Author: Wartawan WartaRakyat

  • Pemilik syarikat percetakan direman bantu siasatan tuntutan palsu RM100,000

    Pemilik syarikat percetakan direman bantu siasatan tuntutan palsu RM100,000

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMILIK syarikat percetakan direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 17 Januari ini bagi membantu siasatan kerana mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000, dua tahun lalu

    Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret, Norkhalida Farhana Abu Bakar selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini.

    Suspek sampai pekarangan mahkamah pada pukul 9 pagi tadi lengkap berpakaian reman SPRM berwarna jingga dengan tangan bergari.

    Malam tadi sumber memaklumkan suspek lelaki berusia 53 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor Bahru kira-kira pukul 5 petang semalam selepas hadir memberikan keterangan.

    Difahamkan, pada 2021, suspek telah mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah sekolah menengah di sebuah daerah di Johor berkaitan pembekalan cetakan modul pembelajaran untuk kegunaan pelajar-pelajarnya, sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan.

  • Tular video anak muda Melayu, Cina, India, main alat muzik tarian singa

    Tular video anak muda Melayu, Cina, India, main alat muzik tarian singa

    TULAR satu klip video memaparkan aksi sekumpulan anak muda terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berbangsa Melayu, Cina dan India bermain alatan muzik tarian singa dengan begitu cekap.

    Ia sebahagian daripada latihan pra sambutan Tahun Baru Cina yang bakal disambut pada 22 Januari ini dikongsi Liondance Freak dalam laman Facebook mereka.

    Sejak dimuat naik dua hari lalu, ia telah ditonton lebih 450,000 kali dan mendapat lebih 7,700 tanda suka.

    Ia juga telah dikongsi lebih 4,600 kali oleh pengguna Facebook, lapor Utusan TV.

    Menariknya, kanak-kanak terbabit dilihat tidak kekok dan sangat profesional ketika memainkan alatan muzik tersebut.

    Kelincahan kanak-kanak terbabit mendapat perhatian warganet dan rata-ratanya kagum akan kemampuan mereka.

    “Menarik! Pelbagai kaum. Yang Islam bertudung juga diberi peluang,” tulis Ra’ayah Sulaiman.

    “Harmony satu Malaysia.pround to be Malaysian.多元一体,” ujar Vince Ong.

    “Yang tengok xrasa bangga ker…generasi kita akan datang bersatu hati…sehati sejiwa…ahhh hakak bangga weiii…,” komen Norhasni.

  • Trofi Pelakon Wanita Terbaik Golden Globe milik Michelle Yeoh

    Trofi Pelakon Wanita Terbaik Golden Globe milik Michelle Yeoh

    AKTRES Hollywood berasal dari Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh mencipta sejarah apabila muncul pelakon Malaysia pertama meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik Muzikal/Komedi pada Anugerah Golden Globe di Los Angeles, Amerika Syarikat, hari ini.

    Michelle, 60, memenangi trofi itu bagi lakonannya dalam filem Everything Everywhere All At Once.

    Michelle menewaskan pesaing iaitu iaitu Lesley Manville yang membintangi Mrs. Harris Goes To Paris; Anya Taylor-Joy (The Menu); Emma Thompson (Good Luck To You, Leo Grande) dan Margot Robbie (Babylon).

    Sejak mula ditayangkan, penampilan Yeoh dalam filem ‘indie’ arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert itu menjadi sebutan ramai, malah, pengkritik filem percaya Yeoh bakal menggenggam trofi Oscar melalui watak dibawanya dalam filem terbabit.

    Menurut laporan BH Online, filem ‘box office’, Everything Everywhere All At Once ditayangkan Mac lalu yang menyaksikan Yeoh melakonkan watak isteri dan ibu yang mahu menyelamatkan dunia.

  • PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PN kekal fokus bantu rakyat, tidak hirau perebutan jawatan KM

    PERIKATAN Nasional (PN) tidak berminat untuk mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) jika berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri Melaka.

    Menurut Ketua Penerangan Pemuda PN Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof, wakil rakyat PN hanya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang kini terkesan dengan kos sara hidup.

    “Kami tidak berminat masuk campur urusan BN, apatah lagi jika berlaku pergolakan dalaman dan berebut jawatan Ketua Menteri Melaka.

    “Fokus kami untuk meneruskan tugas selaku wakil rakyat untuk membantu rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang,” katanya kepada MalaysiaGazette, semalam.

    Sabtu lalu, media melaporkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh menafikan wujud perebutan jawatan Ketua Menteri antara beliau dengan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyandang jawatan itu, ketika ini.

    Rauf menegaskan, perkara itu sengaja dicetuskan pihak tertentu bertujuan melaga-lagakan hubungannya dengan Sulaiman.

    Pada Jumaat lalu tular rakaman video berdurasi hampir enam minit itu memaparkan Rauf duduk semeja bersama Sulaiman dan Bendahari UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Kamarul Zaman Jantan mengeluarkan kenyataan berhubung situasi semasa politik Melaka.

    Video berkenaan disiarkan bertujuan menangkis segala dakwaan kononnya akan berlaku peralihan kuasa jawatan Ketua Menteri daripada Sulaiman kepada Rauf selepas Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari ini.

    Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, apa pun yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri, ia tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

    “Perkara tersebut tidak menjejaskan fokus saya untuk terus membantu rakyat selaku ADUN Sungai Udang,” katanya.

  • Kru kapal kargo hilang dikenal pasti

    Kru kapal kargo hilang dikenal pasti

    KEHILANGAN kapal kargo dari Malaysia, MV Dai Cat 06 yang membawa muatan besi paip masih belum mendapat petunjuk.

    Bagaimanapun, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, lima kru kapal iaitu dua warganegara Indonesia dan tiga warga tempatan sudah dikenal pasti.

    Kelima-lima kru MV Dai Cat 06 itu ialah Adi,43 sebagai Master (Indonesia), Damai Papane Ole, 57, (ketua jurutera) serta tiga rakyat Malaysia Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, (kletua pegawai), Mohammad Sudeh Sudin, 20, (kelasi) dan Derrent Littor, 22, (kelasi).

    “Pihak kami akan terus bekerjasama dengan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas) Republik Indonesia selepas kapal itu kali terakhir di kesan di perairan negara itu.

    “Basarnas akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo membawa muatan 527 besi paip itu yang dianggarkan bernilai RM726,000, selepas dikesan di republik itu pada kedudukan 30 batu nautika barat laut Pemangkat.

    Nurul Hizam menunjukkan lokasi terakhir kapal Kargo MV Dai Cat 06 yang dikesan berdekatan 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor pada 1 Januari lalu.

    “Berdasarkan maklumat terakhir itu diterima pada 11 malam semalam, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru daripada Maritime Rescue Control Centre (MRCC) Putrajaya dimaklumkan, Basarnas Republik Indonesia akan mengkoordinasikan pencarian kapal kargo itu.

    “Ini berdasarkan maklumat berkemungkinan kapal berada dalam perairan Indonesia. Sehingga kini tiada maklumat terkini penemuan kapal berkenaan. Kami masih menunggu maklumat dari pihak MRCC dan Basarnas,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, di Johor Bahru, hari ini.

    Semalam, kes kehilangan sebuah kapal kargo dari jeti Kampung Acheh, Perak ke Kuching, Sarawak hilang pada 1 Januari lalu dilaporkan.

    Kehilangan kapal diketahui selepas ejen kapal membuat laporan polis pada Isnin, yang mendakwa kapal kargo MV Dai Cat 06 keluar dari jeti Perak pada 23 Disember 2022 dan sepatutnya tiba di Kuching, Sarawak pada 31 Disember 2022.

    Lokasi terakhir kapal ini dikesan menerusi sistem Automatic Identification System (AIS) adalah pada 1 Januari lalu di perairan Indonesia iaitu 0.2 batu nautika dari sempadan perairan negeri Johor lapor Astro Awani.

  • Polis buru dua lelaki terlibat dalam kejadian gaduh sehingga sebabkan kematian di Kapar

    Polis buru dua lelaki terlibat dalam kejadian gaduh sehingga sebabkan kematian di Kapar

    POLIS kini memburu dua lelaki yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Taman Intan, Kapar, semalam.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 2.04 pagi.

    Beliau berkata, pengadu mendakwa berlaku pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di lokasi kejadian.

    “Sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah tiba di lokasi kejadian dan mendapati seorang lelaki India terbaring di atas jalan.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada pergaduhan dua kumpulan remaja dan mangsa telah ditetak dengan menggunakan senjata tajam.

    “Polis telah mengenal pasti dua suspek utama berbangsa India berumur 20-an dan usaha mengesan suspek kini dijalankan,” ujarnya, lapor Utusan TV.

    Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Hanis di talian 019-9099763.

  • FIFA, dunia puji Ultras Malaya

    FIFA, dunia puji Ultras Malaya

    TINDAKAN kumpulan penyokong Ultras Malaya memberikan penghormatan kepada pasukan Thailand selepas tamat aksi separuh akhir kedua Piala AFF 2022, malam tadi mendapat perhatian daripada pelbagai pihak.

    Lebih membanggakan apabila ia turut meraih pujian daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang memuat naik video berkenaan di laman Twitter mereka, lapor Berita Harian.

    “Perlawanan yang indah. Penyokong Malaysia menunjukkan penghormatan kepada pemain Thailand selepas pasukan mereka tewas dalam Piala AFF,” tulis Badan bola sepak dunia berkenaan.

    Rata-rata pengguna media sosial menganggap tindakan itu sebagai terbaik daripada Ultras Malaya walaupun skuad Harimau Malaya tewas dan terkandas di pusingan separuh akhir.

    Terdahulu, laman rasmi Facebook rasmi Piala AFF 2022 memuat naik video Ultras Malaya menyanyikan lagu buat pemain Thailand selepas skuad itu menewaskan Malaysia 3-0 pada separuh akhir kedua di Stadium Thammasat, malam tadi.

    Kemenangan itu menyaksikan skuad Gajah Perang yang juga juara bertahan mara ke final buat kali ke-10 dengan agregat 3-1 selepas tewas 0-1 pada separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Sabtu lalu.

    Thailand akan menentang juara dua kali Vietnam di pentas akhir yang akan berlangsung pada Jumaat dan Isnin ini.

  • UMNO Sabah tak iktiraf pelantikan 2 ADUN ke Kabinet negeri

    UMNO Sabah tak iktiraf pelantikan 2 ADUN ke Kabinet negeri

    UMNO Sabah tidak mengiktiraf pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakli parti itu yang membarisi Kabinet baharu negeri dalam rombakan yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini.

    Mereka ialah ADUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya, serta ADUN Sugut, Datuk James Ratib yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah.

    Menurut Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, ini kerana UMNO negeri tidak memberikan cadangan untuk dua ADUN terbabit dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Hajiji.

    “Lagipun UMNO secara konsisten menolak kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Hajiji tidak boleh mendakwa lantikan mereka mewakili UMNO Barisan Nasional (BN) melainkan mereka dilantik atas kapasiti peribadi.

    “UMNO akan memperhalusi tindakan terhadap pemimpin UMNO yang belot untuk dibincangkan bersama Presiden parti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    ADUN Lamag itu mengulas senarai Kabinet baharu Sabah yang mengangkat sumpah di Istana Seri Kinabalu dalam rombakan yang diumumkan hari ini.

    Barisan Kabinet baharu itu menyaksikan dua wakil UMNO yang menyokong Hajiji iaitu Shahelmey dan James turut menganggotainya, selain dua wakil dari Pakatan Harapan (PH) Sabah.

    Bung Moktar sendiri digugurkan daripada jawatan Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya dalam rombakan itu.

    Sementara itu, Bung Moktar turut menyifatkan pelantikan itu membelakangkan nasihat dan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan kerajaan perpaduan di Sabah.

    “Perlu diingat pembentukan kerajaan perpaduan, BN turut membantu dan perkara ini perlu dilihat oleh Ketua Menteri,” katanya, lapor Berita Harian.

    Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata kemelut politik Sabah belum berakhir dengan pelantikan anggota baharu Kabinet itu.

    “Game still on (belum tamat),” katanya mengulangi kenyataannya sebelum ini apabila Hajiji menjelaskan mempunyai sokongan majoriti dengan 44 ADUN memihak kepadanya.

    Dalam hal berkaitan, Bung Moktar mengingatkan Hajiji supaya bersikap adil dengan rakan Kabinet tanpa campur tangan secara langsung dalam soal pentadbiran kementerian masing-masing.

    “Jangan hanya mengaut keuntungan dan rakyat diabaikan, buatlah perubahan untuk rakyat dan negeri Sabah,” katanya.

    Bung Moktar menambah, UMNO Sabah juga bersedia untuk menjadi pembangkang yang berkesan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) susulan situasi politik yang berlaku di negeri ini.

  • Arab Saudi iktiraf TH pembimbing haji terbaik dunia

    Arab Saudi iktiraf TH pembimbing haji terbaik dunia

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    INISIATIF dan usaha berterusan Tabung Haji (TH) menerima pengiktirafan Kerajaan Arab Saudi apabila menerima Anugerah Labaittom bagi kategori Perkhidmatan Bimbingan Haji Terbaik Dunia Islam pada Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 di Jeddah, Arab Saudi.

    Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah menyampaikan anugerah tersebut kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar semasa persidangan berlangsung pada 9 hingga 12 Januari.

    Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 itu disertai 56 buah negara termasuk Malaysia yang diwakili TH.

    Turut hadir semasa penyampaian anugerah itu Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin, Pengarah Eksekutif Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman serta pegawai TH di Arab Saudi.

    Anugerah itu sebagai pengiktirafan terhadap keupayaan TH dalam membimbing jemaah haji Malaysia agar mempunyai pengetahuan yang baik dalam ibadat haji sentiasa mendapat pujian dan diiktiraf pelbagai pihak, terutamanya Kerajaan Arab Saudi.

    Sementara itu, Dr. Mohd Na’im menyifatkan hadiah itu amat bermakna lebih-lebih lagi tahun ini merupakan ulang tahun TH yang ke-60.

    “Anugerah ini juga merupakan pengiktirafan buat negara kerana berjaya melahirkan sebuah institusi unik yang kini menjadi contoh kepada negara Islam yang lain.

    “Malaysia telah mendapat pengiktirafan antarabangsa atas usaha memberi bimbingan ibadat haji dan program kesedaran dalam aspek menjaga kesihatan kendiri, peradaban serta kepentingan kebersihan persekitaran,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan TH, hari ini.

    Setiap tahun, TH menganjurkan kursus-kursus haji di tanah air secara fizikal dan dalam talian di samping menyediakan para pembimbing ibadat haji untuk sesi bimbingan di tanah suci semasa jemaah haji mengerjakan ibadat haji.

    Secara keseluruhannya, TH menyediakan lebih 500 Pengkursus Haji Tanah Air (PEKTA) dan Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) untuk membantu para jemaah.

    Antara kursus dianjurkan TH adalah kursus asas haji, kursus intensif haji, kursus perdana haji dan kursus khas haji.

    TH juga menganjurkan Muzakarah Haji setiap tahun selepas selesai musim haji bagi meningkatkan lagi keberkesanan bimbingan haji termasuk menambah baik modul kursus haji serta penerbitan yang dihasilkan demi kepentingan umat Islam semasa melaksanakan ibadat di tanah suci.

  • Ops Bas Pekerja; 7 van kilang disita di Pulau Pinang

    Ops Bas Pekerja; 7 van kilang disita di Pulau Pinang

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menyita sebanyak tujuh buah van kilang dalam Ops Bas Pekerja di sekitar kawasan Perindustrian Batu Kawan dan Bandar Cassia, semalam.

    JPJ Pulau Pinang dalam satu kenyataan hari ini berkata, operasi itu dilakukan dengan memberi tumpuan terhadap kenderaan perkhidmatan awam (KPA) khususnya bas dan van pekerja yang membawa operator pengeluaran di kawasan berkenaan.

    Katanya, daripada tujuh kenderaan yang disita, tiga daripadanya didapati dipandu oleh warga asing manakala sebuah kenderaan lagi dikesan berstatus lupus dan ‘scrap’.

    Operasi dilakukan dengan memberi tumpuan terhadap kenderaan perkhidmatan awam (KPA) khususnya bas dan van pekerja yang membawa operator pengeluaran

    Tambahnya, kesalahan lain yang dikesan dalam operasi itu ialah tiada lesen memandu (biasa) dan tiada lesen memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.

    “Turut dikesan ialah tindakan menyalahgunakan LKM iaitu menggunakan van persendirian untuk membawa penumpang.

    “Selain itu, terdapat juga beberapa kesalahan teknikal seperti tayar haus berlebihan, lampu isyarat dan brek tidak berfungsi serta tidak menyelenggarakan kenderaan dengan baik,” demikian menurut kenyataan itu.

    Turut dikesan ialah tindakan menyalahgunakan LKM iaitu menggunakan van persendirian untuk membawa penumpang.

    Tambah kenyataan tersebut, seramai 10 warga asing turut ditahan oleh Jabatan Imigresen negeri yang turut serta dalam operasi terbabit.

    Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang menasihatkan pemandu dan pengusaha KPA supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan semasa menjalankan perkhidmatan.

    “Selain itu, mereka juga perlu memastikan kenderaan tersebut juga berada dalam keadaan baik dan selamat kerana keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama,” katanya.