Author: Bernama

  • Sistem janji temu kesihatan melalui MySejahtera

    Sistem janji temu kesihatan melalui MySejahtera

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) memperluaskan sistem janji temu melalui aplikasi MySejahtera di semua fasiliti kesihatan primer bermula hari ini, sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan itu. 

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata sistem janji temu itu bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu berikutan masa menunggu yang lama.

    Menurut beliau, lapan perkhidmatan dimasukkan ke dalam sistem janji temu iaitu rawatan pesakit luar; Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI); Saringan Kesihatan PeKa B40 dan pemeriksaan kesihatan prapekerjaan/prapengajian.

    Turut dimasukkan ialah saringan praperkahwinan; Khidmat Berhenti Merokok (KBM); perkhidmatan perancang keluarga serta prosedur iaitu rawatan luka, penukaran tiub dan lain-lain. 

    “Perkhidmatan ini telah dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Beliau berkata antara kelebihan sistem janji temu dalam talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa. 

    “Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan,” katanya.

    Dr Zaliha berkata sistem janji temu itu juga mempunyai fungsi Automated Reminder (peringatan automatik) supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang ditempah. 

    Bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu, katanya. 

    “Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien. 

    “KKM sentiasa komited dalam usaha ke arah pendigitalan sistem kesihatan agar sejajar dengan Pelan Strategik Pendigitalan (PSP) 2021-2025 KKM di bawah Teras Strategik 2 iaitu Pemantapan Teknologi Baharu,” katanya. – BERNAMA

  • Ali Puteh gagal rayuan ketepikan saman kakak ipar

    Ali Puteh gagal rayuan ketepikan saman kakak ipar

    PELAWAK Ali Puteh hari ini gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada kakak iparnya Siti Nor Hidayah Mohd Ali kerana memfitnahnya di media sosial, dua tahun lepas.

    Peguam Noorazmir Zakaria, yang mewakili Ali Puteh atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan berkata Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan pelawak tersebut dengan kos RM5,000.

    Selain itu, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Siti Nor Hidayah yang merupakan isteri kepada Allahyarham Abam Bocey untuk menaikkan jumlah ganti rugi RM60,000 yang diiperintahkan oleh Mahkamah Sesyen dengan kos RM5,000.

    “Rayuan Syed Ali dan tiga ahli keluarganya bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang menolak saman fitnah mereka terhadap usahawan kosmetik Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman dan Siti Nor Hidayah turut ditolak dengan kos sama (RM5,000),” kata peguam itu ketika dihubungi selepas prosiding yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.

    Sementara itu, Noorazmir berkata beliau belum mendapat arahan lanjut daripada anak guamnya sama ada untuk merayu terhadap keputusan hari ini.

    Pada 18 Feb lepas, Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah, 30, selepas berpendapat hantaran Syed Ali dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.

    Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa usahawan itu tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama isteri arwah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri arwah.

    Pada Mei 2020, Siti Nor Hidayah menyaman Syed Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu menerusi akaun Instagramnya antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

    Syed Ali dan tiga ahli keluarganya juga menfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Siti Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu. – BERNAMA

  • Kes bunuh penghuni tahfiz: Rayuan remaja didengar 9 Mac 2023

    Kes bunuh penghuni tahfiz: Rayuan remaja didengar 9 Mac 2023

    MAHKAMAH Rayuan menetapkan 9 Mac tahun depan untuk mendengar rayuan seorang remaja lelaki yang diperintahkan ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah membunuh 23 individu dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, lima tahun lepas.

    Peguam Haijan Omar yang mewakili remaja terbabit berkata rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja yang didakwa dengan pertuduhan sama, akan didengar pada tarikh sama (9 Mac).

    “Mahkamah turut menetapkan 23 Feb depan untuk pengurusan kes,” kata peguam itu ketika dihubungi, hari ini.

    Remaja itu yang kini berusia 21 tahun, merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Ogos 2020 yang memerintahkannya ditahan di penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selepas didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.

    Pada masa sama, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan seorang lagi remaja terhadap tuduhan membunuh tanpa dipanggil membela diri.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azman Abdullah mendapati remaja itu, yang berusia 16 tahun ketika kejadian, telah dengan sengaja melakukan khianat tersebut dengan niat membunuh.

    Menurut pertuduhan yang dipinda, remaja itu bersama seseorang yang tidak dicam, dituduh membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz beralamat di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara 4.15 pagi dan 6.45 pagi pada 14 Sept 2017.

    Dia didakwa dengan 23 pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

    Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti yang diperuntukkan Seksyen 97(2) akta sama.

    Seramai 71 saksi pendakwaan memberi keterangan manakala enam saksi pembelaan termasuk remaja itu dipanggil memberi keterangan dalam perbicaraan itu yang bermula pada 30 Mei 2018. Remaja itu dalam pembelaannya menafikan dia berada di perkarangan tahfiz itu pada bila-bila masa semasa kejadian.

    Dalam tragedi itu, 21 pelajar dan dua guru terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz berkenaan yang terbakar. – BERNAMA

  • Pelantikan Anwar sebagai PM tutup tirai rencam peristiwa politik negara 2022

    Pelantikan Anwar sebagai PM tutup tirai rencam peristiwa politik negara 2022

    PENTAS politik negara tahun ini menyaksikan pelbagai peristiwa bersejarah tersendiri yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) buat julung kalinya membawa kepada pembentukan Kerajaan Perpaduan.

    Pilihan raya pada 19 Nov menampilkan keputusan Parlimen Tergantung, apabila buat pertama kalinya sejak pilihan raya umum 1955, tiada parti atau gabungan yang berupaya menang dengan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan baharu.

    Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN-74), Barisan Nasional (BN-30), Gabungan Parti Sarawak (GPS-23), Gabungan Rakyat Sabah (GRS-enam), Warisan (tiga), Bebas (dua) serta Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi, dalam pilihan raya yang menyaksikan had umur pengundi diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun buat pertama kali.

    Walaupun ramai pemerhati politik sudah meramalkan perkara itu akan berlaku sebaik sahaja Parlimen dibubarkan pada 10 Okt, kebuntuan politik terus membelenggu negara, membawa kepada situasi yang belum pernah dilalui, membingungkan seluruh penduduk negara selama lima hari.

    Namun PRU15 membuktikan sistem demokrasi negara dapat bergerak seperti sepatutnya apabila jalan penyelesaian akhirnya muncul, menerusi bimbingan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang penyelesaiannya menyaksikan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov. 

    Ia sekali gus merealisasikan impian Anwar selama kira-kira 24 tahun untuk menerajui tampuk pentadbiran negara.

    Sebelum ini, sebaik sahaja Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-9 pada 13 Sept 2021, ia terus disusuli dengan pemeteraian memorandum persefahaman kestabilan politik antara kerajaan dengan pembangkang bagi menurunkan suhu persengketaan politik dalam negara, dengan hasrat mewujudkan suasana ‘tenang’, apabila kedua-dua pihak bersetuju PRU15 tidak akan diadakan sehingga 31 Julai 2022.

    Kerjasama antara parti politik di bawah gagasan ‘Keluarga Malaysia’ pimpinan Ismail Sabri memberi ruang kepada kerajaan memberi fokus kepada usaha memulihkan ekonomi dan membantu meringankan beban rakyat yang masih terkesan dengan pandemik COVId-19.

    Bagaimanapun selepas Julai, ‘suhu’ politik mulai ‘hangat’ kembali apabila ada pihak khususnya UMNO mahu PRU15 diadakan segera bagi memulangkan semula mandat kepada rakyat untuk membentuk kerajaan yang lebih stabil berbanding kerajaan sedia ada.

    Desakan itu timbul selepas BN menang bergaya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Nov 2021 dan diikuti kemenangan melebihi dua pertiga pada PRN Johor pada 12 Mac 2022 dengan memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

    Mengambil kira prestasi di dua PRN berkenaan, BN berpendirian PRU15 perlu diadakan tahun ini meskipun idea itu mendapat bantahan daripada PH, ‘rakan’ BN dalam kerajaan iaitu PN, dan juga beberapa pemimpin UMNO sendiri; atas alasan ekonomi negara belum pulih sepenuhnya kesan daripada COVID-19, serta mengelak mengadakan pilihan raya pada musim tengkujuh.

    Namun akhirnya pimpinan ‘Top 5’ UMNO iaitu Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ismail Sabri akhirnya setuju Parlimen dibubarkan pada tahun ini juga.   

    Ledakan pertelingkahan berhubung tarikh pilihan raya terus jadi ketara apabila buat kali pertama dalam sejarah, tiga negeri di bawah pentadbiran PH, yakni Selangor, Negeri Sembilan, serta Pulau Pinang, dan tiga lagi negeri di bawah pentadbiran PAS, yakni Terengganu, Kelantan dan Kedah, – memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan PRU15.

    PRU15 turut menampilkan kejutan apabila nama-nama besar seperti bekas perdana menteri Tun Dr Mohamad, Ahli Parlimen lama seperti Tengku Razaleigh Hamzah, serta beberapa menteri yang menyandang kerusi; tumbang dalam pilihan raya berkenaan.

    Sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan bermulalah siri rundingan dalam kalangan pemimpin pelbagai parti politik bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen untuk memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

    Anwar mendakwa beliau sudah memperoleh majoriti mudah, manakala Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin pula memberitahu bahawa beliau sudah menghantar akuan bersumpah 112 Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada PN.

    Seri Paduka Baginda kemudian menitahkan supaya PN dan PH membentuk kerajaan perpaduan, namun Muhyiddin enggan dengan alasan PN tidak dapat bekerjasama dengan PH.

    Berikutan itu, pada 24 Nov perbincangan khas Raja-Raja Melayu diadakan sebagai usaha Yang di-Pertuan Agong merungkai kemelut pembentukan kerajaan baharu, dan pada tarikh sama UMNO memutuskan menyokong dan mengambil bahagian dalam Kerajaan Perpaduan diterajui PH sebagai menjunjung titah Seri Paduka Baginda.

    Tarikh bersejarah itu juga (24 Nov) menyaksikan Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

    Anwar sebagai Pengerusi PH yang juga presiden parti PKR akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 dan menerajui Kerajaan Perpaduan hasil sokongan BN, GPS, Warisan, GRS, PBM, KDM dan Bebas.

    Walaupun GPS pada mulanya menyatakan sokongan kepada PN, dan menyokong Muhyiddin sebagai perdana menteri, namun susulan perkembangan di Semenanjung Malaysia, Premier Sarawak yang juga pengerusi GPS Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam kenyataan pada 24 Nov berkata GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam soal pelantikan perdana menteri.

    Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut menyusuri laluan sama, menyatakan sokongan kepada PH dan Anwar sebagai perdana menteri pada 24 Nov, walaupun hanya beberapa hari sebelumnya telah memberi sokongan kepada PN dan Muhyiddin.

    Jajaran politik baharu di Semenanjung itu bukan sahaja memaksa parti politik yang memenangi banyak kerusi di Sabah menyokong Kerajaan Perpaduan, malah parti Warisan yang memenangi tiga kerusi, parti KDM dengan satu kerusi dan dua wakil rakyat Bebas turut berbuat demikian. 

    Pada 25 Nov, Anwar melangkah masuk ke Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya untuk memulakan tugas rasmi pertama sebagai Perdana Menteri, dan seterusnya menyenaraikan anggota Kabinetnya, yang memenuhi titah perintah Al-Sultan Abdullah untuk menampilkan kerajaan inklusif dengan perwakilan daripada semua parti dan wilayah. 

    Anwar turut melakar sejarah baharu dengan mengotakan janjinya untuk melantik dua Timbalan Perdana Menteri – Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fadillah Yusof, yang merupakan pemimpin pertama dari Sabah atau Sarawak untuk memegang jawatan sebagai pemimpin nombor dua negara.

    Pada 19 Dis, Anwar membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri ke-10, apabila Usul Undi Percaya terhadapnya diluluskan dengan lebih suara bersetuju, pada hari pertama Persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-15.

    Keabsahan Ahli Parlimen Tambun itu disahkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul, yang mengumumkan keputusan selepas undian suara dibuat sebaik 13 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang, selesai membahaskan usul berkenaan.

    Terdahulu pada permulaan persidangan, calon Anwar, Johari Abdul dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, selepas memperoleh 147 undi berbanding 74 yang diperoleh calon PN, bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad. Salah seorang daripada 222 Ahli Parlimen tidak dapat mengambil bahagian dalam undian apabila sampai lewat tiba di Dewan, atas alasan masalah kesihatan. – BERNAMA

  • Ganja lebih 100 kg ditinggalkan di tepi jalan

    Ganja lebih 100 kg ditinggalkan di tepi jalan

    PASUKAN penguatkuasa trafik menjalankan tugas ‘Snapcheck’ menemukan dadah jenis ganja seberat 102.83 kilogram dianggarkan bernilai lebih RM257,000 yang ditinggalkan di tepi jalan di kawasan Kampung Bukit Jong menghala ke Tol Plaza Gemuruh, di Kuala Terengganu Ahad lalu.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa, berkata empat anggota trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu yang menjalankan ‘Snapcheck’ bermula 2.30 pagi hingga 4 pagi menemui dadah berkenaan.

    “Semasa membuat rondaan di susur masuk menghala ke Plaza Tol Gemuruh dari arah Kuala Terengganu menuju Ke Kuantan, anggota tersebut telah menemui lima bungkusan plastik hitam dalam keadaan mencurigakan di atas tanah di tepi penghadang jalan.

    “Hasil pemeriksaan mendapati setiap satu plastik hitam mengandungi 101 bungkus ketulan mampat tumbuhan kering yang disyaki dadah jenis ganja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Rohaimi berkata beliau percaya dadah berkenaan ditinggalkan oleh suspek di tepi jalan sementara menunggu ‘snapcheck’ oleh polis trafik yang bertugas di kawasan berkenaan menamatkan tugas. – BERNAMA

  • Korban banjir di Filipina meningkat kepada 13 orang, 23 lagi hilang

    Korban banjir di Filipina meningkat kepada 13 orang, 23 lagi hilang

    ANGKA korban akibat hujan lebat dan banjir di Filipina meningkat kepada 13 orang manakala sekurang-kurangnya 23 yang lain masih hilang, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC), hari ini.

    Tiga kematian dilaporkan di wilayah Bicol di Luzon, dua di wilayah tengah Filipina manakala lapan lagi di selatan Filipina.

    Menurut NDRRMC berhubung mangsa yang hilang, lapan kes dilaporkan di wilayah Bicol, 12 di tengah Filipina dan tiga di selatan Filipina. Enam yang lain dilaporkan cedera.

    Banjir juga telah menyebabkan hampir 170,000 orang di enam wilayah hilang tempat tinggal dan lebih 45,000 orang kini ditempatkan di sekurang-kurangnya 87 pusat perlindungan kerajaan manakala selebihnya tinggal bersama saudara mara masing-masing.

  • Polis tahan dua lelaki terbabit kejadian samun kedai serbaneka

    Polis tahan dua lelaki terbabit kejadian samun kedai serbaneka

    TIDAK sampai 24 jam selepas menerima laporan mengenai kes samun bersenjatakan parang di sebuah kedai serbaneka di Sungai Sumun, Bagan Datuk, kelmarin, polis berjaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit di sebuah taman perumahan di Teluk Intan awal pagi semalam.

    Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata kedua-dua suspek yang berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada pukul 1 pagi semalam selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 28 tahun yang bekerja di kedai serbaneka berkenaan.

    “Suspek cuba menyamun wang tunai namun gagal, dan hanya sempat melarikan sebuah telefon bimbit milik wanita berkenaan yang bernilai RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama lima hari bagi membantu siasatan.

    “Kes ini berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada tempoh 24 jam dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan,” katanya.

  • SM Faisal, Caprice bincang selesai kes saman-Peguam

    SM Faisal, Caprice bincang selesai kes saman-Peguam

    PIHAK-pihak dalam kes saman Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal terhadap penyanyi rap Caprice sedang berusaha menyelesaikan kes itu secara baik sebelum perbicaraan bermula pada 4 Okt 2023 di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur.

    Peguam Puteri Ummi Kartini Abd Latiff yang mewakili SM Faisal berkata jika tiada penyelesaian, mahkamah menetapkan 4 hingga 6 Okt tahun depan untuk mendengar kes berkenaan.

    “Pengurusan kes ditetapkan pada 3 Julai 2023 untuk arahan lanjut perbicaraan,” katanya ketika dihubungi selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Azian Othman yang turut disertai peguam Harjoth Singh mewakili Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli.

    SM Faisal menyaman Ariz selaku defendan pada 15 Ogos lepas berhubung dakwaan memuat naik hantaran fitnah menerusi Instagram miliknya, dengan mengaitkan ahli perniagaan itu dengan kes bekas isterinya Emilia Hanafi.

    Berdasarkan pernyataan tuntutan, SM Faisal selaku plaintif berkata pada 27 Jun lepas, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur memerintahkan Emilia menjalani hukuman penjara selama tujuh hari, selepas didapati gagal mematuhi perintah pengkomitan mahkamah.

    SM Faisal mendakwa pada 28 Jun, Ariz memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video dan hantaran memfitnah, melalui Instagram defendan yang antara lain membawa maksud bahawa beliau seorang lelaki yang kejam dan semberono mahu memenjarakan bekas isterinya, selain tidak bertimbang rasa dan bertindak agresif terhadap kaum wanita atau kanak-kanak.

    Plaintif memohon ganti rugi am, punitif, teladan, teruk dan kos selain perintah injunksi supaya defendan mengeluarkan dan memadamkan hantaran fitnah itu.

  • COVID-19: KKM tingkat kesiapsiagaan susulan peningkatan kes di China-Dr Noor Hisham

    COVID-19: KKM tingkat kesiapsiagaan susulan peningkatan kes di China-Dr Noor Hisham

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) terus mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan peningkatan kes dan kematian akibat COVID-19 susulan peningkatan mendadak penyakit itu yang dilaporkan di China ketika ini.

    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata antara langkah akan diambil ialah meningkatkan peratusan individu yang layak menerima vaksin dos penggalak bagi mengurangkan penularan jangkitan dan kematian.

    “KKM menggesa agar semua individu yang layak, tampil untuk mendapatkan vaksin dos penggalak supaya populasi Malaysia mendapat perlindungan optimum terhadap penyakit COVID-19,” katanya dalam kenyataan itu.

    Peningkatan penyakit berkenaan sebelum ini dinyatakan pada sidang media oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 21 Dis lepas dan kebimbangan tersebut berikutan Malaysia telah membuka sempadan kepada pelancong dari luar negara sekali gus meningkatkan aktiviti industri pelancongan dan sektor ekonomi lain.

    KKM juga akan mengukuhkan pengurusan COVID-19 menerusi pendigitalan pengurusan kesihatan dengan menambah baik pendekatan Find, Test, Trace, Isolate, and Support (FTTIS) yang diautomasikan.

    Melalui pendekatan itu, individu yang menjalani ujian pengesanan COVID-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian ke aplikasi MySejahtera selain melakukan ujian di fasiliti kesihatan, dan keputusan ujian akan dikemas kini dalam aplikasi tersebut dengan kes positif diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian dan Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian secara digital.

    Selain itu, KKM juga akan memastikan semua Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bersedia menerima kedatangan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit positif dengan fungsi pengoperasian CAC meliputi mengenal pasti pesakit memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah serta menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan.

    Seterusnya, CAC juga akan memulakan rawatan Paxlovid (nirmatrelvir atau ritonavir) kepada kumpulan pesakit COVID-19 berisiko tinggi, mengenal pasti dan menyelaras pesakit perlu dirujuk ke hospital serta membuat penilaian dan pelepasan kepada kes positif telah tamat tempoh pengasingan.

    Dr Noor Hisham berkata KKM juga telah memperkenalkan penggunaan ubat antiviral Paxlovid ke COVID-19 Clinical Care Pathway sejak 15 April lepas untuk merawat pesakit mengalami gejala ringan hingga sederhana atau kategori dua dan tiga dengan mengutamakan pesakit berisiko tinggi.

    Penggunaan ubat dan rawatan tersebut telah diperluaskan ke fasiliti kesihatan swasta dan diberikan kepada pesakit secara percuma namun masih tertakluk kepada caj perkhidmatan rundingan berkaitan.

    Menurut beliau, KKM akan memantau dengan rapi penularan jangkitan itu dalam masyarakat menerusi pelaksanaan aktiviti survelan melibatkan lokasi sentinel penyakit seperti influenza (ILI) dan Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) di seluruh negara.

    “Ia turut disokong dengan aktiviti penjujukan genom menyeluruh (WGS) bagi mengesan varian baharu serta aktiviti survelan persekitaran melalui persampelan air kumbahan dari lokasi persampelan yang dikenal pasti di seluruh negara,” katanya.

    Beliau berkata KKM juga telah menggerakkan inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) untuk memperkasa kawalan kendiri kesihatan merangkumi pemerkasaan individu dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu serta pemakaian pelitup muka.

    KKM menasihati orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindari jangkitan COVID-19 dan penyakit berjangkit lain, selain perlu mengamalkan TRIIS dan memakai pelitup muka di kawasan sesak.

  • Polis sahkan kehilangan remaja perempuan di Sepang

    Polis sahkan kehilangan remaja perempuan di Sepang

    POLIS mengesahkan kehilangan seorang remaja perempuan dari Taman Salak Maju di Sepang, yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata laporan kehilangan Salsabila Putri Mad Nasir, 13, dibuat oleh abang remaja itu Mohammad Fitra Mad Nasir, di Balai Polis Bandar Baru Salak Tinggi, kira-kira pukul 10 pagi semalam.

    “Menurut laporan yang dibuat abangnya, kehilangan Salsabila Putri disedari pada pukul 2.30 pagi semalam (25 Dis).

    “Kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan diklasifikasikan sebagai Orang Hilang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Wan Kamarul Azran berkata menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan homestay itu mendapati, Salsabila Putri telah keluar rumah dengan berpakaian serba hitam dan berjumpa dengan seorang lelaki, yang telah membawa remaja itu keluar daripada kawasan perumahan tersebut.

    “Pengadu juga telah menghubungi adiknya beberapa kali tetapi tidak dapat,” katanya.

    Sementara itu, Mohammad Fitra ketika dihubungi berkata sebelum kejadian, adik bongsu dari enam beradik itu tidak merajuk atau bergaduh, dengan mana-mana ahli keluarga.

    “Kami sekeluarga baru sampai dari Pulau Pinang dan kami datang ke sini untuk bercuti.

    “Adik saya berketinggian 165 sentimeter dengan anggaran berat 50 kilogram,” katanya, menambah semasa keluar dari homestay itu, Salsabila Putri berpakai serba hitam, berpelitup muka warna kelabu dan kasut bewarna kelabu.

    Mohammad Fitra berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya untuk menghubungi beliau di talian 017-4807301 atau 011-11232617. – BERNAMA

    orang hilang, polis, Wan Kamarul Azran, Salsabila Putri