Author: Admin

  • Pemangku Raja Johor cadang MB Johor pakai selipar selepas ini

    Pemangku Raja Johor cadang MB Johor pakai selipar selepas ini

    PEMANGKU Raja Johor, Tunku Ismail Ibrahim hairan kerana isu kasut Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan media bukan bahasa Melayu, kelmarin.

    Tunku Ismail menerusi akaun Twitter turut menyindir laporan berkenaan dengan mencadangkan Onn Hafiz memakai selipar selepas ini.

    “Benda macam ni pun jadi isu? Dato saya cadangkan lepas ni Dato pakai selipar sahaja.

    “Baru semalam saya terfikir nak hadiahkan jam tangan pada Dato dan beberapa pegawai kerajaan.

    “Dato, nasihat saya jalankan tugas untuk negeri Johor. Jangan melayan sangat apa orang nak cakap. Yang penting buat kerja,” titah Tunku Ismail dalam ciapan menerusi akaun Twitter malam tadi.

    Semalam, Onn Hafiz menafikan membeli kasut berharga puluhan ribu ringgit.

    Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, kasut itu adalah kurniaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

    “Fitnah dan tohmahan perlu dihentikan. Untuk rekod, ini adalah kurniaan Kebawah Duli Tuanku Sultan.

    “Ini bukan perkara baharu malah Kebawah Duli Tuanku ada juga memberi kurniaan kepada barisan Exco kerajaan yang lepas dan kepada pegawai kerajaan negeri sebagai motivasi sentiasa bekerja keras untuk rakyat,” katanya.

    Terdahulu, beberapa akhbar berbahasa Cina melaporkan isu kasut itu yang dipetik daripada akaun media sosial milik seorang individu mendakwa Onn Hafiz membeli kasut berharga ribuan ringgit sehingga mendapat pelbagai reaksi daripada netizen.

  • MRA lancar projek Qurban Terbaik di Afghanistan

    MRA lancar projek Qurban Terbaik di Afghanistan

    WALAUPUN seluruh dunia masih lagi dibelenggu dengan pandemik Covid-19, namun Malaysian Relief Agency (MRA) terus memainkan peranan dalam menyemarakkan semangat kebersamaan dan kasih dengan melancarkan projek Qurban Terbaik di Afghanistan.

    Projek berkenaan tertumpu di Afghanistan bagi membantu golongan asnaf dan fakir miskin di negara berkenaan.

    MRA menerusi satu kenyataan, Satu Berita melaporkan, projek korban itu menyasarkan jumlah korban sebanyak 118 ekor lembu yang akan membantu 7080 buah keluarga di 33 buah negeri dan 12 daerah.

    Antara negeri yang terlibat di dalam projek berkenaan adalah ibu negara Afghanistan, Kabol, Samangan, Konduz, Takhar, Badakhshan, Konarha, Laghman, Kapisa, Khowst, Wardak, Nangarhar dan Helmand.

    Dalam pada itu, bagi misi kemanusiaan ke luar negara tahun ini, MRA telah menghantar tiga orang wakil MRA ke Afghanistan bagi menyempurnakan projek Qurban Terbaik.

  • Amuk dengan parang, bakar pondok akibat marahkan isteri

    Amuk dengan parang, bakar pondok akibat marahkan isteri

    SEORANG lelaki yang mengalami masalah rumah tangga bertindak membakar sebuah pondok di belakang kedai makan milik mereka di Taman Seri Astana, Sungai Petani, pukul 10.20 pagi semalam.

    Lelaki berusia 54 tahun terbabit berang kerana isterinya keluar rumah selepas berlaku perselisihan faham.

    Difahamkan, lelaki itu yang tidak berpuas hati mengamuk dan pergi ke belakang kedai sebelum membakar pondok yang menjadi tempat orang ramai berehat di situ selain turut memecahkan cermin belakang kenderaan milik seorang lelaki.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati suspek mempunyai masalah rumah tangga dengan isteri sebelum wanita terbabit keluar rumah.

    “Suspek mencari isterinya di kawasan rumah mereka namun wanita berkenaan gagal ditemukan dan dia yang berang membawa parang sebelum membakar pondok belakang kedai makan, selain turut memecahkan cermin kenderaan milik seorang lelaki.

    “Melihatkan keadaan yang tidak terkawal, orang awam kemudian menghubungi polis memaklumkan kejadian terbabit sebelum suspek berjaya ditahan di rumahnya,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

    Katanya, hasil pemeriksaan mendapati suspek memiliki 12 rekod lampau, masing-masing lapan bersabit kes jenayah dan selebihnya dadah.

    “Suspek tidak bekerja dan kita akan melakukan ujian saringan air kencing terhadapnya. selain turut menyiasat motif dia mengamuk dengan membakar dan merosakkan cermin kenderaan penduduk.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 435, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya.

  • Reman duda tikam ibu kandung dilanjutkan

    Reman duda tikam ibu kandung dilanjutkan

    TEMPOH tahanan reman terhadap seorang duda yang disyaki menikam ibu kandungnya sehingga maut dalam kejadian di Kampung Paya Luboh, Tangga Batu, Ayer Keroh minggu lalu dilanjutkan seminggu lagi.

    Majistret Mahkamah Ayer Keroh, Mazana Sinin membenarkan tempoh reman sehingga 19 Julai ini terhadap suspek berusia 38 tahun itu.

    Suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga kelihatan tenang ketika dibawa ke pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh.

    Dalam kejadian pukul 3 petang 5 Julai lalu, mangsa Rozizah Md. Dom,63, disahkan maut di kediamannya selepas ditikam dua kali di bahagian kiri dan kanan leher oleh suspek yang juga anak sulung daripada lima beradik.

    Mangsa yang juga seorang pesara guru juga dikatakan baharu kehilangan suami bulan lalu.

    Suspek yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan rekod rawatan psikiatri melakukan tikaman berkenaan dengan menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 26 sentimeter (cm).

    Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, suspek mendakwa bertindak demikian selepas terdengar bisikan kononnya ibunya menyembah berhala.

    Suspek dikatakan berada dibawah pengaruh dadah selepas ujian saringan air kecing terhadapnya mendapati positif syabu.

    Lanjutan tahanan reman itu bagi membolehkan siasatan lebih terperinci dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • Dua maut tercampak keluar selepas kereta berpusing

    Dua maut tercampak keluar selepas kereta berpusing

    DUA maut termasuk seorang gadis remaja selepas kereta dinaiki hilang kawalan dan terbabas berhampiran Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian tersebut pada pukul 12.23 tengah malam.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Khairi Zainuddin berkata, lapan anggota bomba diketuai Pegawai Bomba Kanan II Ishak Noh dengan sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Setiba di lokasi, anggota bomba mendapati kedua-dua mangsa iaitu Lee Kah Lok, 19, dan Ng Kui Yang, 15, tercampak keluar dari kereta jenis Honda Civic EJ.

    “Remaja perempuan itu ditemukan bersebelahan kereta manakala mangsa lelaki yang merupakan pemandu didapati tersepit di bawah kenderaan.

    “Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari laluan arah Gelang Patah ke Skudai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Astro Awani.

    Katanya, kereta berkenaan dipercayai berpusing dan masuk ke laluan bertentangan namun kemalangan tersebut tidak membabitkan kenderaan lain.

    Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan yang hadir di lokasi.

    Tambahnya, mangsa diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut dan operasi tamat pada pukul 1.37 pagi Selasa.

  • Satu maut, tiga cedera dalam kemalangan di Felda Keratong 2

    Satu maut, tiga cedera dalam kemalangan di Felda Keratong 2

    SEORANG wanita maut manakala tiga lagi cedera dalam satu nahas membabitkan sebuah kereta dan lori treler di Simpang Keratong 2, dekat Pekarangan Felda Keratong 2, Rompin, semalam.

    Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 6.05 petang.

    “Seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai bergegas ke lokasi kejadian. Dipercayai kedua-dua kenderaan bertembung di lokasi kejadian, dan kesemuanya mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam.

    “Dalam kejadian itu, seorang wanita maut di lokasi kejadian, tiga orang lelaki dalam kereta yang sama cedera sementara pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.

    “Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

  • Mayat wanita tersangkut pada sangkar ikan

    Mayat wanita tersangkut pada sangkar ikan

    SATU mayat seorang wanita berbangsa India ditemui tersangkut pada sangkar ikan di Sungai Semantan, Kampung Raja Songsang berhampiran Gobang Maju, Temerloh, semalam.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat terbabit pada pukul 8.01 malam.

    Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Syed Moshen T. Ismail, seramai enam anggota dari BBP Temerloh bergegas ke lokasi kejadian dengan menaiki sebuah jentera dan ambulan EMRS.

    “Sampai di lokasi, pihak bomba mendapati terdapat mayat wanita tersangkut di sangkar ikan milik penduduk kampung.

    “Anggota bomba kemudiannya bertindak menarik mayat itu dengan menggunakan tali sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Astro Awani.

  • Keputusan PKR 2022:JPP sedia beri penjelasan kepada Hans Isaac

    Keputusan PKR 2022:JPP sedia beri penjelasan kepada Hans Isaac

    PENGERUSI Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Zaliha Mustafa sedia memberi penjelasan berhubung keputusan pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini kepada pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Hans Isaac.

    “Kita tidak ada masalah untuk memberi jawapan dalam masa seminggu memandangkan kongres melibatkan PKR akan tamat tidak lama lagi.

    “Insya-Allah seminggu sempat. Sebab kita pun akan habis kongres nasional PKR hujung minggu ini. Jadi selepas itu kita boleh fokus beri tumpuan pada surat (tuntutan penjelasan) Hans Isaac,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Zaliha berkata, beliau masih belum tahu lagi kandungan persoalan yang dinyatakan dalam surat tuntutan penjelasan tersebut.

    Bagaimanapun menurutnya, JPP akan sedaya-upaya memastikan supaya mereka dapat memberi penjelasaan secepat mungkin.

    “Biasanya kita akan tengok dulu apa penjelasan yang diminta oleh surat itu, tetapi seeloknya kita akan beri penjelasan itu cepat.

    “Sekarang ini, kita pun sibuk dengan persediaan kongres. Jadi, kalau kita dapat surat itu awal, kita boleh balas awal,” ujarnya.

  • Jangan hina agama sendiri- Ahmad Faizal

    Jangan hina agama sendiri- Ahmad Faizal

    GOLONGAN muda perlu berfikir buruk dan baik sebelum melakukan sesuatu, kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

    Katanya, mereka perlu menggunakan akal fikiran yang waras termasuk perlu menjauhi sifat-sifat negatif dan sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri.

    Beliau berpendapat, tindakan seorang wanita yang ‘membuka baju’ di khalayak ramai baru-baru ini bukanlah sifat manusia yang baik.

    “Manusia ini kita mesti ada rasa malu, kalau dah tak ada rasa malu ini, kita dah letakkan diri kita setaraf dengan mahluk-mahluk yang Allah ciptakan yang tidak mempunyai akal. Jadi ini perkara yang perlu kita jauhi.

    “Saya harap anak kita yang telah lakukan perkara itu bertaubat, jangan hina agama sendiri, jangan jolok pula perasaan dan hati rakan lain yang beragama Islam dan kembali lah ke pangkal jalan,” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

    Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis Kenduri Rakyat Aidiladha Perikatan Nasional (PN) Perak di Manjoi hari ini.

    Kata Ahmad Faizal lagi, golongan belia juga perlu mengambil iktibar daripada kejadian itu dan cuba membaiki diri sendiri.

    Pada Sabtu, tular video berdurasi 50 saat memaparkan seorang wanita yang menyatakan telah menghafal 15 juzuk Al-Quran namun secara tiba-tiba membuka pakaiannya satu demi satu sehingga mencolok mata.

    Laporan media tempatan menyatakan kejadian dipercayai berlaku di sebuah kelab berunsurkan komedi di sekitar Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

    Ekoran daripada itu, polis telah membuka kertas siasatan dan wanita berkenaan direman tiga hari untuk membantu siasatan.

    Dalam masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan untuk menggantung segera operasi kelab tersebut.

  • KPDNHEP serbu premis sorok diesel bersubsidi, rampasan RM170,346

    KPDNHEP serbu premis sorok diesel bersubsidi, rampasan RM170,346

    KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membongkar kegiatan haram sebuah premis di Taman Bayu Tinggi di Klang, Selangor, yang menyorok minyak diesel bersubsidi selepas lokasi itu diserbu pihak berkuasa Rabu lalu.

    Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, serbuan itu dilakukan pihaknya susulan risikan dilakukan anggota Sesyen Risikan KPDNHEP Putrajaya.

    “Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati tiada pekerja ditemui dalam premis itu. Pemeriksaan lanjut menemui sejumlah minyak diesel, lori, beberapa tangki kosong, tangki berisi diesel dan beberapa peralatan lain digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak berkenaan.

    “Kami menyita diesel dan pelbagai peralatan ditemui di dalam premis dianggarkan bernilai RM170,346 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Pihaknya sedang mengenal pasti individu atau syarikat yang terbabit dalam aktiviti itu serta rantaian pengedaran minyak diesel berkenaan termasuk dari mana ia diperolehi dan diedarkan.

    “Selain itu, syarikat terbabit juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya.