Author: Bernama

  • Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    Hujan lebat diramal di Mekah, salji di utara Arab Saudi

    HUJAN lebat disertai ketulan air batu selain ribut petir yang boleh menyebabkan banjir kilat diramal berlaku di kota suci Makkah yang menempatkan masjid paling suci umat Islam iaitu Masjidil Haram.

    Pusat Meteorologi Kebangsaan (NCM) Arab Saudi yang dipetik Agensi Berita Saudi (SPA) hari ini memaklumkan amaran hujan lebat yang berlaku sejak petang Ahad kekal aktif sehingga pukul 11 pagi (waktu tempatan) pada Selasa (hari ini).

    Ramalan itu menyatakan, hujan tahap sederhana dan lebat diramal bersama angin kuat, ombak besar serta hujan batu manakala jarak penglihatan pula terhad. 

    “Hujan lebat ini berlarutan di Madinah dan wilayahnya termasuk pantai dan kemudian beredar ke timur di wilayah Riyadh, Hail, Qassim, wilayah timur, timur laut dan utara termasuk wilayah Al-Jouf dan wilayah sempadan utara.

    “Salji lebat diramal di wilayah utara Arab Saudi dan kabus tebal akan terbentuk pada awal pagi Isnin.

    “Orang ramai mesti berhati-hati dan tidak mendekati lokasi air hujan terkumpul untuk memastikan keselamatan mereka,” menurut NCM.

    Sementara itu, Jabatan Tertinggi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi portal rasminya hari ini memaklumkan bahawa pelan kecemasan menghadapi bencana banjir sudah mula dilaksanakan bagi memastikan keselamatan jemaah umrah dan pengunjung Baitullah.

    Pengarah Keselamatan Masjidil Haram, Hussein bin Hassan Al-Asafi berkata: “lebih 200 penyelia dan 4,000 petugas pembersihan digerakkan bagi membantu melancarkan tugas ini”. – BERNAMA

    Masjidil Haram, ribut, hujan lebat, salji, Arab Saudi

  • Varian BA.5.2 dikesan sejak 16 Mac, BF.7 sejak 21 Ogos

    Varian BA.5.2 dikesan sejak 16 Mac, BF.7 sejak 21 Ogos

    DUA varian COVID-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini, telah dikesan di Malaysia, masing-masing sejak 16 Mac dan 21 Ogos lepas. 

    Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes pertama bagi BF.7 yang dikesan pada 21 Ogos merupakan kes jangkitan tempatan, manakala kes kedua pada 6 Sept (kes import jangkitan dari Turkiye), dan kes ketiga pada 7 Okt merupakan kes jangkitan tempatan.

    “Di peringkat global pula bagi varian BA.5.2, kemuncak penularan adalah sekitar bulan September-Oktober 2022 dengan kebanyakannya dikesan di negara seperti Afrika Selatan, England, China dan Amerika Syarikat. 

    “Bagi varian BF.7 pula, kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemukan di negara seperti Belgium, England, Denmark dan juga China,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau. 

    Semalam Dr Noor Hisham berkata setakat 31 Dis lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7. – BERNAMA

  • 50,000 ayam dimusnahkan akibat wabak selesema burung

    50,000 ayam dimusnahkan akibat wabak selesema burung

    KIRA-kira 50,000 ekor ayam perlu dimusnahkan susulan penularan baharu virus selesema burung di sebuah ladang di barat Denmark, menurut kenyataan Kementerian Makanan, Pertanian dan Perikanan negara itu semalam .

    “Ayam itu dijangkiti virus H5N1 yang mudah merebak dan boleh menyebabkan kematian. Kami akan memusnahkan 50,000 ekor ayam dalam tempoh beberapa hari akan datang,” kata ketua bahagian  Pentadbiran Veterinar dan Makanan Denmark (DVFA) Lotte Brink, lapor Xinhua.

    Virus itu pertama kali dikesan pada malam tahun baharu selepas apabila beberapa ekor ayam ditemukan mati di sebuah ladang berhampiran bandar Orum di Perbandaran Hedensted, kira-kira 177 kilometer barat Copenhagen. 

    Semua ayam yang dijangkiti dijangka dihapuskan oleh DVFA dan Agensi Pengurusan Kecemasan Denmark (DEMA) diikuti dengan kerja-kerja pembersihan menyeluruh dan pembasmian kuman di seluruh kawasan ladang.

    Semalam, DVFA telah menyenaraikan kawasan yang berada dalam lingkungan 10 kilometer dari ladang itu sebagai Zon Larangan, sebarang pengeluaran telur atau ayam tanpa permit dilarang sama sekali.

    Penularan wabak selesema burung itu kali keempat berlaku sejak Oktober dan yang terbesar setakat ini, menurut kementerian berkenaan.

  • KPM telah jumpa ibu bapa ditampar

    KPM telah jumpa ibu bapa ditampar

    KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) telah mengadakan perjumpaan bersama ibu bapa dua pemain bola tampar perempuan bawah 14 tahun Melaka yang ditampar jurulatih, semalam.

    Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pertemuan itu adalah bertujuan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak ibu bapa pelajar yang terlibat dengan kejadian tersebut.

    “Kami (KPM) dah jumpa ibu bapa pelajar untuk dapatkan maklum balas dan kami tidak akan bertolak ansur soal keganasan terutamanya terhadap pelajar kita.

    “Keprihatinan kami sangat besar berkenaan isu ini dan keutamaan kami adalah keselamatan serta kebajikan pelajar tersebut,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembukaan sekolah sesi ketiga bagi tahun 2022-2023 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Kebun, Shah Alam, hari ini.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bertanyakan sesuatu kepada salah seorang guru ketika meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Beliau berkata maklum balas yang diterima daripada ibu bapa serta pihak berkepentingan yang lain akan dilihat secara keseluruhan dan siasatan bakal diteruskan khususnya yang berkait rapat dengan integriti dan tatatertib.

    Fadhlina berkata KPM menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka juga sudah melaksanakan sesi kaunseling terhadap dua remaja berkenaan.

    Sementara itu, ketika ditanya adakah KPM akan membuat laporan polis berkenaan isu terbabit, Fadhlina berkata pihak kementerian boleh melaksanakan siasatan menerusi bahagian integriti dan tatatertib.

    “Kami masih lagi menyiasat, tidak semestinya kami tunggu laporan polis. Kami boleh siasat sebab ada bahagian integriti dan tatatertib,” katanya.

    Sebelum ini tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan.

    Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Dis lepas.

    Mengulas berhubung kewajaran untuk menambah prasekolah dan tadika kerajaan di kawasan bandar kerana dikatakan tidak mampu menampung keperluan semasa, Fadhlina berkata kementeriannya sedang melihat keutamaan perkara itu.

    Beliau berkata pihaknya bersama ketua setiausaha KPM dan ketua pengarah Pendidikan sudah berbincang mengenai perkara berkenaan dan melihat ada keperluan untuk menambah fasiliti tersebut serta dasar terkait rapat mengenai perkara itu akan dipercepatkan.

    Mengulas berhubung prosedur operasi standard (SOP) pencegahan COVID-19 di sekolah susulan penemuan dua varian utama dari China yang sudah ada di Malaysia, Fadhlina berkata kementeriannya akan merujuk dan patuh kepada arahan terkini Kementerian Kesihatan.

    Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata sekolah turut diberi kelonggaran untuk membenarkan pelajar mereka memakai tali leher ataupun tidak berbuat demikian kerana kuasa tersebut adalah bawah bidang kuasa sekolah.

    Beliau mengulas pertanyaan pemberita susulan Dewan Rakyat kini melonggarkan pemakaian tali leher.

  • Lelaki dikhuatiri lemas di Tasik Gubir

    Lelaki dikhuatiri lemas di Tasik Gubir

    SEORANG lelaki berumur lingkungan 20-an dikhuatiri lemas di Tasik Gubir dekat Sik pada petang tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sik Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Tanjil berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.57 petang dan terus menggerakkan anggotanya ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

    “Pusat Gerakan Operasi Kedah terima panggilan kecemasan mangsa lemas melalui MERS 999 dan jentera-jentera serta bot dengan kekuatan lima anggota bersama pegawai, telah digerakkan ke lokasi kejadian di Tasik Gubir.

    “Jarak lokasi dari balai kita ialah 43 kilometer. Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) turut membantu dalam operasi mencari dan menyelamat ini,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sik Deputi Superintendan Abdull Razak Osman ketika dihubungi, mengesahkan kejadian itu dan berkata berdasarkan maklumat awal diperoleh kemungkinan mangsa ke Tasik Gubir untuk memancing.

    “Siasatan masih dijalankan dan operasi mencari dan menyelamat akan bersambung esok,” katanya.

  • 96.5 peratus sampel air kumbahan pesawat dikesan ada virus COVID-19 – Dr Noor Hisham

    96.5 peratus sampel air kumbahan pesawat dikesan ada virus COVID-19 – Dr Noor Hisham

    SURVELAN persekitaran COVID-19 menggunakan air kumbahan yang dilaksanakan sejak Jun hingga 31 Dis tahun lepas, merekodkan 96.5 peratus atau 28 daripada 29 sampel dari Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) dikesan mempunyai kehadiran virus SARS-CoV-2 dengan varian Omicron.

    Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu, hasil pengujian Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) manakala satu lagi sampel masih dalam proses pengujian.

    Beliau berkata bagi tempoh sama, MKAK turut menerima sejumlah 301 sampel dari 15 lokasi sentinel bagi mewakili setiap negeri di negara ini.

    “288 sampel (95.7 peratus) dikesan kehadiran SARSCoV-2, yang positif Omicron. Tiga tidak dikesan manakala 10 masih dalam proses pengujian,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

    Dr Noor Hisham berkata Malaysia menjalankan survelan persekitaran COVID-19 menggunakan air kumbahan melibatkan sampel dari PMA dan lokasi sentinel sejak Jun tahun lepas, antara lain bertujuan sebagai survelan sokongan bagi COVID-19 sejajar dengan Fasa Peralihan ke Endemik negara.

    Beliau berkata survelan tersebut bertujuan sebagai amaran awal melalui pengesanan kehadiran virus SARS-CoV-2 dalam sampel air kumbahan, memberi gambaran trend kepekatan virus SARS-CoV-2 dan mengenal pasti varian SARS-CoV-2 yang terdapat dalam komuniti, serta memantau keberkesanan intervensi kawalan COVID-19 secara amnya.

    “Bagi lokasi sentinel di setiap negeri, sampel air kumbahan diambil dari loji rawatan kumbahan terpilih oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berkenaan. Sebanyak dua atau tiga sampel diambil dari setiap lokasi sentinel setiap bulan, mengikut keperluan. Sampel-sampel ini kemudiannya dihantar ke MKAK bagi proses pengujian.

    “Bagi sampel dari PMA pula, penilaian risiko dijalankan secara berterusan bagi mengenal pasti negara-negara yang berisiko. Hasil penilaian ini, kesemua penerbangan dari negara yang dikenal pasti kemudiannya diteliti dengan lebih lanjut oleh Pejabat Kesihatan (PK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya.

    Dr Noor Hisham berkata secara amnya semua air kumbahan kapal terbang akan dibawa keluar dari kapal terbang melalui lori septik pembentung ke kemudahan pelupusn sisa pesawat (AWDF) dan proses ini diselaraskan oleh pihak Pengendali Darat Lapangan Terbang.

    Setelah penerbangan yang disasarkan dikenal pasti, proses persampelan air kumbahan dijalankan oleh PK KLIA dengan kerjasama pihak lapangan terbang KLIA sebelum air kumbahan ini dilepaskan ke AWDF.

    Dr Noor Hisham berkata persampelan air kumbahan dari pesawat dijalankan sebanyak dua kali seminggu.

    “Bagi survelan air kumbahan dari pesawat ini, sebanyak satu liter sampel air kumbahan diambil daripada pesawat terpilih,” katanya.

    Beliau berkata seiring dengan keadaan semasa, survelan air kumbahan PMA akan turut melibatkan sampel dari China.

    Langkah itu akan membolehkan KKM memantau kemasukan varian SARS-CoV-2 dari negara tembok besar tersebut sebagai antara langkah kawalan dalam menghadapi situasi semasa, katanya.

  • Sambutan hari lahir jadi kenangan terakhir bersama cucu

    Sambutan hari lahir jadi kenangan terakhir bersama cucu

    SAMBUTAN hari lahir bersama cucu menjadi kenangan terakhir buat Lokman Marni apabila dua cucunya maut dalam kebakaran di sebuah rumah teres di Kampung Simpang Tiga, Gombak, awal pagi tadi.

    Lokman, 57, berkata Nur Syaza Alfisya Muhammad Faizan, 10, dan adiknya, Muhammad Al Qayyum Muhammad Faizan, 7, hadir majlis hari lahirnya di Sabak Bernam, Selangor pada 26 Dis lepas.

    “Itu kali terakhir saya berjumpa dengan mereka. Mereka berkelakuan seperti biasa serta tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

    Lokman berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian kebakaran itu oleh anak perempuannya pada 4 pagi tadi.

    Menurutnya dia kemudian bergegas ke lokasi sebelum bertemu anaknya yang berada dalam keadaan tidak bermaya kerana terlalu sedih dengan insiden itu.

    “Anak saya sedang sarat mengandung anak ketiga tidak dapat masuk ke dalam rumah…dia cedera di kaki kerana terkena kaca dan kemudian dibawa ambulans ke Hospital Selayang untuk rawatan,” katanya.

    Lokman berkata ketika kejadian, anaknya yang berusia 28 tahun dan suami, 30 tahun, keluar makan kira-kira 3 pagi dan meninggalkan dua anak mereka di dalam rumah.

    Katanya, cucu perempuannya mempunyai penyakit asma dan kedua-duanya disifatkan sebagai manja dalam kalangan ahli keluarga.

    Dalam kejadian awal pagi tadi, Nur Syaza Alfisya dan Muhammad Al Qayyum ditemukan rentung di sebuah bilik dan dipercayai terperangkap ketika kejadian.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Datuk Norazam Khamis berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 3.54 pagi sebelum 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dan Rawang serta Pasukan Bomba Sukarela Gombak ke lokasi kejadian.

    Kebakaran itu melibatkan kemusnahan dianggarkan kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan rumah dan mayat kedua-dua mangsa dibawa keluar pada 4.43 pagi tadi sebelum dihantar ke Hospital Selayang untuk proses bedah siasat.

  • Nasib jurulatih Melaka tampar pemain diketahui Rabu

    Nasib jurulatih Melaka tampar pemain diketahui Rabu

    STATUS jurulatih skuad bola tampar wanita Melaka Bawah 14 Tahun (B14) sama ada digantung atau tidak akan ditentukan Rabu ini, kata Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP Shanmugam.

    Katanya meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah ambil tindakan untuk gantung sementara tetapi jurulatih yang dilantik untuk membawa pasukan itu adalah di bawah kuasa Persatuan Bola Tampar Melaka.

    “Kami akan berjumpa dengan semua pihak termasuk wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negeri (MSN), Persatuan Bola Tampar Melaka, jurulatih dan ibu bapa serta pemain Rabu ini.

    “Pihak pengurusan skuad bola tampar pada kejohanan itu juga akan dipanggil untuk memberi keterangan dan hasil pertemuan dan perbincangan itu akan menentukan nasib jurulatih tersebut,” katanya pada sidang media hari ini.

    Terdahulu, MAVA dalam satu kenyataan semalam, mengambil tindakan tegas apabila menggantung sementara jurulatih skuad bola tampar Melaka itu ekoran tular mengenai insiden beliau menampar pemainnya pada Kejohanan Bola Tampar Remaja Malaysia 2022 Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang berlangsung 14 hingga 16 Dis lepas.

    Kata Shanmugam pertemuan itu perlu diadakan bagi mendapatkan maklumat lanjut walaupun laporan penuh kejadian itu sudah pun dihantar kepada MSN semalam dan KBS esok.

    “Rekod jurulatih itu juga perlu diambil kira kerana tiada aduan berkenaannya dilaporkan sebelum ini dan kami juga mengetahui jurulatih itu amat berdedikasi dan prihatin ke atas pemainnya,” katanya.

    Dalam pada itu, Shamugam berkata insiden pada 14 Dis itu berlaku apabila jurulatih tersebut sedikit emosi apabila melihat prestasi pemainnya tidak mencapai tahap yang dimahukan pada hari pertandingan tersebut.

    “Ini pertama kali Melaka masuk separuh akhir dan jurulatih sangat teruja dengan kemaraan pasukannya itu namun kalah tipis 2-3 kepada Johor.

    “Selepas pertandingan tersebut, jurulatih itu telah menerangkan keadaan kepada pihak pengurusan teknikal, yang pada masa sama menegur beliau. Selepas kejadian, beliau berjumpa dengan kedua-dua pemain itu dan memohon maaf dan telah diselesaikan di tempat kejadian pada hari itu juga,” katanya.

    Jelasnya, jurulatih itu juga telah berjumpa dengan ibu bapa pemain tersebut dan memohon maaf atas insiden tersebut.

    “Jadi di satu peringkat, perkara ini telah pun selesai dan tidak perlu dipanjangkan lagi,” katanya.

  • Serangan bersenjata di penjara Mexico ragut 14 nyawa

    Serangan bersenjata di penjara Mexico ragut 14 nyawa

    SERAMAI 10 pengawal dan empat banduan maut selepas lelaki bersenjata melepaskan tembakan di sebuah penjara di bandar Ciudad Juarez, Mexico pada Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik pihak berkuasa tempatan.

    Selain itu, 13 orang turut cedera dan sekurang-kurangnya 24 banduan melarikan diri.

    Lelaki bersenjata lengkap dengan kenderaan berperisai tiba di penjara sekitar 7 pagi waktu tempatan (1400GMT) dan melepaskan tembakan ke arah pengawal.

    Pejabat pendakwa negeri Chihuahua dalam satu pengumuman di media sosial menyatakan anggota tentera, Pengawal Kebangsaan dan polis tempatan telah berjaya mengawal keadaan.

    Ciudad Juarez yang terletak di seberang sempadan El Paso, Texas, terus dicengkam keganasan akibat serangan kumpulan penjenayah yang ingin menguasai bandar itu.

    Pada 11 Ogos tahun lalu, rusuhan di penjara yang sama merebak ke jalan raya dengan penjenayah menggunakan senjata api dan bom molotov untuk menyerang orang awam serta perniagaan tempatan.

    Serangan itu menyebabkan 11 maut termasuk seorang budak lelaki berusia empat tahun.

  • Maghribi bakal larang kemasukan pengembara dari China, Kanada perkenal syarat ujian saringan COVID-19

    Maghribi bakal larang kemasukan pengembara dari China, Kanada perkenal syarat ujian saringan COVID-19

    MAGHRIBI bakal mengenakan larangan masuk kepada pelancong dari China mulai 3 Januari berikutan peningkatan kes COVID-19, menurut kenyataan Kementerian Luar pada Sabtu.

    “Pihak Berkuasa Maghribi memutuskan untuk melarang akses ke wilayah Maghribi kepada semua pengembara yang datang dari China tanpa mengira kewarganegaraan mereka,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.

    Keputusan itu dibuat untuk mengelakkan gelombang penularan baharu di negara ini.

    Sementara itu, Kanada mengumumkan pada Sabtu, penumpang yang datang dari China, Hong Kong dan Macao perlu menyerahkan keputusan ujian saringan COVID-19 yang negatif sebelum menaiki penerbangan ke negara itu.

    Kementerian Kesihatan Kanada menyatakan bahawa semua pengembara udara dari lokasi itu ‘perlu memberikan bukti keputusan ujian COVID-19 negatif kepada syarikat penerbangan sebelum menaiki pesawat dan ujian saringan itu mesti diambil tidak lebih daripada dua hari sebelum berlepas.’

    Keputusan itu tertakluk kepada pengembara berumur dua tahun dan ke atas berkuat kuasa 5 Jan.

    Langkah itu akan dilaksanakan selama 30 hari dan pihak berkuasa akan menilai semula apabila lebih banyak data dan bukti tersedia.

    Keputusan itu dibuat selepas lonjakan kes dan “data jujukan genom epidemiologi dan virus yang terhad pada kes ini,” menurut Kementerian Kesihatan.

    Sebelum ini Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Itali dan Sepanyol turut akan menguatkuasakan keperluan perjalanan baharu untuk mereka yang datang dari China termasuk keputusan ujian negatif COVID-19.

    China baru-baru ini mengumumkan akan mula melonggarkan langkah pencegahan pandemik dan memilih “hidup bersama COVID” selepas tiga tahun sekatan, sempadan ditutup dan kuarantin wajib.