Author: Wartawan WartaRakyat

  • Puteri Sarah saman Ira Kazar, kakaknya dan bapa mereka

    Puteri Sarah saman Ira Kazar, kakaknya dan bapa mereka

    PUTERI Sarah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ira Kazar, kakaknya dan bapa mereka yang juga pelakon veteran, Kazaruddin Saisi kerana melanggar perintah injunksi oleh Mahkamah Sivil Kuala Lumpur, Jun lalu.

    Peguam Syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Puteri Sarah berkata, permohonan komital akan dibuat agar mahkamah menjatuhi hukuman penjara dan denda kepada Ira atau nama sebenarnya Faghira Fatini, 27, serta dua ahli keluarganya itu.

    “Mereka pernah melanggar perintah berkenaan sebelum ini dan akur dengan permintaan itu selepas pihak kami menghantar surat injunksi.

    “Namun, kali ini pelanggaran yang dilakukan adalah amat dahsyat kerana Ira tidak boleh sama sekali mengganggu Syamsul (Mohd Shamsul Md Yusof) sehingga kes saman itu selesai.

    “Ira melanggar perintah mahkamah dengan pergi ke luar negara untuk bernikah tanpa izin mahkamah di sini,” katanya, lapor Sinar Harian.

    Pada Jun tahun lepas, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan saman sivil di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur terhadap Ira atas dakwaan menerima gangguan dan ugutan daripada wanita itu menerusi media sosial.

    Puteri Sarah atau nama sebenar Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, turut memperoleh perintah injunksi daripada mahkamah sama, antara lain bagi menghalang Ira menghampiri dan mengganggu plaintif, suami dan keluarganya.

    Untuk rekod Puteri Sarah dan Syamsul atau nama sebenarnya, Mohd Shamsul Md Yusof, 39, berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

    Pada 6 Januari lalu, pengarah filem Mat Kilau itu akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira Kazar apabila mengakui sudah menikahi wanita itu, di Thailand.

    Susulan itu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur terhadap Syamsul pada hari ini.

    Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan kes, pada 7 Mac depan.

  • Tiga peguam Siti Bainun tarik diri

    Tiga peguam Siti Bainun tarik diri

    PROSIDING bela diri Siti Bainun Ahd Razali atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella, di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur, hari ini ditangguhkan ke esok berikutan tiga peguam mewakili pengasas Rumah Bonda itu menarik diri.

    Peguam terbabit, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif memfailkan permohonan menarik diri secara bertulis kepada Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur, Jumaat lalu, manakala Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor pula membuat permohonan secara terbuka di mahkamah, hari ini.

    Hakim Izralizam Sanusi berkata, pihaknya akur dengan permohonan terbabit walaupun isu itu menjejaskan kelancaran perbicaraan kes berkenaan yang sudah tertangguh beberapa kali.

    Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu tidak wajar berlaku kerana tarikh perbicaraan sudah ditetapkan dan dipersetujui semua pihak lebih awal, dan mereka ada masa mencukupi untuk membuat permohonan sekiranya mempunyai sebarang masalah.

    “Bagi Nur’Aminahtul, menjadi tugas mahkamah untuk meneliti permohonan berkenaan (menarik diri) tetapi pada akhirnya, ia adalah hak peguam itu sendiri.

    “Dalam rekod mahkamah, masih ada baki peguam mewakili kamu (Siti Bainun) yang belum membuat permohonan, iaitu Nurul Hafidzah Hassan dan Asiah Abd Jalil. Jadi, saya perlu meminta mereka menyatakan pendirian dan saya hendak penjelasan mereka.

    “Saya menangguhkan (perbicaraan) ke esok untuk mengetahui status peguam, sama ada kamu mencari peguam baharu menggantikan Nur’Aminahtul atau mengekalkan Nurul Hafidzah serta Asiah,” katanya, hari ini.

    Terdahulu ketika Izralizam meminta penjelasan berhubung sebab permohonan menarik diri terbabit dikemukakan pada saat akhir, pagi tadi, Nur’Aminahtul berkata, pihaknya berpendirian tidak akan mewakili Siti Bainun disebabkan kekangan masa dan masalah berikutan peguam menarik diri, kerana pembahagian tugasan sudah dibuat.

    “Pendirian kami, tidak akan meneruskan pembelaan Siti Bainun kerana saya tidak boleh bertindak sendirian tanpa pasukan, selepas dimaklumkan Mohammad Farhan dan Nur Ellena menarik diri, tengah malam tadi.

    “Saya perlu menjelaskan situasi ini kerana pasukan saya membabitkan lima firma yang mana pembahagian tugas sudah diberikan. Jadi apabila isu ini timbul, ia menjejaskan jadual kerja kami.

    “Saya dan Siti Bainun berbincang (ketika prosiding pagi tadi ditangguhkan) mengenai isu ini. Saya akan membantu Siti Bainun mencari peguam untuk mewakilinya,” katanya.

    Sementara itu, Siti Bainun berkata, pihaknya hanya mengetahui peguam belanya menarik diri, pagi tadi.

    “Saya faham Nur’Aminahtul ada memberitahu saya mengenai kekangan masa dan jadual peguam lain (bertindih), namun kita tidak dimaklumkan mengenai isu peguam menarik diri, hari ini.

    “Saya akan cuba mendapatkan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) atau meminta bantuan Nur’Aminahtul untuk mencari peguam lain,” katanya lapor BH.

    Terdahulu, prosiding itu tergendala kira-kira dua jam apabila pihak peguam mewakili Siti Bainun mengemukakan permohonan menarik diri berikutan tidak mempunyai kelapangan pada tarikh ditetapkan sebelum ini sehingga Izralizam mengarahkan mereka berbincang.

    Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur memerintahkan Siti Bainun membela diri atas dua pertuduhan, iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

    Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Aka Kanak-Kanak 2001.

  • Bantuan tunai dijenamakan sebagai Sumbangan Tunai Rahmah, bayaran fasa pertama esok

    Bantuan tunai dijenamakan sebagai Sumbangan Tunai Rahmah, bayaran fasa pertama esok

    PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program bantuan tunai kepada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) di bawah Kementerian Kewangan dijenamakan semula sebagai Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

    Menurut beliau, program itu akan terus ditambah baik seiring pendekatan kerajaan pimpinannya menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat terutama golongan rentan dan mudah terjejas.

    Untuk itu katanya, kerajaan memperkenalkan konsep ‘Payung Rahmah’ sebagai induk kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

    Sehubungan dengan itu kata Perdana Menteri, STR Fasa 1 untuk golongan B40 diawalkan kepada bulan ini berbanding perancangan awal pada bulan Mac depan.

    Menurut Perdana Menteri, ia bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

    “Pembayaran STR Fasa 1 kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar dalam pangkalan data STR secara berperingkat mulai esok, 17 Januari 2023.

    “Pembayaran itu melibatkan empat juta kategori isi rumah yang menerima RM300; 1.2 juta warga emas tiada pasangan dan 3.5 juta golongan bujang yang masing-masing mendapat RM100,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Anwar berkata, penerima STR di kawasan pedalaman termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran tersebut pada tarikh sama.

    Katanya, penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai esok.

    “Semakan status pembayaran akan dibuka mulai esok dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran ini boleh dirujuk soalan lazim (FAQ) di portal rasmi STR melalui pautan bantuantunai.hasil.gov.my,” katanya, lapor UtusanTV.

  • Undi tentera: Sikap ‘membisu’ pemimpin PH, aktivis anti rasuah dipersoal

    Undi tentera: Sikap ‘membisu’ pemimpin PH, aktivis anti rasuah dipersoal

    SIKAP pemimpin pro kerajaan perpaduan dan aktivis anti rasuah yang dilihat ‘membisu’ berhubung kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu memastikan calon Barisan Nasional (BN) mendapat undi daripada pasukan keselamatan dipersoalkan seorang pemimpin Pas.

    Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau hanya mahukan kepastian sama ada ucapan Mohamad atau Tok Mat pada penutup sebelum Ucapan Penangguhan Presiden di Perhimpunan Agung UMNO itu dibenarkan.

    Tok Mat yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau akan turun di enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) untuk memastikan calon BN yang di kawasan ramai tentera mendapat undi daripada pasukan keselamatan itu.

    “Saya ingin bertanya kepada kawan-kawan pro reformasi era baru anti rasuah dan salah guna kuasa, ok ke ucapan macam ni?

    “Kalau ok, katakan ok,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau hari ini.

    Negeri yang tidak menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November lalu ialah Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah dan Pulau Pinang.

    Menurut Tok Mat lagi, beliau akan turun ke kem-kem tentera di enam negeri berkenaan menjelang PRN nanti.

    Katanya, ini kerana enam negeri yang bakal menghadapi PRN tahun ini mempunyai undi tentera yang banyak.

  • Petisyen pilihan raya perkara biasa, PN, Pas sedia hadapi: Tuan Ibrahim

    Petisyen pilihan raya perkara biasa, PN, Pas sedia hadapi: Tuan Ibrahim

    SEKURANG-kurangnya empat bekas calon yang kehilangan kerusi Parlimen kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah memfailkan petisyen untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

    Empat kawasan Parlimen itu ialah Gua Musang di Kelantan; Marang, Kemaman, dan Kuala Terengganu di Terengganu.

    Di Gua Musang, calon PN daripada Pas, Mohd Azizi Abu Naim mengalahkan penyandang, Tengku Razaleigh Hamzah (BN-UMNO) dan dua calon lain, Asharun Uji (Pakatan Harapan); dan Datuk Dr. Samsu Adabi Mamat (GTA-Pejuang).

    Parlimen Kuala Terengganu kekal dimenangi Datuk Amzad Hashim; Marang (Tan Sri Abdul Hadi Awang); dan Kemaman (Ustaz Che Alias Hamid).

    Mengulas perkara itu, Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, PN mengambil maklum mengenai empat petisyen yang difailkan baru-baru ini.

    “Ini adalah perkara biasa. Mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-15 akan cuba mencabar keputusan itu,” katanya menurut laporan NST hari ini.

    Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, Pas menyerahkan kepada peguam parti untuk mengambil langkah seterusnya.

    Dilaporkan semalam bahawa Barisan Nasional (BN) telah memfailkan tiga petisyen untuk mencabar keputusan PRU-15. Petisyen pilihan raya melibatkan tiga kerusi iaitu Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

    Petisyen itu dibuat berikutan dakwaan rasuah yang dilakukan PN membabitkan tiga kerusi itu ketika PRU-15.

    Bekas anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah telah memfailkan petisyen mencabar keputusan PRU-15 bagi kerusi Parlimen itu pada 3 Januari lalu dengan dakwaan melibatkan politik wang.

    Ketika PRU-15, Tengku Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, gagal mempertahankan kerusi Gua Musang selepas 12 penggal, apabila tanpa disangka-sangka tewas kepada Mohd Azizi daripada Bersatu yang bertanding atas tiket PAS. Azizi menang dengan majoriti tipis iaitu 163 undi selepas memperoleh 21,826 undi manakala Tengku Razaleigh memperoleh 21,663 undi.

    Difahamkan, satu lagi petisyen untuk mencabar keputusan PRU-15 yang dimenangi PN turut difailkan baru-baru ini. Petisyen itu melibatkan kerusi Parlimen Masjid Tanah yang dimenangi Naib Ketua Srikandi Bersatu Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

    Beliau memperoleh 4,411 majoriti undi mengalahkan calon daripada BN, MUDA dan Pejuang.

  • 6 rumah terbakar, warga emas rentung

    6 rumah terbakar, warga emas rentung

    SEORANG warga emas rentung dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Bagan Ikan, Bagan Datuk, hari ini.

    Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa adalah seorang lelaki tempatan dipercayai berumur 80-an.

    Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.42 pagi.

    “Kebakaran membabitkan enam rumah kelas B berkeluasan keseluruhan 180 x 180 kaki persegi yang musnah terbakar 90 peratus.

    “Mangsa yang maut ditemui dalam bilik rumah kedua yang terbakar. Seorang lagi mangsa berumur 24 tahun pula mengalami kecederaan di bahagian lutut.

    “Kebakaran itu turut mengakibatkan dua kereta jenis Toyota Altis dan Perodua Kancil serta sebuah motosikal musnah,” katanya lapor BH.

    Katanya, pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hutan Melintang dengan bantuan BBP Teluk Intan, Balai Bomba Sukarela (BBS) Sungai Tiang dan BBS Bagan Datuk memadamkan kebakaran menggunakan sumber air laut sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

    Operasi ditamatkan pukul 1.21 tengah hari tadi.

  • Pas yakin PN mampu rampas Selangor dalam PRN

    Pas yakin PN mampu rampas Selangor dalam PRN

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PAS Selangor yakin Perikatan Nasional (PN) mempunyai peluang baik untuk menang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu walaupun Pakatan Harapan (PH) cuba menafikan hakikat itu.

    Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Ahmad Yunos Hairi berkata, keyakinan itu bersandarkan beberapa perkembangan mutakhir dan beberapa faktor yang memberi banyak kelebihan kepada PN.

    “Sesungguhnya rakyat di Negeri Selangor sudah muak dengan siri-siri pembohongan dan janji-janji palsu Pakatan Harapan dan ia diterjemahkan dalam bentuk undi.

    “Calon-calon PH dan Barisan Nasional (BN) kecundang di enam kerusi Parlimen di negeri ini dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, malah BN gagal memenangi walau satu kerusi pun di Selangor.

    “PH dilihat tidak memiliki kemampuan membawa imej yang dikehendaki rakyat dalam pentadbiran tambahan apabila mereka sanggup pula berkerjasama dengan Barisan Nasional yang selama ini mereka serang sebagai kleptokrat dan serba pincang.

    “Rakyat Selangor masih tidak dapat melihat sebarang bentuk penyelesaian yang memuaskan daripada kerajaan PH berhubung beberapa permasalahan besar di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, antara masalah tersebut isu kos hidup, peluang pekerjaan dan perumahanan, banjir, pengurusan cerun dan tanah tinggi, pencemaran air dan kemudahan infrastruktur serta liputan internet.

    Rakyat Selangor katanya, inginkan sebuah kerajaan negeri yang berwibawa dan penuh berintegriti serta dapat membela nasib mereka di samping membawa pembangunan untuk rakyat dan negeri.

    Bukannya sebuah kerajaan yang populis dan gemar menabur janji-janji tetapi gagal membantu dan menangani permasalahan rakyat, katanya.

    “Atas faktor inilah dan mengambil kira ‘Gelombang Hijau’ yang membawa kemenangan besar pada Pas dan PN dalam PRU15 baru-baru ini termasuk undi daripada anak-anak muda, Pas yakin akan mampu mengambil-alih kerajaan negeri bersama Perikatan Nasional dengan menjanjikan sebuah pentadbiran yang bersih dan stabil sebagaimana dikehendaki rakyat di negeri ini,” ujarnya.

  • Pertambahan keahlian baharu Pas memberangsangkan

    Pertambahan keahlian baharu Pas memberangsangkan

    PAS berjaya mencatatkan seramai 30,491 orang ahli baharu parti itu bermula Januari hingga Disember tahun lalu.

    Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia menunjukkan pertambahan keahlian baharu parti itu amat memberangsangkan.

    “Mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kerja Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Pusat yang bersidang pada semalam telah meluluskan seramai 3,966 orang ahli baharu dan seramai 191 orang ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP)

    “Jumlah pertambahan keahlian baharu bulan ini adalah lebih baik dari bulanan lalu (Disember 2022) iaitu seramai 3,151 orang,” katanya dalam satu kenyataan.

    Mengikut kenyataan dari laman Facebook Dewan Ulamak PAS Pusat, mereka yang berminat menyertai parti itu boleh berbuat demikian secara dalam talian menerusi pautan https://keahlian.pas.org.my/.

    Bagi mereka yang ingin memohon untuk menjadi ahli PAS yang aktif di cawangan dan kawasan pula perlu memuat turun dan melengkapkan Borang Permohonan Menjadi Ahli PAS dengan klik pautan berikut, https://pas.org.my/download/borang-keahlian-pas/ sebelum menyerahkannya kepada Ketua/Setiausaha PAS Cawangan terdekat.

  • Sindket pengedaran dadah di kelab malam tumpas, rampasan RM1.6 juta

    Sindket pengedaran dadah di kelab malam tumpas, rampasan RM1.6 juta

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SATU sindiket pengedaran dadah menjadikan kondominum dan rumah mewah sebagai stor simpanan dadah sebelum diedarkan di pasaran tempatan dengan menyasarkan kelab hiburan dan kelab malam sekitar negeri ini.

    Itu adalah modus operandi kegiatan pengedaran dadah dilakukan sindiket tersebut telah aktif sejak bulan Oktober tahun lalu.

    Bagaimanapun sindiket berkenaan tumpas selepas polis melakukan sembilan serbuan di empat daerah pada 5 Januari lalu hingga kelmarin.

    Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, sindiket berkenaan melakukan pengedaran dan pembungkusan dadah jenis Erimin 5 yang didalangi warga asing.

    “Serbuan kita lakukan sekitar Kulai, Iskandar Puteri, Seri Alam dan Mersing dalam Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Kulai.

    Antara dadah yang dirampas pihak polis di empat daerah menerusi Operasi Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan Kulai.

    “Menerusi serbuan itu 14 ahli sindiket termasuk lima wanita berusia 21 tahun hingga 48 tahun ditahan. Lapan yang ditahan termasuk dalang adalah warga asing.

    “Seorang daripadanya adalah ‘mastermind’ warga asing dari negara jiran yang menggunakan kereta mewah bernilai hampir RM300,000. Polis masih menjalankan siasatam dan sedang mengenal pasti ketua sindiket.

    “Menerusi serbuan itu 70,004 biji pil erimin 5 seberat 22.21 kilogram bernilai RM1.66 juta berjaya dirampas. Selain itu turut dirampas, 54.70 gram syabu, 3.70 gram heroin, 2.40 gram ketamin dan 1.00 gram ganja yang keseluruhannya bernilai RM1.672 juta,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

    Katanya, ujian saringan air kencing mendapati sembilan daripada 14 suspek terbabit positif dadah Methapethamine dan ketamin.

    “Apa yang peliknya dadah yang kita rampas adalah Erimin 5. Erimin 5 ini digunakan sebagai dadah penenang yang biasa digunakan di kelab hiburan dan dijual pada harga RM15 sebiji,” katanya.

    Kamarul Zaman menunjukkan ahli-ahli sindiket pengedaran dadah yang berjaya diberkas dalam operasi khas, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

    Menurutnya, sejumlah besar Erimin 5 yang dirampas dalam operasi itu, sekiranya terlepas boleh digunakan oleh 70,329 penagih dadah.

    “Mereka (pengunjung kelab malam) menggunakan dadah Erimin 5 ini adalah untuk menurunkan kadar denyutan, memberi ketenangan an sebagainya. Selepas ambil dadah dan berhibur, mereka akan ambil erimin 5 untuk pulang supaya jadi lebih tenang,” ujar beliau.

    Kata beliau lagi, sembilan daripada 14 suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Tambahnya, polis juga menyita sebuah kereta mewah Maserati bernilai RM300,000, jam tangan jenama Rolex bernilai RM45,000 dan pelbagai barang kemas dengan nilai sitaan RM44,441.

    Kesemua suspek katanya, direman selama tujuh hari bermula Isnin sehingga 21 Januari ini untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

  • Sub kontraktor TM antara ditahan curi kabel

    Sub kontraktor TM antara ditahan curi kabel

    SEORANG sub kontraktor Telekom Malaysia (TM Malaysia) serta 13 pekerjanya ditahan polis selepas didapati menjadi dalang kejadian curi kabel milik syarikat tersebut di Pulau Pinang dan Kedah.

    Selain itu, lima lagi suspek termasuk seorang wanita yang merupakan pembeli kabel curi itu turut ditahan di sekitar Sungai Petani, Kedah.

    Kesemua 19 individu yang ditahan itu berusia 27 hingga 47 tahun dan berasal dari Kedah.

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, 11 daripada suspek termasuk sub kontraktor itu ditahan pada 10 Januari lalu, kira-kira pukul 2.40 pagi di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tanjung Bungah Park kerana disyaki melakukan kegiatan curi kabel.

    “Beberapa hari sebelum itu, pihak syarikat menerima aduan mengenai gangguan bekalan internet di kawasan berkenaan.

    “Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek sedang memotong dan mengeluarkan kabel bawah tanah dan mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah ketika itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.

    Menurut Mohd. Shuhaily, modus operandi kumpulan itu adalah mencuri kabel bawah tanah melalui ‘man hole’ dengan menyamar sedang membuat tugas selenggara kabel TM untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

    Ujarnya, kabel-kabel yang dicuri itu akan dibawa ke tapak pelupusan di Sungai Petani dan Kuala Ketil, Kedah menggunakan lori.

    Difahamkan, setiap satu kilogram tembaga di dalam kabel berkenaan dijual di pasaran pada harga RM30 dan anggaran kerugian yang dialami syarikat berkenaan akibat kes kecurian kabel yang didalangi sindiket itu ialah kira-kira RM910,448.

    Tambah Mohd. Shuhaily, ujian air kencing yang dijalankan mendapati tujuh daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan semakan rekod jenayah mendapati 14 individu mempunyai antara dua hingga 12 rekod jenayah lampau.

    “Dengan penangkapan suspek-suspek ini, kita percaya berjaya menyelesaikan sebanyak 27 kes curi kabel yang mana 17 kes berlaku di Pulau Pinang manakala 10 lagi di Kedah,” katanya.

    Dalam pada itu, tambah beliau, polis turut merampas pelbagai barangan daripada sindiket itu antaranya sebuah motolori; tiga buah kereta; 65 batang kabel bertulis Telekom Malaysia; pemotong paip; pemotong besi dan banyak lagi.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri.