Author: Admin

  • Duda 65 tahun kantoi berkhalwat dengan isteri orang

    Duda 65 tahun kantoi berkhalwat dengan isteri orang

    SEORANG duda berusia 65 tahun dicekup semasa berkhalwat dengan wanita berusia 56 tahun yang masih berstatus isteri orang di sebuah hotel bajet di Kota Bharu, malam tadi.

    Anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) menahan pasangan berkenaan pada pukul 11.30 malam tadi.

    Ketua Penolong Pengarah BPUS Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, pasangan berkenaan datang dari Selangor dengan menaiki bas ke bandar ini sebelum ditahan ketika berdua-duaan dalam bilik di hotel terbabit.

    “Lelaki warga emas itu memberi alasan mahu membeli emas di Kelantan, manakala pasangannya mendakwa mahu menghadiri kelas senam aerobik di Terengganu.

    “Kami menahan mereka untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan bon jamin sebelum diminta hadir ke Mahkamah Syariah mengikut tarikh yang ditetapkan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Dalam pada itu, menerusi operasi berkenaan sempena cuti sekolah yang diadakan antara 5 petang semalam sehingga 1 pagi tadi, Mohd. Fadzuli berkata, pasangan kekasih berusia 20-an turut ditahan di sebuah hotel bajet di Kota Bharu.

    “Dua pasangan ini akan disiasat mengikut Seksyen 50, Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.

    “Kami turut memberi notis kepada tiga pasangan kekasih kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, kira-kira 5 petang semalam,’ katanya.

    Katanya, pasangan yang diberi notis diminta hadir mendapatkan perkhidmatan kaunseling dalam tempoh dua minggu, jika gagal hadir mereka boleh didenda.

  • Wanita jalankan amalan pergigian haram individu pertama didakwa ikut akta 804

    Wanita jalankan amalan pergigian haram individu pertama didakwa ikut akta 804

    WANITA warga Indonesia menjadi individu pertama dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini bagi pendakwaan mengikut Akta Pergigian 2018 (Akta 804).

    Harian Metro melaporkan, Putri Wahyuni, 22, yang juga Orang Kena Saman (OKS) menghadapi pertuduhan menjalankan amalan pergigian tanpa lesen, bulan lalu.

    Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamaruddin.

    Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis kecantikan di Bandar Puteri Puchong, Selangor, pada jam 11.47 pagi, 26 Mei lalu, dengan pendakwaan mengikut Seksyen 62(1) Akta 804.

    OKS boleh dihukum mengikut Seksyen 62(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Mohamad Shafiq Mohd. Sazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

    Pertuduhan mengikut seksyen itu adalah yang pertama sejak Akta 804 berkuat kuasa 1 Januari lalu yang menggantikan Akta Pergigian 1971 (Akta 51) yang sudah digunakan selama 50 tahun.

    Akta itu bagi mengawal selia amalan dalam bidang pergigian dan mengambil tindakan terhadap mana-mana aktiviti yang tidak mematuhi peruntukanm terutamanya yang dilaksana secara haram.

  • Jadikan Kuala Selangor daerah angkat KKM:Tengku Zafrul terdesak sokongan politik

    Jadikan Kuala Selangor daerah angkat KKM:Tengku Zafrul terdesak sokongan politik

    LANGKAH Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan (KKM) disifatkan sebagai tindakan ‘desperado’ untuk mendapatkan sokongan politik.

    Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yang menyifatkan demikian berkata, gelagat Menteri Kewangan itu menaburkan ‘khidmatnya’ di Kuala Selangor termasuk pengumuman meluluskan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam adalah tindakan terdesak.

    “Menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ KKM yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri dalam sejarah lebih 60 tahun kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) ternyata beliau sangat ‘desperado’,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Beliau mengulas pengumuman Tengku Zafrul berhubung kelulusan bagi pembinaan stesen jajaran utara ECRL di Puncak Alam, kelmarin.

    Turut diumumkan ialah Kuala Selangor dijadikan daerah angkat KKM bagi merealisasikan kemajuan daerah itu.

    Dzulkefly yang juga Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sebagai Ahli Parlimen, beliau sememangnya mahukan kawasan dan daerah Kuala Selangor terus dibangunkan demi kemakmuran rakyat merentasi sempadan parti, kaum dan agama.

    Namun, beliau bimbang dengan gelagat Tengku Zafrul yang dilihat terdesak dan seakan memberikan sogokan politik.

    “Tanggapan bahawa beliau amat cenderung dengan budaya ‘Cash is King’ juga adalah amat mengkhuatirkan dan terdedah kepada ‘moral hazard’ dalam suasana negara bercita-cita membanteras amalan salah guna kuasa dan rasuah.

    “Saya optimis rakyat dan pengundi Kuala Selangor tidak akan mudah ‘digula-gulakan’ dengan tindakan sogokan politik dan membeli sokongan politik seperti ini,” katanya.

    Dzulkefly turut membangkitkan janji politik Tengku Zafrul sebelum ini di Lembah Pantai bagi pembinaan Pusat Transformasi Bandar (UTC).

    “Rakyat belum lupa janji Menteri Kewangan ini untuk menubuhkan UTC di Lembah Pantai pada 2017, ketika beliau sedang mengintai kerusi Parlimen Lembah Pantai.

    “Adalah lebih baik beliau menunaikan janji yang terdahulu, sebelum terburu-buru menabur janji yang baharu,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dzulkefly berkata, umum mengetahui beliau mahu memberi laluan pimpinan yang lebih muda di kawasan Parlimen Kuala Selangor pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

    “Perkara ini sudah saya nyatakan kepada pimpinan Amanah kawasan dan nasional lebih enam bulan lalu. Namun saya tetap menjalankan khidmat menyantuni Rakyat Kuala Selangor seperti biasa hingga kini,” katanya.

    Beliau menjelaskan sangat khuatir jika beliau berubah pendirian akan ada calon ‘payung terjun’ bertaraf menteri yang seolah-olah menyatakan hasrat untuk bertanding, kelak menuduhnya ‘flip-flop’ atau cakap tak serupa bikin.

  • Penubuhan 1MDB sebagai dana politik BN, kata Mohd. Sidek

    Penubuhan 1MDB sebagai dana politik BN, kata Mohd. Sidek

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditubuhkan untuk dijadikan sebagai dana politik kepada parti kerajaan ketika itu, iaitu Barisan Nasional (BN).

    Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang memberikan keterangan pada perbicaraan penyelewengan dana RM2.3 bilion milik 1MDB dihadapi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata, itu adalah pemahamannya berkenaan penubuhan 1MDB.

    Sehubungan itu beliau tidak pernah bertanya kepada Najib atau mana-mana pihak dalam 1MDB mengenai permasalahan yang berlaku dalam syarikat pelaburan strategik negara itu, lapor Berita Harian, hari ini.

    Saksi ke-19 pendakwaan yang juga bekas ahli Lembaga Penasihat 1MDB berkata, beliau mendapat tahu mengenai isu berkaitan 1MDB melalui media massa berhubung dakwaan salah guna dana dan mengetahui ada penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    “Namun saya tidak pernah diberi taklimat atau diberitahu secara lanjut apakah butiran penyiasatan ke atas 1MDB ini. Datuk Seri (Najib) selaku Perdana Menteri ketika itu juga tidak pernah memberitahu saya terdapat isu dalam 1MDB walaupun saya dilantik menjadi seorang daripada ahli Lembaga Penasihat 1MDB.

    “Saya juga tidak pernah bertanya dengan Najib kenapa tiada sebarang mesyuarat Ahli Lembaga Penasihat 1MDB diadakan sepanjang tempoh saya menjawat jawatan itu. Saya juga tidak ada dilaporkan oleh mana-mana wakil 1MDB mengenai operasi dan pelaburan yang dibuat oleh syarikat.

    Sementara itu, Mohd. Sidek berkata, beliau beranggapan pelantikannya dalam 1MDB hanya untuk menambah pendapatan sebagai KSN yang dianggap tidak setimpal oleh Najib.

    Katanya, Najib pernah bertanyakan mengenai gaji yang diterimanya selaku KSN dan bekas Perdana Menteri itu merasakan gajinya selaku KSN adalah agak kecil.

    Mohd. Sidek berkata, beliau yang dilantik sebagai KSN bermula 3 Disember 2006 sehingga 23 Jun 2012, menerima ‘monthly advisory fee’ (bayaran penasihat bulanan) 1MDB sebanyak RM30,000 sejak 1 Julai 2010 .

    Katanya, walaupun selepas bersara daripada perkhidmatan awam, perkhidmatannya sebagai ahli Lembaga Penasihat 1MDB diteruskan dan dibayar fi bulanan berjumlah RM10,000.00 bermula Januari 2013.

    “Selepas menerima pemakluman lantikan daripada 1MDB, mana-mana wakil pengurusan 1MDB atau Lembaga Pengarah tidak ada hadir untuk memberikan taklimat atau berjumpa dengan saya. Melalui pengetahuan saya sendiri, saya tahu 1MDB adalah sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan yang diambil alih daripada Terengganu Investment Authority Berhad (TIAB).

    “Syarikat 1MDB juga menerima terbitan bon berjumlah RM5 bilion untuk melaksanakan pelaburan jangka masa panjang namun saya tidak diberitahu terperinci oleh mana-mana pihak pengurusan 1MDB mengenai operasi syarikat mereka.

    “Saya tidak meminta melalui Najib atau kepada pihak 1MDB untuk meneruskan perkhidmatan saya…Selepas perkhidmatan saya diteruskan, saya tidak ada dijemput hadir dalam mana-mana mesyuarat ahli Lembaga Penasihat atau lain-lain mesyuarat berkaitan isu 1MDB. Saya tidak tahu kenapa khidmat saya diteruskan selepas persaraan sebagai KSN,” katanya.

    Mohd. Sidek berkata, beliau menerima surat Pembubaran Lembaga Penasihat melalui satu surat iringan yang dihantar oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Arul Kanda Kandasamy pada 3Jun 2016 dan ditandatangani oleh Najib bertarikh 31 Mei 2016.

    melalui surat itu, Mohd, Sidek berkata, beliau tidak diberitahu alasan pembubaran Lembaga Penasihat 1MDB dan juga tidak bertanya kepada kepada Najib ataupihak 1MDB mengenainya.

    Mahkamah sebelum ini diberitahu, Najib melantik tujuh individu sebagai Ahli Lembaga Penasihat dan pelantikan itu dilakukan berikutan beliau memiliki kuasa kerana tiga peranan utama bekas Perdana Menteri itu terkandung dalam Artikel Persatuan (M&A) 1MDB iaitu sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

    Tujuh individu yang dilantik termasuk Menteri Qatar, Sheik Hamad Jassim Jabar Al-Thani; bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Unit Perancang Ekonomi),Tan Sri Datuk Nor Mohamed Yakcob dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

    Turut dilantik ialah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mubadala Development Emiriah Arab Bersatu (UAE), Khaldoon Khalifa Al Mubarak dan Chang Zhenming iaitu Pengerusi CITIC Group dari China.

  • Zuraida sedia jumpa PM minggu ini

    Zuraida sedia jumpa PM minggu ini

    AHLI Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin kini dalam keadaan ‘standby’ kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi berkata, setakat ini masih menerima jemputan untuk bertemu Ismail Sabri yang sebelum ini dijadualkan pada minggu ini.

    “Saya masih ‘standby’ untuk bertemu dengan Perdana Menteri sebab masih belum dapat masa lagi. Beliau (sebelum ini) kata mahu jumpa saya minggu depan iaitu pada minggu ini, jadi boleh jadi keseluruhan minggu ini tetapi saya dalam ‘standby’,” katanya ditanya sama ada akan berjumpa dengan Perdana Menteri hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan majlis Pembiayaan Global untuk Inovasi Getah oleh Majlis Getah Malaysia.

    Perdana Menteri minggu lalu mengesahkan masih belum bertemu Zuraida untuk membincangkan kedudukannya dalam Kabinet.

    Ismail Sabri berkata, pertemuan itu masih belum diadakan memandangkan Zuraida masih bercuti selepas beliau pulang daripada lawatan kerjanya ke Turki dan Greece, baru-baru ini.

    Ditanya sama ada akan menghadiri mesyuarat Kabinet esok berkata, beliau masih lagi menjalankan tanggungjawab sebagai menteri.

    “Seperti Perdana Menteri katakan, saya masih menteri, jadi sebab itu saya hadir untuk merasmikan program ini hari ini,” katanya.

    Zuraida turut menegaskan yang beliau akan melepaskan jawatannya sebagai menteri jika diarahkan oleh Perdana Menteri.

  • Polis rampas 142.1 kg ganja dari MPV mewah

    Polis rampas 142.1 kg ganja dari MPV mewah

    POLIS melakukan serbuan dan merampas 142.1 kilogram (kg) ketulan mampat disyaki ganja di tempat letak kenderaan bawah tanah pasar raya di Bangsar, Kuala Lumpur, Selasa lalu.

    Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah, tiga lelaki ditahan dalam serbuan pada pukul 2 petang itu.

    “Mereka ditahan sejurus selesai memindahkan ketulan mampat itu dari kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah ke kereta lebih kecil.

    “Serbuan itu dilakukan dengan kerjasama JSJN Kuala Lumpur, selepas risikan empat bulan terhadap semua suspek yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah.

    “Polis menemui 145 ketulan mampat disyaki ganja bernilai kira-kira RM355,250,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Pihaknya juga merampas tiga kenderaan yang digunakan suspek yang berusia 23 hingga 49 tahun dan nilai rampasan keseluruhan termasuk dadah hampir RM500,000.

    “Kumpulan berkenaan mula aktif sejak empat bulan lalu dan dadah yang dirampas untuk pasaran Lembah Klang,” katanya lagi.

    Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan THC.

    Katanya, semua suspek berkenaan dipercayai mendapat upah RM2,500 bagi penghantaran dadah itu.

    “Siasatan masih dijalankan untuk mengesan dalang di sebalik kegiatan pengedaran ini,” katanya.

    Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Sebutan kes miliki ganja bekas diplomat, anak di Mahkamah Majistret Raub, esok

    Sebutan kes miliki ganja bekas diplomat, anak di Mahkamah Majistret Raub, esok

    BEKAS diplomat dan anaknya yang dikaitkan dengan pertuduhan memiliki ganja di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 akan disebut Mahkamah Majistret Raub, Pahang, esok.

    Sebelum ini, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, bersama anaknya, Mohamed Rizal Zainal Abidin, 53, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong atas tuduhan di bawah Seksyen 39B (1)(a) dan Seksyen 9(1)(b) ADB 1952 kerana mengedar dan menyimpan minyak ganja, lapor Sinar Harian.

    Dalam sebutan kes tersebut pada 3 Jun lalu, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

    Sementara itu, Mohamed Rizal turut dituduh dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan THC (komponen aktif ganja).

    Bekas diplomat itu ditahan ketika serbuan polis dilakukan di rumahnya pada 21 Mei lalu.

    Hasil serbuan itu, polis menemui dan merampas 102 pokok disyaki pokok ganja yang ditanam sekeliling rumah di Kampung Sum Sum Hilir, Janda Baik, Bentong manakala anaknya ditahan dua hari kemudian di Shah Alam, Selangor.

  • Mohd. Azis pertahan kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU-15

    Mohd. Azis pertahan kerusi Parlimen Sepanggar pada PRU-15

    KETUA Wira Parti Warisan (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman akan mempertahankan kerusi Parlimen Sepanggar yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Beliau sedia menyahut cabaran daripada mana-mana pihak dan mengambil sikap terbuka bahawa mana-mana parti politik di negara ini berhak untuk bertanding di kerusi yang mereka inginkan.

    “Kalau dulu saya selaku pendatang baharu berhadapan dengan seorang yang cukup dikenali di negara kita iaitu Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan (bekas Ahli Parlimen Sepanggar) yang mana ketika itu saya tidak pernah berkhidmat di Sepanggar tetapi saya boleh berhadapan dengan beliau.

    “Apatah lagi kini saya pernah berkhidmat di situ, rakyat kenal saya jadi pada saya tidak ada masalah berhadapan dengan sesiapa pun jika diminta berkhidmat dan bertanding di situ sekali lagi, Insya-Allah saya akan menyahut cabaran itu jika diminta oleh parti,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Sebelum itu, beliau diminta mengulas berhubung kerusi yang disandangnya ketika ini mula menjadi rebutan beberapa pihak termasuk Pas yang memberi bayangan akan bertanding di Parlimen Sepanggar.

    Beliau bagaimanapun menyerahkan sebarang keputusan kepada pimpinan tertinggi parti untuk menentukan sama ada akan kekal bertanding di kawasan itu atau sebaliknya.

    “Kita serahkan kepada Presiden (Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal) kerana pada akhirnya yang akan memutuskan siapa bertanding di mana-mana sekali pun adalah Presiden Warisan.

    “Saya selalu akur kepada apa juga keputusan yang dibuat oleh parti. Tanding atau tidak, saya kena nyatakan bahawa saya akan bekerja supaya rakyat Sabah melihat kepentingan untuk kita bersatu menuntut hak-hak kita selaku rakyat Sabah.

    “Keadaan negeri kita ini seolah-olah kita ketinggalan 20 tahun jika dibandingkan dengan negeri yang lain di Semenanjung, jadi itu yang lebih penting,” katanya.

    Media pada Mei lalu melaporkan, Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan menawarkan diri untuk bertanding pada PRU-15 dan beliau tidak menolak bahawa Parlimen Sepanggar antara kerusi yang menjadi sasaran Pas Sabah.

  • Keputusan SPM 2021 diumum 16 Jun ini-Dr. Radzi

    Keputusan SPM 2021 diumum 16 Jun ini-Dr. Radzi

    MENTERI Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin mengumumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi calon 2021 akan diumumkan mulai 10 pagi pada 16 Jun ini.

    Menurutnya, terdapat tiga kaedah untuk mendapatkan keputusan tersebut iaitu pertama, calon-calon sekolah boleh mendapatkan keputusan dengan hadir di sekolah masing-masing.

    “Kedua, secara dalam talian melalui pautan yang akan diberikan dan ketiga, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

    “Apa yang paling penting untuk anak-anak, perjalanan masih jauh, banyak peluang dan ruang di hadapan sana.

    “Apa saja keputusan SPM nanti terimalah dengan hati yang terbuka, terus bergerak ke hadapan dan lakukan yang terbaik,” katanya dalam muat naik video menerusi media sosial, hari ini, lapor Astro Awani.

    Seramai 407,097 calon menduduki peperiksaan SPM yang diadakan pada Mac lalu.

    Peperiksaan Tingkatan 5 berkenaan ditangguhkan pada Mac tahun ini berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan, ekoran negara dilanda pandemik Covid-19.

  • Kenyataan hina Nabi (SAW): Kemarahan semakin meluas

    Kenyataan hina Nabi (SAW): Kemarahan semakin meluas

    SUSULAN satu kenyataan menghina Nabi Muhammad (SAW) yang dibuat seorang pegawai parti pemerintah India, beberapa negara di Asia Barat menjalankan protes tunjuk perasaan bagi mengutuk sekeras-kerasnya perkara itu.

    Di Kuwait, pekerja sebuah pasar raya memunggah teh dan beberapa barangan import India dari rak jualan bagi membantah kenyataan itu.

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi antara negara terkini yang mengecam hal itu dengan menegaskan bahawa ia ‘bertentangan dengan prinsip serta nilai moral kemanusiaan’.

    Kementerian Luar UAE menekankan akan keperluan ‘menghormati simbol agama dan menentang ucapan kebencian,’ seperti mana yang dilaporkan agensi berita WAM.

    Selain itu, Arab Saudi, Qatar dan beberapa negara lain di rantau tersebut, yang juga disertai Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir membidas kenyataan dikeluarkan jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP), Nupur Sharma.

    Minggu lalu, Sharma mengeluarkan satu kenyataan menghina ke udara melalui televisyen, yang mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam sehingga menuntut wanita itu ditahan.

    Parti BJP, yang sering dituduh bertindak ke atas golongan minoriti Muslim di negara itu mengambil keputusan menggantung Sharma atas sebab ‘memberi pandangan bertentangan pendirian parti’.

    Ahad lalu, Qatar menuntut India memohon maaf atas kenyataan bersifat ‘Islamofobia’ itu ketika lawatan Naib Presiden India, Venkaiah Naidu dalam usaha meningkatkan perdagangan.

    Tuntutan itu disusuli Iran yang memanggil Duta India dalam usaha mengemukakan bantahan daripada kerajaan serta rakyat.

    Liga Dunia Islam yang berpangkalan di Arab Saudi menegaskan, kenyataan berkenaan boleh ‘menghasut kebencian’, manakala Presiden Besar Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menyifatkannya sebagai ‘perbuatan keji.’

    Universiti Al-Azhar pula menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘keganasan sebenar’ dan ‘boleh menjerumuskan seluruh dunia ke dalam krisis serta peperangan yang membawa maut.’