Author: Bernama

  • Mahkamah Tinggi tolak saman empat ADUN Pulau Pinang

    Mahkamah Tinggi tolak saman empat ADUN Pulau Pinang

    MAHKAMAH Tinggi Georgetown hari ini menolak saman empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang terhadap DUN negeri itu dan Speakernya Datuk Law Choo Kiang berhubung usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.

    Pesuruhjaya Kehakiman Azizan Md Arshad menolak saman ADUN Sungai Acheh Zulkifli Ibrahim, Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang), tanpa perintah mengenai kos.

    “Mahkamah Persekutuan telah pun memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang adalah sah jadi mahkamah ini terikat dengan keputusan itu,” katanya ketika menyampaikan keputusan berkenaan hari ini.

    Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

    Bagi permohonan plaintif bahawa usul terhadap mereka adalah salah, Azizan berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan kerana perkara itu terletak di bawah bidang kuasa DUN.

    Beliau juga berkata mahkamah tidak boleh memberikan injunksi terhadap defendan untuk menghalang mereka daripada membincangkan usul meminta plaintif mengosongkan kerusi mereka semasa persidangan DUN.

    “Mahkamah tidak boleh menghalang defendan daripada menggunakan kuasa yang diberikan kepada mereka di bawah perlembagaan negeri. Mahkamah tidak boleh campur tangan dan tidak mempunyai kuasa ke atas pengurusan dalaman Dewan Undangan Negeri,” katanya.

    Selepas Azizan menyampaikan keputusannya, Chetan Jethwani yang mewakili keempat-empat ADUN berkenaan memberitahu mahkamah bahawa mereka berhasrat untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

    “Kami juga akan mengemukakan permohonan injunksi untuk menghalang defendan daripada membentangkan usul sehingga rayuan ini selesai,” katanya.

    Pada 16 Dis 2022, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan empat ADUN Pulau Pinang itu untuk mendapatkan kebenaran bagi mencabar DUN berkenaan daripada meluluskan usul undang-undang antilompat parti.

    Pada 2020, keempat-empat ADUN tersebut memfailkan writ saman terhadap DUN Pulau Pinang dan Speakernya bagi mencabar usul yang dibentang pada Oktober 2020 agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing dan pilihan raya kecil diadakan.

    Sementara itu, semasa ditemui di luar mahkamah, Chetan berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu selepas cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

    “Ini kerana kami percaya hakim telah membuat kesilapan dalam keputusannya mengenai perkara ini. Persoalan yang kami kemukakan ialah sama ada Perkara 14A benar-benar terpakai kepada empat ADUN ini.

    “Kedua-dua ADUN Bersatu itu tidak pernah keluar parti dan mereka kekal dalam parti, manakala dua bekas ADUN PKR itu tidak keluar parti sebaliknya dipecat.

    “Ketepikan soal perlembagaan, kami menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan mengenai Perkara 14A tetapi bagi Dewan Undangan Negeri untuk melucutkan kelayakan ADUN berdasarkan Perkara ini, ia tidak memenuhi kriteria,” katanya.

  • Mahkamah Persekutuan batal rancangan pembangunan di lereng bukit

    Mahkamah Persekutuan batal rancangan pembangunan di lereng bukit

    PENGHUNI sebuah kondominium di Sungai Ara, Pulau Pinang hari ini memenangi rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang memberikan kebenaran merancang kepada pemaju hartanah untuk membina perumahan di lereng bukit.

    Keputusan sebulat suara itu disampaikan secara dalam talian oleh panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan terdiri daripada Hakim Besar Malaya yang baru dilantik Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Rhodzariah Bujang.

    Hakim Nallini yang menyampaikan keputusan mahkamah, memutuskan bahawa kelulusan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi kebenaran merancang untuk diberikan kepada pemaju dan pemilik tanah berkenaan, Sunway City (Penang) Sdn Bhd adalah ultra vires dan terbatal.

    “Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dalam mengekalkan keputusan PBT untuk memberikan kelulusan merancang,” katanya.

    Mahkamah turut memerintahkan Sunway City dan MBPP membayar kos keseluruhan RM300,000 kepada penghuni kondominium Sunrise Garden.

    Hakim Nallini berkata di bawah Seksyen 22 (2A) (c) Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA) 1976, jawatankuasa perancang negeri, dalam mempertimbangkan permohonan kebenaran merancang, bertanggungjawab untuk meminta nasihat daripada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) apabila permohonan itu melibatkan pembangunan yang menjejaskan lereng bukit di kawasan yang ditetapkan sebagai sensitif alam sekitar dalam pelan pembangunan.

    Beliau berkata pembangunan yang melibatkan lereng bukit bukan lagi sekadar isu tadbir urus tempatan atau negeri semata-mata tetapi juga isu persekutuan dan nasional.

    Sehubungan itu, beliau berkata PBT selaku entiti yang bertanggungjawab mengeluarkan kelulusan perancangan bertanggungjawab mematuhi peruntukan TCPA.

    MBPP meluluskan permohonan Sunway City pada 21 Feb 2012, untuk kebenaran merancang bagi membina 600 unit rumah termasuk 13 blok kondominium dan banglo tiga tingkat atas tanah seluas 32.69 hektar, yang 43 peratus terdiri daripada tanah bukit.

    Kedudukan tapak itu melebihi 76 meter dari aras laut dengan kecerunan melebihi 25 darjah.

    Penduduk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan Pulau Pinang dan pada 20 Nov 2015, lembaga itu mengetepikan kebenaran merancang yang diberikan kepada Sunway City.

    Sunway City, kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, dengan menamakan lembaga Rayuan, MBPP dan penduduk sebagai responden.

    Pada 29 Mei 2017, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada pemaju dan membatalkan keputusan Lembaga Rayuan.

    Penduduk kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi rayuan mereka ditolak pada 7 Mei 2021, menyebabkan mereka membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan.

    Pada prosiding hari ini, sepasukan peguam diketuai Datuk Dr Gurdial Singh Nijar mewakili penduduk manakala peguam Christina Siew bagi pihak Sunway City dan peguam Karin Lim Ai Ching mewakili MBPP.

  • Representasi pemilik kelab komedi gugur tuduhan ditolak, akan fail sekali lagi

    Representasi pemilik kelab komedi gugur tuduhan ditolak, akan fail sekali lagi

    JABATAN Peguam Negara (AGC) hari ini menolak representasi dikemukakan pemilik kelab komedi Crackhouse, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel bagi menggugurkan tiga pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video yang menyentuh sensitiviti kaum dalam aplikasi media sosial yang dihadapinya.

    Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman memaklumkan Hakim Mahkamah Sesyen Nor Hasniah Ab Razak bahawa AGC menolak representasi itu yang difailkan pada 12 Dis tahun lepas.

    “Hari ini ditetapkan untuk keputusan representasi dan representasi itu ditolak oleh AGC hari ini,” katanya.

    Peguam M. Pravin mewakili Mohamad Rizal berkata susulan keputusan itu, pihaknya akan memfailkan representasi kedua selewat-lewatnya dua atau tiga minggu lagi.

    Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 6 April bagi keputusan representasi kedua selain turut menetapkan tujuh hari bermula 14 April untuk perbicaraan kes itu.

    Mohamad Rizal, 40, didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan nama profil ‘Rizal van Geyzel, Instagram ‘rizalvangeyzel’ dan TikTok ‘rizalvangeyzel’, antara 4 hingga 6 Julai 2022.

    Ketiga-tiga hantaran itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Menara KPJ di Kuala Lumpur, pada 1.17 tengah hari, 13 Julai tahun lepas.

    Ketiga-tiga pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika disabitkan kesalahan.

  • Ibu muda didakwa bunuh anak 18 bulan

    Ibu muda didakwa bunuh anak 18 bulan

    SEORANG ibu muda didakwa di Mahkamah Sesyen di Sepang hari ini atas pertuduhan membunuh anak kandungnya berumur setahun enam bulan di Cyberjaya, minggu lepas.

    Umishahirah Khalid, 20, yang kelihatan sugul mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman yang menjalankan tugas sebagai majistret bagi kes tersebut.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati jika disabit kesalahan.

    Tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Kerani swasta itu didakwa membunuh anak kandung lelakinya di sebuah unit kondominium di Cyberjaya antara 5.52 petang, 11 Jan hingga 11.30 pagi, 12 Jan.

    Umishahirah Khalid,21, didakwa membunuh anak kandungnya yang berusia setahun enam bulan ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi manakala tertuduh diwakili oleh peguam Johan Radzi yang menggantikan peguam utamanya Farhana Abdul Halim.

    Nur Sabrina memohon kepada mahkamah agar tertuduh dirujuk ke hospital bagi pemeriksaan dan pemantauan mental mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

    Ahmad Fuad yang membenarkan permohonan pihak pendakwaan, menetapkan 20 Mac sebagai tarikh sebutan kes dan penyerahan laporan perubatan.

  • Kereta mewah,wang RM22,600 milik bekas peguam 1MDB dilucut hak

    Kereta mewah,wang RM22,600 milik bekas peguam 1MDB dilucut hak

    MAHKAMAH Tinggi di Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak dua kereta mewah dan wang berjumlah RM22,600 milik bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan.

    Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan itu yang dibuat mengikut Seksyen 56 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

    Mahkamah juga membenarkan permohonan pihak ketiga iaitu OCBC Bank (M) Bhd untuk menuntut sebuah kondominium di Mont Kiara di sini yang disita daripada Loo.

    “Saya telah meneliti afidavit dan hujahan kedua-dua pihak dan saya memutuskan bahawa permohonan pihak ketiga untuk menuntut harta tak alih (kondominium) milik responden (Loo) yang disita pada 15 Feb 2021 dibenarkan.

    “Manakala permohonan pendakwaan bagi melucut hak tiga lagi harta iaitu sebuah kereta Audi dan sebuah kereta Volkswagen New Beetle yang disita pada 27 Jan 2021 serta wang berjumlah RM22,600 dalam akaun semasa Maybank Islamic Berhad milik responden yang disita pada 2 Feb 2021 dibenarkan,” kata hakim itu.

     Prosiding itu turut dihadiri peguam Lim Jun Yik mewakili OCBC.

    Pada November 2021, pendakwa raya memfailkan notis usul melucut hak dua kereta iaitu Audi dan Volkswagen New Beetle, wang berjumlah RM22,600 serta sebuah kondominium di Mont Kiara di sini milik Loo.

    Loo dikatakan seorang daripada sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB serta disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan tidak diketahui keberadaannya sehingga kini.

    Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low, Loo, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB, Casey Tang Keng Chee, bekas pegawai 1MDB, Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low, Eric Tan Kim Loong.

    Waran tangkap itu dikeluarkan selepas mereka gagal hadir di mahkamah bagi menghadapi tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan 1MDB.

  • Kanak-kanak dari Bangladesh ditemukan dalam kontena

    Kanak-kanak dari Bangladesh ditemukan dalam kontena

    SEORANG kanak-kanak lelaki warga asing ditemukan di dalam sebuah kontena di dermaga Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada Selasa lepas, dipercayai terkunci selama enam hari di dalam kontena tersebut yang berasal dari Chittagong, Bangladesh.

    Dalam kenyataan hari ini, Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki warga tempatan yang bekerja di bahagian operasi perkapalan yang mendakwa menemukan kanak-kanak berkenaan sekitar jam 9 malam.

    “Semasa menguruskan kapal masuk di dermaga Pelabuhan Barat serta pemeriksaan sebuah kontena kosong, lelaki itu mendapati terdapat seorang kanak-kanak lelaki warga asing berada dalam keadaan lemah dan tidak bermaya,” katanya.

    Beliau berkata mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan disahkan dalam keadaan stabil.

    Menurutnya semakan ke atas mangsa mendapati tiada sebarang identiti pengenalan diri dan laporan polis dibuat untuk siasatan lanjut.

    “Siasatan yang dijalankan mendapati sebuah kapal MV. Integra telah bertolak dari Chittagong pada 12 Jan dengan membawa kontena yang mengandungi muatan barangan am dan tiba di Pelabuhan Barat pada Selasa lalu,” katanya.

    Cha berkata berdasarkan keterangan daripada mangsa, kanak-kanak itu menjelaskan semasa bermain bersama kawan di Chittagong, beliau telah masuk ke dalam kontena dan terkunci sehingga ditemukan oleh pihak pengadu di Pelabuhan Barat.

    “Tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku di dalam kejadian ini dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai rujuk lain agensi (RLA) iaitu dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk menguruskan dokumen mangsa serta penghantaran pulang dengan mengunakan kapal kargo yang sama,” katanya.

    Video berdurasi satu minit mengenai penemuan kanak-kanak itu turut tular malam tadi di media sosial.

  • Op Selamat bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung – Polis

    Op Selamat bukan untuk ganggu perjalanan balik kampung – Polis

    PELAKSANAAN Op Selamat pada musim perayaan bukan untuk mengganggu pengguna jalan raya tetapi bagi melancarkan lalu lintas dan mengurangkan kes kemalangan, kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kassim Karim.

    Mat Kassim berkata bagi Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina yang berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Jan ini, ia tertumpu di kawasan panas yang dijangka berlaku kesesakan akibat pergerakan orang ramai pulang ke kampung dan kembali semula selepas tamat musim perayaan nanti.

    “Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditempatkan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti bagi tujuan bantuan dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

    Kenyataan berkenaan merujuk kepada artikel Minda Pengarang bertajuk “JPJ, Polis jangan ‘ganggu’ perjalanan musim raya” oleh sebuah akhbar tempatan semalam yang melaporkan tindakan penguatkuasaan semasa cuti Tahun Baharu Cina akan mengganggu perjalanan pengguna jalan raya.

    Menurut Mat Kassim seluruh jentera PDRM melibatkan anggota balai, kereta peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) akan diatur gerak secara holistik dan sistematik bagi mengurangkan beban kesesakan di lebuh raya, jalan-jalan negeri serta perbandaran.

    “Pengguna jalan raya diminta memainkan peranan sebagai pengguna yang berhemah dan mematuhi segala peraturan lalu lintas dengan tidak memotong barisan, menyalahgunakan lorong kecemasan atau meletakkan kenderaan sehingga menghalang laluan.

    “Kerjasama orang ramai sepanjang tempoh operasi ini akan memastikan keselesaan buat pengguna jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik,” katanya.

  • Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran

    Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran

    SEORANG lelaki ditemukan rentung selepas rumah didiaminya hangus terbakar dalam kejadian di Kampung, Huda dekat Jalan Sultan Yahya Petra, Kota Bharu, tengah hari tadi.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Zukeri Shafei, berkata mangsa, Mohd Imeran bin Jusoh, 46, ditemukan di dalam bilik tidur oleh anggota bomba selepas berjaya memadamkan kebakaran itu yang mengambil masa selama 30 minit.

    “Pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 1.04 tengah hari dan tiba di lokasi kebakaran 12 minit kemudian bersama empat buah jentera dan 14 pegawai serta anggota bomba.

    “Setibanya pasukan bomba di lokasi didapati sebuah rumah separa kekal terbakar 90 peratus,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Mengulas lanjut, Zukeri berkata mangsa difahamkan ketika kejadian sedang demam dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui punca kebakaran serta jumlah kerugian.

  • Mayat wanita ditemukan terapung di Pulau Perhentian

    Mayat wanita ditemukan terapung di Pulau Perhentian

    MAYAT seorang wanita ditemukan terapung di perairan Pulau Perhentian kira-kira pukul 11.30 pagi semalam.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Azrol Anuar Nor berkata, pemancing yang menemukan mayat tersebut bertindak menarik dan mengikatnya pada tali unjang untuk mengelakkannya daripada dihanyutkan arus.

    “Pemancing berkenaan kemudiannya memaklumkan penemuan mayat tersebut di Balai Polis Pulau Perhentian.

    “Bagaimanapun usaha pihak polis ke lokasi mayat itu berada terpaksa ditangguhkan semalam memandangkan keadaan laut bergelora dan angin kencang,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

    Azrol berkata, pasukan polis hanya dapat ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam batu nautika dari Pulau Perhentian kira-kira pukul 11.15 pagi ini setelah keadaan laut reda.

    Menurutnya, mayat berkenaan ditemukan dalam keadaan hanya berbaju dan memakai sarung tangan kain.

    “Identiti mayat tersebut termasuk status kewarganegaraannya belum dapat dikenal pasti dan pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan pada badan mangsa,” katanya.

    Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berkaitan kes orang hilang di daerah ini dan siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengenal pasti identiti mayat.

    Katanya, mayat wanita tersebut kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk tindakan lanjut.

  • Wang BAP lesap: Polis selesai rakam keterangan guru besar, dua individu

    Wang BAP lesap: Polis selesai rakam keterangan guru besar, dua individu

    POLIS telah merakam keterangan seorang guru besar dan dua individu bagi membantu siasatan kehilangan wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM109,000 yang dikeluarkan dari sebuah bank di Semenyih dekat Sungai Buloh Isnin lepas.

    Pemangku Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata dua individu itu adalah seorang guru dan pekerja restoran tempat pengadu (guru besar) membeli minuman ketika kejadian tersebut.

    “Selain tiga individu ini, polis juga akan memanggil pekerja bank tempat wang berkenaan dikeluarkan. Kami tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan orang dalam, bagaimanapun siasatan masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh, di Sungai Buloh hari ini.

    Beliau berkata kejadian itu juga tidak dapat dikesan oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi terlibat.

    Pada 16 Jan lepas, media melaporkan pihak polis menerima laporan kejadian itu pada 12.17 tengah hari daripada guru besar berusia 50 tahun itu dan siasatan awal polis mendapati mangsa mengeluarkan wang berkenaan dari sebuah bank di Kampung Baru Semenyih kira-kira 10 pagi sebelum memasukkannya ke dalam sebuah beg.

    Mangsa kemudian meletakkan beg tersebut di tempat duduk penumpang hadapan keretanya dan meninggalkan kenderaan itu untuk pergi ke kedai makan bagi membeli minuman.

    Namun, sekembalinya ke kereta mangsa mendapati tingkap di bahagian kanan penumpang belakang telah dipecahkan dan beg yang berisi wang telah dicuri.

    Sementara itu, mengenai perkembangan siasatan penemuan mayat yang dipotong enam bahagian di tepi jalan di Kilometer 447 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran susur Rawang Selatan, pada Selasa lepas, Sasikala Devi berkata polis akan mendapatkan kerjasama Interpol untuk mengenal pasti identiti mangsa.

    “Polis mengesyaki mangsa adalah warga asing sebab tiada kesan suntikan BCG pada mangsa. Kami juga sedang menunggu jika ada mana-mana pihak tampil membuat aduan orang hilang dan disahkan sehingga hari ini tiada sebarang laporan diterima.

    “Hasil awal bedah siasat, mangsa dipercayai dibunuh kira-kira 12 jam sebelum dibuang dan ditemukan pengadu di lokasi kejadian,” katanya.