Author: Bernama

  • Tunggang motosikal secara solo ke Makkah untuk tunai umrah

    Tunggang motosikal secara solo ke Makkah untuk tunai umrah

    WALAUPUN laluan udara sering menjadi pilihan umat Islam untuk ke Makkah, cara itu berbeza dengan Zulkepli Mo’minin, 55, yang tekad bermotosikal secara solo ke Tanah Suci bagi mengerjakan umrah.

    Ekspedisi melalui jalan darat itu dijangka mengambil masa 95 hari dengan jarak sejauh lebih 18,000 kilometer merentasi 11 negara antaranya Thailand, Laos, China, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Kuwait dan Arab Saudi.

    Zulkepli telah memulakan perjalanan solo itu sejak 8 Julai lepas dari Gombak, Selangor dan kini beliau telah sampai di Segi Tiga Emas, utara Thailand.

    Menurut bapa kepada lima orang anak itu beliau memilih ke Makkah dengan bermotosikal secara solo kerana ingin meneroka keindahan negara luar melalui setiap kawasan yang dilalui selain memberi peluang kepadanya untuk menginsafi kebesaran ciptaan Tuhan.

    “Mengembara secara solo sudah menjadi minat saya sejak dari sekolah lagi. Untuk kali ini, daripada saya mengembara ke merata tempat tanpa tujuan, baik saya mencabar diri pergi ke Makkah, kota paling suci bagi umat Islam.

    “Melalui permusafiran jalan darat ini jugalah saya berpeluang merasai jerih payah perjuangan orang-orang terdahulu yang bertebaran ke seluruh alam dalam menyebarkan agama Islam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

    Pada kembara kali ini, Zulkepli menggunakan motosikal jenis Yamaha FZ150 miliknya yang telah berusia 10 tahun dengan beberapa modifikasi telah dilakukan termasuk menaik taraf enjin baharu sesuai dengan perjalanan jarak jauh.

    Selain itu, motosikal yang ditunggang Zulkepli juga membawa bebanan bersama yang dianggarkan sebanyak 70 kilogram antaranya alat ganti motosikal, khemah, baju sejuk, makanan dan kit kecemasan.

    Zulkepli yang juga pengusaha tasbih berkata beliau menggunakan sebanyak RM70,000 hasil wang simpanannya untuk merealisasikan impiannya itu selain turut menerima sumbangan daripada orang ramai.

    “Kos paling mahal adalah untuk merentasi China selama 16 hari iaitu berbelas ribu kerana setiap pengembara yang membawa kenderaan ke negara itu perlu membayar kos pemandu pelancong yang akan menemani sepanjang perjalanan,” katanya.

    Ditanya bagaimana pemilihan laluan dilakukan, Zulkepli berkata beliau membuat persediaan sejak dua tahun setengah lepas termasuk banyak membuat rujukan dengan pengembara motosikal terdahulu dan menonton di YouTube ekspedisi sama yang pernah dilakukan sebelum ini.

    Orang ramai yang berminat mengikuti perkembangan kembara unik Zulkepli boleh layari Facebook rasminya, ‘Gombak ke Makkah 2023’ atau di TikTok ‘jiwakembara125’ yang dikemas kini dari semasa ke semasa.

  • Bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan sertai DAP

    Bekas Timbalan Pengerusi Bersatu Kelantan sertai DAP

    BEKAS Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Mohd. Zulkifli Zakaria menyertai DAP selepas menyerahkan borang keahliannya kepada wakil parti berkenaan malam tadi.

    Turut menyertai beliau ialah 12 orang penaja cawangan DAP yang akan diwujudkan di Bachok dalam tempoh waktu terdekat.

    Mohd. Zulkifli berkata, ketika ini sudah ada dua cawangan DAP dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama di Parlimen Bachok, dan banyak lagi cawangan akan diwujudkan di dalam kawasan DUN Jelawat serta Tawang, yang juga berada dalam kawasan Parlimen Bachok.

    “Kita juga akan turun membantu jentera DAP, Pakatan Harapan (PH) yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan borang keahliannya itu kepada Pengerusi DAP negeri, Datuk Azaha Abdul Rani.

    Turut hadir, Setiausaha DAP, Pulau Pinang Lim Hui Ying.

    Sebelum ini semua jawatan yang disandang Mohd. Zulkifli dalam Bersatu gugur secara automatik selepas beliau bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Bachok pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tahun lepas.

    Sementara itu, Azaha berkata, pihaknya meletakkan harapan tinggi agar calon dari parti itu diberi peluang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH) bagi merebut kerusi DUN Kota Lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan bulan depan.

    Beliau berkata, DUN Kota Lama memiliki kira-kira 38 peratus pengundi bukan Melayu, justeru pimpinan parti di peringkat negeri melihat mereka mempunyai harapan cerah untuk membuat kejutan pada pilihan raya nanti.

    Bercakap kepada media selepas majlis ramah tamah pimpinan DAP Kelantan bersama ahli parti di Kota Bharu malam tadi, beliau berkata, bagaimanapun pihaknya tetap patuh kepada sebarang keputusan pimpinan parti.

    Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon Pas, Datuk Anuar Tan Abdullah memenangi kerusi DUN Kota Lama buat kali keempat dengan majoriti 1,445 undi, menewaskan empat calon lain termasuk dari PKR dan Barisan Nasional (BN).

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR dan Pengerusi PH ketika mengumumkan senarai calon PKR yang akan bertanding pada PRN di enam negeri, tidak membuat sebarang pengumuman mengenai DUN Kota Lama, kerana menurutnya PKR dan Amanah masih perlu berbincang mengenainya.

    PRN membabitkan Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan ditetapkan pada 12 Ogos dengan hari penamaan calon pada 29 Julai.

  • Salahuddin alami pendarahan dalam otak, sedang jalani pembedahan

    Salahuddin alami pendarahan dalam otak, sedang jalani pembedahan

    MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub telah disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar, kata Setiausaha Akhbar Menteri Nur Syakirin Husnal.

    Menerusi kenyataan pagi ini, beliau berkata Salahuddin kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.

    “Pihak keluarga Datuk Seri Salahuddin Ayub mengucapkan terima kasih atas semua doa, sokongan dan ingatan kepada beliau,” katanya.

    Semalam, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami meal dan muntah-muntah.

    Sebarang perkembangan mengenai kesihatan Salahuddin akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, menurut kenyataan itu.

  • Ibu 4 anak terlepas hukuman gantung edar dadah

    Ibu 4 anak terlepas hukuman gantung edar dadah

    SEORANG suri rumah yang terpaksa melahir dan membesarkan anaknya sehingga berusia 17 bulan di penjara, terselamat dari hukuman gantung apabila Mahkamah Tinggi di Seremban hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan mengedar kanabis seberat 237.86 gram, dua tahun lepas.

    Hakim Rohani Ismail membuat keputusan itu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh R Devaki, 34, yang hamil lima bulan ketika ditahan pada 4 Ogos 2021, di akhir kes pendakwaan.

    Dalam penghakimannya, Rohani berkata hasil penilaian daripada semua keterangan mendapati, pihak pendakwaan tidak dapat membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pemilikan dan pengetahuan terhadap dadah yang ditemui.

    “Setelah mendengar penerangan daripada saksi dan pendakwaan serta selepas menimbangkan hujahan dikemukakan oleh kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan pendakwaan gagal membuktikan satu prima facie ke atas tertuduh, oleh itu, tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” katanya.

    Rohani turut menasihatkan Devaki yang juga ibu kepada empat anak itu, supaya menjaga diri dan berhati-hati ketika berkawan.

    Mengikut pertuduhan, Devaki didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 237.86 gram di sebuah rumah di Bandar Dataran Segar, Port Dickson pada 7.30 malam, 4 Ogos 2021.

    Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(а) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.

    Seramai lapan saksi dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula sejak 17 April lepas.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Maleeha Syed Hussin, manakala tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris dan Wan Emyra Ismail.

    Haresh ketika ditemui pemberita memaklumkan, tertuduh melahirkan seorang anak lelaki ketika berada di Penjara Sungai Udang, Melaka dan membesarkannya di situ sehingga berusia setahun tujuh bulan.

    Sementara itu, Devaki melahirkan rasa kesyukuran kerana dibebaskan daripada tuduhan tersebut, selain akan menjadikan perkara itu sebagai iktibar.

  • Arul Kanda hantar representasi gugur rayuan kes pinda audit 1MDB

    Arul Kanda hantar representasi gugur rayuan kes pinda audit 1MDB

    BEKAS CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy mengemukakan surat representasi agar pihak pendakwaan menarik balik rayuan terhadapnya berhubung kes meminda laporan audit 1MDB.

    Peguam Arul Kanda, Jasmine Cheong mengesahkan kepada Bernama representasi itu telah dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.

    Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan Arul Kanda daripada pertuduhan meminda laporan audit 1MDB.

    Sementara itu, peguam Alaistair Brandah Norman yang mewakili Najib berkata pihaknya belum memfailkan representasi kepada AGC untuk menarik balik rayuan itu

    Pengurusan kes dijalankan hari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Nurul Azrina Mohamed Yusof yang menetapkan 28 Ogos bagi satu lagi pengurusan kes untuk AGC mengemas kini mahkamah mengenai status representasi Arul Kanda dan status rayuan pihak pendakwaan.

    Dalam prosiding pengurusan kes itu, Cheong mewakili Arul Kanda, Alaistair hadir bagi pihak Najib manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee bagi pihak pendakwaan.

    Pada 3 Mac tahun ini, hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan (yang kini hakim Mahkamah Rayuan) telah membebaskan Najib dan Arul Kanda tanpa memanggil mereka membela diri.

    Hakim itu memutuskan pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua mereka.

    Dalam alasan penghakimannya, Mohamed Zaini berkata dia telah memberikan penilaian maksimum di akhir kes pendakwaan dan mendapati tiada bukti menunjukkan atau membuktikan bahawa Najib secara jelas mengarahkan pindaan yang dibuat untuk membebaskan dirinya daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah.

    Dalam kes Arul Kanda, hakim mendapati dia (Arul Kanda) konsisten sepanjang keterangannya dan keterangannya serasi dengan keterangan lain yang dikemukakan.

    Najib, 70, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadapnya.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi bekas perdana menteri itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016.

    Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan pada 9 Mac lepas.

  • Pelajar perempuan maut terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah

    Pelajar perempuan maut terjatuh dari tingkat dua bangunan sekolah

    SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di Melaka maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat dua sekolah itu hari ini.

    Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata mangsa ditemukan oleh tukang kebun dalam keadaan terlungkup di kaki lima bangunan sekolah itu pada 2.31 petang.

    Beliau berkata siasatan awal mendapati kelas mangsa berada di tingkat dua bangunan sekolah tiga tingkat itu.

    “Kejadian dipercayai berlaku di tingkat dua bangunan tersebut selepas pasukan penyiasat menemukan kasut pelajar terbabit di kaki lima aras sama sekolah terbabit.

    “Tiada saksi yang nampak mangsa terjun atau terjatuh dan tiada kesan perbuatan jenayah di sekitar kawasan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

    Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat dan motif kejadian masih disiasat.

  • Pemandu ambulans dan anak maut, kemalangan di Jalan Gua Musang – Jeli

    Pemandu ambulans dan anak maut, kemalangan di Jalan Gua Musang – Jeli

    DUA beranak maut dan seorang cedera selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori muatan kayu di Kilometer 37 Jalan Gua Musang-Jeli, dalam kejadian kira-kira 6.15 petang, semalam.

    Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata, ekoran daripada pertembungan tersebut mangsa yang bekerja sebagai pemandu ambulans, Mohd Zuki Mohamed Ali, 55, bersama anaknya Muhammad Hasbullah, 15, maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi anak mangsa, Muhamad Huzaifah, 18, mengalami kecederaan di dada.

    “Siasatan awal mendapati mangsa bersama dua anak lelakinya dalam perjalanan dari arah Gua Musang menuju ke Jeli.

    “Kenderaan mangsa dipercayai telah masuk ke laluan lori yang membawa muatan kayu dari arah bertentangan ketika melalui jalan yang sedikit berselekoh, menyebabkan kedua-dua kenderaan bertembung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kedua-dua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Gua Musang manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

  • Madrasah tahfiz antara lokasi simpan ketum, 4 lelaki ditahan

    Madrasah tahfiz antara lokasi simpan ketum, 4 lelaki ditahan

    POLIS Kelantan menahan empat lelaki dan merampas pil yaba serta ketum di dua lokasi semalam, termasuk di sebuah madrasah tahfiz di Batu 11, Ketereh dekat Kota Bharus yang disyaki menjadi tempat simpanan 100kg ketum.

    Ketua Polis Kelantan Muhamad Zaki Harun berkata, dalam serbuan pada 9.15 malam itu, 10 bungkus plastik hitam disyaki mengandungi daun ketum ditemukan di madrasah tahfiz tersebut, iaitu lokasi kedua serbuan, pada hari sama.

    “Serbuan ke madrasah tahfiz dipandu arah oleh empat suspek terbabit berusia 20-an, yang ditahan pada serbuan pertama di sebuah rumah di Jalan Tali Air Kampung But, Ketereh, pada kira-kira 9 malam,” katanya dalam kenyataan.

    Katanya, siasatan lanjut mendapati seorang suspek positif dadah jenis methamphetamine, manakala seorang lagi mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

    Muhamad Zaki berkata, dalam serbuan pertama, polis merampas 20 bungkusan plastik berisi kira-kira 20 liter cecair ketum dan empat bungkusan plastik berisi daun hijau disyaki ketum dianggarkan seberat 40kg.

    “Pemeriksaan lanjut di sekitarnya turut menemukan satu kotak rokok disyaki berisi pil kuda, selain satu periuk besar berisi air rebusan ketum dianggarkan sebanyak 10 liter, dua tong gas dan sebuah dapur gas, yang turut dirampas.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM4,522 dan perintah tahanan reman selama empat hari ke atas kesemua suspek berakhir 22 Julai.

    Kes disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

  • Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

    Polis buru Ah Long upah RM1,500 bakar rumah peminjam

    POLIS kini giat mengesan rangkaian sindiket Ah Long yang mengupah individu untuk membakar dan membaling cat ke rumah peminjam mereka melalui tawaran kerja di media sosial.

    Pesuruhjaya Polis Sarawak, Mohd Azman Ahmad Sapri, berkata ini susulan laporan diterima pihaknya pada 7 Julai lalu, di mana seorang mangsa memaklumkan rumah miliknya di Kota Samarahan telah dibakar selain menerima kiriman video insiden tersebut melalui aplikasi WhatsApp.

    “Selain itu, terdapat tiga lagi kejadian simbah cat di kedai perabot dan rumah mangsa. Susulan itu, sebanyak empat kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Azman berkata susulan itu, tujuh suspek warga tempatan berjaya ditahan dan direman selama tujuh hari bermula 17 Julai lalu.

    “Hasil soal siasat mendapati mereka telah menerima tawaran melakukan kerja itu di media sosial dengan pembayaran upah sebanyak RM1,500,” katanya.

    Azman berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Insp Mustapha Ramli di talian 019-8145090.

  • PRN: Sokongan pengundi muda tidak konsisten – Pemerhati

    PRN: Sokongan pengundi muda tidak konsisten – Pemerhati

    RAMAI pemerhati politik berpandangan sokongan pengundi dalam kalangan ‘anak muda’ sebenarnya tidak konsisten, dengan kebanyakan mereka tidak setia berpegang teguh pada satu logo semata-mata.

    Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berpendapat walaupun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lepas majoriti anak muda khususnya di Terengganu memberi sokongan kepada PAS, namun ia (undi) bukanlah diperoleh berlandaskan kepada kesetiaan terhadap parti, tapi lebih kepada situasi atau trend semasa.

    “Ia (undi) boleh berubah dalam Pilihan Raya Umum Negeri (PRN) akan datang… mana-mana (parti) yang paling bijak ‘merawat’ perspektif mereka, maka mereka akan meraih sokongan pengundi muda ini,” katanya kepada Bernama.

    Beliau berkata hakikatnya pengundi muda ‘terjebak’ sebagai pemilih dalam keadaan tidak bersedia, kurang pengetahuan dan tidak mempunyai pemahaman yang jelas terhadap sistem pilihan raya yang juga komponen terpenting dalam sebuah negara demokrasi.

    “Di peringkat sekolah rendah, mereka tidak didedahkan dengan pengetahuan dan kefahaman terhadap politik dan pilihan raya. Masuk sekolah menengah pun tak sentuh apa-apa kecuali pelajaran Sejarah ada sikit-sikit, cuma sebahagian kecil saja (sentuh politik).

    “Selepas habis sekolah menengah sudah perlu mengundi… buat keputusan penting untuk negara,” kata Mohd Yusri.

    Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kumpulan pengundi muda berumur 18 hingga 20 tahun bagi PRN kali ini paling ramai ialah di Selangor sebanyak 274,194 orang, diikuti Kedah (104,284), Kelantan (96,513), Pulau Pinang (67,633), Terengganu (64,264), dan Negeri Sembilan (55,017).

    Sementara itu, veteran politik yang juga bapa saudara kepada Sultan Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula berpendapat individu berumur 18 tahun sewajarnya sudah mampu berfikir secara matang dan bijak membuat penilaian terhadap sesuatu perkara.

    “Anak-anak muda ini tidak masuk parti… tapi di mana ada isu panas, ke situlah mereka akan pergi, tapi sebelum mengundi mereka perlu fikir dahulu sedalamnya kerana setiap satu undi mereka amat mustahak kepada negeri dan negara.

    “Mereka perlu berhati-hati menilai dan buatlah kajian sebelum memilih (mengundi),” katanya.

    Meninjau pandangan pengundi muda di negeri ini, rata-rata tidak memberi gambaran bahawa mereka memihak terhadap sesuatu parti, sebaliknya ‘selera’ mereka bergantung kepada kriteria-kriteria calon serta tawaran yang akan diketengahkan oleh bakal wakil rakyat itu nanti.

    Pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Terengganu, Aqilah Talib, 20, berkata dia mahukan calon berwibawa yang tampil dengan manifesto realistik dan bukan ‘tin kosong’.

    “Setiap manifesto perlulah dikotakan, bukan saja-saja dibuat untuk mengaburi pengundi… wakil rakyat mestilah pentingkan kebajikan rakyat,” katanya yang berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang undang-undang.

    Seorang pelajar diploma di sebuah institusi pengajian awam, Muhammad Azran Imran, 19, pula berkata dia akan melihat pada calon yang tampak berwawasan dan progresif dalam mengutarakan sesuatu isu, tidak kira apa latar belakang politiknya.

    “Saya juga lebih sukakan calon yang muda, tapi ada sifat kepimpinan yang tinggi, itu lebih menarik berbanding calon-calon lama yang ‘dikitar semula’,” katanya.