Author: Bernama

  • Kestabilan politik penting untuk Malaysia bergerak ke hadapan

    Kestabilan politik penting untuk Malaysia bergerak ke hadapan

    PRASYARAT paling penting bagi Malaysia pada masa ini ialah kestabilan politik untuk bergerak ke hadapan dengan berkesan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

    Baginda bertitah, kestabilan politik akan membolehkan perancang memberi tumpuan pada jangka panjang dan melaksanakan dasar dan langkah yang perlu untuk membina keyakinan pelabur.

    “Pengukuhan institusi kita adalah satu lagi keutamaan kerana ia akan memastikan pelaksanaan berkesan pelbagai dasar yang akan mendorong kita ke hadapan,” titah baginda ketika melancarkan buku ‘Malaysia’s Leap Into The Future: The Building Blocks Towards Balanced Development’ di Institut Asia-Eropah Universiti Malaya di Kuala Lumpur, hari ini.

    Sultan Nazrin bertitah, Malaysia mempunyai asas institusi yang kukuh dalam pelbagai aspek dan perlu mempunyai iltizam politik untuk memacu institusi negara ke hadapan secara progresif.

    Baginda bertitah, negara perlu mencari jalan alternatif untuk makmur, membawa pendekatan baharu seperti pekeliling, ekonomi donat atau misi, untuk membina ekonomi yang berfungsi untuk planet ini serta penduduknya.

    Sultan Nazrin bertitah, model pembangunan negara juga perlu benar-benar inklusif kerana pendekatan dalam bidang pendidikan dan pembangunan modal insan kepada kemiskinan dan ketidaksamarataan perlu melibatkan penyertaan semua rakyat Malaysia tanpa mengira etnik dan agama.

    “Kita semua adalah sebahagian daripada kejayaan Malaysia, pada masa kini dan masa lalu seperti yang telah kita bina kemakmuran bersama dan untuk masa depan, apabila kita menghadapi cabaran yang kompleks bersama-sama,” titah baginda.

    Menjelaskan buku itu, Sultan Nazrin bertitah, fokus utamanya ialah mengenai cara-cara untuk menggalakkan perubahan struktur yang perlu bagi merancakkan dan mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara, meliputi topik daripada implikasi ciri-ciri populasi semasa dan unjuran perubahan demografi kepada pembiayaan pembangunan ekonomi.

    “Ia mengambil kira transformasi yang perlu dilakukan dalam sektor pertanian untuk mengukuhkan sekuriti makanan kita dan yang diperlukan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan untuk memastikan kita mengikuti perubahan teknologi dan lain-lain,” katanya.

    Editor buku itu ialah Profesor Ekonomi Universiti Malaya Profesor Dr Rajah Rasiah, mendiang Profesor Dr Cheong Kee Cheok dan Tan Sri Dr Kamal Salih. – Bernama

  • Najib gagal gugurkan hakim Mahkamah Rayuan

    Najib gagal gugurkan hakim Mahkamah Rayuan

    DATUK Seri Najib Tun Razak gagal dalam usahanya untuk menggugurkan hakim Mahkamah Rayuan daripada menganggotai panel hakim yang mendengar permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman terhadapnya kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

    Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli berkata mahkamah tidak diyakinkan dengan hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa Hakim Datuk Abu Bakar Jais, yang merupakan hakim Mahkamah Rayuan seharusnya menarik diri daripada mendengar permohonan semakan itu.

    “Pada pandangan kami, undang-undang adalah jelas bahawa Ketua Hakim Negara (Tun Tengku Maimun Tuan Mat) diberikan kuasa budi bicara untuk melantik hakim Mahkamah Rayuan (Abu Bakar) untuk menganggotai panel Mahkamah Persekutuan, menurut Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

    “Atas alasan yang sama, kami menolak hujah bahawa Hakim Abu Bakar tidak sepatutnya terlibat dalam pendengaran permohonan semakan ini.

    “Oleh itu, bantahan awal ditolak. Kami akan terus mendengar permohonan itu,” kata Abdul Rahman.

    Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

    Terdahulu, Muhammad Shafee mengemukakan bantahan awal atas alasan Abu Bakar tidak sepatutnya berada dalam panel hakim untuk mendengar permohonan itu.

    Beliau mahu hakim itu menarik diri, dengan menyatakan bahawa hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya menjadi panel hakim dalam prosiding semakan tersebut.

    Muhammad Shafee berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berhujah bahawa pengaturan untuk memilih hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

    Tambahan pula, beliau berkata Tun Tengku Maimun telah memenuhi keperluan Perkara 122 dengan pemilihan Abu Bakar sebagai anggota panel hakim.

    Najib dalam usaha untuk membatalkan keputusan dibuat lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

  • Kalimah ALLAH: 3 majlis agama Islam negeri jadi ‘amicus curiae’

    Kalimah ALLAH: 3 majlis agama Islam negeri jadi ‘amicus curiae’

    MAHKAMAH Rayuan hari ini membenarkan tiga majlis agama Islam negeri bertindak sebagai ‘amicus curiae’ (rakan mahkamah) dalam rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak penggunaan kalimah Allah oleh wanita beragama Kristian dari Sarawak bagi tujuan pendidikan agamanya.

    Tiga majlis itu ialah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

    ‘Amicus curiae’ bukan pihak dalam saman undang-undang tetapi pihak yang dibenarkan untuk membantu mahkamah dengan memberi maklumat atau nasihat berkenaan beberapa perkara undang-undang yang secara langsung kepada kes itu.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam, Datuk S Nantha Balan dan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan ketiga-tiga majlis agama itu untuk bertindak sebagai ‘amicus curiae’ dalam rayuan tersebut.

    Yaacob, yang mengetuai panel itu bagaimanapun berkata, ketiga-tiga majlis itu perlu memohon kepada panel hakim yang akan mendengar rayuan berkenaan sama ada mereka boleh berhujah di mahkamah semasa pendengaran rayuan.

    Terdahulu, Yaacob membenarkan majlis agama itu menarik balik permohonan mereka untuk mencelah dalam rayuan tersebut dan membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau juga tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.

    Pencelah ialah seseorang yang campur tangan sebagai pihak ketiga dalam prosiding undang-undang.

    Dalam prosiding yang dijalankan secara dalam talian, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili majlis-majlis itu memberitahu mahkamah bahawa susulan perbincangan dengan pihak-pihak dalam rayuan itu, telah dipersetujui bahawa majlis-majlis itu menarik balik permohonan sebagai pencelah dan sebaliknya akan bertindak sebagai ‘amicus curiae’.

    Peguam Lim Heng Seng yang mewakili Jill Ireland Lawrence Bill, wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, mengesahkan dan memohon mahkamah membatalkan permohonan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula. Beliau turut juga memohon kos.

    Peguam Persekutuan, Noor Atiqah Zainal Abidin yang mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tiada bantahan terhadap penarikan balik permohonan pencelah dan juga agar majlis agama itu tampil sebagai ‘amicus curiae’.

    Pada 10 Mac 2021, Mahkamah Tinggi di Putrajaya memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman Jill Ireland.

    Dalam permohonannya, wanita itu antara lain memohon perisytiharan bahawa adalah hak perlembagaannya untuk mengakses penerbitan Kristian dalam menjalankan haknya untuk mengamalkan agama dan hak untuk pendidikan, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

    Mahkamah Tinggi juga memutuskan bahawa arahan KDN pada 1986 yang melarang penggunaan perkataan ‘Allah, Baitullah, Kaabah dan solat’ oleh orang bukan Islam adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

    KDN dan kerajaan kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 15 Mac tahun yang sama.

    Pengurusan kes untuk rayuan kerajaan ditetapkan pada 26 Januari. – Bernama

  • Lelaki didenda RM10,000 sebar gambar lucah di Telegram

    Lelaki didenda RM10,000 sebar gambar lucah di Telegram

    AKIBAT membuat dan memulakan penghantaran komunikasi imej lucah menerusi aplikasi Telegram tiga tahun lepas, seorang lelaki didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar hari ini.

    Hakim Rohaida Ishak menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Asyraf Ahmad Suhaimi , 28, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas perbuatan tersebut terhadap seorang individu dengan niat menyakiti hati orang lain.

    Mahkamah memerintahkan OKS dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. OKS membayar denda.

    Komunikasi itu dibaca di sebuah rumah di Persiaran Putri 3/16, Taman Chandan Putri 3, di Kuala Kangsar  pada 10 pagi, 9 Jan 2020.

    Bapa seorang anak itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.

    Mengikut fakta kes, pengadu membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) selepas berasa sakit hati kerana komunikasi yang dihantar OKS menunjukkan gambarnya dalam keadaan mengaibkan.

    Bertindak daripada aduan tersebut, sepasukan anggota polis dan pegawai MCMC membuat serbuan di sebuah rumah di Taiping serta merampas barangan antaranya telefon bimbit dan unit kad sim dan menemukan komunikasi lucah berkenaan hasil analisis forensik.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa MCMC Siti Hajar Sulaiman manakala OKS tidak diwakili peguam.

  • Saman fitnah: Muhyiddin fail pernyataan pembelaan 17 Jan

    Saman fitnah: Muhyiddin fail pernyataan pembelaan 17 Jan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin telah memfailkan pernyataan pembelaan dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur, kelmarin.

    Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

    Peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Anwar selaku plaintif berkata semasa pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Penolong Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar hari ini, mahkamah mengarahkan anak guamnya memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan pada 16 Feb ini.

    “Mahkamah menetapkan pengurusan kes seterusnya pada 23 Feb secara dalam talian di hadapan penolong pendaftar yang sama,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

    Anwar turut diwakili peguam Jaden Phoon Wai Ken dan Wong Guo Jin manakala peguam Chetan Lachman Jethwani mewakili Muhyiddin sebagai defendan.

    Dalam saman itu, Anwar, 75, mendakwa pada 5 Dis lepas, Muhyiddin, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) telah membuat kenyataan fitnah itu dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN, Datuk Azman Nasrudin bagi Pilihan Raya Umum ke-15 dengan ratusan pengunjung telah menghadiri ceramah tersebut.

    Sehubungan itu, Anwar menuntut Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, ganti rugi pampasan selain perintah injunksi untuk menghalangnya daripada terus menerbitkan atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

  • Peguam Najib bantah komposisi panel hakim

    Peguam Najib bantah komposisi panel hakim

    PEGUAM utama Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding permohonan bekas perdana menteri itu untuk menyemak semula keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang mengekalkan sabitan serta hukuman kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dengan membantah panel hakim hari ini.

    Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah membantah hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais menganggotai panel hakim yang bersidang di Mahkamah Persekutuan bagi mendengar permohonan semakan itu.

    Peguam itu berkata Abu Bakar tidak seharusnya menganggotai panel yang mendengar permohonan tersebut dan mahu hakim itu menarik diri atas alasan hanya hakim Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya mendengar permohonan semakan itu.

    Muhammad Shafee berkata mengikut Seksyen 74 Akta Mahkamah Kehakiman 1974, komposisi hakim Mahkamah Persekutuan mestilah terdiri daripada semua hakim Mahkamah Persekutuan.

    “Ini bukan soal peribadi kerana saya mengenali hakim Abu Bakar sejak dalam perkhidmatan lagi,” katanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram berkata hakim Mahkamah Rayuan dibenarkan bersidang di Mahkamah Persekutuan di bawah Perkara 122 (2) Perlembagaan Persekutuan.

    Beliau berhujah bahawa bantahan terhadap hakim perlu menunjukkan bahaya berlakunya berat sebelah.

    Abu Bakar antara panel lima hakim yang diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abdul Rahman Sebli untuk mendengar permohonan semakan Najib itu.

    Hakim lain dalam panel itu ialah hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Nordin Hassan.

    Najib sedang berusaha untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat pada 23 Ogos tahun lepas dalam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

    Sithambaran berhujah bahawa Ketua Hakim Negara telah memenuhi keperluan Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan dengan pemilihan Abu Bakar menganggotai panel hakim itu.

    Usaha pihak pembelaan untuk menentukan anggota panel hakim, kata Sithambaram, adalah suatu yang ‘menghina’.

    “Kami di sini tidak boleh memberitahu mahkamah bagaimana menentukan anggota panel. Itu suatu yang menghina,” kata Sithambaram.

    Beliau berkata pihak pembelaan tidak sepatutnya mendapatkan sebarang layanan istimewa berhubung prosiding itu.

    Sementara itu, Muhammad Shafee berhujah bahawa Tun Tengku Maimun tidak menyatakan sebab mengapa Abu Bakar dipilih menganggotai panel hakim itu.

    Peguam itu berkata terdapat tujuh hakim Mahkamah Persekutuan pada masa ini yang boleh dipilih untuk menganggotai panel hakim hari ini.

    “Terdapat beberapa lagi hakim yang boleh dipilih daripada tujuh hakim Mahkamah Persekutuan itu,” katanya.

  • Mahkamah benar Isa dapatkan sementara pasport tunai umrah

    Mahkamah benar Isa dapatkan sementara pasport tunai umrah

    MAHKAMAH Rayuan membenarkan permohonan bekas pengerusi Felda Mohd Isa Abdul Samad untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menunaikan umrah pada 10 Feb ini.

    Kamaludin Md Said yang mengetuai panel tiga hakim membenarkan permohonan Isa, 73, selepas mendengar hujahan peguamnya, Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff.

    Baharudeen berkata anak guamnya akan berangkat menunaikan umrah pada 10 Feb hingga 23 Feb ini.

    “Anak guam akan pulang ke Malaysia pada 23 Feb ini dan saya mohon pasport dikembalikan pada 7 Mac,” kata Baharudeen yang hadir bersama peguam Abu Bakar Isa Ramat.

    Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak membantah permohonan tersebut yang difailkan pada 10 Jan lepas.

    Kamaludin yang bersidang bersama Hashim Hamzah dan Azman Abdullah berkata Isa selaku perayu perlu mengembalikan pasportnya kepada mahkamah pada 7 Mac ini.

    Pada Mac tahun lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Isa untuk mendapatkan sementara pasport bagi membolehkan beliau menghadiri majlis konvokesyen anak tirinya di sebuah universiti di United Kingdom.

    Pada 3 Feb 2021, Isa disabitkan atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

    Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapinya menjadikan keseluruhan 54 tahun serta denda RM15.45 juta atau dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.

    Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali (kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan semua hukuman penjara itu berjalan serentak.

    Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sehingga rayuan selesai dan menaikkan jumlah jaminan daripada RM800,000 kepada RM1.5 juta dan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap 1 hari bulan sehingga rayuan selesai.

    Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memfailkan rayuan terhadap sabitan serta hukuman penjara dan denda dikenakan terhadapnya pada 4 Feb 2021 dan rayuan berkenaan akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 7 Mac ini.

  • Laporan penuh tragedi tanah runtuh Batang Kali dijangka siap hujung Januari

    Laporan penuh tragedi tanah runtuh Batang Kali dijangka siap hujung Januari

    LAPORAN penuh tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor pada Disember lepas dijangka siap hujung bulan ini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

    Beliau berkata beberapa isu telah dibangkitkan berhubung insiden tersebut selepas laporan awal dibentangkan di Kabinet awal bulan ini, selain perlu memasukkan laporan pihak-pihak yang terlibat seperti Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan dan polis.

    “Laporan penuh insiden berkenaan akan dibentangkan ke Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan tahun baharu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) di Wisma Sumber Asli Putrajaya hari ini.

    Seramai 31 orang terkorban manakala 61 lagi terselamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang terlibat dalam kejadian pada 16 Dis lepas.

  • Empat mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

    Empat mengaku tidak bersalah kemuka tuntutan palsu Program Penjana Kerjaya

    EMPAT individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi Program Penjana Kerjaya 2.0 membabitkan RM208,400.

    Keempat-empat tertuduh itu ialah Mohamad Firdaus Fauzi, 28, Muhammad Ammar Roslan, 31, Muhammad Danish Fauzi, 22, dan Lajis Majid, 64,

    Mohamad Firdaus berdepan tiga pertuduhan dengan dua pertuduhan membabitkan pemberian dokumen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan FF Kudrat Enterprise bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 Perkeso berjumlah RM30,500 dan RM26,400.

    Bagi pertuduhan ketiga pula, Mohamad Firdaus mengemukakan tuntutan itu atas nama Perusahaan Hijrah Legacy Enterprise, menuntut insentif berjumlah RM36,900.

    Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Wisma Perkeso, Jalan Persekutuan Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh pada 26 Feb, 17 Mei dan 4 Jun 2021.

    Muhammad Ammar pula mengemukakan tuntutan atas nama Perusahaan Ammarsaniah Enterpise melibatkan RM48,700 pada 20 Mei 2021 manakala Muhammad Danish mengemukakan tuntutan sebanyak RM36,400 atas nama Perusahaan Dniez Enterprise pada 3 Jun 2021, sementara Lajis mengemukakan tuntutan sebanyak RM55,900 atas nama syarikat LBM Niaga Enterprise pada 8 Mei 2021 di tempat sama.

    Keempat-empat mereka dituduh mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda jumlah jika ia dapat dinilai atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

    Timbalan Pendakwa Raya Irwan Shah Abdul Samat menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Mohamad Firdaus dan RM15,000 bagi pertuduhan ketiga terhadapnya.

    Irwan Shah juga menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 kepada Muhammad Ammar, RM10,000 kepada Muhammad Danish dan RM25,000 kepada Lajis.

    Beliau turut mengemukakan syarat tambahan iaitu setiap tertuduh perlu menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah jika ada dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM Melaka sekali sebulan.

    Hakim Elesabet Paya Wan membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Mohamad Firdaus dan RM10,000 bagi pertuduhan ketiga terhadap tertuduh.

    Beliau juga membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 terhadap Muhammad Ammar, RM8,000 terhadap Muhammad Danish dan RM20,000 kepada Lajis dan membenarkan syarat tambahan seperti dipohon Timbalan Pendakwa Raya.

    Muhammad Ammar diwakili peguam Hafizah Sani manakala tiga yang lain tidak diwakili peguam dan kes akan disebut semula pada 23 Feb depan.

  • Pelajar UPM hilang selepas pergi solat Jumaat

    Pelajar UPM hilang selepas pergi solat Jumaat

    POLIS memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) yang dilaporkan hilang di universiti itu sejak Jumaat lepas.

    Ketua Polis Daerah Serdang ACP A. A. Anbalagan berkata pelajar itu dikenali sebagai Mohd Irfan Hakimi Azhar, 22, beralamat di Bilik Asrama, Blok Delima, Kolej Canselor, UPM, Serdang.

    Beliau berkata bapanya membuat laporan polis pada Isnin lepas dan sebelum kehilangan pelajar itu, bapa mangsa ada menghubungi anaknya untuk bertanyakan khabar namun tiada sebarang respons pada hari sama.

    “Bapanya ada menghubungi Mohd Irfan pada 9 pagi tetapi tiada jawapan. Pada hari sama, jam 2 petang, bapanya telah meminta bantuan adiknya (adik kepada bapa mangsa iaitu pakcik mangsa) yang tinggal berdekatan UPM untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    “Adik kepada bapa mangsa telah menghubungi rakan sebilik Mohd Irfan yang hanya dikenali sebagai Oh (pelajar jurusan Pengajian Pengguna, UPM) dan menjelaskan anaknya itu dilihat kali terakhir semasa hendak pergi solat Jumaat menaiki motosikal jenis Yamaha LC135 bernombor pendaftaran RAC 5095,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata sehingga kini, Mohd Irfan masih belum pulang ke rumah atau balik ke bilik penginapan di UPM, Serdang serta masih gagal dihubungi oleh ahli keluarga.

    Anbalagan berkata Mohd Irfan mempunyai kad pengenalan bernombor 011113-10-0213, berketinggian 171 sentimeter seberat 65 kilogram dan mempunyai nombor telefon 013-6831710.

    “Mohd Irfan berkulit cerah, kurus, rambutnya tebal dan lurus, memakai cermin mata dan tidak mempunyai sebarang parut atau tatu pada badannya,” katanya.

    Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kehilangan Mohd Irfan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Kipli Rajak di talian 019-6177188 atau  mana-mana balai polis berdekatan.

    — BERNAMA