Author: Admin

  • Lelaki didenda RM3,500 rakam wanita buang air

    Lelaki didenda RM3,500 rakam wanita buang air

    MAHKAMAH Majistret Kuching hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3,500 terhadap seorang lelaki atas tuduhan menyimpan gambar wanita sedang membuang air di tandas awam di syarikat tempatnya bekerja.

    Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Ling How Tze, 31, yang mengaku bersalah melakukan perbuatan itu.

    Harian Mentro melaporkan, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki gambar seorang wanita berusia 44 tahun sedang kencing dirakamnya menggunakan kamera kecil yang dipasangnya di dalam tandas berkenaan.

    Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Taman Satria Jaya BDC, di Kuching, pada 6 September 2019, pukul 11 malam.

    Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh diwakili peguam Christopher Bada.

    Menurut fakta kes, pada 6 September 2019, pengadu yang juga pengurus syarikat tertuduh bekerja membuat laporan polis selepas mangsa yang juga pekerjanya mengesan kamera kecil dipasang dalam tandas wanita yang terletak di tingkat 7, sebuah bangunan pejabat di Pending.

    Polis berjaya menangkap tertuduh di kediamannya di Taman Satria Jaya, BDC.

    Hasil siasatan dalam tandas wanita itu, berjaya menemui dua kamera tersembunyi, cakera keras mudah alih dan kad memori terpasang di atas siling tandas.

  • Roti canai pula dijangka naik harga

    Roti canai pula dijangka naik harga

    HARGA roti canai di rangkaian gabungan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), dijangka mengalami kenaikan sebanyak 10 sen berikutan peningkatan harga bahan mentah seperti tepung, minyak masak dan marjerin.

    Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), Datuk Jawahar Ali Taib Khan, berkata tepung gandum 20 kilogram pada 2020 berharga RM46, tetapi kini mencecah antara RM67 hingga RM68.

    “Roti canai sudah jadi makanan ruji untuk sarapan dan disebabkan itu kami akan cuba sebaik mungkin untuk tidak menaikkan harganya. Namun, jika terpaksa dinaikkan juga, ia mungkin bermula daripada 10 sen sehingga 20 sen, namun bukan melonjak terus sebanyak 20 sen, sebaliknya secara berperingkat.

    “Persatuan akan bincang dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna KDNHEP) untuk meminta padangan dan juga nasihat,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Jawhar Ali menegaskan, pihaknya akan cuba mengekalkan harga berpatutan demi kebaikan pelanggan yang rata-ratanya adalah pelanggan tetap yang mahukan khidmat terbaik, tempat yang bersih dan makanan lazat.

    Katanya, purata harga semasa roti canai di premis makanan milik ahli PRESMA adalah antara RM1.20 hingga RM 1.70.

    “Kami tidak boleh meletakkan tanda harga sama di semua restoran. Contoh, peniaga di Bangsar sewa kedai kira-kira RM35,000 sebulan dan sehari perlu bayar sekitar RM1,200 berbanding di lokasi lain. Maka, harga makanan turut dipengaruhi oleh lokasi.

    “Makanan lain seperti tosai dan capati kekal kerana bahan mentah yang digunakan tidak sama dengan roti canai,” ujarnya.

    Beliau turut menasihatkan pengguna memanfaatkan hak mereka dengan mengelak premis makanan yang menjual pada harga tidak masuk akal serta membuat aduan kepada KPDNHEP.

    “Jika rasa kedai itu jual makanan pada harga tidak munasabah, elakkan makan di situ atau terus buat aduan kepada KDNHEP,” katanya.

  • Kereta api tergelincir: 17 maut 37 cedera

    Kereta api tergelincir: 17 maut 37 cedera

    SEKURANG-kurangnya 17 maut dan 37 cedera di ibu kota Iran apabila sebuah kereta api laluan antara bandar Mashhad dan Yazd berhampiran Tabas, tergelincir dari landasan hari ini.

    Menurut maklumat perkhidmatan kecemasan, dalam tragedi yang berlaku kira-kira pukul 5.30 pagi waktu tempatan itu, lima daripada 11 gerabak kereta api terbabit terkeluar dari landasan selepas melanggar mesin jengkaut berdekatan.

    Jurucakap perkhidmatan keselamatan, Mojtaba Khaledi, yang dipetik stesen televisyen tempatan berkata, kemalangan itu menyebabkan belasan lagi penumpang turut cedera.

    “Sekurang-kurangnya 12 penumpang yang cedera berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.

    “Angka kematian mungkin meningkat lagi kerana ramai mengalami kecederaan serius dan 24 ambulans serta tiga helikopter dikerah bagi memindahkan mangsa ke hospital,” katanya, lapor Berita Harian, hari ini.

    Sementara Timbalan Ketua Syarikat Kereta Api Milik Kerajaan, Mir Hassan Moussavi berkata, kereta api itu membawa seramai 348 penumpang ketika tergelincir dari landasan.

    “Ia tergelincir selepas melanggar sebuah jengkaut yang berada berhampiran landasan,” katanya kepada stesen penyiar kerajaan.

    Sebelum ini, Iran turut berdepan tragedi menyayat hati apabila sekurang-kurangnya 43 mangsa maut dalam runtuhan blok menara di barat daya negara itu.

    Lebih awal dari itu, pada 2016, dua kereta api berlanggar sebelum terbakar di utara Iran, menyebabkan 44 orang terbunuh dan puluhan lagi ceder

  • Tiga negeri rekod kes seksual tertinggi

    Tiga negeri rekod kes seksual tertinggi

    TIGA negeri mencatatkan, kes seksual tertinggi iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

    Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, tiga negeri berkenaan merekodkan kes tertinggi berikutan jumlah penduduk yang padat.

    Oleh sebab itu, pihaknya memohon kepada kerajaan supaya menambah peluang pekerjaan membabitkan tenaga kerja di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam membantu menangani masalah terbabit.

    “Setakat ini, kerajaan meluluskan secara berperingkat sebanyak lebih 2,000 peluang pekerjaan melalui Short-Term Employment Programme (MySTEP) bagi memenuhi jawatan yang diperlukan di JKM,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Beliau menegaskan, ibu bapa serta ahli keluarga perlu memainkan peranan penting dengan mengambil berat atau memberi perhatian kepada anak-anak, mengambil tahu aktiviti seharian mereka selain memeriksa telefon bimbit jika perlu terutama bagi yang berusia 18 tahun ke bawah.

    “Begitu juga dengan jiran tetangga yang harus peka dengan keadaan sekeliling supaya dapat sama-sama membantu mengurangkan kes membabitkam seksual dalam kalangan masyarakat,” katanya selepas memberi sumbangan tilam kepada mangsa banjir di Kampung Bendang Perol, Gual To’Deh, hari ini.

    Siti Zailah berkata, ilmu agama juga amat penting untuk diterapkan dalam diri setiap individu selain kawalan terhadap aktiviti di sosial media dalam kalangan anak muda bagi mengurangkan kes seksual berkenaan.

    “Selain isu seksual, kes jenayah membabitkan penyalahgunaan dadah juga dilihat semakin membimbangkan kerana membuatkan individu hilang pertimbangan sekali gus menyumbang kepada jumlah kes pembunuhan, tembakan dan sebagainya.

    “Saya berharap semua pihak memainkan peranan dalam mengawal dan mengenal pasti ahli keluarga yang bermasalah, selain membantu mereka pulih supaya tidak berlaku sebarang perkara tidak diingini,” katanya.

  • Perancang perkahwinan lesap RM60,000 ditahan polis

    Perancang perkahwinan lesap RM60,000 ditahan polis

    PERANCANG perkahwinan yang dipercayai memperdaya beberapa pengantin di Johor dengan pakej perkahwinan bajet, namun gagal menyediakan perkhidmatan termasuk katering pada saat akhir ditahan polis semalam.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata wanita berusia 50 tahun itu ditahan di bandar raya ini dan disiasat susulan 10 laporan yang diterima hingga 8 Jun lalu.

    Kerugian dialami mangsa mencecah RM60,000. Mangsa hanya menyedari ditipu apabila tidak menerima makanan atau menerima makanan kurang daripada ditempah mahupun sudah basi.

    Siasatan awal mendapati mangsa tertarik dengan pakej bajet atau murah ditawarkan perancang perkahwinan menerusi Facebook.

    “Pakej ditawarkan serendah RM8 bagi setiap jemputan, berbanding harga biasa antara RM10 hingga RM12. Semua transaksi bayaran dilakukan dalam talian dan semua kes berlaku antara Mei hingga awal Jun, malah kita yakin akan menerima beberapa laporan polis lagi serta menggesa mangsa untuk tampil membuat laporan.

    “Kami menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan pakej perkahwinan yang murah dan tidak masuk akal serta fikir dua kali sebelum membuat pembayaran,” katanya menurut laporan BH Online.

    Kamarul Zaman berkata, pihaknya akan memohon untuk perintah reman suspek hari ini bagi membantu siasatan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Antara kes dikaitkan suspek diterima pada 5 Jun lalu apabila mangsa membayar deposit RM1,000 pada 18 Mei dan baki bayaran RM3,400 pada 27 Mei, namun menerima makanan tidak mencukupi serta basi (pada 4 Jun).

    “Perancang perkahwinan berjanji untuk menghantar makanan kali kedua di majlis perkahwinan itu yang diadakan di sini, namun gagal berbuat demikian,” katanya.

    Sebelum ini media melaporkan luahan pasangan pengantin di Taman Putri, Kulai yang majlisnya terganggu disebabkan pihak katering gagal menyiapkan makanan.

    Lebih malang apabila perkara itu dimaklumkan pada 7 pagi hari kenduri, memaksa keluarganya bergotong-royong memasak pada saat akhir.

  • Penjaga stor, penganggur lakukan amang seksual tak mengaku bersalah

    Penjaga stor, penganggur lakukan amang seksual tak mengaku bersalah

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA lelaki masing-masing berdepan tiga dan empat pertuduhan secara berasingan tidak mengaku salah melakukan amang seksual fizikal dan cabul terhadap tiga mangsa ketika dihadapkan ke mahkamah di Johor Bahru, hari ini.

    Bagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, tertuduh, Ibnu Azim Azmi, 31, yang juga penjaga stor didakwa tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang, pukul 10 malam, 23 Mei lalu.

    Dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Siti Noraida Sulaiman, seorang lagi tertuduh berusia 22 tahun pula didakwa bagi tiga pertuduhan melibatkan perbuatan berkenaan terhadap sepupunya sendiri antara 2015 hingga tahun lalu.

    Tertuduh yang tidak bekerja itu didakwa menyentuh badan dengan cara menggeselkan kemaluan tertuduh pada kemaluan mangsa, mencium mulut dan muka ketika mangsa berusia 12 tahun.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan antara tahun 2015 hingga 17 Oktober 2021 di tandas dan bilik tidur di sebuah rumah di Jalan Basong, Taman Datuk Syed Idrus, Gelang Patah.

    Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, Ibnu Azim juga tidak mengaku di hadapan Majistret Nurmadiana Mamat atas kesalahan cabul terhadap rakan sekerjanya berusia 20 tahun di sebuah kedai serbaneka juga di Bandar Seri Alam, pada pukul 10.15 malam, 25 Mei lalu.

    Bagi pertuduhan di dua mahkamah itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang berhadapan hukuman penjara dan sebat.

    Sementara tertuduh berusia 22 tahun juga didakwa di bawah Seksyen 14 (a) akta sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew serta Nor Fadilah Johanuddin di Mahkamah Sesyen dan Nor Maisarah Hassan pula dalam prosiding di Mahkamah Majistret.

    Ibnu Azim diwakili peguam, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri dan R.Subash pula mewakili tertuduh yang berusia 22 tahun itu.

    Ibnu Azim dikenakan jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara serta perlu melapor diri ke balai polis terdekat setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

    Mahkamah turut memerintahkan larangan terhadap tertuduh daripada mengganggu dan menghampiri mangsa serta keluarganya sehingga kes selesai selain menetapkan tarikh 12 Julai ini untuk sebutan semula kes.

    Siti Noraida turut menetapkan jaminan RM15,000 untuk tiga pertuduhan berserta syarat tambahan sama kepada tertuduh berusia 22 tahun termasuk dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai serta tarikh 7 Julai untuk sebutan semula.

  • Zuraida hadir mesyuarat Kabinet pagi ini

    Zuraida hadir mesyuarat Kabinet pagi ini

    MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin hadir mesyuarat Kabinet pagi ini.

    Menurut sumber yang rapat dengannya, Zuraida hadir ke mesyuarat Kabinet pada jam 9.40 pagi tadi.

    Setakat ini, Zuraida masih menjalankan tugas di kementerian seperti biasa dan agenda membanteras isu dakwaan buruh paksa dalam sektor perladangan sawit negara tetap menjadi keutamaan biarpun kedudukannya sebagai menteri Kabinet masih belum diputuskan.

    Zuraida masih lagi menunggu masa yang sesuai daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan kedudukannya sebagai anggota Kabinet.

    “Ketika ini Datuk mahu memberi tumpuan kepada tugas di Kementerian memandangkan Perdana Menteri belum membuat keputusan (mengenai kedudukan sebagai menteri Kabinet) dan beliau bertanggungjawab terhadap sektor komoditi negara.

    “Beliau sedang berusaha dalam isu sekatan import sawit oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) dan masih bekerja kuat melawan agenda anti minta sawit.

    “Jadual Zuraida hari ini juga padat dengan tugasan di kementerian termasuk menghadiri mesyuarat,” katanya lapor Berita Harian, hari ini.

    Semalam media melaporkan Zuraida sedang bersiap sedia kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri.

    Kedudukan Zuraida dalam Kabinet pimpinan Ismail Sabri menjadi tanda tanya selepas mengumumkan meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk sertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) dalam satu kenyataan media pada akhir bulan lepas.

    Namun demikian, dalam kenyataan sama Zuraida memaklumkan akan bertemu Perdana Menteri dalam masa terdekat membincangkan peletakan jawatannya sebagai Menteri.

    Kenyataan itu dibuat Zuraida ketika beliau berada di Turki memenuhi undangan Persidangan Perintis Ketujuh Gabungan Wanita Global untuk Al-Quds dan Palestin manakala Ismail Sabri berada di Tokyo, Jepun, menghadiri Persidangan Nikkei.

    Dalam satu sidang media di Jepun pada 28 Mei lalu, Ismail Sabri memaklumkan Zuraida masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliautidak membuat keputusan.

    Zuraida pulang ke Malaysia Khamis minggu lalu.

  • Perkhidmatan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan

    Perkhidmatan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan

    PERKHIDMATAN Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor telah ditamatkan berkuatkuasa serta merta.

    Surat pemakluman yang ditandatangani Setiausaha BN Selangor Datuk Dr Mohamed Satim berkata, keputusan itu dibuat merujuk Fasal 23 Perlembagaan BN yang tidak memperuntukkan jawatan ketua penerangan dalam BN negeri.

    Isham yang merupakan bekas pegawai khas kepada Datuk Seri Najib Razak menerima keputusan tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama dengannya ketika berkhidmat sebagai ketua penerangan BN Selangor.

    “Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri.

    “Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan, dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, lapor Satu Berita.

    Isham yang dilantik sebagai ketua penerangan BN pada Mei 2020 itu juga turut dilihat lantang dalam mempertahankan Najib Razak berhubung pertuduhan mahkamahnya.

  • Peniaga didakwa buat laporan polis palsu dirompak

    Peniaga didakwa buat laporan polis palsu dirompak

    SEORANG peniaga dalam talian didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu Kelantan hari ini atas pertuduhan membuat laporan polis yang palsu di Kubang Kerian minggu lalu.

    Tertuduh, Muhammad Hadiq Hamdi Mohd Suhaimi, 23, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pegawai Pendaftar, Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dia dirompak dua lelaki pada Sabtu lalu yang menyebabkan kerugian RM6,000 ketika berada di belakang sebuah bank di Kubang Kerian.

    Memetik laporan Harian Metro,kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Kubang Kerian pada pukul 12.37 tengah hari Ahad lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 182 kanun keseksaan dan boleh dihukum mengikut akta yang sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin dan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Ab. Rahman.

    Terdahulu, Sharifah Amirda Shasha memohon menawarkan jaminan RM3,000 dan dan Nik Nazriani pula memohon jaminan minima dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh hanya bekerja sambilan sebagai peniaga dalam talian.

    Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 24 Julai sebagai tarikh jatuh hukum.

  • Bekas diplomat, anak didakwa tanam pokok ganja

    Bekas diplomat, anak didakwa tanam pokok ganja

    SEORANG bekas diplomat bergelar Datuk dan anaknya mengaku dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Raub hari ini atas pertuduhan menanam 102 pokok disyaki pokok ganja, bulan lalu.

    Tertuduh, Datuk Zainal Abidin Alias, 78, dan Mohamed Rizal Zainal Abidin Alias, 53, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

    Kedua-dua tertuduh turut memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan.

    Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menanam 102 pokok ganja di Kampung Sum Sum Hilir Janda Baik, Bentong pada pukul 6.10 petang, 21 Mei lalu.

    Kedua-duanya didakwa di bawah Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 [Akta 234] yang boleh dihukum di bawah seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan diwajibkan sebatan maksimum enam kali jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Mohammad Khalid Ab. Karim bersama Hayda Faridzal Abu Hasan dan Anisah Pisol manakala tertuduh diwakili peguam Rahmat Hazlan.

    Tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh dan kes disebut semula 22 Julai depan.

    Sementara itu, Rahmat turut memberitahu mahkamah satu surat representasi dihantar ke Pejabat Peguam Negara 2 Jun lalu.