Author: Wartawan WartaRakyat

  • Presiden UMNO beritahu beliau ‘ready to fight’ – KJ

    Presiden UMNO beritahu beliau ‘ready to fight’ – KJ

    BEKAS ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mendakwa Presiden UMNO sendiri menyatakan beliau sedia untuk dicabar di sebalik kenyataan 140 Ketua Bahagian UMNO yang mendesak jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti.

    Beliau berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kepadanya bahawa beliau sedia untuk berentap dalam pemilihan parti.

    Menurut Khairy, kenyataan itu dikeluarkan Ahmad Zahid ketika beliau bertembung dengannya ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

    “Maknanya beliau bersedia untuk berhadapan dengan sebarang cabaran dalam pemilihan UMNO, maksudnya Presiden sendiri berani.

    “Datuk Seri Zahid, saya salute (tabik hormat) kepada beliau, beliau tidak takut. Tadi beliau sebut kepada saya, ready to fight.

    “Maknanya kalau ada sebarang usaha untuk menutup demokrasi dalam UMNO dengan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan maka ia bertentangan dengan keberanian Presiden sendiri.

    “Ayuh menjadi lebih berani. Buka ruang demokrasi dalam UMNO, buka ruang semua jawatan untuk dipertandingkan,” katanya menerusi video dimuat naik dalam TikTok beliau hari ini, lapor Astro AWANI.

    Semalam media melaporkan seramai 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Ahmad Zahid tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang dijangka Mei nanti.

    Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

    Beliau berkata tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini.

  • Dihempas ke kerusi, murid patah kaki saman guru KAFA

    Dihempas ke kerusi, murid patah kaki saman guru KAFA

    MURID Tahun Tiga memfailkan saman terhadap seorang guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang didakwa menyebabkan cedera parah kepadanya sehingga patah tulang kaki kanan pada Julai tahun lalu.

    Saman terhadap guru KAFA, Ahmad Mursyidin Abdullah, 38 (defendan pertama) dan Yayasan Islam Terengganu (defendan kedua) itu dikemukakan ibu plaintif, Nor Azlina Mohamad Yasin, 37, yang mewakili anaknya menerusi peguam, Mohd. Hazwan Hamidun dari Firma Guaman Tetuan Rafaei & Co di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu

    Saman itu difailkan terhadap dua defenden berkenaan bagi tuntutan ganti secara bersama dan berasingan sebanyak RM410,000 termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta ganti rugi khas.

    Mohd. Hazwan berkata, tuntutan sivil bagi anak guamnya dilakukan kerana tindakan defendan pertama mengangkat dan menghempaskan plaintif ke atas sebuah kerusi menyebabkannya patah tulang kaki kanan dan keretakan pada bahagian yang lain.

    Katanya, tindakan defendan pertama turut menyebabkan plaintif yang ketika itu berusia sembilan tahun terpaksa menjalani rawatan pemulihan dan kemungkinan perlu menjalani pembedahan sekali gus berisiko mengalami kecacatan kekal akibat kecederaan dialaminya.

    “Plaintif turut mengalami tekanan emosi dan mental di atas kejadian menimpanya selain ketinggalan di dalam sesi pembelajaran di sekolah akibat terpaksa menjalani rawatan pemulihan disebabkan tindakan defendan pertama.

    “Tindakan defendan pertama adalah tidak wajar sama sekali sebagai seorang pengajar yang sedang mendidik pelajar yang berumur sembilan tahun bertentangan dengan tingkah laku serta akhlak sebagai seorang pendidik selain jelas gagal mengawal emosinya dalam menangani tingkah laku pelajar di bawah umur,” katanya.

    Mohd. Hazwan berkata, sebagai majikan, defendan kedua mempunyai tugas untuk memastikan tenaga pengajar yang dilantik adalah berkelayakan untuk menjalankan tugas dan kerja-kerja mendidik dengan cara yang baik serta berhemat bersesuaian dengan pelajaran yang akan diajar.

    “Defendan kedua melakukan kecuaian di dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka sehingga menyebabkan berlakunya kecederaan kepada plaintif disebabkan perbuatan defendan pertama.

    “Walaupun defendan pertama sudah didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Marang pada 12 Oktober tahun lalu, kita failkan tindakan sivil supaya anak guam saya mendapat ganti rugi disebabkan kecederaan dialaminya yang membataskan pergerakannya,” katanya, lapor BH Online.

    Susulan saman difailkan itu, mahkamah menetapkan 6 Februari depan untuk sebutan kes.

    Sementara itu, Nor Azlina berharap anaknya mendapat keadilan ke atas kecederaan yang dialaminya selain berharap tuntutan itu dapat digunakan anaknya pada masa akan datang.

    “Kejadian itu menyebabkan anak saya patah tulang dan tentunya dia akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan kerana tidak boleh melakukan kerja-kerja yang berat.

    “Selain itu, kejadian itu turut menyebabkan anak trauma sehingga terpaksa mendapatkan rawatan psikiatri dan sehingga kini, anak masih mendapatkan rawatan secara berkala di Hospital Sultanah Nur Zahirah,” katanya.

  • KJ gesa hentikan kegilaan, mahu jawatan tertinggi UMNO dipertanding

    KJ gesa hentikan kegilaan, mahu jawatan tertinggi UMNO dipertanding

    BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sekali lagi menggesa agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang.

    Menerusi Instagram miliknya, Khairy membidas sekumpulan pemimpin UMNO, mendakwa mewakili 140 bahagian, yang menggesa dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan.

    “Hentikan kegilaan ini. Saya rasa Presiden (Ahmad Zahid Hamidi) adalah seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar (untuk jawatan Presiden UMNO).

    “Buka ruang pertandingan. Jangan matikan demokrasi dalam UMNO,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Majlis Kerja Tertinggi UMNO masih belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

    Semalam, sekumpulan pemimpin UMNO bahagian menggesa Zahid agar tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu, dengan berkata parti perlu diperkukuh menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri.

    Jurucakap kumpulan itu, Ketua UMNO Wangsa Maju, Shafei Abdullah mendakwa mereka mewakili 140 ketua bahagian.

  • Parti lain tak minta pun pemimpin letak jawatan lepas kalah PRU-Puteri UMNO

    Parti lain tak minta pun pemimpin letak jawatan lepas kalah PRU-Puteri UMNO

    PUTERI UMNO mengingatkan ahli mencontohi parti lawan yang tidak terlalu ghairah menjatuhkan pemimpin mereka walaupun beberapa kali tewas dalam pilihan raya.

    Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berkata, ini kerana ketika ini wujud gerakan supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan selepas parti itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    “Lihatlah dalam kalangan mereka berapa kali mereka kalah pilihan raya tetapi mereka tidak mendesak presiden mereka turun. Kita tidak mahu dilihat seperti ketam di dalam baldi. Apabila ada seekor ketam yang naik ke atas, ketam-ketam lain menarik supaya jatuh ke bawah.

    “Kita sepatutnya sama-sama mencari jalan mendukung pemimpin kita menjadi lebih kuat bukan melemahkannya. Apa-apa tindakan yang boleh lemahkan parti mesti kita elakkan,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada hari kedua Perhimpunan Agung Sayap UMNO, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Beliau berkata, parti lawan sentiasa dilihat kuat dan kukuh apabila sering bangkit mempertahankan pemimpin mereka walaupun diserang pihak lawan dengan pelbagai tomahan.

    “Kekuatan mereka pula walau apapun tohmahan dilemparkan kepada pemimpin mereka, mereka tetap mempertahankan pemimpin yang mereka pilih. Kelemahan kita pula sekiranya pemimpin kita diserang ramai pula kalangan kita turut mencari jalan merebahkan pemimpin kita. Prinsip mempertahankan institusi presiden jauh sekali ada dalam kalangan kita.

    “Kelemahan kita, kita tak cukup pandai mencari keburukan pemimpin mereka dan menghina hingga ke tahap paling rendah. Apatah lagi membina naratif pembunuhan karakter dan mencipta fitnah. UMNO hanyalah kilang melahirkan pemimpin khidmat dan pembangunan. Kita gagal melahirkan penembak tepat, penabur fitnah dan pembunuh karakter mereka satu-persatu,” katanya.

    Sehubungan itu, beliau menggesa akademi atau institut UMNO perlu ditubuhkan segera kerana cadangan itu sudah lama diutarakan namun ia belum dilaksanakan.

    Katanya, langkah itu bagi melahirkan lebih ramai penyumbang idea baharu yang bernas datangnya daripada Umno.

    “Ini bukan idea baharu. Sudah lama diperkatakan dan sudah ramai dipertanggungjawabkan namun hingga kini belum berjalan.

    “Sebab apa? Sebab masih ramai menganggap kepimpinan UMNO hanya datang secara semulajadi, hasil lonjakan dari sistem lama kita yang semakin lama pasti akan menjadi lapuk dan tidak sesuai lagi untuk masa akan datang,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

  • Wanita UMNO minta jawatan Presiden, Timbalan tak dipertanding

    Wanita UMNO minta jawatan Presiden, Timbalan tak dipertanding

    KETUA Wanita UMNO, DatuK Seri Noraini Ahmad berkata, lebih elok jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu tidak dipertandingkan.

    Katanya, ini bagi memberi kedua-dua pemimpint teringgi itu memulih dan memperkasakan parti demi survival politik parti dan negara.

    “Sudah tiba masanya untuk kita bersama-sama dengan kepimpinan yang ada, bangkit bersama memulihkan kekuatan parti dan keyakinan rakyat. Membawa UMNO kembali ke landasan perjuangan yang hakiki,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada perwakilan Wanita pada hari kedua Perhimpunan Agung Sayap UMNO, di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Noraini turut mengingatkan perwakilan sentiasa patuh, taat dan setia kepada kepimpinan demi perpaduan dan kestabilan parti.

    “Kita harus bersatu hati menerima keputusan kepimpinan dalam merancang strategi kerjasama politik antara parti dalam perjuangan dalam membina negara bangsa yang lebih utuh dan mapan, bukannya bertelagah sesama kita.

    “Keputusan PRU15 wajar kita jadikan iktibar untuk menilai kelemahan, memperbaiki dan merancang strategi yang lebih berkesan, seterusnya kembali bangkit bagi meraih kepercayaan rakyat untuk menghadapi pilihan raya negeri kelak,” katanya.

    Katanya, pembersihan dalaman parti perlu dilakukan secara total tanpa kompromi lagi demi memastikan UMNO melangkah ke hadapan.

    “Dari faktor dalaman, kita kalah akibat sebahagian daripada kita yang tidak pernah berhenti menembak kaki sendiri. Kekurangan ini menginsafkan kita bahawa Wanita memerlukan tekad untuk melangkah ke hadapan.

    “Untuk kita kembali merangkul kekuatan, kembali bangkit dan pulih, kita perlu ‘revamp’ pendekatan, gerak kerja dan pelan tindakan kita untuk memastikan keberkesanan serta kesesuaiannya dengan perubahan zaman,” katanya, lapor Free Malaysia Today (FMT).

    Majlis Kerja Tertinggi UMNO masih belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi itu akan dipertandingkan pada pemilihan parti, yang mesti diadakan sebelum 19 Mei, atau dalam tempoh enam bulan selepas pilihan raya umum (PRU).

    Semalam, sekumpulan pemimpin UMNO bahagian menggesa Zahid agar tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi parti itu dengan menyatakan parti perlu diperkukuh menjelang PRN di enam negeri.

    Jurucakap kumpulan itu, Ketua UMNO Wangsa Maju Shafei Abdullah mendakwa mereka mewakili 140 ketua bahagian.

  • Pemuda UMNO desak SPR ambil tindakan segera petisyen PRU

    Pemuda UMNO desak SPR ambil tindakan segera petisyen PRU

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PEMUDA UMNO mendesak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan segera terhadap semua petisyen pilihan raya umum (PRU) yang telah dikemukakan mengenai salah laku sogokan wang.

    Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, malah terdapat video yang membuktikan amalan merasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah.

    Selain itu, beliau berkata, Pemuda UMNO mengucapkan syabas kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula mengambil tindakan menangkap suspek yang terlibat dalam kes penyelewengan RM92.5 bilion pakej rangsangan.

    Dr. Asyraf berkata, pakej berkenaan yang diluluskan dalam tempoh darurat dan difahamkan selepas ini lebih ramai lagi yang akan ditahan dan diambil tindakan.

    “Ini mengesahkan lagi kesangsian kita selama ini bahawa kemungkinan berbilion-bilion duit rakyat disakau melalui projek-projek rundingan terus yang diluluskan dalam tempoh darurat kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu.

    “Barangkali mungkin sebab itu jugalah ada parti yang selama ini bersandiwara dengan mengutip duit syiling untuk memasang bendera, kini boleh berkempen dengan berbelanja mewah sehingga ratusan ringgit dibayar kepada pengundi luar dan mahasiswa!

    “Barangkali mungkin sebab itu juga ada parti yang baru setahun jagung ditubuh, tiba-tiba begitu mewah dalam berkempen sehingga mampu berbelanja jutaan ringgit bagi menyogok pengundi muda dan pengundi kali pertama.

    “Namun, jangan sesekali lupa akan aturan Allah SWT. Menang banyak pun belum tentu boleh menjadi kerajaan. Percayalah kepada prinsip keberkatan! Kemenangan yang diperoleh dengan cara yang salah dan tidak diredhai tuhan, belum tentu memberikan natijah kebaikan yang berkekalan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, sesungguhnya kekalahan dalam kemulian lebih baik daripada kejayaan dalam kehinaan.

    “Jangan di mulut sahaja melaung-laungkan Islam, tetapi perbuatannya kufur nikmat dan melanggar aturan Tuhan,” ujarnya.

    Justeru katanya, Pemuda UMNO menggesa agar pihak SPRM dan Peguam Negara terus memburu dan segera mendakwa mereka yang disyaki terlibat dalam rasuah dan penyelewengan berbilion-bilion wang rakyat.

    Dr. Asyraf mengingatkan supaya tidak ada lagi pendakwaan pilih kasih atau pendakwaan politik terpilih sehingga ramai yang menjadi mangsa penganiayaan, penghinaan dan dimalukan bertahun-tahun lamanya.

  • Kekuatan, kelemahan organisasi terletak kepada kepimpinan-Pemuda UMNO

    Kekuatan, kelemahan organisasi terletak kepada kepimpinan-Pemuda UMNO

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kekuatan atau kelemahan sesebuah organisasi terletak kepada institusi kepimpinannya.

    Jelas beliau, perkara berkenaan dirujuk dalam ilmu sains politik sebagai ‘centre of gravity theory’ atau Teori Pusat Graviti.

    “Menurut teori ini, kekuatan ataupun kelemahan sesebuah organisasi terletak kepada institusi kepimpinannya.

    “Sekiranya pusat graviti ini dilemahkan atau dirosakkan, maka sebesar-besar planet pun boleh hancur kerananya. Seluas-luas cakerawala pun boleh huru-hara kerana kemusnahannya.

    “Presiden adalah pusat graviti kepada parti. Yang amat berhormat Presiden bukanlah individu tetapi sebuah institusi. Lemah institusi
    Presiden, lemahlah organisasi. Hancur institusi Presiden maka musnahlah kekuatan parti.

    “Sebab itulah strategi menyerang peribadi pemimpin, membunuh karakter pemimpin dan menghancurkan kredibiliti pemimpin adalah senjata paling ampuh bagi melemahkan dan menundukkan mana-mana organisasi.

    “Buktinya jelas di hadapan kita. Daripada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) hinggalah PRU-15, kedua-dua kepimpinan tertinggi parti dibunuh kredibilitinya dan diwajahkan dengan persepsi hodoh akibat pendakwaan politik terpilih dengan begitu dahsyat hingga mengakibatkan UMNO jatuh tersungkur,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur hari ini.

    Katanya, UMNO sendiri yang merelakan segala kebobrokan tersebut berlaku dan media sosial milik pemimpin terbabit dibuka untuk kepimpinan sendiri dihina.

    “Malah kita khayal dan seronok dengan gegak gempita, sorak sorai penonton tatkala memerli dan merendahkan parti sendiri.

    “Lebih menyedihkan apabila kewujudan api dalam sekam, gunting dalam lipatan dan musuh dalam selimut yang berkempen dalam pilihan raya dengan cara mengutuk parti dan Presidennya sendiri.

    “Tak pernah terbayang dek akal kita, bagaimana pemimpin-pemimpin yang sudah berpuluh tahun hidup mewah di atas keringat dan air mata ahli-ahli parti, tetapi kali ini memilih memburukkan parti dan kepimpinan hanya kerana mereka tidak dapat menjadi calon lagi,” katanya.

    Beliau mendakwa, terdapat calon daripada UMNO semasa PRU menjadi ‘hero’ yang mencerca parti serta menjaja cerita kononnya mengundi ‘beliau’ bermakna undi untuk memulihkan UMNO yang sesat, rosak dan korup.

    Menurutnya, ini seolah-olah beliau adalah satu-satunya yang paling suci, paling sempurna, dan paling hebat segala-galanya.

    “Apa hodoh sangatkah UMNO yang menatang mereka sehingga sesetengahnya dapat beberapa kali menjadi menteri? Apa busuk sangatkah kepimpinan kalau mereka yang berulang kali khianat pun masih diberi tempat bertanding oleh parti,” soalnya.

    Justeru katanya, bagaimana rakyat akan percaya UMNO dan Barisan Nasional (BN) mampu memimpin negara dan yakin bahawa gabungan itu boleh membawa kestabilan jika pemimpin atasan dilihat bercakaran?

    Beliau turut mempersoalkan bagaimana rakyat akan mengundi BN jika pemimpin sesama sendiri berpecah belah dan saling kata mengata?

    “Bak kata peribahasa Inggeris, ‘a house divided against itself cannot stand’. Realitinya, 2018 kita kalah kerana fitnah. 2022 kita kalah kerana berpecah,” dakwanya.

    Dr. Asyraf menyifatkan apa yang berlaku seperti ulangan kepada sejarah perang Uhud yang pada mulanya dimenangi umat Islam.

    “Ini adalah ulangan kepada ‘ibrah Perang Uhud yang asalnya kita menang, tetapi kerana culas mentaati perintah pemimpin, maka pasukan
    Islam akhirnya tumbang kali pertama dalam perang melawan Musyrikin.

    “Sebab itulah Nabi Muhammad SAW sendiri berkali-kali mengingatkan peri pentingnya mentaati pemimpin tatkala senang mahupun susah,
    mempertahankan pemimpin samada yang disukai ataupun yang dibenci,” katanya.

    Beliau memetik hadis riwayat Muslim: “Apabila datang kepada kamu seseorang dan ketika itu kamu sedang diuruskan oleh seorang pemimpin, tiba-tiba orang itu mengajak kamu untuk meninggalkan pemimpin dan sekali gus hendak merobek perpaduan antara kamu, maka hapuskanlah orang itu.”

    Kata beliau, atas asas tersebut dalam dalam dua ucapan dasar sebelum ini, Pemuda UMNO tidak pernah berganjak dengan pendirian untuk terus mempertahankan institusi kepimpinan parti.

    Pemuda UMNO katanya, tidak boleh bersikap hipokrit, melambung pemimpin ketika menang, tetapi memijak lumat pemimpin semasa jatuh kecundang.

    “Justeru, Pemuda mendesak agar saki baki pengkhianat parti yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, mengutamakan diri daripada parti agar disingkirkan daripada terus menjadi barah yang merosakkan seluruh organ dan jasad parti UMNO ini,” katanya.

  • Ibu Chef Wan meninggal dunia

    Ibu Chef Wan meninggal dunia

    NORAINI Abdullah, iaitu ibu chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan meninggal dunia pada usia 93 tahun di Hospital Gleneagles, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, pada pukul 6.20 pagi tadi.

    Allahyarham Noraini atau lebih dikenali sebagai Che Ani menghembuskan nafas terakhir selepas 10 hari dirawat akibat penyakit kanser dan Alzheimer.

    “Dengan penuh dukacita, ibu kesayangan saya sudah pun meninggal dunia dengan tenang pada jam 6.20 pagi sewaktu dalam tidur.

    “Semoga roh ibu dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa beliau serta ditempatkan bersama-sama orang yang beriman nanti,” kata Che Wan melalui hantaran dalam Instagram (IG).

    Menurut laporan BH Online, Chef Wan memberitahu, jenazah ibunya akan dibawa ke Masjid Putrajaya sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Cyber 10, Cyberjaya.

    Dalam entri berkenaan, Chef Wan berterima kasih kepada semua pihak yang menitipkan doa buat ibunya.

  • Penjawat awam antara enam ditahan didakwa terima rasuah RM20,000

    Penjawat awam antara enam ditahan didakwa terima rasuah RM20,000

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan enam individu termasuk penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan di Semporna, pukul 10 malam tadi.

    Semua mereka l termasuk seorang lelaki disyaki sebagai orang tengah ditahan kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM20,000 daripada seorang individu.

    Menurut sumber, sogokan itu diberi supaya tidak mengambil tindakan ke atas anaknya yang disyaki melakukan kesalahan menyimpan kira-kira 100 kotak minyak masak bersubsidi disyaki untuk diseludup ke luar negara.

    “Semua suspek berusia antara 29 dan 50 tahun ditahan pegawai SPRM selepas menerima sebahagian daripada wang rasuah iaitu sebanyak kira-kira RM5,000 daripada orang awam berkenaan,” katanya, lapor Astro Awani.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

    “Kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    “Semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau untuk proses permohonan reman pada hari ini bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

  • Hala tuju UMNO yang sudah dijangka

    Hala tuju UMNO yang sudah dijangka

    Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN

    PERSIDANGAN UMNO kali ini menepati ramalan akan menjadi pentas bagi mempertahankan keputusan parti itu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) hingga dapat membentuk Kerajaan Perpaduan.

    Penjelasan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dalam taklimat tertutup semalam juga dapat diterima sebulat suara semua perwakilan seperti mana yang diakui oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Johari Ghani walaupun prinsip perjuangan parti itu berlawanan dengan apa yang diperjuangkan PH.

    Para perwakilan juga dapat menerima bahawa kumpulan yang setia dengan prinsip parti dianggap pengkhianat manakala kumpulan yang menggadaikan prinsip parti dijulang dan akan terus dipertahankan.

    Pentas persidangan UMNO yang sebelum ini menjadi medan bagi menghentam DAP juga sudah menjadi sebaliknya apabila Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan secara terbuka memuji DAP yang disifatkannya berterus-terang dan tidak bermuka-muka dalam menjalinkan hubungan dengan UMNO.

    Seperti yang semua sedia maklum, DAP yang dulunya musuh nyata kini sudah menjadi teman mesra yang kini semuanya indah-indah belaka tidak ubah seperti pasangan mempelai yang baru disatukan dalam ikatan rasmi.

    Segala tohmahan, tuduhan dan serangan antara satu sama lain di pentas politik yang baru saja berlalu baru-baru ini seolah-olah hilang dibawa di angin yang lalu seiring dengan kerjasama yang tidak dijangka-jangka itu.

    Dalam ucapan perasmian ketiga-tiga sayap parti juga, Mohamad Hasan ataupun Tok Mat nampaknya tidak melihat kelemahan pimpinan parti itu sebagai punca mereka ditolak pada Pilihan Raya Umum (PRU15) lalu, tetapi sebaliknya menyalahkan parti lawan yang didakwa memburukkan UMNO melalui media sosial.

    Memang dapat dibaca dakwaan itu ditujukan kepada Perikatan Nasional (PN) tetapi Tok Mat mungkin lupa atau buat-buat lupa bagaimana gelaran dan serangan PH terhadap UMNO-BN hingga tercetusnya lagu “hoi-hoi ya hoi”.

    Dalam pada itu, kedudukan Zahid dan Tok Mat juga nampaknya tidak tergugat apabila ketua-ketua UMNO bahagian secara terang-terangan menyatakan yang kedua-dua jawatan tersebut patut dikekalkan dan tidak wajar dipertandingkan pada pemilihan yang akan datang.

    Maka, sebagai pemerhati luar yang tidak berada dalam UMNO, penulis melihat tindak-tanduk UMNO ini merosakkan lagi imej UMNO yang sedia sedia sudah ditolak dengan kuat oleh pengundi atas pagar pada PRU15 yang lalu.

    UMNO juga susah untuk bangkit selepas ini kerana tindakan pimpinan atasan membawa UMNO jauh menyimpang daripada landasan sebenar yang mana parti itu bukan lagi tempat yang sesuai untuk menjadi tempat pergantungan bagi orang Melayu dan Islam.

    Parti itu berasakan tindakan bekerjasama dengan PH yang dianggotai DAP adalah langkah tepat dan kurang mudarat tetapi tanpa mereka sedari tindakan itu akan menguburkan UMNO dengan lebih pantas.

    Ini kerana tidak sebegitu mudah DAP yang mereka tentang dan lawan sejak sekian lama akan sekelip mata mengubah tanggapan dalam tempoh yang singkat terhadap UMNO.

    Adalah amat janggal UMNO yang hanya mempunyai 26 kerusi Parlimen akan dihormati dalam koalisi itu berbanding DAP yang memenangi 40 kerusi.

    Dalam sejarah perjuangan PH juga, DAP adalah super senior jika dibandingkan dengan UMNO yang setahun jagung menjalinkan kerjasama untuk berada dalam PH.

    Penulis yakin selepas ini suara UMNO dalam kerajaan PH akan perlahan-lahan dipinggirkan dan pada masa itu UMNO sudah tiada tempat untuk berpaut kerana rakyat dan penyokong akar umbi tidak lagi mempercayai prinsip perjuangan mereka. Kita tunggu dan lihat nasib yang bakal menimpa UMNO selepas ini.