Author: Admin

  • ‘Influencer’ buat laporan polis video lucah jual ubat kuat

    ‘Influencer’ buat laporan polis video lucah jual ubat kuat

    SEORANG personaliti media sosial itu atau ‘influencer’ tampil membuat laporan polis bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan video promosi ubat kuat yang dianggap keterlaluan.

    ‘Influencer’ berkenaan, Mohamad Azlan Mohamad Faudzi berkata, laporan tersebut kerana tidak mahu ada yang terpengaruh dengan promosi ubat kuat berkenaan.

    “Paling tidak boleh terima ialah bagaimana boleh ada video sebegitu yang menunjukkan kemaluan lelaki serta kelakuan lucah. Perlu tindakan tegas daripada pihak berkuasa,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Minggu lalu dia bersama Pengerusi Muafakat Amal Pengguna (MAP) Saharudin Bakar membuat laporan polis di Balai Polis Gombak berhubung klip video seorang wanita yang menjual ubat khusus untuk lelaki sambil menunjukkan aksi lucah.

    Mohamad Azlan yang dikenali menerusi saluran YouTube, Mamukokoot berkata, dia dimaklumkan rakan mengenai penghasilan video lucah berkenaan yang disebarkan menerusi saluran Telegram sejak beberapa minggu lalu yang tular dalam media sosial.

    Katanya, video berkenaan turut dikongsikan dalam Facebook, namun sesiapa yang mahu mendapatkan klip penuh perlu menyertai saluran Telegram berkenaan dengan bayaran RM120 sehingga RM150.

    “Saya kesal dengan video berkenaan yang membabitkan seorang penjual ubat kuat kontroversi.

    “Difahamkan, selain ubat kuat itu, turut disediakan adalah pakej untuk melihat video lucahnya,” katanya.

    Sementara itu Saharudin berkata, terdapat beberapa video yang dimuat naik di saluran Telegram secara tertutup yang hanya boleh diakses mereka membayar pakej itu.

    Katanya, semakan mendapati, wanita itu yang memakai beberapa nama gelaran sudah beberapa kali menimbulkan kontroversi dengan aksi melampau dipercayai bertujuan melariskan barangan jualannya.

    “Apa yang berlaku ialah dia menggunakan cara yang salah untuk melariskan jualan. Kita bimbang jika klip berkenaan dilihat kanak-kanak di bawah umur dan mencetuskan masalah lain.

    “Jadi, kita harap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan tidak ada lagi video lucah susulan daripada wanita itu selepas ini,” katanya.

    Sementara itu pemerhatian wartawan di Youtube Mamukokoot mendapati, perkongsian mengenai isu itu mendapat lebih 24,000 tontonan.

    Rata-rata netizen menyatakan kebimbangan mereka mengenai perkara itu yang disifatkan sebagai melampau.

  • Taktik baharu Macau Scam guna dokumen palsu dikesan polis

    Taktik baharu Macau Scam guna dokumen palsu dikesan polis

    POLIS Melaka mengesan penyebaran dokumen palsu iaitu ‘notis kehadiran suspek’ yang didakwa dikeluarkan kontinjen itu yang meminta mangsa membantu siasatan polis berhubung kesalahan jenayah yang dilakukan mangsa ‘Macau Scam’.

    Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Melaka Supt E. Sundra Rajan berkata dokumen palsu yang kononnya ditandatangani Ketua Polis Melaka itu dikesan diterima mangsa berusia 24 tahun menerusi WhatsApp semalam.

    Beliau berkata ‘notis kehadiran suspek’ yang diterima mangsa mendakwa mangsa disyaki terlibat dalam kes penyeludupan dadah, pengubahan wang haram serta menerima komisen sebanyak RM228,000.

    “Menurut dokumen palsu itu, mangsa diminta memberi kerjasama dengan pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam masa dua jam selepas surat itu diterimanya dan waran tangkap ke atas mangsa akan dikeluarkan serta-merta jika mangsa tidak bekerjasama.

    “Selain itu, dokumen itu turut mendakwa akaun bank mangsa akan dibekukan dalam tempoh 16 bulan serta mangsa juga perlu menjalani reman selama 45 hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata mangsa juga diingatkan tidak memberitahu orang lain berhubung dokumen yang diterimanya itu, namun mangsa telah berhubung dengan polis IPK Melaka untuk meminta pengesahan menerusi WhatsApp.

    Katanya, siasatan polis mendapati dokumen palsu itu merupakan modus operandi baharu yang digunakan sindiket ‘Macau Scam’ untuk memperdaya dan menimbulkan ketakutan orang ramai agar mempercayai mereka terlibat dengan siasatan polis.

    E. Sundra Rajan berkata mangsa yang terpedaya kemudiannya akan diarahkan memberi butiran akaun bank serta maklumat perbankan kepada sindiket sebelum pindahan wang daripada akaun mangsa dilakukan.

    Justeru, beliau berkata orang ramai yang menerima dokumen palsu berkenaan diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi CCID Scam Response Center menerusi talian 03-26101559/1599 untuk membuat pertanyaan atau pengesahan.

    “Orang ramai diminta lebih berhati-hati dengan taktik terbaharu dan licik sindiket Macau Scam ini agar tidak menjadi mangsa,” katanya. – Bernama

  • Dadah bernilai RM248,490 dirampas, tujuh individu ditahan

    Dadah bernilai RM248,490 dirampas, tujuh individu ditahan

    SATU sindiket dadah tumpas menerusi tiga serbuan dengan anggaran nilai rampasan RM248,490 di sekitar Lembah Klang.

    Serbuan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Sentul di sebuah kondominium di Manjalara pukul 4 petang pada Rabu lalu berjaya memberkas seorang suspek berumur 21 tahun disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

    Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai satu peket lutsinar yang mengandungi bahan Metamphetamine (13 gram) di dalam poket seluar.

    “Suspek kemudian telah membawa pasukan serbuan ke sebuah kondominium dan menjumpai 15 balutan foil warna oren mengandungi ketulan mampat bahan disyaki kanabis seberat 14,980 gram.

    “Polis turut merampas dua bungkusan kertas berpelekat ‘Happines begin with a wonder cake’ di mana setiap bungkusan mengandungi enam keping biskut, menjadikan jumlah keseluruhan 12 ketul biskut berperisa kanabis dengan berat 230 gram.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian kenderaan yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Setiap bungkus berharga RM100 untuk enam keping biskut yang dijual di media sosial dan kawan-kawan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, polis turut merampas dua bungkusan kertas berpelekat ‘Happines begin with a wonder cake’ di mana setiap bungkusan mengandungi enam keping biskut, menjadikan jumlah keseluruhan 12 ketul biskut berperisa kanabis dengan berat 230 gram.

    “Setiap bungkus berharga RM100 untuk enam keping biskut yang dijual di media sosial dan kawan-kawan.

    “Ini termasuk lima peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki Methamphetamine seberat 65 gram. Turut dirampas dua rantai leher warna kekuningan, satu bentuk cincin warna kekuningan dan wang tunai berjumlah RM2,400 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

    Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi serbuan kedua melibatkan BSJND Sentul dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontijen Selangor berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 25 tahun di kawasan Jalan Lintang Batu Caves pada 9 Jun lalu.

    “Hasil pemeriksaan dalam kenderaan milik suspek menemui 10 balutan foil mengandungi ketulan mampat bahan disyaki kanabis seberat 9,940 gram di tempat duduk bahagian belakang kereta terbabit.

    “Turut dirampas satu rantai leher bersama loket warna kekuningan, sepasang subang warna kekuningan dan wang tunai berjumlah RM1,500 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

    Selain itu, Eng Lai berkata, empat lelaki tempatan berusia lingkungan 23 hingga 24 tahun ditahan di sebuah kondominium di Jalan Bandar Menjalara, Kuala Lumpur pada pukul 7 petang, 9 Jun lalu.

    Ketua Polis Daerah Sentul, ACP Beh Eng Lai (kanan) bersama pegawainya menunjukkan sebahagian kenderaan yang berjaya dirampas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Hasil pemeriksaan menyeluruh di alamat tersebut telah menjumpai satu peket plastik berisi bahan disyaki Metamphatamine (5.40 gram), satu plastik berisi pil bercorak bom warna hijau disyaki pil Esctacy (1,500 gram), satu plastik berisi pil bercorak kartun minion warna kuning disyaki pil Esctacy (1,363 gram).

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan pil Esctacy yang dirampas sebanyak 2,863 gram. Turut dirampas wang tunai berjumlah RM2,100 dipercayai hasil jualan dadah,” katanya.

    Beliau berkata, hasil ujian air kencing tiga daripada tujuh suspek yang ditahan positif dadah jenis THC manakala empat suspek mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

    “Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dihukum mati,” ujarnya.

  • APMM Kelantan lupuskan 251 bot nelayan Vietnam sejak 2007

    APMM Kelantan lupuskan 251 bot nelayan Vietnam sejak 2007

    SEBANYAK 251 bot nelayan Vietnam yang dilucut hak bernilai RM375.06 juta dilupuskan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sejak tahun 2007.

    Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, daripada jumlah itu hanya 18 bot bernilai RM26.06 juta dilupuskan dengan cara musnah pecah, manakala selebihnya sama ada ditenggelamkan menjadi tukun tiruan, bakar dan sebagainya.

    Menurut beliau, tindakan itu diambil ke atas bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara di bawah kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

    “Kita sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang di perairan negeri Kelantan, khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara.

    “Seperti hari ini, kita musnah pecah dua bot bernilai RM2.06 juta yang ditangkap dalam operasi kami bersama kelengkapan navigasi serta peralatan menangkap ikan,” katanya ketika ditemui di Pusat Tahanan Vesel Maritim Negeri Kelantan, di Pasir Puteh hari ini, lapor Berita Harian.

    Pada program itu, dua bot dimusnah pecah menggunakan jengkaut kerana reput dan tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

    Khairun berkata, bagi dua bot terbabit, seramai 12 kru ditahan membabitkan 100 kilogram ikan, 30 kilogram gamat dan 7,350 liter diesel dengan semua kru termasuk tekong dihukum mengikut Seksyen 25(a) Akta Perikanan 1985.

    “Semua nelayan asing terbabit dikenakan denda berjumlah RM3.1 juta, namun masing-masing memilih untuk dipenjarakan antara lima hingga tujuh bulan,” katanya.

    Khairun berkata, bagi tahun ini sahaja, pihaknya sudah melaksanakan kaedah penenggelaman dan musnah pecah bot nelayan asing sebanyak lima buah dengan anggaran nilai RM7.56 juta.

  • Tukang cat rumah dihukum gantung sampai mati edar dadah

    Tukang cat rumah dihukum gantung sampai mati edar dadah

    SEORANG tukang cat rumah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengedar dadah pada 2018.

    Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sabri Hamzah, 49, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

    Dalam alasan penghakiman, mahkamah mendapati tertuduh mempunyai pengetahuan berhubung dadah itu.

    “Tertuduh cemas ketika diserbu pihak polis dan cuba melarikan diri.

    “Alasan tertuduh mahu mengambil sarang burung di belakang rumah adalah tidak munasabah.

    “Di atas sabitan itu, tertuduh dihukum mati iaitu digantung hingga mati dan barang kes dilupuskan,” katanya, lapor Harian Metro.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya iaitu 186.43 gram methamphetamine di kawasan semak belakang rumah tidak bernombor di Kampung Tasik Hulu, Gual Sitok, Rantau Panjang, pukul 7 petang, pada 31 Januari 2018.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hassan.

    Muhammad Hasif dalam rayuannya berkata, tertuduh yang mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 17 tahun itu kesal dengan kesilapannya itu dan berjanji tidak akan melakukannya lagi.

  • Wanita mengaku salah guna kad pengenalan palsu sejak 20 tahun lalu

    Wanita mengaku salah guna kad pengenalan palsu sejak 20 tahun lalu

    SEORANG ibu tunggal tiga anak warga Filipina dijatuhi hukuman penjara tiga bulan di Mahkamah Majistret di Ayer Keroh hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu sejak lebih 20 tahun lalu.

    Tertuduh, Elenita Maisog, 51, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nabiha Mohd Noor.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa kuasa yang sah dan sebab munasabah telah memiliki kad pengenalan palsu atas nama Nuria Rahman yang beralamat di Sungai Udang, Melaka, lapor Astro Awani.

    Kesalahan itu dikesan Bahagian Siasatan Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) negeri Melaka pada pukul 3 petang, 9 Jun 2022 lalu.

    Justeru, tertuduh didakwa mengikut peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan boleh dihukum di bawah peraturan yang sama.

    Bagi kesalahan itu, tertuduh yang bekerja sebagai pembantu kantin sekolah berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksima RM 20,000 atau kedua-duanya sekali.

    Mengikut fakta kes, hasil semakan nombor kad pengenalan berkenaan merujuk kepada individu bernama ‘Sapina’ dan tertuduh mengaku nama sebenarnya adalah Elenita Maisog dan berasal dari Misamis Occidental, Filipina.

    Difahamkan, tindakan itu dikesan selepas tertuduh tampil ke pejabat JPN Melaka bagi proses pendaftaran tiga anaknya.

    Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Ahmad Amirul Ahmad Jamal memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh dengan mengambil kira wanita itu sudah menggunakan kad pengenalan berkenaan sejak 21 tahun yang lalu.

    Beliau turut memohon tertuduh diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen selepas selesai tempoh pemenjaraan bagi tujuan pengusiran.

    Nabiha pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara tiga bulan dari tarikh ditangkap pada 9 Jun 2022 lalu.

    Tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Nelayan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dalam bot

    Nelayan ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dalam bot

    SEORANG nelayan yang dilaporkan tidak pulang seharian ke rumah setelah turun ke laut ditemukan meninggal dunia dalam bot pada malam tadi.

    Mayat mangsa, Wahab Salleh, 77, yang merupakan seorang warga emas ditemukan terbaring dalam bot gentian kaca miliknya pada jarak tiga batu nautika dari perairan Kuala Kemaman.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, mayat mangsa ditemukan oleh anak lelakinya sekitar pukul 8 malam.

    Katanya, anak mangsa risau kerana bapanya tidak pulang sehari suntuk selepas keluar rumah sekitar pukul 5 pagi.

    “Bimbang dengan keselamatan mangsa, salah seorang anak lelakinya mencari mangsa di kawasan jeti sebelum menemukan mangsa tidak sedarkan diri dalam bot yang dinaikinya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut Hanyan, ketika ditemui, mangsa dipercayai telah meninggal dunia antara 10 hingga 12 jam dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

    Menurut beliau, mayat telah dibawa ke Hospital Kemaman dan dalam proses untuk dituntut ahli keluarga.

    Ujarnya, siasatan terhadap mayat mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan ujian saringan Covid-19 juga negatif.

    “Berdasarkan latar belakang kesihatan, mangsa dikenal pasti mempunyai sejarah penyakit jantung dan dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung,” jelas beliau.

  • Laporan penuh kematian Adib, Pulau Batu Puteh, Tommy Thomas Ogos ini:Wan Junaidi

    Laporan penuh kematian Adib, Pulau Batu Puteh, Tommy Thomas Ogos ini:Wan Junaidi

    KERAJAAN akan menerima laporan penuh siasatan dan kajian kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim pada Ogos ini.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan juga akan menerima laporan isu dan tindakan perundangan kes Pulau Batu Puteh serta siasatan dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya pada tempoh sama.

    “Jawatankuasa yang dilantik pada Disember tahun lalu minta untuk sambung (tempoh) lagi bagi pihak mereka memperhalusi serta meneliti laporan terbabit.

    “Tempoh lanjut diperlukan bagi kerja-kerja penterjemahan ke bahasa Melayu berikutan ada laporan yang ditulis dalam bahasa Inggeris.

    “Kita akan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mempunyai kepakaran menterjemah dalam pelbagai bidang demi memastikan tiada kesalahan yang berlaku sekiranya terjemahan selesai dilaksanakan,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, jawatankuasa juga berdepan dengan kesukaran untuk memperoleh dokumen dan saksi.

    “Ada kes contohnya kita sukar untuk dapatkan dokumen yang disimpan oleh individu tertentu. Begitu juga dengan saksi… Ada yang yang telah pulang ke negara masing-masing,” katanya.

    Wan Junaidi berkata, kerajaan turut menggunakan semua kepakaran dari dalam dan luar negara di dalam siasatan kes Pulau Batu Puteh.

    “Kita ada menggunakan khidmat pakar dari The Hague, Belanda dan England. Sepatutnya boleh dapat laporan menjelang Ogos,” katanya.

    Sebelum ini Wan Junaidi memaklumkan laporan akhir siasatan kes kematian Muhammad Adib akan dibentang kepada kabinet pada bulan ini.

    12)

  • Sultan Johor terima kunjungan Amy Search

    Sultan Johor terima kunjungan Amy Search

    SULTAN Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan hormat penyanyi rock tersohor negara, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman di Johor Bahru, hari ini.

    Amy hadir bersama-sama ahli lain kumpulan melibatkan pemain gitar, Hillary Ang dan Man Kidal serta pemain bass, Nasir Daud.

    Pada pertemuan bersama Sultan Johor iu, Amy turut mempersembahkan cenderahati berupa piring hitam album beliau, Gothik Malam Edan serta beberapa cenderamata lain dari kumpulan Search.

    Pada 4 dan 5 Jun lalu, Amy berjaya mengadakan Konsert Search Endemik 2022.

    Konsert Endemik Search berlangsung selama dua malam di Zepp Kuala Lumpur dengan tempoh lebih dua jam dengan dendangan 22 buah lagu.

  • Reman suspek kes rogol remaja 19 tahun lalu disambung

    Reman suspek kes rogol remaja 19 tahun lalu disambung

    TEMPOH reman suspek lelaki yang terlibat dalam kes rogol remaja 19 tahun lalu disambung tiga hari lagi bermula esok.

    Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan terhadapnya dijalankan, lapor Sinar Harian.

    Lelaki itu sebelum ini ditahan di sekitar Bagan Serai, Perak pada Khamis dan direman selama empat hari berakhir hari ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

    Suspek yang berpakaian lokap warna ungu tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Parit Buntar sekitar pukul 8.50 pagi diiringi polis.

    Media sebelum ini melaporkan, polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat kes rogol di Bagan Serai selepas 19 tahun berjaya meloloskan diri daripada pihak berkuasa.

    Tangkapan terhadap suspek dilakukan hasil padanan data profil asid deoksiribonukleik (DNA).

    Dengan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan kes rogol yang berlaku pada tahun 2003.