Author: Admin

  • Pengusaha kantin boleh gulung tikar jika tidak naikkan harga:PPKSM

    Pengusaha kantin boleh gulung tikar jika tidak naikkan harga:PPKSM

    AKIBAT kenaikan harga barang yang tidak terkawal, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) mendesak kerajaan membenarkan pihaknya menaikkan harga makanan di kantin sekolah. 

    Setiausaha PPKSM, Siti Normah Md. Desa, 38, berkata pihaknya sudah tidak mampu menanggung kerugian berterusan akibat impak kenaikan harga barang makanan seperti sayur-sayuran, ayam, ikan dan sebagainya.

    “Kenaikan harga barang membuatkan pengusaha kantin tersepit kerana tiada keuntungan diperolehi.

    “Kami juga tidak boleh menaikkan harga makanan sesuka hati kerana bergantung kepada Pihak Pentadbir Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

    “Kantin sekolah bukan seperti restoran di luar yang bebas menerima pelanggan dan boleh menaikkan harga sesuka hati. Pelanggan kami hanya murid-murid, guru serta ibu bapa yang beranggapan makanan di kantin perlu murah,” katanya memetik laporan SatuBerita, hari ini.

    Setiausaha PPKSM, Siti Normah Md Desa

    Menurutnya, kebanyakan pengusaha kantin hanya mampu ‘balik modal’ sahaja dan boleh gulung tikar jika situasi ini berterusan.

    “Saya terpaksa menggunakan wang simpanan sendiri bagi menampung kos harga barang untuk Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta memperbaiki infrastruktur kantin sekolah yang terbengkalai akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lalu,” luahnya.

    Siti Normah berkata, paling terkesan adalah program RMT kerana program ini adalah ehsan dan sedekah daripada pengusaha kantin, dimana tiada keuntungan dalam menyediakan makanan untuk program ini.

    “Saya berharap pihak bertanggungjawab buka mata dan memberi kelonggaran untuk menaikkan harga makanan selain subsidi istimewa untuk pengusaha kantin di Malaysia supaya terus beroperasi,” katanya.

  • Pemain bola sepak digugurkan jika terbukti bersalah kes rogol remaja

    Pemain bola sepak digugurkan jika terbukti bersalah kes rogol remaja

    PEMAIN bola sepak liga tempatan yang didakwa terbabit dalam kes rogol seorang remaja perempuan berusia 18 tahun bakal digugurkan daripada pasukan jika disabitkan bersalah.

    Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, sekiranya terdapat kesamaran dalam kes tersebut, pemain berusia 28 tahun itu akan diberikan peluang.

    Beliau berkata, secara rasminya belum mengetahui pemain daripada pasukan mana dan meminta minta pihak pengurusan lakukan siasatan.

    “Pemain yang langgar peraturan harus dikenakan tindakan sewajarnya seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan juga negeri.

    “Saya rasa terkilan dengan kejadian itu dan sebagai negeri membangun bersama Islam, pihaknya banyak berusaha supaya atlet faham tanggungjawab sebagai manusia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, pemain yang langgar peraturan harus dikenakan tindakan sewajarnya seperti yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan dan juga negeri.

    Wan Roslan turut melahirkan rasa terkilan dengan kejadian itu dan sebagai negeri membangun bersama Islam, pihaknya banyak berusaha supaya atlet faham tanggungjawab sebagai manusia.

    Beliau berharap semua atlet dapat mematuhi syariah yang telah ditetapkan.

    “Dalam usaha kita ke arah itu kadang-kadang ada yang terlanggar peraturan. Biasalah dalam kita buat sesuatu perkara sentiasa berdepan dengan ujian dan yang kita hendak tidak semua boleh dicapai,” katanya.

    Semalam, media melaporkan polis menahan seorang pemain bola sepak liga tempatan bagi membantu siasatan kes rogol seorang remaja perempuan.

    Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tangkapan lelaki berusia 28 tahun itu dibuat di Jalan Pantai Cahaya Bula, Kota Bahru malam Ahad lalu, selepas mangsa berusia 18 tahun membuat laporan.

  • Suami isteri mengaku salah abai anak didenda RM14,000

    Suami isteri mengaku salah abai anak didenda RM14,000

    SEPASANG suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka hari ini atas dua tuduhan pindaan mengabaikan anak sulung mereka berusia 14 tahun pada tahun lalu.

    Hakim, Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd. Saufi Md. Paiman dan Nor Azlina Ab Aziz masing-masing berusia 39 tahun mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Sinar Harian melaporkan, berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Mohd. Saufi didapati telah mendedahkan mangsa sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

    Perbuatan itu dilakukan di rumah mereka di Taman Bukit Rambai antara pukul 7 pagi hingga 6 petang pada 16 dan 19 April 2021.

    Kesemua kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun keseksaan.

    Terdahulu kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Mohamad Fozi Md. Zain merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan tertuduh melakukan perbuatan itu disebabkan tekanan kehidupan lebih-lebih lagi selepas anak mereka dituduh mencuri duit ibu mentuanya.

    Pendakwaan dikendalikan N. Sivashangari memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

    Tambahan pula laporan kesihatan mangsa menunjukkan remaja itu pernah menjalani pembedahan sebelum ini dan tertuduh tidak sepatutnya mengabaikan tanggungjawab serta mendedahkan anak mereka kepada sebarang kecederaan mental dan fizikal.

    Beliau turut mencadangkan hukuman tambahan yang memerintahkan orang yang disabitkan kesalahan menyempurnakan satu bon dan penjamin dengan apa-apa tempoh dan sebarang syarat mahkamah melalui khidmat masyarakat.

    Mahkamah kemudian memutuskan setiap tertuduh dikenakan denda RM3,500 bagi pertuduhan pertama dan kedua atau penjara enam bulan jika gagal bayar.

    Hakim turut memerintahkan pasangan suami isteri itu dikenakan bon jaminan RM2,000 dan seorang penjamin tanpa cagaran dengan syarat tambahan tidak boleh melakukan sebarang pengambaian di bawah jagaan mereka.

    Mengikut fakta kes, kejadian itu disedari guru sekolah mangsa apabila remaja itu meluahkan dia dipukul oleh ayahnya pada 19 April.

    Siasatan pihak polis kemudian merampas senjata yang digunakan untuk mencederakan mangsa iaitu sebatang penyapu, segulung tali pinggang dan pemukul lalat.

    Rawatan di hospital juga mendapati terdapat pelbagai kesan kecederaan baru dan lama di seluruh anggota badan mangsa.

  • Penuntut IPT lemas di Pantai Shahbandar

    Penuntut IPT lemas di Pantai Shahbandar

    SEORANG penuntut di sebuah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Tuaran, Sabah yang hilang semasa mandi bersama-sama tiga rakannya ditemukan lemas di pantai Shahbandar, Tuaran semalam.

    Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, mangsa, Md. Habibullah Jihadi Maksum, 21, dilaporkan hilang pukul 6.54 petang kelmarin.

    “Bertindak dengan kejadian, 10 anggota dan pegawai bersama jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) ke lokasi kejadian.

    “Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kemudian segera dijalankan di kawasan sekitar mangsa dilaporkan bermandi-manda bersama rakannya,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa berjaya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh orang awam di kawasan pantai pada pukul 12.16 tengah malam.

    Tambahnya, mangsa ditemukan pada kedudukan kira-kira 700 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat bersama rakannya.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut hadir membantu operasi berkenaan.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.17 pagi,” katanya.

  • Penyelia rancangan tanah Felda menangis selepas mengaku salah guna kuasa

    Penyelia rancangan tanah Felda menangis selepas mengaku salah guna kuasa

    SEORANG penyelia rancangan tanah Felda mengaku bersalah bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan menyalahgunakan kuasa empat tahun lalu.

    Mohd Syafeq Mokhtar, 34, tidak dapat menahan sebak dan merayu dikenakan hukuman ringan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed.

    tertuduh yang menanggung isteri dan tiga anak berusia antara 11 bulan hingga enam tahun serta seorang adik yang masih belajar memberitahu sangat menyesal atas perbuatan dilakukan.

    “Sepanjang tempoh tahanan reman saya dari 24 Mei 2022, saya amat menyesal atas perbuatan saya.

    “Saya harap mahkamah dapat kurangkan hukuman saya dan berbentuk denda sahaja supaya saya dapat bersama semula dengan keluarga saya,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga merupakan pegawai badan awam iaitu Setiausaha Jawatankuasa Tender Rancangan di Pejabat Felda Palong 5 telah menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan apabila terlibat dalam keputusan memilih sebuah syarikat untuk kerja menyediakan tenaga buruh, peralatan dan pengangkutan bagi menjalankan kerja-kerja membekal dan menanam bunga hiasan di jalan kawasan kampung Felda Palong 5 melibatkan jumlah RM4,990 seperti mana Surat Perintah Kerja.

    Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Felda Palong 5, Gemas pada November 2018.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

    Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh tertuduh ditangkap 24 Mei 2022 dan denda RM25,000, gagal bayar lima bulan penjara.

  • Mahkamah batalkan perintah melepas tanpa bebas Long Tiger

    Mahkamah batalkan perintah melepas tanpa bebas Long Tiger

    MAHKAMAH Tinggi Muar hari ini, membatalkan perintah melepas tanpa membebaskan Abdul Hamim Ab. Hamid atau Long Tiger yang diberi Mahkamah Majistret Tangkak pada 17 Mei lalu.

    Keputusan berkenaan dibuat Hakim Datuk Abu Bakar Katar selepas mendapati terdapat kekhilafan sewaktu perintah dilakukan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Harian Metro melaporkan, perintah itu dibuat berikutan kematian mengejut saksi utama pendakwaan, Luqman Hakeem Othman pada 23 Mac lalu.

    Keputusan berkenaan turut memerintahkan perbicaraan diteruskan di Mahkamah Majistret Tangkak dan mengarahkan Abdul Hamim hadir di mahkamah sama pada 5 Jun nanti bagi penetapan tarikh sambung bicara.

    Abu Bakar juga tidak membenarkan jaminan terhadap Long Tiger ketika keputusan semakan kehakiman dibacakan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd. Ghazali dan Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala tertuduh diwakili peguam, Puteri Aisyah Zahirah Zakaria.

    Sementara itu, Long Tiger tiba di Mahkamah Tinggi Muar kira-kira pukul 9 pagi dengan dikawal ketat oleh polis.

    Terdahulu, pada 17 Mei lalu, Mahkamah Majistret Tangkak memberikan perintah pelepasan bukan pembebasan terhadap Long Tiger yang menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

    Majistret Zaridah Y. Abdul Jaapar mengeluarkan perintah itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan membuat hujahan lisan ekoran kematian mengejut Luqman Hakeem pada pertengahan perbicaraan.

    Pada 20 Januari lalu, Long Tiger dijatuhkan hukuman penjara selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret Tangkak kerana melarikan diri daripada tahanan mahkamah pada 15 Disember 2021.

    Bagi kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda atau keduanya sekali.

    Lelaki berketurunan Rohingya itu juga kini berdepan perbicaraan bagi kes mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah dan ugutan bunuh.

    Long Tiger juga masih berdepan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 kanun sama kerana merogol di Mahkamah Muar.

  • Kertas siasatan kes gaduh dua lelaki sudah dibuka

    Kertas siasatan kes gaduh dua lelaki sudah dibuka

    POLIS sudah membuka kertas siasatan berkaitan kes pergaduhan dua lelaki di tepi Jalan Gasing di Petaling Jaya, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar.

    Jelasnya, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

    “Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa bertoleransi sesama sendiri agar tidak berlakunya sebarang pergaduhan yang boleh mengakibatkan diri dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Semalam, media melaporkan, kedua-dua individu tersebut telah tampil membuat laporan polis pada pukul 6.31 petang kelmarin.

    Mohamad Fakhrudin memaklumkan, pihaknya terkesan satu video berdurasi tiga minit 31 saat yang tular di media sosial.

    Dalam video tersebut, salah seorang lelaki didakwa mencetuskan provokasi dan menggunakan perkataan kesat, sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

  • Lagi terjun Jambatan Pulau Pinang, kali ini babitkan pemuda 22 tahun

    Lagi terjun Jambatan Pulau Pinang, kali ini babitkan pemuda 22 tahun

    JAMBATAN Pulau Pinang terus menjadi lokasi pilihan individu untuk terjun apabila satu lagi kejadian dilaporkan berlaku awal pagi tadi.

    Kali ini melibatkan seorang pemuda berusia 22 tahun yang dikhuatiri lemas setelah dikatakan bertindak terjun dari di Kilometer 2.2 jambatan itu menghala ke arah pulau.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, mangsa yang merupakan lelaki tempatan sebelum itu dipercayai meninggalkan sebuah kereta jenis Peugeot berwarna merah bersama barangan peribadi di tepi jambatan berkenaan sebelum bertindak terjun.

    Katanya, bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 5.39 pagi dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    “Sebaik sahaja tiba, anggota bomba membuat pemantauan dari atas jambatan bagi mengesan kedudukan mangsa, namun dia dikhuatiri telah dihanyutkan arus laut.

    “Kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan dan Pos Kawalan Bomba (PKB) telah dibuka di Jeti Pengkalan Marin JBPM Mak Mandin di Butterworth” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Untuk rekod, kejadian mangsa terjun jambatan hari ini adalah kali yang ke-16 dilaporkan sejak Januari lalu dan sepanjang bulan lalu sahaja, hampir 10 kes terjun dan cubaan terjun dari Jambatan Pulai Pinang dicatatkan.

    Kejadian paling terbaharu adalah pada 25 Mei lalu yang mana seorang wanita dijumpai mati selepas hampir 33 jam dilaporkan terjun dari kilometer 8.0 Jambatan Pulau Pinang kira-kira pukul 12.39 tengah hari.

  • Individu tumpangkan graduan USM ke konvokesyen dengan motosikal diberi penghargaan

    Individu tumpangkan graduan USM ke konvokesyen dengan motosikal diberi penghargaan

    BERKESEMPATAN bersua muka dengan penunggang motosikal yang menjadi ‘penyelamat’ graduan yang panik hendak ke majlis konvokesyen, pihak Universiti Sains Malaysia (USM) tidak melepaskan peluang menzahirkan penghargaan buat Ashri Haya.

    Ashri, 50, dijemput khas ke Dewan Tuanku Syed Putra pada hari terakhir Upacara Konvokesyen ke-59 USM dan berkesempatan beramah-mesra dengan pengurusan tertinggi universiti berkenaan.

    Ashri yang juga kontraktor perkhidmatan pencucian berkata, beliau amat terharu dengan penghargaan yang diberikan dan langsung tidak menyangka bantuan yang dianggapnya kecil itu membawa makna yang cukup besar buat ramai pihak.

    Berkongsi kisah yang menjadi tular di dalam media sosial itu, Ashri berkata, ketika kejadian, beliau dalam perjalanan ke tempat kerja yang kebetulan menyelia kerja-kerja pencucian di USM.

    “Saya nampak graduan berkenaan terdesak mendapatkan pertolongan kerana beliau tidak henti-henti menahan penunggang motosikal.

    “Disebabkan saya nampak jubah yang dipegangnya sama seperti jubah konvokesyen USM, saya sanggup tumpangkan beliau kerana simpati dan faham keadaannya yang sedang panik,” katanya.

    Tambah beliau, kesesakan jalan pada ketika itu agak buruk dan beliau sempat melihat ada di antara pengguna Jambatan Pulau Pinang terpaksa bersarapan dalam kereta, keluar dari kenderaan mengambil angin dan sebagainya.

    Ashri turut tidak menyangka kisahnya menjadi tular kerana terus menyambung kerja hariannya seperti biasa selepas menumpangkan graduan berkenaan, sehinggalah keesokan harinya rakan di tempat kerjanya menunjukkan berita berkaitan dirinya mendapat liputan meluas media.

    Dalam pada itu, Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan pula berkata, USM menghargai jasa baik Ashri dalam membantu graduan USM dan menyifatkan nilai murni itu perlu ada dalam setiap individu.

    Katanya, walaupun pertolongannya nampak kecil namun kesanggupan Ashri menghulur bantuan di saat insan lain sangat memerlukan perlu dijadikan contoh oleh semua pihak.

    Pendaftar USM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Upacara Konvokesyen Ke-59 USM, Datuk Dr. Musa Ali turut merakamkan penghargaan kepada beliau dan menyifatkan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Ahsri turut memberi kesan kepada sebilangan besar masyarakat.

    Kisah Ashri dan graduan berkenaan, R. Kevin, 28, menjadi tular setelah Kevin dilihat sedang memegang jubah konvokesyen USM di atas jambatan sambil mencuba nasib menahan penunggang-penunggang motosikal yang sedang menghala masuk ke pulau.

    Ketika kejadian, kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang ekoran kemalangan maut yang berlaku pada awal pagi berkenaan.

  • Mak nyah derita akibat mahu hidung K-Pop

    Mak nyah derita akibat mahu hidung K-Pop

    IMPIAN seorang mak nyah ‘jelita’ yang mahukan hidung tegak mancung serta tirus persis artis K-Pop bertukar mimpi ngeri apabila pembedahan haram dilakukan menyebabkan hidungnya menjadi senget dan bengkok.

    Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Miss L, berusia 31 tahun, memberitahu mula tertarik untuk mencantikkan hidungnya selepas melihat iklan rawatan dalam sebuah Facebook pada Mac lalu.

    Menurutnya, sebuah pusat rawatan kecantikan terletak di Kepong, Kuala Lumpur, menawarkan rawatan pembedahan plastik dan kecantikan dikendalikan ‘pakar’ dibawa dari China.

    “Tanpa berfikir panjang dan membuat penyelidikan lanjut, saya segera menghubungi pusat kecantikan itu pada 8 Mac lalu sebelum membayar tempahan rawatan sebanyak RM150.

    “Saya kemudian membuat bayaran tambahan sebanyak RM6,666 pada 22 Mac lalu diikuti bayaran ketiga sebanyak RM6,800 selepas pembedahan rhinoplasty selesai dilakukan pada 27 Mac,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Dia yang bekerja sebagai pendandan rambut berkata, pembedahan tersebut dilakukan seorang lelaki warganegara China berusia sekitar 30-an dan mendakwa pakar dalam bidang itu.

    “Saya menjangkakan tiada masalah akan timbul selepas prosedur pembedahan itu selesai dilakukan. Namun masalah muncul 16 hari kemudian apabila saya mula berasa pelik dengan kedudukan hidung yang senget ke arah kanan.

    “Malah terdapat bengkak ketara pada bahagian kiri hidung selain lubang hidung saya memiliki saiz berbeza. Lubang hidung sebelah kiri lebih besar berbanding di sebelah kanan,” katanya.

    Menurutnya, dia kemudian segera pergi ke pusat kecantikan itu untuk mendapatkan penjelasan.

    “Namun saya terkejut apabila ‘doktor’ itu mendakwa hidung saya amat cantik dan memujinya berulangkali. Malah dia seolah-olah enggan bertanggungjawab dan hanya mahu memulangkan separuh dari wang dibayar sebelum ini.

    “Susulan itu saja segera mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum doktor pakar memaklumkan ramai mangsa yang turut mengalami nasib sama akibat rawatan pusat kecantikan tidak berdaftar,” katanya.

    Dia kemudian mengambil keputusan membuat aduan di Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA semalam.

    Sementara itu Ketua Biro berkenaan, Datuk Seri Michael Chong memaklumkan mangsa turut kehilangan deria bau kesan rawatan kecantikan dilakukan itu.