Author: Bernama

  • Taiwan lapor kes import baharu Covid-19 tertinggi

    Taiwan lapor kes import baharu Covid-19 tertinggi

    PUSAT Perintah Epidemik Taiwan (CECC) melaporkan 25,063 jangkitan baharu COVID-19 pada Selasa termasuk 560 kes import dengan 26 kematian.

    Menurut CECC, 560 kes itu merupakan jumlah kes import tertinggi yang dilaporkan oleh Taiwan dalam sehari sejak wabak itu meletus pada 2020, sebahagian besarnya mencerminkan lonjakan kes yang melibatkan pelawat yang memasuki Taiwan dari China.

    Jumlah kes menunjukkan penurunan 0.6 peratus daripada hari yang sama seminggu sebelumnya, lapor Agensi Berita Pusat Taiwan yang memetik CECC.

    Mereka yang meninggal dunia berumur antara 50-an dan 90-an dan 14 daripada kes kematian membabitkan mereka yang tidak divaksin COVID-19.

    Sementara itu,16.3 peratus (atau 226) daripada 1,386 pelawat yang tiba terus dari China pada 8 Jan diuji positif sama seperti 15.1 peratus (atau lapan) daripada 53 pelawat dari Xiamen ke Kinmen dan Matsu.

    CECC mengeluarkan statistik harian mengenai peratusan ketibaan dari China yang disahkan positif COVID-19, namun angka tersebut tidak sepadan dengan jumlah kes import yang dilaporkan setiap hari berikutan tiada laporan selain ujian yang dijalankan tidak dikumpul.

    Sehingga kini, Taiwan merekodkan 9,097,554 kes COVID-19 sejak wabak itu bermula pada awal 2020, termasuk 43,563 diklasifikasikan sebagai kes import.

    Dengan 26 kematian yang dilaporkan pada Selasa, jumlah kematian COVID-19 yang disahkan di negara ini meningkat kepada 15,608. – BERNAMA

  • TH akan utamakan bakal jemaah bermula tahun 2020

    TH akan utamakan bakal jemaah bermula tahun 2020

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) akan mengutamakan bakal jemaah haji untuk tahun 2020, 2021 dan 2022, yang masih menunggu giliran disebabkan pandemik COVID-19 untuk musim haji tahun ini, sebelum diikuti bakal haji giliran tahun 2023.

    Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata ini berdasarkan sistem pendaftaran haji berasaskan prinsip yang dahulu didahulukan dan TH akan mengeluarkan surat tawaran bagi menunaikan haji tidak lama lagi.

    “TH menyambut baik keputusan Kerajaan Arab Saudi untuk memberi kuota penuh sebanyak 31,600 kepada Malaysia untuk musim haji tahun 1444H/2023M. TH juga telah dimaklumkan bahawa tiada had umur bagi mengerjakan rukun Islam kelima bagi musim haji tahun ini berbanding had 65 tahun yang dikenakan untuk musim haji tahun lepas.

    “TH telah memulakan persiapan awal sebaik sahaja tamat operasi musim lalu untuk membuat beberapa penambahbaikan bagi mengekalkan mutu perkhidmatan dan memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah sentiasa terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Tambahnya rayuan haji melalui platform atas talian THiJARI juga akan dibuka dan tarikhnya akan diumumkan TH dalam masa terdekat.

    “Pemilihan rayuan haji adalah berpandukan kriteria tertentu dengan rayuan mahram akan diberikan keutamaan,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan bakal jemaah haji untuk menghadiri kursus asas haji anjuran TH selama 13 minggu bermula 25 Nov 2022 sehingga 17 Feb 2023, sebagai persediaan melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan ibadat haji serta mendapat gambaran suasana terkini di tanah suci.

    Katanya TH mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi atas kuota penuh yang menunjukkan keberkesanan langkah-langkah keselamatan yang diambil Arab Saudi untuk menangani pandemik COVID-19 pada tahun-tahun sebelumnya. – BERNAMA

  • Bekas pengurus kanan syarikat didenda RM222,000 gagal lapor rasuah

    Bekas pengurus kanan syarikat didenda RM222,000 gagal lapor rasuah

    SEORANG bekas pengurus kanan syarikat pembinaan didenda RM222,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini atas empat pertuduhan gagal melaporkan tawaran dan pemberian suapan kepada pihak berkuasa.

    Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Chua Shiou Meng, 51, selepas lelaki itu mengekalkan pengakuan bersalah terhadap semua pertuduhan. Hari ini ditetapkan untuk pendengaran fakta kes dan jatuh hukum selepas tertuduh mengaku bersalah pada Disember tahun lepas.

    Rozilah menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM20,000, RM100,000, RM100,000 dan RM2,000 bagi pertuduhan pertama hingga keempat dan memerintahkan tertuduh dipenjara 22 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Dia membayar denda itu.

    Beliau juga menasihatkan tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi kesalahan rasuah dan jenayah lain. 

    Bagi dua pertuduhan, Chua telah ditawarkan wang suapan berjumlah RM10,000 dan diberikan wang suapan menerusi akaun bank miliknya berjumlah RM140,000 daripada seorang lelaki berumur 42 tahun.

    Mengikut dua lagi pertuduhan, Chua telah diberikan wang suapan berjumlah RM75,700 daripada seorang lelaki berumur 48 tahun menerusi akaun bank milik isterinya dan turut ditawarkan suapan berbentuk komisen 50 sen per meter padu setiap bulan daripada seorang lelaki berumur 55 tahun.  

    Kesemua tindakan itu dilakukan sebagai dorongan untuk tertuduh agar tidak memberikan laporan prestasi kerja yang kurang baik dan boleh menyebabkan dua kontrak dibatalkan.

    Chua melakukan kesalahan terbabit di dua restoran dan sebuah bank di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur antara Jan 2017 hingga Jan 2019. 

    Dia melakukan kesalahan yang melanggar peruntukan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan tawaran suapan itu kepada SPRM atau pegawai polis berhampiran serta telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Terdahulu, peguam mewakili tertuduh Datuk N. Sivananthan memohon hukuman ringan atas alasan Chua telah insaf serta memohon maaf atas perbuatannya dan anak guamnya yang menyara keluarga juga baru sahaja mendapat pekerjaan setelah dipecat 24 jam oleh syarikat lama.

    Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam dan mengatasi kepentingan individu. – BERNAMA

  • Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    Isu harga makanan: Pengusaha kantin sekolah perlu rujuk garis panduan

    PENGUSAHA kantin sekolah diminta merujuk kembali garis panduan ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung dakwaan kenaikan harga makanan di premis berkenaan baru-baru ini.

    Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa mengawal dan memantau operasi kantin termasuk penetapan harga makanan, memandangkan ia melibatkan pemegang taruh yang besar.

    “Sekolah dan kontraktor (pengusaha kantin) tertakluk dengan garis panduan tersebut. Jadi kalau ada dakwaan itu (harga mahal) mereka kena pergi kepada garis panduan yang telah dibuat.

    “Pemegang taruh untuk isu harga makanan ini besar, bukan saja dengan kontraktor kantin dan pihak sekolah, tapi juga KPM sebab nutrisi dan diet kanak-kanak kena tengok,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Rusa di Kuala Terengganu, yang terjejas akibat banjir besar Disember lepas.

    Ditanya mengenai laporan rasmi berhubung isu itu, beliau berkata pihaknya akan mengumpul maklumat berkenaan jika mendapat aduan daripada mana-mana pihak.

    “Kalau ada aduan yang disifatkan sebagai mengganggu, sama ada memberi kesan kepada kontraktor kantin dan paling penting kepada kanak-kanak dan ibu bapa, kita minta kemukakan (aduan),” katanya.

    Baru-baru ini media melaporkan, harga makanan di kantin sekolah didakwa meningkat sehingga 50% pada sesi persekolahan baru-baru ini susulan peningkatan harga bahan mentah di pasaran.

    Sementara itu, Fadhlina berkata tafsiran kerugian secara keseluruhan bagi sekolah-sekolah terjejas akibat banjir di seluruh negara masih belum diperoleh KPM, namun peruntukan awal telah disalurkan kepada mana-mana sekolah yang teruk dan kritikal.

    Katanya, tahap kerosakan setiap sekolah di setiap negeri adalah berbeza justeru, peruntukan untuk proses penyelenggaraan juga adalah tidak sama.

    “Untuk SK Pulau Rusa ini misalnya, KPM memperuntukkan sebanyak RM150,000 untuk proses penyelenggaraan agar pelajar dapat belajar dengan selamat dan ceria,” katanya.

    Beliau berkata pihaknya sangat kagum dengan usaha pihak sekolah berkenaan yang melakukan kaedah ‘staging’ sebagai persediaan untuk menghadapi banjir.

    “Kaedah staging saya fikir sangat efektif untuk tangani isu banjir. Kaedah ini boleh disebar luas ke negeri-negeri lain yang juga menghadapi isu banjir,” katanya.

    Staging adalah kaedah penyediaan platform tinggi di sekolah untuk menempatkan aset-aset sekolah bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda. – BERNAMA

  • Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    Lelaki hilang tiga hari rupanya maut selepas terbabas di selekoh jalan

    MISTERI kehilangan seorang lelaki sejak Sabtu lepas akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di KM22 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, petang semalam.

    Ketua Polis Daerah Gerik Supt Zulkifly Mahmood berkata sebelum itu, bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan anaknya berusia 46 tahun itu di Balai Polis Kuala Ketil kira-kira 2 petang semalam.

    “Rakan-rakan mangsa kemudian mencarinya selain memaklumkan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Gerik kira-kira 5.30 petang semalam berhubung penemuan mayat lelaki itu di kawasan kejadian.

    “Siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki Ninja ZX63 bergerak bersendirian dari arah Gerik menghala ke Banjaran Titiwangsa kira-kira 12 tengah hari Sabtu lepas. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan, terbabas sendiri lalu terjatuh ke bahu jalan dan terperosok ke dalam semak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat yang selesai dijalankan pagi tadi dan diserahkan kepada pihak keluarga untuk urusan pengebumian. 

    Zulkifly berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. — BERNAMA 

  • Gempa 7.5 magnitud: Bangunan musnah, penduduk Maluku selamatkan diri

    Gempa 7.5 magnitud: Bangunan musnah, penduduk Maluku selamatkan diri

    BEBERAPA kediaman dan bangunan dilaporkan musnah selepas gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter menggegarkan wilayah timur Maluku di Indonesia pada Selasa.

    Ketua unit operasi agensi pengurusan dan mitigasi bencana di daerah Kepulauan Tanimbar, Doni B. Layan berkata bahawa penilaian akan dijalankan untuk mengetahui kesan akibat gempa bumi itu.

    Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini, katanya kepada Xinhua menerusi panggilan telefon.

    Lebih 2,000 penduduk tempatan telah melarikan diri selepas kejadian gempa itu.

    Gegaran turut dirasai di beberapa wilayah berdekatan, menurut agensi cuaca.

    Gempa dilaporkan berlaku pada 00:47 pagi (1747 GMT) waktu tempatan dengan pusat gempa terletak 148 kilometer (km) dari barat laut daerah Maluku Tenggara Barat (Kepulauan Tanimbar) dengan kedalaman 131 km dari dasar laut.

    Tiga gegaran susulan turut direkodkan dengan tahap kekuatan adalah lemah hingga sederhana.

    Agensi itu turut mengeluarkan amaran tsunami di Malluku dan wilayah berdekatan Sulawesi Tenggara. – BERNAMA

  • Gajah pecahkan tingkap dapur, ambil makanan pekerja ladang

    Gajah pecahkan tingkap dapur, ambil makanan pekerja ladang

    TIGA pekerja ladang berdepan detik cemas apabila seekor gajah liar bergading bertindak merosakkan dan memecahkan tingkap kaca bahagian dapur rumah mereka di Aring 8, di Gua Musang pada 4 pagi Ahad lepas.

    Penyelia ladang Mohd Khairul Faiza Muhammad Din berkata kejadian terbaharu itu merupakan serangan kedua dihadapi mereka selepas kali pertama berlaku pada Rabu lepas (4 Jan).

    “Kali pertama mamalia tersebut muncul juga pada 4 pagi, membuatkan saya bersama dua lagi rakan serumah terkejut melihat belalai gajah masuk ke dalam bahagian dapur menerusi cermin tingkap yang telah pecah.

    “Pada Ahad lepas,  gajah terbabit muncul lagi dan mengambil makanan seperti garam, minyak serta mi segera yang berada berhampiran kawasan sinki dapur di hadapan tingkap,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

    Menurut Mohd Khairul Faiza kehadiran mamalia tersebut dalam kawasan rumah amat mengejut serta membimbangkan.

    “Selama enam tahun bekerja di sini, ini kali pertama rumah kami diserang gajah. Keadaan ini amat merisaukan apabila gajah mula datang mencari makanan di rumah.

    “Belum sempat kami menggantikan cermin yang rosak, gajah terbabit datang kembali mengambil makanan dan membuat kerosakan yang sama,” katanya. 

    Menurut Mohd Khairul Faiza mereka telah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan sewajarnya. -BERNAMA 

  • Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    Kapal TLDM telah berusia, perlu ditukar – Sultan Selangor

    SULTAN Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap aset keselamatan negara khususnya kapal-kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang telah berusia dan perlu ditukar.

    Kebimbangan itu dizahirkan baginda ketika pertemuan dengan Panglima Tentera Laut (PTL) Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany, Khamis lepas. 

    Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, baginda selaku Kepten Yang Dipertua TLDM bertitah semasa pertemuan tersebut bahawa pertukaran aset yang telah berusia itu perlu dilakukan demi memastikan kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara dan dalam keadaan siap siaga.

    Khamis lepas, Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Mohd Reza sempena persaraan beliau di Istana Bukit Kayangan di sini.

    Beliau dilantik sebagai PTL pada 30 Nov 2018 dan akan menyerahkan tugas kepada penggantinya pada 23 Jan ini.

    Mohd Reza turut merafak sembah memperkenalkan Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob yang bakal menggantikan beliau sebagai Panglima Tentera Laut ke-18. – BERNAMA

  • Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    Bayi empat bulan koma dipercayai didera

    SEORANG bayi lelaki berusia empat bulan koma dipercayai akibat didera pengasuh di sebuah pusat jagaan kanak-kanak berdaftar di Batu Buruk di Kuala Terengganu, Rabu lepas.

    Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata mangsa koma selepas mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan otak dan retak pada tempurung kepala.

    Beliau berkata pihaknya menerima laporan daripada bapa mangsa yang mendapati bayinya dalam keadaan lemah dan kesakitan selepas diambil daripada pusat jagaan itu pada hari sama.

    Katanya bapa mangsa yang bekerja sebagai pegawai perubatan membawa anaknya ke hospital untuk pemeriksaan dan mendapati terdapat darah beku dalam kepala mangsa.

    Susulan kejadian itu, polis menahan tiga wanita berusia 22 hingga 33 tahun yang bekerja sebagai pengasuh di pusat jagaan tersebut, semalam.

    “Ketiga-tiga suspek telah dipanggil sebelum ini untuk memberi keterangan. Tetapi masing-masing menafikan kejadian tersebut.

    “Bagaimanapun polis mendapati keterangan mereka agak meragukan. Justeru rampasan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dilakukan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Terengganu di sini, hari ini.

    Rohaimi berkata hasil pemeriksaan rakaman CCTV mendapati selain dipukul di kepala, suspek juga telah menggoncang serta menghempas tubuh mangsa yang baru sahaja tiga hari didaftarkan di pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.

    “Mangsa masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya,” katanya dan ketiga-tiga suspek dibawa ke mahkamah untuk direman hari ini. – BERNAMA

  • Anwar restui Hajiji kekal sebagai KM Sabah

    Anwar restui Hajiji kekal sebagai KM Sabah

    PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi restu kepada Datuk Seri Hajiji Noor untuk kekal sebagai Ketua Menteri Sabah.

    Anwar berkata beliau juga mahu kerajaan Sabah kukuh di bawah kepimpinan Hajiji.

    “Kita beri ruang kepada Ketua Menteri (Hajiji) berbincang dan mencari satu formula terbaik untuk kebaikan Sabah,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan kira-kira 40 minit dengan Hajiji dan wakil rakyat blok kerajaan di kediaman rasmi Ketua Menteri di Sri Gaya di sini, malam tadi.

    Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

    Anwar mengucapkan terima kasih kepada Hajiji dan wakil rakyat di Sabah yang hadir dalam pertemuan itu bagi mendengar pandangan demi kebaikan negeri.

    Jumaat lepas, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

    Dalam pada itu, Anwar berkata kerajaan Sabah mempunyai perkara penting iaitu pembentangan usul penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas di Dewan Undangan Negeri Sabah dalam usaha mengembalikan hak negeri itu.

    “Satu Rang Undang-Undang penting (akan dibentangkan) untuk mengembalikan hak Sabah yang saya usulkan kepada Jemaah Menteri dan ini perubahan besar dan bagi saya (adalah) keutamaan,” katanya.

    Kerajaan Sabah akan membentangkan usul bagi menerima penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas daripada Kerajaan Persekutuan pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri yang dijadual berlangsung esok (10 Jan) pada pukul 10 pagi.

    Hajiji sebelum ini berkata perkara tersebut telah lama diperjuangkan pemimpin Sabah dan langkah itu dilihat signifikan dalam merealisasikan tuntuan negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

    Pada 21 Dis, Anwar mengumumkan kerajaan Persekutuan bersetuju memindahkan kuasa kawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri dan perkara itu dipersetujui sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menghormati MA63.- BERNAMA