Author: Admin

  • Bekerja dalam cuaca buruk, majikan boleh diambil tindakan

    Bekerja dalam cuaca buruk, majikan boleh diambil tindakan

    HUJAN lebat diikuti ribut petir dan banjir kilat akibat ketidaktentuan cuaca kebelakangan ini bukan sahaja menjejaskan kerja di lapangan termasuk tapak binaan tetapi juga mencetuskan risiko keselamatan pekerja.

    Fenomena cuaca melampau yang ada kaitannya dengan perubahan iklim ini bukan perkara baharu dan banyak kajian menunjukkan kesannya semakin memburuk dan mampu mengundang bencana alam lebih kerap.

    Senario ini sudah tentu memerlukan semua pihak berwajib termasuk majikan memberi perhatian berat kepada keselamatan pekerja mereka di lapangan terutamanya ketika berdepan cuaca buruk, dan bukan mementingkan keuntungan serta membiarkan mereka terus bekerja.

    Mengulas mengenai perkara ini, Timbalan Ketua Pengarah (Keselamatan Pekerjaan), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) Mohd Anuar Embi memberitahu Bernama, majikan dan pekerja perlu sentiasa berwaspada terhadap situasi cuaca dan akur dengan prosedur operasi standard (SOP) kerja yang selamat.

    Menurut beliau, keperluan itu termaktub dalam peraturan, garis panduan dan perundangan berkaitan keselamatan serta kesihatan pekerjaan.

    Beliau menekankan bahawa mana-mana majikan yang dikesan sengaja mengabaikan keselamatan pekerja termasuk yang mengarahkan mereka meneruskan kerja di lapangan meskipun berdepan cuaca buruk, boleh dikenakan tindakan.

    Ianya selaras dengan Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan kewajipan kepada setiap majikan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terjaga termasuk dalam situasi cuaca buruk.

    Kegagalan pihak majikan untuk mematuhi peruntukan perundangan sedia ada juga boleh menyebabkan pihak berkenaan didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

    “Di dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pula, kesalahan seumpama ini boleh disabitkan di bawah peruntukan kewajipan untuk menjalankan dan melaksanakan pentaksiran risiko.

    “Penalti apabila sabit kesalahan yang diperuntukan bagi kesalahan ini adalah didenda tidak  melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama  tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,’’ katanya sambil menambah, JKKP sentiasa memberi tumpuan penguatkuasaan di sektor pembinaan bagi memastikan keselamatan pekerja dan orang awam terjamin.

    Sepanjang tahun 2021, JKKP membuat pemeriksaan ke atas sebanyak 16,707  tapak pembinaan di seluruh negara dan dalam pemeriksaan itu, pihak berkenaan turut mengambil tindakan punitif ke atas ketidakpatuhan perundangan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP). 

    Menurut Mohd Anuar, bagi tahun 2021, JKKP mengeluarkan sebanyak 327 kompuan dengan nilai RM633,000 selain 52 kes juga didakwa di mahkamah dengan melibatkan jumlah penalti sebanyak RM777,500.

    Beliau menambah, JKKP telah dan sedang melaksanakan beberapa langkah jangka panjang sebagai langkah penambahbaikan berterusan untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mampu mengurangkan insiden termasuk risiko cuaca.

    Antara langkah berkenaan adalah menggubal dan menambahbaik perundangan berkaitan sektor pembinaan termasuk Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022 supaya kekal relevan dan sesuai dengan kehendak semasa.

    JKKP turut menggalakkan pemakaian Garis Panduan Pengurusan Keselamatan  dan Kesihatan Pekerjaan di Industri Pembinaan (OSHCIM) 2017.

    “Garis panduan ini menitikberatkan tanggungjawab semua pihak iaitu pemunya, pereka bentuk dan pembina atau kontraktor di awal peringkat pembinaan sehinggalah ke peringkat perobohan, untuk mengenal pasti dan mengawal risiko KKP bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

    “Garis Panduan ini juga sedang diusahakan untuk dinaik taraf menjadi peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua pemain industri pembinaan,’’ katanya.

    Ramai yang mungkin masih ingat video yang tular di media sosial sekitar Februari lepas yang menunjukkan detik cemas menimpa beberapa orang pekerja yang berada dalam gondola yang kelihatan berpusing-pusing akibat ditiup angin kencang, sehingga terlanggar struktur bangunan.

    Mengulas insiden berkenaan, Mohd Anuar berkata, pihaknya mengambil langkah proaktif bagi memastikan kejadian seperti itu tidak berulang kembali termasuk mewajibkan majikan menjalankan pentaksiran risiko dan mengambil langkah pencegahan dan kawalan di lokasi pekerjaan bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.

    “Contohnya apabila ribut berlaku di tapak binaan misalnya, ia akan menjejaskan kestabilan stuktur sementara (bangunan dalam pembinaan) seperti perancah, acuan dan penyangga serta jentera pembinaan lain termasuk kren dan gondola.

    “Situasi itu  pasti akan mengundang bahaya bukan sahaja kepada pekerja tetapi juga orang awam yang berada berhampiran lokasi pembinaan tersebut,’’ katanya.

    Menurut beliau, peruntukan berkaitan kewajipan untuk menjalankan pentaksiran risiko dan melaksanakan langkah kawalan termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pindaan 2022.

    Menerusi akta berkenaan juga, pekerja diberi hak mengasingkan diri dari lokasi pekerjaan sekiranya berasakan diri mereka berada dalam bahaya termasuk berdepan cuaca buruk.

    “Seseorang pekerja, selepas memberitahu majikannya atau wakilnya yang dia mempunyai justifikasi yang munasabah untuk mempercayai terdapat suatu bahaya hampir pasti berlaku di tempat kerjanya, dia mempunyai hak untuk mengeluarkan dirinya daripada bahaya atau kerja itu sekiranya majikan gagal mengambil apa-apa tindakan untuk menghapuskan bahaya itu.

    “…dan seseorang pekerja yang mengeluarkan dirinya daripada bahaya  hendaklah dilindungi daripada akibat tidak wajar dan tidak boleh  didiskriminasikan,’’ katanya.

    Mohd Anuar menegaskan, JKKP sentiasa serius  dalam meningkatkan tahap keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta orang awam iaitu dengan menjalankan serta meningkatkan kerja  penguatkuasaan, penetapan standard selain aktiviti promosi bagi meningkatkan tahap kesedaran berhubung keselamatan.

    Sementara itu, mengulas mengenai risiko perubahan iklim terhadap industri pembinaan negara, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (SHO) atau Penyelia Keselamatan Tapak Bina (SSS)  harus dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku ancaman cuaca buruk di lokasi tapak pembinaan.

    Menurut beliau, ia adalah penting agar pihak terbabit dapat menyediakan langkah pengurusan risiko serta membangunkan SOP yang bersesuaian bagi memastikan pekerja dan persekitaran pekerjaan selamat.

    Majikan dan pekerja juga, katanya, perlu cakna terhadap sebarang perubahan cuaca serta amaran dikeluarkan oleh pihak berkuasa termasuk daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan mematuhi  arahan yang dikeluarkan.

    “Pegawai dan penyelia yang menyelia kawasan tapak binaan perlu peka dengan sebarang perubahan cuaca, mereka juga perlu menyediakan  dokumen HIRARC iaitu Pengenalpastian Hazard (Bahaya), Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko bagi tapak binaan di bawah kawalan dan seliaan mereka.

    “Buat masa ini sesetengah elemen berkaitan risiko impak daripada perubahan iklim telah pun ada dalam latihan berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan pembinaan. Namun, masih ada ruang untuk di tambah baik bagi memberi pengetahuan yang lebih menyeluruh dan spesifik berkaitan risiko perubahan iklim,’’ katanya.

    Antara latihan yang ditekankan adalah menerusi  Garis Panduan Dan Manual Pembinaan Berdaya Tahan Terhadap Bencana Banjir Dan Tanah Runtuh yang dilaksanakan sejak tahun lepas.

    “Melalui penghasilan garis panduan dan manual tersebut, latihan penggunaannya turut didedahkan kepada pihak berkuasa tempatan dan pemain industri.

    “Kita juga mengeluarkan panduan keselamatan, sijil ISO dan Piawai Industri Pembinaan untuk diguna pakai di tapak binaan dan penyelenggaraan, yang merangkumi pakaian keselamatan,  peralatan keselamatan dan panduan kerja selamat,’’ tambah Ahmad Asri.

  • Bekas pekerja TM ditahan curi kabel

    Bekas pekerja TM ditahan curi kabel

    POLIS menahan seorang lelaki kerana mencuri kabel di tepi Jalan Kampung Solok Jelawai, Rembau, pukul 11 pagi semalam.

    Suspek ditahan sepasukan anggota dari Cawangan Risikan/Operasi/Rekod Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Seremban dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di tepi jalan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, suspek pernah bekerja sebagai kontraktor TM dan melakukan jenayah mencuri kabel seorang diri.

    “Suspek menyasarkan kabel-kabel yang tidak aktif dan mudah dipotong. Dia dipercayai menggunakan motosikal bagi membawa kabel yang telah dipotong untuk dijual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.

    Menurutnya, ketika tangkapan, polis turut merampas beberapa barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan jenayah dilakukan iaitu sebuah motosikal, tukul besi, pisau pemotong daging dan sejumlah kabel yang telah dipotong.

    Hazri berkata, semakan mendapati, suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dua rekod kesalahan narkotik.

    “Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan dua kes cuti kabel di daerah Rembau dan dua kes di Seremban.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 378 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya,”katanya.

    Sementara itu, beliau berkata, polis mengalu-alukan orang awam untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Rembau di talian 06-6851999.

  • Segelintir pemimpin UMNO cari alasan nak berpisah dengan MN

    Segelintir pemimpin UMNO cari alasan nak berpisah dengan MN

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEGELINTIR pemimpin UMNO dilihat sedang mencari alasan untuk berpisah dengan Muafakat Nasional (MN) melalui cara menyerang Pas setelah mereka merasakan parti itu kini berada di kedudukan yang kuat.

    Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, antara faktor yang menyebabkan individu terlibat merasakan UMNO sudah kuat adalah disebabkan jawatan Perdana Menteri kini dipegang oleh Naib Presiden parti itu.

    Namun kata beliau, UMNO sebenarnya kini tidaklah kuat dengan perkara itu turut boleh dilihat melalui reaksi rakyat di media sosial.

    “Selain itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, hanya berapa peratus saja keluar mengundi? UMNO kena kaji semula perkara ini.

    “Lebih-lebih lagi apabila kita mulakan undi 18. Kita dah ada angka menerusi kajian dibuat, golongan undi 18 ini macam mana hubungannya dengan UMNO.

    “Jadi mereka jangan yakin dan sombong sangat. Kalau mereka nak pecah, Pas tak ada masalah kerana Pas ini kalau lawan dengan UMNO, pukul 3 pagi pun kami bangkit,” katanya.

    Awang yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Simposium Keharmonian Perusahaan Wilayah Utara di sebuah hotel di Alor Setar, hari ini.

    Terdahulu beliau disoal wartawan mengenai kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sebuah akhbar baru-baru ini yang mendakwa UMNO telah beberapa kali menerima akibat daripada muslihat politik Pas.

    Mengulas lanjut katanya, Pas sama sekali tidak berminat untuk menumpukan kepada perkara yang remeh ketika agenda lebih besar perlu diutamakan menerusi perpaduan ummah yang dilihat mampu membawa kebaikan serta kestabilan buat negara.

    “Kalau kata Pas bermuslihat, apa muslihatnya? Cuba beritahu kerana kalau kita nak dedahkan muslihat UMNO, keadaannya lagi teruk.

    “Saya tak mahu cetuskan sebab kalau kita timbulkan muslihat UMNO sebelum dan selepas MN diwujudkan serta setelah wujud pula Perikatan Nasional (PN), itu lagi teruk. Tapi kita tak naklah buat begitu,” katanya.

    Tambahnya, kalangan pemimpin UMNO perlu beringat bahawa agak mudah untuk semua pihak berpecah namun untuk berkawan merupakan satu perkara yang susah.

    “Kalau saya sebut, cukup sensitif tetapi selama 60 tahun, macam-macam muslihat Pas kena semasa UMNO sedang kuat, sewaktu UMNO ada segala elemen serta jentera tetapi kita tak ada masalah untuk lawan.

    “Sekarang ini UMNO bukan lagi dominan dan kalau kita nak lawan UMNO, tak ada masalah langsung. Kita cukup lasak dalam melawan UMNO tetapi Pas lebih menumpukan kepada perpaduan kerana kita melihat agenda lebih besar demi negara,” katanya.

  • Lelaki tempatan ditahan seleweng 400 liter diesel dengan lori

    Lelaki tempatan ditahan seleweng 400 liter diesel dengan lori

    Oleh WARTAWAN WARTA RAKYAT

    SEORANG lelaki tempatan ditahan bersama kira-kira 400 liter minyak diesel yang dipercayai diseleweng dalam serbuan ke atas sebuah lori di Taman Permai Jaya, Butterworth, Pulau Pinang pukul 6.30 petang semalam.

    Ketua Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, A. Mogan berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah dua tangki simpanan berkapasiti 2,000 liter serta satu unit motor pam yang digunakan untuk menjalankan kerja penyelewengan terbabit.

    Menurut beliau, lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu itu turut disita dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM22,160.

    “Serbuan itu dibuat hasil maklumat awam dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, kesalahan itu boleh menyebabkan seseorang individu dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

    Lori jenis ‘bonded’ berjenama Daihatsu disita selepas terbabit kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubdisi

    Bagi kesalahan kedua dan seterusnya tambah beliau, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan jika didapati bersalah.

    “Bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda tidak melebihi RM2 juta boleh dikenakan bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

    Sehubungan itu tambah beliau, pihaknya mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi.

    “Kita juga amat mengalu-alukan sebarang maklumat atau aduan daripada orang awam berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi,” katanya.

  • 15 pusat hiburan jadi ‘lubuk’ dadah sintetik di ibu negara

    15 pusat hiburan jadi ‘lubuk’ dadah sintetik di ibu negara

    SENARAI 15 pusat hiburan didakwa menjadi tempat pengedaran dadah sintetik di ibu negara kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

    Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, pihaknya sendiri akan menyerahkan senarai itu yang diperoleh mereka kepada Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan akan berjumpa dalam waktu terdekat.

    “Senarai premis pusat hiburan muzik tekno yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu diperolehi pihaknya menerusi tinjauan lapangan selain mendapat maklumat orang ramai.

    “Kita mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjalankan tugas mereka dengan baik. Boleh dilihat paparan di media kejayaan polis merampas berkilogram-kilogram dadah dalam operasi mereka.

    “Namun ada yang terlupa pusat hiburan yang membekalkan dadah di premis itu. MCCC dapat maklumat senarai pusat hiburan tekno muzik yang mengedarkan dadah sintetik seperti ekstasi, ketamin, methamphetamine dan minuman jus bercampur dadah kepada pengunjung yang majoritinya golongan muda,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media sekali gus merasmikan Talian Hotline Aduan Komuniti Prihatin 0195380000 inisiatif MCCC, di Kuala LUmpur, hari ini, lapor Harian Metro.

    Bekas Ketua Polis Negara itu menjelaskan beliau difahamkan semasa pandemik Covid-19 banyak pusat hiburan yang diambil alih bermotifkan pengedaran dadah sintetik.

    “Saya minta pihak polis bekerjasama dengan imigresen dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyerbu premis ini bagi mencegah kemudaratan khususnya anak muda kita. Siasat PR (orang perantara pusat hiburan) ini tadi yang tak diambil tindakan.

    “Jangan tangkap penguat kuasa saja. PR ini yang bagi rasuah supaya melancarkan operasi sindiket. Siasat ketua sindiket dan PR terbabit. Saya akan membantu memberi maklumat lagi. Dalam senarai juga ada pemilik kelab (kelab malam),” katanya.

    Ditanya adakah pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menjadi dalang sindiket dadah itu, katanya, PR pusat hiburan akan hubungi semua penguat kuasa.

    Ketika ditanya pihak media mengapakah senarai berkenaan tidak diserahkan kepada Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Musa menyatakan pihaknya lebih yakin tindakan akan segera dilakukan apabila senarai itu dihantar terus kepada Ayob Khan.

  • Agensi pelancongan tipu badal haji boleh ditarik lesen, disenarai hitam

    Agensi pelancongan tipu badal haji boleh ditarik lesen, disenarai hitam

    INDIVIDU yang menjalankan aktiviti penipuan berkaitan pakej haji dan umrah boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk lesen operasi syarikat boleh ditarik balik selain agensi pelancongan boleh disenarai hitamkan.

    Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihaknya peka akan isu penipuan badal haji dan membuat pemantauan bagi mengelak pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan ketika umat Islam di negara ini menunaikan ibadah berkenaan, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan atau mengesan mana-mana syarikat yang melakukan perkara terbabit.

    “Sebelum ini kita memang ada mendengar mengenai penipuan badal haji ini, tetapi setakat ini belum terima sebarang laporan lagi.

    “Bagaimanapun, (sekiranya ada) kita boleh ambil tindakan mahkamah kerana tindakan yang mereka lakukan keterlaluan, tidak mengikut terma dan syarat pelesenan itu,” katanya.

    Beliau berkata sedemikian selepas menyampaikan sijil kepada 333 graduan pada Majlis Konvokesyen Badan Peneraju Industri Seni Budaya oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Putrajaya, hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan beberapa agensi haji dan umrah menawarkan khidmat mengerjakan badal haji musim ini dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

    Tawaran harga itu dilihat meragukan serta tidak sepadan disebabkan beberapa peraturan ketat ditetapkan Kerajaan Arab Saudi bagi ibadah umrah dan haji.

    Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) sahaja.

    Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji di kawasan tersebut.

    Badal haji boleh ditakrifkan sebagai ibadah haji yang diupah kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji.

    Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

    Nancy berkata, lebih 1,000 agensi pelancongan sedang memohon lesen bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun ia perlu melalui beberapa proses sebelum ia boleh diluluskan.

  • Bekalan ayam dalam negara masih stabil, mencukupi

    Bekalan ayam dalam negara masih stabil, mencukupi

    KERAJAAN menaruh keyakinan bahawa bekalan ayam dalam negara masih stabil, mencukupi dan diagihkan mengikut keperluan pasaran semasa.

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, hasil pemerhatian pihaknya sejak tiga hingga empat minggu lalu, tiada aduan berhubung isu gangguan bekalan ayam sama ada di peringkat pasar raya atau pasar tani.

    Bagaimanapun katanya, walaupun stabil namun berlaku kenaikan kos input yang dialami semua negara.

    Justeru katanya, kerajaan juga akan mengkaji semula pemberian subsidi selepas membuat keputusan menghentikan pemberiannya kepada pihak industri akhir bulan ini.

    “Pemberian subsidi kepada pihak industri sebelum ini akan diganti dengan bantuan kewangan kepada kumpulan sasar B40 secara langsung,” katanya, lapor Harian Metro.

    Beliau berkata demikian ketika menghadiri Hari Peladang, Penternak dan Nelayan, Negeri Terengganu di Dataran Pekan Jabi, Besut, hari ini.

    Hadir merasmikan majlis, Menteri Besar Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Ronald berkata, pihaknya pada tahun ini memperuntukkan lebih RM43.5 juta bagi merancakkan lagi sektor pertanian Terengganu sekali gus memajukan industri agromakanan di negeri ini.

    “Peruntukan itu disalurkan kepada kerajaan negeri melalui pelbagai jabatan dan agensi di bawah Mafi bagi pelaksanaan pelbagai projek, program dan inisiatif merentasi semua subsektor termasuk padi dan beras, perikanan, tanaman dan ternakan,” katanya.

    Beliau berkata, isu jaminan bekalan makanan negara antara isu yang di pandang serius dan kerajaan bersedia untuk menghadapi sebarang gangguan dalam rantaian makanan sama ada jangka pendek atau panjang.

    “Isu inflasi makanan yang dialami negara merupakan fenomena global dan negara kita juga tidak terkecuali.

    “Kita juga tidak berdepan masalah bekalan ikan dan faktor turun naik harga ikan ditentukan berdasarkan faktor penawaran serta permintaan pasaran,” jelas beliau.

  • Lelaki tikam isteri, ibu mentua direman 3 hari

    Lelaki tikam isteri, ibu mentua direman 3 hari

    SEORANG lelaki yang cuba terjun bangunan selepas dipercayai menikam isteri dan ibu mentuanya di Tumpat, kelmarin direman selama tiga hari.

    Perintah reman terhadap pemandu lori berusia 27 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Kota Bharu Nuriza Mustafa bermula hari ini sehingga Sabtu.

    Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman lelaki berkenaan.

    Menurutnya, reman dibuat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

    “Selepas habis reman yang ini, kita akan menahan reman semula untuk kes mencederakan isteri dan ibu mentuanya mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Semalam dilaporkan seorang lelaki ditahan polis ketika cuba terjun dari tingkat 31 di sebuah bangunan dalam pembinaan di Lembah Sireh, Tumpat.

    Siasatan polis kemudiannya mendapati lelaki berkenaan adalah individu yang dilaporkan menikam isteri dan ibu mentuanya di rumah mereka di Chabang Empat di Tumpat.

  • Wan Saiful tegur PM:Ada masa tengok bola, takkan tak sempat jumpa Muhyiddin

    Wan Saiful tegur PM:Ada masa tengok bola, takkan tak sempat jumpa Muhyiddin

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa mengambil serius hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertemunya berhubung kedudukan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin dalam Jemaah Menteri.

    Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Wan Saiful Wan Jan yang membuat menggesa itu berkata, Presiden Bersatu itu telah menunggu lebih dua minggu untuk bertemu Ismail bagi menyerahkan nama individu yang akan menggantikan Zuraida sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mengikut kuota parti.

    “Perdana Menteri kena beri perhatian yang seriuslah,” kata Wan Saiful kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke MyFarm Village di Kuala Perlis, lapor Free Malaysia Today, hari ini.

    Wan Saiful berkata, Ismail ‘tidak sempat’ bertemu Muhyiddin tetapi menonton pelawanan bola sepak bersempatan pula.

    “Kalau ada masa tonton bola, takkan nak jumpa orang yang mencalonkannya (jadi Perdana Menteri) tak sempat.

    “Selepas tonton bola, makan malam, apa salahnya penuhi undangan untuk berjumpa (Muhyiddin),” katanya lagi.

    Wan Saiful merujuk kepada kehadiran Ismail ke perlawanan terakhir Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023 antara pasukan negara dan Bangladesh pada 14 Jun.

    Selasa lepas, Muhyiddin berkata, beliau sudah menunggu ‘terlalu lama’ untuk berjumpa Ismail.

    Zuraida dilantik menganggotai Jemaah Menteri pada 27 Ogos 2021 ketika bersama Bersatu sebelum keluar parti itu hujung bulan lepas untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

    Dalam pada itu, Wan Saiful mengingatkan Ismail bahawa kerajaan hari ini dibentuk hasil sokongan beberapa ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

    Beliau berkata, sokongan PN dan GPS kepada kerajaan adalah lebih besar daripada sokongan ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

    “Kena ingat gabungan PN ada 50 orang ahli Parlimen. Dicampur dengan sokongan kita dapat daripada GPS, ada hampir 70 orang.

    “Ini gabungan besar, malah lebih besar daripada BN. Kita yang angkat beliau jadi calon Perdana Menteri dan diterima dengan sokongan daripada kita,” katanya.

  • Budak perempuan tahun satu maut dalam perjalanan ke sekolah

    Budak perempuan tahun satu maut dalam perjalanan ke sekolah

    SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut dalam perjalanan ke sekolah selepas kenderaan dinaikinya terbabas sebelum dirempuh sebuah lori di Jalan Krubong, Tampoi, Melaka Tengah, pukul 8.15 pagi tadi.

    Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, mangsa, Nurul Qalisha Abdul Rahim yang masih lengkap berpakaian sekolah disahkan maut di lokasi kejadian.

    “Siasatan mendapati mangsa menaiki kereta jenis Perodua Kancil yang dipandu bapa saudara berusia 29 tahun bersama-sama neneknya.

    “Semakan menerusi rakaman ‘dashcam’ yang diperolehi mendapati kemalangan berlaku apabila perodua Kancil itu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum lori terlibat yang melalui jalan berkenaan tidak sempat mengelak sebelum berlaku pelanggaran.

    “Akibat rempuhan itu, pemandu kedua-dua kenderaan itu tidak mengalami sebarang kecederaan manakala nenek mangsa yang duduk dibahagian hadapan penumpang patah tangan kanan,” katanya memetik laporan Astro Awani.

    Beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika hujan lebat dan rempuhan mengakibatkan kanak-kanak berkenaan yang duduk di bahagian penumpang belakang tersepit sebelum dikeluarkan pasukan bomba.

    Mayat mangsa katanya, dihantar ke Hospital Melaka untuk proses bedah siasat yang mana kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.