Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bot nelayan kelas C ditahan gajikan 4 PATI Myanmar

    Bot nelayan kelas C ditahan gajikan 4 PATI Myanmar

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan sebuah bot nelayan tempatan pukul 10.10 pagi semalam selepas didapati menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai kru bot.

    Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia mengesan bot nelayan tempatan kelas C itu dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin OP TANJUNG.

    Jelas beliau, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak itu ditahan pada kedudukan 38 batu nautika barat laut Muka Head.


    “Hasil pemeriksaan mendapati, bot dikendalikan empat warga Myanmar termasuk tekong berumur dalam lingkungan 31 hingga 51 tahun yang kesemuanya tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah serta melanggar syarat sah lesen bot.

    “Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, bot serta kesemua kru ditahan termasuk kira-kira 500 kilogram (kg) hasil laut dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

     
    Dalam pada itu, katanya, Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang berdegil menggunakan PATI untuk bekerja di atas bot mereka walaupun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.

    Sehubungan itu, tegas beliau, Maritim Malaysia tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia.

    “Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” katanya.

  • Upah RM1,300 simbah cat, baling molotov cocktail di rumah mangsa ah long

    Upah RM1,300 simbah cat, baling molotov cocktail di rumah mangsa ah long

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MENERIMA upah daripada ceti haram atau ah long sehingga RM1,300 untuk melakukan perbuatan khianat dengan api dan simbah cat di rumah peminjam wang.

    Bagaimanapun kegiatan tiga suspek yang terlibat melakukan jenayah tersebut di sekitar daerah Kulai dapat dihentikan selepas pihak polis berjaya menahan tiga pelakunya termasuk seorang wanita.

    Sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai memberkas mereka kelmarin di tiga lokasi berasingan.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, pihaknya melakukan tiga serbuan tersebut antara pukul 9 pagi hingga 2.30 petang.

    “Menerusi serbuan itu, dua lelaki berusia 25 dan 36 tahun serta seorang wanita berusia 43 tahun ditahan sekitar Seri Alam, Iskandar Puteri dan Johor Bahru.

    “Masing-masing ditahan di rumah dan tepi jalan kerana terlibat kes khianat dengan api dan simbah cat di kawasan daerah Kulai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, menerusi serbuan berkenaan, pihak polis merampas sebuah motosikal dan beberapa peralatan yang digunakan untuk melakukan kegiatan jenayah tersebut.

    Jelasnya, hasil soal siasat, semua suspek mengaku mengambil upah tersebut untuk menyimbah cat di dua rumah dan membaling molotov cocktail di sebuah rumah di daerah itu.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menyiasat penglibatan suspek dalam lain-lain kes jenayah di dalam dan luar daerah Kulai,” ujar beliau.

    Menurut Beng Yeow, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan semua mereka direman enam hari bermula Rabu sehingga 16 Januari ini.

    Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan didenda selain Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

  • OKT meninggal dunia dalam lokap IPD Larkin

    OKT meninggal dunia dalam lokap IPD Larkin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki tempatan yang merupakan orang kena tahan (OKT) meninggal dunia dalam lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Larkin di Johor Bahru semalam.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, OKT berusia 47 tahun itu mati semasa ditahan dalam lokap semasa menunggu untuk dituduh di mahkamah Johor Bahru semalam.

    “Sebelum itu lelaki berkenaan mengadu sakit dan muntah-muntah pada pada pukul 6.20 pagi semalam sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Larkin untuk menerima rawatan pada pukul 7.45 pagi.

    “Namun pegawai perubatan yang memberi rawatan kemudian telah mengesahkan kematian OKT pada pukul 8.30 pagi. Bedah siasat dijadualkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru pada hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut, Unit Jabatan dan Siasatan Jenayah Dalam Tahanan (USJKT) Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman akan melakukan siasatan kes berkenaan.

    Raub berkata, OKT ditahan kelmarin kerana mempunyai rekod orang dikehendaki berkenaan kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Menurutnya, OKT berkenaan mempunyai 12 rekod lampau berkaitan kes dadah.

  • Seeloknya tiada pertandingan jawatan Presiden, tapi Tok Mat sedia dicabar

    Seeloknya tiada pertandingan jawatan Presiden, tapi Tok Mat sedia dicabar

    DATUK Seri Mohamad Hasan berpandangan jawatan presiden disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seeloknya tidak dipertandingkan selepas parti itu kalah teruk dalam pilihan raya umum (PRU-15) lalu.

    Kata Timbalan Presiden UMNO itu, jika jawatan berkenaan dipertandingkan akan menyebabkan berlaku perpecahan dalam parti, namun terpulang kepada ahli UMNO sekiranya mahukannya.

    “Kalau boleh dalam keadaan kita (UMNO) jatuh terduduk begini, sebaiknya jawatan presiden dan lain-lain eloklah menang tanpa bertanding. Itu sebaiknya.

    “Kalau bertanding sedikit sebanyak ada perpecahan, jadi tak tahu terpulang kalau nak dipertandingkan,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Beliau berkata kepada media selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Wanita dan Pemuda UMNO, Mohamad di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Ditanya sama ada jawatan timbalan presiden yang disandangnya perlu dipertandingkan, Mohamad berkata beliau terbuka dan sedia mempertahankan jawatan itu.

    “Saya tidak ada isu. Saya terbuka siapa nak bertanding lawan timbalan presiden, saya mempertahankan, saya tak ada isu,” katanya.

    Mengulas lanjut, Mohamad bagaimanapun berkata UMNO mengamalkan demokrasi dan setiap jawatan terbuka untuk dipertandingkan jika ada pencadang dan penyokong.

    “Kita (UMNO) tak macam dulu, nak bertanding presiden, timbalan presiden mesti ada kuota. Sekarang senang sahaja ada seorang penyokong, seorang pencadang terpulang kalau nak tanding,” katanya.

    Sebelum ini Ahmad Maslan mengesahkan UMNO perlu membuat pemilihan di semua peringkat jawatan tertinggi sebelum 19 Mei depan.

    Jelas setiausaha agung UMNO itu, ia ekoran permohonan parti itu untuk menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas PRU15 baru-baru ini.

  • Tok Mat berterus-terang pendirian UMNO mengenai DAP kepada perwakilan

    Tok Mat berterus-terang pendirian UMNO mengenai DAP kepada perwakilan

    DATUK Seri Mohamad Hasan pada perasmian perhimpunan agung sayap UMNO malam ini menyaksikan beliau berterus-terang dengan perwakilan terutamanya tentang kerjasama parti itu dengan seteru lama, DAP.

    Jelas Timbalan Presiden UMNO itu, pendirian politik mestilah diasaskan kepada realiti politik dan ia mesti disesuaikan dengan keperluan dan kedinamikan semasa.

    “Kita memang kenal pendirian mereka (DAP). Mereka juga faham pendirian kita. Mereka tidak bermuka-muka dan berpura-pura setiakawan. Kita pun tidak perlu berpura-pura.

    “Kita tahu siapa itu DAP. Kita juga tahu siapa itu PKR dan Amanah. Maka kita membuat keputusan, berdasarkan pilihan paling sesuai, untuk membolehkan kita mengurus perbezaan,” katanya di PWTC.

    Mengulas lanjut Mohamad yang mesra disapa Tok Mat berkata, pendirian UMNO untuk bertentangan dengan DAP selama berpuluh tahun tidak menjadikan sokongan orang Melayu kepada parti itu meningkat.

    Katanya, ini terbukti menerusi keputusan beberapa pilihan raya umum lepas jelas menampakkan bahawa sokongan Melayu tidak meningkat, malah merosot di sebalik cemuhan parti itu kepada DAP.

    “Kerana faktor yang mendorong orang Melayu, menyokong atau menolak kita, ternyata bukanlah, pendirian kita terhadap DAP.

    “Sebaliknya, ia bergantung kepada kemampuan kita, meyakinkan orang Melayu, bahawa kepentingan bangsa, dapat diperjuangkan dengan lebih baik, dengan UMNO. Termasuklah Kerajaan yang kita pimpin itu bebas rasuah dan tiada penyalahgunaaan kuasa.

    “Yang menjadi kayu ukur sokongan melayu ialah integriti, tadbir urus, kompetensi dan prestasi kita. Bukan kerana semata-mata kita menentang ideologi parti itu dan parti ini,” katanya.

    Dalam perkembangan berkaitan, Tok Mat memberitahu, UMNO tidak menyertai PH kerana parti itu selamanya adalah BN.

    Katanya, UMNO hanya membentuk Kerajaan Perpaduan dan bekerjasama mengurus negara bersama PH, GPS dan GRS,

    “Ini mesti jelas dan difahami. Pada masa ini, UMNO adalah rakan sekutu, dalam Kerajaan Perpaduan, bukan parti komponen PH,” katanya,

    Mohamad berkata, keadaan itu berbeza jika UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) apabila parti itu hanyalah pemain ketiga yang berkongsi kepentingan demografi sama sekali gus menyukarkan UMNO mengurus segala perbezaan di masa akan datang.

    Yang pasti katanya, pilihan UMNO untuk bekerjasama dengan PH, telah menjadikan UMNO parti yang akan mewakili, kepentingan Melayu terbesar, dalam kerajaan.

    “Ini adalah sesuatu yang tidak akan dapat UMNO lakukan jika menyertai Kerajaan pimpinan PN. Kerana UMNO, berada dalam kedudukan ketiga, sebagai kuasa politik Melayu, dalam perikatan sedemikian,” katanya.

  • Tok Mat gariskan tiga sebab UMNO sertai Kerajaan Perpaduan

    Tok Mat gariskan tiga sebab UMNO sertai Kerajaan Perpaduan

    TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan menggariskan tiga sebab mengapa UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan dengan memeterai persefahaman dengan PH, GRS dan GPS untuk bekerjasama, mentadbir negara ini.

    Beliau berkata, ini kerana UMNO harus melakukan tugas patriotiknya untuk negara dengan memastikan bahawa Kerajaan dapat dibentuk dengan bantuan UMNO, walaupun parti itu tewas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Jelas beliau, yang pertama kepimpinan berpandangan bahawa penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah jalan terbaik kerana ia memberikan UMNO peranan yang unik dan strategik.

    Menurutnya yang faham dengan persoalan ramai mengapa UMNO memilih untuk bekerjasama dengan PH, pokoknya UMNO tidak menyertai PH ataupun membelakangkan Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu memilih mengutamakan Malaysia.

    “UMNO hanya menyertai Kerajaan Perpaduan yang diusulkan oleh Yang Di Pertuan Agong. Jadi tiada isu dalam kerjasama UMNO dengan DAP dan PKR atau Amanah.

    “Apalagi, bila PN telah sedari awal lagi tidak mahu bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan, maka UMNO berada dalam kedudukan strategik untuk memainkan peranan yang lebih pentin dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    “Kita berada, dalam kedudukan yang sesuai dengan kepentingan UMNO,” katanya semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda & Puteri UMNO 2022 di PWTC malam ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad yang mesra disapa Tok Mat berkata, sebab kedua UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan adalah kerana UMNO perlu mengembalikan semula Malaysia ke jalan sederhana.

    Katanya, Malaysia mesti dikembalikan ke ‘centrism”, melihat betapa isu perkauman, dan agama, menjadi modal kempen parti politik tertentu, sehingga ke tahap yang ekstrim.

    “Kita tidak boleh membiarkan, masa depan Malaysia, dicorakkan oleh, the ‘rightist’ atau ‘the leftist’. DNA Malaysia ialah kesederhanaan.

    “Keputusan, menyertai kerajaan perpaduan, bukan sahaja, sangat penting untuk UMNO, tetapi juga sangat penting, untuk masa depan Malaysia.

    “Maka kita memilih, mengutamakan Kerajaan dengan perwakilan dari pelbagai parti, yang dipilih secara demokratik kerana ia memberikan kita, suara dalam kerajaan baharu,” katanya.

    Sementara itu Tok Mat menjelaskan, faktor ketiga penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan adalah kerana UMNO sangat menyedari bahawa menjadi pembangkang, bukanlah perkara yang mudah.

    Katanya, dengan pengalaman terbatas sebagai pembangkang, UMNO mungkin akan terus melemah, jika ia berada di luar Kerajaan.

    “Dengan kewujudan PN, yang berhasrat mengkuburkan UMNO dari sokongan orang Melayu, kita akan memerlukan jalan dan pengalaman kerajaan, untuk terus memperkukuhkan, sokongan untuk parti.

    “Malah, ia memberi kita kemudahan, untuk terus memenuhi, keperluan penyokong kita, dan masyarakat Melayu, di seluruh negara,” katanya.

    Selain itu kata Tok Mat, UMNO juga mempunyai pengalaman bekerja dengan PN dalam kerajaan sebelum ini dan mendapati adalah sangat sukar, bekerjasama dengan parti, yang kewujudan dan perjuangannya, ialah menghapuskan UMNO untuk selama-lamanya.

    “Begitu juga, pengalaman kita, bekerjasama dengan Pas yang tidak pernah, setia atau ikhlas. Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti, terutamanya si janda UMNO.

    “Lihat sahaja rekod mereka, dengan DAP dan PKR. Akhirnya, semua membawa haluan masing-masing.

    “Dengan pengalaman bekerjasama secara ‘marriage of convenience’, semenjak Langkah Sheraton, UMNO merasakan, bahawa kita memerlukan, sesuatu yang lebih lestari dan konkrit,” tambahnya.

  • Tok Mat dakwa lawan UMNO guna ruang maya tanam sentimen jahat

    Tok Mat dakwa lawan UMNO guna ruang maya tanam sentimen jahat

    TIMBALAN Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwa lawan UMNO secara konsisten, menggunakan ruang maya, sebagai lubuk, untuk menanam sentimen jahat, terhadap parti itu.

    Beliau berkata, kaedah dinamakan ‘Cognitive war’ itu dilancarkan dengan menuduh UMNO itu rasuah, kotor, gila kuasa dan segala kata nista yang menjengkelkan.

    Tidak cukup dengan itu katanya, mereka melabel, pemimpin kita, kleptokrat, tidak bermoral, dan segala macam lagi, tohmahan lain, yang mampu mencemar kepimpinan kita.

    “Semuanya disampaikan, dalam pelbagai bentuk grafik, video, dan banyak lagi naratif lain. Dipancar, dan disebar, luaskan melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pergerakan Pemuda & Puteri UMNO 2022 di PWTC malam ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad yang mesra disapa Tok Mat menjelaskan, di ambang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15), strategi ‘cognitive war’ ini, telah digiatkan parti lawan berlipat kali ganda selain UMNO juga diserang hebat, oleh ‘cybertroopers’, dari pelbagai arah.

    Katanya, motif mereka adalah, untuk mempengaruhi pemikiran, dan mengubah keyakinan masyarakat, terutamanya orang Melayu, bahawa UMNO tidak layak, menjadi wakil mereka.

    “Sehari demi sehari, ia menjadi kepercayaan, dan keyakinan rakyat, bahawa UMNO itu, sinonim dengan segala kecurangan dalam politik.

    “Inilah, yang Perikatan Nasional lakukan dengan berkesan. Mempengaruhi golongan muda, dan pengguna media social, seperti Tik Tok, dan Instagram, dengan melancarkan, perang besar-besaran, dengan ‘content’ yang toksik, untuk mengajak orang Melayu, membenci, serta meninggalkan UMNO,” katanya.

    Tok Mat berkata, ternyata, strategi ‘perang kognitif’ mereka sangat berjaya sehingga mencetuskan Tsunami Melayu melanda utara, dan pantai timur semenanjung, dengan pengundi Melayu berduyun-duyun menolak UMNO.

    “Kita tewas, tanpa memenangi satu kerusi parlimen pun, di Kelantan, Terengganu dan Perlis. Kita turut gagal, mempertahankan semua, kerusi parlimen di Kedah, termasuklah yang disifatkan, sebagai kerusi selamat, seperti Padang Terap.

    “Di Perak, kita tewas dengan dahsyat, dan demikianlah, impak ‘perang kognitif’ terhadap kita,” katanya.

    Tok Mat sementara itu turut melahirkan kesedihan beliau apabila UMNO jauh ketinggalan, dalam memanfaatkan, tren ‘politik digital’ ini.

    Tegas beliau, di saat, pihak lawan giat berkempen, dan ‘membaham’ UMNO di media sosial, parti itu gagal, mempertahankan diri, untuk menolak, segala tuduhan fitnah, dan kenyataan palsu, yang dilemparkan.

    “Kita juga gagal, membentuk karisma, dan pengaruh yang kuat, di ruang maya.

    “Kita tewas, kerana kita gagal, beradaptasi dengan kepentingan, menggunakan teknologi, dan maha data (big data), dalam rencana pilihanraya kita,” tambahnya.

  • Hantaran Chang Khim dalam isu arak biadab – Pemuda Pas Selangor

    Hantaran Chang Khim dalam isu arak biadab – Pemuda Pas Selangor

    PEMUDA Pas Selangor menyifatkan hantaran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baru Klang, Datuk Teng Chang Khim di laman Facebook miliknya mengaitkan isu arak dengan solat adalah biadab.

    Menurut Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar, hantaran tersebut jelas menunjukkan Chang Khim sengaja memainkan sentimen agama dengan memperlekehkan umat Islam serta solat.

    “YB Teng Chang Kim nampak gaya ‘banyak masa kosong’ dengan menyibukkan diri dalam isu berkaitan arak sekalipun ia di luar negeri Selangor.

    “Sedangkan isu arak ini jelas perkara mendatangkan kerosakan lebih besar ditambah lagi dengan isu-isu kemalangan jalan raya sehingga ada yang terkorban disebabkan kes mabuk,” katanya menerusi kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian

    Kenyataan Mohamed Sukri itu juga bagi mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan yang sebelum ini membantah penjualan arak secara terbuka di ruang legar sebuah pusat beli-belah di Seberang Jaya di Pulau Pinang.

    Muhammad Fawwaz turut memuat naik video pertemuannya dengan pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut di Facebooknya.

    Dalam pada itu, Mohamed Shukri berkata, pihaknya menyokong dan mempertahankan tindakan Muhammad Fawwaz kerana itu juga antara yang dilakukan Pemuda Pas Selangor dalam isu-isu berkaitan arak dan kes mabuk sama ada membantah, mengkritik serta memberikan solusi.

    “Isunya ialah penjualan arak secara terbuka dan inilah yang ditentang, sama ada berbentuk penjualan mahupun pesta yang dianjurkan dan sebab itu Pemuda Pas Selangor malah seluruh negara pasti akan bangkit menentang hal yang sama.

    “Sebagaimana YB Teng Chang Kim sanggup ‘merentas negeri’ dengan hantaran yang biadab lagi celopar kerana ‘sayang sangat’ pada arak, maka kami Pemuda Pas Negeri Selangor juga bangkit mempertahankan YB Muhammad Fawwaz atas tindakannya dan akidah yang satu.

    “Malunya negeri Selangor kerana sikap YB (Chang Kim) ini yang celopar, biadab serta memperlekehkan solat. Mana pergi Exco lain yang beragama Islam dalam kerajaan negeri Selangor yang lain untuk tegur,” soalnya dalam kenyataan tersebut.

    Tambahnya, sudah jelas dalam banyak kenyataan media sama ada tulisan atau lisan sebelum ini bahawa arak hanya lebih membawa kemudaratan sama ada moral, sahsiah, nyawa malah ekonomi negara.

    Katanya, akal yang waras pasti tidak menerima arak itu sesuatu yang membawa kebaikan yang banyak.

  • Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Suami tampar isteri semata-mata berbalah mengenai kereta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEORANG isteri terpaksa menanggung aib apabila ditampar suaminya di depan sebuah kilang dekat Sungai Petani, Kedah semata-mata kerana perbalahan akibat penggunaan kereta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 3 petang semalam dengan turut disaksikan anak sulung mereka.

    Menurutnya, pertengkaran itu dipercayai berlaku akibat perebutan pasangan tersebut mengenai kereta dimiliki mangsa yang berusia 44 tahun.

    “Setelah mereka bertengkar, mangsa mendakwa ditampar suaminya berusia 45 tahun di depan kilang tersebut. Selain itu, suaminya juga didakwa turut membuat ugutan terhadap wanita tersebut.

    “Berikutan itu wanita berkenaan mendakwa merasa sakit di pipi kiri namun tiada kesan lebam padanya dan sudah pun mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani,” katanya.

    Difahamkan pasangan tersebut sudah berkahwin selama 25 tahun dan mempunyai tiga anak.

    Tambahnya, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan.

  • PRN: UMNO tanding bersama PH, guna logo BN

    PRN: UMNO tanding bersama PH, guna logo BN

    UMNO memberi bayangan akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, namun memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

    Ia antara disentuh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melalui melalui Taklimat Presiden UMNO di hadapan lebih 3,000 perwakilan parti itu yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, mengesahkan persediaan UMNO untuk berdepan enam PRN iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, antara isu utama disentuh Ahmad Zahid dalam sesi taklimat berlangsung kira-kira sejam itu.

    Menurutnya, Presiden UMNO turut menekankan peri pentingnya ahli dan pimpinan parti mengekalkan perpaduan dan solidariti untuk memastikan UMNO dapat bersedia sepenuhnya untuk berdepan PRN berkenaan.

    “Hari ini bincang mengenai solidariti dalam UMNO. Perpaduan amat penting kerana kita akan berhadapan enam PRN.

    “Hari ini kita bincang (mengenai kerjasama) dalam UMNO , (kerjasama) dengan orang lain itu belum bincang lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai taklimat hari ini, lapor Berita Harian.

    Taklimat itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang membuka tirainya dengan perasmian serentak persidangan tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri malam sehingga Sabtu ini.

    Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pula ketika mengulas taklimat sama berkata, Ahmad Zahid menggesa ahli parti untuk bersikap optimistik bagi berdepan enam PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

    Selain itu, katanya, Presiden UMNO itu juga menyentuh mengenai kepentingan kerjasama antara BN dan PH yang bakal memanfaatkan negara secara keseluruhan.

    “Beliau (Ahmad Zahid) menggariskan bahawa kekuatan BN dan PH akan membuahkan formula baharu untuk negara,” katanya.

    Seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, memaklumkan Ahmad Zahid ada menggariskan hala tuju parti pada masa depan, khususnya peranan UMNO selepas menyertai kerajaan perpaduan bersama PH.

    “Beliau menegaskan UMNO tidak akan lari daripada prinsip parti, khususnya dalam perjuangan untuk kepentingan negara, agama, mempertahankan Perlembagaan, kepentingan terus membela nasib orang Melayu dan rakyat keseluruhannya.

    “Pada keseluruhannya ucapan mendapat reaksi yang baik dengan sambutan begitu mantap daripada perwakilan yang hadir,” katanya.

    Sementara itu, Ahmad Zahid melalui Facebook memaklumkan ruang Taklimat Presiden UMNO itu digunakan seluasnya untuk beliau meluahkan rasa, menzahirkan cerita dan menelusuri cabaran yang dihadapi sepanjang menakhodai bahtera UMNO.

    “Biarlah hari ini, di dalam dewan keramat ini, kita bersama-sama membina semula gerakan parti kita. Perubahan serta pembaharuan yang akan dilaksanakan, kita bincangkan secara berjemaah.

    “Dengan semangat musyawarah, saya yakin kita mampu bangkit dari rebah. Dengan keikhlasan, kita mampu mencipta kejayaan. Dengan doa kepada Allah, mudah-mudahan kita semua beroleh rahmah,” katanya.