Author: Admin

  • 4 lelaki warga Nigeria ditahan terlibat ‘Parcel Scam’

    4 lelaki warga Nigeria ditahan terlibat ‘Parcel Scam’

    POLIS menahan empat lelaki warga Nigeria yang disyaki terbabit kes penipuan ‘parcel scam’ di sebuah restoran makanan segera di Sri Damansara di Petaling Jaya, kelmarin.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kesemua suspek berusia antara 30-an hingga 40-an itu ditahan kerana mengakibatkan seorang warga emas kerugian RM64,000 kelmarin.

    “Sebelum itu Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima laporan daripada lelaki berusia 62 tahun mendakwa ditipu selepas berkenalan dengan seorang wanita warga Berlin, pada Mac lalu.

    “Pesara itu menyatakan berkenalan dengan wanita terbabit menerusi laman sosial Facebook dan berterusan ke aplikasi WhatsApp dengan wanita itu menggunakan nombor telefon antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, sepanjang tempoh perkenalan yang singkat, pengadu memberitahu suspek akan menghantar beberapa barang seperti komputer riba, jam tangan digital, rantai emas, jersi Manchester United dan wang tunai Euro 20,000 sebagai hadiah kepada pengadu.

    Pada pukul 8.33 pagi 21 Mac lalu katanya, pengadu menerima mesej daripada daripada individu memperkenalkan diri sebagai Patrick dari syarikat penghantar menyatakan barang dihantar sudah tiba di Malaysia dan meminta pengadu membayar RM1,750 sebagai kos proses penghantaran serta beberapa kos lain.

    “Pengadu kemudian membuat beberapa transaksi bayaran ke akaun bank berbeza dengan jumlah kerugian sebanyak RM64,000,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

    Beliau berkata, walaupun beberapa bayaran dibuat namun syarikat penghantar itu dikatakan masih meminta bayaran lain dengan memberi pelbagai alasan menyebabkan pengadu berasa curiga dan mengesyaki ditipu.

    Berikutan itu, katanya, pengadu tampil membuat laporan polis dan siasatan dijalankan sebelum berjaya menahan empat suspek dan merampas pelbagai barangan yang disyaki mempunyai kaitan kes penipuan itu.

    “Kesemua suspek direman empat hari bermula semalam sehingga Ahad ini untuk membantu siasatan lanjut, Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor direman tiga hari

    Pemandu lori rempuh 11 kenderaan di Tambak Johor direman tiga hari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANDU lori yang merempuh 11 buah kenderaan lain di Tambak Johor, Johor Bahru, semalam direman tiga hari bermula hari ini.

    Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar, Melody Woon Sze Mun terhadap suspek yang berusia 34 tahun.

    “Hasil semakan mendapati suspek mempunyai 33 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan trafik dan turut mempunyai enam saman yang masih tertunggak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

    Suspek yang memakai baju t-shirt berwarna hitam dan berseluar jeans biru tiba di pekarangan mahkamah Johor Bahru pada pukul 10 pagi.

    Semalam, media melaporkan lori berkenaan yang dipercayai mengalami masalah kerosakan teknikal merempuh 11 buah kenderaan lain di sempadan antarabangsa Malaysia-Singapura pada pukul 9.25 pagi.

    Raub berkata, kemalangan itu melibatkan 12 buah kenderaan iaitu sebuah lori, sebuah bas, sebuah van dan sembilan buah kereta dengan enam daripadanya merupakan kenderaan berdaftar di Malaysia dan enam yang lain bernombor pendaftaran Singapura.

    “Kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa mahupun kecederaan sebaliknya hanya laporan kerosakan kenderaan diterima.

    “Siasatan lanjut sedang dibuat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya akan menjalankan siasatan Tataamalan Industri Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Bagi Aktiviti Pengangkutan Jalan 2010 (ICOP) berhubung insiden itu.

    “Tindakan tegas akan dikenakan kepada pemandu lori atau syarikat terbabit jika didapati gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan, setelah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melengkapkan audit ICOP termasuklah seperti menggantung lesen GDL pemandu lori, menggantung permit syarikat atau lain-lain hukuman yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” ujarnya.

  • [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe ditembak

    [VIDEO] Bekas PM Jepun, Shinzo Abe ditembak

    BEKAS Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe ditembak semasa menyampaikan ucapan dalam kempen di Nara, Jepun hari ini.

    Washington Times yang memetik NHK melaporkan, beliau mengalami masalah kegagalan jantung.

    Stesen televisyen NHK menayangkan rakaman menunjukkan Abe rebah di atas jalan dengan beberapa pengawal keselamatan berlari ke arahnya.

    Shinzo Abe dilihat menekap dadanya ketika rebah manakala bajunya berlumuran darah.

    Menurut NHK, beliau seterusnya dibawa ke hospital.

    Saksi kejadian mendakwa mereka mendengar bunyi tembakan dalam insiden itu.

    Abe sedang berdiri ketika berucap untuk kempen pilihan raya Parlimen yang berlangsung Ahad ini.

    Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam cubaan membunuh Abe di lokasi kejadian.

  • Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga maut, empat parah kereta bertembung di SKVE

    Tiga lelaki warga asing maut manakala tiga lagi lelaki warga asing dan seorang lelaki tempatan cedera parah dalam kemalangan di Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sekitar Pulau Carey, malam tadi. 

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.42 malam dan apabila tiba di lokasi kemalangan, didapati terdapat sebuah kereta Toyota Unser dan sebuah Honda HR-V bertembung yang mengakibatkan tujuh mangsa tersepit. 

    “Kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada 12.16 tengah malam dengan tiga daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata kesemua warga asing itu menaiki Toyota Unser dan didapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri manakala lelaki tempatan berkenaan memandu Honda HR-V.

    Katanya tiga mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, seorang lagi dibawa ke Hospital Banting manakala tiga yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – Bernama

  • Jemaah terkandas: 17 laporan polis diterima setakat ini – Polis

    Jemaah terkandas: 17 laporan polis diterima setakat ini – Polis

    SEBANYAK 17 laporan polis telah dibuat jemaah Haji yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada penerbangan ke Jeddah, Mekah, semalam.

    Menurut Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd. Rahman, kesemua laporan polis itu dibuat di sekitar Lembah Klang sehingga pukul 4.30 pagi Jumaat.

    “Kami telah rekodkan sehingga jam 4.30 pagi tadi, 17 laporan polis telah dibuat terhadap UC Travel, dari segi siasatan kita akan teruskan sama ada berlaku penipuan atau tidak.

    Kita dah interview dia (pemilik) secara lisan, kita interview dia dan rekod keterangan dua perkara berlainan.

    “Semalam kita sudah interview dia untuk dapatkan cerita, ekoran daripada report ini kita akan jalankan siasatan jika terdapat elemen tipu,” katanya lapor Astro Awani hari ini.

    Tambah Imran, beliau tidak menolak lebih banyak laporan polis akan dibuat oleh pihak jemaah dari semasa ke semasa.

    “Dia (pemilik) adalah suspek, kita akan panggil dia nanti. Report ini melibatkan banyak tempat, Setapak, Kajang, dan banyak tempat bukan hanya di KLIA sahaja.

    “Report ini dibuat oleh jemaah Haji sendiri,” katanya lagi.

    Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

    Semalam, tinjauan Astro Awani mendapati hampir 400 jemaah Haji terkandas di KLIA selepas tidak dapat berlepas ke Jeddah.

    Malah berlaku kekecohan selepas salah seorang individu dipercayai dari syarikat agensi pelancongan dikerumuni jemaah bagi mendapatkan penjelasan.

    Ada diantara jemaah yang terpaksa menunggu sejak 28 Jun untuk penerbangan menunaikan rukun Islam kelima itu, namun ditunda atas alasan tertentu.

    Kesemua jemaah Haji itu berdaftar di bawah visa furada.

  • Nurul Izzah lebih popular daripada Anwar, menurut Invoke Solution

    Nurul Izzah lebih popular daripada Anwar, menurut Invoke Solution

    SEBUAH syarikat analitik mengumpul data memberi gambaran jawapan kepada persoalan ‘siapa yang akan menggantikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

    Menurut Invoke Solution, calon yang jelas ialah anak Anwar sendiri, Nurul Izzah dan kesimpulan tersebut berdasarkan penemuan tinjauan yang dilakukan antara 1 Mac hingga 8 April tahun ini.

    Tinjauan syarikat milik Rafizi Ramli itu dilakukan antara 1 Mac hingga 8 April tahun ini.

    Menerusi tinjauan itu telah menemu bual 1,500 pengundi yang bukan ahli PKR, dan 1,500 ahli PKR, dan berstrata mengikut umur, jantina, kaum dan sosio-ekonomi.

    Tinjauan mendapati dalam kalangan pengundi, 28 peratus memandang Anwar secara positif, 23 peratus negatif, dan 48 peratus mempunyai pendapat neutral terhadap ketua pembangkang itu.

    Secara perbandingan, 49 peratus pengundi berasa positif terhadap Nurul Izzah, 7 peratus negatif, 33 peratus neutral.

    Nurul Izzah juga mempunyai peratus paling rendah (11 peratus) dari segi ‘tidak dikenali’ dalam kalangan pemimpin PKR yang dikaji.

    Sebagai perbandingan 23 peratus pengundi tidak mengenali Rafizi, dan 34 peratus tidak mengenali Saifuddin Nasution Ismail.

    Tinjauan mendapati semakin muda pengundi semakin menurun populariti Anwar, dan merasionalkan bahawa ini berkemungkinan disebabkan zaman kegemilangan presiden PKR itu sebagai aktivis muda, menteri UMNO, kemudian pemimpin Reformasi semakin ditelan masa.

    “Mereka yang sudah dewasa semasa era Reformasi kini berusia empat puluhan.

    “Bagi majoriti penduduk Malaysia yang bekerja, Anwar lebih kepada peninggalan sejarah berbanding ketua pergerakan,” kata laporan tinjauan itu, menurut Malaysiakini hari ini.

    Ia menambah bahawa memandangkan Anwar tidak meninggalkan legasi negara ‘yang ketara’ berbanding dengan projek mega Tun Dr. Mahathir Mohamad, golongan muda semakin tidak dapat mengaitkan diri mereka dengan presiden PKR seperti yang dilakukan oleh ahli parti.

    Dan sementara 49 peratus pengundi merasakan PKR mempunyai pemimpin yang berkebolehan, Invoke mengandaikan bahawa ini tidak bermakna ia menggambarkan penerimaan untuk Anwar.

    “Dengan mengambil kira angka Anwar yang rendah, wajarlah dianggap presiden parti bukanlah salah seorang daripada ‘pemimpin’ (berkebolehan) yang dimaksudkan.

    “Ironinya, ini menunjukkan bahawa dia (Anwar) tidak menjadi peneraju kepada kemungkinan kemenangan, sebaliknya presiden (PKR) boleh menjadi lebih kepada liabiliti daripada yang mungkin dia mahu akui,” katanya.

    Bagaimanapun, menggantikan Anwar telah menjadi topik yang dilihat sensitif, dengan pengasas Invoke, Rafizi memberi amaran bahawa jika Presiden PKR itu berundur sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-15, ia akan menimbulkan huru-hara dalam kalangan pembangkang.

    Tetapi jika tiba masanya dan Anwar meletak jawatan, Invoke berkata berdasarkan popularitinya di kalangan pengundi dan ahli PKR, Nurul Izzah adalah ‘calon yang jelas’ untuk menggantikan Anwar dan meneraju parti ke hadapan.

    Ia berkata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkemungkinan mendapat manfaat daripada dua faktor.

    “Pertamanya, sebagai anak kepada Anwar, Izzah mempunyai tahap pengiktirafan awam yang bermula sejak zaman Reformasi dan memberikan status istimewa dalam kalangan kebanyakan ahli PKR.

    “Kedua, dia kekal sebagai ‘backbench’ yang konsisten di parlimen sejak 2008, sambil berjaya mengelak kontroversi yang menyelubungi ramai rakan sejawatan partinya,” kata laporan tinjauan itu.

    Meskipun dilihat popular, Nurul Izzah dilihat mengambil ‘kerusi belakang’ dalam kepimpinan dalam PKR.

    Dia meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR pada Disember 2018, dan enggan mengambil bahagian dalam pemilihan parti tahun ini, dengan berkata, mahu memberi tumpuan kepada memikat pengundi atas pagar.

  • Sultan Johor, Sultan Selangor kaya bukan hasil daripada monopoli-TMJ

    Sultan Johor, Sultan Selangor kaya bukan hasil daripada monopoli-TMJ

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Sultan Johor dan Sultan Selangor memiliki kekayaan menerusi pelbagai penglibatan dalam aktiviti-aktiviti korporat.

    Tunku Ismail berkata, hak milik kekayaan Sultan Johor dan Sultan Selangor itu adalah pelaburan dalam aktiviti korporat dan bukan monopoli beras, monopoli gula, monopoli tepung, lesen import (AP), kuota, kontrak kerajaan, konsesi swasta dan banyak lagi.

    “Ini bukan sebagaimana yang dilakukan oleh kroni-kroni kepada mereka yang berkuasa sejak Tun Dr Mahathir Mohamad Mahathir mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri pada 1981 dan selepas (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menyertai UMNO pada 1982.

    “Mungkin kerajaan ada membayar gaji kepada sepuluh Raja-Raja Melayu. Tetapi seperti apa yang dikatakan oleh Sultan Johor, sejak 1899

    Kesultanan Johor telah mendermakan wang itu kembali kepada rakyat, lama sebelum pembentukan Malaya pada 1948 dan ketika British masih lagi menjajah Kepulauan Melayu,” kata Tunku Ismail dalam Facebook miliknya HRH Crown Prince of Johor, hari ini.

    Kelmarin, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim melahirkan kebimbangan sebahagian sultan terlibat aktif dalam perniagaan atau perusahaan komersial sejak akhir-akhir ini yang boleh menimbulkan pelbagai persepsi atau tuduhan tidak baik terhadap institusi diraja.

    Beliau dalam satu kenyataan berkata, kebenaran atau melarang sultan terlibat dalam perniagaan masih terikat dan tertakluk kepada Perlembagaan negeri atau undang-undang tubuh negeri masing-masing.

    “Mungkin juga undang-undang tubuh atau perlembagaan negeri senyap atau membisu dalam bab ini. Ada sembilan negeri di Malaysia yang mempunyai sultan. Perlembagaan negeri masing-masing berbeza-beza,” ujar Hassan.

    Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Johor berkata, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebelum ini sudah memperbetulkan penipuan yang didakwa

    dilakukan bekas Perdana Menteri sebelum ini.

    “Sultan Johor telah memperbetulkan penipuan yang diputarbelitkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sejak 30 tahun dahulu, pada awal 1980-an yang mengatakan bahawa 10 Raja-Raja Melayu adalah lintah yang menghisap duit rakyat hingga kering,” ujar Tunku Ismail.

    Tunku Ismail berkata, setiap wang yang diterima daripada elaun sultan disalurkan baginda ke tabung bantuan sejak tahun 1899 yang dilakukan Kesultanan Johor.

    “Ini dilakukan sejak dari pemerintah kedua, Almarhum Sultan Sir Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar pada 1899, telah mendermakan semua elaun peruntukan kerajaan negeri kepada tabung untuk mereka yang memerlukan,” kata Tunku Mahkota Johor.

    Menurut Tunku Ismail, satu kenyataan ada dimuat naik Royal Press Office (RPO) dalam Facebook Sultan Ibrahim sebelum ini menyatakan bahawa amalan itu diteruskan hingga zaman Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail apabila semua elaun disalurkan ke Yayasan Sultan Iskandar.

    “Ia juga menyatakan bahawa ketika Almarhum Sultan Iskandar menjadi Yang Di-Pertuan Agong kelapan dari 1984-1989, elaun yang diterima baginda dari kerajaan Persekutuan juga telah disalurkan kepada yayasan tersebut.

    “Yayasan Sultan Iskandar bukan hanya membantu mereka yang susah, tetapi juga memberikan bantuan ketika bencana alam dan juga memberikan dana untuk pendidikan,” kata Tunku Ismail.

    Tunku Mahkota Johor berkata, peruntukan untuk yayasan Yayasan Sultan Ibrahim pula adalah hasil derma daripada elaun yang diterima Sultan Ibrahim.

  • Polis tahan lelaki ceroboh, rosakkan gereja

    Polis tahan lelaki ceroboh, rosakkan gereja

    SEORANG lelaki dipercayai kurang siuman ditahan pihak polis selepas memecah masuk sebuah gereja St Francis Xavier di Keningau pada pukul 7.30 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Polis Nor Rafidah Kasim berkata,
    lelaki terbabit turut merosakkan beberapa barangan serta peralatan sembahyang.

    “Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek yang berusia 34 tahun itu negatif penyalahgunaan dadah.

    “Suspek dan barang rampasan sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” kata beliau dalam kenyataan media, lapor Astro Awani hari ini.

    Menurut Nor Rafidah, siasatan awal juga turut mendapati pintu pagar gereja tidak berkunci dan kamera litar tertutup (CCTV) juga tidak berfungsi sewaktu kejadian.

  • Jemput Haqiem Stopa beri ceramah, sekolah menengah disiasat

    Jemput Haqiem Stopa beri ceramah, sekolah menengah disiasat

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyiasat tindakan sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur memanggil pempengaruh media sosial, Haqiem Stopa untuk memberikan ceramah dalam satu program yang dianjurkan.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, beliau tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana perlu meneliti dari segi konteks mengapa Haqiem dipanggil.

    “Saya dapat maklumat berkaitan ini semalam. Jadi masih melihat apakah konteks jemputan tersebut.

    “Saya belum menerima maklumat mendalam berkaitan perkara ini. Bagi saya lihat dulu, dan pihak KPM akan siasat,” katanya, mengikut lapor FMT hari ini.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media Anugerah Penggunaan Digital dan Teknologi di Bukit Kiara hari ini.

    Selasa lalu, tular di laman media sosial video memaparkan kehadiran Haqiem Stopa ke sebuah sekolah menengah di Kuala Lumpur untuk berkongsi kisah hidupnya bersama pelajar.

    Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan tindakan pengurusan sekolah menjemput individu yang lebih dikenali masyarakat dengan personaliti ‘mat rempit’.

    Dalam perkembangan lain, Radzi turut mengulas isu tular di media sosial mengenai dakwaan kertas peperiksaan 15 pelajar Sekolah Sultan Alam Shah dibatalkan kerana kesalahan membawa telefon bimbit secara tidak sengaja ke dewan peperiksaan.

    Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Lembaga Peperiksaan untuk membuat keputusan sekiranya mereka mengikut protokol ditetapkan.

    “Ini berkaitan keputusan Lembaga Peperiksaan. Lembaga Peperiksaan satu badan bebas, maknanya saya sendiri menghormati protokol Lembaga Peperiksaan berkenaan mengenai perkara dilaksanakan.

    “Sekiranya perkara dilaksanakan memenuhi protokol ditetapkan, maka (KPM) menghormati keputusan dibuat Lembaga Peperiksaan,” katanya.

  • Kastam rampas 3,370kg daun ketum dalam lori dua tan

    Kastam rampas 3,370kg daun ketum dalam lori dua tan

    SEBANYAK 3,370 kilogram daun ketum bernilai RM33,700 dirampas dari sebuah lori dua tan di Lebuh Raya Timur-Barat, Kampung Batu Melintang, Jeli itu dipercayai dari Perak menuju ke Rantau Panjang semalam.

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia Kelantan sebelum itu mengekori lori berkenaan sejauh 50 kilometer sebelum menahan pada pukul 4.30 pagi.

    Pengarah Kastam negeri, Mohd Nasir Deraman berkata, pemeriksaan di dalam lori mendapati jeriji yang diubah suai dipasang bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa.

    “Siasatan lanjut mendapati sebanyak 337 bungkus daun ketum memenuhi lori dua tan itu,” katanya kepada pemberita di Jabatan Kastam Padang Bongor, Kota Bharu, hari ini, lapor Sinar Harian.

    Hadir sama, Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Aladi Riping dan Timbalan Pengarah Kastam Negeri (Perkastaman dan CDN), Koh Joo Kai.

    Mohd. Nasir memberitahu, pegawai kastam turut menahan seorang pemandu lori berusia lingkungan 40-an bagi membantu siasatan.

    Katanya, modus operandi yang digunakan ialah mengangkut daun ketum dari negeri di utara itu sebelum diedar kepada pelanggan tempatan.

    Tambahnya, Kastam Kelantan turut melaksanakan dua serbuan di Machang dan Pengkalan Chepa masing-masing pada 15 Mei dan 1 Jun lalu.