Author: Bernama

  • Bersatu masih tunggu pengesahan RoS status parti itu dalam GRS

    Bersatu masih tunggu pengesahan RoS status parti itu dalam GRS

    SETIAUSAHA Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata pihaknya masih menunggu pengesahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung status Bersatu Sabah dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

    Hamzah berkata ini susulan tindakan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah Datuk Seri Hajiji Noor keluar daripada Bersatu pada Disember tahun lalu.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan perjumpaan khas bersama kepimpinan Bersatu Sabah hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Dr Ronald Kiandee merangkap Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah di sini.

    Pada Disember tahun lepas, Hajiji yang juga Pengerusi GRS mengumumkan keluar Bersatu Sabah selepas mengambil pertimbangan landskap politik negara ketika ini.

    Hamzah juga berkata Bersatu Sabah masih lagi relevan di negeri itu berdasarkan keahlian parti, selain kini sedang menstruktur semula kepimpinan di peringkat negeri dan bahagian.

    Ditanya adakah Bersatu masih menyokong Hajiji walaupun pemimpin berkenaan sudah tidak bersama parti itu, Hamzah yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) berkata perkara itu adalah hal dalaman antara Hajiji dan Bersatu.

    “Itu masalah kami. Masalah dalaman,” katanya.

    Hamzah juga berkata PN mahupun Bersatu tidak mahu merosakkan kepimpinan Sabah sedia ada meskipun ada beberapa bekas ADUNnya yang ditemui menyatakan hati mereka masih lagi ingin bersama parti itu. – BERNAMA

  • Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    Kerjasama PH-BN dalam PRN: Bukan soal sukar, masa akan tentukan – Loke

    SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata tidak timbul soal kesukaran dalam rundingan kerjasama politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun ini.

    Ahli Parlimen Seremban yang juga Menteri Pengangkutan itu berkata dalam politik, pemasaan sangat penting untuk membuat sebarang keputusan mengenai parti.

    “Dalam politik, yang penting adalah pemasaan… sesuatu perkara yang hendak dilakukan perlu dipertimbang… apabila sampai masanya, keputusan akan dibuat, jadi memang ada prosesnya untuk kita berbincang dan berunding,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pertandingan Bakat Belia N9 2022 di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau berkata fokus ketika ini adalah memastikan pentadbiran kerajaan berjalan lancar kerana rakyat mahu melihat Kerajaan Perpaduan berfungsi dan menjalankan tugas dengan baik.

    “Kalau pembubaran Dewan Undangan Negeri dibuat, masih ada tempoh 60 hari baru ada pilihan raya. Masing-masing ada pengalaman yang cukup, jadi saya tidak bimbang soal lambat untuk berunding, tidak timbul masalah itu,” katanya.

    Enam negeri yang terlibat dengan PRN tahun ini ialah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

    Semalam, media melaporkan Setiausaha Agung PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan politik itu belum memulakan perbincangan mengenai kerjasama dengan BN untuk menghadapi PRN. – BERNAMA

  • 440 penternak rugi lebih RM3.9j akibat banjir Disember lepas

    440 penternak rugi lebih RM3.9j akibat banjir Disember lepas

    SERAMAI 440 penternak seluruh negara direkodkan mengalami kerugian lebih RM3.9 juta akibat banjir pada Disember lepas, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Dr Suratan Kamarudin.

    Beliau berkata kerugian itu membabitkan kematian ternakan dan kerosakan kandang, homplot (tanaman rumput), peralatan serta mesin ladang.

    “Saya berharap kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada penternak seperti yang telah diperuntukkan pada tahun-tahun sebelum ini.

    “JPV sentiasa melakukan pemantauan dan penilaian berterusan bagi tujuan menyalurkan bantuan kepada penternak terjejas dalam industri ternakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Makanan Haiwan Kesayangan Pasca Banjir di Kelantan di sini hari ini.

    Dr Suratan berkata pada 2021 kerajaan membelanjakan lebih RM1.6 juta bagi membantu 287 penternak terjejas berikutan bencana di seluruh negara.

    Beliau berkata semasa musim banjir, jabatan itu telah membantu mengenal pasti kawasan tinggi untuk pemilik memindahkan haiwan ternakan mereka seperti lembu, kambing, ayam dan itik ke tempat lebih selamat.

    Mengulas mengenai kejadian positif demam babi Afrika (ASF) yang dikesan di Pulau Pinang, Dr Suratan menasihatkan pemilik ladang ternakan babi supaya meningkatkan kawalan bagi membendung penularan.

    Beliau berkata antara negeri berisiko berlaku wabak adalah Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Johor.

    Semalam, sebuah lagi ladang ternak babi di Kampung Valdor, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang ditutup ekoran kes baharu penyakit ASF dikesan di ladang berkenaan, menjadikan dua kes terkumpul positif ASF membabitkan dua ladang ternakan babi di negeri itu, setakat ini. – BERNAMA

  • China buka semula sempadan selepas 3 tahun

    China buka semula sempadan selepas 3 tahun

    CHINA membuka semula sempadannya pada Ahad selepas tiga tahun sekatan yang dilaksanakan berikutan pandemik COVID-19.

    Pada 26 Dis Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China mengumumkan tahap COVID-19 diturunkan daripada Kelas A kepada Kelas B. 

    COVID-19 telah ditukar daripada “pneumonia novel coronavirus” kepada “novel coronavirus infection,” lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan suruhanjaya kesihatan itu.

    Selain itu, China tidak akan mengenakan kuarantin ke atas mereka yang memasuki negara itu dan pesakit COVID-19 selain menarik balik dasar ketat “sifar-COVID-19”.

    Bagaimanapun, negara itu menghadapi peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu lalu.

    Beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Perancis, Maghribi, Qatar, Kanada, Greece, Malaysia, Finland dan Belanda telah mengumumkan mengenai keperluan keputusan ujian negatif COVID-19 kepada mereka yang tiba dari China.

    Sementara itu, Jerman pada Sabtu menasihatkan rakyatnya tidak melakukan perjalanan yang tidak penting ke China dan mengklasifikasikan negara itu sebagai “kawasan ancaman varian virus” disebabkan gelombang COVID-19 yang sedang melanda di China. 

    China pada Jumaat menyatakan bahawa situasi COVID-19 di negara itu terkawal dan banyak negara anggota EU mengalu-alukan pelancong China.

    Mengulas mengenai pertauran yang dikenakan sesetengah negara terhadap pelancong yang datang dari China, jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata semua langkah tindak balas terhadap COVID-19 harus berdasarkan sains dan fakta serta setara. 

    “Seharusnya tidak ada percubaan untuk mempolitikkan isu itu atau mengamalkan amalan diskriminasi yang boleh menjejaskan hubungan antara rakyat,” kata Mao kepada pemberita.

    Beliau berkata pakar China turut menghadiri taklimat dalam talian Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk memberikan maklumat terkini mengenai pandemik itu. – BERNAMA

  • Joseph Kurup lepas jawatan Presiden PBRS

    Joseph Kurup lepas jawatan Presiden PBRS

    TIMBALAN Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dilantik menjadi presiden parti itu, bagi menggantikan ayahnya, Tan Sri Joseph Kurup yang melepaskan jawatan itu hari ini.

    Ketua Penerangan PBRS, Datuk Fredie Sua dalam kenyataan berkata, Joseph mengumumkan mengenai hasratnya itu semasa mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) PBRS, di Kota Kinabalu hari ini.

    “Dalam ucapan amanatnya, beliau (Joseph) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua AMT dan ketua bahagian serta seluruh ahli PBRS, yang kekal setia dan konsisten berjuang bersama dalam parti sejak penubuhan PBRS pada tahun 1994,” katanya.

    Berikutan itu AMT telah meluluskan usul untuk melantik Joseph, sebagai Pengerusi Kehormat PBRS berkuat kuasa serta-merta.

    Kurup, 78, yang mula berkecimpung dalam bidang politik pada 1985 dengan menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS), pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sook atas tiket PBS pada 1985-1999 dan 2004, selain sebagai Ahli Parlimen Pensiangan pada 2003.

    Antara jawatan penting yang pernah disandang di peringkat negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Sabah, Menteri Pembangunan Sumber dan Usahawan, Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Sementara itu di peringkat pusat pula, beliau pernah dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 2013-2018.

    PBRS merupakan parti komponen Barisan Nasional bersama UMNO, MCA dan MIC.

  • Polis tahan tiga lelaki disyaki samun, curi kereta bersenjatakan parang

    Polis tahan tiga lelaki disyaki samun, curi kereta bersenjatakan parang

    POLIS berjaya menahan tiga lelaki dipercayai terlibat kes samun bersenjatakan parang dan mencuri kereta Perodua Myvi berhampiran sebuah pangsapuri di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Khamis lepas.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata dua daripadanya berusia 32 tahun manakala seorang lagi 39 tahun dengan kesemuanya ditahan berasingan di sebuah hotel di Bandar Sunway dan pangsapuri di Puchong, antara 6 hingga 7 pagi semalam.

    “Polis berjaya menemukan semula kereta yang dilarikan suspek di Seksyen 27, Shah Alam,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata dalam kejadian pada 2.05 pagi itu, seorang lelaki berusia 25 tahun telah didekati suspek yang menaiki dua motosikal sebelum seorang daripada mereka melarikan kenderaan mangsa.

    Ku Mashariman berkata mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kesemua suspek didapati mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya.

  • Dua hilang, seorang selamat kereta terhumban ke Sungai Rajang

    Dua hilang, seorang selamat kereta terhumban ke Sungai Rajang

    DUA individu dilaporkan hilang manakala pemandu kereta sedan selamat selepas kenderaan yang dinaiki mereka terhumban ke dalam Sungai Batang Rajang berdekatan Jeti Feri Tanjung Kunyit, kira-kira 15 kilometer dari Sibu awal pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, laporan berhubung kejadian itu diterima kira-kira pukul 2.03 pagi dan satu operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia sudah diaktifkan.

    “Mangsa pertama seorang lelaki berumur 38 tahun berjaya ditemukan pada pukul 7.30 pagi dan telah dibawa ke Hospital Sibu dan keadaan mangsa stabil manakala usaha mengesan dua lagi mangsa masih diteruskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sarawak dalam kenyataan berkata, seorang daripada dua mangsa yang masih hilang dikenal pasti sebagai Philip Yiin Chung Leong, 61, sementara identiti seorang lagi mangsa belum diperoleh.

    Kenyataan itu menyebut lima anggota JBPM dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral telah digerakkan ke lokasi itu bagi menyertai operasi SAR berkenaan.

    “Pencarian dilakukan dengan menaiki sebuah bot dan dibantu empat anggota Polis Marin dalam sebuah lagi bot bagi menjalankan pencarian di permukaan air,” tambahnya.

  • Kelantan bina 107 rumah Dhuafa’ tahun ini – Menteri Besar

    Kelantan bina 107 rumah Dhuafa’ tahun ini – Menteri Besar

    KERAJAAN Kelantan akan membina sebanyak 107 unit rumah Dhuafa’ dengan peruntukan berjumlah RM5.61 juta kepada golongan yang berkelayakan di negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

    Beliau berkata, usaha berterusan menerusi Program Bantuan Rumah Dhuafa’ (PBRD) itu membuktikan kerajaan negeri sentiasa prihatin dan komited dalam menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada golongan asnaf di Kelantan.

    “Pembinaan bagi setiap rumah tiga bilik itu membabitkan kos RM55,000 dan peruntukan menerusi program ini juga boleh digunakan bagi membaiki rumah yang rosak iaitu sebanyak RM10,000.

    “Antara syarat untuk layak menerima bantuan rumah menerusi program itu adalah mereka perlu memiliki tanah sendiri atau tanah diberikan perakuan daripada ibu bapa atau saudara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah Dhuafa’ di Kampung Laut, Tumpat, hari ini.

    Ahmad berkata, 614 unit rumah dengan peruntukan berjumlah RM4.5 juta turut diberikan tahun ini menerusi program itu bagi baik pulih rumah dan sumbangan bahan binaan untuk membantu meringankan beban rakyat yang kurang berkeupayaan membaiki rumah mereka.

    “Untuk rekod sejak 2009 hingga 2022, sebanyak 1,282 rumah baharu dibina berjumlah RM51.88 juta, manakala bagi baik pulih rumah pula RM64.91 juta diperuntukkan membabitkan 7,381 unit rumah,” katanya.

    Sementara itu, ketika ditanya mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai PBRD di jajahan Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang dari segi pencapaian output adalah memuaskan, Ahmad berkata, pihak berkaitan sedang meneliti semula perkara tersebut supaya memenuhi spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.

    Menerusi laporan pada 24 Nov 2022 itu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, bagi pengurusan program bantuan itu terdapat kelemahan dari aspek pengurusan bayaran, spesifikasi dan kualiti serta pemantauan program.

  • Tanah runtuh Batang Kali: Penjawat awam ditahan disyaki curi barangan milik mangsa

    Tanah runtuh Batang Kali: Penjawat awam ditahan disyaki curi barangan milik mangsa

    POLIS menahan seorang penjawat awam yang dipercayai mencuri barangan milik mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada 16 Dis lepas.

    Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata suspek berumur 27 tahun itu ditahan di sekitar Lembah Klang, semalam, dan polis akan membuat permohonan reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

    Dalam persidangan media di Kuala Lumpur hari ini beliau berkata susulan penahanan itu, polis turut merampas barangan yang dipercayai milik mangsa kejadian tanah runtuh berkenaan.

    Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah memaklumkan pihaknya mengesan satu hantaran di Facebook dipercayai daripada salah seorang ahli keluarga mangsa, yang mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab menggunakan kad Touch ‘n Go milik mangsa.

    Tragedi tanah runtuh pada 2.46 pagi itu mengorbankan 31 nyawa dengan 12 daripadanya adalah kanak-kanak, dan seorang bayi lelaki berusia setahun.

  • Pembelian saham konsesi Menara KL, dua pengarah kanan syarikat direman empat hari

    Pembelian saham konsesi Menara KL, dua pengarah kanan syarikat direman empat hari

    DUA pengarah kanan syarikat bergelar Datuk direman empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung isu pembelian saham dan pengambilalihan konsesi pengurusan Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

    Perintah reman sehingga 10 Jan itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin di Mahkamah Majistret Putrajaya di Putrajaya.

    Semalam, sumber SPRM dilapor berkata kedua-dua individu berusia 49 dan 59 tahun itu merupakan orang tengah yang mengurus urusan suapan dan seorang pengarah urusan syarikat yang dikatakan mengambil alih saham syarikat pengurusan Menara KL, ditahan di Ibu Pejabat SPRM ketika hadir memberi keterangan.

    Menurutnya pemilihan syarikat terbabit disyaki melibatkan permintaan wang rasuah berjumlah ratusan ribu dan seutas jam tangan mewah sebagai hadiah kepada ‘orang atasan’ bagi membantu pengambilalihan tersebut.

    Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan tangkapan itu berkata kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

    Sebelum ini, tular di media sosial isu berhubung pengambilalihan pengurusan Menara KL melalui pegangan saham penuh daripada Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd kepada syarikat Hydroshoppe Sdn Bhd sehingga menimbulkan persoalan orang ramai terhadap keputusan itu.