Author: Bernama

  • Kemalangan Litar Dato’ Sagor: Kerajaan negeri teliti laporan penuh penganjur

    Kemalangan Litar Dato’ Sagor: Kerajaan negeri teliti laporan penuh penganjur

    KERAJAAN Negeri Perak akan meneliti laporan penuh daripada penganjur Pertandingan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato’ Sagor, Kampung Gajah susulan kemalangan yang mengorbankan seorang penonton, semalam.

    Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Khairudin Abu Hanipah berkata tindakan selanjutnya akan dibuat selepas melihat laporan berkenaan khususnya melibatkan aspek keselamatan.

    “Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan takziah kepada keluarga penonton yang maut dan peristiwa semalam sudah pasti sesuatu yang kita kesalkan.

    “Saya akan umumkan apa tindakan selanjutnya selepas menerima dan meneliti semua laporan penuh termasuk daripada pihak berkuasa dari aspek teknikal, keselamatan penonton, pelumba, pegawai bertugas dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Petang semalam, seorang penonton yang juga mekanik sebuah bengkel dilanggar sebuah kereta lumba yang terbabas dan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan dan hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

    Khairudin berkata pihaknya tidak berkompromi terhadap pengabaian ciri keselamatan pada setiap acara sukan bermotor apatah lagi melibatkan kehilangan nyawa.

    Tambah beliau, pihak penganjur seharusnya bertanggungjawab terhadap kecuaian dalam melaksanakan program tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP).

  • Waspada iklan tawar lesen memandu tanpa perlu ke kelas,ujian memandu

    Waspada iklan tawar lesen memandu tanpa perlu ke kelas,ujian memandu

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar berwaspada dan tidak terpengaruh dengan iklan dalam media sosial yang kononnya menawarkan lesen memandu tanpa perlu menghadiri kelas dan ujian memandu.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata pihaknya telah mengesan tawaran iklan itu yang turut menggunakan gambar profil ‘China doll’ bagi menarik perhatian pengguna media sosial yang diuarkan-uarkan secara terbuka di platform berkenaan.

    “Sindiket ini mengaut keuntungan dengan memperdaya mangsa dan kemudiannya melarikan diri dengan duit yang dibayar kepada mereka.

    “Niat tawaran iklan ini adalah tidak baik kerana mengelirukan rakyat bahawa boleh dapat lesen tanpa perlu hadir ke sekolah memandu. JPJ menafikan sekeras-kerasnya perkara ini,” katanya pada sidang media Operasi Sepadu Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Gombak di Gimbak awal pagi tadi.

    Beliau berkata JPJ akan bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi mengesan sindiket itu melalui pautan yang dikongsikan.

    “Sindiket berkenaan telah menyedari bahawa mereka dipantau pihak berkuasa maka mereka (sindiket) yang terlibat sering menukarkan pautan setiap empat hingga enam bulan.

    “Kami akan berusaha mendapatkan individu yang bertanggungjawab menipu pengguna media sosial dengan taktik ini dan tindakan selanjutnya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKD,” katanya.

    Sementara itu mengulas mengenai operasi sepadu itu, Zailani berkata sebanyak 3,481 saman kesalahan jalan raya dikeluarkan dalam operasi bermula dari 9 malam hingga 12 tengah malam yang dilaksanakan serentak di seluruh negara.

    Menurutnya, JPJ mengeluarkan lebih 30 peratus saman daripada 12,234 jumlah kenderaan diperiksa dalam operasi itu yang memfokuskan kepada pemeriksaan lesen memandu, cukai jalan, insurans kenderaan dan kenderaan klon.

    “Selain itu, kami turut menyita 69 kenderaan terdiri daripada 56 motosikal, 12 kereta dan satu kenderaan lain di seluruh negara setakat 12 tengah malam tadi,” katanya dan menambah lebih 200 anggota pelbagai agensi penguat kuasa terlibat antaranya PDRM, Jabatan Imigresen, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar.

  • Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal dalam operasi ambang tahun baharu di ibu negara

    Polis keluar 372 saman, sita 10 motosikal dalam operasi ambang tahun baharu di ibu negara

    JABATAN Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur  mengeluarkan 372 saman pelbagai kesalahan jalan raya dalam Operasi Khas Malam Ambang Tahun Baharu 2023 di 26 lokasi sekatan jalan raya (SJR) di seluruh ibu negara awal pagi tadi.

    Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata ia merupakan hasil pemeriksaan yang dibuat ke atas 841 buah kenderaan yang terlibat di kesemua lokasi SJR.

    “Sebahagian besar pemeriksaan malam ini dibuat ke atas kenderaan jenis motosikal iaitu sebanyak 619, diikuti kereta (171), van (19) dan jeep (32). Seramai 848 individu pula telah diperiksa dalam operasi berkenaan, dan 10 motosikal disita kerana ubah suai struktur kenderaan,” katanya.

    Beliau berkata selain itu 12 individu berumur dalam lingkungan 15 hingga 21 tahun ditahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu dan melakukan aksi berbahaya.

    Bercakap kepada media ketika ditemui di satu lokasi sekatan jalan raya Operasi Khas Ambang Tahun Baharu di Jalan Loke Yew, di Kuala Lumpur, awal pagi ini Yahaya berkata Operasi Khas itu disertai 30 pegawai kanan dan 200 anggota.

    Sementara itu di PULAU PINANG, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Fisol Salleh berkata polis mengeluarkan 475 saman dalam operasi sempena Ambang Tahun Baharu yang bermula sejak pukul 9 malam tadi.

    “Operasi bersepadu pula dijalankan bermula petang Jumaat lagi bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan  Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang di seluruh negeri dan sebanyak 450 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang tempoh itu.

    “Dalam operasi itu juga, kami menyita 33 buah motosikal kerana pelbagai kesalahan terutama motosikal yang diubah suai secara berlebihan dan tanpa kebenaran, manakala dalam operasi malam tadi 475 saman pelbagai kesalahan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui semasa meninjau Op Motosikal di lorong motosikal Jambatan Pulau Pinang.

    Di KOTA BHARU, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pihaknya telah memeriksa 420 kenderaan dalam Op Khas Ambang Tahun Baharu, yang menyaksikan 251 notis saman pelbagai kesalahan dikeluarkan.

    Bercakap kepada pemberita ketika ditemui semasa mengikuti Op Khas Ambang Tahun Baharu 2023 di Jalan Padang Enggang, di sini semalam, beliau berkata sepanjang 2022, sebanyak 187,424 buah kenderaan telah diperiksa dengan 31,031 telah dikenakan tindakan.

    Menurutnya dalam tempoh itu juga 71,025 notis saman dikeluarkan, manakala 245 kenderaan disita kerana pelbagai kesalahan.

  • Seorang rakyat Malaysia antara korban kebakaran hotel kasino Kemboja

    Seorang rakyat Malaysia antara korban kebakaran hotel kasino Kemboja

    SEORANG rakyat Malaysia antara yang maut dalam kebakaran di hotel kasino di Poipet, Kemboja.

    Wanita berusia 73 tahun dan suaminya warga Thailand maut dalam kebakaran yang berlaku di hotel kasino Grand Diamond City di Poipet, Wilayah Banteay Meanchey, Kemboja pada 11.30 malam (waktu tempatan) Rabu.

    Wanita itu, yang namanya dirahsiakan dan suaminya berusia 70 tahun pergi ke Poipet untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan anak perempuannya.

    M. Ramesh, saudara kepada si mati berkata ahli keluarga cuba menghubungi kedua-dua mereka ketika mengetahui tentang kebakaran itu.

    “Mereka kemudiannya dijumpai terkunci di dalam bilik hotel mereka.

    “Kedua-duanya ditemukan mati akibat terhidu asap,” katanya kepada Bernama.

    Ramesh mengucapkan terima kasih kepada Kedutaan Malaysia di Phnom Penh dan Bangkok atas bantuan menghantar pulang jenazah.

    Wanita itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Thai Islam di Bangkok pada petang Sabtu.

    Pengebumian dihadiri ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai.

    Kebakaran itu mengorbankan sekurang-kurangnya 26 orang – 17 warga Thailand, seorang warga Malaysia dan seorang warga Nepal.

    Timbalan pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Pengurusan Bencana, Kun Kim berkata kebakaran itu dipercayai berpunca daripada litar pintas, lapor AFP. – BERNAMA

  • Bantuan khas Bernas disalur kepada 20,598 pesawah mulai Januari

    Bantuan khas Bernas disalur kepada 20,598 pesawah mulai Januari

    SERAMAI 20,598 pesawah di Kelantan, Terengganu dan Pahang akan menerima manfaat daripada Sumbangan Bantuan Khas Padiberas Nasional Berhad (Bernas) sebanyak RM250 bagi setiap pesawah yang akan disalurkan secara berperingkat, selewat-lewatnya hingga 16 Jan ini.

    Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pihak kementerian bersama dengan agensi di bawahnya sedang memuktamadkan senarai nama dan nombor akaun pesawah di ketiga-tiga negeri berkenaan bagi memastikan proses penyaluran berjalan lancar.

    Dalam kenyataan hari ini beliau berkata bantuan khas Bernas berjumlah RM10 juta bagi tahun 2022 akan disalurkan kepada pesawah bermula dengan tiga negeri di pantai timur itu terlebih dahulu, manakala pesawah di negeri lain akan menerima bantuan apabila baki bantuan khas Bernas berjumlah RM50 juta disalurkan.

    Pada awal bulan ini, Bernas bersetuju dengan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya disediakan peruntukan sebanyak RM60 juta  bagi membantu pesawah di seluruh negara. – BERNAMA

    bantuan, pesawah, BERNAS, beras

  • Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    Semakin banyak negara laksana sekatan COVID-19 terhadap pelancong China

    SEMAKIN banyak negara melaksanakan sekatan COVID-19 ke atas pelancong dari China dengan United Kingdom menjadi negara terbaharu pada Jumaat yang mewajibkan ujian COVID-19 sebelum berlepas.

    “Mulai 5 Jan, pelancong dari China ke England diminta mengambil ujian pra-pelepasan,” lapor Agensi Anadolu, memetik Jabatan Kesihatan.

    Di samping itu, Agensi Keselamatan Kesihatan UK melancarkan pengawasan dengan mengambil sampel dari penumpang yang tiba dari China mulai 8 Jan.

    Perancis juga mewajibkan pelancong dari China mempamerkan ujian negatif COVID-19 dan ujian secara rawak akan dijalankan ke atas penumpang semasa ketibaan, menurut laporan media.

    China baru-baru ini mengumumkan akan melonggarkan langkah-langkah pandemik, dan “hidup bersama COVID” selepas tiga tahun sekatan.

    Langkah itu dibuat di tengah-tengah pengumuman baharu oleh Amerika Syarikat, Jepun, Itali dan Sepanyol yang menguatkuasakan langkah pencegahan COVID-19 membabitkan pelancong dari China, termasuk mempamerkan keputusan ujian negatif COVID-19. – BERNAMA

  • 2 cedera bas ekspres bawa 30 penumpang terbalik

    2 cedera bas ekspres bawa 30 penumpang terbalik

    SEORANG wanita warga Thailand dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera selepas bas ekspres yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik kira-kira 500 meter dari Plaza Tol Rawang arah selatan, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat sini, awal pagi tadi.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata wanita berusia 65 tahun itu cedera di kepala manakala kanak-kanak berkenaan cedera di bahagian kaki.

    Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.46 pagi dan seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan dan tiba di lokasi kira-kira 40 minit kemudian.

    “Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang masing-masing 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurutnya, kedua-dua mereka berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh. – BERNAMA

  • Nombor Bil rujukan mandatori pembayaran cukai

    Nombor Bil rujukan mandatori pembayaran cukai

    ‘NOMBOR Bil’ akan digunakan sebagai rujukan mandatori bagi urusan pembayaran semua jenis cukai langsung kecuali bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Duti Setem bermula esok (1 Jan 2023). 

    Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam satu kenyataan memaklumkan maklumat berkenaan Nombor Bil boleh diperoleh mulai esok dengan melayari Portal MyTax menerusi https://mytax.hasil.gov.my/.

    “Selepas melayari Portal MyTax itu, pengguna perlu klik Perkhidmatan ezHasil seterusnya klik e-Billing.

    “(Ia) dinyatakan dalam notis taksiran atau anggaran dan surat-surat tuntutan bayaran yang dihantar oleh LHDN kepada pembayar cukai,” demikian menurut kenyataan itu. 

    LHDN memaklumkan bayaran boleh dibuat secara dalam talian atau melalui kaunter Pusat Bayaran LHDN dan bank-bank ejen. 

    “Bagi tujuan bayaran di kaunter dan bank-bank ejen, pembayar cukai perlu mencetak slip bayaran atau muat turun Nombor Bil yang diperlukan dengan mengimbas Kod QR pada slip bayaran berkenaan,” menurut kenyataan itu.

    LHDN memberitahu dalam tempoh peralihan kepada penggunaan Nombor Bil, Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Nombor Rujukan Cukai masih boleh digunakan dalam urusan pembayaran cukai langsung yang berkaitan hingga 30 Jun 2023. – BERNAMA

  • Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    Penganggur ditemukan mati di depan rumah dengan kesan cedera

    SEORANG penganggur yang dalam status orang pengawasan polis, ditemukan mati di hadapan rumahnya di Taman Klebang Putra, Chemor di Ipoh malam tadi. 

    Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata anggota Balai Polis Chemor bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 11.30 malam dan mendapati satu mayat lelaki di luar rumah teres satu tingkat yang didiami mangsa dan isterinya.

    “Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 37 tahun merupakan seorang penganggur yang telah melarikan diri daripada pengawasan polis Parit Buntar.

    “Temu bual bersama adik ipar lelaki mangsa yang baru sahaja menumpang di rumahnya selama seminggu memaklumkan bahawa pada masa kejadian, beliau terdengar ada orang mengetuk pintu rumah dan mengatakan lelaki itu kena langgar. 

    “Saksi membuka pintu dan ternampak sebuah motosikal yang tidak dikenal pasti model dan nombor pendaftaran telah melarikan diri dari tempat kejadian. Kemudian saksi ternampak mangsa berada di hadapan rumah dalam keadaan terlantar dan tercungap-cungap. Mangsa juga tidak mengatakan apa-apa kepadanya (sebelum meninggal dunia),” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata pemeriksaan lanjut oleh pasukan siasatan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun mendapati terdapat kesan kecederaan pada telinga, tangan, kaki dan badan mangsa.

    “Ada kemungkinan si mati merupakan mangsa kemalangan. Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas si mati diperlukan untuk menentukan punca kematian,” kata Mohd Yusri dan menambah bedah siasat akan dijalankan di hospital itu hari ini. – BERNAMA

  • Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    Sabah wajibkan ujian COVID-19 untuk pengembara China

    SEMUA pengembara dari China yang ingin masuk ke Sabah  wajib menunjukkan keputusan negatif COVID-19, berkuat kuasa, Ahad in (1 Jan), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun.

    Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah itu berkata semua pengunjung dari China perlu mempunyai keputusan negatif dalam ujian sebelum berlepas (Predeparture Test) dalam tempoh 48 jam sebelum dibenarkan masuk ke negeri itu.

    “Keputusan ini telah dibuat Kerajaan Sabah,” katanya menerusi kenyataan di sini, malam ini.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 15 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di Sabah hari ini iaitu bertambah enam kes direkodkan daripada 1,228 sampel ujian berbanding 1,251 ujian semalam. – BERNAMA