Author: Admin

  • Ejen perumahan lombong bitcoin secara haram ditahan sekali lagi

    Ejen perumahan lombong bitcoin secara haram ditahan sekali lagi

    POLIS menahan seorang ejen perumahan yang terlibat kegiatan perlombongan mata wang digital bitcoin di Taman Putra Prima, Puchong, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek pernah dicekup menjalankan kegiatan tiga bulan lalu dan seolah-olah tidak serik apabila sekali lagi ditangkap.

    Beliau memberitahu, lelaki tempatan berumur 34 tahun itu ditahan menjalankan aktiviti berkenaan di Taman Putra Prima, Puchong, sejak sebulan yang lalu.

    “Sebelum ini lelaki berkenaan pernah ditahan di Putra Perdana. Polis menerima aduan dari orang awam menyatakan terdapat bunyi bising di sebuah rumah yang disyaki menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.

    “Hasil siasatan polis ke rumah berkenaan mendapati terdapat mesin bitcoin di bahagian ruang tamu dan bilik tidur,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 427/379 Kanun Keseksaan.

  • Lelaki mengaku tidak bersalah jual gambar lucah

    Lelaki mengaku tidak bersalah jual gambar lucah

    SEORANG lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini terhadap pertuduhan menjual gambar lucah menerrusi Twitter pada Mei 2019.

    Tertuduh, Mohammad Hafizzul Anas Kamaruzaman, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dan minta dibicarakan, lapor Harian Metro.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Hafizzul selaku Orang Kena Saman (OKS) melakukan kegiatan berkenaan dalam keadaan sedar memberikan komunikasi lucah bagi maksud komersil.

    Bagi hantaran yang dilihat pada 17 Mei 2019, 10.50 pagi di Menara MCMC 1 di Cyberjaya, OKS didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(2)(a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 [Akta 588].

    Mahkamah menetapkan 19 Julai bagi sebutan semula kes.

    Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nazrul Nizam Mohd Zameri manakala OKS tidak diwakili peguam.

  • Bil elektrik dijangka naik, rakyat perlu bersedia

    Bil elektrik dijangka naik, rakyat perlu bersedia

    PENGGUNA domestik dijangka dikenakan surcaj ke atas bil elektrik bulan depan susulan kenaikan harga bahan api yang berpunca daripada konflik Rusia-Ukraine yang bermula awal tahun ini.

    Tenaga Nasional Berhad (TNB), seperti kebanyakan syarikat kuasa di seluruh dunia, mengalami kesukaran untuk mengekalkan kadar pada paras semasa, terutamanya di bawah bebanan kenaikan harga arang batu.

    Harga arang batu, yang menguasai hampir separuh daripada keperluan penjanaan kuasa negara, telah meningkat empat kali ganda sejak perang meletus.

    Sebagai contoh, harga arang batu Newcastle mencecah rekod tertinggi USD440 (RM1,945) se-tan pada awal Mac, daripada USD67.5 (RM 298) sebelumnya, disebabkan oleh kebimbangan kekurangan bekalan selepas negara Barat mengenakan sekatan ke atas sistem kewangan dan produk tenaga Rusia, selepas serangan ke atas negara jirannya.

    Menurut Satu Berita yang memetik laporan The Vibes, kerajaan sedang mempertimbangkan perkara itu, terutamanya kerana kos itu akan menjadi beban buat semua pengguna domestik.

    Tambahan pula, terdapat formula ‘Imbalance Cost Pass-Through’ (ICPT), yang disemak setiap enam bulan, di mana kos bahan api boleh dimasukkan ke dalam bil pengguna akhir dan semakan ICPT seterusnya akan dibuat bulan depan.

    Walaupun surcaj telah dikenakan kepada pengguna komersial, ini adalah kali pertama ia akan dilaksanakan untuk pengguna domestik. Kuantum surcaj akan diputuskan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

    Kerajaan memutuskan pada Januari bahawa tarif kekal pada 39.45 sen sekilowatt-jam (kWj), dan pengguna domestik akan terus menikmati rebat 2 sen/kWj tanpa sebarang tambahan.

    Januari lalu, ST berkata kerajaan telah menggunakan dana yang ada berjumlah RM715 juta daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik yang terkumpul daripada sumbangan industri, untuk mengekalkan rebat semasa untuk pengguna domestik.

    Menurut laman web TNB, mekanisme ICPT membolehkan mereka menjangkakan perubahan, sama ada peningkatan atau pengurangan, dalam bahan api dan kos berkaitan penjanaan lain dalam tarif elektrik setiap enam bulan.

    Melalui pembacaan ICPT, kerajaan menetapkan sekiranya berlaku penurunan harga bahan api global dan kos penjanaan, penjimatan akan dikembalikan kepada orang ramai dalam bentuk rebat, dan sekiranya berlaku kenaikan bahan api kos tambahan akan disalurkan sebagai surcaj ICPT.

  • Ayah maut mangsa periuk api di laut

    Ayah maut mangsa periuk api di laut

    SEORANG lelaki maut dipercayai terkena letupan periuk api ketika berenang di sebuah pantai di wilayah Odessa, Ukraine baru-baru ini.

    Insiden itu menimbulkan persoalan kemungkinan dia telah melanggar periuk api yang ditempatkan di pantai-pantai Ukraine.

    Rakaman yang dirakam di wilayah Odessa, negara yang dilanda perang dengan Rusia itu menunjukkan orang ramai berlari ke arah pantai sejurus sebelum letupan air.

    Mayat lelaki itu kemudian dihanyutkan yang mana sebelum itu isteri, anak lelaki dan rakannya juga duduk di tepi pantai beberapa saat sebelum dia meninggal dunia kerana letupan tersebut, lapor Sinar Harian.

    Disebabkan perang berterusan dengan Rusia, pegawai tempatan telah melarang orang ramai berenang di kawasan yang mempunyai periuk api.

    Ukraine telah menuduh Rusia meletakkan periuk api di Laut Hitam dengan sengaja manakala Moscow pula mendakwa sebaliknya.

  • Keluarga Muhammad Adib tarik rayuan, tidak mahu panjangkan kes

    Keluarga Muhammad Adib tarik rayuan, tidak mahu panjangkan kes

    KELUARGA anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim menarik balik rayuan berhubung permohonan mengkomitkan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas atas tuduhan menghina mahkamah.

    Arahan tersebut dibuat oleh keluarga Muhammad Adib kepada Firma guaman, Tetuan Mohd. Zubir Embong & Associates yang mewakili keluarga berkenaan.

    Menurut firma tersebut, ini kerana keluarga berkenaan tidak lagi mahu memanjangkan perkara tersebut.

    Firma guaman, Tetuan Mohd. Zubir Embong & Associates menjelaskan,
    susulan arahan keluarga Muhammad Adib agar rayuan bapanya, Mohd. Kassim Abdul Hamid ditarik balik, peguam telah memfailkan Notis Menarik Balik Rayuan pada 31 Mei lalu, diikuti Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mewakili Tommy Thomas memfailkan penarikan rayuan pada Selasa.

    “Pihak keluarga Muhammad Adib menganggap bahawa proses dan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Tommy Thomas dan AGC selesai dan tamat di sini.

    “Mereka turut berharap agar masyarakat dapat membenarkan ahli keluarga arwah untuk meneruskan kehidupan dengan memandang ke hadapan serta memulakan kehidupan baharu,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Jelas firma itu, terdapat tiga rayuan sedang berlangsung di Mahkamah Rayuan.

    “Pertama, rayuan oleh AGC bagi menegaskan bahawa hakim koroner tiada bidang kuasa untuk mendengar dan menghukum seseorang, termasuk Tommy Thomas atas kesalahan menghina mahkamah,” katanya.

    Sementara dua lagi ujarnya, rayuan Mohd. Kassim, 66, bagi mencabar keputusan mahkamah tinggi yang memutuskan bahawa Tommy Thomas mempunyai hak merayu dan rayuannya diterima.

  • Maritim patahkan cubaan seludup rokok RM105,000 di muara sungai

    Maritim patahkan cubaan seludup rokok RM105,000 di muara sungai

    CUBAAN satu sindiket menyeludup rokok bernilai RM105,000 berjaya dipatahkan selepas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang menahan sebuah bot gentian kaca di muara Sungai Kuantan, di Kuantan, semalam.

    Bot dinaiki dua lelaki itu dikesan pihak maritim berada dalam keadaan mencurigakan pada lokasi 2.6 batu nautika barat daya muara Sungai Kuantan pada pukul 1.35 pagi.

    Menurut Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim, Kamal Ariffin Jusoh berkata, bot samaran dinaiki tiga anggota maritim itu sedang melaksanakan rondaan Operasi Makmur di sekitar perairan Kuala Kuantan.

    “Pihak maritim mengesan bot terbabit bergerak di persisiran pantai menuju ke Sungai Kuantan.

    “Menyedari kehadiran anggota maritim, suspek memecut bot dinaiki ke arah hulu Sungai Kuantan.

    “Suspek kemudian meninggalkan bot dan berjaya meloloskan diri ke dalam hutan bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Kamal Ariffin berkata, hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot yang ditinggalkan, pihaknya menemui 35 kotak berisi rokok dipercayai tidak bercukai disyaki cuba diseludup untuk dipasarkan di pasaran tempatan.

    “Semua rokok yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pahang untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat.

    “Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” katanya.

  • Kanak-kanak bisu, pekak diselamatkan selepas empat hari jatuh dalam perigi

    Kanak-kanak bisu, pekak diselamatkan selepas empat hari jatuh dalam perigi

    PEKERJA kecemasan menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun semalam, dari perigi sempit selepas dilaporkan terperangkap sejak lebih empat hari lalu, menurut pihak berkuasa tempatan.

    Rahul Sahu yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan, jatuh ke dalam perigi sedalam 24 meter petang Jumaat lalu, ketika bermain di halaman belakang rumahnya di wilayah tengah, Chhattisgarh, India.

    Jentera penolak tanah dan kren digunakan untuk membantu menggali terowong di sebelah telaga, dengan kelebaran yang kecil.

    Anggota tentera dan agensi tindak balas bencana India turut membantu dalam operasi berkenaan.

    “Sahu berjaya diselamatkan dengan selamat atas doa semua orang dan usaha gigih dari pasukan penyelamat,” ciap Ketua Menteri, Bhupesh Baghel di Twitter, memetik laporan Berita Harian.

    Pegawai pentadbiran daerah tempatan, Jeetendra Shukla memberitahu wartawan bahawa budak lelaki itu hidup tetapi lemah dan sudah dikejarkan ke hospital di daerah berdekatan.

    “Seekor ular dilihat di lubang yang sama tetapi budak lelaki itu sudah menunjukkan keberaniannya dan kekal tenang ketika operasi menyelamatnya,” katanya.

    Katanya, cuaca buruk serta ancaman ular berbisa dan kala jengking yang ditemui ketika penggalian turut menghalang usaha menyelamat.

    Ketua Polis Daerah Janjgir, Vijay Agrawal ketika dihubungi dari lokasi kejadian berkata, ketika operasi menyelamat, kamera digunakan untuk memantau keadaan dan pergerakan budak itu.

    “Memandangkan budak itu tidak boleh bercakap atau mendengar, kami berdepan cabaran lebih besar,” katanya.

    Jurucakap kerajaan berkata, sebuah paip oksigen disediakan bagi menyalurkan udara segar kepada Sahu ketika usaha menggali terowong terhalang oleh batu keras yang berada di bawah.

    Perigi yang tidak berbumbung adalah ciri umum yang terdapat di perkampungan petani di India dan sering mengakibatkan kemalangan maut yang membabitkan kanak-kanak kecil.

    Pada 2019, seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang ditarik keluar dari perigi, maut selepas usaha menyelamatnya selama empat hari di negeri utara Punjab.

    Pada tahun sama, seorang kanak-kanak berusia satu setengah tahun diselamatkan di wilayah Haryana selepas terperangkap selama dua hari.

  • Juruteknik ditahan terlibat pergaduhan dengan lelaki warga asing

    Juruteknik ditahan terlibat pergaduhan dengan lelaki warga asing

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG juruteknik berusia 29 tahun ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan sehingga mencederakan seorang lelaki warga asing di Lebuh Chulia, Georgetown, Pulau Pinang awal pagi kelmarin.

    Suspek berusia 29 tahun itu ditahan pukul 10.30 malam semalam oleh polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut selepas video pergaduhan tersebut tular di media sosial sejak.

    Video berdurasi 38 saat yang dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter ‘nanmanjoi8715’ itu memaparkan dua lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran.

    Menerusi video tular itu, dua lelaki dilihat bertumbuk dan bergaduh di hadapan sebuah restoran sambil cuba dileraikan oleh beberapa orang awam.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Assisten Komissioner Soffian Santong berkata, hasil semakan mendapati kejadian berlaku kira-kira pukul 12.30 pagi kelmarin di kawasan Lebuh Chulia,

    Ujar beliau, pihaknya menerima satu laporan polis oleh seorang lelaki warganegara asing berumur 40 tahun di Balai Polis Central, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Pulau Pinang berkaitan insiden tersebut.

    ”Mangsa mendakwa telah diserang oleh seorang lelaki menggunakan botol minuman hingga menyebabkannya cedera luka di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Soffian, suspek berasal dari Negeri Sembilan dan bekerja sebagai juruteknik di Pulau Pinang.

    Katanya, lelaki berkenaan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan hasil ujian awal polis ke atasnya juga mendapati dia negatif sebarang jenis dadah.

    “Hasil siasatan yang dijalankan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mabuk dan berlaku pertengkaran mulut setelah suspek menegur pengadu secara kasar,” katanya.

    Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 17 Jun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

  • Personaliti media sosial diperintah bayar ganti rugi RM100,000

    Personaliti media sosial diperintah bayar ganti rugi RM100,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG personaliti media sosial atau ‘influencer’, Noorazira Pissal yang mengaibkan bentuk fizikal seorang wanita menerima padah apabila Mahkamah Tinggi Johor Bahru membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan Md Sidek.

    Peguam Suharnizan, Mohd. Rasheed Hassan berkata, hukuman tersebut dijatuhkan ke atas ‘influencer’ tersebut yang lebih dikenali sebagai Eira Aziera, 39, selepas melakukan perbuatan ‘body shaming’ terhadap Suharnizan, 39, pada Ogos 2020.

    Beliau berkata, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim menetapkan keputusan tersebut dalam saman Suharnizan terhadap influencer berkenaan secara dalam talian pada 30 Mei lalu.

    Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah perbicaraan penuh dijalankan selama lima hari dari 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian selepas mengambil kira semua keterangan saksi-saksi dan setelah membaca hujahan kedua-dua pihak.

    “Mahkamah juga telah memerintahkan Noorazira untuk menyiarkan permohonan maaf yang jelas tanpa syarat dalam semua akaun media sosial miliknya dan hendaklah dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiaran.

    “Selain itu mahkamah memutuskan bahawa Suharnizan melalui peguamnya telah berjaya membuktikan tuntutannya dan setelah kesemua elemen yang berkaitan telah dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Pada 13 Oktober 2020 Suharnizan memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera, di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa menghina bentuk fizikalnya atau ‘body shaming’.

    Media sebelum ini melaporkan, pada 18 Ogos 2020 kira-kira jam 10 pagi, Suharnizan menulis komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara ‘live’ sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera.

    Eira Aziera membuat satu rakaman video dan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat kepada Suharnizan dan menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya sebelum video berkenaan tular.

    Bagaimanapun tindakan personaliti tersebut mendapat kecaman netizen sebelum Eira Aziera tampil sekali lagi dalam sebuah video memohon maaf atas perbuatannya, mendakwa gagal mengawal emosinya dan menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak rasa tersinggung.

    Suharnizan ditemani peguamnya, Mohd. Rasheed Hassan kemudian mengambil keputusan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di sini pada 15 September 2020 sebelum memfailkan tuntutan saman.

    Mengulas lanjut, Mohd. Rasheed berkata, keputusan mahkamah itu juga selepas mendapati kenyataan yang ditujukan Eira Aziera dalam sesi siaran langsung tersebut jelas mempunyai unsur fitnah dan tidak memerlukan terjemahan sebagaimana dituntut peguam ‘influencer’ tersebut.

    “Noorazira melalui peguamnya dan kenyataan tersebut jelas merujuk kepada Suharnizan di mana nama beliau telah disebut secara terang dan berulang-ulang kali pada ketika itu,” katanya.

    Beliau berharap, kes tersebut akan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati dalam media sosial sehingga tidak memikirkan kesannya.

  • Budak 5 tahun rentung, ibu, bayi melecur teruk dalam kebakaran

    Budak 5 tahun rentung, ibu, bayi melecur teruk dalam kebakaran

    SEORANG kanak-kanak berusia lima tahun ditemui rentung manakala adik dan ibunya melecur dalam kebakaran Rumah panjang Polly Anak Sulau di Bukong Asal dekat Jalan Lidong, Betong pukul 9.22 pagi tadi.

    Mangsa, Rezdesson Carlos Robson rentung manakala adiknya, Elsa Amanda,2, dan ibunya Ency Shaylla, 25, melecur sehingga 50 peratus.

    Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, semasa kejadian terdapat seramai 59 penghuni berada di rumah panjang 11 pintu.

    “Sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong diatur gerak ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan.

    “Mangsa ditemukan rentung di ruang dapur bilik nombor 11 semasa kerja-kerja overhaul dilakukan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Sementara itu, dua lagi mangsa melecur telah dihantar ke Hospital Betong bagi mendapatkan rawatan lanjut.

    “Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Setakat ini punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.