Author: Wartawan WartaRakyat

  • Misi GERAKAN tawan semula Pulau Pinang dalam PRN

    Misi GERAKAN tawan semula Pulau Pinang dalam PRN

    PARTI Gerakan Malaysia (Gerakan) mensasarkan untuk menawan kembali Pulau Pinang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

    Timbalan Presiden Gerakan, Koo Shiaw Lee berkata, pihaknya bersama parti komponen lain dalam Perikatan Nasional (PN) telah pun merangka strategi untuk mencapai objektif tersebut.

    Jelas beliau, setakat ini, Gerakan telah mencapai 90 peratus tahap kesiapsagaan untuk ‘bertarung’ dengan DAP bagi merampas semula Pulau Pinang.

    “Fokus utama Gerakan dalam PRN kali ini adalah Pulau Pinang yang mana kita telah melihat terdapat perubahan dari sudut sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “PN menunjukkan peningkatan sokongan luar biasa dan ini termasuklah parti Gerakan yang mana semakin ramai pengundi Melayu beralih kepada kita,” katanya memetik laporan UtusanTV.

    Mengulas lanjut, Shiaw Lee berkata, antara strategi yang diguna pakai dalam menghadapi PRN kali ini adalah dengan mendekati dan meraih perhatian golongan muda di media sosial.

    Jelas beliau, hal itu memandangkan media sosial merupakan satu daripada ‘lubuk’ utama PN meraih sokongan golongan muda dalam PRU15.

    “Media sosial bukan sahaja cara terbaik untuk mendekati golongan muda, tetapi juga golongan pertengahan.

    “Kita juga kekal menggunakan kaedah fizikal seperti bersemuka dengan pengundi dan menyampaikan maklumat melalui media cetak,” katanya.

    Mengulas mengenai pola pengundi Cina pasca PRU15, Shiaw Lee mengakui DAP masih lagi dominan berbanding Gerakan serta MCA.

    Begitupun, jelas Shiaw Lee, data PRU15 menunjukkan Gerakan juga berjaya menambah jumlah sokongan pengundi Cina walaupun jumlahnya tidak begitu besar.

    “Ini satu perkembangan positif. Ketika ini DAP yang berada dalam blok kerajaan juga mempunyai liabiliti kerana menabur banyak janji-janji yang perlu dipenuhi dalam PRU15.

    “Selain itu, keberadaan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan juga dilihat akan menyulitkan DAP dalam PRN kali ini.

    “Sudah tentu akan berlaku pertembungan dalaman untuk bertanding di kerusi-kerusi tertentu antara DAP dan MCA sekiranya tiada penyelesaian yang baik antara kedua-dua parti tersebut,” katanya.

  • Zahid maafkan 10 MP BN tandatangan SD, tapi akan pantau

    Zahid maafkan 10 MP BN tandatangan SD, tapi akan pantau

    LEMBAGA Disiplin Barisan Nasional (BN) akan memantau 10 Ahli Parlimen daripada gabungan itu yang dikenal pasti menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

    Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pemantauan itu bertujuan untuk mengenal pasti sekiranya kumpulan 10 Ahli Parlimen terbabit terus menggerakkan langkah untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

    Beliau bagaimanapun memaklumkan sudah memaafkan semua 10 Ahli Parlimen BN yang bertindak menyokong Muhyiddin itu.

    “Oleh kerana perkara itu sudah berlalu dan kini mereka bersama-sama dengan Kerajaan Perpaduan, saya nyatakan bahawa saya sudah memaafkan apa yang berlaku.

    “Jadi Lembaga Disiplin akan lakukan pemantauan terhadap pendirian mereka sama ada akan lakukan sebarang gerakan.

    “Tetapi saya yakin mereka akan bersama dengan UMNO dan BN serta mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang,” katanya selepas merasmikan Pavilion Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini, lapor Berita Harian.

    Zahid ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena PAU 2022 semalam mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Sumber pemimpin UMNO berkata, Ahmad Zahid memperincikan kawasan diwakili Ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dikatakan dari Johor.

    Dalam pada itu, Ahmad Zahid percaya tindakan diambil 10 Ahli Parlimen terbabit disebabkan situasi politik ketika itu yang tidak menentu.

  • Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    Tandatangan SD sokong Muhyiddin jadi PM bukan khianat parti, kata Jalaluddin

    AHLI Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, tindakan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk enam daripada UMNO, menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), bukan membelakangkan atau mengkhianati parti.

    Beliau yang juga seorang daripada 10 Ahli Parlimen berkenaan menegaskan, tindakannya menandatangani SD menyokong Muhyiddin adalah selaras dengan naratif parti pada ketika itu.

    Jelas beliau, selepas UMNO dan BN memutuskan pendirian terakhir untuk menyertai kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, semua 10 Ahli Parlimen terbabit akur dengan terus menarik balik SD berkenaan.

    “Mengenai 10 Ahli Parlimen termasuk saya (menyokong Muhyiddin), ketika itu kita buat satu keputusan berdasarkan naratif parti. Apabila parti buat keputusan akhir untuk menerima kerajaan perpaduan, maka yang 10 itu menarik diri dengan membatalkan SD dan mengikut keputusan parti.

    “Saya tidak fikir itu satu perkara yang membelakangkan parti atau boleh dikatakan mengkhianati parti.

    “Khianat kepada parti ialah kita bersama dengan parti pembangkang untuk mengalahkan calon BN ketika kita menghadapi PRU15. Itu khianat kepada parti.

    “Ketika kita menghadapi PRU15, kita berusaha sebaik mungkin untuk menangkan BN. Saya bertanding atas BN. Apabila parti buat keputusan, kita akur,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan 10 Ahli Parlimen BN termasuk daripada UMNO menandatangani SD menyokong pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

    Selain Jalaluddin, mereka adalah Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup; Datuk Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah); Datuk Shamshulkahar Deli (Jempol); Hasni Mohammad (Simpang Renggam); Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis); Datuk Isam Isa (Tampin); Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Ayer Itam) dan Datuk Seri Wee Jack Seng (Tanjong Piai).

    Pendedahan itu dibuat Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di WTC Kuala Lumpur.

    Mengulas lanjut Jalaluddin berkata, 10 Ahli Parlimen itu hanya boleh dianggap mengkhianati parti sekiranya mereka tetap kekal dengan pendirian menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, selepas UMNO dan BN sudah memutuskan menyertai kerajaan perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH).

    “Saya tak nampak sudut negatif dalam ucapan Presiden atau Timbalan Presiden. Kita kena teliti apa isi ucapannya, iaitu UMNO kena bergerak ke hadapan dengan satu konsep perpaduan dan solidariti.

    “Perkara yang sudah berlaku mesti dijadikan satu sempadan dan pengajaran untuk setiap pemimpin serta akar umbi supaya meletakkan parti sebagai satu keutamaan.

    “Ini ucapan yang lebih realistik, futuristik dan memiliki visi yang menampakkan perjalanan ke hadapan yang lebih jelas,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Muhammad Sanusi awal lagi sudah fail pernyataan pembelaan saman Anwar

    Muhammad Sanusi awal lagi sudah fail pernyataan pembelaan saman Anwar

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor jelas tidak melatah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam yang mengarahkan beliau memfailkan pernyataan pembelaan selewat-lewatya 13 Februari depan dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadapnya.

    Menurut Muhammad Sanusi, perkara itu sudah dilakukan sejak dari awal beliau disaman pada 13 Disember lalu.

    “Semalam itu cuma naratif untuk mengekalkan momentum beliau. Lepas kemuka saman, beliau suruh jawab dan itu hanya kerana mahu ‘maintain’ momentum saja.

    “Hakikat sebenarnya bukan macam itu. Sebaik saja beliau failkan saman dan mahkamah maklum, terus pihak kami jawab. Saya senaraikan semua kes mahkamah dilaluinya.

    “Tetapi saya malas la nak ulas lagi. Nanti orang kata mulut saya celupar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Perdabandaran Mampu Miliki Darul Aman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 di Jitra, Kedah, hari ini.

    Semalam Bernama melaporkan, Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar berkata, mahkamah juga mengarahkan anak guamnya, memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan selewat-lewatnya 13 Mac.

    Menurut S.N. Nair, pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 20 Mac depan.

    Pada 13 Disember lalu, Anwar, 75, selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Muhammad Sanusi, 48, sebagai defendan tunggal.

    Anwar dalam pernyataan tuntutannya berkata, pada 13 November tahun lalu, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah, memberi ucapan pilihan raya pada ceramah terbabit sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

    Menurut Anwar, ucapan dalam ceramah itu diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama ‘Faizal Azumu’ yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

    Menurut Presiden PKR itu, pada 14 November 2022, kenyataan fitnah daripada video itu dipetik oleh MalaysiaKini dan portal berkenaan menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

    Anwar mendakwa, kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud plaintif mendapat pengampunan Diraja melalui penipuan dan kekal tidak diampunkan serta memperdaya Yang di-Pertuan Agong, seorang pembohong, tidak boleh dipercayai, tidak beretika dan mengkhianati mandat rakyat.

    Menurut plaintif, kenyataan-kenyataan itu dibuat dengan berniat jahat bertujuan untuk menghasut orang ramai dan menimbulkan kebencian peribadi terhadapnya dan PH semasa tempoh berkempen menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November tahun lalu.

    Ahli Parlimen Tambun itu berkata, kenyataan terbabit tidak benar dan semua pertuduhan jenayah yang dihadapinya sebelum ini adalah sebahagian daripada konspirasi politik yang dirancang untuk menyingkirkan beliau daripada memegang jawatan awam dan merosakkan karier politiknya.

  • Dua sayap UMNO desak ambil tindakan terhadap pengkhianat parti termasuk singkir

    Dua sayap UMNO desak ambil tindakan terhadap pengkhianat parti termasuk singkir

    DUA sayap UMNO hari ini mendesak agar ‘pengkhianat’ parti itu disingkirkan daripada terus merosakkan institusi politik Melayu terbesar itu.

    Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, individu berkenaan disifatkan sebagai gunting dalam lipatan, yang didakwa hanya mengutamakan diri berbanding parti.

    “Pemuda tidak pernah berganjak untuk mempertahankan institusi kepimpinan parti tanpa rasa takut.

    “Pemuda tidak boleh bersikap hipokrit melambung pemimpin takkala menang, tetapi memijak lumat pemimpin tatkala jatuh kecundang.

    “Justeru Pemuda mendesak agar saki-baki pengkhianat parti, yang selama ini menjadi api dalam sekam, gunting dalam lipatan, serta mengutamakan diri daripada parti, agar disingkirkan terus daripada menjadi barah yang merosakakan seluruh organ dan jasad parti.

    “Setuju? Timbalan Presiden (Datuk Seri Mohamad Hasan) ada mendengar luahan hati kita,” katanya ketika berucap dalam ucapan dasar Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda UMNO 2022 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), Kuala Lumpur hari ini.

    Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan berucap pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.

    Selepas gesaan sayap Pemuda, Puteri UMNO turut mendesak agar tindakan segera diambil terhadap ahli yang terbukti cuba memusnahkan parti.

    Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan menegaskan, parti sama sekali tidak boleh bertolak ansur dengan pengkhianat sama ada ahli biasa atau yang memegang jawatan.

    “Berparti pada adabnya, tiada tempat untuk mereka yang biadab terhadap parti.

    “Pengkhianat parti adalah seperti barah, jika tidak dipotong dia akan merebak dan merosakkan seluruh sistem tubuh yang bernama UMNO.

    “Kita kena sanggup sakit dibedah hari ini daripada kita menderita di peringkat lima yang akan memusnahkan seluruh tubuh badan kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Ketua Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO.

  • Dua ejen insurans maut, kereta dinaiki rempuh lori tangki

    Dua ejen insurans maut, kereta dinaiki rempuh lori tangki

    DUA ejen insurans maut apabila kereta dinaiki mereka merempuh sebuah lori tangki dalam kejadian di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), berhampiran Serkam, Jasin, awal pagi tadi.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, kedua-dua mangsa Badrul Shyam Noor Ibrahim, 31, dan Ezham Hazim Ahyat, 33, disahkan maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.

    Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd. Fadzli Othman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang beralamat di Johor Bahru itu dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Muar.

    “Kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Vios ini sedang menghala ke arah Muar manalaka lori tangki yang turut terlibat dalam kemalangan ini pula dari arah Serkam menghala ke Jasin.

    “Apabila lampu isyarat sudah bertukar hijau, lori tangki yang dipandu lelaki berusia 42 tahun meneruskan perjalanan seperti biasa sebelum kereta dinaiki mangsa secara tiba-tiba melanggar bahagian sisi lori tersebut dan terbalik di tengah jalan,” katanya dalam kenyataan.

    Ujarnya, pemandu lori berkenaan bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala mayat kedua-dua mangsa terlibat dihantar ke Hospital Jasin untuk proses bedah siasat.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” tambahnya lapor Astro Awani.

  • Zahid jangan sekadar bercakap, ambil tindakan jika benar berlaku politik wang

    Zahid jangan sekadar bercakap, ambil tindakan jika benar berlaku politik wang

    Oleh RIZQI ZABIDI

    MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menempelak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana hanya ‘bercakap’ tanpa bertindak berhubung dakwaan berlaku politik wang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) hingga menyebabkan kejatuhan Barisan Nasional (BN).

    Menurut Muhammad Sanusi, Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri boleh menyuruh agensi terlibat untuk menangkap semua pihak yang bermain politik wang seperti didakwa.

    Namun katanya Ahmad Zahidi memilih langkah sebaliknya dengan cuba memalitkan tuduhan yang selama ini menyelubungi partinya kepada pihak lain.

    “Beliau dah jadi Perdana Menteri maka suruhlah agensi terlibat tangkap semua ‘hat’ main politik wang itu. Jangan cakap banyak, pi tangkap sebab dah ada kuasa.

    “Kami ini mana ada duit nak main politik wang. Yang tersohor di serantau dunia kerana main politik wang adalah UMNO dan Barisan Nasional (BN).

    “Parti lain tak ada tetapi UMNO dan BN ini sejak 70-an dan 80-an hinggalah sekarang. Tak payahlah palit pada orang lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Perdabandaran Mampu Miliki Darul Aman Saujana dan Pelan Induk Bandar Darulaman 3.0 di Jitra, Kedah, hari ini.

    Dalam Program Bual Bicara Naratif Khas disiarkan RTM Isnin lalu, Ahmad Zahid mendakwa politik wang menjadi faktor utama tsunami poliiitik yang mengakibatkan kejatuhan BN pada PRU-15 hingga menyebabkan gabungan itu hanya mampu memenangi 30 kerusi Parlimen.

    Menurut Presiden UMNO itu, ‘kuasa beli luar biasa’ daripada parti lawan menyebabkan pengundi berubah sikap dan gagal menilai prestasi politik khidmat yang dilaksanakan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN sepanjang tempoh lima tahun lalu.

    Sehubungan itu Ahmad Zahid menegaskan, amalan politik wang perlu dibanteras, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu, tahun ini.

    Diminta mengulas kenyataan Ahmad Zahid kepada perwakilan UMNO semalam yang didakwa memberi bayangan bahawa gabungan tersebut akan bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam PRN, namun memilih kekal menggunakan logo BN, Muhammad Sanusi berkata, terpulang kepada gabungan tersebut untuk menggunakan apa saja logo dimahukan.

    “Silalah guna logo apa pun, orang kenal dah ‘hangpa’,” katanya.

  • ‘Siapa nak tanding jawatan tertinggi parti, umum awal-awal’ – Isham Jalil

    ‘Siapa nak tanding jawatan tertinggi parti, umum awal-awal’ – Isham Jalil

    UMNO tidak pernah menghalang mana-mana ahli partinya untuk bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, kata Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil.

    Justeru katanya, dakwaan bahawa demokrasi dalam UMNO sudah terkubur, adalah sama sekali tidak benar.

    Namun katanya, beliau mencadangkan agar mana-mana pemimpin yang mahu bertanding pada Pemilihan UMNO akan datang termasuk jawatan tertinggi parti supaya mengumumkan penyertaan mereka lebih awal.

    “Ada juga naratif yang dibawa bahawa kita (UMNO) nak halang, kita tak pernah halang ya (bertanding jawatan Presiden dan Timbalan).

    “Parti-parti lain sebelum ini mereka tidak bertanding jawatan Presiden, tetapi kita pada 2018 pertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, dan kali ini pun kita tak halang.

    “Saya juga nak tambah cadangan mungkin siapa yang nak bertanding jawatan tertinggi ini, Presiden, Timbalan Presiden atau tiga Naib Presiden, saya nak cadangkan supaya mereka umum awal-awal. Buat apa nak sorok-sorok pada saya, dan kalau kita cakap belakang-belakang sahaja, tak elok.

    “Siapa nak bertanding jawatan Presiden, Timbalan Presiden… umum lah awal-awal,” katanya dalam sidang akhbar selepas meninjau pengamal media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

    Sebelum itu, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dalam kemas kini di laman sosialnya berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan bersedia untuk dicabar.

    Mengulas lanjut, Isham berkata, UMNO setakat ini tidak membuat sebarang pindaan terhadap Perlembagaan parti bagi menyekat ahlinya mencabar kedudukan jawatan tertinggi dalam Parti Melayu berkenaan.

    Berhubung tindakan 140 Ketua Bahagian yang mencadangkan agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pula, beliau berkata ia merupakan inisiatif mereka, yang tidak mahu melihat UMNO berdepan kekacauan.

    “Cuma ini atas inisiatif dan usul atau cadangan yang dibawa oleh Ketua-ketua Bahagian sebabnya mungkin pada masa kritikal ini, mereka tidak mahu menghuru-harakan UMNO.

    “Kita baharu sertai Kerajaan Perpaduan dan kerajaan ini masih rapuh pada (pandangan) saya. Kalau dalam pemilihan ini berlaku politik wang dan sebagainya, jadi ini mungkin yang dipertimbangkan oleh 140 Ketua Bahagian UMNO,” katanya lagi, lapor Astro AWANI.

  • Krisis politik Sabah bukti UMNO masih dengan cara lama

    Krisis politik Sabah bukti UMNO masih dengan cara lama

    WALAUPUN krisis politik terbaharu di Sabah merupakan konflik tempatan, namun penganalisis berkata peranan UMNO di sebalik krisis itu menunjukkan keinginan parti Melayu itu untuk mendapatkan kuasa.

    Pergolakan di Sabah tercetus sekali lagi apabila ura-ura kerajaan negeri akan bertukar tangan, selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) beserta parti Warisan dikatakan berkomplot bagi menjatuhkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bergegas ke negeri itu selepas melawat Indonesia. 

    Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut berlepas ke negeri itu bagi mencari jalan penyelesaian.

    Anwar dalam satu kenyataan berkata, pihaknya hanya datang memberi nasihat, dan selebihnya bergantung kepada pimpinan Sabah sendiri. 

    Penganalisis politik Dr. Mazlan Ali berkata, kemelut itu dilihat lebih kepada masalah dalaman antara pemimpin tempatan di Sabah. 

    Bagaimanapun, Mazlan berkata tindakan UMNO disifatkan sebagai mencolok mata.

    “Pemerhati dan rakyat melihat UMNO Sabah membuat keputusan bersifat peribadi dan bukan atas kepentingan rakyat,” katanya lapor MalaysiaNow.

    Penganalisis daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, kemelut itu boleh ditamatkan dengan pembentukan kerajaan perpaduan. 

    Pada 6 Januari, pengerusi BN Sabah merangkap pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri. 

    Kerjasama antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan negeri dibuat sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020.

    Ini merupakan krisis politik kedua negeri itu selepas krisis pertama menyaksikan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal gagal mempertahankan jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah. 

    Hajiji yang ketika itu daripada Parti PRibumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilantik menggantikan Shafie selepas gabungan PN-BN berjaya menwaskan Warisan.

    Menurut Bung, penarikan sokongan dibuat kerajaan negeri menamatkan lantikan politik daripada UMNO dalam syarikat milik kerajaan negeri.

    Bagaimanapun, lima ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) UMNO mengekalkan sokongan terhadap Hajiji. 

    Akibat cubaan menukar pemimpin yang gagal itu, Bung dipecat daripada menjadi Timbalan Ketua Menteri. 

    Menurut Mazlan, UMNO Sabah juga mempunyai autonomi tertentu yang menampakkan ia terkeluar daripada kebiasaan. 

    Sementara itu, penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Mujibu Abd. Muis berkata, kemelut tersebut tidak menjejaskan UMNO secara keseluruhan kerana ia membabitkan intra-parti dalam kerajaan campuran. 

    Namun katanya situasi itu mampu berulang di peringkat persekutuan. 

    “Di Persekutuan, ia bergantung kepada bagaimana perdana menteri mampu menangani tuntutan intra-parti serta kemampuan parti-parti dalam kerajaan mengimbangi isu dalaman parti. 

    “Inilah yang berlaku di Sabah apabila Hajiji tidak mampu melakukannya,” katanya. 

    Bagi Mazlan, konflik itu dijangka tidak ‘merebak’ ke Persekutuan. 

    Bahkan katanya, mustahak untuk Sabah meniru model kerajaan campuran di Persekutuan bagi mengekalkan kestabilan.

  • Ternak lembu di ladang, bukan dibiar berkeliaran tanpa kandang

    Ternak lembu di ladang, bukan dibiar berkeliaran tanpa kandang

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    PERDEBATAN mengenai isu haiwan ternakan dibiarkan berkeliaran di negeri Terengganu tidak pernah selesai.

    Malah, sejak kebelakangan ini isu tersebut semakin hangat diperbualkan walaupun pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya melibatkan Majlis Daerah di negeri ini telah bertindak menangkap serta mengenakan kompaun ke atas pemilik ternakan terbabit.

    Justeru, bagi menangani perkara ini kerajaan negeri khususnya PBT mestilah bertindak lebih tegas dengan mengenakan ‘hukuman’ lebih berat ke atas pemilik haiwan ternakan yang sentiasa bersikap sambil lewa terhadap ternakan masing-masing.

    Sebelum ini sudah berulang kali kerajaan negeri mengingatkan kepada orang ramai, kalau ingin menternak lembu, kambing atau kerbau mestilah di ladang, bukan di kawasan kampung dengan membiarkannya berkeliaran tanpa kandang.

    Malangnya, peringatan tersebut seolah-olah langsung tidak diendahkan oleh kebanyakan penternak haiwan.

    Apa yang dikesalkan semakin ramai pula orang yang menternak lembu, kambing dan kerbau di kawasan kampung.

    Ada perternak haiwan yang memiliki lebih 20 ekor lembu masih memelihara di kawasan rumah dengan dibiarkan berkeliaran di merata tempat.

    Mereka hanya mencari ternakan masing-masing pada waktu petang, itupun kalau cuaca tidak hujan.

    Kalau hari hujan lembu-lembu berkenaan ada yang menceroboh ke halaman dan di dalam pagar orang lain di samping memakan tanaman.

    Selain itu, ada juga ternakan berkenaan ‘menumpang’ tidur di bawah rumah dan kawasan garaj kereta rumah jiran.

    Apabila dimaklumkan kepada pemilik haiwan terbabit, akhirnya berlakulah pertengkaran mulut.

    Kalau hari hujan lembu-lembu berkenaan ada yang menceroboh ke halaman dan di dalam pagar orang lain di samping memakan tanaman.

    Maka itu, penulis berpendapat sudah sampai masanya isu ini perlu diselesaikan dengan segera.

    Ini kerana, isu haiwan ternakan berkeliaran ini bukan perkara baharu, sebaliknya sudah sekian lama diperkatakan.

    Sikap tidak bertanggungjawab penternak haiwan ini bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang awam kerana ia bukan sahaja mengotorkan kawasan kampung dan halaman orang kerana meninggalkan najis di merata tempat.

    Sebaliknya ternakan berkeliaran tersebut turut merosakkan tanaman orang lain disamping boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya khususnya di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).

    Kejadian kemalangan yang mengorbankan sembilan ekor lembu setelah dirempuh dua kenderaan di LPT2 berhampiran Kijal, Kemaman pada hujung bulan Januari lalu seharusnya dijadikan iktibar.

    Sikap tidak bertanggungjawab penternak haiwan ini menimbulkan kemarahan orang awam kerana mengotorkan halaman rumah orang lain apabila meninggalkan najis di merata tempat.

    Sebelum sesuatu lebih besar bakal terjadi, kita perlu mencari kedah dan pendekatan terbaik dalam mengatasi isu penternakan lepas bebas yang masih diamalkan kebanyakan penternak di negeri ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim pernah menyatakan bahawa isu penternakan lepas bebas ini amat berisiko termasuk kemalangan yang boleh meragut nyawa.