CADANGAN untuk melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih belum sesuai dilaksanakan di negara ini ketika ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, dasar sedemikian jika mahu dilaksanakan memerlukan kajian terperinci di samping kesediaan dan kemampuan rakyat negara ini.
“Setakat ini terdapat lebih 34 juta kenderaan berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun hanya 22 juta sahaja yang aktif memperbaharui cukai jalan.
“Kerajaan sentiasa dengar pandangan dan idea pakar, namun dasar supaya melupuskan kenderaan yang melepasi had usia lebih 10 tahun masih tidak sesuai dilaksanakan di negara kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelepasan perkhidmatan Tren Shuttle KTMB JB-Singapura di JB Sentral, Johor Bahru, hari ini, lapor Berita Harian.
Katanya, penyelesaian isu kesesakan di jalan raya bukan sahaja dengan cara pelupusan kenderaan lebih 10 tahun kerana ia memerlukan pendekatan holistik dan menyeluruh.
“Jika dasar ini mahu dilaksanakan, kita terlebih dahulu perlu ada jaringan pengangkutan sempurna termasuk di luar bandar dan kampung, namun ketika ini pun jaringan lengkap projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang masih belum siap dibina,” katanya.
Khamis lalu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dilaporkan menyarankan beberapa mekanisme bagi menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya di ibu kota.
Kumpulan pakar diketuai oleh Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya UKM, Profesor Dr. Rozmi Ismail dilaporkan mencadangkan supaya kenderaan di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun dilupuskan supaya tidak berada di jalan sekali gus bertujuan menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.
Ka Siong berkata, hasil penelitian dilakukan pihaknya mendapati majoriti daripada 12 juta kenderaan tidak aktif di atas jalan raya dan tidak memperbaharui cukai jalan kerana kenderaan lama, terdapat pemilik atau pewaris yang hendak menyimpan nombor pendaftaran kenderaan lama di samping hanya menggunakan kenderaan itu di kampung.
“Kita ada data, siapa tidak bayar cukai jalan tetapi sistem yang lebih menyeluruh diperlukan bagi mengenal pasti kenderaan aktif dan tidak aktif ini. Kemudian bila sudah ada sistem yang lengkap, kita akan lihat secara terperinci punca sebenar kenderaan tidak aktif ini.
“Banyak lagi perkara perlu diteliti jika mahu melaksanakan sebarang dasar besar termasuk pelupusan kenderaan melebihi 10 tahun kerana isu berkenaan cukup kompleks meskipun terdapat banyak negara yang sudah membuat dasar itu termasuk Singapura.
“Jika hendak dilaksanakan, dasar automotif negara perlu dilihat semula kerana dasar itu menggalakkan pemilikan kenderaan buatan Malaysia,” katanya.
BAPA Allahyarham penyanyi Adibah Noor tidak mengetahui anaknya ITU menghidap penyakit kanser ovari tahap empat.
Menurut Mohd. Omar Zainal Abidin, 89, ketika ditemui selepas selesai pengurusan jenazah berkata, perkara itu disembunyikan anaknya itu.
“Saya tak tahu. Dia tidak beritahu walaupun saya ayahnya. Saya pergi hospital pun dia tidak beritahu. Tapi kalau Tuhan nak ambil, Dia ambil juga.
“Itu anak saya nombor tiga. Dia seorang yang taat dan pemurah. Kalau orang lain nak kata dia kedekut, terpulanglah. Bagi saya dia okay, semuanya okay.
“Saya tiada apa nak cerita, tiada apa yang nak dipanjangkan. Mohon doakan yang baik-baik buat anak saya,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Menurutnya, Allahyarham juga bukan jenis yang suka menyusahkan walaupun ahli keluarga sendiri.
“Ramai tak tahu dia sakit. Saya pun lambat juga diberitahu. Anak-anak saya semua macam tu. Dia hanya cakap sakit bahagian perut.
“Dia masuk hospital pun dia tak cakap. Dia memang jenis tak nak menyusahkan orang,” katanya.
Terdahulu, jenazah arwah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur pukul 9 pagi.
Bapa arwah juga berkesempatan masuk ke bilik pengurusan jenazah untuk menatap wajah anaknya buat kali terakhir. Malah dia turut ke tanah perkuburan untuk mengebumikan anaknya dan memberikan penghormatan terakhir.
Selain itu kelihatan lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir.
Antaranya seperti Datuk Afdlin Shauki, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Liza Abdullah, Anuar Zain, Ziana Zain, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Sharifah Amani, Saiful Apek, Linda Onn dan ramai lagi.
Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd. Omar, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles dipercayai akibat penyakit kanser ovari tahap empat, semalam.
LELAKI yang disyaki melarikan dan merogol remaja perempuan bawah umur sudah diberkas polis di Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, tangkapan dibuat susulan siasatan polis berhubung laporan kehilangan remaja itu oleh keluarganya.
“Pada pukul 9.30 malam tadi, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menangkap suspek yang berumur 39 tahun di Kuala Lumpur.
“Sewaktu tangkapan dibuat, polis turut merampas telefon bimbit dan kenderaan yang digunakan oleh suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan Harian Metro.
Hoong Fong berkata, ibu bapa remaja perempuan berumur 13 tahun itu membuat laporan polis pada pukul 8 malam Khamis lalu.
“Ibu remaja itu memaklumkan pemandu van memberitahu anaknya tiada di kawasan sekolah selepas selesai waktu sekolah.
“Pengadu bersama suami pergi ke sekolah dan mendapat tahu daripada rakan sekolah bahawa mangsa menaiki sebuah kereta jenis tidak pasti dengan seorang lelaki selepas tamat waktu sekolah,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati anak mangsa adalah pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di bawah pentadbiran IPD Klang Selatan berkenalan dengan seorang lelaki melalui aplikasi Zaky pada 14 Jun lalu.
“Selepas berkenalan selama dua hari, mangsa dipercayai membuat temujanji bersama suspek di hadapan sekolah untuk melarikan diri ke Melaka.
“Pada pukul 6.40 petang Khamis lalu, suspek mengambil mangsa di hadapan sekolah menggunakan sebuah kereta jenis Perodua Viva warna perak dan membawa mangsa ke Melaka.
“Mangsa dibawa ke sebuah bangunan rumah kedai dan suspek dipercayai melakukan perhubungan seks bersama mangsa,” katanya.
Menurut beliau, siasatan mendapati, suspek menghantar mangsa ke Sentul atas permintaan mangsa pada pukul 11.30 malam Jumaat.
“Selepas mangsa diturunkan di kawasan Sentul, mangsa meminta bantuan seorang kawan untuk bawa dan tinggal di rumah kawannya.
“Pada keesokannya, mangsa meminta bantuan daripada rakan sekelasnya mengambilnya dari Sentul untuk pulang ke rumah. Maklumat itu dikongsi dengan pihak polis dan mangsa diselamatkan,” katanya.
Katanya, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas kesalahan melarikan orang daripada penjagaan yang sah di sisi undang-undang.
“Selain daripada itu, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.
“Suspek direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. Pihak polis ingin menasihatkan kepada orang awam agar sentiasa mengawasi pergerakan, pergaulan serta penggunaan peranti elektronik anak masing-masing terutamanya remaja agar tidak terbabit dengan aktiviti-aktiviti tidak sihat,” katanya.
NAIB Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah menegaskan, parti itu menolak idea ‘khemah besar’ sebaliknya akan memfokuskan kepada agenda penyatuan umah.
Mohd. Amar yang juga merupakan Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, prinsip Pas dalam seruan penyatuan umah adalah jelas.
“Pas berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dahulu umat Islam dalam masa sama berdiri dalam satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Pas tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Tambah Mohd. Amar, prinsip Pas sebagaimana termaktub dalam Perlembagaannya juga jelas bahawa Islam yang paling utama.
Disebabkan itu katanya, bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) ketika 2018 hingga 2019 lalu, Pas menggerakkan usaha muafakat ummah.
“Dengan parti Melayu seperti UMNO dan NGO-NGO sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.
“Namun pada masa yang sama, Pas menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh di saat kedudukan beliau diganggu gugat.
“Semua ini tidak lain dan tidak bukan adalah demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang Pas,” ujarnya.
Mohd. Amar berkata, Pas menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek sejak kebelakangan ini.
Katanya, parti itu dengan segenap kemampuan yang ada menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
“Sebagai salah satu usaha menterjemahkan solusi politik Islam dalam mendepani cabaran ini.
“Terkini, Pas meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.
“Rakyat Malaysia pasti tidak lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara bawah pentadbiran PH yang telah menzahirkan realiti golongan yang cuba menggugat status quo negara Malaysia serta prinsip asas tunjang negara,” tegasnya.
AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo patah pergelangan kaki kiri selepas diserang seorang lelaki yang dipercayai mabuk.
Kejadian itu berlaku pukul 8.30 malam Jumaat lalu ketika Jagdeep yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang berada bersama ahli keluarganya di sebuah kedai di Jalan Sungai Kelian, Tanjung Bungah.
Difahamkan, ketika kejadian Jagdeep secara tiba-tiba ditolak sehingga terjatuh oleh seorang lelaki warga asing yang menghampirinya dalam keadaan terhuyung-hayang dipercayai kerana mabuk.
Ekoran kejadian itu, ahli politik berusia 51 tahun berkenaan cedera pada buku lali dan kini dirawat di sebuah hospital swasta.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain ketika dihubungi media mengesahkan seorang suspek telah ditahan berhubung kes itu dan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.
PEMBINAAN penjara baharu yang mampu memuatkan seramai 3,000 penghuni di negeri ini dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Sayuthi Bakar berkata, mengikut perancangan lokasi yang dipilih adalah di Ketereh selain bakal menjadi penjara terbesar dan moden di Kelantan.
Katanya, proses untuk menyelesaikan isu tanah sedang dilakukan sebelum pembinaan dilaksanakan pada hujung tahun hadapan dan dijangka mengambil masa selama beberapa tahun untuk disiapkan sepenuhnya.
Beliau berkata, pelaksanaan cadangan terbabit selaras dengan keperluan pemulihan banduan dan pengkategorian penjara di samping mengurangkan kesesakan yang sedia ada di penjara Zon Timur.
Oleh itu ujarnya, pertambahan anggota dan kakitangan di Jabatan Penjara Malaysia juga akan dilakukan bagi menampung keperluan petugas di lokasi baharu bagi memastikan pengurusan penjara sentiasa terkawal.
“Selain di Kelantan, beberapa negeri lain turut menerima pembangunan sama dalam pembinaan penjara baharu termasuk di Lahad Datu, Sabah yang bakal siap sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2021 Peringkat Zon Timur di Kompleks Kota Darul Naim, di Kota Bharu Kelantan, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pengurusan), Abd. Kadir Rais dan Pengarah Pengurusan Banduan, Ajidin Salleh.
Mohd. Sayuthi berkata, pembinaan penjara baharu untuk memberi fasiliti lebih baik kepada kedua-dua pihak tidak kira untuk anggota atau pegawai bertugas mahupun banduan.
“Tambahan pula, umum mengetahui banyak penjara di Malaysia yang sudah lama dan perlu penambahbaikan. Kerajaan sentiasa menaruh kepercayaan tinggi kepada Jabatan Penjara Malaysia dalam memberikan khidmat bakti mengawal serta memulihkan penghuni,” katanya.
HAH? Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF) berhasrat menubuhkan parti Keluarga Felda SeMalaysia? Biar betul… rungut beberapa orang rakan penulis dan juga pemerhati politik apabila tokoh korporat, Tan Sri Rozali Ismail yang juga merupakan Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings menyuarakan perkara itu Rabu lalu.
Menurut Rozali, parti yang dicadangkan itu lebih kepada parti buruh disebabkan majoriti penduduk Felda adalah golongan buruh dan penubuhannya bermatlamat untuk membela generasi buruh yang rata-ratanya berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau seterusnya akan membawa usul tersebut ke majlis tertinggi pengurusan GWGF minggu hadapan untuk diteliti oleh 17 persatuan.
Bagaimanapun hasrat itu dibantah Pengerusi Pertubuhan Satu Silaturahim Anak Felda (1SAF), Mohammad Yahya Zakaria yang menyifatkan tiada keperluan menubuhkan parti politik baharu mewakili peneroka FELDA, sebaliknya wakil rakyat di kawasan berkenaan boleh memainkan peranan mewakili suara peneroka.
Katanya, setiap wakil rakyat sama ada di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen turut mewakili suara penduduk di FELDA dan ada isu yang dibawa ke sidang Parlimen.
Begitulah betapa hebatnya orang Malaysia, sentiasa meletakkan soal politik berada di hadapan.
Sebenarnya penulis sendiri kurang bersetuju dengan ‘lambakan’ parti-parti politik di Malaysia sejak kebelakangan ini.
Penubuhannya umpama peniaga ‘pakaian bundle’ di pasar malam.
Bagi penulis, setiap kali muncul atau tertubuhnya parti politik baharu, ia menyebabkan rakyat serta pengundi berada di persimpangan dilema.
Malah, pada hari pengundian nanti, mereka akan menjadi serba salah untuk memilih calon dan parti yang benar-benar layak, semuanya dikatakan berjuang untuk rakyat, tiada satu parti pun dikatakan berjuang untuk pemimpin atau diri sendiri.
Penulis ingin bertanya apakah rasionalnya penubuhan banyak parti politik baharu di negara ini.
Adakah ia bertujuan untuk membela dan berjuang untuk rakyat atau sebaliknya.
Apa yang dapat dikutip, lafaz kata kebanyakan pemimpin parti yang ingin menubuhkan parti baharu begitulah…ungkapan yang retorik dan penuh berapi.
Semuanya kerana rakyat, bukan kemahuan sendiri…
Sekiranya GWGF diluluskan pendaftaran nanti, maka Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan menjadi medan hilang akal kepada pengundi di Malaysia.
Tan Sri Rozali Ismail
Pengundi khususnya orang Melayu yang semakin berserabut dengan politik Malaysia akan terperangkap, mereka semakin bingung, parti manakah yang bakal dipilih.
Walaupun Malaysia sebuah negara demokrasi, namun biarlah demokrasi itu diletakkan dalam erti kata sebenar bukan hanya sekadar suatu ungkapan.
Hasrat menjadikan GWGF sebagai parti politik sebenarnya kurang relevan dan kurang sesuai sekali gus ia boleh menjadikan proses demokrasi di negara ini sebagai ‘caca marba’.
Tindakan itu tidak salah, tetapi wajarkah perkara ini berlaku sedangkan rakyat hanya memerlukan seorang prmimpin yang benar-benar bertanggungjawab bagi membela nasib dan masa depan mereka?
Kita mesti ingat bahawa parti politik dan pilihan raya bukan suatu pentas untuk mempopularkan diri, sebaliknya ia merupakan ruang bagi rakyat ‘mencari’ dan memilih pemimpin yang mampu mewakili suara rakyat.
Sehubungan itu, mana-mana pihak di negara ini tidak seharusnya melihat penubuhan parti politik serta proses pilihanraya sebagai pentas untuk berseronok dan ‘main main’ sehingga ada yang sanggup membuat percaturan di luar dugaan.
Kita mestilah menjadikan pilihan raya sebagai suatu perkara amat serius, bukan juga tempat untuk menguji dan diuji kerana setiap pengiraan undi itu terlalu bermakna bagi menentukan hala tuju dan masa depan rakyat.
Kalau dilihat kepada senarai parti-parti yang sudah wujud di negara ini, sudah tentu ia menimbulkan pelbagai persoalan, sekaligus menyukarkan pengundi untuk membuat pilihan pada PRU-15 nanti, ini belum termasuk senarai calon-calon mewakili parti Bebas.
Sekiranya rakyat tersalah membuat percaturan dan bersikap ‘tidak mengapa’ kerana ingin mengubah selera, maka tidak mustahil ulangan keputusan PRU-10 bakal bertandang.
Mohammad Yahya Zakaria
Perkembangan ini bukan sahaja akan merugikan diri sendiri, tetapi juga melibatkan masa depan generasi akan datang dan negara.
Bayangkanlah jika calon dan parti yang dipilih itu tidak mempunyai latar belakang politik, akademik dan langsung tiada idea dalam melaksanakan perancangan rakyat untuk tempoh jangka masa panjang.
Bagi memastikan perkara ini tidak berlaku, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Pendaftaran pertubuhan (ROS) seharuslah menilai semula beberapa peraturan dan syarat membabitkan calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya dan juga fungsi penubuhan parti politik baharu di negara ini.
Bagi calon, antara peraturan dan syarat ialah daripada segi usia, kelayakan akademik dan kesihatan.
Perkara ini perlu ditekankan kerana sebelum ini ada calon yang tidak tahu membaca dan menulis serta melewati usia turut dibenarkan bertanding.
Bagaimana perasaan kita sebagai rakyat Malaysia sekiranya tanpa diduga calon katagori ini tiba-tiba menang dalam pilihan raya dan layak menduduki sama ada kerusi parlimen atau DUN?
Begitu juga dariapda segi penubuhan parti politik juga perlu diketatkan peraturan agar ia tidak tertubuh berdasarkan wakil komuniti tertentu semata-mata.
Jangan terkejut sekiranya selepas ini muncul pula parti politik mewakili nelayan, petani, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), maka jadilah ia sebagai parti ‘cacamarba’ umpama pasukan bola sepak dalam Liga Malaysia.
Barangkali pandangan ini dilihat sedikit ‘nakal’ namun ia tidak mustahil boleh berlaku…
FOKUS Parti Warisan buat masa ini untuk memperkuatkan parti sebelum memutuskan kerjasama dengan gabungan dan parti politik lain.
Jelas Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, keutamaan Warisan buat masa ini adalah memperkukuhkan parti di negeri dan bahagian yang berpotensi untuk ditawan dan dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Apa yang penting kita kukuhkan rumah (parti) kita dulu, bila rumah kita kuat baru cerita siapa rakan kongsi kita, siapa rakan gabungan,” katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Pelancaran dan Perasmian Pejabat Perhubungan Parti Warisan Negeri Sembilan, hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau bagaimanapun mengakui bukan mudah untuk partinya bertanding sendirian di Semenanjung namun berbeza di Sabah.
“Kita sedar bukan mudah kalau kita bertanding berseorangan tetapi di Sabah sudah biasa. Di Sabah berjaya satu parti sahaja, tiada gabungan.
“Saya yakin di Semenanjung formula itu tidak boleh dipakai kerana di sini ada kerjasama dengan parti lain. Saya akan lihat gabungan mana yang kita perlu adakan atau wujudkan,” katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai jumlah kerusi parlimen yang parti itu bertanding pada PRU-15, Mohd. Shafie berkata, ia belum diputuskan dan akan dimaklumkan kelak.
SEORANG lelaki cedera dipukul rakannya di sebuah restoran di Bandar Mahkota Cheras, Kuala Lumpur, kelmarin, akibat perselisihan faham berkaitan hantaran menerusi Facebook.
Kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak polis pihaknya pada pukul 12.40 tengah malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Mohd. Nasir Drahman berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 10 malam kelmarin, semasa mangsa, 48, berada di restoran bersama empat lelaki dengan dua daripada mereka dikenali pengadu.
“Pengadu dan suspek berjumpa kerana mereka bersetuju untuk menyelesaikan masalah peribadi mengenai perselisihan faham hantaran di Facebook.
“Bagaimanapun, perbincangan itu menyebabkan suspek tidak berpuas hati dan memukul mangsa serta rakannya menggunakan batang besi paip hingga mengakibatkan mangsa cedera di kepala,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Harian Metro.
Mohd. Nasir berkata, pengadu mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta di Bandar Mahkota Cheras dan menerima 12 jahitan di kepala akibat kecederaan terbabit.
“Suspek yang terbabit dalam kejadian itu iaitu lelaki berusia 39 tahun sudah dikenal pasti dan sedang dikesan polis bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Ahmad Faizal di talian 019-7691924 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
MAHKAMAH Sesyen Johor Bahru hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 terhadap seorang penghantar makanan atas dua pertuduhan menghantar dan memulakan komunikasi bahan lucah menerusi aplikasi media sosial, dua tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Khair Maani, 25x mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Khair didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi media sosial menghantar gambar dan video lucah sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, lapor Sinar Harian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Blok C, Taman Ungku Tun Aminah, di Johor Bahru pada pukul 8.50 pagi 25 Januari 2020.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Nur Nazhzilah Mohammad Hashim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Hakim Datuk Che Wan Zaidi meminta semua yang berada dalam bilik pendakwaan keluar kecuali tertuduh dan pihak pendakwaan bagi memaparkan video dan gambar kejadian untuk tujuan pengesahan.