Author: Wartawan WartaRakyat

  • Arak Timah : Pas kecewa bantahan tidak dipeduli kerajaan

    Arak Timah : Pas kecewa bantahan tidak dipeduli kerajaan

    VETERAN Pas kecewa kerana suara parti itu seolah-olah tidak dipedulikan kerajaan selepas Jemaah Menteri membenarkan arak keluaran tempatan, Timah mengekalkan namanya.

    Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) Pas Pusat, Mahfodz Mohamed, berkata, parti Iitu selama ini bertegas membantah penggunaan nama Timah pada label arak berkenaan, dan keputusan Jemaah Menteri secara tidak langsung memberi persepsi bahawa Pas gagal menyelesaikan isu melibatkan agama Islam.

    “Saya amat kecewa…sebenarnya pimpinan Pas dah bantah dan bangkit (isu Timah) ke mesyuarat Kabinet tetapi nampaknya pandangan Pas tidak diambil perhatian serius oleh kerajaan. Sepatutnya apa yang disuarakan Pas diambil peringatan oleh kerajaan, kerana Pas sebahagian kerajaan,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT)

    Beliau berkata, keputusan itu seperti menafikan keberadaan Pas dalam pakatan kerajaan Keluarga Malaysia, sedangkan parti itu mendukung sebarang keputusan kerajaan.

    “Sebab itu secara langsung atau tidak, Pas dianggap oleh rakyat terutama beragama Islam sudah tidak ada peranan padahal kita sudah bantah perkara itu habis-habisan,” tegasnya.

    Beliau juga mengkritik tindakan kerajaan pusat yang lebih menumpukan isu besar seperti Rang Undang-Undang 355 (RUU355), sehingga menyebabkan perkara menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk judi dan arak dipandang remeh.

    “Bukankah sudah ada rundingan dengan syarikat dan mereka juga bersetuju tukar nama lain tetapi kerajaan pula umumkan nama (arak Timah) dikekalkan. Sepatutnya tak perlu takut pada bukan Islam,” katanya.

    Sementara itu Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, parti itu tetap menolak penggunaan nama Timah terhadap arak jenama tempatan walaupun kerajaan membuat keputusan membenarkan penggunaan nama tersebut.

    Katanya,  pendirian mereka berhubung perkara itu tetap sama sejak dari awal lagi.

    “Dalam hal ni jelaslah, tuan-tuan tengok pendirian Pas bab arak ni clear (jelas). Kita tidak setuju dalam apa nama… Timah ke tak Timah ke, itu jelas kepada kita daripada awal lagi.

    “Tak ada lagi tuan-tuan tengok di kalangan pimpinan Pas sokong bab Timah ni, bab arak ni. Kita tak setuju, atas nama apa pun Timah ke, Dollah ke, Wahab ke, kita tidak bersetuju,” tegas Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu seperti dilapor Astro Awani.

  • Tiga serbuan polis temukan dadah RM1.1 juta

    Tiga serbuan polis temukan dadah RM1.1 juta

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA sindiket dadah yang aktif melakukan kegiatan penyeludupan dan pengedaran di Johor tumpas setelah polis melancarkan tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada Selasa dan Rabu minggu lepas.

    Dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, pasangan suami isteri antara lima dalang sindiket yang ditahan bersama kira-kira 35 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM1.1 juta.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia 39 dan 49 tahun dalam sebuah kenderaan kira-kira 3 petang berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, Selasa lalu

    Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Honda CRV menemukan 14.5kg ganja bernilai RM36,392 yang berada dalam bonet kenderaan tersebut.

    “Modus operandi sindiket dadah ini adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

    Ayob Khan berkata, hasil saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

    Malah, warga Indonesia terbabit pula tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan disyaki sudah berada di negara ini secara haram sejak lima tahun lalu sebelum kedua-dua suspek direman selama seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    “Dalam operasi berasingan, kita telah melancarkan dua serbuan dalam operasi khas bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Johor Bahru, Rabu lalu. Pada serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap bersama sejumlah dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin.

    “Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Susulan itu, polis telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berusia 53 dan 59 tahun,” katanya

    Menurut Ayob Khan, hasil saringan awal mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan rekod mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

    “Modus operandi sindiket dadah yang beroperasi sejak Ogos lalu itu pula adalah dengan menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal yang dijadikan stor pembungkusan dadah untuk aktiviti ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru.

    “Hasil tangkapan itu, polis merampas 21.18kg serbuk ekstasi, 78.6 gram (g) ketamin, 1.8g syabu, 90 pil ekstasi dan 170 pil eramin 5 selain merampas sebuah kereta mewah jenama BMW dan merampas wang tunai RM3,495,” ujarnya.

    Ketiga-tiga suspek terbabit turut direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.

    Ujar beliau, Dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi itu boleh digunakan oleh seramai 85,838 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

  • PRU-15: DAP Selangor minta tambah 2 kerusi DUN, 1 Parlimen

    PRU-15: DAP Selangor minta tambah 2 kerusi DUN, 1 Parlimen

    DAP Selangor telah memohon kepada Pakatan Harapan (PH) negeri itu untuk mendapat tiga kerusi tambahan termasuk satu kerusi Parlimen bagi pilihan raya akan datang.

    Memetik laporan Bernama, Pengerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo berkata demikian dalam ucapan aluan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2021 di Shah Alam, hari ini.

    “Untuk perkara ini saya perlu memberitahu semua di sini bahawa perbincangan sedang diadakan dengan PH Negeri Selangor, setakat sekarang kita telah pun meminta untuk mendapat tiga kerusi tambahan.

    “Setakat ini kita ada dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita telah pun menyatakan kesediaan untuk bertanding dan satu kerusi Parlimen tambahan. Dengan ini kita (akan) meningkatkan bilangan kerusi dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

    Pada masa ini, DAP menguasai 16 kerusi DUN Selangor yang mempunyai jumlah keseluruhan 56 kerusi.

    Sekutu-sekutunya dalam PH iaitu PKR mempunyai 19 kerusi manakala Parti Amanah Negara (PAN) pula hanya menduduki enam kerusi dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) cuma ada tiga kerusi.

    Di blok pembangkang, Barisan Nasional (BN) mempunyai lima kerusi diikuti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (4 kerusi) dan PAS (1 kerusi).

    Baki dua kerusi lagi disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas.

    Bagi kawasan Parlimen pula, DAP kini menyandang sebanyak empat kerusi iaitu Bangi, Damansara, Puchong, Klang manakala PKR mempunyai tujuh kerusi, masing-masing di Hulu Selangor, Pandan, Subang, Selayang, Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Kapar.

    PAN mempunyai lima kerusi Parlimen di Selangor iaitu Kuala Selangor, Shah Alam, Hulu Langat, Kota Raja dan Sepang.

    Bersatu pula menduduki lima kerusi Parlimen di negeri tersebut iaitu Sabak Bernam, Gombak, Ampang, Kuala Langat dan Sungai Besar, manakala BN hanya ada satu kerusi di Tanjung Karang.

    Tidak dapat dipastikan kerusi-kerusi tambahan yang ingin ditandingi DAP adalah dari kawasan yang secara tradisinya ditandingi oleh PKR atau PAN.

    Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan pembukaannya berkata, partinya telah membuat keputusan untuk mengguna pakai logo PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

    Menurut beliau, penggunaan logo PH tersebut hanya akan dilaksanakan di Semenanjung Malaysia sementara Sabah dan Sarawak pula akan diputuskan oleh negeri-negeri tersebut kerana mereka mempunyai kuasa autonomi.

    “Kita telah mula di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka (penggunaan logo PH), kita akan pakai di seluruh Semenanjung Malaysia untuk PRU ke-15 kecuali Sabah dan Sarawak.

    “Kerana mereka ada (kuasa) autonomi, mereka akan putuskan (untuk gunakan) logo apa sama ada parti DAP Roket ataupun logo bersama,” katanya.

  • Kalau nak beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang

    Kalau nak beli nombor ekor, beli di Pulau Pinang

    KERAJAAN negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.

    “Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.

    “Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah, hari ini.

    Beliau berharap semua pihak, termasuk penduduk negeri itu memahami keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian.

    “Kerana bila ada premis, ada aktiviti, bukan saja bukan Islam (yang terlibat), jadi saya harap (keputusan ini) dapat difahami dengan seadil-adilnya.

    “Manfaat kepada premis judi tak banyak pun, melainkan hanya tauke saja yang untung, (selain itu) lebih banyak mudarat kepada orang ramai,” katanya.

    Sanusi berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri Kedah minggu lalu turut memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.

    “Di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang tiada permintaan, khususnya di luar bandar, penjualan di premis minuman keras juga akan dihadkan.

    “Kita juga telah berbincang dengan kedai bebas cukai di Langkawi dan kedai lain yang tidak mempunyai lesen, tidak lagi menjual arak secara terbuka untuk menjamin akal fikiran rakyat kita agar kekal waras,” jelasnya.

  • KKM nafi keluar kenyataan tutup Bilik Gerakan PN  Telok Mas

    KKM nafi keluar kenyataan tutup Bilik Gerakan PN Telok Mas

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penutupan Bilik Gerakan Perikatan Nasional (PN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas kerana penularan Covid-19.

    “Kenyataan akhbar berikut adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan.

    “Mohon untuk tidak disebarkan kenyataan palsu ini,” kata KKM dalam hantaran Facebook, hari ini.

    Terdahulu, tular kenyataan media kononnya daripada KKM berhubung penutupan bilik gerakan berkenaan.

  • Nazir kesal bantu Najib tunai cek RM25.7 juta dikait 1MDB

    Nazir kesal bantu Najib tunai cek RM25.7 juta dikait 1MDB

    BEKAS Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak meluahkan rasa kesal kerana membantu abangnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menunaikan cek untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang kemudiannya dikaitkan dengan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

    Menerusi memoirnya yang bertajuk ‘What’s in a name’, Nazir berkata, menjelang PRU-13, Najib mendekatinya untuk membantu menunaikan empat keping cek berjumlah RM25.7 juta untuk digunakan bagi berkempen.

    Nazir berkata, beliau hanya membantu abangnya itu dan tiada sebab untuk mengesyaki wang itu datang daripada sumber penipuan di luar sumbangan kempen yang sah.

    “Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk memikirkan yang dana itu mungkin dipersoalkan asal usulnya.

    “Sudah tentu dengan mengimbas semula (perkara ini) saya kesal kerana bersetuju untuk terlibat sama sekali,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.

    Pada 2016, Wall Street Journal mendedahkan bahawa cek itu datang daripada akaun Najib di mana wang 1MDB yang didakwa diseleweng telah disalurkan.

    Nazir menambah, pendedahan itu mengecewakannya dan mendorongnya mengambil cuti sebagai Pengerusi CIMB bagi membolehkan siasatan dalaman dijalankan.

    CIMB kemudian mendapati bahawa Nazir tidak menyalahgunakan kedudukannya dalam mengeluarkan cek berkenaan.

    Nazir, yang lantang bersuara mengenai 1MD, berkata dalam memoirnya bahawa beliau memberi amaran kepada Najib beberapa kali antara 2009 dan 2013 mengenai dana kekayaan negara itu, dan menyatakan kebimbangan bahawa dana itu sedang diselewengkan.

    Beliau berkata, isu 1MDB menjadi detik menyakitkan dan merenggangkan hubungannya dengan abangnya itu.

    “Selepas beberapa ketika 1MDB hampir menjadi subjek tabu bagi kami.

    “Saya tidak dapat menghubunginya, dan beberapa kali dia juga menyindir bahawa saya cemburu atau hanya tidak suka Jho (Low) secara peribadi,” katanya.

    Jho Low, yang kini menjadi buruan, adalah individu kepercayaan rapat Najib yang memainkan peranan penting dalam menyelewengkan dana 1MDB.

    Nazir memperincikan dalam memoirnya bahawa kegelisahannya dalam isu 1MDB menyebabkan beliau bekerjasama dengan pihak lain seperti bos The Edge, Tong Kooi Ong untuk menyiasat dana itu, malah menghubungi Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendapatkan bantuan pada 2015.

    Langkahnya itu juga menyebabkan kakak iparnya, Rosmah Mansor menentangnya, dakwanya.

    Beliau mendakwa, semasa majlis berbuka puasa pada bulan Ramadan bertarikh 15 Julai 2015 di rumah Najib, Rosmah dengan lantang memberitahu suaminya itu supaya tidak bercakap dengannya.

    “Bagi Rosmah hidup sangat mudah; kamu sama ada bersama mereka atau menentang mereka. Tidak ada jalan tengah.

    “Di majlis Ramadan itu dia memegang tangan Najib dan memandang tepat ke arah saya dan berkata dengan kuat: ‘Jangan cakap dengan dia! Dia kerja menentang kamu dan cuba jatuhkan kamu’,” katanya.

    Nazir berkata, Najib cuba menenangkan Rosmah ketika itu tetapi tidak berjaya.

    “Dia menambah, dengan kata-kata yang berbisa: ‘Saya tahu apa yang kamu lakukan. Saya ada mata. Lebih baik kamu berhati-hati,” tulis Nazir.

    Nazir berkata, kakak iparnya itu tidak salah sepenuhnya, tetapi beliau berhasrat menyelesaikan skandal 1MDB dan bukan untuk menyakiti Najib.

  • Undilah PN, kesejahteraan rakyat Melaka pasti terjamin

    Undilah PN, kesejahteraan rakyat Melaka pasti terjamin

    Apa kata calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam Facebook hari ini?

    “Saliran air kat sini antara punca air bertakung..”

    Dalam pertemuan saya bersama Imam Yusof semalam, beliau turut menyuarakan keluhan penduduk Kampung Gangsa berkaitan masalah sistem perparitan.

    Besar harapan beliau agar sistem perparitan ini dapat diselenggara dengan lebih baik kerana ianya juga merupakan antara punca utama banjir berlaku apabila hujan lebat berterusan.

    Prihatin dengan masalah yang disuarakan, saya bertekad untuk bersama-sama mencari jalan sekaligus mengambil tindakan untuk menyelesaikan masalah ini sekiranya saya diberikan mandat oleh komuniti setempat dalam PRN Melaka kali ini.

    “Penyatuan Ummah, Cita-cita Bersama Melaka Bertuah, Agama Bangsa Terbela”

    JA’AFAR OTHMAN
    Calon PN bagi DUN Durian Tunggal

    PN Kamarudin Sidek
    Gambar: Facebook Kamarudin Sidek

    Kerajaan Perikatan Nasional semasa memerintah telah terbukti menghulurkan pelbagai pakej bantuan untuk meringankan beban rakyat menghadapi PKP dan ujian Covid-19.

    Pakej bantuan dan rangsangan ekonomi PRIHATIN, PERMAI, PEMERKASA dan pelbagai langkah lagi berjaya melindungi rakyat dan kelangsungan perniagaan.

    DATUK KAMARUDIN SIDEK
    Calon PN bagi DUN Duyong

    Dr Mohd Yadzil Yaakub
    Gambar: Facebook Dr Mohd Yadzil Yaakub

    “Lakukan yang terbaik, jangan sombong”

    Alhamdulillah berkesempatan solat subuh berjemaah di Kesang Luar.

    Berkesempatan melawat Hj Jaafar yang mengalami sakit lutut selepas bersarapan bersama penduduk setempat.

    Pelbagai nasihat perubatan telah saya sampaikan kepada Hj Jaafar.

    Semoga Allah menyembuhkan penyakit beliau. Jangan lupa untuk menjaga diri dan kesihatan kita semua.

    DR MOHD YADZIL YAAKUB
    Calon PN bagi DUN Bemban

    Abd Alim Shapie
    Gambar: Facebook Abd Alim Shapie

    Kebetulan pagi ni saya solat subuh di Masjid Ar Marbawi Kg Ayer Merbau, terjumpa dengan Calon BN Dr Akmal. His Father my old classmate at Melaka High School. Memang kami baik dan sangat akrab walaupun berlainan pandangan politik.

    Sempat juga saya bertanya khabar dengan jemaah yang hadir. Ada kawan saya ajak berjumpa dengan orang lama dalam PAS Hj Hamzah. Orang bisnes yang berjaya. Jual belacan, Cencalok, Gula melaka, dan macam-macam jenis kerepek serta makanan ringan hantar ke Perak. Setiap minggu hantar ke sana.

    Kagum dengan usaha semangat kawan-kawan yang berniaga, lagi-lagi mula nak rancak semula time PKP ni. Tahu jugak lah selok belok berniaga sebab saya pun ada kedai jual alatan mesin rumput. Insya-Allah Hj Hamzah terus maju jaya dalam dunia perniagaannya.

    Cuba share sikit, kawan-kawan berniaga apa? Nanti saya singgah kedai.

    ABD ALIM SHAPIE
    Calon PN bagi DUN Merlimau

  • Nazir tidak benarkan Najib cemar nama Tun Razak

    Nazir tidak benarkan Najib cemar nama Tun Razak

    EKORAN penerbitan artikel Louise Story di New York Times mengenai ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low, serta tabiat perbelanjaan Datin Seri Rosmah Mansor di New York, Pejabat Perdana Menteri (PMO) akhirnya menerangkan bahawa ia bukan wang kerajaan.

    Memetik laporan Astro AWANI, Datuk Seri Nazir Tun Razak dalam memoirnya ‘What’s in a Name’ berkata, PMO cuba menerangkan bahawa wang yang dibelanjakan secara boros itu datang dari legasi peninggalan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

    Bekas Pengerusi Kumpulan CIMB itu menambah, kenyataan tersebut bukan sahaja seolah- olah menafikan etika dan integriti ayahnya, malah cuba membayangkan Abdul Razak mempunyai pendapatan sampingan.

    “Saya terus menghubungi tiga abang saya – Nazim, Johari dan Nizam. Ia tidak mengambil masa yang lama untuk kami bersama-sama membuat kenyataan terbuka dan saya terus menghantar kenyataan itu kepada rakan media dan pengulas yang saya kenal melalui WhatsApp.

    “Kami sangat prihatin dengan reputasi ayahanda kami dan kami jelaskan Tun Abdul Razak tidak pernah mewariskan ‘aset legasi’ (seperti yang dinyatakan PMO). Kami rumuskan, kami tidak boleh terima pihak yang cuba mencemarkan memori ayahanda kami, walau apa jua motif,” kata Nazir dalam tulisan itu.

    Sejurus kenyataan empat beradik itu disiarkan, Nazir berkata, beliau menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

    Namun Nizam, Nazim dan Johari lebih bijak kerana kata Nazir: “Mereka telah menutup telefon lebih awal lagi.”

    “Saya menjawab panggilan itu dan serta-merta mendengar kemarahan serta hamunan daripada Najib yang berkata: “Mengapa kamu semua tergamak memalukan saya di khalayak ramai!”

    Nazir berkata, bagi Najib, kesetiaan individu paling penting, manakala kesetiaan kaum ialah menolak perkara lain demi kepentingan ketua mereka.

    Namun bagi Nazir, apa yang mereka cuba lakukan adalah demi melindungi legasi dan nama baik keluarga mereka dan tidak akan sesekali membiarkan mana-mana pihak cuba mencemar nama ayahanda dan negarawan, Abdul Razak.

    “Susulan itu, PMO telah menghalang kenyataan kami daripada diterbitkan oleh mana-mana media arus perdana untuk beberapa hari. Bagaimanapun, media asing dan blog-blog tidak terikat dan tidak mempedulikan larangan itu.

    “Ia agak mengecewakan bahawa seorang anak akan menapis kenyataan adik-beradiknya yang sebenarnya memuji integriti ayahnanda mereka.

    “Malah sewaktu kenyataan itu diterbitkan, terdapat juga frasa bagaimana Najib memuji Abdul Razak. Saya sangka, orang yang membacanya akan terkeliru,” katanya.

    Episod itu, kata Nazir lagi, membuatkan beliau lebih mempercayai kerisauannya terhadap 1MDB adalah berasas – kombinasi kewangan dan politik, kombinasi golongan profesional dan perseorangan.

    “1MDB telah melanggar norma kewangan yang telah dibangunkan sekian lama di negara ini, termasuk apa yang dilakukan CIMB.

    “Dana itu sepatutnya merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tetapi ia telah dikecualikan dari peraturan ketat yang kami bangunkan dan boleh mencemarkan imej GLC secara keseluruhan.

    “Saya risau dan syak abang saya, Najib, telah dikawal oleh penasihat dan rakan kongsi yang tidak bertanggungjawab dan akhirnya mencemarkan nama baik ayahanda saya,” katanya lagi.

    Ini merupakan antara siri pendedahan bekas Nazir yang juga tokoh perbankan berkenaan skandal kewangan, 1MDB dalam memoirnya bertajuk – What’s in a Name’ yang dilancarkan 8 November lalu.

  • Lelaki ceroboh pusat jagaan warga emas cabul nenek

    Lelaki ceroboh pusat jagaan warga emas cabul nenek

    Oleh: RAHIMI MOHAMAD

    SEORANG lelaki ditangkap selepas menceroboh pusat jagaan orang tua untuk melakukan perkara terkutuk terhadap seorang warga emas berusia di Rumah Kebajikan Orang Tua di Seri Alam, tengah malam semalam.

    Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam, suspek yang merupakan pencari besi buruk itu telah menceroboh masuk ke pusat jagaan berkenaan melalui tingkap di tingkat bawah yang tidak bertutup.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu oleh pemilik rumah kebajikan orang tua tersebut setelah dia dimaklumkan pekerja pada pukul 8 pagi hari sama.

    Katanya, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) terlihat seorang lelaki tempatan telah menceroboh masuk dan melakukan perkara tidak senonoh terhadap mangsa wanita tempatan berusia 71 tahun yang merupakan penghuni di situ.

    “Berdasarkan rakaman CCTV yang diperolehi, suspek berusia 45 tahun itu ditahan di kawasan sekitar Desa Cemerlang di sini kira-kira pukul 8 malam hasil maklumat risikan.

    “Penahanan suspek itu dilakukan susulan satu laporan polis yang dibuat oleh pemilik rumah kebajikan orang tua berkenaan yang mendakwa pihaknya telah merakam satu perbuatan memecah masuk ke premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mohd. Sohaimi berkata, penahanan suspek itu turut membawa kepada penemuan beberapa barangan termasuk pakaian yang dipercayai digunakan suspek ketika melakukan kesalahan berkenaan.

    “Berdasarkan barangan dirampas dan rakaman CCTV yang diperolehi, polis mendapati ia adalah sama dengan pakaian digunakan suspek ketika kejadian itu.

    “Semakan rekod lampau juga mendapati suspek turut mempunyai satu empat rekod jenayah termasuk tiga membabitkan dadah,” katanya.

    Suspek ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan pencerobohan dan Seksyen 376 kanun sama.

  • Pendidikan anak-anak Kuala Linggi dekat di hati Cikgu Aziah

    Pendidikan anak-anak Kuala Linggi dekat di hati Cikgu Aziah

    prn melaka mohd muhammad

    SEBAGAI seorang bekas guru, isu pendidikan amat dekat di hati calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Aziah Mohd Sa’ad.

    Sehubungan itu, beliau menanam tekad untuk memperjuangkan isu tersebut agar penduduk di kawasan berkenaan tidak tercicir dari segi pendidikan

    “Kuala Linggi ini kedudukannya berdekatan laut dan pantai, dan pekerjaan penduduk di situ kebanyakannya sebagai nelayan. Kehidupan di laut dan pantai tidak sama seperti masyarakat lain di bandar kerana mereka banyak menghabiskan masa di laut sebagai nelayan.

    “Ada anak-anak nelayan yang membantu ibu bapa mereka menjadi nelayan, kadang-kadang mereka tidak ke sekolah sebab malam sudah letih turun tangkap ikan.

    “Ia menyebabkan anak-anak di Kuala Linggi lemah dalam pendidikan sekali gus kesedaran terhadap pentingnya pendidikan terus diabaikan. Lalu bagaimana anak-anak ini akan menjadi harapan untuk mengubah kehidupan keluarga jika mereka terperangkap dalam situasi seperti ini,” katanya seperti dipetik dari laporan Harakahdaily.

    Aziah yang berpengalaman menjadi guru selama 35 tahun memberitahu, pendapatan nelayan tidak seberapa apatah lagi yang membeli hasil tangkapan itu adalah peraih yang menyediakan perahu dan petrol.

    Beliau menambah, sudah tentu peraih mengambil kesempatan membeli hasil tangkapan dalam harga yang tidak berbaloi dengan keringat nelayan yang mempertaruhkan nyawa di lautan untuk hasil tangkapan ikan.

    Menurut wanita berusia 60 tahun itu, kehidupan ekonomi golongan nelayan Kuala Linggi tidak begitu bernasib baik malah ada anak-anak nelayan yang mewarisi pekerjaan bapa mereka sebagai nelayan kerana tidak cemerlang dalam pendidikan.

    Sehubungan itu, Aziah berhasrat memartabatkan pendidikan anak-anak nelayan Kuala Linggi supaya tidak lagi ketinggalan dengan pelajaran kerana hanya dengan pendidikan akan membantu mengubah kehidupan keluarga.

    “Selain itu masalah di Kuala Linggi menjejaskan pendapatan nelayan disebabkan tambakan laut yang dibina untuk mengawal hakisan pantai.

    “Nelayan tidak lagi boleh tangkap ikan tapi kita cubalah cara lain macam mana nak bangkitkan ekonomi nelayan di situ mungkin boleh perbanyakkan tanaman fertigasi.

    Dari riak wajah Aziah, beliau sangat komited untuk memperjuangkan nasib ibu tunggal dan ibu yang ditinggalkan suami yang turut menjadi satu isu berat di matanya.

    Beliau melihat isu itu sangat serius kerana kalangan suami kepada ibu yang ditinggalkan ramai yang terlibat dengan masalah penagihan dadah.

    “Apabila ketua keluarga yang sepatutnya memperjuangkan kehidupan anak-anak dan isteri terlibat dengan masalah penagihan dadah, ia cenderung menyumbang kepada masalah sosial.

    “Anak-anak terbiar, ibu diceraikan dan ibu ditinggalkan gantung tidak bertali.

    “Saya tahu kerana saya ada slot setiap hari Jumaat bersama NGO untuk ibu tunggal, bila kita tanya sebenarnya apa yang berlaku di Kuala Linggi dia kata banyak kes berkaitan penagih dadah, bila banyak kes begini maka banyaklah ibu-ibu dan isteri-isteri diceraikan dan anak pun terbiar.

    “Di Kuala Linggi, ada asrama untuk anak-anak yatim tetapi jadi tempat untuk anak-anak terbiar yang maknanya bapanya seorang penagih.

    “Saya pernah ziarah seorang ibu yang suaminya penagih dadah, anaknya tidak bersekolah. Disebabkan isu sebegitu kita nampaklah masalah yang berlaku di Kuala Linggi,” jelasnya.