Author: Wartawan WartaRakyat

  • Hari ini Guan Eng keluar IJN, esok hadir bicara rasuah

    Hari ini Guan Eng keluar IJN, esok hadir bicara rasuah

    BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) selepas menjalani rawatan.

    Memetik laporan Malaysiakini, susulan itu, bekas Menteri Kewangan itu dijangka menghadiri perbicaraan kes rasuah esok yang berkaitan dengan skandal projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang.

    Peguamnya, Haijan Omar memberitahu Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini bahawa beliau telah diberi pelepasan dari wad dan boleh menghadiri prosiding esok.

    Semalam, Guan Eng dilaporkan tidak dapat hadir ke mahkamah kerana dimasukkan ke IJN sejak Ahad.

    Di sebalik tanpa kehadiran Guan Eng, hakim Azura Alwi semalam membenarkan permohonan peguam pembelaan untuk prosiding diteruskan tanpa tertuduh, mengikut Seksyen 264 Kanun Tatacara Jenayah (CPC).

    Semasa prosiding hari ini yang tanpa kehadiran Guan Eng, Azura bertanya kepada peguam bela sama ada tertuduh cukup sihat untuk menghadiri perbicaraan esok.

    Azura: Tertuduh okay? Bolehkah dia datang (perbicaraan) esok?

    Haijan: Saya percaya dia telah keluar (IJN) dan akan datang (di mahkamah) esok.

    Prosiding disambung hari ini dengan keterangan daripada saksi ke-20 pendakwaan iaitu pegawai DUN Pulau Pinang, Mohd Farulizam Che Meh.

    Perbicaraan akan disambung semula sekitar 9.30 pagi esok.

    Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, beliau didakwa meminta suapan daripada Zarul sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, Kuala Lumpur pada Mac 2011.

    Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

  • Suami ditahan polis sebab pecahkan cermin kereta isteri

    Suami ditahan polis sebab pecahkan cermin kereta isteri

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis kerana disyaki melakukan ugutan selain merosakkan kenderaan milik isterinya termasuk memecahkan cermin kereta itu dalam satu kejadian yang turut tular di media sosial, baru-baru ini.

    Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dari isteri mangsa yang berusia 24 tahun dan bekerja sebagai kerani.

    Tambahnya, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di Lorong Panglima, Jalan Teluk Wan Jah di Alor Setar, tidak jauh dari rumah pasangan tersebut.

    “Wanita itu terlebih dulu menyedari bahawa kereta dipandunya diekori oleh suaminya yang menunggang motosikal jenis Honda Wave. Suspek kemudian menahan kereta tersebut lalu mengetuk cermin kereta bahagian pemandu depan.

    “Suspek berbuat demikian untuk meminta mangsa membuka tingkap dengan alasan mahu memberi wang kepada nak mereka. Apabila mangsa membuka sedikit tingkap kereta itu, suspek tiba-tiba merentap cermin tingkap tersebut hingga menyebabkannya pecah dan tercabut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Tindakan lelaki itu yang tular di media sosial mendapat kecaman banyak pihak yang jelas tidak berpuas hati dengan perbuatan tersebut.

    Tambahnya, serpihan kaca cermin tingkap itu turut mengenai anak mangsa hingga menyebabkan kanak-kanak itu terkejut.

    “Pemeriksaan awal mendapati kawasan kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup namun tindakan lelaki itu berjaya dirakam mangsa menggunakan telefon pintarnya.

    “Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 dan 506 Kanun Keseksaan. Siasatan lanjut masih dijalankan dan suspek kini direman selama empat hari bermula semalam,” katanya.

  • Bersatu sudah korbankan segalanya, apa lagi UMNO mahu?

    Bersatu sudah korbankan segalanya, apa lagi UMNO mahu?

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bera di Bera, pada 11 Disember lalu mengejutkan lamunan dan semarak nafsu beberapa pemimpin tertinggi parti itu.

    Pengakuan jujur Perdana Menteri bahawa kembalinya UMNO memegang tampuk pemerintahan negara bukan kerana menang lebih 112 kerusi Parlimen dan membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), seakan hempedu yang sukar ditelan.

    Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ daripada parti lain.

    Menurut Ismail Sabri, selaku Naib Presiden UMNO dapat menjawat jawatan nombor satu negara itu hasil kesepakatan bersama-sama parti lain antaranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan beberapa wakil rakyat Bebas.

    Ismail Sabri berkata, dengan kudrat yang dimiliki UMNO selepas PRU-14 lalu, tidak mungkin parti keramat itu akan kembali menerajui pentadbiran negara dan memperoleh jawatan Perdana Menteri.

    “Sekarang, kita (UMNO) seolah-olah tak sedar perkara itu, seolah-olah tidak peduli parti lain kerana kita pegang tampuk kuasa. Jangan kita ulangi kesilapan lalu,” katanya.

    Pendedahan berani Ismail Sabri itu, memberikan satu tamparan hebat terutama pemimpin-pemimpin UMNO yang masih ‘tidak sedar’ selain lebih mengutamakan kepentingan parti berbanding penyatuan parti-parti Melayu dan Islam.

    Fakta tersebut tidak boleh disembunyikan walaupun terdapat pemimpin atau akar umbi UMNO yang seakan menolak atau menafikan hakikat itu selepas diberi kuasa hasil ‘ihsan’ parti lain.

    Bagi Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Ir. Md. Nasir Hashim, UMNO seharusnya sedar dan tidak perlu mendabik dada kononnya rakyat sudah ‘kembali’ menerima mereka sedangkan hakikatnya sebenar adalah sebaliknya.

    Md. Nasir Hashim

    Katanya, kerjasama antara parti yang membolehkan UMNO kembali ke pangkuan kuasa namun apabila sudah berada semula di tampuk kuasa, terdapat pemimpin mereka lupa dan seolah-olah tidak menghargai permuafakatan dan perikatan dibina sebelum ini.

    “Sebagai contoh Bersatu berkorban memberikan jawatan penting seperti Perdana Menteri dan Menteri Besar di Johor serta Perak. Ini adalah satu pengorbanan yang besar,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat, hari ini.

    Sepatutnya kata beliau, persefahaman yang terbina perlu sentiasa dipertahankan dan diperbaharui agar terus subur, walaupun mungkin ada tindakan yang kadang-kala dilihat bertentangan dengan semangat persefahaman.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Johor Bahru, Razrul Anuar Rusli berkata, usaha menyatupadukan bumiputera perlu dilakukan menerusi platform parti berteraskan Melayu dan Islam.

    Razrul Anuar Rusli

    “Sebenarnya kedua-dua pihak saling memerlukan. Bukan sahaja UMNO tetapi Bersatu juga perlukan UMNO. Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri pun sebab UMNO sokong.

    “Apa yang penting kestabilan dan kemajuan rakyat pada masa depan. Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukti bahawa rakyat mahu kerajaan yang stabil, bukan lompat-lompat kerana ahli politik nak berkuasa,” katanya.

    Jelasnya, itu sentimen yang dimainkan dan dirasai rakyat rentetan daripada kerajaan Melaka jatuh yang disebabkan pemimpin UMNO sendiri yang tarik sokongan terhadap kerajaan sebelum ini.

    “Kalau kita bersama-sama UMNO dalam konteks Johor pada PRU-15, kerajaan orang Melayu akan kuat di negeri ini. Tetapi jika tiga penjuru, maka Pakatan Harapan (PH) dan DAP yang sering UMNO momokkan pada orang Melayu untuk ditakuti akan menyamai kekuatan kita,” katanya.

    Menutup bicara, beliau melontarkan persoalan: “Adakah ahli politik semua benar-benar mahu Melayu bersatu atau sekadar retorik.”

  • KPLB berjaya capai KPI aspirasi 100 hari

    KPLB berjaya capai KPI aspirasi 100 hari

    KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berjaya mencapai kesemua empat petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dalam Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia merangkumi aspek mempertingkat infrastruktur dan menstruktur semula ekonomi luar bandar.

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara empat pencapaian tersebut ialah pembinaan 100.56 kilometer jalan perhubungan desa sebagai akses perhubungan yang lebih cepat dan selamat yang memanfaatkan 20,095 penduduk kampung.

  • Tolak PRU awal, ahli Parlimen kerajaan sokong Ismail Sabri habiskan penggal pada 2023

    Tolak PRU awal, ahli Parlimen kerajaan sokong Ismail Sabri habiskan penggal pada 2023

    KELAB Penyokong Kerajaan Keluarga Malaysia (BBC) yang terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen kerajaan mengumumkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan menolak sebarang usaha yang cuba mengugat pentadbiran kerajaan sedia ada.

    Pengerusinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata mereka memberi sokongan kepada Ismail Sabri sehingga habis penggal pada 2023 dan menolak sebarang usaha untuk mengadakan pilihan raya umum (PRU) awal.

    “Kami menyokong penuh kepimpinan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, mudah-mudahan beliau dapat menerajui kerajaan hinggalah habis penggal. (Habis) penggal itu sehingga 2023, ya. Jadi keadaan terus stabil, terus mantap dan kukuh,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, lapor portal AgendaDaily.

    Tajuddin berkata MP blok pembangkang juga menyokong kerajaan Ismail Sabri, ia terbukti apabila Bajet 2022 yang dibentangkan sebelum ini sudah diluluskan selepas memperoleh majoriti diperlukan dalam Dewan Rakyat.

    “Kerajaan ini mendapat sokongan daripada semua sebagaimana yang kita semua sedia maklum bukan sahaja dari pihak kerajaan yang menyokong tetapi pihak pembangkang juga.

    “Pakatan Harapan pun telah berjanji dan menyokong kerajaan ini dan PM… Kita ucap terima kasihlah kepada pihak pembangkang, ini adalah politik matang baharu yang dibawa oleh Perdana Menteri,” katanya lagi.

    Jelasnya lagi, kerajaan dipimpin oleh Ismail Sabri selama 100 hari sudah membuktikan kemampuannya dalam menangani isu yang melibatkan kepentingan rakyat, disamping kejayaan dalam melawan penularan wabak Covid-19.

    “Kita berharap beliau akan terus memimpin kerajaan, pemimpin Kabinet untuk memberikan fokus kepada usaha-usaha membela rakyat untuk mengatasi masalah-masalah seperti Covid-19 dan juga masalah ekonomi rakyat dan lain-lain yang sewajarnya menjadi tumpuan kepada kerajaan dan kita.

    “Kami menaruh kepercayaan yang tinggi kepada beliau sebagai Perdana Menteri kerana beliau telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam tempoh 100 hari,” katanya lagi.

    Ujarnya, penurunan kes jangkitan baharu yang mendadak adalah hasil langkah yang diambil oleh pentadbiran Ismail Sabri yang cekap dan efisien dalam menguruskan krisis dihadapi negara.

  • ’Jangan terperdaya…saya dah berpunya, tak minat nak cari no 2’’ – nasihat Tengku Zafrul

    ’Jangan terperdaya…saya dah berpunya, tak minat nak cari no 2’’ – nasihat Tengku Zafrul

    ‘’KALAU  ada yang selepas ini menyamar sebagai Menteri Kewangan, menjanjikan cinta, tolonglah tolak mentah-mentah. Hati saya dah berpunya dan saya tak berminat nak cari no 2.’’

    Itulah nasihat dan penegasan yang dibuat oleh  Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang terkejut apabila membaca berita seorang wanita yang terperdaya dengan janji seorang individu menyamar sebagai Menteri Kewangan menyerah wang sebanyak RM4,200.

    Sehubungan itu Tengku Zafrul meminta orang ramai berhati-hati dengan pelbagai penipuan yang sedang kini berleluasa.

    ‘’ Saya minta semua di sana berhati-hati dengan pelbagai scam di luar sana. Semak dengan pihak berkuasa kalau ada perkara yang mencurigakan. Jangan mudah percaya dengan janji manis orang yang tidak dikenali,’’ katanya melalui Facebook hari ini.

    Beliau  mengulas nasib yang menimpa seorang guru tadika berusia 59 tahun yang terperdaya dengan individu menyamar sebagai Menteri Kewangan.

    Menurut laporan media, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang tinggal di Kemayan, Bera berkenalan dengan suspek pada awal bulan ini.

    ‘’Suspek menggunakan nama Facebook Tengku Zafrul dan memperkenalkan diri sebagai Menteri Kewangan selain turut menghantar mesej kepada mangsa melalui WhatsApp.

    ‘’Suspek berjani untuk memberikan wang sebanyak RM1 juta dan sebuah kenderaan jenis Rolls-Royce kepada mangsa jika bersetuju untuk berkahwin dengannya,’’ katanya.

    Beliau berkata, suspek kemudian meminta mangsa berurusan dengan individu bernama Siti menerusi WhatsApp yang didakwa pengurus bank kepada Tengku Zafrul.

    ‘’Mangsa diminta membayar yuran pemrosesan untuk berkahwin dengan suspek dan bayaran dibuat melalui mesin deposit di sebuah bank di Temerloh pada 10 Disember. Selepas menyedari ditipu mangsa membuat laporan polis,’’ katanya.

  • Harga ayam naik, ADUN bawa ayam segar ke sidang DUN

    Harga ayam naik, ADUN bawa ayam segar ke sidang DUN

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mencuri tumpuan sidang DUN Perak apabila memegang ayam segar ketika berbahas sebagai ‘gimik’ ketika menyentuh mengenai isu harga barangan terutama ayam.

    Muhamad Arafat berkata, ayam yang dibawa masuk ke dalam persidangan itu sebagai ‘hadiah’ kepada Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria yang juga ADUN Semanggol.

    Beliau mendakwa  mendakwa, sepanjang dewan bersidang, tiada tindakan yang diambil oleh Razman dalam menangani isu berkenaan di peringkat negeri.

    “Hadiah kepada (ADUN) Gunung Semanggol sebab resit ini, ayam ini dari Gunung Semanggol, saya beli dekat sana. Maknanya dalam resit ini sebelum 7 hari bulan, harga ayam di Semanggol sendiri sudah mencecah RM10 lebih… lepas 7 hari bulan saya difahamkan keluar satu skim harga maksima Keluarga Malaysia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna RM9.30.

    “Apa yang berlaku di Gunung Semanggol sendiri sangat menyusahkan rakyat, merunsingkan rakyat soal harga barang. Saya terpaksa bawa ayam ini kerana sejak minggu lepas sampai sekarang, satu tindakan tidak diambil oleh Exco.

    “Kita tak nampak, apa Exco telah lakukan? Ada tak pernah buat pertemuan dialog bersama dengan peruncit-peruncit? Ada tak buat pertemuan dialog bersama pengusaha-pengusaha? Ada tak pertemuan dialong bersama pemborong-pemborong untuk melihat di mana masalah sebenarnya?” soal Muhamad Arafat lapor Astro Awani.

    Menjawab satu soalan ketika sidang medianya, Muhamad Arafat berkata,

    Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna hanya bertanggungjawab mengawal harga barangan di pasaran sedangkan Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan pula mempunyai peranan lebih besar dalam isu ini.

    Beliau berkata, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Razman seharusnya mengambil tindakan drastik seperti memperkenalkan subsidi di peringkat pembekal atau mendapatkan pandangan daripada semua peringkat rantaian bekalan makanan dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barang.

    Dalam masa sama, Muhamad Arafat juga meminta agar Razman tidak dilihat seolah-olah mahu mensabotaj Menteri Besar Perak, sebaliknya, membantu kerajaan negeri dalam menangani soal berkenaan demi kepentingan rakyat.

  • MARA tamatkan pengajian 10 pelajar MRSM terlibat kes buli

    MARA tamatkan pengajian 10 pelajar MRSM terlibat kes buli

    JAWATANKUASA Disiplin Maktab (JDM) menamatkan pengajian 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dalam kes buli baru-baru ini.

    Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf berkata,  mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit berkuatkuasa hari ini.

    “Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar-pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA,  IPMA mahupun tajaan MARA,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

    Azhar berkata, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan keputusan oleh jawatankuasa berkenaan yang dibuat berdasarkan Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

    “Keputusan ini kita harap ia bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

    ‘’Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,’’ tegasnya.

    MARA tegas Azhar lagi,  komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

    ‘’Selain melaksanakan pemantauan secara berterusan segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang,’’ katanya.

  • Dr.Yadzil, Mas Ermieyati dilantik terajui pimpinan Bersatu Melaka

    Dr.Yadzil, Mas Ermieyati dilantik terajui pimpinan Bersatu Melaka

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bemban, Dr Mohd Yadzil Yaakub dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan Parti Bersatu  Melaka yang baharu berkuat kuasa hari ini.

    Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Dr.Mohd Yadzil menggantikan Datuk Wira Mohd Rafiq Naizamohideen yang meletakkan jawatan itu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Melaka pada 26 November lalu.

    Beliau juga mengumumkan pelantikan Ahli Parlimen Masjid Tanah Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin sebagai Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka yang baharu.

    ‘’Pelantikan Dr Mohd Yadzil dan  Mas Ermieyati bagi menerajui  Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka serta penyusunan semula Badan Pimpinan Negeri Bersatu Melaka diyakini dapat memperkuatkan struktur parti Bersatu dan memperkukuhkan lagi perkhidmatan parti kepada rakyat negeri Melaka khususnya,’’ kata beliau dalam kenyataan.

    Dr Mohd Yadzil yang memenangi kerusi DUN Bemban dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November  lalu, adalah merupakan Ketua Bahagian Bersatu Jasin dan Timbalan Pengerusi PN Negeri Melaka.

    Berkelulusan Ijazah Perubatan dari Universiti Udayana Indonesia, beliau pernah berkhidmat di Hospital Melaka dari tahun 2005 hingga 2009 sebelum menjadi Pegawai Perubatan di Poliklinik Hidayah, Jasin.

    Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Naib Ketua Srikandi Bersatu serta Ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah.

  • Pentadbiran Ismail Sabri bayar gaji penasihat terbesar selepas Najib

    Pentadbiran Ismail Sabri bayar gaji penasihat terbesar selepas Najib

    PENTADBIRAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbelanja paling besar untuk mengambil penasihat khas sejak era Datuk Seri Najib Razak.

    Memetik laporan Malaysiakini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pada masa ini, pentadbiran Ismail Sabri telah mengambil seramai lima penasihat khas dengan menelan belanja RM136,136 sebulan.

    Beliau berkata demikian berdasarkan jawapan Parlimen kepada Ahli Parlimen Alor Setar PKR, Chan Ming Kai yang meminta senarai semua penasihat khas yang diupah oleh kerajaan pada masa lalu dan kini.

    Penasihat khas semasa ialah Tan Sri Abdul Hadi Awang (Duta Khas ke Timur Tengah), Datuk Seri Tiong King Sing (Duta Khas ke China), Datuk Seri Richard Riot (Duta Khas ke Jepun, Korea dan Taiwan), Tan Sri S Vigneswaran (Duta Khas ke India dan Asia Selatan) dan Datuk Seri Azalina Othman Said (penasihat khas undang-undang dan hak asasi manusia).

    Mereka diupah antara Ogos dan Oktober dan masing-masing dibayar RM27,227.20 sebulan.

    Ismail Sabri penasihat khas

    Sekiranya mereka berkhidmat selama dua tahun penuh, mereka dijangka membelanjakan wang pembayar cukai berjumlah RM3.267 juta.

    Kos RM136,136 sebulan adalah lebih tinggi daripada kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mentadbir sebelum Ismail Sabri.

    Muhyiddin juga mempunyai empat orang penasihat dengan gaji RM27,227.20 sebulan, kecuali Dr Jemilah Mahmood (penasihat khas kesihatan awam) yang diberi gaji RM18,204.67.

    Ini menjadikan jumlah keseluruhan RM99,886.27 sebulan.

    Menjelang penghujung tempoh perkhidmatan Muhyiddin, Presiden Bersatu itu turut melantik timbalannya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas dengan gaji RM27,227.20 yang menjadikan kos keseluruhan sebanyak 127,113.47.

    Bagaimanapun, Ahmad Faizal hanya berkhidmat dalam jawatan itu selama 22 hari berikutan kejatuhan kerajaan Muhyiddin pada Ogos.

    penasihat khas PM

    Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad berkhidmat sebagai Perdana Menteri rejim Pakatan Harapan, beliau mempunyai empat orang penasihat.

    Mereka ialah Tun Daim Zainuddin yang tidak mengambil gaji, Datuk Abdul Kadir Jasin yang menerima RM9,038 sebulan, Tan Kok Wai yang dibayar RM18,204.67 sebulan dan Muhammed Abdul Khalid yang diberi RM19,610.33 sebulan.

    Kos keseluruhan sebanyak RM46.853 sebulan.

    penasihat khas PM

    Pemegang rekod ialah Najib yang berkhidmat sebagai perdana menteri keenam dari 2009 ke 2018.

    Beliau mempunyai seramai 16 orang penasihat. Jumlah yang besar itu sebahagiannya disebabkan oleh tempoh perkhidmatannya yang panjang selama sembilan tahun.

    penasihat khas PM

    Mereka berkhidmat pada tempoh berbeza tetapi ketika kemuncaknya pada 2018, Najib mempunyai seramai 10 penasihat khas aktif yang menerima gaji keseluruhan RM244,791.65 sebulan.

    Terdapat juga tiga orang penasihat yang tidak mengambil gaji.

    PM

    Sebelum itu, kerajaan Abdullah Ahmad Badawi yang berkhidmat sejak 2003 hingga 2009 hanya mempunyai seorang penasihat khas, dengan gaji bulanan RM17,820.

    Ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, beliau hanya mempunyai seorang penasihat khas pada satu-satu masa, juga dengan gaji RM17,820.

    PM

    Seorang telah diupah antara 1982 dan 1989 manakala seorang lagi diupah antara 2001 dan 2003.