Author: Bernama

  • DSP, inspektor disyaki subahat kemuka invois palsu RM19,980

    DSP, inspektor disyaki subahat kemuka invois palsu RM19,980

    DUA pegawai polis, masing-masing berpangkat deputi superintenden (DSP) dan inspektor direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu, empat tahun lalu.

    Majistret Siti Farah Ibrahim mengeluarkan perintah reman itu terhadap kedua-dua suspek yang ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak, kira-kira 3.15 petang semalam.

    Kedua-dua suspek berumur 49 tahun itu disyaki bersubahat bersama seorang pengurus sebuah syarikat untuk mengemukakan invois dan pesanan kerajaan yang mengandungi butiran palsu berjumlah RM19,980.

    Invois dan pesanan kerajaan itu bagi perkhidmatan dan pembaikan bangunan di IPD Julau, dekat Sibu, iaitu tempat kedua-dua pegawai terbabit bertugas pada 2019.

    Sementara itu, Mahkamah Majistret di Sibu memerintahkan pengurus syarikat berumur 39 tahun yang disyaki bersubahat dengan kedua-dua pegawai polis berkenaan direman selama dua hari bagi membantu siasatan.

  • Permohonan Wan Ji tangguh 7 April

    Permohonan Wan Ji tangguh 7 April

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya menetapkan 7 April ini bagi mendengar permohonan penceramah bebas Wan Ji Wan Hussin untuk merujuk isu perlembagaan melibatkan Akta Hasutan ke Mahkamah Persekutuan.

    Peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Wan Ji ketika dihubungi pemberita mengesahkan tarikh baharu itu selepas mahkamah menangguhkan pendengaran permohonan itu yang sepatutnya berlangsung hari ini.

    “Penangguhan itu akan memberi masa kepada saya untuk lebih bersedia dalam rayuan berkenaan selepas mengambil alih kes tersebut daripada peguam Ramkarpal Singh,” kata Sangeet.

    Wan Ji merayu terhadap hukuman penjara setahun yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Julai 2019 selepas membenarkan rayuan silang pendakwaan untuk menambah hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018.

    Bagaimanapun, mahkamah itu membenarkan permohonan Wan Ji untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara setahun sehingga rayuannya di Mahkamah Rayuan selesai.

    Wan Ji didapati bersalah atas dakwaan menerbitkan perkataan yang menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di Putrajaya pada 10 pagi, 5 Nov 2012.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, bagi  kesalahan kedua dan seterusnya, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun.

  • Polis minta bantuan orang ramai kesan waris kanak-kanak Myanmar yang disyaki didera

    Polis minta bantuan orang ramai kesan waris kanak-kanak Myanmar yang disyaki didera

    ORANG ramai yang mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak lelaki warga Myanmar yang ditemukan Jumaat lepas dengan beberapa kesan kecederaan, duduk bersendirian di tepi jalan simpang tiga berhampiran Pangsapuri Cheras Utama, Batu 9, Cheras, supaya tampil membantu polis.

    Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata polis telah menggunakan pelbagai kaedah dalam usaha mengesan waris kanak-kanak berkenaan, namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

    Beliau berkata selain memeriksa sekitar lokasi kanak-kanak itu ditemukan, polis turut membuat hebahan dan mengedar gambar kanak-kanak itu dalam kumpulan Whatsapp penduduk dan masjid di kawasan berhampiran.

    Bercakap pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 19/13 sempena Tahun Baharu Cina 2023 peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di Kajang, Mohd Zaid berkata polis turut meminta bantuan jurubahasa Myanmar untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak yang berumur sekitar empat tahun itu, namun masih tidak membuahkan hasil.

    “Dia (kanak-kanak) tidak mahu bercakap tetapi hanya boleh menulis angka satu hingga 10 dalam bentuk perkataan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Kanak-kanak itu dilihat masih trauma,” katanya.

    Kanak-kanak yang disyaki mangsa dera itu telah diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Hulu Langat.

  • Keluarga guru yang dilaporkan hilang di Makkah terus dibantu

    Keluarga guru yang dilaporkan hilang di Makkah terus dibantu

    KERAJAAN negeri Johor akan terus berusaha menghulur pelbagai bentuk bantuan kepada keluarga seorang guru Musthafa Kamal Abdullah, 49, yang dilaporkan hilang di tanah suci Makkah, bulan lepas.

    Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata bantuan awal sudahpun disalurkan untuk keperluan perjalanan anggota keluarga guru berkenaan ke Makkah bagi urusan pencarian.

    “Sekiranya ada pertambahan pembiayaan yang perlu, boleh memaklumkan kepada kerajaan negeri termasuk kepada wakil rakyat kawasan dan kita sentiasa terbuka untuk membantu,” katanya kepada pemberita selepas lawatannya ke rumah Musthafa di Sri Gading, Batu Pahat, hari ini.

    “Kerajaan negeri juga telah memaklumkan yang urusan pentadbiran (cuti) bagi Musthafa dan anaknya telah dipermudahkan untuk tujuan melaksanakan pencarian berkenaan,” tambahnya.

    Jumaat lepas, Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata Ketua Perwakilan Malaysia (Malawakil) di Arab Saudi kini memantau perkembangan usaha pencarian Musthafa, yang dilaporkan hilang sejak 12 Dis lepas ketika mengerjakan umrah dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu.

  • Dua lelaki ditahan bawa petrol tanpa kebenaran

    Dua lelaki ditahan bawa petrol tanpa kebenaran

    AGENSI Penguatkasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor menahan sebuah bot penumpang kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran disyaki minyak petrol di kedudukan 0.2 batu nautika utara Pulau Indah, Klang, 11.45 pagi, semalam.

    Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata hasil pemeriksaan awal mendapati ia didaftarkan untuk membawa penumpang dan dikendalikan oleh dua lelaki warga tempatan masing-masing berumur 46 dan 49 tahun.

    “Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 26 tong jenis jerry can’mengandungi 640 liter cecair disyaki minyak petrol dianggarkan berharga RM 1,312 yang diletakkan di bahagian belakang bot tersebut.

    “Siasatan awal ke atas kru bot mendapati, mereka membeli minyak dari stesen minyak di Pelabuhan Klang dan ingin menuju ke Pulau Ketam. Kesemua barangan berserta bot dan kru ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

    Siva Kumar berkata kes berkenaan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan menyalahgunakan lesen bot dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana membawa barang kawalan tanpa kebenaran.  

  • Tiada ‘perang dingin’ antara kerajaan Terengganu dan Pusat

    Tiada ‘perang dingin’ antara kerajaan Terengganu dan Pusat

    MENTERI Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan wujud ‘perang dingin’ antara pimpinan kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan.

    Ia susulan ketidakhadiran beliau dan barisan pemimpin negeri pada program lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Terengganu, Khamis lalu.

    Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang masalah dengan kerajaan pusat dan bersedia memberikan kerjasama dalam apa juga urusan terutama yang melibatkan kepentingan bersama.

    “Apa yang berlaku ialah masalah komunikasi dan saya pun tak mahu panjangkan masalah ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tajin Sejahtera di Kampung Tajin, Hulu Terengganu, di Kuala Berang, hari ini.

    Menurutnya, beliau dan pemimpin negeri tidak hadir ke program lawatan tersebut kerana tidak dimaklumkan bahawa terdapat urusan khusus yang melibatkan kerajaan negeri dalam program lawatan Perdana Menteri, tersebut. — LAGI

    Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berkata pihaknya hanya menyalurkan bantuan dari aspek logistik serta pengangkutan seperti yang diminta oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO).

    “Amalan sebelum ini ialah apabila PMO menghubungi kerajaan negeri untuk apa juga urusan, kita dimaklumkan dengan jelas apa tujuan kedatangan dan siapa yang dilibatkan.

    “Tetapi dalam kunjungan Perdana Menteri baru-baru ini, saya tak dimaklumkan ada urusan khusus dengan kerajaan negeri. Oleh kerana itu, kita hanya membantu dari segi logistik dan pengangkutan… tidak diminta lain daripada itu,” katanya.

    Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata setakat ini kerajaan negeri juga belum dipanggil untuk sebarang mesyuarat rasmi dengan kerajaan pusat.

    Bagaimanapun, beliau dijangka menghadiri majlis syarahan amanat Perdana Menteri bersama ketua kerajaan negeri dan menteri-menteri Kabinet, Khamis ini di ibu negara.

    “Saya difahamkan negeri-negeri lain juga belum dipanggil untuk sebarang mesyuarat dengan perdana menteri, yang ada pada Khamis ini dijemput semua menteri besar bersama menteri Kabinet untuk hadir pada majlis syarahan amanat Khamis ini di Kuala Lumpur,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Samsuri berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan UMNO Terengganu bahawa berlaku pengagihan wang secara berleluasa oleh PAS kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu.

    “Itu adalah hak yang diberi dalam undang-undang PRU kepada mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dalam apa juga alasan.

    “Petisyen akan diuruskan dengan cara undang-undang oleh semua pihak,” katanya.

    Pada 3 Jan lalu, Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memfailkan petisyen memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu.

    Menurut Ahmad, petisyen yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu itu dibuat kerana beliau mendakwa berlakunya pengagihan wang secara berleluasa di ketiga-tiga kawasan Parlimen berkenaan. – BERNAMA

  • ‘Adik luah rasa bimbang sebelum kapal kargo hilang’

    ‘Adik luah rasa bimbang sebelum kapal kargo hilang’

    “KAK, hari-hari kami tidur pakai jaket keselamatan,” luah Derrent Littor, 22, anak kapal kapal kargo MV Dai Cat 06 kepada kakaknya Lyli.

    Lyli, 28, berkata, adiknya yang mula bertugas sebagai kelasi kapal tersebut pada 28 Oktober lepas, meluahkan kebimbangan itu apabila kargo muatan besi mula dimuatkan ke dalam kapal tersebut sebelum ia hilang sejak 9 Januari lepas.

    Katanya kehilangan kapal kargo itu membuatkan keluarganya tertanya-tanya apa terjadi kepada Derrent dan anak kapal yang lain, sekali gus meminta supaya pemilik kapal, ejen dan pemilik kargo kapal itu tampil menjelaskan mengenai situasi kapal tersebut serta bekerjasama dalam usaha pencarian.

    “Pihak berkuasa seperti Maritim (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut ada menyalurkan maklumat (kepada keluarga) tetapi pemilik kapal, ejen serta pemilik kargo tidak mahu memberi kerjasama apabila dihubungi.

    “Saya mohon supaya semua pihak beri kerjasama dan perhatian kepada usaha pencarian ini kerana melibatkan nyawa lima orang yang keluarga sedang tunggu kepulangan mereka,” katanya pada sidang media di Kampung Melawa, Kota Kinabalu, hari ini.

    Pada 9 Januari lepas, kapal kargo didaftarkan di Malaysia itu yang membawa muatan batang paip bernilai RM726,205 berserta lima kru, dipercayai hilang di perairan Indonesia dan laporan berhubung kejadian itu dibuat ejen kapal tersebut pada hari yang sama.

    Selain Derrent, dua lagi anak kapal warga Malaysia terdiri pegawai kanan Mohammad Syafarizan Mohd Noor, 24, dan kelasi Mohammad Sudeh Sudin, 20, manakala dua lagi kru warga Indonesia iaitu nakhoda kapal dikenali sebagai Adi, 43, serta ketua jurutera Damai Papane Ole, 57.

    Lyli, yang bertugas dalam sektor perbankan, berkata, kali terakhir adik bongsunya itu dapat dihubungi pada 1 Januari lepas ketika kapal tersebut berada di sekitar kawasan Singapura, tetapi tiada perkara pelik yang dibualkan adiknya bersama ahli keluarga.

    “Pada 1.45 tengah hari itu adik saya beritahu di Singapura beliau beli ‘line roaming’ dan pada 2 petang beliau buat panggilan video dengan kami, pada 5 petang hari yang sama saya hantar mesej tetapi tiada balasan dan hingga hari ini saya cuba telefon nombor beliau tetap tiada jawapan,” katanya.

    Menurutnya sepanjang bertugas sebagai kelasi kapal tersebut, Derrent dakwanya tidak gembira dan meluahkan beberapa kebimbangan mengenai kapal itu, tetapi adiknya itu tetap meneruskan tugas bagi memenuhi kontrak bersama syarikat berkenaan yang akan tamat pada April ini.

    Seorang lagi kakak Derrent, Sandra, 32, berkata, beliau berharap adik bongsunya daripada enam beradik itu akan selamat pulang ke pangkuan keluarga walau apapun kejadian yang menimpa.

    “Derrent mengambil kerja ini kerana beliau mempunyai perancangan masa depan dalam kariernya sebagai pelaut. Saya mohon pada semua agar jangan pinggirkan kes ini, tolong cari dan beri kerjasama untuk bawa pulang anak kapal ini,” katanya.

  • Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    Peras ugut pemilik salun kecantikan, tiga lelaki menyamar pegawai KKM ditahan

    TAKTIK licik tiga lelaki yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memeras ugut pemilik premis salun kecantikan sekitar Lembah Klang, akhirnya terbongkar selepas ditahan dalam serbuan di Bandar Puteri, Puchong, Selangor pada Khamis lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. Anbalagan berkata kesemua suspek berusia 38 hingga 48 tahun itu, ditahan pada jam 12 tengah hari, hasil risikan serta operasi yang dijalankan selama dua minggu.

    Dalam serbuan itu, katanya polis turut merampas baju dan topi yang tertera tulisan KKM serta beberapa peralatan selain produk kesihatan.

    “Siasatan awal mendapati kumpulan ini menjadikan salun kecantikan yang tidak mempunyai lesen daripada KKM, bagi menjalankan rawatan kecantikan menggunakan peralatan perubatan dan penjualan ubat berjadual sebagai mangsa.

    “Mereka akan mengugut untuk mengambil tindakan saman atau denda RM200,000 serta penjara kepada pemilik premis yang gagal mempamerkan lesen,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di sini, hari ini.

    Anbalagan berkata pemilik premis yang ketakutan kebiasanya akan membuat bayaran kepada suspek bagi mengelak daripada dikenakan tindakan, malah ada yang sanggup membayar sehingga RM10,000.

    “Sindiket ini dipercayai aktif sejak September tahun lepas dan setakat ini siasatan mendapati lebih 20 premis telah menjadi mangsa, iaitu di sekitar kawasan Serdang, Petaling Jaya, Selayang, Shah Alam Bukit Jalil, Sentul dan Kuala Lumpur melibatkan kerugian RM42,000.

    Anbalagan berkata setakat ini, pihaknya menerima enam laporan polis dan menasihatkan mana-mana pemilik salun yang menjadi mangsa untuk untuk tampil membuat laporan, bagi membolehkan tindakan selanjutnya dijalankan.

    Beliau berkata dua daripada tiga lelaki yang ditahan itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan kes curi serta pecah rumah dan kesemua mereka akan disambung reman hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen Seksyen 385 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan. – BERNAMA

  • Tiga mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

    Tiga mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

    TIGA individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di Melaka hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM147,400.

    Nurul Ain Shamsudin, 30, Asmida Shahfika Abdul Rahman, 25, dan Muhammad Hafizi Ab Jamal, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

    Nurul Ain dituduh sebagai Pengurus Syarikat Zaharain Enterprise melalui Muhammad Fauzi Abdul Latif, memberi suatu dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama perusahaan itu bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM35,900 kepada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso Melaka M. Nittiya.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Perkeso Melaka, Jalan Persekutuan MITC, Ayer Keroh pada 3 Jun 2021.

    Asmida Shahfika yang merupakan pemilik Syarikat Roti Warisan Enterprise pula dituduh atas pertuduhan sama membabitkan jumlah RM36,900 di tempat sama pada 19 Mei 2021.

    Tuntutan palsu itu adalah dengan mengemukakan nama pekerja baharu sedangkan senarai nama pekerja baharu itu bukan merupakan pekerja syarikat masing-masing serta penama tidak layak memohon di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0.

    Ketiga-tiga tertuduh didakwa di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu itu dapat dinilai atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Ikhwan Zaudi Nordin dan Mohd Yasri Yahya, yang memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap Nurul Ain dan Asmida Shahfika manakala jaminan RM40,000 kepada Muhammad Hafizi.

    Pendakwaan turut mengemukakan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri pada minggu pertama setiap bulan di mana-mana pejabat SPRM berhampiran dan tidak mengganggu saksi sepanjang pendakwaan berlangsung.

    Mahkamah kemudian mengenakan jaminan RM8,000 masing-masing kepada Nurul Ain dan Asmida Shahfika manakala jaminan RM20,000 dikenakan kepada Muhammad Haifizi serta membenarkan syarat tambahan pihak pendakwaan.

    Nurul Ain dan Asmida Shahfika diwakili peguam Haifzah Sani manakala Muhammad Hafizi tidak diwakili peguam. Kes akan disebut semula pada 16 Feb depan.

  • Dua lelaki didenda RM20,000 laga ayam

    Dua lelaki didenda RM20,000 laga ayam

    DUA lelaki, masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu hari ini, selepas mengaku bersalah terlibat dalam kes laga ayam, tiga tahun lepas.

    Hakim Nazlyza Mohamad Nazri membuat keputusan itu selepas Mohd Nazir Mohd Dagang, 47, dan Mohd Raimi Manaf, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 32 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyebabkan satu perlagaan haiwan iaitu ayam di gelanggang laga ayam sebuah bangsal belakang rumah di Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Nerus pada 4.15 pagi, 3 Sept 2020.

    Hakim menetapkan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda berkenaan.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Terengganu Mohd Shahihan Mohd Tahar dan Fazlizan Ishak Khan.

    Mohd Nazir yang merupakan pengusaha keropok lekor diwakili peguam Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad, manakala Mohd Raimi, seorang juruteknik, diwakili peguam Najmi Adila Mohd Nasir.