus dapat membersihkan nama saya dan keluarga,” katanya yang juga bapa kepada seorang anak.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Majdah Mohamad dan Mohd. Firdaus Zainal Abidin.

    Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa mengarahkan seorang lelaki melakukan kelucahan melampau terhadap pasangannya berusia 20 tahun di kawasan kilang terbiar di Padang Tembak, Pengkalan Chepa pada 10.45 malam 4 Disember 2020.

    Mereka turut didakwa secara bersama mengarahkan mangsa wanita melakukan seks oral terhadap mangsa lelaki serta melakukan pemerasan ugut dengan meminta wang RM1,250 sebagai dorongan tidak dirujuk ke pejabat agama.

    Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

    Mohd. Hanafi turut didakwa mencabul mangsa wanita dan mengarahkan mangsa lelaki berbogel bagi mengaibkan kehormatannya di dalam kereta Honda Civic di lokasi sama.

    Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

    Mohammad Izauddin pula dituduh menumbuk mangsa lelaki, mengarahkan mangsa wanita berbogel dan melakukan persetubuhan luar tabii.

    Perbuatan itu dilakukan di Jambatan Pak Nik Lah dan di tempat letak kereta di sebuah masjid di Padang Tembak pada 10.45 malam hingga 12 tengah malam hari sama.

    Kes itu didakwa mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

  • Harga barang naik: Peniaga tersepit, terpaksa naikkan harga

    Harga barang naik: Peniaga tersepit, terpaksa naikkan harga

    KENAIKAN harga borong dan kekurangan bekalan menyebabkan harga bahan mentah seperti ayam, ikan dan sayur meningkat, sekali gus menghimpit rakyat.

    Tinjauan di dua pasar tani di Selangor dan Kuala Lumpur, mendapati harga sayur-sayuran naik sehingga 50 peratus, manakala bekalan ayam segar masih tidak mencukupi.

    Di pasar tani Bukit Damansara, Kuala Lumpur, peniaga sayur, Zakaria Che Musa mendakwa, harga sayur ketika ini merupakan yang tertinggi sejak 30 tahun lalu, jika sebelum ini harga bahan makanan itu ditentukan mengikut musim, namun peningkatan ketara berlaku sejak 1 April lalu, rentetan bekalan yang tidak menentu.

    “Dia kadang-kadang naik, dia turun balik tak macam barang lain, ikut musim. Tetapi sekarang, sayur-sayur ini di peringkat yang tertinggi daripada yang biasa, minta-minta turun balik,” luahnya, menurut Satu Berita yang memetik laporan Buletin Utama.

    Peniaga ikan, Norhafizi Nordin, pula berkata, bekalan ikan setakat ini masih stabil, namun terdapat kenaikan harga yang berlaku kepada beberapa jenis ikan yang mendapat permintaan tinggi.

    “Ikan sekarang ini harga turun naik, ikut pasaran semasa, kalau hari ini mahal, esok murah. Ada jenis ikan yang naik (harga), seperti selar, kembung,” katanya.

    Ikan kembung dijual pada harga RM23.50 sekilogram, tokol putih RM17.50 sekilogram, dan ikan pelaling serta selar kuning masing-masing dijual pada harga RM16.50 sekilogram.

    Sementara itu, di pasar tani Kelana Jaya, Selangor, mendapati ayam mentah habis dijual seawal 8.30 pagi.

    Ujar peniaga ayam, Zulkifli Hamdan, keadaan itu berlaku apabila bekalan yang diterimanya tidak mencukupi.

    “6.20 pagi kami mula meniaga, 8.20 pagi ayam dah habis. Sini biasanya kita jual 600 ke 700 ekor, tetapi hari ini kita dapat bekalan hanya 300 ekor. Perkara ini sudah berlaku selama tiga ke empat minggu, bekalan kurang,” ujarnya.

    Selain terpaksa menutup gerainya di pasar malam, dia terpaksa menaikkan harga kepada RM11.20 sekilogram,  berbanding harga siling yang ditetapkan kerajaan RM8.90.

    Tegasnya, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan ekoran ia berlaku dari pihak pemborong lagi dan peniaga terlibat berharap agar pihak bertanggungjawab dapat mengesan punca seterusnya menyelesaikan isu berkenaan dengan segera.

  • Isu tiada bekalan air:30 penduduk demontrasi depan bangunan DUN Pulau Pinang

    Isu tiada bekalan air:30 penduduk demontrasi depan bangunan DUN Pulau Pinang

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    LEBIH 30 wakil penduduk di kawasan Mukim 5 Seberang Perai Selatan (SPS) hari ini mengadakan demonstrasi aman berkenaan masalah air di hadapan bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown, hari ini.

    Mereka turut menyerahkan memorandum kepada wakil Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil kesempatan sempena sidang DUN yang sedang berlangsung ketika ini dengan harapan suara dan masalah mereka dapat diberi perhatian.

    Demosntrasi aman itu dilakukan kerana masalah dihadapi penduduk di mukim berkenaan yang berdepan masalah ketiadaan air sejak lebih empat tahun lalu, namun masih gagal diselesaikan sehingga kini.

    Malah menurut penduduk, anak-anak mereka yang sepatutnya tinggal di asrama juga diminta pulang oleh pihak sekolah yang turut berdepan masalah ketiadaan air.

    Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Sementara berhubung isu itu, Khairul Ahmad Fitri Suhaimi berkata, 30, penduduk terpaksa mengambil tindakan mengadakan demonstrasi hari ini selepas isu ketiadaan air tersebut gagal diselesaikan sehingga kini.

    “Sedangkan penduduk telah beberapa kali membangkitkan perkara ini sama ada kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) serta kerajaan negeri menerusi wakil rakyat kawasan berkenaan sebelum ini.

    “Sebaliknya apa yang kami dapat adalah jawapan yang mengecewakan dan penyelesaian jangka pendek yang langsung tidak mementingkan kebajikan kami sebagai rakyat.

    “Antaranya adalah bekalan air di kawasan kami terpaksa dibahagikan dengan kawasan industri di Batu Kawan dan Bukit Minyak dan ini tidak adil bagi kami sebagai pengguna domestik,” katanya kepada pemberita selepas demonstrasi aman itu.

    Seorang peniaga, Khairul Ahmad Fitri mempersoalkan langkah jangka pendek pihak berkaitan menyediakan tangki air sementara yang tidak memadai untuk menampung kira-kira 32,000 isi rumah (akaun) di kawasan tersebut yang terjejas dengan masalah air berkenaan.

    “Tangki air sementara ini pula diisi dengan air yang tidak sesuai untuk kegunaan penduduk lebih-lebih lagi untuk memasak.

    “Malah, ia juga menyusahkan penduduk khususnya warga emas yang tinggal jauh dari lokasi tangki itu untuk memunggah air setiap hari khususnya ketika mereka tinggal bersendirian,” katanya.

    Bagi Nurul Niza Zaini, 44, dia dan penduduk di Taman Seri Emas ketika ini hanya menerima bekalan air dalam tempoh hanya empat jam iaitu antara pukul 1 pagi hingga 4 pagi setiap hari.

    Ujar kakitangan swasta itu, tempoh waktu yang tidak logik tersebut menyusahkan penduduk yang terpaksa bangun atau berjaga sehingga awal pagi untuk menyelesaikan urusan rumah berkaitan penggunaan air.

    “Masalah ini semakin meruncing sejak awal tahun ini dan pada sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri lalu, kami pernah terputus bekalan air antara 15 hingga 20 jam,” katanya.

    Tambah beliau, penduduk berharap masalah ketiadaan bekalan air itu dapat diselesaikan segera dan tidak teragak-agak membuat laporan kepada pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terus berlanjutan.

  • 3 pengawal keselamatan diugut, diikat sebelum samun

    3 pengawal keselamatan diugut, diikat sebelum samun

    TIGA pengawal keselamatan diugur dan disamun dalam dua siri kejadian di sebuah kilang mesin bitcoin di Meru, Klang pada 27 April dan 20 Mei lalu yang berlaku antara pukul 2 hingga 3 pagi.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan yang dijalankan kemudian berjaya menangkap 12 individu di sekitar Klang termasuk seorang lelaki warga Indonesia dipercayai terlibat dalam kejadian.

    “Penangkapan kesemua suspek berumur antara 20 hingga 40-an ini sekali gus berjaya menyelesaikan beberapa siri jenayah samun di sekitar kawasan Klang

    “Laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengarah syarikat kilang tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di Klang, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, laporan berkaitan kejadian dibuat oleh pengarah syarikat kilang tersebut.

    “Siasatan mendapati kejadian melibatkan 180 mesin bitcoin dianggarkan bernilai lebih RM180,000.

    “Tiga pengawal keselamatan yang telah diugut dan diikat ketika kejadian pada 27 April serta 20 Mei itu merupakan warga tempatan berumur lingkungan 30-an. Kesemua mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

    Menurutnya, susulan tangkapan yang dijalankan, polis berjaya menemukan pelbagai barangan termasuk mesin bitcoin yang telah disamun.

    “Selain itu, polis turut merampas dua buah kenderaan jenis Proton Wira dan Nissan Sentra, telefon bimbit serta pelbagai barangan lain.

    “Semakan rekod mendapati 11 daripada 12 suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau melibatkan jenayah serta dadah,” katanya.

    Pihaknya turut mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu.

    “Keempat suspek ini mempunyai hubung kait dengan kejadian dan dipercayai berumur sekitar 30-an.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Arena takraw negara kehilangan Raja Libas

    Arena takraw negara kehilangan Raja Libas

    ARENA sepak takraw Malaysia kehilangan seorang legenda emas negara apabila Rehan Mohamad Din meninggal dunia di kediaman keluarganya di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor malam tadi.

    Perkhabaran mengenai Raja Libas Malaysia era akhir 80-an dan awal 90-an berusia 54 tahun itu dimaklumkan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di laman Facebook persatuan tersebut.

    “Salam takziah buat keluarga Allahyarham Rehan Mohamad Din (Lagenda Emas Negara) yang telah kembali ke rahmatullah pada 29 Mei 2022 di kediaman keluarganya di Felda Air Tawar 3, Kota Tinggi, Johor Darul Ta’zim. 

    “PSM mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa beliau ketika mewakili negara sebagai pemain dan juga jurulatih yang amat dihargai dan akan dikenang sepanjang zaman. Al Fatihah,” katanya, lapor Satu Berita.

    Untuk rekod, Allahyarham pemenang dua pingat emas regu berpasukan dan antara regu Sukan Asia Beijing 1990, bergandingan dengan Nordin Sabarudin (tekong) dan Abd Malik Samsudin (apit kiri pengumpan) menewaskan Thailand 2-1 dan 2-0 dalam perlawanan akhir.

    Turut memperkasakan skuad takraw negara temasya di China itu Ahmad Jais Baharun, Shaari Hashim, Rosli Ab. Rahman, Noor Rani Adnan, Raziman Hassan, Ku Halim Ku Musa, Mohd.Noor Abdullah, Baharum Jahar dan Suhaimi Yusof.