Author: Admin

  • Remaja sempat lihat bapanya cuba selamatkan adik

    Remaja sempat lihat bapanya cuba selamatkan adik

    SEORANG mangsa yang terselamat dalam insiden bot dinaiki tiga beranak itu terbalik di Jalan Kolam Takungan, Taman Cahaya, Sungai Chua, di Kajang, hari ini, sempat melihat bapanya berusaha menyelamatkan adiknya yang tidak pandai berenang.

    Mohamad Mustaqim Mohd. Adnan, 17, berkata, sebelum itu dia bersama adiknya, Hakimi Mohd Adnan, 15, membantu bapa mereka, Mohd Adnan Johdi, untuk membersihkan kolam takungan itu sejak pukul 11 pagi.

    Katanya, mereka mengutip sampah dan memotong daun teratai sebelum meletakkannya dalam bot dinaiki, namun ia menjadi semakin berat lalu tenggelam.

    “Saya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tepi kolam,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Difahamkan, Mohd. Adnan adalah kontraktor yang melakukan kerja pembersihan kolam berkenaan.

    Sementara itu, suasana pilu menyelubungi lokasi kejadian dengan ahli keluarga saling berpelukan sambil menangis sebaik saja mayat kedua-dua mangsa dijumpai.

    Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, dipetik berkata, mayat Mohd. Adnan ditemui pada pukul 5.12 petang, manakala mayat Hakimi dijumpai pada pukul 6.56 petang.

  • Bersatu, Pas guna logo PN tandingi PRU-15, kata Muhyiddin

    Bersatu, Pas guna logo PN tandingi PRU-15, kata Muhyiddin

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas membuat keputusan akan menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kesepakatan itu sudah dicapai dan dipersetujui kepemimpinan kedua-dua parti termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    “Kalau saya masih ingat, kita semua bersetuju untuk menggunakan logo PN dan perkara ini boleh disahkan oleh kepimpinan Pas. Sebagai contoh di Johor, parti yang bertanding bukan Bersatu sahaja, sebaliknya Pas juga.

    “Saya juga masih ingat kenyataan Presiden Pas yang dimaklumkan kepada saya, Pas akan menggunakan logo PN dengan menilai beberapa segi.

    “Itu keputusan yang saya terima dan saya fikir keputusan itu masih kekal sehingga kini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Peringkat Kelantan, di Tanah Merah, hari ini.

    Hadir sama, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut mendedahkan beberapa parti politik cuba ‘mengetuk pintu’ untuk menyertai PN, yang termasuk dari Sabah dan Sarawak.

    “Namun kita mengambil sikap teliti supaya kita memilih parti sebenar yang boleh mendukung konsep PN,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Pada masa sama, Muhyiddin turut memaklumkan pihaknya belum memutuskan isu pengagihan kerusi bagi berdepan PRU-15 nanti.

  • Dendam lama punca lelaki ditetak sekumpulan lelaki

    Dendam lama punca lelaki ditetak sekumpulan lelaki

    POLIS percaya dendam lama menjadi punca seorang lelaki ditetak hingga cedera parah oleh sekumpulan individu dalam kejadian di kawasan Sungai Way di Petaling Jaya semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, tiga suspek dipercayai terlibat dalam kejadian itu telah diberkas hari ini.

    ‘Tiga suspek lelaki berumur lingkungan 21 hingga 37 tahun itu diberkas antara pukul 12.30 tengah malam dan 2 pagi di sekitar kawasan Sungai Way dan pekarangan sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

    “Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat dendam lama dan kesemua suspek direman empat hari,” katanya dalam kenyataan, hari ini, memetik laporan Sinar Harian.

    Mohamad Fakhrudin berkata, semakan rekod turut mendapati tiga suspek itu mempunyai pelbagai rekod kesalahan lampau.

    Semalam, seorang lelaki cedera parah akibat ditetak sekumpulan individu dalam kejadian pukul 9 malam di kawasan Sungai Way.

    Isteri mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Petaling Jaya dan kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

  • Wujud taskforce pulihkan semua sungai tercemar di Johor

    Wujud taskforce pulihkan semua sungai tercemar di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KERAJAAN negeri akan mewujudkan satu Taskforce Penguatkuasaan dan Pemantauan Pencemaran Sungai-Sungai di Johor sebagai usaha memulihkan semua sungai yang tercemar di negeri itu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar berkata, taskforce itu akan dilaksana secara berperingkat dan fasa pertama fokus di Johor Bahru dan Kulai kerana kerap berdepan isu pencemaran sungai.

    “Masalah sampah dalam sungai di negeri ini bukan perkara baru. Kutipan sampah bagi Sungai Tebrau dan di Sungai Skudai yang dibuat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melebihi 500 tan setahun dengan berkenaan kos penyelenggaraan tahunan berjumlah RM650,000. 

    “Ini tidak termasuk sampah sarap yang dikeluarkan dari sungai oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) iaitu sebanyak hampir 900 tan setahun di Sungai Tebrau,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Program Pembersihan Sungai Tebrau dan Pelancaran Bot Scavenger Perangkap Sampah di Sungai Tebrau di sini hari ini yang disempurnakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

    Raven Kumar berkata, pelbagai strategi telah dirangka bagi memastikan kebersihan sungai termasuk pemasangan lebih banyak struktur perangkap sampah, melaksanakan program ‘public outreach’ dan mengadakan aktiviti kebersihan secara gotong-royong.

    Sementara itu, Onn Hafiz berkata, dua buah bot ‘scavenger’ perangkap sampah kendalian JPS akan digunakan di semua sungai seluruh Johor bagi membersihkan sampah sarap.

    Katanya, bot yang boleh memerangkap tiga tan sampah sarap di sungai untuk sekali trip itu, akan dimulakan di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai yang merupakan antara sungai tercemar di negeri ini.

    Beliau berkata, terlalu banyak sampah sarap domestik yang dibuang ke dalam sungai khususnya di Sungai Tebrau dan Sungai Skudai.

    “Sebanyak 85 tan sampah sarap di Sungai Tebrau dikutip dalam tempoh sebulan oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) manakala di Sungai Skudai terdapat 70 tan sampah sarap dikutip dalam tempoh sama.

    “Bot ini akan beroperasi setiap hari, kita akan lihat tahap efektif bot ini, jika ianya membuahkan hasil kita akan tambah lebih banyak bot untuk membuat kerja pembersihan. Setakat ini yang buat kerja pembersihan sungai, selain JPS ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membelanjakan puluhan ribu ringgit sebulan,” katanya.

    Tambahnya, bot itu hanya membantu membersihkan sungai namun apa yang paling penting peranan semua pihak termasuk masyarakat yang perlu menanamkan rasa sayang dan menjaga kebersihan sungai.

  • Cedera dipukul kayu besbol, 19 ditahan gaduh berebut wanita

    Cedera dipukul kayu besbol, 19 ditahan gaduh berebut wanita

    SERAMAI 19 individu termasuk empat wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam pergaduhan bersenjatakan kayu besbol dipercayai kerana berebut wanita di kawasan Ara Damansara, semalam.

    Pihak polis menerima laporan berhubung rusuhan itu kira-kira pukul 9 pagi semalam daripada seorang lelaki.

    Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya ke lokasi kejadian dan menahan 15 lelaki serta empat wanita berusia 15 hingga 27 tahun.

    “Siasatan awal mendapati, pergaduhan itu berlaku disebabkan perebutan teman wanita.

    “Dalam serbuan itu, turut dirampas sebatang kayu besbol yang disyaki digunakan salah seorang suspek semasa kejadian yang menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

    “Semakan terhadap 19 suspek mendapati dua daripada mereka mempunyai dua rekod jenayah lampau.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut,” katanya menurut laporan Harian Metro.

  • Polis tahan lelaki tumbuk kepala ayah sendiri

    Polis tahan lelaki tumbuk kepala ayah sendiri

    POLIS menahan seorang lelaki kerana dipercayai menumbuk dan memukul ayah kandungnya dalam pertengkaran di Kampung Indah Permai, Tasek Permai di Ampang, pukul 10.30 malam tadi.

    Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, semasa kejadian suspek yang berusia 33 tahun berada di rumah bersama ayahnya.

    “Berlaku pertengkaran antara suspek dan ayahnya yang berumur 63 tahun. Suspek bertindak menumbuk kepala mangsa berulang kali menggunakan tangan serta mengugut akan mencederakan mangsa sekiranya menghubungi polis.

    “Punca kejadian disebabkan mangsa tidak mempercayai kata-kata suspek selepas mengesyaki suspek berada di bawah pengaruh dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Katanya, suspek mempunyai tiga rekod lampau dan ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapatamine.

    Menurut Mohamad Farouk, suspek direman empat hari bagi siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan.

  • Muhyiddin jumpa PM bincang lantikan jawatan baharu

    Muhyiddin jumpa PM bincang lantikan jawatan baharu

    PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddn Yassin memaklumkan beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan isu lantikan jawatan baharu termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri.

    Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, perjumpaan itu dilakukan beberapa hari lalu.

    “Menerusi perjumpaan berkenaan, saya sudah mengutarakan beberapa perkara penting termasuk soal perlantikan baharu dalam kerajaan, bukan sahaja mengisi kekosongan.

    “Apa yang perlu dipertimbangkan seperti yang termasuk dalam perjanjian Perikatan Nasional (PN) dengan Perdana Menteri.

    “Kita tidak minta lebih daripada itu termasuk soal pelantikan menteri, Timbalan Perdana Menteri termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun dan peruntukan kerajaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat dan Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) Peringkat Kelantan di Perkarangan Majlis Daerah Tanah Merah, Tanah Merah, hari ini, lapor Berita Harian.

    Beliau mengulas mengenai kedudukan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

  • Kenyataan Zahid Hamidi bubar MPN bermotif politik-Muhyiddin

    Kenyataan Zahid Hamidi bubar MPN bermotif politik-Muhyiddin

    TAN Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menggesa Majlis Pemulihan Negara (MPN) dibubarkan kerana didakwa gagal berfungsi dengan baik, sebagai bermotifkan politik.

    Bekas Perdana Menteri itu berkata, Ahmad Zahid boleh membuat dakwaaan namun terpulang kepada rakyat untuk menilainya.

    “Beliau (Ahmad Zahid) boleh kata gagal dan sebagainya. Macam dululah, Ahmad Zahid kata kerajaan gagal (semasa di bawah pimpinan saya) tapi sebenarnya tidak.

    “Rakyat boleh membuat penilaian dalam soal menguruskan Covid-19, vaksinasi dan macam-macam yang kita buat dulu,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Peringkat Negeri Kelantan di Tanah Merah, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan PN Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan barisan kepimpinan parti.

    Menurut Muhyiddin, beliau berada dalam MPN untuk membantu negara dan kerajaan tanpa meminta sebarang bayaran atau elaun.

    Jelasnya, MPN sekadar mengemukakan cadangan untuk diangkat kepada kerajaan dan tidak mempunyai kuasa eksekutif dan kementerian atau agensi pelaksana.

    Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, setiap usul yang dibawa tidak semestinya sama dengan dasar kerajaan sedia ada.

    “Contohnya waktu kita buat keputusan untuk buka sempadan negara, apa yang diputuskan oleh MPN awal Januari tapi nampak kerajaan tangguh, April baru dibuka.

    “Kenapa kita minta disegerakan, kalau lagi lambat buka sempadan ekonomi tidak akan berkembang cepat, pelancong tidak akan datang ke negara kita dan kita akan rugi wang yang begitu besar,” katanya.

    Muhyiddin menegaskan hanya akan berundur jika rakyat meminta untuk berbuat demikian.

    Media sebelum ini melaporkan Ahmad Zahid menggesa MPN dibubarkan selepas kerajaan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi.

    Menurut beliau, MPN yang dipengerusikan Muhyiddin tidak lagi berkesan dan diperlukan serta bercanggah dengan usaha-usaha terkini kerajaan untuk menangani masalah rakyat.

  • Bapa, anak dikhuatiri lemas bot dinaiki terbalik

    Bapa, anak dikhuatiri lemas bot dinaiki terbalik

    DUA beranak dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki mereka terbalik di sebuah kolam takungan di Taman Cahaya, Sungai Chua, Kuala Lumpur hari ini.

    Susulan itu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pukul 2.15 petang.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, terdapat tiga individu daripada sebuah keluarga dilaporkan menaiki bot terbabit sebelum dua daripadanya hilang selepas bot dinaiki terbalik.

    “Seorang bapa bersama dua anak lelaki menaiki bot itu dengan seorang anak berusia 18 tahun berjaya menyelamatkan diri.

    “Bagaimanapun, ayah mangsa yang berusia 50-an serta seorang lagi anak berusia 15 tahun masih hilang,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Berita Harian.

    Menurut Norazam, pasukan bomba kini masih lagi melakukan ‘surface searching’ (pencarian di permukaan) serta menggunakan ‘grappling iron’ di tasik dengan kedalaman dianggarkan 30 meter itu.

    Katanya, usaha mencari dan menyelamat itu turut disertai anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Selangor.

  • Waktu manapun diadakan PRU, Pejuang akan tetap lawan, kata Dr. Mahathir

    Waktu manapun diadakan PRU, Pejuang akan tetap lawan, kata Dr. Mahathir

    PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) bersedia bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada bila-bila masa sama ada diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan.

    Pengerusi Pejuang, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, parti itu tetap akan memberikan saingan kepada parti lain yang bertanding dengan meletakkan calon.

    “Waktu manapun diadakan pilihan raya, Pejuang akan tetap lawan,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir program Kenduri Rakyat bersama Tun Mahathir dan kepimpinan Pejuang Kedah di Serambi Chalet di Changlun, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung Pejuang, Datuk Amiruddin Hamzah.

    Mengenai tarikh sesuai untuk diadakan pilihan raya, Dr. Mahathir berpendapat, kerajaan mempunyai hak untuk menentukan tarikh PRU-15 dengan membuat pertimbangan yang akan memberi kelebihan kepada parti kerajaan.

    “Tapi saya nampak kerajaan hari ini menentukan pilihan raya diadakan pada ketika parti lawan lemah. Mempunyai kuasa untuk nak menang pilihan raya. Itulah hasrat mereka,” katanya.

    Pihaknya tidak pasti sama ada PRU-15 akan diadakan pada tahun ini atau tahun hadapan serta terpulang kepada kerajaan untuk menetapkan tarikh berkenaan.

    Sebelum ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapatkan pandangan daripada jemaah menteri mengenai tarikh untuk mengadakan PRU-15.

    Beberapa pemimpin UMNO sebelum ini mendesak agar Parlimen dibubarkan segera bagi memberi laluan kepada PRU-15 manakala Pas berpendirian supaya PRU diadakan sehingga habis penggal.