Author: Bernama

  • ‘Suspek bunuh guna bom buatan sendiri dan mangsa adalah rakan sekampung’

    ‘Suspek bunuh guna bom buatan sendiri dan mangsa adalah rakan sekampung’

    KES letupan yang mengorbankan seorang pelayan restoran dekat Pandan Indah, Ampang, pada 29 Disember lalu, dipercayai berpunca daripada masalah peribadi di antara mangsa dan suspek.

    Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi, berkata mangsa dan kedua-dua suspek yang berumur 33 dan 30 tahun merupakan kenalan sejak dari kampung di Kedah, dengan si suami bekerja sebagai seorang kontraktor, manakala isterinya seorang suri rumah.

    Bagaimanapun Sasikala enggan mengulas lanjut apabila ditanya sama ada kejadian itu bermotifkan cemburu.

    “Setakat ini polis telah pun selesai mengambil keterangan seramai 36 saksi bagi membantu siasatan kes dan setakat ini tiada tangkapan susulan dibuat. Proses soal siasat terhadap pasangan suami isteri ini masih dijalankan.

    “Serbuan juga telah dilakukan di rumah mereka di Serdang, Kedah pada Khamis lepas dan polis berjaya merampas beberapa barang kes antaranya pisau pemotong kertas dan mercun bola yang dipercayai digunakan sebagai bahan letupan,” katanya pada sidang media d Kuala Lumpur, hari ini.

    Kedua-dua supek ditahan pada Rabu lepas bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    Pada masa yang sama, beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes berkenaan.

    Pada 29 Disember lepas, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun maut akibat kecederaan parah pada bahagian badan dan tangan selepas bungkusan yang ditinggalkan di atas bonet keretanya meletup.

  • Dua maut kereta terjunam dalam parit

    Dua maut kereta terjunam dalam parit

    DUA lelaki maut selepas kenderaan yang mereka naiki terhumban ke dalam parit berhadapan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Meru, awal pagi tadi.

    Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada 5.19 pagi.

    “Kereta jenis Honda Accord dinaiki kedua-dua mangsa mengalami remuk di bahagian hadapan dan pihak bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

    “Kedua-dua mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir dan pihak bomba berjaya mengeluarkan mayat mangsa 30 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Seorang daripada mangsa dikenali sebagai R Dhaarnish, 29, manakala seorang lagi tidak dapat dikenal pasti identitinya.

    Operasi tamat sepenuhnya pada 7.44 pagi

  • Pelajar tingkatan tiga kritikal terjun bangunan sekolah

    Pelajar tingkatan tiga kritikal terjun bangunan sekolah

    SEORANG pelajar lelaki tingkatan tiga cedera parah selepas dikatakan terjun dari tingkat tiga bangunan sekolahnya di Sepang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh pihak sekolah selepas pelajar berkenaan ditemukan dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bahagian kepala oleh guru di sekolahnya pada kira-kira 10 pagi.

    Menurutnya remaja berusia 15 tahun itu kini dirawat di Hospital Putrajaya dan berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

    “Siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah ditemui,” katanya ketika dihubungi.

    Beliau berkata ada saksi mendakwa melihat pelajar terbabit berada di kaki lima tingkat tiga bangunan berkenaan sebelum terjun.

    Wan Kamarul Azran berkata pihaknya dimaklumkan pelajar itu telah beberapa kali menjalani sesi bimbingan dan kaunseling daripada pihak sekolah kerana mengalami kemurungan ketika di sekola

  • Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    Indonesia kurangkan eksport minyak sawit untuk bekalan tempatan

    INDONESIA, pengeluar minyak sawit terbesar dunia akan mengurangkan eksport komoditi itu dan mengetatkan dasar yang menetapkan syarikat menyimpan lebih banyak bekalan dalam negara.

    Kerajaan mengurangkan jumlah yang boleh dieksport oleh pengeluar kepada enam kali ganda keperluan jualan domestik berbanding lapan kali ganda pada masa ini, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA) memetik kenyataan Budi Santoso, Ketua Pengarah Perdagangan Luar di Kementerian Perdagangan Indonesia.

    Perubahan itu berkuat kuasa mulai 1 Jan, katanya.

    VNA juga melaporkan Firman Hidayat, seorang pegawai di Kementerian Penyelarasan Hal Ehwal Maritim dan Pelaburan, berkata kerajaan Indonesia mahu memastikan bekalan domestik mencukupi semasa cuti Ramadan dan Aidilfitri pada April memandangkan pengeluaran akan merosot mengikut musim pada suku pertama.

    Pengurangan eksport minyak sawit di Indonesia sebaliknya telah menjejaskan harga di Malaysia, pengeksport kedua terbesar dunia bagi komoditi itu.

    Langkah itu mungkin mendorong Malaysia untuk menaikkan harga dan eksport. – BERNAMA 

  • Tukang masak warga Bangladesh didakwa bunuh pesakit mental

    Tukang masak warga Bangladesh didakwa bunuh pesakit mental

    SEORANG tukang masak warga Bangladesh dihadapkan di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penghuni lelaki di sebuah pusat jagaan sakit mental di Bukit Beruntung di sini, Disember lepas.

    Tertuduh, Mohammad Abdul Alim, 33, didakwa membunuh Leong Kam Ming, 52, di sebuah pusat jagaan sakit mental, Jalan Cempaka 2, Bukit Beruntung di sini, kira-kira 6.30 petang pada 24 Dis 2022.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

    Mohammad mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Di mahkamah sama, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memasuki dan berada di dalam negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah di lokasi sama, pada 2.23 pagi, 27 Dis 2022.

    Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 Pindaan 2002 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6(3) akta sama.

    Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali, jika sabit kesalahan.

    Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 27 Feb ini untuk sebutan semula kes.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendawa Raya Asmaa’ Zamri manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

  • KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KKM tawar 4,914 jawatan tetap tahun ini

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) menawarkan 4,914 jawatan tetap bagi tahun ini, merangkumi 4,263 perjawatan bagi pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

    Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata permohonan untuk mengisi perjawatan berkenaan dibuka mulai hari ini hingga 21 Jan menerusi portal https://spa9.spa.gov.my.

    Berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 KKM di sini hari ini, Dr Zaliha berkata Pengarah Kesihatan Negeri disaran membuat penjajaran perjawatan atau sumber manusia dengan pusingan kerja, sebagai contoh menempatkan pegawai dari klinik kesihatan ke hospital bagi mengelakkan kejadian burnout atau lesu upaya pegawai.

    Beliau turut mencadangkan agar Pengarah Kesihatan Negeri meneliti semula keperluan untuk melanjutkan waktu pengoperasian klinik kesihatan bagi mengatasi isu kesesakan di Jabatan Kecemasan.

    “Ia bagi mengalihkan pesakit yang dikategorikan sebagai kes bukan kritikal untuk dirawat di klinik-klinik berkenaan dan bukan di Jabatan Kecemasan,” katanya dan menambah Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendapati kesesakan berlaku di Jabatan Kecemasan dengan tempoh menunggu melebihi enam jam disebabkan kes bukan kritikal.

    Mengenai peruntukan KKM dalam Belanjawan 2023 yang disemak yang akan dibentangkan pada 24 Feb ini, Dr Zaliha optimis kementerian itu akan menerima peruntukan lebih tinggi tahun ini berbanding RM32.41 bilion yang diterima pada 2022.

    Bagi tahun ini, katanya KKM menjangkakan lebih 30 projek pembangunan fasiliti kesihatan dapat diserah dan dijangka beroperasi antaranya Hospital Pendang (Kedah) dan Hospital Kemaman (Terengganu).

    “Dengan siapnya projek ini, diharap perkhidmatan kesihatan yang lebih baik akan dapat diberikan dan memenuhi keperluan penduduk di kawasan berkenaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Dr Zaliha berkata KKM akan melaksanakan kembali pemberian vaksin virus papiloma manusia (HPV) yang dapat mencegah penyakit kanser serviks kepada pelajar tingkatan satu pada tahun ini.

    “Pada 2021, pemberian vaksin itu terpaksa ditangguhkan akibat gangguan bekalan di peringkat global, namun KKM pada Disember lepas telah berjaya membuat perolehan sebanyak 100,000 dos vaksin dan ia telah berada di lapangan,” katanya. – BERNAMA

  • OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    OKU penglihatan buntu cita-cita jadi pensyarah belum tercapai

    GURU tuisyen, Chow Sak Chin menjadi insan yang paling gembira selepas berjaya menggenggam ijazah kedoktoran pada awal tahun lepas, meskipun berdepan pelbagai kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) penglihatan.

    Hilang penglihatan akibat kemalangan pada 1996, beliau bangkit daripada kegelapan untuk menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan khas di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kampus Tanjung Malim.

    Chow, 45, mempunyai harapan menggunung untuk menjadi seorang pensyarah bagi membantu insan sepertinya menimba ilmu pengetahuan dan berjaya dalam kehidupan.

    Bagaimanapun, bapa kepada dua anak itu buntu kerana sehingga kini, masih belum menerima sebarang tawaran berkhidmat sebagai pensyarah walaupun banyak permohonan dihantar ke institut pengajian tinggi sejak Jun tahun lepas.

    “Saya OKU, jadi saya lebih memahami golongan ini sekiranya dilantik menjadi pensyarah dalam bidang pendidikan khas tetapi malangnya tidak diberikan peluang…banyak panggilan dibuat dan e-mel dihantar kepada pelbagai pejabat dan agensi tetapi tiada respons,” katanya kepada pemberita di sini.

    Chow berkata beliau kini meneruskan kerjayanya sebagai guru tuisyen bahasa Inggeris sejak 11 tahun lepas di sebuah pusat tuisyen di sini.

    Katanya beliau berupaya mengajar pelajar dengan baik menggunakan teknologi seperti aplikasi pembaca skrin pada komputer dan peralatan untuk proses pengajaran dan pembelajaran.

    “Saya sudah lebih sedekad menjadi guru tuisyen, ibu bapa juga yakin dengan saya untuk mendidik anak-anak mereka,” katanya.

    Masih menyimpan hasrat untuk menjadi pensyarah, Chow berharap para majikan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada golongan OKU terutama yang berpelajaran dan berkelayakan. – BERNAMA

  • PRN: Pas tampil 30 peratus muka baharu di Kelantan – Mohd. Amar

    PRN: Pas tampil 30 peratus muka baharu di Kelantan – Mohd. Amar

    PAS akan mengemukakan 30 peratus calon muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan akan datang, kata Naib Presiden, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

    Beliau berkata calon muka baharu itu kelak akan meliputi calon dalam kalangan veteran, orang muda, wanita dan ulama.

    “Saya selalu sebut setiap kali pilihan raya akan berlaku perubahan calon… biasanya akan ada 30 peratus calon baharu…kita campur, ada orang lama, calon muda, wanita dan ulama.

    “Kita akan memberi perhatian dengan mempertaruhkan calon-calon yang boleh menang pada PRN kali ini sama ada muka baharu atau lama,” katanya pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 dan Perhimpunan Penjawat Awam Kelantan, di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.

    Sementara itu, Mohd Amar, yang juga Timbalan Menteri Besar, berkata setakat ini tiada sebarang perbincangan mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

    “Apa-apa keputusan kita serah dan tunggu Menteri Besar (Datuk Ahmad Yakob) yang akan tentukan bila masa yang bersesuaian selepas dapat perkenan Tuanku (Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V),” katanya.

    Parlimen dibubarkan pada 10 Okt tahun lepas bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)  diadakan pada 19 Nov lalu.

    Hanya Pahang, Perak dan Perlis mengadakan pilihan raya peringkat DUN bersekali dengan Parlimen berikutan langkah ketiga-tiga negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing.

    Negeri diterajui Pakatan Harapan iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta negeri diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah, memutuskan tidak membubarkan DUN.

  • Peniaga dalam talian didakwa tipu perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis

    Peniaga dalam talian didakwa tipu perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis

    SEORANG peniaga dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas pertuduhan menipu berkenaan perkhidmatan pemasangan dekorasi majlis sambutan hari jadi dan akikah yang tidak wujud.

    Siti Helena Azmi, 32, didakwa memperdaya Tengku Kamirul Rashid Tengku Mohd Kamil berhubung pemasangan dekorasi dan akikah itu sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang RM700 melalui akaun BigPay.

    Ibu tunggal itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di Residensi Persiaran Hijau Kasturi, Cahaya SPK, Shah Alam pada 7 Julai 2022 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

    Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Farah Sofea Norazman menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

    Peguam Shalehhuddin Salam yang mewakili Siti Helena memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya menanggung seorang anak perempuan berusia lima tahun.

    “Anak guam saya juga kini memperoleh pendapatan tidak menentu sebagai peniaga dalam talian selain dia juga memberi kerjasama penuh kepada polis dan tidak berisiko untuk melarikan diri,” katanya.

    Mahkamah membenarkan Siti Helena diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 1 Mac depan untuk sebutan semula kes.

  • Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin

    Sabah perketat pemeriksaan, pengembara dari China perlu lengkap vaksin

    KERAJAAN negeri Sabah semalam menetapkan pengembara yang berlepas dari China perlu lengkap vaksinasi Covid-19 mengikut kriteria negara asal masing-masing sebelum memasuki negeri ini, berkuatkuasa 8 Jan.

    Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun, berkata pengembara berkenaan juga perlu menunjukkan ujian Covid-19 (RT-PCR atau RTK Ag Professional) dengan keputusan negatif dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

    “Perkara itu diputuskan Jemaah Menteri Negeri Sabah yang bermesyuarat hari ini (semalam),” kata jurucakap Covid-19 kerajaan Sabah itu menerusi kenyataan malam tadi.

    Masidi berkata kerajaan negeri juga menetapkan semua pengembara dari luar negara yang tiba di Sabah dikehendaki menjalani saringan suhu dan pengembara dikesan mempunyai simptom demam akan menjalani pemeriksaan lanjut.

    “Pengembara yang mempunyai gejala Covid-19 wajib menjalani ujian RTK Antigen Covid-19,” katanya.

    Sementara itu, beliau berkata sebanyak 12 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah semalam manakala 138 pesakit masih menerima rawatan dengan 10 daripadanya memerlukan penjagaan kritikal dan 23 pesakit telah pulih.