Author: Wartawan WartaRakyat

  • Kes rasuah RM2.8 juta: Selasa depan tentukan tarikh bela diri Bung Moktar, Zizie Ezette

    Kes rasuah RM2.8 juta: Selasa depan tentukan tarikh bela diri Bung Moktar, Zizie Ezette

    MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur akan menetapkan pada Selasa depan tarikh perbicaraan bela diri Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, atas tuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta.

    Peguam mewakili Zizie Izette, Datuk K. Kumaraendran, berkata tarikh itu akan diputuskan Hakim Rozina Ayob yang memerintahkan pasangan terbabit membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

    “Saya tidak tahu lagi bila prosiding bela diri itu. Saya akan hadir mahkamah pada 3 Januari depan dan di sana akan diputuskan tarikh terbabit. Saya juga ingin memaklumkan pihak pembelaan tidak membuat sebarang permohonan baharu menjelang pendengaran minggu depan,” katanya kepada BH, hari ini.

    Pada 9 Disember lalu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan dan Zizie Izette gagal menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri terhadap tiga tuduhan rasuah.

    Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Datuk Azhar Abdul Hamid, dilaporkan membenarkan bantahan awal Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How terhadap permohonan semakan yang difailkan pasangan itu.

    Pada 17 Oktober lalu, Chin How mengemukakan bantahan terhadap permohonan itu dengan alasan semakan berkenaan tidak sepatutnya difailkan melalui notis usul.

    Kaedah pemfailan notis usul itu didakwa salah dan bertentangan Seksyen 35 serta 36 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 dibaca bersama Seksyen 325 dan 326 Kanun Acara Jenayah.

    Pada 2 September lalu, Bung Moktar, 64, diperintah membela diri atas tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

    Bekas Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA itu didakwa menerima rasuah daripada perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara pukul 12.30 tengah hari hingga 5 petang, 12 Jun 2015.

    Bung Moktar juga perlu membela diri atas tuduhan menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada seorang lagi perunding unit amanah Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, di bawah nama Zizie Izette atas sebab dan tempat sama pada 19 Jun 2015.

    Zizie Izette, 44, pula diarah membela diri atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung tuduhan sama di tempat, tarikh dan masa sama.

    Seramai 30 saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan kes yang bermula 2 Januari 2020.

    Saksi termasuk bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah; bekas Pengurus Besar Pelaburan FELCRA, Adnan Yusof; Ahli Lembaga Pengarah FELCRA, Dr. Habibah Suleiman dan dua perunding unit amanah Public Mutual Berhad terbabit.

  • SPRM mulakan siasatan pengambilalihan Menara KL

    SPRM mulakan siasatan pengambilalihan Menara KL

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan telah pun memulakan siasatan mengenai isu pengambilalihan pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    Memetik laporan BH Online, isu yang didedahkan dan tular dalam media sosial itu masih berada pada peringkat awal siasatan.

    Laporan itu memetik sumber memaklumkan, tindakan selanjutnya oleh SPRM akan menyusul selepas ini.

    Bagaimanapun, sumber tersebut enggan mengulas lanjut dan hanya mengatakan kertas siasatan mengenai pengambilalihan Menara KL itu telah pun dibuka.

    “Kami sudah membuka kertas siasatan, itu saja yang saya boleh sebutkan setakat ini,” katanya.

    Isu pengambilalihan pengurusan Menara KL tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan keputusan Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) memindahkan pemilikan penuh mereka kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd pada Oktober lalu.

    Satu akaun Twitter dikenali sebagai @FreeMsian mendakwa Menara KL yang menjana pendapatan RM66 juta pada 2019 dengan untung bersih RM25 juta itu sebagai ‘cash cow’ dan pemindahan saham itu tidak dihebahkan kepada umum.

    Difahamkan, pemindahan semua 10 juta saham MKLSB berlaku pada 31 Oktober ketika Tan Sri Annuar Musa menjadi Menteri Komunikasi dan Multimedia.

    Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengesahkan saham syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur telah dijual oleh TM Malaysia (TM) kepada sebuah syarikat yang hampir ditutup bernama Hydroshoppe Sdn Bhd.

    Dalam pada itu, Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan beliau tiada kena mengena dengan pemindahan saham Telekom Malaysia Berhad (TM) dari Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada sebuah syarikat, Oktober lalu.

    Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd ialah anak syarikat TM yang menguruskan Menara Kuala Lumpur yang menjadi tarikan pelancongan negara.

  • Peguam mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM937,000

    Peguam mengaku tidak bersalah gubah wang haram RM937,000

    SEORANG peguam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tujuh pertuduhan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM937,000, lima tahun lalu.

    Tertuduh, Mohd. Zawahid Ya, 47, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid, lapor Sinar Harian.

    Mengikut semua pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan cek berjumlah RM937,000 daripada akaun CIMB Bank Berhad milik Tetuan Mohd Zawahid & Co ke beberapa akaun bank milik tertuduh, syarikat dan individu lain.

    Kesalahan didakwa dilakukan CIMB Bank Berhad, cawangan The Strand, Petaling Jaya, di Shah Alam, pada 14 hingga 30 Ogos 2017.

    Tertuduh selaku pemilik kepada Tetuan Mohd Zawahid & Co pada masa kesalahan itu dilakukan, didakwa bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) dan dibaca bersama perenggan 87(1)(a) akta sama.

    Ia membawa hukuman penjara tidak melebihi lima 15 tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Harris Ong Mohd. Jeffrey Ong mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM4,000 bagi kesemua pertuduhan.

    Tertuduh yang diwakili peguam, Dir Kheizwan Kamarudin berkata, meskipun jumlah itu agak berat namun pihaknya menganggap ia adalah munasabah.

    Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Emilia Kaswati membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM28,000 bagi kesemua pertuduhan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

    18 Januari tahun depan ditetapkan untuk sebutan semula kes.

  • Keluar parti: Bersatu hantar notis kekosongan luar jangka, pilihan raya perlu diatur

    Keluar parti: Bersatu hantar notis kekosongan luar jangka, pilihan raya perlu diatur

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan menghantar notis kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat selepas mendakwa berlaku kekosongan luar jangka susulan tindakan empat ahlinya yang bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), keluar parti baru-baru ini.

    Naib Presidennya, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, Bersatu berpendirian keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan perlu mengosongkan kerusi mereka, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

    “Selanjutnya telah dipohon juga kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

    Empat ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

    Jelas Ahli Parlimen Beluran itu, melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu itu telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU15 sebagai anggota Bersatu.

    Keahlian mereka dalam GRS juga adalah sebagai anggota parti Bersatu, kata Ronald.

    Beliau menambah, kenyataan Pengerusi GRS, yang juga Pengerusi Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor pada 2 November lalu turut mengumumkan bahawa terdapat enam calon daripada parti Bersatu akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU-15.

    “Walau bagaimanapun, pada 10 Disember 2022, Hajiji telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin parti Bersatu Sabah telah keluar dari parti.

    “Pada sidang Dewan Rakyat pada 19 Disember 2022 lalu, keempat-empat Ahli Dewan Rakyat tersebut telah berada di blok kerajaan.

    “Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti Bersatu yang diterajui oleh Muhyiddin, dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada para pengundi,” katanya lagi lapor Astro Awani.

    Susulan tindakan berkenaan, Ronald berkata, keahlian mereka sebagai anggota parti Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara tersebut telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember 2022.

    Pada 10 Disember, kepimpinan Bersatu Sabah yang dipimpin Hajiji mengumumkan meninggalkan Bersatu dan secara kolektif menjadi ahli GRS.

    Sementara pada 12 Disember lalu, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun yakin empat ahli Parlimen gabungan itu tidak terjejas dengan Akta Anti-Lompat Parti.

    GRS dan empat ahli Parlimen berkenaan, ujar beliau, menyedari sepenuhnya Akta Anti-Lompat Parti yang berkuatkuasa pada 5 Oktober lalu sebelum mereka bertanding sebagai calon untuk PRU15.

  • Peniaga mengaku tidak bersalah culik ejen produk kosmetik

    Peniaga mengaku tidak bersalah culik ejen produk kosmetik

    SEORANG peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita ejen produk kosmetik pada 13 Sept lepas.

    Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menculik Rosnazirah Mohd Nain berusia 36 tahun.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat pada  5.06 petang, 13 Sept.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hajarul Falenna Itah Abu Bakar Adli dan tertuduh diwakili peguam, Mohd Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

    Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh telah membawa lari mangsa ke negara Thailand, namun Mohd Firdaus Zainal Abidin memohon mahkamah supaya membenarkan tertuduh dijamin kerana kes itu pramatang kerana belum dibicarakan.

    Hakim Badrul Munir Mohd Hamdy tidak membenarkan Chek Norhafizzi diikat jamin kerana kes itu berisiko berikutan membabitkan nyawa orang lain dan dilakukan secara kumpulan serta berkemungkinan dirancang.

    “Jika diberikan jaminan kemungkinan tertuduh melarikan diri itu tinggi,” kata hakim yang kemudiannya menetapkan 20 Jan ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan penetapan tarikh bicara.

    Media sebelum ini melaporkan, Rosnazirah dilarikan sekumpulan lelaki dengan sebuah kereta dan ada penduduk mendakwa melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand sebelum kereta terbabit ditemui pada 13 Sept lepas.

  • Budak lelaki mangsa dera mati akibat dipukul objek keras-KP Johor

    Budak lelaki mangsa dera mati akibat dipukul objek keras-KP Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan bahawa kematian kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun akibat didera di Senggarang, Batu Pahat, Isnin lalu akibat hentakan di kepala dengan objek tumpul dan keras.

    Jelasnya, hentakan itu menyebabkan kecederaan serius sehingga mangsa yang merupakan anak bongsu daripada 13 beradik meninggal dunia.

    Beliau memberitahu, perkara itu dimaklumkan hasil daripada bedah siasat yang teliti dilakukan pakar Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

    “Sebab kematian adalah akibat hentakan benda keras di kepala. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan calar dan kesan gigitan.

    “Terima kasih kepada pihak doktor yang banyak membantu pihak polis dalam siasatan. Insya-ALLAH siasatan kita teruskan untuk dapatkan

    ‘details’ hasil bedah siasat yang dibuat pihak doktor. Buat masa ini, kita masih menunggu laporan (lengkap) daripada doktor pakar,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis

    Kamarul Zaman (tengah) melakukan pemeriksaan barisan dalam Majlis Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Lantikan Inspektor Kor Sukarelawan Polis Siswa/Siswi (Suksis) UTM dan UTHM di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Siswa/Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

    Pada Isnin lalu, mangsa yang dikenali sebagai Lokman dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di rumahnya di Senggarang.

    Hasil siasatan awal mendapati kematian kanak-kanak itu akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya.

    Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

    Sehubungan itu,lima suspek telah ditahan polis termasuk kakak mangsa dan suami, serta tiga rakan kepada wanita berkenaan untuk siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berkata, setakat ini, polis telah memanggil 10 individu terdiri daripada ahli keluarga dan beberapa individu untuk siasatan.

    “Kita juga akan memanggil lebih ramai individu untuk membantu siasatan. Selain itu, tempoh tahanan reman terhadap lima suspek yang berakhir Sabtu ini akan disambung sehingga siasatan selesai,” katanya.

    Sementara itu, beliau mengingatkan masyarakat awam agar menggembleng tenaga dan bersikap peka terhadap kesejahteraan kanak-kanak yang berada di kejiranan mereka.

    Katanya, sikap ambil tahu dan melaporkan kepada pihak berkuasa berhubung sebarang salah laku yang berlaku boleh mengelakkan daripada kejadian penderaan berulang pada masa depan.

  • Isu MB Terengganu ke luar negara ketika banjir melanda tidak menjadi ‘kudis gatal’

    Isu MB Terengganu ke luar negara ketika banjir melanda tidak menjadi ‘kudis gatal’

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    DUA minggu telah berlalu, namun masih ada segelintir pihak yang masih cuba menjadikan isu Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bercuti bersama keluarga di Auckland New Zealand ketika negeri ini sedang dilanda banjir sebagai propaganda politik murahan.

    Walaupun isu berkenaan dikatakan telah pun terlerai, tetapi masih terdapat segelintir pihak lawan terus membangkitkannya tanpa belas kasihan.

    Sebenarnya, kesediaan Ahmad Samsuri atau lebih mesra dengan panggilan Dr. Sam yang membuat permohonan maaf sekembalinya beliau ke tanah air sebelum ini telah pun meleraikan segala persepsi dan spekulasi dibuat pelbagai pihak.

    Bagi ahli dan para penyokong Pas, isu ‘kehilangan’ Dr. Sam ketika Terengganu dilanda musibah banjir hanya ‘dipanaskan’ oleh para pemimpin pihak lawan yang lebih bersifat politik murahan.

    Ia juga disifatkan sebagai senjata dan serangan awal politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun hadapan.

    Menteri Besar (MB) Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

    Mereka berpendapat isu berkenaan tidak seharusnya diperbesarkan kerana sebelum bertolak ke luar negara, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu sudah membuat pelbagai persiapan serta sempat mengunjungi beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

    Justeru ahli serta penyokong Pas Terengganu menganggap isu yang cuba dimainkan itu tidak akan menjadi ‘kudis gatal’ atau memberi kesan terhadap kepimpinan dan pemerintahan Pas di negeri ini.

    Sebaliknya, sebaik isu berkenaan tercetus, tahap sokongan kepada Dr. Sam dikatakan semakin bertambah.

    Ini terbukti menerusi laungan kata-kata semangat kebangkitan ‘Gelombang Hijau’ dilakukan oleh rata-rata ahli dan penyokong Pas di negeri ini menerusi media sosial seperti Facebook dan WashApp.

    Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) ketika hadir mendengar taklimat Pengurusan Banjir di Pejabat Daerah Kemaman pada 23 Disember

    Selain itu mereka turut menyuarakan untuk terus berdiri teguh bersama MB kesayangan itu.

    Pada 20 Disember lalu bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa Ahmad Samsuri berada di New Zealand walaupun Terengganu sedang dilanda banjir.

    Malah Lokman turut mendakwa dia mempunyai bukti mengenai Naib Presiden Pas itu sedang bercuti bersama keluarganya di Auckland, New Zealand pada 11 Disember dan dijangka pulang pada 22 Disember.

    Isu itu mula tercetus setelah maklumat tiket kapal terbang bertarikh 11 Disember atas nama Ahmad Samsuri dan isterinya Datin Seri Tuan Faezah Tuan Ab Rahman menuju Auckland, New Zealand tular menerusi media sosial.

    Susulan itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah Raja Ahmad pula mendakwa, beliau yakin Dr. Sam tidak akan memohon maaf di atas apa yang terjadi.

    Dr Ahmad Samsuri melawat lokasi cerun runtuh di LPT2, Ajil

    Bagaimanapun di sebalik kecaman pelbagai pihak, Dr. Sam yang pulang ke tanah air akhirnya hadir pada taklimat Pengurusan Banjir di Daerah Kemaman pada 23 Disember lalu.

    Malah kesediaan beliau yang turut memohon maaf kepada semua mangsa banjir di negeri ini kerana tidak dapat bersama selama empat hari bermula 18 hingga 21 Disember sedikit sebanyak telah merungkai isu tersebut sekaligus menjawab segala tohmahan yang dilemparkan terhadapnya.

    Dr. Sam menjelaskan beliau ke luar negara atas urusan keluarga dan ketika ingin ke New Zealand, keadaan mangsa banjir semasa gelombang pertama telah menunjukkan  penurunan.

    Permohonan maaf itu dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya pada Jumaat lalu.

  • Pengendali makanan, minuman di Selangor wajib pakai pelitup muka mulai 1 Januari

    Pengendali makanan, minuman di Selangor wajib pakai pelitup muka mulai 1 Januari

    BERKUAT kuasa 1 Januari ini, semua penyedia dan pengendali makanan serta minuman di Selangor diwajib memakai pelitup muka bagi meningkatkan tahap kebersihan.

    Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam hantaran dalam Facebook berkata tindakan kompaun akan dikenakan terhadap peniaga yang gagal mematuhi arahan itu.

    “Semua penyedia dan pengendali makanan di Selangor wajib mematuhi arahan tersebut sebagai salah satu kaedah untuk menjaga kebersihan,” katanya.

    Awal bulan ini, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata ia akan meningkatkan penguatkuasaan pemakaian pelitup muka wajib itu terhadap peniaga makanan dan minuman berkuatkuasa tahun depan.

    Portal kerajaan negeri, Selangorkini, memetik Yang Dipertua MPKj, Najmuddin Jemain sebagai berkata, keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi penyedia dan pengendali makanan serta minuman di Selangor itu dibuat pada 7 September lalu dalam mesyuarat bulanannya.

    “Langkah ini adalah untuk memastikan pekerja yang mengendalikan mananan dan minuman mengutamakan kebersihan di premis perniagaan,” katanya lapor BH Online.

  • Persempadanan ‘malaportionment’: Landskap politik Malaysia mungkin berubah selama-lamanya

    Persempadanan ‘malaportionment’: Landskap politik Malaysia mungkin berubah selama-lamanya

    Oleh DATUK DR. MARZUKI MOHAMAD

    PAKATAN Harapan dalam manifestonya berjanji akan mengatasi isu ketidakseimbangan (malapportionment) saiz pengundi di kawasan-kawasan pilihanraya di Malaysia. Untuk itu, had sisihan sebanyak 30% daripada purata saiz populasi pengundi akan ditetapkan bagi setiap kawasan pilihanraya.

    Ini adalah selaras dengan amalan persempadanan semula kawasan pilihanraya sebelum ini sepertimana yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

    Dalam bahasa yang mudah, jumlah pengundi dalam sesuatu kawasan pilihanraya akan ditentukan supaya tidak lebih atau kurang 30% daripada saiz purata pengundi yang sepatutnya bagi setiap kawasan pilihanraya.

    Sebagai contoh, Malaysia mempunyai 21 juta pengundi dengan 222 kawasan  Parlimen. Maka saiz purata pengundi yang ideal bagi setiap kawasan Parlimen ialah 94,600 orang.

    Jika formula sisihan 30% diguna pakai, bermakna jumlah pengundi maksima yang boleh diterima bagi setiap kawasan pilihanraya ialah 125,800 orang (30% melebihi saiz purata) dan saiz minima pula ialah 62,436 orang (30% kurang daripada saiz purata). Jumlah pengundi di satu kawasan pilihanraya yang lebih daripada jumlah maksima atau kurang daripada jumlah minima akan dikira sebagai tidak seimbang.

    Masalah ‘malapportionment’ telah berlaku sejak sekian lama sehinggakan ada kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi melebihi saiz sisihan maksima 30% secara melampau. Sebagai contoh, Bangi mempunyai pengundi seramai 302,786 orang atau 320% lebih tinggi daripada jumlah purata pengundi yang sepatutnya. Oleh itu, jumlah pengundi di Parlimen Bangi dikira sebagai tidak seimbang.

    Untuk memperbetulkan masalah ketidakseimbangan ini, Parlimen Bangi mungkin boleh dipecahkan kepada 3 kawasan Parlimen, menjadikan pengundi bagi setiap kawasan berjumlah lebih kurang 106,000 orang, iaitu di dalam julat sisihan 30%. Ini kiraan secara kasar tanpa mengambil kira jumlah purata pengundi yang akan berubah apabila berlaku pertambahan kerusi.

    Untuk memahami skala masalah ketidakseimbangan secara lebih menyeluruh, saya senaraikan kawasan-kawasan Parlimen yang mempunyai jumlah pengundi melebihi nilai sisihan 30% berdasarkan kiraan jumlah kerusi Parlimen semasa di Semenanjung Malaysia. Saya pecahkan kerusi-kerusi ini mengikut parti yang menang dalam PRU-15 yang lalu.

    Kerusi yang dimenangi oleh PH/DAP (11):

    Klang – 208,854

    Damansara – 238,287

    Puchong – 152,598

    Bangi – 302,786

    Rasah – 155,736

    Seremban – 157,238

    Kota Melaka – 164,140

    Kluang – 132,342

    Iskandar Putri – 222,050

    Kulai – 151,082

    Gopeng – 143,657

    Kerusi yang diemangi oleh PH/PKR (14):

    Sungai Petani – 168,831

    Tambun – 160,558

    Shah Alam – 165, 287

    Sungai Buloh – 158,090

    Petaling Jaya – 195,264

    Subang – 230,616

    Pandan – 148,635

    Ampang – 133,381

    Gombak – 205,537

    Selayang – 181,187

    Batu Pahat – 133,997

    Tebrau – 223,837

    Pasir Gudang – 197,888

    Johor Bahru – 136,504

    Kerusi yang dimenangi oleh PH/AMANAH (4):

    Kota Raja – 244,159

    Sepang – 167,579

    Hulu Langat – 166,582

    Pulai – 165,217

    Kerusi yang dimenangi oleh PN/BERSATU (2):

    Padang Serai – 133,867

    Merbok – 132,052

    Kerusi yang dimenangi oleh PN/PAS (7):

    Hulu Selangor – 154,212

    Kapar – 188,971

    Kuala Langat – 148,446

    Kemaman – 139,423

    Marang – 131,756

    Baling – 132,182

    Kuala Kedah – 132,553

    Kerusi yang dimenangi oleh UMNO/BN (1):

    Rembau – 133,416

    Jika dijumlahkan, PH mempunyai 29 kerusi tidak seimbang, PN 9 kerusi dan BN 1 kerusi. Katakan secara kasarnya semua kawasan ini dipecah dua untuk menjadikan ianya lebih seimbang, kecuali Bangi dipecah 3, maka PH akan mendapat tambahan 30 kerusi, PN 9 dan BN 1.

    Jika semua faktor kekal sama dan diandaikan semua kerusi incumbent yang dimenangi oleh parti-parti dalam PRU-15 dikira kerusi selamat bagi parti masing-masing, maka PH+MUDA akan mendapat 112 kerusi selamat (82+30), PN 83 kerusi selamat (74+9) dan BN 31 kerusi selamat (30+1).

    Kiraan kasar ini tidak termasuk pertambahan kerusi di Sabah dan Sarawak dan jumlah kerusi di negeri yang sepatutnya berkadaran dengan peratus pengundi di negeri tersebut. Ia juga tidak mengambil kira formula perbezaan jumlah pengundi bandar dan luar bandar yang memberi kelebihan kepada kerusi-kerusi di luar bandar.

    Tetapi tunggu dulu. Kerusi selamat bagi PH tidak semestinya 112. Ia mungkin lebih daripada itu. Kenapa? Kerana ada satu lagi faktor yang menyebelahi pihak kerajaan dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya iaitu ‘gerrymandering’.

    Apa itu ‘gerrymandering’?

    Ia adalah satu bentuk teknik pecahan sempadan pilihanraya yang boleh dimanipulasi untuk memberi kelebihan kepada parti tertentu, terutamanya parti kerajaan. Ia boleh dilakukan melalui dua cara:

    i. Pemecahan (cracking) – sempadan pilihan raya bagi kawasan yang dimenangi secara tipis oleh parti lawan diubah dengan mengeluarkan penyokong parti lawan ke kawasan lain.

    ii. Penyumbatan (packing) – penyokong parti lawan dipindahkan keluar daripada kawasan-kawasan pilihan raya yang dimenangi tipis oleh parti lawan dan dimasukkan ke dalam satu kawasan pilihanraya kubu kuat parti lawan.

    Sebagai contoh, PN menang kerusi Kuala Langat dengan majoriti 1,833 undi sahaja. Kaedah ‘cracking’ boleh digunakan dengan mengeluarkan sebahagian pengundi Melayu (yang lebih cenderung untuk mengundi PN) ke Kota Raja yang dimenangi oleh PH dengan majoriti besar, iaitu 71,142 undi.

    Dengan cara ini, Kerusi Kuala Langat tidak lagi selamat untuk PN. Kerusi Kota Raja pula kekal selamat untuk PH. Kemasukan sebahagian penyokong PN ke Kota Raja tidak menjejaskan kedudukan PH kerana kerusi itu dimenangi dengan majoriti yang besar.

    Jikapun kerusi Kuala Langat yang disandang oleh PN dipecah dua, kedua-dua kerusi itu boleh menjadi kerusi selamat PH melalui kaedah ‘gerrymandering’. Ini bermakna dalam PRU16 nanti, PH akan menambah dua kerusi selamat, manakala PN kehilangan satu kerusi incumbent.

    Satu lagi contoh ialah Pontian. Kerusi ini dimenangi oleh UMNO/BN dengan majoriti 5,578 undi. Kerusi Pontian yang mempunyai 68% pengundi Melayu, 30% Cina, 1% India dan 1% lain-lain mungkin tidak selamat untuk UMNO/BN jika parti itu menjadi sekutu PH dalam PRU16. Jika trend sentimen pengundi Melayu pasca PRU-15 berterusan, undi Melayu berkemungkinan beralih dengan lebih signifikan kepada PN.

    Untuk menjadikan Pontian lebih selamat bagi PH atau sekutunya, sebahagian daripada pengundi Melayu yang cenderung untuk mengundi PN di Pontian boleh dipindah keluar ke Kulai, iaitu kawasan majoriti pengundi Cina yang dimenangi oleh DAP dengan majoriti 36,023 undi.

    Apabila ini dilakukan, peratusan pengundi Melayu akan berkurang dan peratusan pengundi Cina akan bertambah di Pontian. Jika UMNO bertanding sebagai sekutu PH di Pontian dalam PRU16, parti itu akan bergantung kepada undi Cina (yang mana lebih 90% cenderung untuk mengundi PH atau sekutunya) untuk menang, sepertimana MCA sebelum ini bergantung kepada undi Melayu untuk menang. Itulah juga yang berlaku kepada BERSATU semasa parti itu berada di dalam PH.

    Jika hal ini berlaku, landskap politik Malaysia mungkin akan berubah untuk suatu tempoh yang lama. Jika tidakpun, ia mungkin akan berubah buat selama-lamanya. Kuasa politik Melayu yang selama ini diwakili oleh parti-parti Melayu akan beransur hilang.

    Pertembungan politik pada masa hadapan adalah antara PN yang mendominasi di kawasan majoriti Melayu luar bandar dan separa bandar, dan PH yang mendominasi di kawasan majoriti bukan Melayu dan bandar. UMNO akan menjadi komponen kecil dalam sebuah gabungan politik yang didominasi oleh parti bukan Melayu dan pelbagai kaum.

    Dengan proses urbanisasi yang lebih pesat dan pendaftaran pengundi secara automatik, jumlah pengundi akan bertambah dengan lebih banyak di kawasan-kawasan bandar.  Berkemungkinan lebih banyak kerusi campuran (ethnically mixed seats) akan diwujudkan di kawasan-kawasan bandar di mana pengundi Melayu walaupun jumlah mereka akan bertambah di kawasan ini, tetapi tidak menjadi pengundi majoriti bagi sesuatu kawasan Parlimen. Ini boleh dilakukan melalui kaedah ‘gerrymandering’. Jadi setinggi mana pun peratus keluar mengundi orang Melayu, tidak akan mengembalikan kuasa politik Melayu.

    Pemenang yang paling besar dalam permainan politik ini ialah PH. Kerana itu parti-parti di dalam PH rela untuk tidak mengaut untung jangka masa singkat pada masa ini, asalkan mereka dapat meraih laba politik jangka panjang.

    DAP walaupun menang 40 kerusi, rela menerima 4 jawatan Menteri sahaja di dalam kabinet. Berbeza dengan UMNO yang hanya menang 26 kerusi, tetapi mendapat 6 jawatan Menteri. DAP tahu dalam tempoh tidak berapa lama lagi, UMNO mungkin akan datang kepada parti itu untuk meminta kerusi selamat.

    Bagi DAP, memperbetulkan ‘malapportionment’ adalah sesuatu yang telah lama diperjuangkan oleh parti itu. Semasa kerajaan PH memerintah selama 22 bulan sebelum ini, harapan untuk merealisasikan perjuangan tersebut tidak kesampaian kerana PH tidak mempunyai majoriti 2/3 di Parlimen. Tanpa majoriti 2/3, pindaan perlembagaan untuk menambah jumlah kerusi Parlimen tidak boleh dibuat.

    Peluang keemasan tiba-tiba muncul dalam kerajaan campuran PH-BN apabila kerajaan ini mempunyai majoriti 2/3 di Parlimen. Peluang ini tidak boleh dilepaskan ‘at all cost’, sekalipun mereka terpaksa menerima pelbagai gelaran tidak enak apabila dituduh berbohong, tidak konsisten dalam perjuangan menolak kleptokrasi dan lain-lain.

    Ini tidak menjadi masalah besar. Lagu ‘hoi ya hoi’ itu pun tak lama lagi akan dilupakan orang.

    Bagi DAP dan parti-parti lain dalam PH, biarlah rugi secupak sekarang asalkan untung segantang kemudian.

    Saya coretkan senario ini berdasarkan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku jika semua faktor kekal sama. Kecualilah berlaku perubahan besar dalam pola mengundi. Apapun, saya dan anda semua tidak boleh meramal masa hadapan.

    Datuk Dr. Marzuki Mohamad

    Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri Malaysia Kelapan

  • Guna dron bawa masuk barang terlarang ke penjara

    Guna dron bawa masuk barang terlarang ke penjara

    POLIS mematahkan cubaan tiga lelaki menggunakan dron untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang pada 1.05 pagi, 12 Disember lalu

    Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Machang sebelum itu menerima erima maklumat berhubung satu unit dron yang kelihatan diterbangkan dan menceroboh kawasan penjara.

    Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dron tersebut dipercayai digunakan oleh pengendalinya untuk membawa masuk barang terlarang ke dalam kawasan Penjara Machang.

    “Susulan itu, pihak kami telah berjaya mengesan peranti yang digunakan di kawasan berdekatan iaitu di Jalan Kuing Indah, Kampung Pangkal Meleret, Machang.

    “Semasa serbuan dilakukan, tiga lelaki berusia 35 hingga 39 tahun bertindak tergesa-gesa masuk ke dalam sebuah kereta jenis Honda CRV dan memecut laju melarikan diri apabila menyedari kehadiran polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bagaimanapun kesemua suspek berjaya ditahan di Jalan Utama Kuala Krai – Kota Bharu di Kampung Bukit Belah, Machang.

    “Pemeriksaan yang dijalankan ke atas kereta dan tiga suspek membawa kepada penemuan 41 bungkusan kecil mampat disyaki tembakau, 20 biji mercun bola, 13 bungkusan tembakau dan alat kawalan jauh dron model rc123.

    “Turut ditemui ialah lima unit telefon bimbit, dua unit power bank, satu bilah parang, sabit, alat penimbang digital, dua gulung dawai besi, plastik pembalut dan tiga gulung tali nylon berwarna kekuningan,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Muhamad Zaki berkata, mereka ditahan dan telah disiasat atas kesalahan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958.

    “Pada 19 Disember lalu mereka telah dituduh di Mahkamah Majistret Machang dan telah mengaku bersalah untuk kesalahan di bawah seksyen 58(1) Akta Penjara 1995 baca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Peraturan 140 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 (MCAR) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    “Pada 20 Disember, salah seorang daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu dan mengaku bersalah di bawah Seksyen 6 Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1957,” katanya.

    Menurut beliau, suspek dijatuhkan hukuman penjara lima tahun setiap satu pertuduhan serta satu sebatan dan hukuman berjalan serentak.

    Dalam pada itu, Muhamad Zaki menasihatkan dan mengingatkan orang ramai bahawa menerbangkan dron tanpa permit atau tanpa kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam adalah merupakan satu kesalahan.

    Beliau menegaskan penggunaan peranti tersebut untuk tujuan jenayah adalah satu kesalahan yang boleh diambil tindakan dari segi undang-undang yang ada.

    “Kami tidak akan berkompromi dengan pelanggaran perundangan ini dan tindakan tegas akan diambil sewajarnya,” katanya.