Author: Wartawan WartaRakyat

  • UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    UMNO patut kaji siapa musuh, kawan sebenar

    KEPUTUSAN UMNO menolak mentah-mentah kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) memang membingungkan banyak pihak termasuk PAS yang menjadi sekutunya dalam Muafakat Nasional (MN).

    Tidak dapat dilihat apa kewajaran yang digunakan oleh UMNO di sebalik keputusan yang bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru di kerusi-kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

    Langkah semberono yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu boleh membuka jalan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

    Kebimbangan itu turut disuarakan oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dalam laporan media hari ini.

    Beliau menasihatkan agar UMNO mengkaji semula siapakah sebenarnya musuh dan kawan selain jangan menolak kerjasama dengan PN.

    Seperti yang dijelaskan oleh Hashim, perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu dan Islam akan memberi keuntungan kepada PH.

    Sememangnya UMNO perlu memikirkan semasak-masaknya nasihat Hashim tersebut kerana parti itu telah kehilangan banyak kerusi pada PRU-14 dalam pertandingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), PAS dan PH.

    Seorang lagi tokoh ulama PAS, Ahmad Dusuki Abd Rani pula berpandangan, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sepatutnya berlapang dada serta menjauhkan sifat tamak dan ego.

    Seperti yang dinyatakan dalam hantaran Facebook, beliau berkata, kedua-dua parti Melayu itu saling memerlukan antara satu sama lain dan mereka perlu berdamai.

    UMNO PAS
    Ahmad Dusuki Abd Rani

    “Belum cukup lagikah pengajaran PRU-14 yang lalu memberi pengajaran kepada semua kita ini?

    “Belum cukup lagikah 22 bulan yang gelap di bawah PH itu menjadi iktibar yang berguna kepada kita semua umat Islam di bumi Malaysia ini?

    “Atau kita perlu ‘tamparan’ dari Allah COVID yang lebih dahsyat dari yang lalu? Atau apa sebenarnya yang menjadi ketamakan kepada semua ini?” soalnya.

    PAS memang berhak menyuarakan kebimbangan ekoran keputusan ‘muktamad’ UMNO menolak kerjasama dengan PN dan Bersatu pada PRU-15.

    Langkah UMNO itu akan meletakkan PAS dalam situasi serba salah sekiranya terpaksa berdepan calon sekutunya dalam MN itu kelak.

    Setakat ini, MN masih lagi wujud walaupun ramai pemerhati politik yang sangsi tentang kemampuannya bertahan selagi UMNO diterajui oleh Ahmad Zahid.

    Beliau dikatakan sering mengambil tindakan yang tidak selari dengan semangat MN sehingga menyebabkan pemimpin-pemimpin PAS rasa tersinggung.

    Mungkin fikiran Ahmad Zahid terganggu dengan kes mahkamah yang dihadapi justeru wajar dicadangkan supaya beliau ‘bercuti’ dahulu supaya pemimpin yang fikirannya lebih rasional dapat mengemudi UMNO bagi menghadapi PRU-15.

  • 2 lokaliti PKPD, masing-masing di Perak & Sabah

    2 lokaliti PKPD, masing-masing di Perak & Sabah

    PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di satu lokaliti di Perak dan satu lagi di Sabah mulai esok dan lusa.

    Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD di Perak melibatkan Kampung Orang Asli Chadak, Tanjung Rambutan bermula esok hingga 16 Oktober.

    Menurut beliau, PDPD di Sabah pula dilaksanakan di Kampung Mokodou, Ranau mulai lusa hingga 17 Oktober.

    Rodzi berkata demikian dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Sementara itu, PKPD di Kampung Orang Asli Ulu Pareh, Bentong, Pahang yang sepatutnya tamat esok dilanjutkan sehingga 17 Oktober setelah meneliti analisis Kementerian Kesihatan mengenai risiko dan trend penularan jangkitan COVID-19 semasa di lokaliti tersebut.

    PKPD di Pasdec Bandar Damansara, Kuantan, Pahang pula ditamatkan hari ini manakala PKPD di Kampung Tamu Darat, Kota Belud, Sabah yang bermula sejak 20 September lalu ditamatkan esok.

    PKPD di empat lokaliti di Pahang turut ditamatkan esok iaitu Kampung Sungai Kabuk, Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong, kesemuanya di Lembah Bertam, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands serta Kampung Orang Asli Sungai Koi, Hulu Cheka, Jerantut.

  • PRU-15 : Bersatu bersedia bertembung dengan UMNO – Muhyiddin

    PRU-15 : Bersatu bersedia bertembung dengan UMNO – Muhyiddin

    PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedia untuk bertembung dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tiada cara lain untuk mengelak pertembungan itu memandangkan UMNO membuat keputusan untuk tidak mahu bersama-sama parti itu sebagai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.

    Bagaimanapun katanya, Bersatu mempunyai strategi dan cara tersendiri untuk mendekati rakyat berdasarkan pengalaman yang dimiliki.

    “Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perhimpunan Agung UMNO sudah buat keputusan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan Bersatu. Secara asasnya mereka akan berlawan dengan kita (pada PRU15).

    “Bersatu sudah ada pendirian, kalau UMNO tidak mengubah keputusan itu… kalau kita terpaksa bertembung dalam PRU15, kita tiada cara lain untuk mengelakkannya. Itulah realiti politik,” katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat bersama barisan pemimpin Bersatu di Kota Kinabalu hari ini, lapor Astro Awani.

    Mengenai pembahagian kerusi dalam kalangan rakan gabungan PN di Sabah bagi berdepan PRU15, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menyerahkan kepada perbincangan antara parti-parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    “Adalah elok mandat diberikan kepada Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan rakan-rakan untuk berbincang.

    “Bagi saya Sabah ini ada sedikit kelainan dengan Semenanjung dan perkara itu akan menjadi indikator supaya akan ada satu keputusan baik untuk semua,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Muhyiddin berkata, Bersatu memandang serius mengenai golongan belia dan memberi perhatian untuk menarik sokongan mereka susulan keputusan mengenai Undi18.

  • Sesi persekolahan bermula esok, Radzi minta ibu bapa teliti ketetapan

    Sesi persekolahan bermula esok, Radzi minta ibu bapa teliti ketetapan

    KEMENTERIAN Pendidikan mengingatkan ibu bapa bahawa sesi persekolahan yang bermula esok adalah secara berperingkat iaitu tidak semua murid perlu hadir ke sekolah.

    Sehubungan itu Menterinya, Datuk Dr. Radzi Jidin meminta mereka meneliti dan melihat negeri dan fasa manakah sekolah anak-anak mereka berada dan mematuhi ketetapan yang diumumkan sebelum ini.

    ‘’Sepertimana kita tahu di negeri-negeri Fasa 3 PPN, sebagai contoh di Terengganu, murid sekolah menengah yang akan hadir ke sekolah adalah murid kelas peperiksaan iaitu murid tingkatan 5 dan 6 yang hadir secara bergilir kecuali murid yang tinggal di asrama sepenuhnya dan juga murid tingkatan 6 semester 2,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian selepas membuat tinjaun persiapan persekolah di Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu hari ini.

    Radzi berkata, murid berkeperluan khas juga akan hadir ke sekolah tanpa penggiliran manakala bagi sekolah rendah bermula esok untuk negeri Fasa 3, murid yang hadir adalah prasekolah dan berkeperluan khas PPKI.

    Mengenai persediaan yang dibuat oleh pihak sekolah beliau berkata, secara umum ia adalah baik namun namun ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian khusus terutamanya dalam konteks pengudaraan.

    ‘’InsyaAllah, apabila sekolah dibuka semula esok di Terengganu, Kelantan dan Langkawi, Kedah serta lusa bagi negeri-negeri dalam kumpulan B mula memasuki sekolah, maka kita harapkan ia berjalan dengan teratur, tersusun dan lancar,’’ katanya.

  • 10,915 kes baharu, turun sedikit berbanding semalam

    10,915 kes baharu, turun sedikit berbanding semalam

    KES baharu COVID-19 di negara ini mencatatkan penurunan sedikit hari ini kepada 10,915 kes berbanding 11,889 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan terbaharu itu menjadikan kumulatif sebanyak 2,268,499 kes.

    Berdasarkan hantaran yang dikongsi dalam laman Facebook beliau, Sarawak kekal merekodkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,121 kes, diikuti Selangor (1,386), Kelantan (1,288) dan Johor (1,124).

    Perak pula merekodkan 862 kes baharu diikuti Terengganu (818), Sabah (784), Pulau Pinang (768), Kedah (574), Pahang (504), Melaka (216), Negeri Sembilan (211), Kuala Lumpur (171), Perlis (58), Putrajaya (26) dan Labuan (4).

    Sementara itu, penggunaan katil COVID-19 setakat 5 petang semalam ialah 59 peratus bagi katil Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 53 peratus katil bukan ICU.

    Dalam kenyataan berasingan, Dr Noor Hisham memberitahu, daripada 10,915 kes baharu, sebanyak 1.3 peratus atau 139 kes adalah kategori tiga, empat dan lima manakala baki 98.7 peratus atau 10,776 kes lagi terdiri daripada kategori satu dan dua.

    Menurut beliau, sebanyak 15,396 kes sembuh direkodkan hari ini manakala 888 orang memerlukan rawatan di ICU merangkumi 832 kes disahkan, 56 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Dr Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 492 kes memerlukan bantuan pernafasan melibatkan 380 yang disahkan positif COVID-19 manakala 112 lagi adalah disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

    Beliau juga berkata 10 kluster baharu dikenal pasti melibatkan empat di tempat kerja, empat komuniti dan dua kumpulan berisiko.

    Dalam perkembangan berkaitan, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 177,220 warga emas atau 7.9 peratus telah dijangkiti COVID-19 setakat 30 September lalu dan dalam tempoh sama, sebanyak 106 kluster membabitkan warga emas dilaporkan dengan 3,598 kes positif dan 220 kematian.

    Selain itu, menurut beliau, sehingga minggu epidemiologi ke-38 tahun ini, sebanyak 14,248 atau 56.6 peratus kes kematian akibat COVID-19 melibatkan warga emas dilaporkan.

    “Walau bagaimanapun, trend ini mula menunjukkan penurunan selaras dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) 2021.

    “Sehingga 29 Sept, seramai 3,148,438 (87.4 peratus) warga emas telah lengkap divaksin dan seramai 3,365,443 (93.4 peratus) warga emas telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin,” jelasnya.

    Dr Noor Hisham memberitahu, setakat 26 September lalu, seramai 19,641 (66.8 peratus) penghuni dan penjaga pusat jagaan warga emas telah menerima dos lengkap dan pemberian vaksin akan diteruskan bagi memastikan golongan berisiko tinggi itu terlindung daripada jangkitan COVID-19.

    Beliau menjelaskan, fasa dua PICK untuk warga emas dan rentan, yang bermula pada April lalu, mula menunjukkan keberkesanan apabila statistik Hospital Sungai Buloh menyaksikan penurunan ketara kemasukan pesakit warga emas ke hospital bagi kategori empat serta lima berbanding golongan dewasa berumur lingkungan 20 hingga 59 tahun.

  • 52,774 remaja 12 hingga 17 tahun lengkap divaksin setakat 30 Sept

    52,774 remaja 12 hingga 17 tahun lengkap divaksin setakat 30 Sept

    SERAMAI 52,774 atau 1.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun dalam negara telah lengkap menerima vaksin COVID-19 jenis Cominarty setakat 30 Sept lepas, kata Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

    Beliau yang juga Pengerusi Pasukan Bertindak Imunisasi COVID-19 Remaja (PICK-Remaja) berkata pada masa yang sama 1,498,274 atau 47.6 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin berkenaan.

    Katanya setakat ini lima negeri dengan pencapaian vaksinasi tertinggi dalam kumpulan remaja terdiri daripada Wilayah Persekutuan Labuan dengan 77.6 peratus, diikuti Kedah (67.1 peratus), Sarawak (62.7 peratus) Perlis (61.8 peratus) dan Melaka (59.4 peratus).

    Sementara itu Dr Noor Azmi berkata PICK-Remaja turut memberi perhatian kepada golongan remaja Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa mengira status warganegara atau jenis ketidakupayaan, dan pelaksanaan pemberian vaksin kepada remaja OKU akan dilaksanakan dengan beberapa kaedah mengikut kategori mereka.

    Beliau berkata Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM) melaporkan bahawa 67,676 remaja OKU berusia 12 hingga 17 tahun berdaftar dengan JKM sehingga 31 Ogos lepas.

    “Seramai 51,361 (75.8 peratus) adalah remaja OKU dalam sistem pendidikan dan daripada jumlah ini 793 (1.5 peratus) merupakan Murid Berkeperluan Khas (MBK) yang berada di sekolah berasrama,” katanya dalam kenyataan.

    Beliau berkata remaja OKU juga berada di 705 buah institusi pemulihan harian seperti Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan Institusi jagaan OKU kerajaan dan swasta, serta 21 buah institusi OKU berkediaman,” katanya.

    Katanya pendaftaran remaja OKU yang berada di institusi perlindungan, pemulihan dan pendidikan sama ada berdaftar atau tidak berdaftar perlu dilakukan oleh pengetua, pengusaha atau penyelia institusi masing-masing melalui portal Vaksin Anakku.

    Dr Noor Azmi berkata bagi Remaja OKU bersekolah harian, mereka akan diberi vaksinasi secara berjadual di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau sekolah, dan remaja OKU bersekolah asrama pula akan menerima janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

    Bagi remaja OKU dengan masalah tingkah laku seperti Autism Spectrum Disorder, Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD), remaja OKU Mental atau dengan komorbid yang lain; pemberian vaksinasi boleh dilakukan di klinik kesihatan atau hospital kerajaan yang berdekatan dengan rumah.

    “Senarai nama remaja OKU ini akan dikumpul di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) untuk diserahkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD),” katanya.

    Bagi Remaja OKU terlantar pula, katanya proses pemberian vaksin kepada mereka di institusi dan yang terlantar di rumah akan dilakukan secara khidmat masyarakat (outreach) dan berjadual oleh pasukan pelaksana vaksinasi yang terdiri daripada kakitangan kesihatan, pengamal perubatan swasta, atau pasukan kesihatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

    “Remaja OKU terlantar di komuniti dikenal pasti melalui sama ada daripada senarai penerima Bantuan Pesakit Terlantar di bawah JKM atau senarai berdaftar dengan PDK atau pendaftaran remaja OKU terlantar di rumah.

    “Bagi remaja OKU terlantar yang tiada dalam senarai di atas, ibu bapa atau penjaga boleh hadir ke klinik kesihatan berdekatan, atau memaklumkan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) untuk mendaftarkan remaja itu bagi mendapatkan vaksinasi,” katanya.

  • Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    Rusuhan: Tokong minta maaf, tarik balik tuntutan tanah

    SUSULAN insiden rusuhan pada 28 September lalu, Tokong Chee How di Salak Selatan, Kuala Lumpur meminta maaf kepada pihak berkuasa dan orang ramai.

    Memetik laporan Malaysiakini, pihak tokong berkenaan berkata, mereka akan menarik semula tuntutan terhadap tanah tersebut dan akan bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pendidikan.

    “Kami dengan rasa amat kesal dan memohon maaf berhubung kekeliruan dan kontroversi yang timbul dari insiden itu.

    “Kami akan menyerahkan kunci pagar yang berdekatan dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan Kementerian Pendidikan agar mereka dapat melakukan kerja-kerja pembinaan yang sewajarnya,” kata pengurusan tokong itu dalam satu kenyataan hari ini.

    Setakat ini, seramai 24 individu telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung insiden rusuhan di depan tokong berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar dalam kenyataan yang dikeluarkan pada hari kejadian berkata, kira-kira pukul 11.45 pagi hingga 4 petang, satu operasi telah dijalankan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

    Menurut beliau, dalam operasi tersebut pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan.

    “Semasa operasi sedang dijalankan terdapat lebih kurang 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi.

    “Kumpulan ini telah bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

    “Kes disiasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

    Polis menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

    Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, beliau menghargai usaha presiden Tokong Chee How, Yap Chee Fong yang memohon maaf dan menjelaskan situasi itu kepadanya.

    Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, pertemuan diadakan antara kementeriannya, Pejabat Tanah dan Galian, pihak berkuasa tempatan, serta pihak-pihak yang terlibat untuk menjelaskan pembinaan sekolah menengah baharu di sebelah tokong tersebut.

    Hang Soon berkata, sekolah itu akan memberi manfaat kepada keperluan penduduk setempat kerana 7,000 unit rumah program perumahan rakyat (PPR) akan dibina berdekatan lokasi tersebut.

    Beliau menambah bahawa rancangan projek tersebut bermula pada tahun 2017 dan kementerian mendapati bahawa tanah rizab sekolah itu adalah lokasi paling strategik untuk membina sekolah menengah baru.

    “Kejadian yang tular dalam media sosial sejak beberapa hari lalu telah menimbulkan polemik dan provokasi, diputar belit dengan fakta sebenar.

    “Oleh itu, berdasarkan kenyataan dari Yap sebagai presiden tokong, saya menggesa supaya semua pihak untuk melihat kejadian ini secara menyeluruh dan rasional untuk kesejahteraan semua.

    “Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada tokong yang berjanji untuk menyerahkan kunci pagar dan tanah itu kepada Pejabat Tanah dan Galian dan Kementerian Pendidikan kerana meneruskan kerja-kerja,” jelasnya.

  • 111 peniaga jual minyak masak botol atas harga kawalan

    111 peniaga jual minyak masak botol atas harga kawalan

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    WALAUPUN kerajaan telah menetapkan harga kawalan bagi minyak masak botol, masih ada peniaga yang degil dan menjual melebihi harga ditetapkan.

    Ini terbukti apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya mengesan seramai 111 peniaga di seluruh negara yang masih menjual minyak masak botol melebihi harga kawalan.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid, ia dikesan melalui penguatkuasaan harga runcit maksimum minyak masak botol yang dilaksanakan bermula 1 Ogos hingga 1 Oktober lalu.

    Katanya, sepanjang tempoh tersebut sebanyak 19,266 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara melibatkan minyak masak dalam kuantiti 1kilogram (kg) hingga 5kg.

    “Daripada jumlah tersebut, kita berjaya mengesan 111 kes peniaga menjual minyak masak dalam botol melebihi harga kawalan dan kita terpaksa menyita barangan itu melibatkan nilai RM13,961.50 dan kompaun RM26,850.

    “Ia adalah selaras mengikut Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) 2021, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 kerana kesalahan menjual melebihi harga maksimum,” katanya kepada media selepas melawat lokasi ternakan kelulut di Kampung Machang, Ajil hari ini.

    Rosol memberitahu, kes tertinggi yang dikesan adalah Johor (44) Perak (23), Pulau Pinang (9) Pahang (4) manakala Kelantan, Terengganu, Sarawak dan Melaka (6) diikuti Negeri Sembilan (3), Sabah (2) dan masing-masing satu kes di Kedah dan Selangor.

    Beliau memaklumkan, harga maksimum runcit ditetapkan bagi minyak masak sawit tulen dalam botol ialah RM29.70 melibatkan botol 5kg, RM18.70 (3kg), RM12.70 (2kg) dan RM6.70 (1kg).

    Katanya, bagi harga minyak masak bersubsidi dalam peket 1kg pula ialah RM2.50.

  • 1 pegawai, 9 anggota APM Terengganu positif Covid-19

    1 pegawai, 9 anggota APM Terengganu positif Covid-19

    Oleh MOHD LAZIM ENDUT

    SEORANG pegawai dan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu yang bertugas di pejabat daerah Kuala Terengganu disahkan positif Covid-19 dan 31 lagi sedang dikuarantin.

    Menurut Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, sehingga ini tujuh anggotanya yang positif Covid-19 sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus dan dua lagi menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing.

    Justeru katanya, pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pula diminta menjalani proses kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Gong Badak.

    “Bagaimanapun keadaan sembilan anggota berkenaan dilaporkan stabil,” katanya ketika dihubungi media hari ini.

    Menurut Mohd Rosman, salah seorang pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat APM negeri turut disahkan positif Covid-19.

    Sehubungan itu katanya, seramai 15 pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat pegawai terbabit turut menjalani kuarantin dan setakat ini pihaknya belum mempunyai maklumat mengenai punca jangkitan terhadap pegawai dan anggota yang didapati positif.

    “Apapun perkembangan ini, APM tetap meneruskan aktiviti harian termasuk persiapan menghadapi bencana banjir,” jelas beliau.

  • 2 peniaga rugi RM22,100 ditipu skim pelaburan tidak wujud

    2 peniaga rugi RM22,100 ditipu skim pelaburan tidak wujud

    SERAMAI dua peniaga di Butterworth, Pulau Pinang bukan sahaja kempunan untuk mendapatkan keuntungan segera, malah wang simpanan mereka sebanyak RM22,100 pula lesap ditipu sindiket pelaburan tidak wujud.

    Kedua-dua mereka yang berusia 36 dan 30 tahun menjadi mangsa sindiket itu dalam dua kejadian berasingan semalam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian pertama melibatkan seorang wanita yang diperdaya untuk menyertai pelaburan berasaskan emas melalui laman sosial Facebook.

    Menurutnya, mangsa yang membuat pelaburan sebanyak RM16,000 teruja untuk menyertai skim terbabit selepas melihat rakan-rakannya mendapat pulangan yang dijanjikan.

    “Bagaimanapun mangsa menyedari telah ditipu apabila ejen pelaburan berkenaan bertindak keluar daripada kumpulan aplikas Whatsapp dan gagal dihubungi,” katanya.

    facebook ditipu
    Noorzainy Mohd. Noor

    Sementara itu menurut Noorzainy, dalam kejadian berasingan pula, seorang lelaki kerugian RM6,100 selepas menyertai skim pelaburan Khalifah Trust yang  menjanjikan keuntungan segera dalam tempoh 48 jam.

    Katanya, mangsa yang berusia 30 tahun memilih pakej pelaburan bernilai RM500 yang menawarkan pulangan keuntungan  sebanyak RM9,000.

    “Bagaimanapun, mangsa mula berasa tertipu selepas diminta menjelaskan beberapa bayaran tambahan sebagai syarat untuk mendapatkan pulangan yang dijanjikan sebelum membuat laporan polis,” katanya.

    Menurut Noorzainy, kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai sebarang iklan pelaburan di dalam media sosial khususnya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

    “Lakukan semakan lanjut di pautan http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/ bagi memastikan akaun bank yang digunakan bagi tujuan pelaburan bebas daripada penipuan,” katanya.