Author: Wartawan WartaRakyat

  • Mukhriz tak matang, tak bincang bawa Pejuang keluar GTA, kata Marzuki

    Mukhriz tak matang, tak bincang bawa Pejuang keluar GTA, kata Marzuki

    PRESIDEN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir tidak didakwa tidak matang dalam kepimpinan selepas terburu-buru mengumumkan parti itu keluar Gerakan Tanah Air (GTA).

    Timbalannya, Datuk Marzuki Yahya berkata, keputusan itu juga tidak dibincangkan bersama pucuk pimpinan tertinggi, sebaliknya Mukhriz hanya mengambil kira pandangan perwakilan pada Perhimpunan Agung Pejuang pada Sabtu lepas.

    “Masa depan parti memerlukan hala tuju jelas supaya kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berulang.

    “Saya menerima apa jua keputusan diambil beliau. Cuma, Mukhriz harus beri penerangan terperinci mengapa GTA ditubuhkan daripada terus membuat kesimpulan keluar daripada gabungan ini,” kata Marzuki, lapor FMT.

    “Saya kurang bersetuju dengan langkah yang mana jika ada cadangan bersama dengan parti lain, ini menunjukkan kita sudah lari daripada matlamat asal, contohnya bersama Pakatan Harapan (PH).

    “Dalam kita berdepan dengan PH, tidak bermakna kita bercakap soal perkauman, cuma ideologi dan pembawaan di dalam parti, khususnya DAP. Ini akan merugikan orang Melayu pada masa akan datang,” katanya.

    Marzuki berkata, Mukhriz tidak sepatutnya menyebut untuk bersama parti lain.

    “Sebagai parti yang ditubuhkan berdasarkan matlamatnya sendiri, maka kita tidak seharusnya bercakap soal pilihan lain seperti yang presiden sebut, antaranya bersama PH.

    “Yang harus ada adalah memperkasa Pejuang dan GTA untuk perjuangan bangsa Melayu,” katanya.

    Pada Perhimpunan Agung Pejuang kali kedua kelmarin, Mukhriz mengumumkan keputusan membawa parti itu keluar daripada GTA bagi memberikan tumpuan kepada usaha pengukuhan parti sebelum memberi nilai tambah kepada mana-mana gabungan.

    GTA ialah gabungan politik yang masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Ia dianggotai empat parti komponen utama iaitu Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Berjasa (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

    Pada PRU15, GTA yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal memenangi sebarang kerusi Parlimen meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.

    Malah, Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad, selain Mukhriz dan Marzuki, juga tewas dengan majoriti besar dan kehilangan deposit.

  • Pesawat terhempas di Nepal, 68 mangsa terkorban

    Pesawat terhempas di Nepal, 68 mangsa terkorban

    SEBUAH pesawat yang membawa 72 penumpang dan anak kapal terhempas berdekatan sebuah lapangan terbang di bahagian tengah Nepal, mengorbankan 68 orang.

    Pesawat Yeti Airlines itu sedang dalam penerbangan dari bandar pelancongan Pokhara ke Kathmandu, dan dipercayai terhempas sewaktu hendak melakukan pendaratan.

    Menurut Astro Awani yang memetik laporan Reuters, saksi kejadian memberitahu, pesawat itu terus terbakar.

    Menerusi sebuah video yang dimuat naik di media sosial, pesawat itu kelihatan terbang rendah melintasi sebuah kawasan berkepadatan penduduk tinggi sebelum membuat belokan tajam.

    Dalam video itu juga, kelihatan asap hitam berkepul ke udara serta terdapat serpihan-serpihan pesawat yang masih terbakar.

    Difahamkan, terdapat 68 penumpang berada dalam pesawat, termasuk sekurang-kurangnya 15 warganegara asing dan empat petugas kabin.

    Seramai 200 anggota tentera Nepal digegaskan ke lokasi nahas di kawasan lembah Sungai Seti, yang hanya sejauh 1.5 kilometer dari lapangan terbang.

    “Kami jangka akan dapat menemui lebih banyak mayat… Kapal terbang telah pecah menjadi beberapa bahagian,” kata jurucakap tentera.

    Perdana Menteri Pushpa Kamal Dahal telah memanggil satu mesyuarat tergempar dengan anggota Kabinetnya, selain menggesa agensi-agensi berkaitan segera membantu operasi pencarian mangsa.

    Dari keseluruhan penumpang, sejumlah 53 orang dilaporkan warga Nepal. Turut berada dalam pesawat itu ialah penumpang warga India sejumlah lima orang, warga Rusia (empat) dan Korea (dua), serta masing-masing seorang dari Ireland, Australia, Argentina dan Perancis.

  • Diacu parang, disamun RM30,000 dalam rumah

    Diacu parang, disamun RM30,000 dalam rumah

    SATU keluarga di Taman Desa Jasmin, di Nilai, diacukan parang oleh penyamun yang memecah masuk rumah mereka dan melarikan barang kemas serta wang tunai dengan nilai keseluruhan mencecah RM30,000.

    Dalam kejadian pukul 6 pagi itu, suspek dikatakan mengacu parang kepada seorang mangsa wanita meminta supaya menyerahkan barang kemas.

    Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, pihaknya menerima aduan melalui Balai Polis Nilai mengenai kejadian daripada seorang lelaki tempatan memaklumkan rumahnya disamun.

    “Hasil siasatan awal mendapati, empat lelaki tempatan masuk ke rumah mangsa dengan memanjat pagar seterusnya masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci.

    “Suspek dikatakan mengacukan parang kepada isteri pengadu yang sedang menggosok baju di sebuah bilik serta ahli keluarga lain sebelum mereka ditempatkan di sebuah bilik.

    “Suspek juga dikatakan meminta isteri pengadu menyerahkan barang kemas yang dipakai isterinya sebelum wanita itu menyerahkannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Katanya, suspek kemudiannya menggeledah rumah dan mengambil wang tunai dan melarikan diri menggunakan sebuah kenderaan jenis Proton Waja.

    Menurutnya, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BDJD) Nilai membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melakukan samun berkumpulan dengan senjata.

    Polis katanya, sedang mempergiatkan usaha untuk mengesan dan menangkap suspek yang terbabit dalam kes ini.

    “Sekiranya orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, dinasihatkan untuk hadir ke balai polis bagi membantu siasatan atau menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai di talian 06-7904222,” katanya, lapor Harian Metro.

  • Lima rakyat Malaysia akan didakwa di Mahkamah Thailand

    Lima rakyat Malaysia akan didakwa di Mahkamah Thailand

    LIMA rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Myawaddy, Myanmar akan didakwa di Mahkamah Thailand kerana memasuki negara terbabit tanpa kebenaran.

    Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, Sim Chon Siang yang membantu menyelamatkan kesemua mangsa terbabit.

    Katanya, kesemua mangsa berusia antara 19 hingga 33 tahun itu kini berada di Bangkok, Thailand di mana Chon Siang akan bertolak ke sana pada Isnin untuk membawa mereka pulang.

    “Mereka akan dibawa pulang selepas selesai proses dokumentasi dan saya akan membawa mereka pulang ke tanah air pada Selasa.

    “Selepas selesai proses pendakwaan di mahkamah Thailand, kita akan menguruskan pasport sementara untuk mereka,” katanya ketika ditemui pada program edaran lokam sempena sambutan tahun baharu cina di Rumah Kanak-kanak Sultanah Hajah Kalsom, dekat Penor, di Kuantan, hari ini

    Chon Siang memberitahu, berdasarkan aduan yang diterima, lebih 40 individu warga Malaysia yang menjadi mangsa kekejaman sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap di Myawaddy, Myanmar.

    “Dalam tempoh hampir dua minggu tahun ini , saya menerima 40 aduan daripada mangsa meminta kesemua mereka diselamatkan daripada terus menjadi mangsa sindiket.

    “Jadi, kita akan berusaha mendapat maklumat lanjut sebelum usaha menghubungi waris dilakukan bagi membolehkan laporan polis dibuat terhadap kehilangan anak mereka,” ujarnya lapor SatuBerita.

  • 9 Wanita UMNO cedera kemalangan pulang dari PAU 2022

    9 Wanita UMNO cedera kemalangan pulang dari PAU 2022

    SEMBILAN Wanita UMNO cedera selepas terbabit kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke Kemaman selepas menghadiri persidangan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur arah trimur, Kuantan, semalam.

    Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, van dinaiki sekumpulan wanita yang dipercayai ahli UMNO itu dipandu oleh pemuda berusia 37 tahun.

    “Van yang dinaiki kumpulan itu dikatakan terbabas akibat mengelak sebuah kenderaan lain yang brek secara mengejut.

    “Siasatan awal mendapati, pemandu bersama sembilan orang penumpang dari arah Kuala Lumpur hendak menghala ke arah Kemaman selepas selesai program PAU 2022.

    “Akibat kemalangan tersebut, pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan, namun sembilan penumpang wanita mengalami kecederaan ringan dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afazan (HTAA),” katanya memetik laporan Sinar Harian.

    Beliau memaklumkan, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku atas kecuaian pemandu yang tidak dapat mengawal kenderaan ketika memandu sehingga menyebabkan kemalangan.

    Katanya, kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Dalam pada itu, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad, semalam, memaklumkan mendapat perkhabaran tentang kemalangan yang melibatkan rombongan perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kemaman, Terengganu di Lebuhraya Pantai Timur ketika mereka di dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing pada petang Sabtu.

    “Semoga Allah selamatkan mereka semua,” ciapnya.

  • Roseniza dilantik Ketua Srikandi Bersatu Melaka

    Roseniza dilantik Ketua Srikandi Bersatu Melaka

    KETUA Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hang Tuah Jaya, Roseniza Muamad dilantik sebagai Ketua Srikandi Bersatu Melaka.

    Watikah pelantikan itu diserahkan oleh Ketua Srikandi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Rina Mohd. Harun dalam satu pertemuan dengan semua pimpinan Srikandi Bahagian di Masjid Tanah, semalam.

    Hadir sama dalam pertemuan itu adalah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Naib Ketua Srikandi Bersatu Malaysia merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah; Mastura Mohd Darby, Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Malaysia; Ruhaya Mohamed Yusof, Timbalan Pengerusi Tetap Srikandi Bersatu Malaysia; Datuk Junaidah Kiting Exco Srikandi Bersatu Malaysia; Sharifah Rosaliza, Setiausaha Wanita Perikatan Nasional Negeri Selangor dan Ketua-Ketua serta wakil Srikandi Bahagian Bersatu Melaka.

    Dalam pertemuan itu, Rina Harun mengingatkan Srikandi Bersatu agar tetap teguh dan terus mengekalkan semangat perjuangan yang tinggi.

    “Saya yakin dengan tunjuk ajar dan sokongan dari Datuk Wira Mas Ermieyati, Ketua Srikandi Negeri Melaka yang baharu akan dapat memperkasakan lagi Srikandi Bersatu Negeri Melaka. Selamat maju jaya,” katanya lapor Berita Bersatu.

  • Muhammad Affan dilantik Ketua Armada Bersatu Sabah

    Muhammad Affan dilantik Ketua Armada Bersatu Sabah

    KETUA Biro Ekonomi Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Muhammad Affan Jumahat dilantik sebagai Ketua Armada Bersatu Sabah yang baharu.

    Pelantikan watikah itu disampaikan Ketua Armada Bersatu Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, hari ini.

    Wan Ahmad Fayhsal berkata Muhammad Affan diberi tugas untuk memberikan semangat dan corak politik yang baru kepada semua Armada di negeri itu.

    “Lanjutan daripada perkembangan politik Sabah, selaku Ketua Armada Nasional saya telah melantik saudara Muhammad Affan Jumahat daripada Bersatu Kudat untuk menggalas amanah sebagai Ketua Armada Sabah yang baharu.

    “Syabas dan tahniah kami ucapkan kepada saudara Affan dan barisan kepimpinan Armada Sabah yang baru dibentuk semula nanti.

    “Semoga Armada Sabah yang baharu dan Armada di seluruh negara akan terus istiqomah dan memulihara agama, bangsa dan peradaban kita bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal mempengerusikan mesyuarat pertama Armada Bersatu Malaysia bagi tahun 2023 yang memperincikan laporan berhubung post-mortem Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan membincangkan persiapan untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

    “Aramda Bersatu Nasional akan terus mengangkat dan mengupayakan ahli Armada dalam persada politik tanah air khususnya dalam menjadi calon-calon berwibawa dalam pilihan raya yang parti bakal sertai,” katanya lapor Berita Bersatu.

  • PH Selangor tak akan serah kerusi kepada BN-Amanah

    PH Selangor tak akan serah kerusi kepada BN-Amanah

    PAKATAN Harapan (PH) Selangor akan mempertahankan semua 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi pada pilihan raya umum 2018 walaupun gabungan itu kini mempunyai kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

    Ahli Jawatankuasa Pimpinan Pusat Amanah, Sany Hamzan difahamkan setakat ini PH tidak akan memberi laluan kepada BN di kerusi dimenanginya pada 2018.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer berkata, kerusi yang akan dibincangkan dengan BN nanti membabitkan kerusi dimenangi Perikatan Nasional (PN).

    “Enam kerusi dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala satu oleh Pas.

    “Kita perlu situasi menang-menang untuk semua dalam rundingan pembahagian kerusi dan faktor akan diambil kira seperti jentera, kewangan serta calon,” katanya memetik laporan Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

    Beliau berkata, sebelum Kerajaan Perpaduan ditubuhkan, parti yang menganggotai PH sudah pun berunding mengenai peruntukan kerusi.

    Berhubung tanggapan Amanah adalah komponen paling lemah dalam PH, Sany berkata, parti itu sebenarnya boleh menang banyak kerusi jika diberi peluang bertanding di lebih banyak kawasan.

    “Kami perlu kerusi campuran (membabitkan pengundi pelbagai kaum) kerana kita tahu PH mempunyai kelebihan di kerusi ini.

    “Tetapi kami faham yang kami tidak boleh membuat banyak tuntutan kerana Amanah adalah parti baharu, bukan seperti PKR dan DAP,” katanya.

    Beliau turut menjangkakan DUN Selangor bakal dibubarkan Mei dengan pilihan raya pada bulan berikutnya.

    Pilihan raya negeri (PRN) di negeri ditadbir PH iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan serta Kedah, Kelantan serta Terengganu yang ditadbir Pas bakal diadakan pada tahun ini.

  • Langkah halang tandingan jawatan Presiden, Timbalan tidak wajar – UMNO Johor

    Langkah halang tandingan jawatan Presiden, Timbalan tidak wajar – UMNO Johor

    UMNO Johor menyifatkan tindakan menghalang mana-mana ahli parti itu untuk menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, walaupun ketetapan sudah dicapai dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, semalam, adalah tidak wajar.

    Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, ini berikutan kaedah usul tambahan berhubung jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan ketika PAU 2022 semalam, adalah melanggar perlembagaan parti.

    “Isu pemilihan jawatan tertinggi parti itu perlu diteliti sewajarnya.

    “Cara usul tambahan itu dibawa melanggar kehendak perlembagaan parti, sedangkan usul itu perlu mendapat persetujuan dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” ujar Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

    Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu berpendapat, ada juga pendapat menyatakan keputusan itu tidak mematuhi garis panduan ditetapkan ROS.

    “Sama ada perkara itu benar atau sebaliknya, itu terpulang kepada pentadbiran UMNO menanganinya.

    “Oleh itu, UMNO Johor berpandangan tidak perlu wujud sekatan kepada mana-mana pihak yang mahu bertanding atau menawarkan diri walaupun ada ketetapan tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan akan datang.

    “Saya percaya apa pun yang terjadi, Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan bersetuju dan majoriti pemimpin UMNO juga turut bersetuju bahawa tidak ada sekatan untuk mana pihak bertanding atau menawarkan diri walaupun adanya usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden.

    “Malah saya yakin Presiden dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan tiada halangan, kalau ada ahli yang menawarkan diri untuk bertanding. Ini kerana saya percaya itu dibenarkan dalam perlembagaan dan itu adalah hak ahli yang dijamin melalui perlembagaan parti,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas acara mengangkat sumpah Ketua Kampung Daerah Pontian, di Pontian, hari ini.

    Semalam, perwakilan UMNO dari Johor dilaporkan melahirkan rasa pelik apabila usul tambahan mengenai jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan yang dibawa oleh perwakilan Negeri Sembilan kelmarin boleh diterima dan dibahaskan.

    Jurucakap UMNO Johor yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Pandak Ahmad, dilaporkan berkata mungkin parti itu kini telah menjadi ‘pasti asal boleh’.

    Usul tambahan supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang seterusnya diluluskan pada PAU 2022.

    Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil, dilaporkan berkata, usul berkenaan disokong hampir kesemua perwakilan yang hadir.

    Dalam pada itu, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian, berkata imej parti terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pastinya mempunyai kesan pada pemilihan akan datang.

    “UMNO Johor berpandangan masyarakat di luar terutama pimpinan parti di peringkat cawangan memandang tentang imej parti selepas PRU15. Kita tidak melihat selain daripada mahu menguatkan kedudukan parti.

    “Oleh itu, parti seolah-olah digambarkan tidak menjunjung demokrasi atau kebebasan lebih-lebih lagi apabila ada ahli-ahli yang bertanya berhubung kelulusan usul tiada pertandingan Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya, lapor Berita Harian.

  • Tutup saja UMNO jika terus ditolak rakyat – kata Ku Li

    Tutup saja UMNO jika terus ditolak rakyat – kata Ku Li

    VETERAN UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah mendakwa, UMNO dilihat perlu melakukan perubahan untuk terus relevan atau berdepan risiko terus ditolak rakyat dalam pilihan raya akan datang.

    Bekas Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, adalah lebih baik parti tersebut dibubarkan sahaja sekiranya terus ditolak rakyat.

    “UMNO mesti ada perubahan. Kalau tidak UMNO tidak boleh hadapi pilihan raya negeri dan akan kalah teruk. Kalau ditolak terus oleh rakyat, lebih baik tutup sahaja parti,” katanya seperti dilaporkan Mingguan Malaysia hari ini.

    Beliau berkata terpulang kepada barisan kepimpinan UMNO untuk menumpukan usaha bagi mendapatkan semula sokongan rakyat.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), UMNO merekodkan prestasi terburuknya apabila hanya menang 26 kerusi Parlimen berbanding 54 Parlimen pada PRU14.

    Parti komponen BN lain pula hanya menang empat kerusi, menjadikan kerusi keseluruhan yang dimiliki gabungan itu kepada hanya 30.

    Sementara itu Tengku Razaleigh berpandangan Kerajaan Perpaduan pada masa ini belum cukup kukuh.

    Katanya, ini kerana kes mahkamah yang dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mempengaruhi barisan kepimpinan parti itu nanti.

    “Keadaan sekarang masih tidak menentu. Sekarang ini walau Anwar (Ibrahim) mendapat sokongan dalam Parlimen, beliau tetap bergantung kepada 30 ahli Parlimen BN,” katanya lagi.