Author: Bernama

  • Kes Covid-19 terkawal, tak perlu tutup pintu sempadan – Dr Zaliha

    Kes Covid-19 terkawal, tak perlu tutup pintu sempadan – Dr Zaliha

    SITUASI semasa kes COVID-19 dalam negara masih terkawal dan  setakat ini tidak memerlukan kerajaan mengambil langkah sehingga menutup sepenuhnya pintu sempadan negara, kata  Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.

    Bagaimanapun, menurutnya kerajaan mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan pendekatan tertentu di pintu masuk negara bagi mengekang penularan wabak itu.

    Malah sehingga Selasa lepas belum ada lagi kes jangkitan ataupun yang bergejala dikesan di pintu masuk sempadan, walaupun negara telah menerima kira-kira 7,000 pelancong China, sejak 8 Jan lepas,  katanya  kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pendang oleh Kementerian Kerja Raya, di sini hari ini. .

    Turut berangkat menyaksikan majlis penyerahan projek itu ialah Tunku Mahkota Kedah Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

    Dr Zaliha berkata walaupun jumlah saringan mencecah belasan ribu setiap hari, namun jumlah kes positif yang dikesan seluruh negara adalah rendah.

    Mengenai Hospital Pendang, Dr Zaliha berkata hospital itu akan mula beroperasi pada 15 Feb ini dan dijangka memanfaatkan kira-kira 110,000 penduduk di kawasan sekitar.

    “Ada pelbagai perkhidmatan di hospital ini termasuk kecemasan, pesakit luar dan sebagainya dan ada sebanyak 126 katil keseluruhannya,” katanya.

    Pembinaan Hospital Pendang dimulakan pada Mei 2018 dan siap pada Okt tahun lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM255.27 juta termasuk kos pembinaan, perolehan perubatan dan bukan perubatan.

    Hospital pakar minor itu mempunyai 11 bidang kepakaran antaranya kecemasan, perubatan am, pembedahan am, ortopedik, anestesiologi, radiologi, obstetrik dan ginekologi, pediatrik, patologi serta psikiatri. – BERNAMA

  • Kemunculan dua ekor gajah cetus kebimbangan penduduk

    Kemunculan dua ekor gajah cetus kebimbangan penduduk

    KEMUNCULAN dua ekor gajah di Taman Perdana, Kluang, malam tadi, mencetuskan kebimbangan kira-kira 2,000 penduduk berhampiran.

    Warga emas M Pavayee Ammah, 83, berkata beliau menyedari kehadiran gajah dewasa dan anak gajah itu setelah mendengar bunyi bising seolah-olah bunyi rempuhan di luar kediamannya.

    Katanya, beliau melihat di balik pintu dan ternampak dua ekor gajah telah merempuh pagar rumah selain melihat penduduk sekitar cuba menghalau kedua-dua ekor binatang itu ke hutan berhampiran.

    “Saya terus menggigil ketakutan apabila melihat gajah berkenaan berada di halaman rumah, selain turut terdengar jeritan penduduk agar saya tidak keluar rumah.

    “Saya difahamkan gajah berkenaan sebelum itu telah memasuki kawasan tanaman berhampiran sebelum dihalau penduduk dan kemudiannya ke kawasan perumahan di sini,” katanya kepada pemberita, di Kluang, hari ini.

    Seorang lagi penduduk M. Alangovan, 67, bimbang dengan kehadiran haiwan itu yang kerap muncul, akhir-akhir ini.

    “Saya berharap pihak berkuasa dapat melakukan sesuatu kerana bimbang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri Johor Aminuddin Jamin mengesahkan kejadian dua ekor gajah memasuki taman perumahan itu kira-kira 9.30 malam tadi.

    Beliau berkata mamalia itu dipercayai terpisah daripada kumpulannya dan pihaknya sudah mengambil tindakan awal dengan menghalau gajah berkenaan ke hutan berhampiran yang terletak kira-kira 500 meter daripada kawasan perumahan itu.

    Katanya pemantauan akan terus dilaksanakan dengan menggunakan dron bagi memastikan gajah tersebut kembali ke habitat asal serta tidak tersasar dengan memasuki kawasan penempatan.

    Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 26 saat di media sosial yang memaparkan dua ekor gajah memasuki kediaman di Taman Perdana, Kluang.

  • Anggota imigresen, adik dan orang tengah direman bantu siasatan kes ‘pasport terbang’

    Anggota imigresen, adik dan orang tengah direman bantu siasatan kes ‘pasport terbang’

    SEORANG anggota imigresen, adik lelakinya dan seorang individu yang disyaki orang tengah direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes suapan berkaitan pengeluaran ‘pasport terbang’ di Sibu.

    Perintah reman terhadap mereka yang masing-masing berusia 36, 32 dan 42 tahun itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sibu Rommie Ahmad Zaidi selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

    Ketiga-tiga lelaki itu ditahan SPRM antara 2.55 hingga 5.35 petang semalam untuk membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

    SPRM membuat penahanan selepas menerima maklumat mengatakan penjawat awam gred KP19 itu telah meminta dan menerima suapan wang rasuah secara ‘perbankan dalam talian’ pada 2017 dan 2018.

    Suapan itu diterima daripada individu yang disyaki menjadi orang tengah aktiviti ‘pasport terbang’ di sekitar Sibu sebagai balasan memasukkan data di dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia bagi melanjutkan tempoh Pas Lawatan Sosial (PLS) yang telah tamah tempoh.

    Suapan itu dipindahkan dari akaun individu itu ke akaun bank adik anggota imigresen berkenaan.

  • Tampar pemain : Lesen jurulatih dibatalkan

    Tampar pemain : Lesen jurulatih dibatalkan

    LESEN jurulatih pasukan bola tampar wanita Melaka bawah 14 tahun yang menampar dua pemainnya dibatalkan, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

    Beliau berkata jurulatih itu yang juga seorang guru tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan tersebut termasuk untuk murid sekolah.

    Hannah berkata Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah memuktamadkan siasatan insiden itu dan sebulat suara memutuskan jurulatih itu sepatutnya hilang kelayakan menjadi jurulatih.

    “Jurulatih itu telah ditarik balik Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 (Sukan Spesifik) oleh MAVA. Tiada apa-apa berunsur peribadi dengan keputusan ini, kita ingin jadikan insiden ini sebagai pengajaran agar ia tidak berulang.

    “Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian senada dengan MAVA membatalkan lesen jurulatih itu,” katanya dalam sidang media bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, hari ini.

    Jurulatih terbabit, Saiful Hadee Amar, 44, sebelum ini telah membuat permohonan maaf secara terbuka dan sedia berdepan tindakan, susulan kejadian itu yang berlaku ketika kejohanan di Johor pada 14 hingga 16 Sept tahun lepas tular baru-baru ini.

    Hannah berkata susulan insiden itu, pihaknya menyedari bahawa terdapat keperluan untuk semua jurulatih kepada murid sekolah menjadi sebahagian daripada Skim Perlesenan Kebangsaan (SLLK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPPK).

    Sementara itu, beliau berkata KBS telah mengarahkan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK) di bawah Institut Sukan Negara supaya memastikan pelaksanaan peraturan mewajibkan jurulatih memperbaharui lesen setiap dua tahun.

    “Ia diperketatkan lagi bagi memastikan jurulatih sukan negara sentiasa dipantau perkembangan dan keaktifan karier kejurulatihan mereka, ia juga membolehkan AKK dan pemegang taruh mengemas kini data dan membantu jurulatih meningkatkan kemahiran mereka melalui upskilling dan reskilling (peningkatan kemahiran dan pemahiran semula),” katanya.

    Sementara itu, Fadhlina berkata KPM selesai menjalankan siasatan insiden itu dan menyerahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengambil sebarang tindakan berkaitan.

    “KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid menjadi keutamaan. Oleh itu, semua pihak yang terlibat perlu mengambil berat dan memberi perhatian untuk mengelak atau mengawal daripada berlaku sebarang kemungkinan yang tidak dingini,” katanya.

  • Enggan divaksin Covid: Bekas tentera gagal cabar penamatan awal khidmat

    Enggan divaksin Covid: Bekas tentera gagal cabar penamatan awal khidmat

    SEORANG bekas tentera hari ini gagal dalam permohonannya untuk mencabar keputusan pihak berkuasa yang menamatkan perkhidmatannya daripada Tentera Darat Malaysia setelah enggan menerima vaksinasi COVID-19.

    Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Wan Ramli Wan Seman atas alasan keputusan yang dibuat untuk menamatkan perkhidmatan pemohon adalah mengikut undang-undang dan bukan prosedur yang tidak wajar dan tidak rasional.

    Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 27 Sept 2021, Wan Ramli menamakan Leftenan Kol Sharull Hesham Md Yasin, Leftenan Mohamad Azammunir Mohd Ashri, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Tentera Darat, dan kerajaan, sebagai responden.

    Wan Ramli memohon pengisytiharan bahawa surat penamatan bertarikh 4 Ogos 2021 dan penamatan awalnya daripada perkhidmatan adalah terbatal.

    Dalam penghakimannya, Ahmad Kamal berkata perintah vaksinasi COVID-19 telah dikenakan ke atas semua anggota tentera Malaysia melalui surat bertarikh 3 Mac 2021.

    “Berdasarkan perintah vaksinasi itu, vaksinasi COVID-19 adalah diwajibkan kepada semua anggota Tentera Darat Malaysia kecuali mereka dalam kumpulan yang tidak layak untuk divaksinasi, seperti mereka yang mempunyai sejarah dimasukkan ke hospital akibat alahan teruk dan mereka yang mengalami tindak balas alahan yang teruk selepas menerima dos pertama vaksin.

    “Selain itu, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang ingkar perintah itu,” kata beliau.

    Hakim berkata perintah vaksinasi telah diedarkan kepada semua anggota Batalion Ke-24 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Rasah di Seremban, tempat pemohon berkhidmat.

    Hakim berkata pemohon jelas mengingkari perintah apabila enggan divaksinasi mengikut perintah vaksinasi tersebut.

    Beliau berkata perintah vaksinasi itu dikeluarkan oleh Tentera Darat Malaysia kepada anggotanya.

    “Ia adalah soal pertimbangan dasar dan keputusan yang relevan dengan operasi kerja Tentera Darat Malaysia.

    “Memandangkan keputusan yang dipertikaikan oleh responden melibatkan pertimbangan dasar yang mana mahkamah tidak mempunyai pengetahuan tentang pertimbangan yang mendasari keputusan tersebut, saya berpendapat bahawa mahkamah ini tidak sepatutnya menyemak alasan responden dalam membuat keputusan itu dengan tujuan untuk mengemukakan pendapat mahkamah sendiri berasaskan apa yang dianggap adil dan munasabah berdasarkan merit,” katanya.

    Hakim berkata mahkamah juga mendapati sekatan ke atas pergerakan dan pekerjaan yang berkaitan dengan vaksinasi COVID-19 telah dikenakan di beberapa negara.

    “Kesahan dan keperlembagaan sekatan sedemikian sebelum ini telah diputuskan oleh mahkamah merentasi bidang kuasa lain,” katanya.

    Mahkamah juga mendapati bahawa pengeluaran perintah vaksinasi adalah secara munasabah seimbang dengan kepentingan individu dan Angkatan Tentera, katanya sambil menambah bahawa ia dikeluarkan bagi memastikan risiko jangkitan dalam kalangan anggota Tentera Darat Malaysia dapat dikurangkan dan mencegah kewujudan kluster dalam kalangan anggota.

    “Memandangkan pemohon gagal memberikan apa-apa alasan berkaitan untuk mengecualikan dirinya daripada divaksin, maka dia bertanggungjawab untuk mematuhi perintah vaksinasi tersebut,” katanya.

    Mengenai dakwaan pemohon bahawa dia telah kehilangan pekerjaan dan mata pencarian akibat penamatan perkhidmatan itu, hakim berkata sekatan yang menjejaskan pekerjaan seseorang bukanlah melanggar Perkara 5 (1) Perlembagaan Persekutuan kerana hak pekerjaan adalah tidak mutlak.

    “Saya melihat keputusan responden secara keseluruhan daripada mengenakan keputusan dasar perintah vaksinasi dengan menamatkan perkhidmatan pemohon mengambil kira kepatuhan pemohon terhadap perintah vaksinasi semuanya dibuat mengikut undang-undang.

    “Pemohon tidak dilucutkan kebebasan peribadinya dan keputusan dibuat berdasarkan pertimbangan munasabah, itu adalah langkah untuk membendung wabak COVID-19 dalam kalangan Tentera Darat Malaysia,” kata hakim itu ketika menyampaikan penghakiman melalui prosiding dalam talian hari ini.

    Ahmad Kamal berkata mahkamah juga mendapati perintah vaksinasi dalam kalangan Tentera Darat Malaysia adalah mandatori atas dasar anggota Tentera Darat Malaysia hidup dalam kumpulan, peranan dan tanggungjawab mereka sebagai barisan hadapan dalam menjalankan tugas dan latihan serta berkemungkinan besar mudah dijangkiti COVID-19.

    “Adalah wajar semua anggota Tentera Darat Malaysia mengambil vaksin itu bagi mengekang penularan dalam kalangan mereka sendiri, keluarga dan juga masyarakat secara keseluruhan.

    “Pemohon perlu tahu bahawa perkhidmatannya tertakluk kepada Akta Angkatan Tentera 1972 dan menjadi tanggungjawabnya untuk mematuhi perintah yang dikenakan ke atasnya mengikut undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

    “Sebagai pegawai tentera, beliau bertanggungjawab untuk mengikut arahan yang diberikan untuk menjaga disiplin. Sistem perundangan ketenteraan memerlukan tahap disiplin yang lebih tinggi dalam angkatan tentera,” tambahnya.

    Peguam Yasmeen Soh Sha-Nisse dan Phyllia Lim, mewakili Wan Ramli, manakala Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Liyana Muhammad Fuad, bertindak bagi pihak responden.

    Dalam permohonannya, Wan Ramli, 40, berkata dia mempunyai hak asasi untuk tidak diberi vaksin dan mendakwa pada 3 Ogos 2021, dia diberitahu bahawa penamatan perkhidmatannya yang baharunya berkuat kuasa pada 26 Ogos 2021, berbanding yang sepatutnya pada 20 Jan 2023.

    Dia mendakwa penamatan perkhidmatannya itu tidak sah atas alasan bahawa tindakan oleh responden adalah tidak seimbang dalam semua keadaan kes, menindas, tidak rasional, tidak munasabah, menyalahi undang-undang dan mengambil kira pertimbangan yang tidak relevan.- BERNAMA

  • Kontraktor didakwa bunuh penganggur

    Kontraktor didakwa bunuh penganggur

    SEORANG kontraktor dihadapkan ke Mahkamah Majistret Pasir Puteh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penganggur dua tahun lepas.

    Tuan Mohd Ridzwan Tuan Mohamad, 34, didakwa membunuh penganggur, Che Sobrie Che Ali, 37, di Kampung Saring, di Pasir Puteh, antara 9.30 malam hingga 10 malam pada 1 Ogos 2021.

    Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Tuan Mohd Ridzwan atau dikenali sebagai Iwe Telosan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asma’a Che Omar manakala tertuduh diwakili peguam Wan Mohd Ikram Wan Ibrahim.

    Majistret Mohd Izuddin Mohd Shukri menetapkan 12 April untuk sebutan semula kes.

  • Peniaga lepas tanpa bebas buat hantaran komunikasi jelik terhadap Najib, Rosmah

    Peniaga lepas tanpa bebas buat hantaran komunikasi jelik terhadap Najib, Rosmah

    SEORANG peniaga dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan membuat serta menghantar komunikasi jelik terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, sembilan tahun lepas.

    Hakim Nor Hasniah Ab Razak membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal peguam Rajsurian Pillai yang mewakili Syed Ahmad Saifullah Hashim, 34, selaku Orang Kena Saman (OKS) terhadap pertuduhan yang dihadapi anak guamnya.

    “Mahkamah melepas tanpa membebaskan OKS daripada pertuduhan selepas mendapati pertuduhan tersebut adalah cacat dan tidak berasas,” kata Nor Hasniah.

    Prosiding itu turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal.

    Pada 21 Julai 2022, Syed Ahmad Saifullah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memuat naik satu kiriman berhubung ‘pesawat yang dinaiki isteri dan PM dalam perjalanan pulang dari Perth telah hilang dari radar dan dijumpai terhempas di Lautan Sumatera Selatan. Al-Fatihah” melalui aplikasi Facebook “Syed Saifullah”.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyakitkan hati orang lain antara 2 dan 4 April 2014 dan hantaran itu kemudiannya dibaca pada 11.35 malam di sebuah premis, di Plaza Pekeliling Jalan Kampar, Off Jalan Ipoh, Sentul di Kuala Lumpur pada 4 April 2014.

    Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya selain denda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

  • 140 Ketua Bahagian UMNO sokong dua jawatan utama parti tak dipertandingkan

    140 Ketua Bahagian UMNO sokong dua jawatan utama parti tak dipertandingkan

    SEBANYAK 140 Ketua Bahagian UMNO seluruh negara hari ini menyatakan solidariti agar jawatan presiden yang kini disandang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO yang dijangka Mei nanti.

    Mewakili kumpulan itu, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah berkata ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan timbalan presiden juga tidak dipertandingkan.

    Beliau berkata tumpuan UMNO ketika ini perlu terarah kepada memperkukuh parti daripada pelbagai peringkat untuk berdepan enam pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka diadakan tahun ini. 

    “Seramai 126 Ketua UMNO Bahagian hadir malam ini meskipun ada lagi 14 tidak hadir kerana menghadiri Perhimpunan Agung UMNO 2022 (malam ini), tetapi semua sepakat jawatan-jawatan (presiden dan timbalan presiden) tidak dipertandingkan.

    “Untuk berdepan enam lagi PRN tahun ini, kita perlu parti UMNO yang kuat, justeru kami berharap presiden (Ahmad Zahid) mengambil kira pandangan ini dan tiada jawatan tertinggi dipertandingkan,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.

    Terdahulu, pertemuan 126 ketua-ketua bahagian itu diadakan secara tertutup di sebuah hotel terkemuka di ibu negara, ketika perhimpunan sedang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, malam ini.

    Perhimpunan Agung UMNO 2022 yang berlangsung hari ini hingga Sabtu, dimulakan dengan perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini. – BERNAMA

  • Penjara 8 tahun, 10 sebatan kerana dadah

    Penjara 8 tahun, 10 sebatan kerana dadah

    SEORANG lelaki dipenjara lapan tahun dan dikenakan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini kerana memiliki dan mengambil dadah, dua tahun lalu.

    Hakim Hamidah Mohamed Deril menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Al Hafiz Abu Bakar, 27, menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan kes itu.

    Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lapan tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan memiliki dadah dan 12 bulan penjara bagi kesalahan mengambil dadah serta pengawasan daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan selama dua tahun.

    Mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 8 Nov 2021.

    Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 47.20 gram dan memasukkan dadah itu ke dalam badannya di tepi tangga Blok KP2, di Taman Kuchai Jaya di Kuala Lumpur dan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Brickfields, pada 8.30 malam dan 10 malam, 8 Nov 2021.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan minimum 10 sebatan dan Seksyen 15(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak melebihi tiga tahun.

    Muhammad Al Hafiz, yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan telah insaf manakala Timbalan Pendakwa Raya Ngoh Jess Lynn memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

  • Bekas eksekutif Petronas dituduh rasuah, AMLA RM9.65 juta

    Bekas eksekutif Petronas dituduh rasuah, AMLA RM9.65 juta

    SEORANG bekas eksekutif (Pembinaan) Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB) didakwa lagi di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas 41 pertuduhan rasuah dan lima pengubahan wang haram berjumlah RM9.65 juta berhubung kerja-kerja penyelenggaraan.

    Mohd Amal M. Razalan, 36, bapa kepada dua anak itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

    Bagi pertuduhan pertama hingga ke-41, tertuduh didakwa menerima kesemua suapan tersebut berjumlah RM9.4 juta daripada empat individu iaitu Ketua Pegawai Operasi Synergy Spectular Sdn Bhd, Mohd Hakimin Mohd Zubir; Pengarah Faltech Engineering Sdn Bhd, Faisol Mustapha Idris; Pengarah Majestika Sdn Bhd, Mustaza Zawawi dan Pengurus Projek SAP Sdn Bhd, Robert Khoo melalui cek serta pindahan dalam talian dari akaun Maybank Berhad milik beberapa syarikat menerusi MGV Energy Sdn Bhd.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu dengan persubahatan bersama pengarah syarikat MGV Energy, Muhammad Nazreen Abd Hamid sebagai upah tertuduh melakukan apa-apa transaksi yang berkaitan dengan tugasnya iaitu memperakukan kira-kira lebih 50 ‘Job Completion Ticket’ kepada PCSB serta membantu Faltech Engineering mendapatkan kerja-kerja ‘Provision Of Civil & Structural Maintenance Services For PCSB’.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1) (c) dan boleh dihukum dengan Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Mohd Amal juga didakwa atas lima pertuduhan menerima RM252,042.92 melalui beberapa akaun bank miliknya dan satu akaun Kad Kredit Korporat Maybank Berhad milik MGV Energy daripada akaun Maybank Berhad milik MGV Energy, yang kesemua wang berkenaan merupakan hasil daripada aktiviti haram.

    Pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di beberapa cawangan Maybank dan Hong Leong Bank di Shah Alam, Petaling Jaya serta Puchong, dekat Shah Alam antara 29 Ogos 2018 dan 18 Mac 2022.

    Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon jaminan RM200,000 hingga RM300,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

    “Apa bentuk jaminan yang dikenakan seharusnya mencerminkan tahap keseriusan kesalahan dan jumlah jaminan yang ditawarkan itu adalah munasabah,” katanya.

    Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Amal memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah dikenakan jaminan RM180,000 pada 4 Januari lepas di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi lebih 40 pertuduhan.

    “Saya mohon mahkamah mengambil kira semua aset anak guam saya telah dibekukan, penjamin perlu mencari sumber untuk membayar jaminan.

    “Anak guam saya juga adalah penanggung utama keluarga, dia menanggung isteri, dua anak dan adik-beradiknya selain bapanya kini menghidap penyakit lumpuh kekal,” katanya.

    Menurutnya, tertuduh juga telah ditamatkan perkhidmatan dengan Petronas sejak Mei tahun lepas selain memberi kerjasama baik dengan pihak SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

    Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 berserta seorang penjamin dengan RM70,000 dibayar hari ini dan selebihnya sebelum tarikh sebutan semula kes pada 30 Januari ini.

    Pada 4 Januari lepas, lelaki itu didakwa atas 37 pertuduhan rasuah dan enam pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah lebih RM6 juta.