Author: Admin

  • Yasin lega, bersyukur terlepas hukuman gantung

    Yasin lega, bersyukur terlepas hukuman gantung

    PENYANYI nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman bersyukur dan lega selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja, hari ini.

    Yasin berkata, keputusan itu merupakan satu perkembangan positif bagi dirinya, lapor Sinar Harian.

    “Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada dan saya amat bersyukur dengan keputusan ini.

    “Tidak lupa juga ucapan terima kasih saya kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya kepada media ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

    Sementara itu, abang Yasin, Zain Sulaiman, 50, berkata, mereka sekeluarga bersyukur dengan keputusan Mahkamah Majistret hari ini biarpun adiknya itu tidak dapat beraya bersama pada Aidiladha nanti.

    “Kami semua bersyukur dengan perkembangan kes ini, walaupun Aidiladha ini kami tidak dapat beraya dengannya, namun Alhamdulillah, kami lega dengan perkembangan kes yang Yassin hadapi ini.

    “Saya harap rakan-rakan, teman akan terus mendoakan untuk Yasin,” katanya.

    Hari ini, Yasin terlepas daripada hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Majistret Petaling Jaya melepas tanpa membebaskannya daripada tuduhan mengedar dadah berbahaya jenis ganja anggaran berat 214 gram, Mac lalu.

    Bagaimanapun dia dituduh atas kesalahan miliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram dan dituduh mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.

  • Syarikat khidmat haji dilarang letak ‘VIP’ pada bas Jemaah

    Syarikat khidmat haji dilarang letak ‘VIP’ pada bas Jemaah

    KEMENTERIAN Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan arahan supaya syarikat perkhidmatan haji tempatan tidak meletak pelekat ‘VIP’ (Orang Penting atau Kenamaan) pada bas yang digunakan bagi membawa jemaah.

    Ia juga mengarahkan kapasiti setiap bas tidak melebihi jumlah jemaah yang diperuntukkan, dan perlu ada sebuah bas rizab bagi setiap 500 jemaah.

    Arahan itu terkandung dalam manual prosedur kawal selia yang dikeluarkan kementerian itu kepada syarikat dan pertubuhan tempatan yang menyediakan khidmat haji tahun ini, lapor media Saudi Gazette.

    Penyedia perkhidmatan juga seharusnya mendapatkan permit bagi kemasukan bas berlesen ke Tanah Suci.

    Bas itu dikehendaki menjalani pemeriksaan berkala. Menyewa bas dari luar Arab Saudi tidak dibenarkan sama sekali dalam apa jua keadaan.

    Bas itu juga tidak boleh digunakan bagi pengangkutan domestik penumpang antara bandar atau dalam kawasan Tanah Suci, selain daripada pengangkutan jemaah yang sudah ditetapkan.

    Kementerian itu menarik perhatian bahawa semua bas lama dengan kadar pelepasan ekzos tinggi akan disita di pintu masuk ke Makkah.

    Polis trafik akan mengesahkan, melalui peranti mudah alih, nisbah pelepasan ekzos bas berkenaan dan berdasarkan itu, kenderaan akan disita atau didenda bagi pelanggaran yang dilakukan.

    Bagi bas yang terletak di dalam kota Makkah, ia akan disimpan di satu lokasi dan tidak dibenarkan bergerak keluar bagi mengelak ia menyebabkan pencemaran kepada alam sekitar.

    Arahan dalam manual itu juga termasuk mengenal pasti jemaah haji tempatan, yang akan dibawa oleh bas berlesen, dan menulis nama mereka dalam penyata pengangkutan yang mengandungi data peribadi jemaah, serta nombor permit haji, nama syarikat yang menyediakan perkhidmatan dan nombor lesennya.

    Ini demi memastikan jemaah dan bas berkenaan sahih dan dibenar menunaikan haji tahun ini.

    Sekitar sejuta orang, termasuk 850,000 dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji tahun ini – rukun Islam kelima yang wajib dilakukan semua umat Islam berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

    Musim haji kembali seperti biasa selepas dua tahun bilangan jemaah dikurangkan akibat pandemik Covid-19.

    Sehingga Ahad lalu, sekurang-kurangnya 650,000 jemaah haji luar negara tiba di Arab Saudi, kata pihak berkuasa.

    Pada 2019, sebelum Covid-19 bermula, sekitar 2.5 juta orang menunaikan ibadah haji setiap tahun, termasuk tawaf mengelilingi Kaabah di Masjidil Haram, berkumpul di Padang Arafah dan melontar jamrah di Mina.

    Pada tahun berikutnya, rakyat asing dilarang dan jemaah haji tempatan dihadkan kepada hanya 10,000 orang akibat ancaman coronavirus.

    Tahun lalu, bilangan itu meningkat kepada 60,000 rakyat dan warga asing yang menetap di Arab Saudi yang sudah divaksin sepenuhnya.

    Pelitup tidak lagi diwajibkan di kebanyakan ruang tertutup di Arab Saudi, tetapi ia diwajibkan di Masjidil Haram.

    Jemaah haji dari luar negara perlu mengemukakan hasil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) negatif. – AGENSI

  • 6 rumah atas air musnah, dua terjejas dalam kebakaran

    6 rumah atas air musnah, dua terjejas dalam kebakaran

    TUJUH keluarga kehilangan tempat tinggal selepas enam rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Lok Urai Pulau Gaya, Kota Kinabalu, pukul 11 malam tadi.

    Menurut Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, kebakaran itu juga mengakibatkan dua lagi rumah terjejas kira-kira 50 peratus.

    “Pasukan Bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 11.06 malam sebelum menggegaskan lapan pegawai dan anggota bersama jentera serta dibantu 15 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) ke lokasi kejadian.

    “Operasi pemadaman awal dijalankan oleh PBS Pulau Gaya menggunakan satu aliran hos sumber air dari kapal pembekal air.

    “Operasi kemudiannya disambung pasukan bomba sebelum api berjaya dikawal pada pukul 12 tengah malam,” katanya memetik laporan Utusan Borneo, hari ini.

    Beliau berkata, kebakaran memusnahkan enam buah rumah manakala dua yang lain terbakar 50 peratus dan lokasi kejadian membabitkan kawasan seluas 50 meter persegi.

    “Tiada mangsa dilaporkan cedera atau kehilangan jiwa dalam kes ini dan pasukan operasi terus melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi unsur bahaya lain di lokasi sebelum menamatkan keseluruhan operasi pada pukul 12.40 tengah malam,” katanya.

    Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini berikutan kesemua mangsa masing-masing tinggal di rumah keluarga terdekat.

  • Rayuan banduan Malaysia di Singapura, tangguh hukuman mati didengar hari ini

    Rayuan banduan Malaysia di Singapura, tangguh hukuman mati didengar hari ini

    SEORANG banduan Malaysia yang sedang menunggu hukuman mati di Singapura telah memfailkan notis usul kepada Mahkamah Rayuan negara itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukumannya, menurut Lawyers for Liberty (LFL).

    LFL berkata permohonan penangguhan Kalwant Singh akan didengar hari ini, 6 Julai, iaitu sehari sebelum hukumannya dijadual dilaksanakan.

    “Permohonan penangguhan Kalwant akan didengar oleh panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan pada 6 Julai jam tiga petang, iaitu sehari sebelum pelaksanaan hukuman mati yang dijadualkan,” kata NGO itu dalam kenyataan.

    Kalwant juga telah memfailkan semakan terhadap sabitan dan hukumannya, kata NGO itu lagi.

    Dia ditahan atas kesalahan memiliki 60.15g diamorphine dan mengedar 120.9g diamorphine pada 2013 dan disabitkan pada 2016 di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

    Menurut LFL lagi, keluarga Kalwant, dari Cameron Highlands, hanya dimaklumkan pada 30 Jun lalu mengenai tarikh pelaksanaan hukuman matinya.

    LFL, bersama beberapa kumpulan lain, sebelum ini menggesa kerajaan Singapura untuk menghentikan hukuman matinya.

    Pengarahnya, Zaid Malek berkata Kalwant hanya salah seorang dalam senarai panjang rakyat Malaysia sedang menunggu dihukum gantung di Singapura.

    “Walaupun kritikan demi kritikan yang diterimanya (Singapura) daripada masyarakat antarabangsa kerana hukuman mati ke atas keldai dadah bawahan,” tambahnya, lapor MalaysiaKini.

    Kumpulan hak asasi manusia Sebaran Kasih juga bersuara untuk Kalwant, dengan mengatakan bahawa dia hanya berusia 23 tahun ketika ditangkap.

    “Kalwant telah menghabiskan lebih daripada sembilan tahun di penjara, di mana dia telah dikenakan kurungan bersendirian di dalam sel kecil untuk tempoh yang lama,” kata Kumpulan tersebut.

    Pelaksanaan hukuman gantung ini berlaku dua bulan selepas hukuman mati terhadap Nagaenthran Dharmalingam, seorang lelaki kurang upaya intelek yang dihukum mati pada 27 April atas tuduhan mengedar dadah.

  • Polis terima laporan video ‘prank’ tarik tudung dua wanita 

    Polis terima laporan video ‘prank’ tarik tudung dua wanita 

    POLIS telah menerima laporan berkaitan video ‘prank’ tarik tudung dua wanita yang tular di media sosial.

    Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah, seorang lelaki yang memuat naik video itu telah tampil membuat laporan polis kelmarin.

    “Berdasarkan maklumat yang diterima perbuatan tersebut dirancang untuk mendapatkan perhatian di media sosial,” katanya lapor Sinar Harian.

    Ashari berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima laporan daripada dua wanita berkenaan.

    “Kita sedang mengesan dua wanita tersebut untuk dirakam keterangan berkaitan kejadian itu,” katanya.

    Kelmarin, lelaki itu telah memohon maaf atas keterlanjurannya memuat naik video ‘prank’ tarik tudung dua wanita di saluran YouTubenya.

    Permohonan maaf itu dibuat menerusi video terbaru yang dimuat naik di YouTube pada Isnin, tidak lama selepas mencetuskan kontroversi.

    Dalam video sama, dua wanita terbabit turut memohon maaf kepada semua yang tersinggung selepas menonton rakaman yang tular itu.

    Menerusi video terdahulu, lelaki tersebut menjelaskan video dimuat naik itu adalah eksperimen sosial dilakukannya untuk melihat sejauh mana reaksi netizen dan turut memberitahu dua wanita yang kononnya menjadi mangsa ‘prank’ adalah rakannya.

  • Suspek tikam ibu kandung direman seminggu

    Suspek tikam ibu kandung direman seminggu

    SEORANG pemuda yang disyaki menikam ibu kandungnya sehingga meninggal dunia dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu Ayer Keroh, Melaka direman tujuh hari bermula hari ini.

    Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Mazana Sinin membenarkan perintah tahanan reman bermula hari ini sehingga 12 Julai terhadap suspek berusia 38 tahun itu.

    Penahanan reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, lapor Astro Awani.

    Terdahulu, suspek yang memakai pakaian lokap berwarna ungu dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pukul 9.40 pagi dengan dikawal anggota polis sebelum dibawa keluar 45 minit kemudian.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang semalam, mangsa, Rozizah Md. Dom, 63, disahkan meninggal dunia di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

    Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah
    berhala.

    Mangsa yang juga seorang pesara guru juga dikatakan baharu kehilangan suami bulan lalu.

  • JPJ sita kenderaan ‘ulat’ di KLIA2

    JPJ sita kenderaan ‘ulat’ di KLIA2

     JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor menyita tiga kenderaan ‘ulat’ yang digunakan bagi menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram dalam operasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), di Kuala Lumpur semalam.

    Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, operasi seharian itu turut menahan tiga pemandu berusia lingkungan 40-an.

    “Tiga kenderaan telah disita iaitu jenis Perodua Kancil, Perodua Alza dan Toyota Innova manakala pemandunya ditahan untuk direkod keterangan.

    “Siasatan awal mendapati ‘ulat’ tersebut mengenakan tambang kepada penumpang warganegara dan pelancong asing antara RM100 hingga RM300 dari KLIA2 ke Kuala Lumpur; Mentakab, Pahang dan Batu Pahat, Johor,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

    Tambahnya, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) di bawah akta yang sama.

    “Orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing,” ujarnya.

     Kata beliau, penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil ke atas pemandu dan pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

    “Untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan,” katanya.

  • Persatuan pengguna gesa bank timbang rasa susulan jangkaan kenaikan OPR

    Persatuan pengguna gesa bank timbang rasa susulan jangkaan kenaikan OPR

    DI tengah-tengah spekulasi bahawa Bank Negara (BNM) akan menaikkan semula kadar dasar semalaman (OPR), kumpulan pengguna menggesa bank bersikap empati terhadap masalah kewangan dihadapi rakyat.

    Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah berkata, apabila BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2 peratus pada Mei, ramai orang mendapati kadar bayaran balik pinjaman bulanan mereka meningkat.

    Tambah beliau lagi, satu lagi kenaikan OPR mungkin berlaku dan ia akan meningkatkan lagi jumlah pembayaran balik pinjaman sedia ada.

    “Mereka (bank) harus berurusan dengan mereka yang menghadapi masalah membayar balik pinjaman, dan menawarkan perjanjian bayaran semula yang disemak,” katanya.

    Saravanan juga mencadangkan BNM melaksanakan sistem untuk memberi bantuan kepada mereka yang menghadapi masalah menanggung kenaikan bayaran balik pinjaman, khususnya daripada kumpulan B40.

    “Itulah sebabnya perancangan kewangan adalah penting, dan kami menasihatkan mereka yang mengalami masalah mendapatkan kaunseling kewangan daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Moody’s Analytics melaporkan BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas, daripada 2 peratus kepada 2.25 peratus pada mesyuarat jawatankuasa dasar monetari (MPC) keempat, yang bermula hari ini.

    Dalam laporannya, firma penyelidikan itu juga menyatakan bahawa bank pusat itu menaikkan kadar pada Mei, mengubahnya daripada rekod rendah di mana berterusan lemah selama hampir dua tahun.

    Sementara itu, pensyarah kanan ekonomi di Universiti Malaya, Goh Lim Thye berkata, kenaikan kadar bayaran balik pinjaman disebabkan kenaikan OPR akan berbeza bergantung kepada jumlah pinjaman tertunggak individu.

    Beliau berkata, kenaikan itu boleh berkisar daripada tambahan sebanyak RM30 sebulan kepada beberapa ratus ringgit.

    “Sebagai contoh, menggunakan kalkulator pinjaman dalam talian, bayaran balik bulanan bagi pinjaman 25 tahun sebanyak RM350,000, dengan kadar faedah 3.1 peratus, ialah RM1,678.

    “Tetapi pada 3.35 peratus, bayaran balik bulanan meningkat kepada RM1,724 sebulan, peningkatan RM46 sebulan,” katanya.

  • Pemilihan PKR: Farhash nasihat Rafizi berhenti main politik ‘kotor’

    Pemilihan PKR: Farhash nasihat Rafizi berhenti main politik ‘kotor’

    TIMBALAN Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli perlu berhenti perlu berhenti memfitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah membiarkan dirinya dikawal orang lain.

    Bekas Pengerusi PKR Perak, farhash Wafa Salvador yang
    tewas dalam perebutan kerusi Naib Presiden PKR itu mendakwa, Rafizi sendiri cuba mempengaruhi Presiden parti mereka.

    Farhash menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan Rafizi yang berbaur fitnah dan jahat terhadapnya dan usaha mereka di peringkat akar umbi untuk memastikan ketelusan dan keadilan ditegakkan dalam keputusan Pemilihan Parti 2022 yang disiarkan pada Isnin.

    “Rafizi tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seolah-olah beliau tidak tahu-menahu tentang kepincangan yang berlaku dalam proses pemilihan parti tempohari.

    “Laporan dan aduan terhadap kepincangan yang berlaku dalam pemilihan parti telah dibuat oleh ratusan anggota dan calon-calon atas keputusan yang dilihat tidak munasabah. Usaha untuk menegakkan ketelusan dan keadilan ini bukanlah usaha saya seorang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Baru-baru ini, Rafizi mendakwa terdapat kumpulan dalam parti yang tidak dapat menerima kekalahan, dan mendesak Anwar untuk mengadakan pemilihan semula, atau sekurang-kurangnya membuat audit digital terhadap proses pemilihan tersebut.

    Untuk rekod, Rafizi berjaya menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk jawatan nombor dua parti, manakala Farhash gagal dalam cubaan merebut kerusi Naib Presiden dan Ketua Cabang Keadilan Gombak.

    Susulan keputusan tersebut, Rafizi mencadangkan agar Kongres Nasional Keadilan dilakukan secepat mungkin, tanpa melayan karenah calon yang kalah dalam pemilihan.

    Mengulas lanjut, Farhash berkata, tuntutan mereka adalah seperti juga apa yang parti dan pemimpin yang lain telah perjuangkan dalam gerakan menuntut pilihanraya yang bersih, telus dan adil.

    “Selama lebih 20 tahun perjuangan ini, kita berjaya memastikan sekurang-kurangnya pengiraan undi dalam Pilihanraya Umum dan Negeri dilakukan secara telus, di hadapan ramai saksi, supaya tidak berlaku manipulasi.

    “Tetapi agak pelik apabila Rafizi kini mempersoalkan, malah mengkritik dengan melemparkan fitnah ke atas tuntutan kami untuk ketelusan dijamin dengan semua undi, termasuk undi atas talian dibuat pengiraan semula di hadapan saksi, bukan secara rahsia seperti yang telah dilakukan,” katanya lagi.

    “Sebagai solusi, saya juga sangat setuju dengan saranan Rafizi supaya pihak yang melakukan audit forensik itu turut disiasat, asalkan audit dibuat di hadapan calon atau wakil. Seperti saranan kami dari awal, audit ini harus bersifat telus dengan membuat kiraan semula semua undi termasuk PAT di hadapan saksi.

    “Sistem dan pihak-pihak yang terlibat dalam pengendalian aplikasi ADIL juga harus disiasat dan laporan auditnya dibentangkan untuk tatapan semua anggota parti,” katanya lagi.

    Selain itu, Farhash ingin menasihati Rafizi supaya lebih ikhlas, jujur, dan berhenti bersandiwara.

  • Puad gelabah, cuba alih isu perang saudara dalam UMNO – Ashraf Mustaqim

    Puad gelabah, cuba alih isu perang saudara dalam UMNO – Ashraf Mustaqim

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi sepatutnya menjaga tepi kain parti sendiri yang kini dilanda perang saudara daripada menabur fitnah kepada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu)

    Ketua Penerangan Armada Bersatu, Mohd. Ashraf Mustaqim berkata, tindakan mereka-reka cerita itu tidak kena dengan status Puad sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

    Katanya, UMNO yang kini dalam keadaan berpecah belah semakin terdesak dan menghadapi realiti pahit apabila kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri daripada parti itu seolah-olah tiada penyelesaian kepada masalah semasa yang sedang dihadapi rakyat.

    “Mereka turut rasa tergugat apabila cadangan-cadangan yang lebih baik dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara.

    “Jadi, kenyataan-kenyataan sebegitu adalah permainan UMNO untuk alihkan pandangan masyarakat,” katanya ketika dihubungi SatuBerita hari ini.

    Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit dalam satu hantaran di Facebook baru-baru ini mendakwa Muhyiddin menamakan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai timbalan perdana menteri dalam pertemuan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Dalam hantaran itu Puad turut membuat spekulasi berhubung pelantikan pengganti Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Mohd. Ashraf berkata, berbanding melancarkan serangan ke atas orang lain, Puad sepatutnya sedar akan kedudukan UMNO yang sedang berkuasa di peringkat pusat adalah atas ihsan Perikatan Nasional (PN).

    “Bercakap berkenaan dengan pencalonan TPM pun, kalau kita lihat dari segi mandat sehingga penubuhan Perikatan Nasional, UMNO sedang berdiri atas ihsan Bersatu.

    “Mereka ada peluang untuk menebus kesalahan mereka juga atas ihsan Bersatu.

    “Mereka yang kini sedang ada kuasa, tidak mampu keluarkan cadangan-cadangan yang baik seperti Muhyiddin dalam usaha pemulihan negara, mereka cuba mulakan pergolakan politik. Padahal realitinya tiada apa-apa masalah pun,” ulasnya.

    Menurut Mohd. Ashraf berkata, secara peribadi dia melihat tiada masalah sekiranya Muhyiddin benar-benar ingin mencalonkan Ahmad Faizal sebagai Timbalan Perdana Menteri.

    “Kalau kata Muhyiddin mahu menamakan Faizal Azumu sebagai Timbalan Perdana Menteri, itu hak Bersatu. Apa salahnya?

    “Jadi tiada isu. Puad Zarkashi ni nak menggelabah apa? Kamu sendiri pun berdiri atas ihsan orang lain.

    “Inilah UMNO nak berpolitik 24 jam itu sahajalah kerja UMNO, rakyat mereka tidak pandang,” ujarnya.