Author: Wartawan WartaRakyat

  • Bekas Koperal polis, isteri antara 3 ditahan bersama dadah RM1.13 juta

    Bekas Koperal polis, isteri antara 3 ditahan bersama dadah RM1.13 juta

    BEKAS anggota polis berpangkat Koperal dan isterinya merupakan antara tiga individu yang ditahan polis Pulau Pinang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah jenis ganja.

    Kesemua suspek ditahan dalam tiga serbuan bebeza di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU), Jumaat lalu yang mana polis turut merampas sebanyak 453 ketulan mampat ganja seberat 451 kilogram (kg) bernilai RM1.13 juta dalam serbuan itu.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan pertama pukul 7.30 malam, polis menahan suspek pertama iaitu bekas anggota polis berusia 33 tahun ketika sedang berada di atas motosikal di Jalan Bendahara, Penaga.

    Ketika ditahan, tambah beliau, polis turut merampas sebanyak 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 10.2 kg bernilai RM25,000 bersama suspek.

    “Suspek yang merupakan bekas anggota polis berpangkat Koperal ini dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah.

    “Dia telah bertugas selama 11 tahun yang mana penugasan terakhir ialah di Marang, Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama itu, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan isteri suspek yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 33 tahun.

    Dalam serbuan itu, ujar beliau, polis merampas sebanyak 443 ketulan mampat disyaki ganja seberat 441 kg bernilai RM1.105 juta.

    Tambah beliau, polis kemudian membuat serbuan di kawasan sama kira-kira pukul 8.30 malam sebelum berjaya menahan dalang utama sindiket itu yang merupakan ahli perniagaan berusia 42 tahun.

    “Hasil risikan mendapati sindiket ini aktif mengedar dadah sejak awal tahun lalu untuk pasaran tempatan yang mana bekalan dadah itu dipercayai diperoleh dari negara jiran dan diseludup menggunakan jalan laut,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, hasil ujian air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah dan ketiga-tiga mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini.

    Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis turut menyita tiga buah kereta, dua buah motosikal dan wang tunai berjumlah RM37,000 daripada kesemua suspek.

  • “Cukup 9 tahun jadi isteri Syamsul Yusof…,” Puteri Sarah lega dan tarikh prosiding ditetapkan sehari sebelum ulang tahun perkahwinan

    “Cukup 9 tahun jadi isteri Syamsul Yusof…,” Puteri Sarah lega dan tarikh prosiding ditetapkan sehari sebelum ulang tahun perkahwinan

    PELAKON Puteri Sarah Liyana selesai memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya yang juga pengarah kontroversi, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, hari ini.

    Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, mengakui berasa lega setelah urusan memfailkan tuntutan cerai itu selesai.

    “Alhamdulillah syukur akhirnya sudah selesai failkan tuntutan cerai.

    “Saya rasa lega, satu beban yang telah dilepaskan sebelum pergi umrah dalam 10 hari lagi. Semoga ketika umrah nanti semuanya tenang-tenang sahaja,” katanya kepada URTV.

    Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui pemberita di ruang legar mahkamah selepas urusan memfailkan tuntutan cerai selesai.

    Malah, Puteri Sarah turut menyifatkan keputusan yang dilakukan hari ini merupakan jalan yang terbaik untuknya dan anak-anak.

    “Alhamdulillah, saya boleh katakan telah jalankan tanggungjawab sebagai isteri sebelum ini dengan baik.

    “Saya sudah berbincang dengan keluarga, saya bertahan dan telah berjumpa dengan ustaz dan ustazah untuk selesaikan isu ini, tetapi sama juga. Saya rasa, ini adalah keputusan terbaik untuk saya. Insya-Allah,” ujarnya.

    Peguam yang mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir turut memaklumkan bahawa mahkamah telah menetapkan tarikh sebutan pertama pada 7 Mac ini.

    Tarikh yang ditetapkan itu menurut Puteri Sarah begitu signifikan kerana hampir dengan tarikh perkahwinan mereka.

    Pelakon Puteri Sarah Liyana,38, (tengah) ketika hadir bagi memfailkan penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    “Saya lega. Kalau nak ikutkan, tahun ini genap sembilan tahun perkahwinan kami.

    “Sebenarnya tarikh 7 Mac yang ditetapkan mahkamah adalah sangat signifikan kerana 8 Mac merupakan tarikh ulang tahun perkahwinan kami.

    “Alhamdulillah, cukup sembilan tahun saya menjadi isteri kepada Syamsul. Nampaknya tiada rezeki,” ujarnya lagi.

    Dalam pada itu, Puteri Sarah turut menegaskan bahawa dia bukanlah seorang yang anti-poligami, namun bertindak menuntut penceraian setelah merasakan dirinya ditipu oleh suami.

    “Sebenarnya poligami itu indah kalau seorang suami berlaku adil tapi sebab saya sudah ditipu dan (perkahwinan) itu tanpa izin, benda sudah pun terjadi. Jadi, saya rasa ini adalah jalan terbaik untuk saya,” katanya lagi.

    Pelakon Puteri Sarah Liyana,38, (tengah) ketika hadir bagi memfailkan penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Media sebelum ini melaporkan tuntutan cerai itu dibuat selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan perdamaian. Selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah kali kedua dengan Ira Kazar di Thailand, baru-baru ini.

    Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3.

  • Suami isteri didakwa bunuh pelayan restoran guna bom buatan sendiri

    Suami isteri didakwa bunuh pelayan restoran guna bom buatan sendiri

    PASANGAN suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret hari ini kerana membunuh pelayan restoran menggunakan bom buatan sendiri di Pandan Indah, di Kuala Lumpur, bulan lalu.

    Khor Swee Boon, 33, dan isteri, Ng Hui Yee, 30, kelihatan tenang serta mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Mengikut pertuduhan, pasangan itu membunuh seorang lelaki, Cho Lim Fong, 29, di hadapan sebuah restoran di Jalan Pandan Indah 1/22, Pandan Indah pada pukul 8.55 malam, 29 Disember lalu.

    Susulan itu, mereka melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 35 KK yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    Ketika prosiding, peguam bela pasangan terbabit, RSN Rayer, memohon budi bicara mahkamah membenarkan Hui Yee diberi jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Acara Jenayah.

    Ia atas alasan tertuduh seorang wanita dan perlu menjaga dua anak berusia lima serta tujuh tahun yang kini di bawah jagaan ibu dan bapa Hui Yee.

    “Bagi tertuduh lelaki, saya tidak boleh membuat permohonan untuk jaminan. Namun, mahkamah ada budi bicara untuk membenarkan jaminan kepada isterinya.

    “Tertuduh tiada risiko untuk melarikan diri dan mengganggu saksi kes ini, selain setuju syarat tambahan seperti melaporkan diri di balai polis berdekatan jika diberi jaminan.

    “Majistret sebagai wanita wajar memberi pertimbangan dan membenarkan permohonan jaminan berkenaan,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ameera Sam Kamaruddin, membantah permohonan jaminan mengikut seksyen itu.

    “Seksyen itu hanya menunjukkan budi bicara dan bukan wajib bagi mahkamah memberi jaminan. Dalam kes ini pembelaan beri alasan tertuduh adalah wanita.

    “Tiada keadaan khas untuk benarkan tertuduh diberi jaminan. Mahkamah melaksanakan kuasa selepas meneliti keadaan khas dan istimewa,” katanya lapor BH.

    Majistret kemudian menolak permohonan jaminan itu dan menetapkan sebutan kes seterusnya pada 23 Mac ini untuk serahan dokumen.

    Dalam kejadian jam 8.55 malam pada 29 Disember lalu, seorang pelayan restoran maut apabila berlaku letupan ketika memegang bungkusan yang ditinggalkan di bonet keretanya.

    Mangsa parah pada anggota badan dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Ampang untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 9.45 malam.

    Hasil siasatan polis di lokasi kejadian membawa kepada penemuan beberapa objek dan kesan letupan antaranya kesan lekuk pada kereta mangsa.

  • Dilema Anwar Ibrahim

    Dilema Anwar Ibrahim

    Oleh HASSAN ABDUL KARIM

    SIMPATI kepada Anwar. Itulah kalimat awal yang ingin saya nyatakan sebagai menghormati Perdana Menteri. Tulisan ini mungkin akan mengguris hati.

    Sebagai Perdana Menteri dan pemimpin politik veteran, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentu menyedari wujudnya peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 33A(1) yang menyatakan bahawa Yang diPertuan Agong (YDPA) hendaklah terhenti menjalankan fungsi YDPA jika dipertuduh atas suatu kesalahan.

    Bahasa mudahnya bermaksud bahawa YDPA kena meletakkan jawatan jika baginda dipertuduh atas suatu kesalahan di bawah mana-mana undang-undang di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan.

    Begitu tegas dan keras peruntukan undang-undang, hatta ke atas YDPA yang menjadi Ketua Negara Malaysia. Baru dituduh sahaja, sudah diminta letak jawatan. Belum bicara lagi. Belum tentu bersalah atau tidak bersalah.

    Jadi Kerajaan Anwar Ibrahim sekarang tidak dapat mengelak diri jika rakyat yang celik huruf dan ilmu pengetahuan bertanya satu soalan, iaitu bagaimana kerajaan yang ada sekarang boleh dihormati jika Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) terdiri dari sosok tubuh individu yang sedang dibicarakan di mahkamah atas berpuluh tuduhan jenayah rasuah dan pecah amanah?

    TPM1 sekarang berada di peringkat membela diri. Di akhir kes pendakwaan yang lalu, beliau telah didapati bersalah oleh Hakim kerana pihak Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

    Inilah yang saya simpati kepada Anwar. Inilah dilema Perdana Menteri kita sekarang.

    Dalam satu segi, komitmen Anwar untuk membawa tatakelola yang baik di dalam pentadbiran kerajaan tidak dipertikaikan oleh rakyat. Hasrat Anwar untuk mengwujudkan satu pentadbiran kerajaan yang berintegriti mendapat restu dan dipercayai rakyat.

    Berpuluh tahun majoriti rakyat mimpikan Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri. Termasuklah penulis kerdil ini.

    Tetapi realiti yang wujud di siang hari bukannya mimpi indah itu tadi. Realitinya berbeza sama sekali.

    Inilah dilema Anwar. Tolak kerjasama dengan BN-UMNO yang dipimpin oleh TPM1 bererti kerajaan Anwar Ibrahim tumbang. Anwar hilang jawatan. PH hilang kerajaan. Ramai yang akan meroyan.

    Meneruskan kerajaan yang ada sekarang dengan sokongan TPM1 dari kluster mahkamah sudah pasti menjejaskan imej Anwar, mencomotkan wajah Parti Keadilan Rakyat dan mencemarkan prinsip PH yang ingin membawa agenda reformasi institusi.

    Jadi apa jalan keluar yang ada pada Anwar Ibrahim, Parti Keadilan dan PH?

    Cuba lihat senario hipotetikal ini sebagai contoh. Senario ini dikemukakan sebagai contoh sahaja dengan semangat baik sangka (bona fide) bukannya berniat jahat atau mala fide. Langsung sama sekali tidak berhasrat melakukan sub judis atau cuba menghina mahkamah (contempt of court).

    Penulis kena sebut ini semua sebagai exclusion clause untuk mengelak diri kecil ini dari ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan menghina mahkamah atau mungkin juga kesalahan fitnah jenayah atau lebih parah lagi dituduh di bawah Akta Hasutan.

    Senario hipotetikal itu seperti berikut:

    Apa jadi kalau kerajaan yang ada sekarang yang masih berkuasa dan dalam masa yang sama Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan TPM 1 tidak bersalah dan dilepas serta dibebaskan dari berpuluh tuduhan jenayah yang dihadapinya?

    Penulis percaya sudah pasti akan wujud keadaan di mana sesetengah rakyat akan cepat menuding jari dan menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah campur tangan dalam keputusan Mahkamah itu.

    Walhal keadaan yang sebenarnya mungkin Anwar Ibrahim tidak bersalah kerana beliau tidak campur tangan urusan Mahkamah seperti janji tegasnya selama ini yang mahu sistem Mahkamah berfungsi dengan bebas.

    Fitnah ke atas Perdana Menteri akan terus berlaku.

    Seterusnya senario itu bergerak ke fasa berikut:

    Jika TPM1 didapati tidak bersalah dan dilepaskan, adakah Pendakwa Raya akan memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Malaysia di Putrajaya?
    Pendakwa Raya adalah orang yang sama iaitu Peguam Negara yang berfungsi sebagai Penasihat Kerajaan di mana TPM1 adalah bos nombor dua dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan?

    Tidak wujudkah conflict of interest di pihak kerajaan sama ada hendak membuat rayuan atau tidak membuat rayuan. Ini satu lagi dilema Anwar Ibrahim.

    Jika Pendakwa Raya yang juga Peguam Negara tidak membuat rayuan, sebagai contoh andaian, maka yang jadi mangsa fitnah tetap Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Presiden Parti Keadilan dan Pengerusi PH itu akan dituduh cuba menyelamatkan TPM1.

    Itulah susahnya dan dilemanya yang sekarang dihadapi Anwar kerana melantik TPM1 yang ada kes di Mahkamah.

    Sebab itulah Institusi Yang diPertuan Agong dipandang mulia dan tinggi oleh rakyat kerana wujudnya Perkara 33(A)(1) di dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Sekali lagi, inilah dilema Anwar Ibrahim. Jika beliau tegas mengikut semangat dan konvensi perundangan perlembagaan dalam Perkara 33(A)(1) bermakna kerajaan perpaduan pimpinannya akan tumbang macam runtuhnya ‘daun terup’.

    Sebaliknya jika kolaborasi antara Anwar, PH dengan TPM1 yang bermaslah dengan kes jenayah diteruskan, maka Anwar Ibrahim akan beransur-ansur hilang reputasi seorang reformis, Parti Keadilan Rakyat memasuki fasa gerhana dan gelap manakala PH hilang integriti dan tidak dipercayai lagi.

    Pada hemat penulis, BN-UMNO dari kelompok kes jenayah rasuah dan pecah amanah ini boleh diibaratkan sebagai virus yang sedang menjangkiti Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat dan Pakatan Harapan.

    Tiada vaksin untuk menawar racun toksid ini. Jalan kesudahannya mungkin maut dan mati.

    Hassan Abdul Karim

    Ahli Parlimen Pasir Gudang (PH/Parti Keadilan Rakyat)
    16 Januari 2023.

  • Lelaki dikhuatiri lemas ditemui terapung

    Lelaki dikhuatiri lemas ditemui terapung

    PENCARIAN seorang lelaki dikhuatiri lemas di Sungai Pahang dekat Kampung Batu Bor, Bera pada Sabtu berakhir apabila ditemukan hari ini.

    Mayat Faizal Akmal Fikri Mohd. Fauzi, 20, dijumpai terapung oleh Unit Anjing Pengesan (K9) pada pukul 10.44 pagi.

    Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa ditemui pada jarak 0.9 kilometer dari lokasi kejadian.

    “Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari ketiga (Isnin) melibatkan tiga anggota dan dua ekor anjing dari Unit K9, dua anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Triang dan enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

    “Operasi turut mendapat bantuan pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Persatuan Bulan Sabit Malaysia (PBSM).

    “Operasi bermula jam 8.30 Isnin dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan memetik laporan Sinar Harian.

    Pada Sabtu, mangsa dipercayai lemas ketika mandi bersama lima rakannya di lokasi kejadian.

  • Bicara kes rasuah Zahid dijadual semula bermula April

    Bicara kes rasuah Zahid dijadual semula bermula April

    PERBICARAAN kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang diasaskannya dijadualkan semula selama 27 hari bermula 10 April ini.

    Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi menetapkan sepanjang minggu ini bagi Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 pertuduhan, iaitu 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram.

    Ahmad Zahid membuat kemunculan pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri di mahkamah hari ini, selepas dilantik semula memegang jawatan itu pada 3 Disember tahun lalu bersama-sama Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof.

    Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, turut dilantik sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

    Di awal prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai pasukan pendakwaan turut menarik perhatian mahkamah dengan merujuk Ahmad Zahid sebagai timbalan perdana menteri ketika kes itu disebut.

    “Tertuduh atau lebih tepat saya katakan sebagai timbalan perdana menteri berada dalam kandang tertuduh hari ini bagi sebutan kes untuk menetapkan tarikh perbicaraan tambahan bagi membela diri.

    “Tarikh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak ialah 12 hingga 15 Jun dan 24 hingga 27 Julai disusuli pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 dan 21 hingga 24 Ogos.

    “Tarikh yang sudah ditetapkan sebelum ini pada 10 hingga 13 April dan 15 hingga 18 Mei dengan ini dikekalkan,” katanya lapor BH.

    Presiden UMNO itu diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik, Datuk Ahmad Zaidi Zainal.

    Ahmad Zahid, 70, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

  • Tuntutan cerai: Puteri Sarah tiba di Kompleks Mahkamah Syariah KL

    Tuntutan cerai: Puteri Sarah tiba di Kompleks Mahkamah Syariah KL

    PELAKON, Puteri Sarah Liyana tiba di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada pukul 10.25 pagi hari ini bagi memfailkan tuntutan cerai terhadap suaminya, pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof.

    Puteri Sarah yang berpakaian serba hitam tiba ditemani dua adiknya dan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader.

    Ketibaan Puteri Sarah disambut kira-kira 20 orang awam yang turut berada di lobi mahkamah untuk memberikan sokongan.

    Konflik rumah tangga Puteri Sarah dan Syamsul mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenainya.

    Pelakon Puteri Sarah Liyana,38, (tengah) ketika hadir bagi memfailkan penceraian dengan suaminya, Syamsul Yusof di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur,hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Syamsul sebelum ini memaklumkan sedang berusaha membaiki hubungannya dengan Puteri Sarah, malah meminta isteri pertamanya itu pulang ke rumah dan berbincang mengenai kemelut rumah tangga mereka.

    Pada 6 Januari lalu, Syamsul membuat pengakuan melalui video di Instagram dia sudah bernikah dengan Ira di Thailand berwalikan bapa mentuanya, Kazar Saisi.

    Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 serta dikurniakan dua cahaya mata, Syaikul Islam, 5, dan Summayah, 3, lapor SatuBerita.

  • SPRM tahan pengerusi koperasi bantu siasatan tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat RM20.3 juta

    SPRM tahan pengerusi koperasi bantu siasatan tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat RM20.3 juta

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengerusi sebuah koperasi di Kedah bagi membantu siasatan terhadap kes tuntutan palsu berkaitan insentif pembayaran projek penternakan lembu tenusu bernilai RM20.3 juta pada 2015.

    Menurut sumber, lelaki berusia 57 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 3 petang semalam.

    “Lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan mengenai tuntutan palsu disyaki dilakukan dua syarikat secara bersubahat berkaitan insentif pembayaran projek tersebut di bawah program projek permulaan (EPP) 13 Kluster Tenusu, Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) bernilai RM20.3 juta.

    “Maklumat diterima menyatakan tuntutan palsu itu dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedangkan tiada pembekalan dibuat,” katanya kepada Warta Rakyat.

    Perintah tahanan reman terhadap pengerusi koperasi tersebut dikeluarkan Majistret, Muhammad Zul Hilmi Latif di Kompleks Mahkamah Alor Setar dekat sini, hari ini.

    Dia yang diberi pakaian lokap SPRM tiba di Kompleks Mahkamah Alor Setar dengan diiringi pegawai suruhanjaya tersebut kira-kira pukul 8.50 pagi.

    Tangkapan lelaki berkenaan merupakan yang ketiga dibuat SPRM berkaitan kes tersebut.

    Sebelum ini, dua lelaki terdiri  pengarah dan pemilik dua syarikat berbeza, ditahan dan direman selama empat hari bermula 11 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap mengesahkan penahanan lelaki tersebut namun enggan mengulas lanjut.

    Katanya, siasatan kini dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

  • BN khianati ahli, pengundi Melayu kerjasama dengan PH, kata Wan Fayhsal

    BN khianati ahli, pengundi Melayu kerjasama dengan PH, kata Wan Fayhsal

    BARISAN Nasional (BN) mengkhianati ahlinya dan pengundi Melayu apabila bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), kata Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

    Dalam wawancara bersama BBK Network, beliau mendakwa perbincangan antara kedua-dua gabungan itu telah berlangsung sejak 2020.

    “Mereka panggil diri mereka pelindung kepentingan orang Melayu, (mendakwa) perjuangan mereka adalah untuk orang Melayu dan Bumiputera. Pada perhimpunan agung, mereka kata, ‘Tolak Anwar, Tolak DAP’, dan orang Melayu percaya.

    “Sejujurnya, ramai orang tidak menjangkakannya (kerjasama antara BN dan PH), tetapi bukan kami. Ia benar-benar berlaku. Rundingan itu berlangsung sejak 2020,” katanya.

    Ditanya mengapa pengundi Melayu kini memihak kepada Perikatan Nasional (PN) berbanding gabungan lain, seperti yang ditunjukkan dalam keputusan PRU baru-baru ini, Wan Fayhsal berkata, ia disebabkan sokongan kepada kempen PN untuk kerajaan yang “lebih bersih”.

    “Masalah rasuah, seperti yang kita semua tahu, lebih banyak berlaku dalam BN, seperti kita lihat banyak kes mahkamah (melibatkan pemimpin BN),” katanya.

    Beliau berkata, PN tidak boleh menerima ideologi yang “bertentangan dengan asas falsafah politik Melayu”.

    Sebagai contoh, beliau merujuk kepada perkembangan seperti deklarasi Setapak yang meminta pembangkang mengasingkan rakyat kepada golongan “Bumiputera” dan “bukan Bumiputera”.

    Wan Fayhsal juga menolak dakwaan bahawa PN merancang satu lagi Gerakan Sheraton.

    “Tidak salah untuk kami, sebagai pembangkang, berkata (kami bersedia untuk mengambil alih kerajaan),” katanya merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin di Parlimen.

    “Terdapat undang-undang anti-lompat, (jadi) anda tidak boleh ubah keadaan. Itu bagus, bukan? Ia memberi kita semacam kestabilan, tetapi, dalam politik, ia adalah seni mustahil.

    “(Contohnya), jika UMNO ada presiden baharu dan beliau memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan, bukankah itu akan menyebabkan kerajaan tumbang? Ya. Adakah ia mematuhi perlembagaan? Ya. Adakah ia sah di sisi undang-undang? Ya,” katanya lapor FMT.

  • Rafizi hina pengundi – Sanusi

    Rafizi hina pengundi – Sanusi

    MENTERI Ekonomi Rafizi Ramli seolah olah menganggap pengundi pada PRU-15 2022 tidak bijak, tidak tahu membuat penilaian, sentiasa membuat pilihan yang salah dan sangat teruja dengan wang rasuah pilihan raya.

    Tidak ada sesiapa pun yang menolak Pakatan Harapan dan Barisan Nasional dalam PRU-15 kerana disogok wang dan diberi jamuan mewah percuma.

    PAS memang ‘parti tin Milo’ – bukan seperti mereka yang ditaja oleh taukey-taukey besar, hingga ke sana sini berkempen mampu naik helikopter.

    Calon Presiden Amerika Syarikat adalah contoh manusia atas planet ini yang ada kemampuan seperti itu.

    Tuduhan Rafizi itu juga seumpama menuduh pengundi Malaysia terlalu naif- secara terang dia telah MENGHINA PENGUNDI.

    Raja politik wang selama ini, yang Rafizi sendiri sering ulang sebut dalam ceramahnya sebelum ini, kini dia sedang bersekedudukan dengan mereka itu. Takkan tak tahu pula selepas dapat peluang menjadi menteri?

    Bagi Rafizi, dia dan Pakatan Harapan tidak pernah salah, perfect dan sentiasa benar dalam semua hal. Ironinya, kebencian para pengundi kepada ‘formula sampah yg tidak pernah berjaya’, ucapan bernada bongkak, memandang rendah orang lain, perasan bijak, membina persepsi dengan menipu, menghina dan mencela dalam ‘bahasa baku’ – telah mendorong para pengundi memberikan mereka pengajaran dalam PRU-15.

    Pengundi tidak lagi mampu berpegang kepada ‘politik persepsi’ yang dibina oleh Rafizi daripada kaedah lapuk itu.

    ‘Tsunami hijau orang melayu’ pada PRU-15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka mulut besar beliau.

    Orang ramai sudah tahu prestasi sebenar beliau di sebalik ucapan-ucapan kempen PRU-15 yang kini memakan diri sendiri. Saya sebetulnya sangat berharap dia terus bercakap seperti itu.

    Kalau dia rasa dia sangat bijak, dia juga perlu sedar orang lain juga tidak bodoh.

    Sekarang ini tahun 2023, pengundi tidak lagi bergantung kepada ‘cakap kosong berstatistik’ dan retorik. Sekarang zaman orang menilai kerja dan prestasi. Prestasi PH sudah dilihat selama 22 bulan selepas PRU14, prestasi BN pula seluruh rakyat sudah sedia maklum.

    Jika telur dan ayam pun mereka gagal uruskan, apatah lagi harga minyak yang sentiasa dijanjikan akan diturunkan tapi tak turun-turun.

    Rafizi akan jadi punca utama Pakatan Harapan dan BN dihukum pada PRN di enam negeri dan PRU-16 nanti. Mereka sedang ditertawakan orang tapi mereka tidak sedar.

    Muhammad Sanusi Md Nor Menteri Besar Kedah