Author: Admin

  • Pesara guru maut dipercayai ditikam anak sendiri

    Pesara guru maut dipercayai ditikam anak sendiri

    PESARA guru maut selepas dipercayai ditikam di bahagian leher oleh anak lelakinya di kediaman mereka di Paya Luboh, di Melaka pukul 3 petang.

    Kejadian berlaku semasa wanita warga emas itu ditemukan dalam bilik tidur rumah mereka dalam keadaan berlumuran darah.

    Harian Metro melaporkan, pesara guru itu ditemui oleh anak perempuannya sebelum dia menjerit meminta tolong.

    Suspek berusia 40-an dipercayai bertindak demikian menggunakan sebilah pisau dan dia kemudian berjaya ditahan oleh orang kampung.

    Ketika ini pasukan forensik polis masih di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

  • Pesara wanita rugi RM264,950 diperdaya Macau Scam

    Pesara wanita rugi RM264,950 diperdaya Macau Scam

    SEORANG pesara wanita kerugian RM264,950 selepas diperdaya sindiket Macau Scam, yang menyamar sebagai pegawai pejabat Pos dan pegawai polis Sabah.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili, berkata ketika berada di rumah, mangsa berusia 59 tahun, menerima panggilan daripada ‘pegawai’ terbabit pukul 12.30 tengah hari pada 29 Mei lalu yang mengatakan dia dari pejabat Pos Kuala Lumpur.

    Katanya, suspek memberitahu mangsa mempunyai bungkusan, sebelum talian disambungkan kepada pegawai polis di Sabah yang kemudian mengatakan bungkusan itu mengandungi dadah.

    “Kerana bimbang ditahan, mangsa akur dengan arahan suspek iaitu membuat pembayaran kepada empat nombor akaun bank,” katanya lapor Berita Harian.

    Beliau berkata, mangsa memasukkan sejumlah RM264,950 ke dalam empat akaun bank itu melalui 16 transaksi secara perbankan internet dan CDM mulai 29 Mei hingga 11 Jun lalu.

    Zulkipli berkata, dalam tempoh itu, mangsa dilarang memberitahu sesiapa agar perkara berkenaan tidak diketahui umum bagi mengelakkan mangsa ditahan oleh pihak polis.

    Katanya, mangsa turut dijanjikan bahawa wangnya itu akan dipulangkan selepas wang itu disemak oleh pihak polis dan Jabatan Audit Negara.

    “Selepas membuat kesemua pembayaran, mangsa sering berhubung dan bertanyakan status wangnya, namun dimarah dan diminta menunggu bagi proses berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, mangsa yang curiga kemudian tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu, semalam.

    Justeru, Zulkipli menasihati orang ramai agar tidak panik selepas menerima panggilan telefon dari mana-mana pihak berkuasa dan hendaklah membuat pertanyaan atau semakan terlebih dahulu di jabatan berkenaan bagi mengelak ditipu.

    Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559/03-26101599 atau memuat naik aplikasi semak mule http://semakmule.rmp.gov.my atau ikuti laman Facebook @CyberCrimeAlertRMP @JSJKPDRM.

  • Amang seksual: Guru diperintah bela diri

    Amang seksual: Guru diperintah bela diri

    MAHKAMAH Rayuan Putrajaya hari ini memerintahkan seorang guru membela diri atas pertuduhan memaksa tiga murid perempuan melakukan seks oral terhadapnya hampir enam tahun lepas.

    Panel tiga hakim itu terdiri daripada Hakim Datuk Hanipah Farikullah, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Ghazali Cha.

    Panel itu membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rendah yang melepas dan membebaskan Mohd Noor Zaini Zulkifli daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

    Dalam keputusan itu, Hakim Hanipah yang mengetuai panel berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Noor Zaini, 48.

    Beliau memerintahkan Mohd Noor Zaini untuk membela diri dan menghantar semula kes itu ke Mahkamah Sesyen Ampang.


    Hakim Hanipah juga menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

    Mohd Noor Zaini yang kini digantung tugas, dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen terhadap pertuduhan itu tanpa dipanggil membela diri.

    Pihak pendakwaan merayu di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak menyebabkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

    Mohd Noor Zaini didakwa atas tiga pertuduhan memaksa tiga murid perempuan yang ketika itu berumur sembilan tahun melakukan seks oral di bilik muzik di sebuah sekolah rendah di Ampang pada 3.35 petang, 19 Oktober 2016.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Mohd Noor Zaini.

  • Polis sahkan terima laporan kes cabul pegawai Exco

    Polis sahkan terima laporan kes cabul pegawai Exco

    POLIS mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian cabul yang dikatakan melibatkan seorang pegawai kepada Exco kerajaan Negeri Sembilan di sebuah hotel di Seremban.

    Suspek lelaki berusia 30-an itu dikatakan melakukan perbuatan tersebut pada 30 Mac dan 26 April lalu.

    Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima laporan daripada mangsa pada Ahad lalu.

    “Siasatan akan dijalankan dari pelbagai sudut termasuk menggunakan khidmat forensik, mengambil keterangan daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan seterusnya mengesan suspek.

    “Semua pihak diharap tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Nanda berkata, masyarakat juga diminta memberi ruang dan masa kepada polis bagi memastikan siasatan dibuat secara menyeluruh dan komprehensif.

    Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 354

  • Isteri Ketua Peneroka Felda dijerut penyamun

    Isteri Ketua Peneroka Felda dijerut penyamun

    SEORANG wanita berusia 52 tahun maut setelah dicekik sehingga mati oleh seorang lelaki dalam satu kejadian samun, pada pukul 6 pagi tadi.

    Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Kumaran Nyanyasagaran berkata, kejadian itu berlaku di sebuah rumah di Felda Mengkuang, Pahang dan mangsa, Siti Zuliana Said merupakan isteri kepada Ketua Peneroka Felda Mengkuang, di Triang, Pahang.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Kumaran berkata suspek telah melarikan diri menggunakan kenderaan milik suami mangsa, iaitu kereta Honda City berwarna Perak dengan nombor pendaftaran DAD9799.

    “Siasatan kami mempercayai bahawa suspek menghala ke arah Jempol, Negeri Sembilan.

    “Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh untuk tindakan susulan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Mengulas lanjut, mangsa yang berusia 52 tahun itu dipercayai dijerut dengan kabel pengecas telefon.

    “Suspek dipercayai telah masuk ke dalam rumah pada waktu awal pagi melalui pintu belakang rumah dan masuk ke bilik tidur mangsa.

    “Kami percaya, suspek menggunakan kabel pengecas telefon untuk menjerut leher mangsa. Suspek juga telah mencederakan suami mangsa yang berusia 60 tahun.

    “Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai telah melarikan wang tunai RM 6,000 dan kereta milik suami mangsa jenis Honda City (DAD 9799),” katanya dalam kenyataan, di Bera, hari ini.

    “Pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan diteruskan,” ujarnya.

  • `Saya sudah memaafkan suspek’ – Bapa mangsa insiden bunuh isteri, anak

    `Saya sudah memaafkan suspek’ – Bapa mangsa insiden bunuh isteri, anak

    KELUARGA mangsa insiden bunuh isteri dan bayi lelaki di Kampung Bakar Batu, Johor Bahru, Johor, semalam, tidak menyimpan dendam dan sudah memaafkan suspek serta keluarganya.

    Bapa mangsa, Rosman Ahmad, 58, berkata besannya berkali-kali meminta maaf susulan insiden yang meragut nyawa anak ketiganya, Hajar Nursyahirin, 26 dan cucu lelaki, Hans Mohd Thakif Amir, berusia kira-kira dua bulan itu.

    “Sejak semalam, dia (bapa suspek) jumpa saya dan berkali-kali minta maaf. Saya maafkan sebab bukannya kita boleh menghakimi sesuatu benda yang kita tidak tahu,” katanya lapor BH Online.

    Beliau ditemui di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru pada Selasa.

    Rosman berkata, beliau sempat bertanya kepada besannya jika suspek mempunyai masalah yang tidak diketahui.

    Namun, katanya, bapa suspek mengesahkan lelaki itu tidak mempunyai masalah, membuatkan beliau yakin menantunya itu mungkin mengalami gangguan.

    “Saya ada tanya apa masalah peribadi anak dia, besan kata memang tidak ada. Tetapi, saya dapat tahu dia berhenti kerja sebelum ini sebab dapat projek cuci kapal di Desaru.

    “Kita orang dah berumur ini fikir, mungkin kawasan itu ‘keras’, jadi mungkin apa yang berlaku pada dia dan apa yang dia buat pada anak saya, bagi saya, bukan dia, mungkin juga gangguan,” katanya.

    Pada masa sama, Rosman berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian terhadap suspek.

    “Itu hak mereka (orang ramai) nak bercakap, tetapi kita lebih tahu menantu kita. Memang kesan daripada apa orang ramai cakap itu beri kesan kepada keluarga terutamanya besan saya.

    “Cuma saya harap orang ramai jangan buat andaian dan spekulasi yang bukan-bukan. Saya yang mentuanya ini pun tidak fikir begitu sebab saya kenal dia baik,” katanya.

    Ditanya mengenai majlis persandingan pasangan itu dan majlis aqiqah bayi lelaki itu yang dijadualkan pada 24 Julai ini, Rosman berkata, ia dibatalkan.

    Namun, majlis pernikahan anak keduanya yang sepatutnya berlangsung sehari sebelum itu akan diteruskan dan turut diadakan majlis tahlil.

    Jenazah dua beranak itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu, di sini, dijadualkan petang ini.

  • Syed Saddiq minta saya ‘clearkan’ RM1 juta, kata saksi

    Syed Saddiq minta saya ‘clearkan’ RM1 juta, kata saksi

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini diberitahu oleh saksi ke-13 pendakwaan, bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengarahkannya untuk ‘clearkan’ RM1 juta milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kerana Ahli Parlimen Muar itu sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali berkata demikian ketika perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan harta serta pengubahan wang haram di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid.

    Sinar Harian melaporkan, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rafiq Hakim, 32, berkata, Syed Saddiq memberi arahan itu ketika dia dihubungi menerusi aplikasi ‘WhatsApp’ pada akhir bulan Mac atau awal April 2020.

    Wan Shaharuddin: Kenapa?

    Rafiq Hakim: Yang berhormat (YB) Syed Saddiq beritahu, SPRM nak datang ke rumah untuk periksa dan geledah, jadi YB arah ‘clearkan’ wang yang ada pada saya, jadi saya beri kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan, Muhammad Daniel Kusari (saksi pendakwaan kesembilan) dan ahli Bersatu, Muhammad Naqib Ab. Rahim.

    Wan Shaharuddin: Kamu tahu ada siasatan oleh SPRM?

    Rafiq Hakim: Ya.

    Wan Shaharuddin: Kenapa ada siasatan?

    Rafiq Hakim: Ia berhubung kehilangan wang RM250,000 YB, jadi SPRM nak siasat.

    Wan Shaharuddin: Kamu agihkan wang itu?

    Rafiq Hakim: Ya. RM650,000 saya beri kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib, baki RM100,000 pula, seingat saya digunakan untuk program Armada, saya lupa program apa.

    Wan Shaharuddin: Di mana kamu simpan wang berkenaan sebelum beri kepada dua individu itu.

    Rafiq Hakim: Di rumah saya.

    Wan Shaharuddin: Kenapa Syed Saddiq suruh ‘clearkan’ wang itu. Apa yang beliau beritahu kamu?

    Rafiq Hakim: YB takut duit itu disita.

    Dalam prosiding pagi Selasa, saksi utama ini berkata, dia mengetahui Syed Saddiq kehilangan wang dari peti besi rumahnya sebanyak RM250,000.

    Bagaimanapun beliau berkata, Syed Saddiq tidak menyatakan bahawa wang itu milik ibu bapa atau untuk kegunaan ubah suai rumah sebaliknya hasil sumbangan politik.

    Ketika ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan wang berkenaan sekiranya tidak menerima arahan, Rafiq Hakim menjawab, tidak.

    Ini kerana, beliau yang juga salah seorang bekas pemegang amanah akaun bank Armada Bersatu berkata, pengeluaran wang tidak boleh dilakukan secara bersendirian sebaliknya memerlukan persetujuan tiga lagi pemegang amanah yang lain.

    Selain beliau, dua lagi pemegang amanah bagi akaun tersebut ialah Syed Saddiq selaku Ketua Armada Bersatu dan Penolong Setiausaha Armada Ahmad Redzuan Mohamed Shafi (saksi pendakwaan ke-11).

    Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di Kuala Lumpur, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

    Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di Kuala Lumpur, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

    Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

    Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

  • Ahli perniagaan tubuh parti politik baharu, sedia tanding PRU-15

    Ahli perniagaan tubuh parti politik baharu, sedia tanding PRU-15

    SATU lagi parti politik baharu ditubuhkan di negara ini bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Parti yang dinamakan Barisan Penyatuan Nasional (BPN) itu dijayakan sekumpulan ahli perniagaan dan bersedia bertanding di 222 kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU-15.

    Menurut Presiden BPN, Ibrahim Yahaya, pendaftaran bagi penubuhan parti itu sudah dibuat dan kini menunggu kelulusan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) Malaysia.

    Beliau berkata, difahamkan proses pendaftaran parti sudah memasuki fasa akhir. Jadi, selepas pendaftaran selesai pihaknya bersedia untuk bertanding di semua 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.

    “Kita buat keputusan bertanding ini dengan menggunakan dana sendiri dan ia tidak melibatkan peruntukan daripada mana-mana parti politik dalam negara.

    “Malah, kita juga menerima penyertaan daripada semua bangsa. BPN juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik di Malaysia,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian memorandum persefahaman (MOU) antara BPN dan Pertubuhan Maju dan Amanah (Pemanah) di AC Hotel di Kuantan, hari ini.

    Menurut Ibrahim, parti yang ditubuhkan itu memperjuangkan agenda pengukuhan ekonomi rakyat dan memastikan masyarakat tidak terbeban dengan kos sara hidup.

    Menurutnya, beliau serius mahu menyelesaikan isu-isu seperti makanan asas dan menyusun strategi untuk mengatasi pelbagai masalah rakyat.

    “Kita mahu membela nasib rakyat, kita lihat politik sekarang kucar kacir dan rakyat dibiarkan serta dihimpit dengan tekanan hidup termasuk inflasi makanan dan harga yang melambung.

    “Jadi, kita akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada persefahaman antara BPN dengan Pemanah,” ujarnya.

    Ibrahim berkata, antara manfaat tersebut termasuk penyediaan rumah secara percuma kepada isi rumah berpendapatan RM1,500 ke bawah, penyediaan pasar raya, bantuan menunaikan ibadat haji dan umrah selain bantuan perubatan serta bantuan kepada orang kurang upaya (OKU).

  • Lelaki cuba terjun jambatan Sultan Mahmud positif dadah

    Lelaki cuba terjun jambatan Sultan Mahmud positif dadah

    SEORANG lelaki yang cuba terjun dari jambatan Sultan Mahmud Kuala Terengganu petang semalam didapati positif dadah.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din, berdasarkan siasatan polis, lelaki berusia 29 tahun itu dipercayai mengalami tekanan perasaan disebabkan masalah peribadi.

    “Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.

    “Kertas siasatan telah dibuka dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh diri dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam kenyataan pada hari ini, lapor Sinar Harian.

    Abdul Rahim berkata, semasa hari kejadian, pihak polis telah menerima panggilan melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 daripada orang awam yang memaklumkan kejadian itu sekitar pukul 5.45 petang.

    “Sejurus pihak polis tiba di lokasi kejadian, orang awam telah berjaya memujuk dan menghalang lelaki itu daripada terjun serta telah menyerahkan kepada pihak polis.

    “Lelaki itu juga telah dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

    Menurut Abdul Rahim, sebuah video berdurasi 15 saat tular di media sosial sejak malam Isnin memaparkan seorang lelaki berdiri di luar penghadang Jambatan Sultan Mahmud di Kuala Terengganu.

  • Zahid gagal dapat injunksi terhadap Tun M dalam saman fitnah

    Zahid gagal dapat injunksi terhadap Tun M dalam saman fitnah

    PERMOHONAN Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan perintah injunksi terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad sementara menunggu penyelesaian samannya terhadap bekas Perdana Menteri itu ditolak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Bekas Timbalan Perdana Menteri itu memfailkan saman terhadap Dr. Mahathir pada April lalu atas dakwaan beliau meminta bantuan Dr. Mahathir supaya tuduhan rasuah terhadapnya ‘digugurkan’.

    Free Malaysia Today melaporkan, peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Dr. Mahathir memberitahu wartawan, hakim Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu ketika prosiding dalam talian.

    Rafique berkata, mahkamah memutuskan Zahid perlu membuktikan kenyataan Dr. Mahathir dalam sidang media 23 Februari lalu dianggap tidak benar, sebelum perbicaraan penuh. Mahkamah turut memerintahkan Zahid membayar kos RM5,000.

    Mior Nor Haidir Suhaimi turut mewakili Dr. Mahathir, manakala Zahid diwakili peguam Shahrul Fazli Kamarulzaman.

    Menerusi sidang media 23 Februari lalu, Dr. Mahathir mendakwa Zahid dan beberapa individu bertandang ke rumahnya pada 2018 dan Presiden UMNO itu mahu ‘berbaik’ sebelum Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua.

    Zahid mendakwa kenyataan Dr. Mahathir tidak benar, tidak wajar, tidak berasas dan berniat jahat.

    Beliau turut mendakwa kata-kata Dr. Mahathir itu bermakna beliau menggunakan jalan pintas untuk menyelesaikan kes jenayahnya bagi kepentingan peribadi.

    Zahid menuntut ganti rugi teruk, am dan teladan.

    Dalam pembelaannya, Dr. Mahathir mempertahankan kenyataannya dan berkata beliau akan mencabar saman berkenaan.

    Zahid turut memfailkan saman berasingan terhadap pengganti Dr. Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuat dakwaan sama terhadap Ahli Parlimen Bagan Datuk itu ketika pilihan raya negeri Johor.