Author: Bernama

  • MIC mahu kerjasama BN-PH diputuskan secara konsensus

    MIC mahu kerjasama BN-PH diputuskan secara konsensus

    MIC berharap sebarang keputusan berhubung kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN), dilakukan secara konsensus antara parti komponen BN.

    Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran berkata, walaupun pada ketika ini masih belum ada sebarang perbincangan tentang perkara itu, MIC mahu ia dibincangkan dan tidak menjadi keputusan sesetengah pihak sahaja.

    Apabila ditanya tentang kebolehlaksanaan kerjasama itu khususnya di Selangor, Vigneswaran berkata, “Sekarang apa juga boleh dilaksanakan di Malaysia. Semua boleh dilaksanakan. Yang kita cakap tidak boleh sebelum ini, sekarang sudah boleh terutamanya selepas Pilihan Raya Umum ke-15.”

    Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan Hari Ponggal di Ibu Pejabat MIC, di Kuala Lumpur hari ini.

    Cadangan kerjasama antara BN dan PH bagi menghadapi PRN itu, sebelum ini pernah disuarakan beberapa pemimpin PH antaranya Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli serta Pengerusi PH Selangor yang juga Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

    Masing-masing berpendapat jika PH dan BN bekerjasama pada PRN Selangor, kedua-duanya berpotensi memenangi sebahagian besar kerusi di negeri itu.

    Pada majlis hari ini, Vigneswaran dan Timbalannya Datuk Seri M Saravanan bersama kira-kira 50 ahli parti MIC menyambut Hari Ponggal secara sederhana.

    Ponggal secara tradisi disambut masyarakat India pada pertengahan Januari sebagai simbolik bermulanya musim menuai dan tanda kesyukuran atas hasil tuaian serta kekayaan harta benda.

  • Lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    Lelaki ragut wanita hingga cedera ditahan

    POLIS menahan seorang lelaki yang juga penagih dadah kerana terlibat dalam kejadian ragut beg tangan seorang wanita sehingga mangsa cedera di tangan, di Lorong Selamat, di Georgetown, Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata lelaki tempatan berusia 37 tahun itu ditahan di Simpang Ampang, Seberang Perai Selatan (SPS) dekat Georgetown, pukul 12.15 tengah malam semalam (14 Jan), hasil risikan dan intipan dijalankan pihak polis.

    “Berdasarkan siasatan awal mendapati lelaki yang tidak bekerja itu disyaki terlibat dengan beberapa kes ragut di negeri ini termasuk dua kes ragut di kawasan George Town tahun ini.

    “Susulan penahanan lelaki itu, polis turut merampas beberapa barangan antaranya dua buah telefon bimbit, baju, topi keledar, tiga kad bank dan wang tunai, serta menyita sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda untuk siasatan lanjut,” katanya.

    Soffian berkata hasil saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methapethamine, selain turut mempunyai lima rekod jenayah lampau dan kini direman sehingga 18 Jan, bagi membantu siasatan menurut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana menyamun dengan mendatangkan kecederaan.

    Video kejadian ragut itu tular dalam laman sosial dan pihak polis turut mengesahkan menerima laporan mengenai insiden wanita itu, dilihat diragut seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna hitam.

    Lelaki itu menghampiri dan meragut beg tangan mangsa yang disangkut di atas bahu kanannya menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada tangan kanan selain turut mengalami kerugian kira-kira RM2,800.

  • Lebih sebulan hilang ketika tunai umrah, usaha cari guru diteruskan keluarga

    Lebih sebulan hilang ketika tunai umrah, usaha cari guru diteruskan keluarga

    WALAUPUN telah lebih sebulan dilaporkan hilang ketika mengerjakan umrah, usaha untuk mencari dan mengesan seorang guru, Musthafa Kamal Abdullah, 49, tetap diteruskan oleh keluarganya.

    Anak sulungnya, Muhammad Nabil, 26, berkata dia sendiri akan berangkat ke Makkah pada Jumaat ini (20 Jan) dan akan berada di Tanah Suci selama kira-kira 14 hari.

    Dia yang akan ditemani oleh adiknya, Muaz, 17, dan beberapa rakan ayahnya itu akan terus mencari kerana mereka sekeluarga termasuk ibunya, Zurina Muhammad@Shamsuddin, 49, yakin yang ayahnya masih lagi hidup.

    “Saya sendiri akan mengedarkan poster yang memaparkan wajah babah apabila berada di Makkah nanti setelah selesai mengerjakan umrah dan berharap dengan usaha ini, ia akan membuahkan hasil dengan ayah berjaya dijumpai nanti.

    “Saya turut berharap usaha dan harapan saya sekeluarga untuk menemukan babah akan terus mendapat kerjasama daripada kedua-dua kerajaan (Malaysia dan Arab Saudi),” katanya ketika ditemui semasa lawatan Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan di kediaman guru berkenaan di Sri Gading, Batu Pahat, hari ini.

    Jelas Muhammad Nabil lagi, dia bersama keluarga turut berikhtiar dengan merujuk beberapa pengamal perubatan Islam, serta tidak putus-putus mengadakan solat hajat.

    Sementara itu, Muaz yang bersama Musthafa Kamal yang mengerjakan umrah ketika itu berkata ayahnya disedari hilang apabila tiada di bilik hotel setelah menyatakan dirinya tidak sihat dan tidak keluar untuk mengerjakan tawaf bersama.

    Beliau berkata pada mulanya dia tidak bimbang kerana ayahnya fasih berbahasa Arab dan beranggapan melakukan tawaf sendirian, namun mulai risau apabila tersebar gambar ayahnya yang memakai ihram di dalam kenderaan dipercayai ambulans melalui aplikasi WhatsApp.

    “Mutawif kemudiannya pergi ke hospital untuk mencari babah tetapi diberitahu yang babah telah keluar dan telah dihantar pulang ke hotel, tetapi ketika semakan di hotel mendapati dia tiada di premis itu. Namun pada hari ketiga kehilangan babah, beg silang kepunyaannya dipulangkan ke hotel,” katanya.

    Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi memantau perkembangan Musthafa Kamal yang dilaporkan hilang sejak 12 Disember itu dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

  • Bapa ditahan pukul, ugut bunuh anak perempuan

    Bapa ditahan pukul, ugut bunuh anak perempuan

    POLIS menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul dan mengugut bunuh anak perempuannya berusia 15 tahun.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Fakhrudin Abdul Hamid berkata suspek berusia 58 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu ditahan di Lembah Subang, Selangor pada 10.30 malam, Jumaat lepas, setelah pihaknya menerima laporan daripada remaja itu pada 1.18 tengah hari, hari yang sama.

    “Siasatan awal mendapati suspek telah mengugut menggunakan sebilah parang pemotong daging dan memukul mangsa menggunakan tali pinggang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada mangsa yang leka bermain telefon pintar hingga lewat malam selain sifat bapanya yang panas baran.

    Fakhrudin berkata polis turut merampas sebilah parang pemotong daging berukuran kira-kira 33 sentimeter.

    Suspek direman empat hari bermula semalam hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

  • Yamagami didakwa bunuh bekas Perdana Menteri Jepun

    Yamagami didakwa bunuh bekas Perdana Menteri Jepun

    PEJABAT Pendakwa Raya Daerah Nara pada Jumaat mendakwa Tetsuya Yamagami, 42, atas tuduhan membunuh bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe, lapor Xinhua memetik laporan akhbar Yomiuri Shimbun.

    Dia juga didakwa melanggar undang-undang kawalan senjata Jepun, menurut laporan itu.

    Tuduhan rasmi dibuat selepas Yamagami menjalani perbicaraan psikiatri enam bulan bagi menentukan kesihatan mentalnya.

    Yamagami ditahan di tempat kejadian pada 8 Julai tahun lepas selepas didakwa menembak bekas perdana menteri Abe dua kali dari jarak dekat dengan pistol buatan tangan.

    Abe, 67, ketika itu sedang menyampaikan ucapan di wilayah barat Nara, menjelang pilihan raya dewan negara.

    Yamagami, bekas pekerja Pasukan Bela Diri Maritim, didakwa menyimpan dendam terhadap Gereja Penyatuan kerana meminta derma berjumlah sekitar 100 juta yen (AS$774,000) dari ibunya.

    Pembunuh itu dilaporkan percaya Abe mempunyai kaitan dan mempromosikan organisasi itu.

  • Laporan penuh kebakaran gedung Jakel akhir Januari-Bomba

    Laporan penuh kebakaran gedung Jakel akhir Januari-Bomba

    LAPORAN siasatan kes kebakaran di Wisma Jakel di Seksyen 7, di sini dijangka siap selewat-lewatnya pada hujung bulan ini, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis.

    Katanya laporan itu meliputi hasil analisis  sampel kebakaran yang diambil di setiap sudut bangunan berkenaan serta dokumen daripada pihak Jakel sendiri.

    Selain itu katanya, pihak bomba juga akan menyiasat tentang dakwaan beberapa bahagian dalam wisma berkenaan yang diubah suai tanpa mendapat sijil perakuan bomba (FC) untuk dimasukkan dalam laporan berkenaan.

    “Bangunan tersebut mempunyai FC pada peringkat awal, tapi saya akan semak semula dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan siasat secara mendalam.

    “Jika ada perubahan (pengubahsuaian) mungkin ia masih dalam proses permohonan kerana tempoh pandemik COVID-19 selama dua tahun sebelum ini dan kemungkinan permohonan itu tergantung, tapi semua blok itu ada FC,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid ke JBPM Negeri Selangor dan Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba di Ibu Pejabat JBPM Selangor hari ini.

    Sementara itu, Norazam turut memaklumkan bangunan berkenaan masih selamat untuk diduduki dan digunakan semula kerana tempoh kebakaran yang tidak lama dan hanya melibatkan kemusnahan fabrik.

    ” (Namun) mungkin pihak Jakel perlu mencari pihak tertentu untuk mengukur tahap ketahanan bangunan tersebut. Tapi setakat ini, wisma itu tiada masalah (untuk digunakan semula),” katanya.

    Media sebelum ini melaporkan gedung tekstil terkemuka itu terbakar sebanyak dua kali pada 1 dan 3 Jan lepas membabitkan anggaran kerugian hampir RM100 juta.

    Terdahulu, Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba hari ini menyaksikan seramai 83 pegawai dan anggota bomba dari seluruh negeri Selangor menerima Pingat Kebesaran Jabatan atas kecemerlangan perkhidmatan mereka sepanjang 2020 yang disampaikan Mohammad Hamdan.

    Norazam berkata daripada jumlah tersebut seramai 68 anggota menerima Pingat Cemerlang Bomba manakala selebihnya mendapat Pingat Setia Bomba.

  • Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

    Bekas pelari pecut negara Anita Ali meninggal dunia

    BEKAS pelari pecut wanita negara Anita Ali meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur, pada usia 49 tahun, semalam. 

    Berita pemergian atlet yang pernah beraksi pada Sukan SEA era 80-an itu dikongsi Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Beliau berkata arwah meninggal dunia kira-kira 7.15 petang semalam akibat kanser payudara yang dialaminya sebelum ini, yang merebak ke tulang belakang. 

    “Pada Disember lepas, arwah dimasukkan ke PPUM, dan pihak YAKEB membawa beliau ke hospital swasta untuk imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik), dan kanser beliau didapati semakin parah.

    “Beliau bersungguh-sungguh melawan kanser, namun meninggal dunia pada hari kelahirannya semalam,” katanya. 

    Noorul Ariffin berkata pemergian Anita yang pernah beraksi pada Sukan Asia di China pada 1990 disifatkan sebagai kehilangan besar buat arena olahraga tanah air. 

    Katanya, Anita yang merupakan ahli Yakeb, banyak memberi nasihat kepada atlet muda untuk terus mengharumkan nama negara. 

    Pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur, Anita yang ketika itu berusia 21 tahun bersama gandingannya G. Shanti, Sajaratuldur Hamzah dan Datuk Mumtaz Jaafar memperbaharui rekod kebangsaan acara 4×100 meter dengan catatan 45.37 saat. 

  • Dua lelaki didakwa bunuh penganggur

    Dua lelaki didakwa bunuh penganggur

    DUA lelaki lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penganggur dalam status orang pengawasan polis, pada akhir bulan lepas.

    M. Shart Yanantham Naidu, 28, dan G. Kesevaraj, 31, didakwa bersama-sama dengan sengaja melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian T. Murthi, 37, di Taman Klebang Putra, Chemor, Ipoh antara 10.40 malam hingga 11.28 malam pada 30 Dis lepas.

    Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Jesseca Daimis kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Syahirah Azhar manakala kedua-dua tertuduh yang bekerja sendiri diwakili peguam Datuk Sheelan Arjunan.

  • UMNO diseru ‘buka gelanggang’ pemilihan, tawar semua jawatan

    UMNO diseru ‘buka gelanggang’ pemilihan, tawar semua jawatan

    UMNO diharapkan akan mempertandingkan semua jawatan dalam parti itu sewaktu pemilihan yang perlu diadakan selewat-lewatnya Mei ini.

    Ketika sesi perbahasan sewaktu Perhimpunan Agung Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO hari ini, beberapa perwakilan mahu ‘gelanggang’ pemilihan dibuka dan berpendapat pertandingan itu merupakan amalan demokrasi yang perlu diteruskan.

    Jurucakap Pemuda UMNO Melaka Fairul Nizam Roslan ketika melontarkan perkara itu yakin Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah seorang pemimpin berjiwa besar dan tidak akan menyekat amalan demokrasi dalam parti terbesar Melayu itu.

    “Saya yakin jiwa besar Presiden. Kita tahu siapa yang menjaga parti kita sewaktu ditekan. Pemuda tahu siapa yang banyak berkorban untuk parti, Pemuda tahu siapa yang mengkhianati parti. Jangan gusar dan ragu, buka gelanggang (dan) Pemuda akan membuat pilihan yang tepat,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan itu ketika membahaskan ucapan dasar Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

    Senada dengannya adalah jurucakap Pemuda UMNO Negeri Sembilan Muhammad Sufian Maradzi yang menggesa supaya tiada agenda digerakkan untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan tertentu pada pemilihan nanti.

    “Kami tetap setia kepada perjuangan parti, bahkan kami tak lari. Tetapi janganlah kita diikat supaya jangan adakan pemilihan kerana kami yakin sekiranya kepimpinan kita menjaga parti dengan betul, insya-Allah kepimpinan itu akan terus dipilih oleh perwakilan,” katanya.

    Muhammad Sufian yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata selepas kekalahan teruk yang dialami UMNO dan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sudah tiba masanya UMNO mengubah corak perjalanan parti selari dengan kehendak orang ramai.

    “Kita bukannya nakal, tapi ini pandangan kita. Biarlah kita suburkan demokrasi ini sebagaimana kita menyuburkan demokrasi berparlimen dalam negara kita sebab orang luar termasuk anak-anak muda akan tengok bagaimana perjuangan UMNO selepas PRU15,” katanya.

    Sementara itu, jurucakap Wanita UMNO Pahang Datuk Juhanis Abd Aziz dalam perbahasan ucapan dasar Ketua Wanita Datuk Seri Dr Noraini Ahmad turut meminta supaya semua jawatan dipertandingkan dalam pemilihan UMNO kali ini.

    Sebelum ini ada cadangan dua jawatan tertinggi – Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, tidak dipertandingkan pada pemilihan nanti.

    Namun Ahmad Zahid berkata beliau terbuka untuk dicabar oleh sesiapa sahaja yang berhasrat untuk memegang jawatan nombor satu parti itu.

    Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan pula berkata pertandingan bagi jawatan tertinggi parti sedikit sebanyak boleh menyebabkan perpecahan dalaman tetapi beliau terbuka untuk menerima cabaran daripada mana-mana pihak bagi mempertahankan jawatan itu.

    Pada Perhimpunan Agung Khas UMNO 15 Mei tahun lepas, parti itu berjaya meminda perlembagaannya bagi membolehkan pemilihan diadakan tidak melebihi tempoh enam bulan selepas PRU di bawah Fasal 10.16. – BERNAMA

  • Kes harian Covid-19 di China diramal cecah 3.7 juta minggu ini

    Kes harian Covid-19 di China diramal cecah 3.7 juta minggu ini

    BILANGAN kes harian baharu COVID-19 di China diramalkan boleh mencecah rekod tertinggi 3.7 juta pada Jumaat, ketika negara itu bergelut dengan gelombang jangkitan berikutan penamatan dasar sifar COVID-19, lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa). 

    Menurut ramalan terkini syarikat analitik Airfinity yang berpangkalan di London, jumlah kematian boleh mencecah 25,000 kes sehari dalam tempoh 10 hari lagi.

    Dianggarkan lebih setengah juta orang mungkin maut akibat jangkitan COVID-19 sejak awal Disember dan jumlah itu boleh meningkat kepada 1.7 juta menjelang akhir April.

    Gelombang semasa dijangka berterusan sehingga Mac atau April.

    Bagaimanapun, ramalan sukar dibuat kerana pihak berkuasa telah menghentikan untuk mengeluarkan data mengenainya. 

    Airfinity meramalkan gelombang jangkitan akan memuncak pada awal Mac iaitu sebanyak 4.2 juta jangkitan baharu setiap hari terutamanya di kawasan luar bandar. – BERNAMA