Author: Wartawan WartaRakyat

  • Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    Remaja tak matang, wakil Wanita UMNO gesa umur pengundi dinaikkan ke 23 tahun

    SEORANG pemimpin Wanita UMNO Kedah menggesa kerajaan menaikkan semula had umur mengundi kepada 23 tahun kerana remaja berusia 18 tahun masih belum matang.

    Menurut Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerai Norma Awang, pengundi 18 tahun mempunyai tahap kematangan dan pemahaman yang mentah mengenai pilihan raya, pengundian, sistem demokrasi dan implikasi pengundian terhadap pembentukan dan dasar kerajaan.

    “Sebab itu kita sarankan kepada penggubal undang-undang dan wakil Umno dalam kerajaan ubah semula had umur mengundi ini,” katanya ketika perbahasan sayap Wanita UMNO di WTC di ibu negara hari ini.

    Norma berkata, Barisan Nasional tidak cukup “ranggi” dan “loklaq” bagi menawan hati serta aspirasi anak muda, yang menjadi punca prestasi buruk UMNO dalam pilihan raya umum ke-15.

    Katanya, jangan dibanding remaja 18 tahun di Malaysia dengan rakan sebaya mereka di luar negara terutama di Barat.

    Menurutnya, di kebanyakan negara Barat, ramai remaja 18 tahun sudah mengikuti pengajian Masters dan PHD tetapi di Malaysia kebanyakan remaja masih “terkial-kial menagih ketum, asyik dengan TikTok dan bermadu asmara cinta monyet”.

    “Remaja 18 tahun di negara ini, seluar dalam pun emak bapak yang masih beli dan mereka baru selesai peperiksaan SPM,” katanya, lapor Free Malaysia Today.

    Atas faktor itu, kata Norma, had umur mengundi di Malaysia perlu dinaikkan kepada 23 tahun, tambahnya, pengundi setidaknya habis pengajian ijazah pertama.

    Inisiatif Undi18 dilaksanakan oleh kerajaan sejak Dis 2021, menurunkan had umur pengundi daripada 21 ke 18 tahun.

    PRU15 adalah kali pertama pelaksanaan inisiatif itu dan pendaftaran pengundi automatik. Ini menyebabkan penambahan 5.8 juta pengundi baharu, peningkatan sebanyak 40 peratus.

  • 164 ahli sindiket penipuan dalam talian dicekup di Langkawi

    164 ahli sindiket penipuan dalam talian dicekup di Langkawi

    Oleh BADLISHAH MAT

    JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menumpaskan satu sindiket penipuan dalam talian yang berpangkalan di Pulau Langkawi dalam serbuan yang dilakukan serentak di tiga buah resort, hari ini.

    Sindiket itu dikesan menjalankan kegiatan terbabit di resort yang dipercayai tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

    Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, sindiket yang dipercayai didalangi warganegara China itu turut merekrut warga tempatan.

    “Seramai 30 orang warga asing terdiri daripada 27 rakyat China, dua Thailand, seorang warga Myanmar serta 134 orang warganegara Malaysia ditahan dalam serbuan tersebut

    “Hasil siasatan terhadap rakyat Malaysia yang ditahan dalam operasi ini mengakui mereka dibayar sehingga RM3,000 sebulan dan komisyen sebanyak RM15 bagi setiap orang yang berjaya direkrut,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Lubuk Semilang, Ulu Melaka.

    Khairul Dzaimee berkata, JIM merampas 756 buah telefon bimbit, 150 buah komputer termasuk komputer riba serta pelbagai peralatan elektronik lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

    Tambah beliau, sindiket itu dianggarkan memerlukan RM800,000 sebulan untuk menampung kos operasi yang digunakan bagi membayar gaji, kos penginapan, sewa dewan dan pelbagai kemudahan lain yang digunakan mereka.

    Jelasnya, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai menjadikan resort-resort tersebut sebagai pusat operasi dan tempat untuk melatih ahli-ahli sindiket baharu bagi dijadikan sebagai operator kegiatan tersebut.

    “Sindiket ini dipercayai telah beroperasi hampir setahun dan sering kali berpindah-randah bagi mengelak aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

    “Sebanyak 17 pasport China dirampas dan semakan mendapati mereka menggunakan pasport baharu yang tiada rekod perjalanan, selain pas rawatan perubatan, manakala selebihnya tidak mempunyai dokumen yang sah,” ujarnya.

    Menurut beliau, pihaknya juga akan melakukan siasatan lanjut terhadap ketiga-tiga pemilik resort terbabit.

    Sementara itu, kesemua warganegara asing tersebut disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966, manakala kesemua warga Malaysia akan diberikan Borang 29 dan ditahan untuk siasatan lanjut.

  • Takiyuddin sahkan ada pertemuan PN, pimpinan BN diketuai Mohamad Hasan

    Takiyuddin sahkan ada pertemuan PN, pimpinan BN diketuai Mohamad Hasan

    SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan berlaku pertemuan antara Perikatan Nasional (PN) dengan kumpulan kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) yang didakwa diketuai oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, di Hotel St Regis sebelum kerajaan baharu dibentuk pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Pada pertemuan itu, Takiyuddin mendakwa, pemimpin BN membawa senarai tawaran dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada BN.

    “Saya mengesahkan PN ada berjumpa pimpinan tertinggi BN sebelum kerajaan sekarang dibentuk. Mereka yang hadir ketika itu diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

    “Turut hadir ialah Naib Presiden UMNO, Setiausaha Agung BN (Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir), Presiden MCA (Datuk Seri Dr Wee Ka Siong), dan Presiden MIC (Tan Sri SA Vigneswaran).

    “Pada pertemuan itu, mereka membawa satu senarai dan tunjuk kepada kita bahawa ini tawaran PH kepada BN… jadi apa PN boleh tawarkan kepada BN?” dakwanya, lapor Berita Harian.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di Tumpat, hari ini.

    Yang turut hadir ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

    Semalam, media melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan wujud ‘Langkah St Regis’ yang diatur beberapa Ahli Parlimen daripada parti itu bersama pemimpin PN.

    Ahmad Zahid berkata, ia bukan saja bertujuan menggagalkan pembentukan Kerajaan Perpaduan, malah cuba untuk menyingkirkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai Pengerusi BN.

    Bagaimanapun, Takiyuddin menjelaskan, beliau tidak memahami apa yang diperkatakan oleh Ahmad Zahid berhubung perkara itu.

    “Saya ada tarikh tepat bila pertemuan itu berlangsung, namun saya tidak perlu mendedahkannya,” katanya.

  • ‘Wallahi… sehari selepas PRU, Tok Mat datang ke rumah saya’ – Hamzah

    ‘Wallahi… sehari selepas PRU, Tok Mat datang ke rumah saya’ – Hamzah

    TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan didakwa tidak bercakap jujur apabila menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas yang menjadi antara alasan UMNO menyertai Kerajaan Perpaduan.

    Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, ia kerana Ahli Parlimen Rembau itu bercakap sebaliknya sebelum ini.

    “Saya wallahi nak cerita… sehari selepas Pilihan Raya Umum (PRU), beliau (Mohamad) ada datang ke rumah saya.

    “Apa yang disampaikan kepada saya ialah: ‘Brother, saya hendak maklumkan sekiranya Presiden UMNO mahu bekerjasama dengan DAP, saya orang pertama yang akan menentang’.

    “Malah, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut menjadi saksi pertemuan dan kata-kata itu.

    “Namun, apabila beliau kini menyatakan DAP lebih ikhlas dan lebih baik… apahal manusia macam ini. Sejak akhir-akhir ini, mereka sentiasa bercakap pusing-pusing,” dakwanya, yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN).

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Pasca Banjir, PN Sentiasa Bersamamu di Kampung Periok, di Tumpat, hari ini.

    Yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dan Takiyuddin.

    Mohamad ketika berucap pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), semalam, berkata UMNO bekerjasama dengan DAP pasca PRU15 kerana parti itu tidak bermuka-muka serta tidak berpura-pura dalam setia kawan.

    Sebaliknya, Mohamad berkata, UMNO sukar bekerjasama dengan Pas kerana mendakwa PAS tidak pernah setia atau ikhlas, malah tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan atau ‘janda’ UMNO.

    Mengulas lanjut, Hamzah mengaku terkejut apabila mendengar ucapan Mohamad pada perhimpunan agung parti itu, semalam.

    “Jika mereka menyatakan DAP lebih baik daripada Pas, ini bermakna UMNO sudah tidak betul… mana boleh DAP lebih baik (daripada PAS).

    “Justeru, saya yakin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, rakyat sudah pasti tidak akan menyokong mereka yang menyatakan DAP lebih baik berbanding Pas,” katanya.

  • Polis siasat anggota benarkan rakan pegang senjata api

    Polis siasat anggota benarkan rakan pegang senjata api

    POLIS Johor menyiasat berhubung tindakan seorang anggota polis yang membenarkan rakannya yang juga orang awam memegang dan bergambar dengan senjata api.

    Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, siasatan mendapati gambar berkenaan diambil di hadapan Balai Polis Taman Johor Jaya di Johor Bahru pada pukul 2.43 pagi, semalam.

    Katanya, gambar berkenaan kemudian tular dalam media sosial khususnya Twitter menerusi satu akaun bernama @evvok.

    “Polis telah mengesan satu gambar tular memaparkan seorang lelaki berpakaian seragam polis sedang menghisap rokok bersama seorang orang awam yang sedang memegang senjata api milik anggota polis berkenaan.

    “Orang awam yang merupakan rakan kepada anggota tersebut dilihat memegang senjata api jenis HK-MP5,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Sohaimi berkata, ketika gambar itu diambil, anggota berkenaan sedang bertugas di pos pengawal balai polis berkenaan.

    “Siasatan mendapati anggota polis, orang awam yang memegang senjata api dan seorang lagi individu awam yang mengambil gambar berkenaan merupakan rakan dan semuanya berusia 25 tahun.

    “Difahamkan, tujuan gambar tersebut diambil adalah sebagai kenang-kenangan, namun ianya telah dimuat naik ke dalam media sosial sehingga menjadi tular,” jelasnya.

    Katanya, tindakan anggota polis tersebut membenarkan orang awam memegang senjata api ketika bertugas adalah satu kesalahan yang melanggar tatakelakuan.

    Jelasnya, siasatan lanjut sedang dijalankan Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard (BIPS) Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam.

    “Anggota terlibat boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” tambahnya, lapor Sinar Harian.

  • Nasib empat MP Sabah keluar Bersatu diketahui esok: Speaker

    Nasib empat MP Sabah keluar Bersatu diketahui esok: Speaker

    SPEAKER Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul akan membuat keputusan esok sama ada berlaku kekosongan kerusi empat kawasan Parlimen di Sabah setelah wakil rakyat yang dipilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu, keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

    Keempat-empat mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Armizan Mohd Ali (Papar); Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Datuk Matbali Musah (Sipitang); dan Datuk Jonathan Yassin (Ranau), adalah ahli Bersatu yang bertanding di bawah lambang Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Johari berkata, beliau akan mengumumkan keputusannya sama ada akan ada atau tidak kekosongan di empat kerusi Parlimen Sabah itu.

    Sekiranya Johari memutuskan mereka melanggar undang-undang anti-lompat parti, semua ahli Parlimen (MP) terbabit perlu mengosongkan kerusi mereka, sekali gus akan membawa kepada pilihan raya kecil (PRK).

    “Saya telah menerima semua dokumen dan jawapan mereka dan saya mempunyai 21 hari untuk menjawab. Saya menelitinya kerana saya mendapat lebih banyak maklum balas daripada pegawai undang-undang.

    “Saya harus memuktamadkannya pada Jumaat,” kata Johari dalam satu temu bual bersama The Star.

    Speaker menambah beliau akan memaklumkan keempat-empat MP terbabit melalui surat.

    Mengikut undang-undang anti-lompat parti, yang dibuat melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen akan kehilangan kerusi jika mereka melompat ke parti lain.

    Pengecualian untuk Ahli Parlimen yang dipecat parti atau jika parti mereka dibubarkan atau dibatalkan pendaftaran.

    Sebelum ini, Johari mengesahkan menerima notis rasmi daripada Bersatu mengenai empat kerusi Parlimen yang didakwa kosong di Sabah yang boleh menyebabkan PRK diadakan.

    Johari berkata beliau menerima surat daripada Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee pada 27 Disember lalu yang meminta Speaker memaklumkan empat kekosongan itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

  • Tiga lelaki jual cecair vape kandungi dadah ditahan

    Tiga lelaki jual cecair vape kandungi dadah ditahan

    POLIS menahan tiga lelaki kerana disyaki menjual 33 botol cecair vape mengandungi dadah jenis ketamin bernilai RM6,800 dalam dua serbuan di sebuah premis dan rumah di FELDA Pasir Besar, Gemas, Tampin hari ini.

    Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, berkata serbuan pertama dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tampin di sebuah premis menjual rokok elektronik (e-cigarate) pukul 8.23 malam, 10 Januari lalu.

    “Hasil pemeriksaan, polis menemui lima botol kecil berwarna hitam disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin dengan anggaran isi padu 50 mililiter (ml).

    “Serbuan kedua kira-kira jam 8.30 malam pada hari sama di sebuah rumah di FELDA Pasir Besar turut menemui 28 botol lagi cecair sama dengan nilai rampasan keseluruhan RM6,800,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Anuwal berkata, hasil serbuan polis menahan dua lelaki berusia 18 dan 23 tahun yang juga pekerja di kedai itu kerana disyaki memiliki cecair mengandungi dadah berkenaan.

    “Polis turut menahan seorang lelaki berusia 30 tahun iaitu pemilik kedai vape dalam serbuan di rumah berkenaan.

    “Ketiga-tiga suspek, termasuk seorang penjawat awam direman selama empat hari bermula Rabu lalu dan dijangka akan didakwa di Mahkamah Majistret Tampin Jumaat ini.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya, lapor BH Online.

  • Lawanlah, adakan pemilihan jangan tutup demokrasi – Johari Ghani

    Lawanlah, adakan pemilihan jangan tutup demokrasi – Johari Ghani

    SYOR jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan kepada mana-mana ahli dan pemimpin dilihat sebagai menutup pintu demokrasi.

    Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, parti itu wajar memberi hak kepada ahli untuk mengundi dan membuat keputusan dalam memilih barisan pemimpinnya.

    “Kita kena praktis dalam UMNO ini bahawa kita mesti beri kepada semua ahli kita peluang untuk membuat keputusannya. Kerana ini adalah ‘training ground’.

    “Tengok parti lain PKR, DAP, PAS dia jalan (pemilihan) dulu, bergasak…dia bergasak juga, tapi akhirnya apa jadi? dia (Pakatan Harapan) menang 82 kerusi, PN ada partinya yang dapat 49 dari 74 kerusi Parlimen.

    “(Dalam UMNO) Lawanlah…sebab ini parti punya hal, rakyat pun faham. Kalau kita pergi pemilihan parti di bahagian, mana ada gaduhnya, mereka pergi pangkah saja, yang bergaduh ini kalau kita tipu undi,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

    Semalam, seramai 140 ketua UMNO bahagian menyokong supaya dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan pada pemilihan yang akan diadakan sebelum 19 Mei depan.

    Pengerusi Solidariti Ketua-Ketua Bahagian UMNO, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata, ia sebagai persediaan menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sekali gus memerlukan solidariti semua pihak bagi menyokong kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan merebut jawatan tertentu dalam pemilihan kali ini, Johari memberi bayangan akan bertanding salah satu dari tiga jawatan tertinggi parti.

    “Soal jawatan apa saya nak bertanding, kena tunggu bila pertandingan ini. Bila diumumkan pemilihan, nanti kita buatlah keputusan sama ada bertanding presiden ke, timbalan presiden ke, naib presiden ke, yang penting perkataan presiden itu ada.

    “Kita kena semarakkan konsep berdemokrasi dalam parti. Kita kena buat benda ini sebelum kita berdepan dengan PRU 2027,” katanya.

  • Puteri Sarah dijangka fail cerai Isnin hadapan

    Puteri Sarah dijangka fail cerai Isnin hadapan

    SELEPAS menegaskan mahu berpisah dengan suaminya, Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin dilaporkan akan memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada Isnin minggu depan.

    Sepatutnya proses itu difailkan pada Khamis, namun tertangguh ke minggu depan selepas isteri kepada Syamsul Yusof itu sedang menjalani penggambaran di Port Dickson.

    Mengesahkan perkara itu, peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, hanya permohonan cerai sahaja akan difailkan pada hari tersebut.

    Ditanya sama ada model itu akan hadir di mahkamah bagi permohonan cerai tersebut, Akberdin berkata, ‘pasti hadir’.

    Dua hari lalu, Puteri Sarah melalui Instagramnya memohon agar Syamsul ‘melepaskannya’ kerana tidak rela dimadukan.

    “Kepada Mohd Shamsul, oleh kerana awak sekat saya sehingga sekarang dan tidak ajak berbincang, saya minta lepaskan saya kerana saya tidak rela dimadu,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Syamsul pula dalam satu temu bual eksklusif media berkata, dia kini sedang berusaha untuk memperbaiki hubungannya dengan Puteri Sarah.

    Pengarah itu turut meminta isteri pertamanya itu pulang ke rumah dan berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.

    Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

    Pada 6 Januari lalu, Syamsul, 38, membuat pengakuan melalui video di Instagram bahawa dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, pelakon veteran Kazar Saisi.

    Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.

  • Orang muda akan abai UMNO jika tiada pertandingan jawatan tertinggi

    Orang muda akan abai UMNO jika tiada pertandingan jawatan tertinggi

    ORANG muda akan mengabaikan UMNO jika ia tidak membenarkan dua jawatan tertinggi parti itu dipertandingkan, kata seorang penganalisis politik.

    Penganalisis di Universiti Sains Malaysia, Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, ia penting bagi membuktikan UMNO mengamalkan dan menghargai demokrasi.

    “Pertandingan penting kerana ia membuktikan UMNO mengamalkan demokrasi dan menghargainya, walaupun dalam bentuk paling asas iaitu membenarkan pemilihan bagi semua jawatan,” katanya kepada Free Malaysia Today.

    Beliau mengulas seruan bekas ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahu jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan pada pemilihan akan datang.

    Semalam, sekumpulan ketua bahagian UMNO menyeru dua jawatan itu tidak dipertandingkan, kerana parti perlu diperkukuhkan menjelang PRN akan datang.

    Fauzi berkata UMNO akan terjejas sekiranya ia tidak membenarkan Zahid dan timbalannya, Mohamad Hasan, dicabar.

    “Ini akan menyahkan sokongan daripada golongan muda. Tidak membenarkan pertandingan hanya mengesahkan usaha penyandang daripada generasi tua untuk terus berkuasa dan memegang jawatan selama mungkin.

    “Prospek UMNO akan jadi kelam,” katanya, dan menambah parti itu kini bukan lagi dalam kedudukan kanan dalam kerajaan, sejak mengalami kemunduran dari 2008.

    “UMNO tidak faham jenama politik reformasi yang menawan pemikiran golongan muda sejak 20 tahun lalu, dan mereka ini yang menyebabkan Umno kalah pada PRU 2018 dan 2022,” katanya.

    Felo Majlis Profesor, Jeniri Amir berkata, pertanidngan untuk jawatan tertinggi penting untuk UMNO kerana imej parti itu dan Zahid tercemar akibat kes-kes di mahkamah.

    “Malah, antara sebab kejatuhan UMNO adalah kepimpinannya. UMNO perlu tukar nakhoda untuk maju ke depan. UMNO tak boleh hidup dalam penafian.

    “Keputusan PRU15 yang mana UMNO sekadar menang 26 kerusi menunjukkan apa persepsi orang awam terhadap parti itu dan kepimpinannya,” katanya kepada FMT.

    Beliau berkata UMNO akan menghantar isyarat yang ia tidak mampu berubah dan enggan berubah demi memuaskan hati pemimpin semasa.