Author: Admin

  • Empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan

    Empat maut dalam kemalangan tujuh kenderaan

    EMPAT meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan tujuh kenderaan di Kilometer 277.1 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Ipoh, hari ini.

    Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 3.02 petang melibatkan enam kereta dan sebuah treler.

    “Kemalangan telah mengakibatkan empat mangsa dengan tiga daripadanya wanita tersepit. Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya telah dihantar ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa.

    “Pegawai perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan kesemua mangsa telah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Kesemua mangsa yang maut telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, operasi tamat pada pukul 4.16 petang.

  • Lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar

    Lelaki maut selepas kereta dipandu terbakar

    SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbakar di Kilometer 303.4 Lebuhraya Utara Selatan dari Serdang ke Kajang, bangi, hari ini.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 12.53 tengah hari.

    Susulan itu kata Ketua Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Zulfikar Jaffar, seramai 11 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bangi dan BBP Serdang dikejarkan ke lokasi kejadian.

    “Sebaik tiba, kami mendapati kereta terbakar 100 peratus selepas terbabit dalam kemalangan di lokasi berkenaan.

    “Difahamkan pemandu kereta itu iaitu seorang lelaki berusia 20-an sempat dibawa keluar dari kenderaan berkenaan oleh orang awam.

    “Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di paha kiri dan patah tangan kiri,” katanya memetik laporan Harian Metro.

    Bagaimanapun ujarnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

    Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, katanya.

  • Polis panggil beberapa individu susulan kekecohan mesyuarat PKR Sungai Buloh

    Polis panggil beberapa individu susulan kekecohan mesyuarat PKR Sungai Buloh

    BEBERAPA individu akan dipanggil polis berkenaan kekecohan yang berlaku membabitkan mesyuarat di pejabat PKR Sungai Buloh di Kota Damansara, malam tadi.

    Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 1.40 pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan itu dibuat oleh ahli yang berada di dalam mesyuarat berkenaan.

    “Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Difahamkan seorang ahli jawatankuasa bahagian itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, awal pagi tadi.

    Dia mendakwa seorang lelaki dipercayai pemandu kepada seorang ahli politik menceroboh masuk ke bilik mesyuarat tanpa kebenaran.

    Lelaki itu kemudian didakwa cuba memaksa beberapa ahli jawatankuasa cabang mengikutinya untuk perbincangan di tingkat bawah.

    Difahamkan ada ahli jawatankuasa yang tidak berpuas hati berhubung senarai nama lantikan ketua cabang yang dibuat tanpa melalui konsultasi.

  • Perjanjian antara Muhyiddin dengan Ismail Sabri lebih banyak untungkan orang UMNO

    Perjanjian antara Muhyiddin dengan Ismail Sabri lebih banyak untungkan orang UMNO

    Oleh DATUK DR.MARZUKI MOHAMAD

    PERJANJIAN antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob banyak menguntungkan orang UMNO. Dengan perjanjian itulah seorang pemimpin UMNO menjadi Perdana Menteri.

    Usah dinafikan apabila Perdana Menteri daripada UMNO, banyak orang UMNO dapat manfaat. Tak perlu saya hurai satu persatu apa manfaatnya.

    Tetapi nampaknya orang UMNO lah yang paling tak suka dengan perjanjian itu. Ini saya kurang faham. Kenapa jadi begitu?

    Sepatutnya sambut baiklah perjanjian itu. Dengan perjanjian itulah, semua Menteri dan Timbalan Menteri UMNO yang ada dalam Kabinet kerajaan PN kekal dalam Kabinet. Yang tak jadi Menteri sebelum ini pun dapat naik pangkat jadi Menteri.

    Itu belum kira yang dapat merasa duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun. Daripada Ketua Cawangan, Ketua Puteri, Ketua Wanita, Ketua pemuda sampailah ketua Bahagian dapat merasa.

    Kalau tak duduk dalam ‘board’ GLC pun sekurang-kurangnya dapat jadi ketua kampung dan ahli JKKK. Tak terfikirkah mereka yang semua ini berlaku kerana adanya perjanjian itu. Tak terfikirkah mereka semua ini takkan berlaku kalau Muhyiddin tak tandatangan perjanjian itu dengan Ismail Sabri.

    Jadi kenapa malu nak mengaku adanya perjanjian? Yang ada rugi sedikit daripada perjanjian ini adalah orang-orang Bersatu. Yang dulu duduk dalam board GLC dan badan-badan berkanun dah tak disambung lagi khidmat mereka. Tempat itu diisi oleh orang-orang UMNO pula.Tak mengapalah, mungkin kerana dah tamat tempoh perkhidmatan,  tak disambung pun tak pe. Dapat peluang berkhidmat setahun dua pun dah cukup bertuah.

    Mereka tak bising. Mereka tak buat hal. Malah merekalah yang paling kuat mempertahankan perjanjian antara Muhyiddin dan Ismail Sabri kerana hormat mereka kepada pemimpin parti.  Tawadduk betul orang-orang Bersatu ni.

    Saya rasa bertuah berada dalam parti yang dikelilingi oleh orang-orang yang tawadduk. Tidak tamak dan haloba. Reda saja dengan ketentuan Allah. Jika ada rezeki ada lah. Jika tak ada rezeki kali ini, mungkin Allah nak bagi yang lebih baik. Mungkin itu lah yang ada dalam pemikiran orang-orang Bersatu yang tawadduk ini.

    Mereka fokus buat kerja. Mangsa banjir kepala air di Baling dibantu. Bakul makanan terus dihantar ke rumah-rumah dalam keadaan rakyat susah zaman inflasi ini. Srikandi Bersatu pelopori projek tanaman hidroponik sayur-sayuran untuk diagih secara percuma kepada orang-orang kampung.

    Ahli-ahli Parlimen dan ADUN Bersatu terus buat kerja untuk rakyat. Mereka tak sibuk nak ugut itu dan ini. Mereka tak ambil pot pun apa orang UMNO nak kata.

    Mungkin inilah budaya politik baru yang dicari. InsyaAllah dalam setiap kesusahan ada kesenangan. Itu janji Allah.

    *Datuk Dr.Marzuki Mohamad adalah bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.

  • Lelaki maut tercekik tulang daging korban

    Lelaki maut tercekik tulang daging korban

    SEORANG lelaki maut selepas sesak nafas dipercayai tercekik tulang daging korban semasa makan di rumahnya di Kampung Alor Selising, Jertih, Besut, semalam.

    Kejadian itu berlaku selepas mangsa, Wan Azlan Wan Ishak, 28, baru pulang dari tempat kerjanya pada pukul 5.15 petang.

    Menurut kakak mangsa, Wan Suria Wan Ishak, 32, adiknya terus ke masuk ke dapur untuk memanaskan singgang daging, sebelum makan.

    “Jika diikutkan sebelum ini dia tidak pernah makan singgang daging lembu. Lauk kegemarannya ialah ayam. Dia juga tidak makan ikan kerana trauma pernah tercekik tulang ikan.

    “Semalam arwah makan daging singgang, lalu tercekik. Wan Azlan meronta-ronta meminta tolong memaklumkan dia sukar untuk bernafas.

    “Saya juga cuba membantu arwah tetapi tidak berjaya dan sempat meminta arwah mengucap sebelum dia tidak sedarkan diri.

    “Arwah dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Besut, sebelum disahkan meninggal dunia pukul 5.50 petang,” katanya memetik laporan Berita Harian, hari ini.

    Wan Suria berkata, arwah adiknya amat rapat dengan ahli keluarga serta disenangi oleh semua kenalan kerana seorang yang peramah dan suka membantu sesiapa sahaja.

    Katanya, kehilangan Wan Azlan amat dirasai namun mereka reda dengan pemergiannya pada hari ketiga Aidiladha.

    “Pada haya kedua Aidiladha, ibu berkata jika Azlan tiada, pasti mereka sukar untuk melakukan aktiviti seharian kerana dia banyak membantu memudahkan urusan keluarga,” katanya.

    Beliau berkata, arwah dikebumikan kira-kira pukul 12 malam tadi di Tanah Perkuburan Kampung Padang Landak.

  • Kerajaan Sri Lanka isytihar darurat seluruh negara

    Kerajaan Sri Lanka isytihar darurat seluruh negara

    KERAJAAN Sri Lanka mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung telah dikenakan di Wilayah Barat negara tersebut.

    Pada masa sama, polis telah menggunakan gas pemedih mata ke atas orang ramai yang melakukan tunjuk perasaan antikerajaan.

    Astro Awani melaporkan, sebelum ini, Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke Maldives pada awal Rabu.

    Tindakan itu dilakukan selepas dilaporkan ‘terperangkap’ di lapangan terbang akibat dihalang pegawai imigresen daripada menaiki pesawat.

    Rajapaksa dan isteri meninggalkan kediaman rasminya yang dibanjiri puluhan ribu rakyat terdiri daripada penunjuk perasaan antikerajaan.

    Beliau kemudiannya terpaksa bermalam di pangkalan tentera yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa di Colombo.

    Rajapaksa, 75 tahun, dipercayai mahu melarikan diri ke luar negara bagi mengelak daripada diberkas sebelum meletakkan jawatan.

    Sementara itu, pembangkang utama Sri Lanka akan mencalonkan ketuanya, Sajith Premadasa, sebagai presiden negara itu apabila pilihan raya diadakan di Parlimen pada 20 Julai.

    Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai Parti Samagi Jana Balawegaya itu kepada agensi berita Reuters pada Selasa.

    Pencalonan Premadasa disokong barisan kepimpinan dan akar umbi parti itu.

  • OPR dijangka naik lagi, rakyat tak tidur malam

    OPR dijangka naik lagi, rakyat tak tidur malam

    KENAIKAN Kadar Dasar Semalaman (OPR) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) Rabu lalu menyaksikan peningkatan kali kedua dari 1.75 peratus kepada 2.25 peratus dan dijangka naik sekali lagi akhir tahun ini.

    Menurut laporan Berita Harian, Fitch Solutions menjangkakan BNM akan meningkatkan kadar tersebut sehingga 2.75 peratus pada hujung tahun ini.

    Dalam satu nota penyelidikan, firma kewangan tersebut berkata, kadar dasar sebanyak 50 mata asas akan dinaikkan kepada 2.75 peratus menjelang akhir tahun ini, selepas ia meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 peratus pada 6 Julai lalu.

    Hasil tinjauan Satu Berita dalam media sosial mendapati, rata-rata rakyat mula merasakan beban dalam pembayaran bulanan pinjaman masing-masing seperti rumah dan kereta.

    Seorang pengguna media sosial, Sahira Sha berkata, pembayaran pinjaman rumah yang meningkat akan mengakibatkan kesukaran membayar sewa sehingga terpaksa merempat di jalanan.

    “Ramai yang bakal merempat di bawah jambatan, untung kepada bank sahaja, kena minta tolong Ustaz Ebit Lew bayarkan sewa,” katanya dalam nada sarkastik.

    Mohd. Arizan pula mengeluh akibat keputusannya membuat pinjaman untuk rumah dan kereta.

    “Ya Allah, tak tidur malam kalau macam ini, menyesal terlibat dengan pinjaman semua, terikat sehingga ke tua pula,” katanya.

    Selain itu, Nurulhuda Ismail merasakan perbezaan pembiayaan bulanan untuk keretanya yang naik mendadak.

    “Dari RM754 ke RM860, berapa beza ni? Baru sahaja naik bulan ini, nanti nak naik berapa lagi?” ujarnya.

    Dalam pada itu, Adr Mpa berkata, pembelian rumah pula dijangka perlahan dan ramai akan menghentikan hasrat memiliki rumah dalam masa terdekat akibat kenaikan OPR.

    “Setiap peningkatan sebanyak 25 mata asas akan meningkatkan pembiayaan bulanan sebanyak RM70-100 bagi sebuah rumah.

    “BNM dijangka menaikkan kadar OPR sebanyak lima kali, itu adalah tambahan sebanyak RM350-500 akan dibayar secara purata pada setiap bulan,” katanya.

  • Kepala warga emas tersangkut kerusi plastik

    Kepala warga emas tersangkut kerusi plastik

    SEORANG warga emas berdepan detik cemas apabila kepala tersangkut kerusi plastik dalam satu kejadian di Taman Sri Puteri, Meru, Klang tengah hari tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian daripada jiran mangsa pada pukul 12.18 tengah hari.

    Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati seorang wanita berusia 78 tahun terbaring di lantai dan kepala tersangkut kerusi plastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, lapor Utusan TV.

    Jelasnya, mangsa yang tinggal sendirian telah ditemui dalam keadaan sedar namun tidak bermaya.

    Mengulas lanjut, bomba mengambil masa dua minit bagi menyelamatkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak hospital.

  • Bekas Srikandi PKR selesai beri keterangan, kes diklasifisasi NFA

    Bekas Srikandi PKR selesai beri keterangan, kes diklasifisasi NFA

    POLIS mengklasifisasikan siasatan terhadap bekas senator, Siti Aishah Shaik Ismail berkaitan klip videonya yang didakwa mengkritik kerajaan berkaitan isu pemansuhan subsidi, sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA).

    Menurut Siti Aishah, hal itu dimaklumkan kepadanya selepas pihak polis selesai merakam percakapannya di Bukit Aman, pagi tadi.

    “Rakaman percakapan ini untuk membantu siasatan berkenaan satu laporan polis yang dibuat ke atas saya pada 24 Jun lalu membabitkan satu hantaran di Facebook yang memuat naik video tiktok saya yang viral tempoh hari.

    “Proses rakam percakapan selama 10 minit berjalan lancar dan pihak saya memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan berjalan,” katanya yang turut memaklumkan tiba di Bukit Aman pada 10.40 pagi bersama peguam, Adly Zulfadhly Zulkefly.

    Menurut Siti Aishah yang juga bekas Ketua Srikandi Parti Keadilan Rakyat (PKR), proses rakaman keterangan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

    “Pihak D5 juga mengesahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil keputusan untuk mengambil tindakan NFA.

    “Ini kerana terdapat satu lagi kertas siasatan yang dibuka dan disiasat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan isu video viral yang sama,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

  • 14 termasuk warga emas terperangkap dalam kebakaran kedai percetakan

    14 termasuk warga emas terperangkap dalam kebakaran kedai percetakan

    SERAMAI 13 lelaki warga asing serta seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan bomba selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah kedai percetakan di Pudu, Kuala Lumpur, awal pagi tadi.

    Pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 5.34 pagi.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, sepasukan 26 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Jalan Hang Tuah dan Jalan Tun Razak bersama jentera telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

    “Bomba tiba di lokasi dan bertindak pantas mengawal kebakaran daripada merebak sehingga ke bangunan sebelah.

    “Kesemua lelaki warga asing berusia 25 hingga 45 tahun dan warga emas berusia 76 tahun itu berjaya diselamatkan dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tambah jurucakap itu, kedai tersebut musah kira-kira 80 peratus dalam kebakaran terbabit.

    “Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 7.24 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya seperti dilaporkan Utusan TV.