Zahid Hamidi kata pengundi Melayu akan kembali undi UMNO dalam PRN nanti.
Tak apa… mimpi itu percuma.
Oleh MOHD LAZIM ENDUT
ISU agihan kerusi untuk ditandingi calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Terengganu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan Jun ini terus hangat diperbualkan.
Walaupun kedua-dua pemimpin utama parti tersebut mengeluarkan kenyataan bagi meredakan keadaan, namun ia gagal ‘menterjemahkan’ realiti sebenar apa yang sedang berlaku. Malah, permintaan awal PH yang menuntut sebanyak 12 kerusi bagi ditandingi oleh calon mewakili parti Amanah dan PKR bukan sahaja tidak disenangi oleh pemimpin BN, tetapi juga dalam kalangan jentera di peringkat akar umbi.
Ini kerana, orang UMNO berpendapat PH bukan sahaja tidak memiliki jentera yang kuat, sebaliknya jumlah pengundi ‘sekutu’ baharunya itu juga tidak sampai 1,000 orang bagi setiap DUN. Berdasarkan pelbagai isu sekarang, mereka percaya Pengerusi PH Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad juga akan ditolak pengundi sekiranya beliau diletakkan sebagai calon di mana-mana kerusi DUN di negeri ini.
Seorang ketua cawangan UMNO di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pernah memberitahu bahawa jenteranya akan lumpuh sekiranya calon yang ditampilkan adalah mewakili PH, sekaligus seakan-akan mengesahkan kedua-dua parti tersebut sedang berhadapan dengan masalah calon dan protes agihan kerusi.
Manakala seorang pemimpin UMNO peringkat Bahagian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri minggu lalu berkata, sekiranya PH diberikan 12 kerusi, sudah tentu kesemua calon terbabit akan balik awal.
“12 kerusi itu terlalu banyak bagi PH kalau diukur berdasarkan kemampuan dan penerimaan parti di Terengganu, cukuplah diberikan enam kerusi sahaja, itu sudah memadai,” ujar pemimpin berkenaan.
Sambil menyifatkan permintan itu tidak sepadan dengan kemampuan dan kekuatan PH di Terengganu, pemimpin UMNO berkenaan mengatakan bahawa setakat ini masih belum ada kata putus mengenai agihan kerusi antara BN dan PH Terengganu.
Seperti mana diketahui umum, parti yang diterima rakyat dan pengundi di Terengganu adalah UMNO dan Pas sahaja, lain-lain parti tidak diletakkan sebagai pilihan.
Malah, Pas juga pernah tewas ketika bergabung bersama kedua-dua parti tersebut dalam Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said ketika bercakap kepada pemberita pada Majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun minggu lalu menafikan dakwaan parti itu akan memprotes calon PH yang akan bertanding dalam PRN) nanti.
Ahmad menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, sebaliknya mengatakan semua jentera parti di Terengganu akan memberi sokongan dan bekerjasama dengan PH di semua peringkat.
Beliau mengulas dakwaan kononnya terdapat jentera UMNO Terengganu dikatakan akan memprotes dan tidak mahu menerima calon PH.
Beliau sebaliknya memberitahu, perbincangan mengenai agihan kerusi sudah diadakan, namun keputusan belum dibuat.
Manakala Raja Kamarul Bahrin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu lalu pula yakin isu agihan kerusi antara BN-PH dapat diselesaikan secara baik.
Beliau berkata, setakat ini perbincangan yang diadakan sejak dua tahun lalu masih berjalan dan percaya sikap tolak ansur melalui budaya musyawarah dan kesabaran adalah jalan terbaik untuk mencapai kerjasamaa antara PH dan BN.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak dapat bersabar dan menghadapi dugaan dengan tenang supaya kebaikan bersama dapat dicapai demi kebaikan umum keseluruhan rakyat Terengganu.
Sebelum ini, PH Terengganu dikatakan bakal bertanding di 12 kerusi DUN dalam PRN nanti di mana kesemua kerusi tersebut adalah kawasan yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Antara kerusi tersebut ialah Chukai, Kemasik, Sura, Rantau Abang, Rhu Rendang, Alor Limbat,Bandar, Batu Burok, Manir, Buluh Gading, Kota Putera dan Jabi.
Oleh BADLISHAH MAT
DAKWAAN sesetengah pihak kononnya hampir sejuta rakyat Kedah terjejas dengan bekalan air ketika musim perayaan baru-baru ini memberi gambaran keterlaluan terhadap situasi semasa perkhidmatan tersebut di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan laporan tersebut merupakan penipuan semata-mata dan pihak yang terlibat seharusnya insaf dengan perbuatan tersebut.
Jelas beliau, taklimat yang diberikan oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) kepadanya memaklumkan cuma 7,222 akaun pengguna sahaja yang terjejas pada musim perayaan berkenaan berbanding keseluruhan 645,041 akaun yang terdapat dalam rekod syarikat itu.
“Katakan setiap akaun terjejas itu melibatkan sebuah keluarga terdiri daripada lima individu. Maka 7,000 didarabkan dengan lima baru 35,000 pengguna. Kalau setiap keluarga yang terjejas itu terdiri daripada 10 orang pula, jumlah keseluruhan bagi 7,000 akaun terjejas hanya 70,000 pengguna.
“Jadi ‘mai’ mana yang kata sampai sejuta orang terjejas? Mereka yang buat dakwaan itu sila bertaubat kerana memberi gambaran salah kepada situasi di negeri Kedah,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menafikan dakwaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam isu pembinaan lima loji rawatan air (LRA) yang dikatakan berjalan lembab serta tidak mencapai tahap kemajuan ditetapkan.
“Contohnya untuk LRA Pelubang yang dilaksanakan anak syarikat kerajaan negeri, Bina Darulaman Berhad (BDB), kalau ikut jadual kontrak kena capai 12.41 peratus tahap siap pada 30 April lalu. Tetapi kemajuan sebenar yang dicapai adalah 13.43 iaitu 1.02 peratus melebihi kadar ditetapkan.
“Begitu juga LRA lain yang semuanya di landasan tepat, kecuali LRA Sungai Limau cuma lewat 0.41 peratus berbanding jadual asal. Sepatutnya cecah 11.39 peratus pada tarikh sama tetapi yang dicapai cuma 10.98 dan kita ambil tindakan dengan memanggil kontraktor untuk segerakan apa yang patut,” katanya.
Menjawab kritikan kononnya beliau asyik menyalahkan pihak lain berhubung isu tersebut, kata Muhammad Sanusi, beliau tiada pilihan selain menyalahkan PH kerana gabungan tersebut yang menangguhkan pembinaan lima LRA tersebut pada 2018 kononnya bagi melakukan kajian semula terhadap kelulusan terdahulu.
“Mereka tangguhkan hampir dua tahun bagi membolehkan konsultan membuat kajian baharu tetapi pada akhirnya hasil kajian menunjukkan jumlah perbelanjaan sama seperti sebelumnya dan tender pembinaan lima LRA itu hanya dikeluarkan pada 2020.
“Kalaulah penangguhan itu tidak dibuat, lima LRA itu sudah siap. Mereka kata Sanusi asyik salahkan orang lain dan kerajaan terdahulu tetapi kalau mereka betul-betul bersalah, tak bolehlah kita kata mereka tak salah,” katanya.
ANWAR Ibrahim sudah menyatakan keyakinan beliau bahawa Kerajaan Perpaduan akan bertahan sehingga habis penggal.
Timbalan beliau, Zahid Hamidi yang membawa BN-UMNO ‘menumpang kuasa’ dalam kerajaan beri jaminan bahawa kesemua ahli Parlimen BN menyokong Anwar dan tidak akan letak jawatan.
Paling kritikal dan paling penting ialah DAP parti yang diibaratkan ‘memegang nyawa’ Kerajaan Perpaduan melalui Setiausaha Agungnya, Anthony Loke menegaskan, kerajaan itu semakin kukuh dan stabil.
Beliau juga menegaskan, sebarang usaha cuba menjatuhkan kerajaan itu hanya akan memperkuatkan semangat dan iltizam parti-parti di bawahnya.
Jadi pihak kerajaan tidak perlulah kelam kabut sangat sampai hampir kesemua pemimpin kanan parti dalam kerajaan bercakap perkara itu. Ia tak termasuk ahli politik pencen yang minta Muhyiddin Yassin dan Abdul Hadi Awang isytihar mereka tidak akan jatuhkan kerajaan.
Sepatutnya bila Anwar dah yakin, Zahid ‘buat-buat’ yakin dan Anthony beri keyakinan, isu mahu jatuhkan kerajaan tidak perlu diperbahaskan lagi. Tambahan pula, Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin sudah menjelaskan, beliau …’’tidak pernah bermimpi setiap minggu..yang hang mengigau kenapa.’’
Hamzah menjawab tuduhan Anwar bahawa beliau ‘mengigau’ nak tukar kerajaan. Anwar juga cabar mana-mana pihak kalau ada cukup sokongan buktikan di Parlimen.
Mungkin maksudnya, mesti memenuhi kriteria ‘’KUKUH DAN MENYAKINKAN’ untuk tubuh kerajaan baharu. Dan paling penting individu berkenaan mempunyai ‘keyakinan luar biasa’ untuk mengumumkan pada sidang akhbar yang disiarkan ke seluruh negara dan mendapat liputan media antarabangsa bahawa:
‘’Dengan sokongan dan majoriti kukuh serta meyakinkan ini, bermakna kerajaan (sebut nama PM) jatuh,.’’ Situasi ini berlaku pada September 2008 dan September 2020.
Siapa terlibat? Bagaimana berlaku? dan Apa kesudahannya selepas itu… biarlah ia menjadi sejarah, walaupun ada orang kata, ‘’La ni setakat mengigau tak apa…dulu ada orang ibarat dah ‘jalan dalam tidoq’ pi Istana nak cakap ada cukup sokongan’’.
Apapun semua itu coretan kekalutan politik negara. Apa yang penting sekarang Anwar tidak perlu risau sangat, hinggakan pergi ke mana sahaja asyik membangkitkan perkara yang sama. Kalau Anwar sudah yakin dengan sokongan yang ada, beliau patut bertenang, jangan kelam kabut. Sebab situasi sekarang tak sama macam Anwar jadi Ketua Pembangkang dulu.
Anwar sekarang Perdana Menteri (PM) bukan Pembangkang Malaysia (PM). Bila berhujah kena berhati-hati,mahu menegur biarlah berhemah. Tak boleh bawa sindrom ‘Hari ini kita menang, esok minyak turun’ ketika menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.
Sebagai Perdana Menteri, Anwar patut tumpu pulihkan ekonomi negara dan masalah rakyat. Penyelesaian masalah ekonomi negara sekarang lebih kepada ‘kita akan kaji’ dan ‘formula’ oleh pak Menteri. Rakyat tidak nampak apa-apa signifikan yang dilakukan oleh kerajaan dalam membantu mereka.
Yang kita dengar ialah OPR naik itu urusan Bank Negara Malaysia (BNM), telur tak ada sebab ayam tak bertelur, KWSP tak boleh keluar sebab itu simpanan hari tua tapi buat cagaran pinjam bank boleh. Harga barangan makanan mahal jangan risau ‘Rahmah kan ada’.
Sebab itulah rakyat mentafsirkan, kerajaan hari ini ‘cakap lain buat lain’ dan lebih banyak mencari kesalahan kerajaan terdahulu. Tidak cukup dengan itu di mana-mana sahaja Anwar berucap beliau akan bercakap soal penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa dan kini isu nak jatuhkan kerajaan.
Bukan tak boleh cakap soal rasuah atau nak jatuhkan kerajaan tetapi biarlah berpada-pada.Sebab dah muak setiap hari di mana saja cakap isu sama sedangkan masalah berlambak-lambak tak diselesaikan lagi.
Anwar sepatutnya tidak resah sangat soal jatuhkan kerajaan sebab beliau boleh mendapatkan maklumat sahih berhubung perkara itu daripada pihak berkuasa. Lagipun Anwar kan bersedia bertarung di Parlimen.
Oleh itu tidak perlu nampak macam ‘kat luar nampak tenang tapi kat dalam dah nak tsunami’. Anwar perlu yakin Zahid akan pastikan ahli Parlimen BN bersama beliau. Tak kanla Zahid nak buat seperti mana dulu, UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin atau desak bubar Parlimen seperti mana dialami Ismail Sabri.
DAP lagi lah setia kepada Anwar dan kerajaan sebab mereka ‘sama-sama susah dan senang’, dulu jadi kerajaan 22 bulan, sekarang tak kan mereka nak ia berulang kembali?
Lagipun apa yang dialami oleh Anwar dan kerajaan hari ini anggap sahaja ‘hukum karma’, dulu masa pembangkang beria-ia buat ‘gempaq’ ada nombor sampai politik negara tak stabil walaupun ketika pandemik Covid-19. Sekarang pandai pula pemimpin kerajaan khususnya UMNO memekak soal jangan jatuhkan kerajaan demi kestabilan politik dan bimbang pelabur asing tak datang.
Kesimpulannya, penulis tidak pasti sama ada benar akan berlaku pertukaran kerajaan. Cuma bila dengar-dengar orang sembang ‘naik juga bulu roma’ mungkin sebab itu Anwar resah.
Tetapi rasanya Anwar tak perlu ‘panik’ cuma Anwar perlu bertanya Zahid sejauh manakah ‘anak muridnya’ itu ‘ada pengaruh’ ke atas kesemua ahli Parlimen BN, contohnya dalam 15 orang ke?..Contoh saja….janganlah panik.
PADA Julai tahun lalu, Tok Chey sudah menyuarakan kebimbangan rakyat mengenai kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang disifatkan akan menambahkan beban banyak golongan yang sudah sedia terkesan dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup.
Pada masa sama, pihak kerajaan dan Bank Negara Malaysia turut dicadangkan supaya mencari kaedah lain selain menaikkan OPR kerana dasar sedia ada itu dilihat bukan langkah terbaik menyuntik ekonomi kerana ia memberi kesan kepada golongan yang memiliki pinjaman dengan bank.
Namun, apa yang dibimbangkan rakyat itu telah menjadi realiti apabila kadar OPR telah dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3 peratus dan serentak dengan itu harga barang masih tinggi, upah yang tidak berubah menyebabkan nilai ringgit di tangan rakyat makin menguncup.
Tindakan menaikkan OPR itu yang dilihat hanya menguntungkan bank ternyata tidak disenangi rakyat kerana kerajaan yang memerintah ketika ini juga ketika menjadi pembangkang secara terbuka tidak bersetuju dengan langkah kerajaan menaikkan OPR.
Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang pada tahun lalu pernah membidas kerajaan Ismail Sabri Yaakob yang mana BNM pada waktu itu menaikkan OPR kepada 2.25 peratus.
Ketika OPR dinaikkan kepada 2.25 peratus, Anwar telah meminta kerajaan Ismail Sabri supaya berjaga-jaga dengan risiko kes bankrap dan menjangka keperluan rakyat yang bergelut serta tidak menjadi penyelamat kepada konglomerat gagal.
Maka, timbul persoalan apa sudah jadi dengan pendirian Anwar yang mana pada ketika ini OPR sudah menjadi 3 peratus iaitu lebih tinggi dari 2.25 peratus?
Di mana kebimbangan Anwar mengenai jumlah kes bankrap seperti mana yang didedahkan oleh NGO apabila lebih 46,000 individu diisytihar bankrap sejak pandemik bermula selepas gagal melunaskan bayaran pinjaman.
Oleh itu, tidak hairanlah apabila pemimpin senior dalam PKR sendiri iaitu Hasan Karim telah meminta Anwar yang juga Menteri Kewangan dan Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi untuk memberi jawapan kepada rakyat kenaikan OPR sehingga 3 peratus.
Bagi Tok Chey sendiri, penjelasan itu penting kerana pertamanya seperti yang Tok Chey katakan, Anwar bimbang sewaktu OPR 2.25 peratus tetapi tidak pula menunjukkan kebimbangan apabila OPR sudah naik hingga 3 peratus.
Keduanya, Anwar dan Rafizi perlu memberikan pencerahan kerana Fahmi Fadzil selaku menteri komunikasi pernah melabelkan berita jangkaan kenaikan OPR sebagai fitnah dan cubaan memburukkan kerajaan.
Sehingga kini, rakyat masih ternanti-nanti jawapan lengkap daripada kedua-dua pemimpin utama PKR itu yang sewaktu menjadi pembangkang dicanang-canang seperti pandai menguruskan ekonomi tetapi sehingga kini belum nampak satu formula pun mempunyai petanda untuk memberi sinar kepada rakyat.
Tok Chey bukan nak buat tuduhan melulu tetapi amat ketara kerajaan ketika ini tiada hala tuju jelas dari segi pelaksanaannya untuk meningkat ekonomi negara.
Yang kerap diuar-uarkan hanya retorik politik kononnya untuk memulihkan ekonomi tetapi ia sekadar ucapan kosong tanpa diselitkan bersama satu usaha komprehensif bagaimana untuk membawa Malaysia bangkit daripada badai pandemik.
Apa yang Tok Chey boleh katakan, jika pimpinan kerajaan ketika ini tidak mampu untuk mentadbir negara maka mengaku sajalah dan berikanlah peluang kepada pemimpin lain yang layak.
Akuilah bahawa tugas untuk mentadbir negara bukan semudah yang disangka dan amat berbeza sekali ketika berada di kerusi pembangkang yang bebas bercakap tanpa fakta yang rasional.
Tidak rugi mengakui kelemahan daripada berterusan memegang kuasa dengan kelemahan yang makin hari makin jelas kelihatan.
*Tok Chey adalah Penganalisis politik dan ekonomi. Berpengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan.
Oleh RIZQI ZABIDI
DUA terbunuh manakala searing kanak-kanak perempuan cedera apabila dua motosikal bertembung di Jalan Sungai Dedap, Kampung Pisang, Yan, Kedah, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.15 malam melibatkan motosikal jenis Honda EX5 dan Yamaha 15ZR.
Menurutnya, kejadian itu dipercayai berlaku ketika Mohd. Khatib Sharbini Tajuddin, 41, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5, dalam perjalanan dari Sungai Limau menghala ke Kampung Bahagia.
“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang Mohd. Khatib bertembung secara berdepan dengan motosikal Yamaha 15ZR dinaiki Nur Aina Ellysya Abdul Hadi, 13, bersama adiknya, Nur Aina Syafiqa Abdul Hadi, 11, secara berdepan.
“Kejadian itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang Nur Aina Ellysya dan dibonceng adiknya itu secara tiba-tiba masuk ke laluan bertentangan,” katanya.
Tambah beliau, ketiga-tiga mereka yang terlibat dalam kemalangan itu dipercayai tidak memakai topi keledar.
“Akibat kemalangan itu, Mohd. Khatib dan Nur Aina Ellysya meninggal dunia di lokasi kejadian manakala Nur Aina Syafiqa pula mengalami kecederaan.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Yan untuk dibedah siasat manakala kanak-kanak perempuan yang cedera itu pula turut dibawa ke hospital sama bagi mendapatkan rawatan.
Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Setakat ini siasatan masih berjalan dan kami akan berusaha mengesan saksi bebas yang menyaksikan kemalangan itu,” katanya.
Oleh BADLISHAH MAT
NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menafikan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang ketika ini membentuk kerajaan Madani.
Beliau berkata, pendirian bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berhubung perbezaan pandangan antara UMNO dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mewakili DAP.
Ini kerana kata Pengerusi PH Kedah itu, Kian Ming kini bukan lagi pemimpin DAP.
“Jadi dakwaan bahawa DAP adalah abang besar dalam PH-BN tidak benar. Isu berkenaan sudah pun dinafikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Amanah Kedah, hari ini.
Tambah beliau, tidak berlaku juga kecelaruan antara kedua-dua gabungan tersebut seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Malah, Mahfuz turut menyifatkan isu berkenaan sudah selesai setelah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemimpin UMNO.
“Saya cuma ingin menyatakan bahawa saling memohon kemaafan dan memaafkan satu sama lain adalah satu tindakan yang mulia. Walaupun kita tidak melakukan sebarang kesalahan. Jadi, apabila Timbalan Presiden Amanah memohon maaf kepada (Presiden UMNO), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya anggap perkara ini selesai, “ katanya.
Semalam, Muhammad Sanusi menyifatkan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam PH dan BN apabila pemimpinnya tidak diasak untuk memohon ampun kepada UMNO ekoran pandangannya dalam isu pengampunan Najib.
Perkara itu berbeza dengan Amanah yang terus memohon maaf kepada UMNO setelah Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad tidak bersetuju dengan isu pengampunan diraja terhadap Najib yang dipohon UMNO.
Dalam perkembangan lain, Mahfuz meminta Muhammad Sanusi segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan difailkan ke atasnya ekoran tempoh 14 hari untuk berbuat demikian sudah berakhir.
Oleh MOHD LAZIM ENDUT
AS bersama gandingan Bersatu dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN) dijangka menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Terengganu yang bakal diadakan pada Jun atau Julai ini.
Manakala Barisan Nasional (BN) bersama ‘pasangan’ baharunya, Pakatan Harapan (PH) pula mengharapkan masih ada peluang untuk menawan negeri itu daripada Pas.
Dalam beberapa siri pilihan raya lalu, hanya Pas dan UMNO sahaja menjadi pilihan para pengundi di Terengganu, manakala kehadiran parti lain hanyalah dilihat sebagai ‘pelengkap’ atau untuk mencuba nasib sahaja.
Memandangkan BN kini masih dalam keadaan terumbang ambing selepas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diikuti gagal mempertahankan kesemua lapan kerusi Parlimen dalam PRU-15 pada 19 November tahun lalu, maka parti berkenaan terus berusaha untuk mecari kekuatan baharu.
Namun, impian tersebut dikatakan agak sukar apabila pasangan baharu yang dipilih adalah Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggota DAP dan parti Amanah Negara (Amanah), yang selama ini ditolak ‘mentah-mentah’ oleh orang Melayu Terengganu.
Sebelum ini, para pengundi di negeri ini khususnya ahli dan penyokong Pas sudah mengenali siapakah sebenarnya DAP dan Amanah. Ini kerana kedua-dua parti tersebut sebelum ini pernah berada di bawah satu bumbung dalam Pakatan Rakyat (PR) yang turut disertai Pas.
Maka itu, sudah tentulah, sikap, hala tuju, matlamat ‘hati budi’ serta kerenah para pemimpin parti berkenaan telah dinilai ‘semasak’nya oleh pemimpin dan ahli-ahli Pas.
Berdasarkan itulah, ramai penganalisis dan pemerhati politik di Terengganu berpendapat BN-PH dilihat semakin sukar untuk merampas semula negeri itu daripada Pas dalam PRN kali ini.
Ini kerana, selain isu masalah dalaman melibatkan kepimpinan UMNO, pertengkaran serta perbalahan terbuka antara pemimpin UMNO dan DAP serta UMNO dan Amanah berhubung isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara tidak langsung telah ‘memualkan’ rakyat.
Susulan itu, isu tersebut turut ‘merencatkan’ kesetiaan ahli dan penyokong UMNO sendiri khususnya mereka yang menjadi penyokong tegar ‘Bossku’. Malah banyak pihak percaya pada hari pembuangan undi nanti ramai orang UMNO akan bertindak tidak keluar mengundi dan sebahagian pula dijangka memilih Calon PN.
Hal ini kerana ada yang mengatakan terdapat orang UMNO seperti sudah mencipta slogan baharu ‘selagi ada Ahmad Zahid Hamidi dan selagi ada DAP’ mereka akan menolak BN-PH. Dalam PRN nanti, PH dikatakan ingin meletakkan calon bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan (DUN) Terengganu.
Melihat kepada situasi semasa, sekiranya silap percaturan kesemua 12 kerusi diwakili PH akan tewas kepada PN. Malah, ia juga tidak mustahil PN akan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu sepertimana pernah dinyatakan oleh Setiausaha Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah sebelum ini.
Wan Sukairi yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam menaruh keyakinan
Pas bersama PN mampu meraih kemenangan besar dengan memenangi kesemua 32 kerusi DUN Terengganu pada kali ini.
Keyakinan itu dibuat berdasarkan keputusan luar biasa dicapai PN dalam PRU15 lalu. Atau apakah pada PRN kali ini yang tinggal kepada BN hanya dua batu nisan sahaja iaitu melibatkan kerusi Seberang Takir dan Kijal?
Pada PRU14 lalu, Pas berjaya memerintah Terengganu apabila menang 22 daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.
Kerusi tersebut ialah DUN Bandar, Ladang, Batu Burok, wakaf Mempelam, Rhu Rendang, Alor Limbat, Bukit Payong, Pengkalan Berangan, Rantau Abang, Sura, Paka, Bukit Tunggal, Manir, Tepoh, Buloh Gading, Kota Putera, Jabi, Chukai, Kuala Berang, Air Putih, Ajil dan Kemasik.
Manakala BN pula hanya menang di 10 kerusi iaitu Seberang Takir, Kijal, Telemong, Hulu Besut, Bukit Besi, Jertih, Langkap, Batu Rakit, Kuala Besut dan Permaisuri.