Author: Bernama

  • 16 maut bangunan kediaman runtuh di Syria

    16 maut bangunan kediaman runtuh di Syria

    SERAMAI 16 orang awam terbunuh manakala empat lagi cedera pada Ahad selepas bangunan kediaman runtuh di wilayah Aleppo, utara Syria, lapor Xinhua memetik Agensi Berita SANA.

    Menurut Kementerian Dalam Negeri, bangunan kediaman lima tingkat itu menempatkan tujuh keluarga dan terletak di kawasan kejiranan Syeikh Maksoud yang majoriti penduduknya Kurdish.

    Bangunan itu runtuh akibat kebocoran air yang telah menjejaskan struktur asasnya. – BERNAMA

  • Lima negeri diramal hujan hingga Rabu – MetMalaysia

    Lima negeri diramal hujan hingga Rabu – MetMalaysia

    JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan di Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak dan Sabah hingga Rabu ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 12.05 tengah malam tadi, MetMalaysia meramalkan hujan berterusan di Terengganu iaitu di Dungun dan Kemaman serta di Pahang melibatkan Kuantan, Pekan dan Rompin.

    Selain itu, MetMalaysia turut menjangkakan keadaan cuaca sama di Johor melibatkan Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

    Hujan berterusan juga dijangka berlaku di beberapa kawasan di Sarawak iaitu di Kuching, Serian, Samarahan, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) serta di Sabah (Tambunan, Pantai Barat, Lahad Datu, Telupid, Kinabatangan, Beluran, Sandakan dan Kudat). – BERNAMA

  • APMM Selangor kesan warga emas jatuh laut

    APMM Selangor kesan warga emas jatuh laut

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dipercayai terjatuh ke laut di Jeti Awam Tanjung Sepat, Kuala Langat, semalam.

    Pengarahnya Kepten Maritim V.Siva Kumar berkata usaha mengesan S.Muniandy, 63, yang memasuki hari kedua bersambung pada 7 pagi tadi dengan dikoordinasikan Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru.

    Beliau berkata operasi turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti nelayan setempat.

    Siva Kumar berkata operasi itu mula diaktifkan pada 7.30 malam tadi dengan mengatur gerak bot PERKASA 36.

    “Pihak APMM Selangor turut menubuhkan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Maritim Awam Tanjung Sepat hari ini dan menghantar bantuan di darat untuk pemantauan sekitar lokasi kejadian di pesisir pantai Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Siva Kumar, Muniandy, dipercayai jatuh ke dalam laut selepas anaknya menemukan motosikal, pakaian berupa kain sarung serta selipar milik Muniandy di hujung jeti kira-kira 11 pagi Jumaat lepas.

    Beliau berkata Muniandy yang bekerja sebagai penimbang kelapa sawit kali terakhir dilihat memakai baju kemeja biru muda dan berseluar pendek warna coklat sebelum dilaporkan hilang di jeti berkenaan.

    Katanya orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat, aduan serta situasi kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-3176 0627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

  • Darurat diisytihar di beberapa wilayah, korban protes ganas di Peru cecah 60 orang

    Darurat diisytihar di beberapa wilayah, korban protes ganas di Peru cecah 60 orang

    PROTES ganas yang berlarutan di Peru terus meragut nyawa apabila 60 orang disahkan terkorban setakat ini sejak bantahan meletus pada 11 Disember lalu, lapor Agensi Anadolu.

    Polis turut menyerbu Universiti San Marcos di Lima dan menahan 200 pelajar.

    Kerajaan telah mengisytiharkan darurat di beberapa wilayah yang memberi kuasa kepada tentera untuk campur tangan.

    Protes itu diadakan untuk menuntut Presiden Dina Boluarte meletakkan jawatan selepas penyingkiran bekas Presiden Pedro Castillo.

    Castillo turut ditahan atas tuduhan pemberontakan apabila cuba membubarkan Kongres dan mengeluarkan dekri untuk mengelak didakwa atas kesalahan rasuah.

    Pejabat Pendakwa juga dilaporkan akan membuka kertas siasatan ke atas Boluarte susulan protes yang meragut nyawa orang awam itu.

  • PN sedia buktikan dakwaan sogok pengundi tidak benar

    PN sedia buktikan dakwaan sogok pengundi tidak benar

    PERIKATAN Nasional (PN) mendakwa mempunyai bukti kukuh untuk menafikan dakwaan gabungan itu melakukan sogokan wang kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

    Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pasukan pembelaan parti itu sudah bersedia untuk membuktikan bahawa dakwaan oleh UMNO Terengganu yang dibuat melalui petisyen pilihan raya itu, adalah tidak benar.

    “Sudah tentu bila dia cabar kita dengan membuat petisyen, kita akan pastikan bahawa kita ada bukti untuk menunjukkan itu semua tak betul. Tujuan petisyen ini semata-mata kerana tak puas hati atau sebagainya.

    “Tapi kita juga ada kita punya pasukan pembelaan untuk memastikan kita menang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina PN di ibu pejabat Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Kuala Lumpur hari ini.

    Badan Perhubungan UMNO Terengganu awal bulan ini memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang kesemuanya dimenangi PAS, merupakan parti komponen PN.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pemimpin-pemimpin PN ketika hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Petisyen melibatkan tiga kawasan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Jan lepas mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata petisyen itu difailkan antara lain atas dakwaan PAS telah menyogok pengundi dengan mengagihkan wang bantuan yang diberikan kerajaan negeri pada 15 hingga 17 Nov 2022, beberapa hari sebelum PRU15 melalui program i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa.

    Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Parti Gerakan, Datuk Dominic Lau dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta pemimpin-pemimpin PN ketika hadir ke Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina Perikatan Nasional di Menara PGRM, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

    Mengulas mengenai pemberian wang ketika pilihan raya, Hamzah yang juga ahli Parlimen Larut berkata ia bergantung kepada situasi dan niat wang tersebut diberikan.

    “Kadang-kadang mereka (penerima wang) yang minta daripada calon sebab kadang-kadang mereka mahu baiki rumah. Sebab itu kita kena berhati-hati, dan niat itu penting kenapa kita beri wang kepada orang yang minta itu,” katanya.

  • Iran, Kuwait, Pakistan kecam keputusan benarkan bakal Al-Quran

    Iran, Kuwait, Pakistan kecam keputusan benarkan bakal Al-Quran

    BEBERAPA negara mengecam keputusan membenarkan pembakaran al-Quran oleh pelampau sayap kanan Sweden-Denmark serta menyifatkannya sebagai percubaan untuk mencetuskan kebencian dan keganasan. 

    Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan menyatakan Eropah berselindung di sebalik kebebasan bersuara dengan ‘membenarkan unsur ekstremis dan radikal menyebarkan kebencian.’ 

    Jurucakap kementerian itu Nasser Kanaani berkata umat Islam di seluruh dunia mengharapkan kerajaan Sweden untuk ‘mencegah’ kejadian seperti itu dan memastikan mereka yang melakukan perbuatan berkenaan tidak terlepas daripada hukuman, lapor Agensi Anadolu. 

    Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan, dilaporkan telah mendapat  kebenaran untuk membakar senaskhah al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm pada Sabtu.

    Dalam perkembangan sama, Menteri Luar Kuwait Sheikh Salem Abdullah Al-Jaber Al-Sabah dalam satu kenyataan berkata insiden itu menguris perasaan umat Islam di seluruh dunia dan satu provokasi yang serius.

    Beliau menyeru masyarakat antarabangsa bersama menggalas tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan itu serta mengecam semua bentuk kebencian dan ekstremisme serta membawa pelaku ke muka pengadilan, lapor Agensi Berita Iran KUNA.

    Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan memaklumkan tindakan Islamofobia yang tidak boleh diterima akal dan provokatif itu menjejaskan sensitiviti agama lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia, lapor Agensi Anadolu.

    Islamabad menggesa masyarakat antarabangsa untuk bersama-sama menunjukkan azam menentang Islamofobia, xenofobia, sikap tidak bertoleransi dan hasutan kepada keganasan atas dasar agama atau kepercayaan dan bekerjasama untuk menggalakkan keharmonian meskipun berbeza pegangan agama.

  • Lelaki ditahan disyaki cuba seleweng diesel bersubsidi

    Lelaki ditahan disyaki cuba seleweng diesel bersubsidi

    SEORANG lelaki yang disyaki cuba menyeleweng diesel bersubsidi ditahan bersama 4,000 liter bahan api itu, tangki dan sebuah lori yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 dalam pemeriksaan di sebuah stesen minyak di Jalan Lebuhraya Butterworth-Kulim, Bukit Mertajam semalam.

    Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang S.Jegan berkata penahanan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah lori lapan tan yang mencurigakan sedang mengisi diesel pada 4 petang.

    “Semasa serbuan, seorang lelaki berusia 50-an yang juga pemandu lori itu sedang mengisi diesel dan pemeriksaan kami menemukan satu unit tangki besi khas berkapasiti 12,000 liter diletak di belakang kenderaan tersebut yang digunakan untuk mengisi serta mengumpul diesel bersubsidi dari stesen minyak.

    “Hasil pemeriksaan menemukan 4,000 liter diesel bersubsidi dalam tangki besi tersebut dan berdasarkan siasatan awal, lelaki yang bekerja dengan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi itu membeli bahan api berkenaan di beberapa stesen minyak sekitar daerah ini sebelum ia dijual semula kepada pihak lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Jegan berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan sejak sebulan lepas dan mereka dipercayai menjual kepada pihak lain dengan harga lebih murah berbanding pasaran namun mahal berbanding diesel subsidi yang ditetapkan oleh kerajaan.

    Beliau berkata pihaknya merampas lori, diesel, tangki besi, hos pam dan telefon bimbit yang kesemuanya dianggar bernilai RM56,500 untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

  • Lebih 100 kenderaan guna lorong kecemasan dalam tempoh 4 jam

    Lebih 100 kenderaan guna lorong kecemasan dalam tempoh 4 jam

    LEBIH 100 kenderaan dikesan dan dirakam melakukan kesalahan memandu di lorong kecemasan di Lebuhraya Utara-Selatan dari Johor Bharu ke Putrajaya dari 10 pagi hingga 2 petang tadi.

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan menerusi Facebook rasminya hari ini memaklumkan kesalahan itu dikesan melalui operasi pemantauan khas Tahun Baharu Cina 2023 yang dilaksanakan di lebuh raya berkenaan.

    “JPJ ingin menegaskan bahawa kesalahan itu adalah antara tujuh kesalahan tidak boleh dikompaun dan akan terus didakwa ke mahkamah,” menurut kenyataan itu.

    Tujuh kesalahan itu ialah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang keledar atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

    JPJ meminta orang ramai untuk mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan sepanjang musim perayaan ini bagi mengelak berlakunya kesesakan dan menjadi punca kemalangan maut di jalan raya.

    Sebarang aduan kesalahan lalu lintas boleh disalurkan melalui menu e-Aduan@jpj menerusi Aplikasi MyJPJ atau aduan e-mel JPJ [email protected]. – BERNAMA

  • Pas tentukan sendiri tarikh bubar DUN – Hadi

    Pas tentukan sendiri tarikh bubar DUN – Hadi

    PAS akan membuat keputusan sendiri mengenai tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk tiga negeri di bawah pimpinan parti itu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN), kata Presidennya Tan Sri Abdul Hadi Awang.

    Abdul Hadi berkata Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor akan bermesyuarat bagi menetapkan tarikh berkenaan. 

    Katanya terpulang kepada tiga negeri lain di bawah Pakatan Harapan (PH) iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang sama ada akan mengikut tarikh yang ditetapkan itu nanti.

    “Kita akan ada keputusan tersendiri, perkara itu akan dibincang pada mesyuarat akan datang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Semarak Gelombang Rakyat menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Kenduri Rakyat di Ladang Alam Warisan, Kampung Tanah Datar, Seri Menanti di Kuala Pilah hari ini.

    Media sebelum ini melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata DUN negeri ini dijangka dibubarkan pada Mei ini, dan beliau bersama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari serta Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow, sedia berbincang dengan tiga Menteri Besar di bawah pimpinan PAS mengenai perkara itu. – BERNAMA

  • Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    Rancang bakar al-Quran: Turkiye panggil duta Sweden

    TURKIYE pada Jumaat memanggil duta Sweden ke Ankara susulan rancangan untuk membakar al-Quran berhampiran Kedutaan Turki di Stockholm.

    Menurut sumber diplomatik Turki, duta itu Staffan Herrstrom telah dimaklumkan mengenai pendirian Turkiye yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif itu yang jelas satu perbuatan jenayah kebencian dan tindakan itu juga tidak boleh diterima. Ankara berharap rancangan berkenaan tidak diteruskan.

    Membenarkan aktiviti propaganda yang sedang dirancang oleh pihak bersekutu PKK di Stockholm jelas sudah melanggar perjanjian tiga pihak, lapor Agensi Anadolu memetik sumber.

    Ketua parti sayap kanan Denmark Stram Kurs, Rasmus Paludan dikatakan sudah menerima kebenaran untuk membakar Al-Quran di luar Kedutaan Turki di Stockholm, menurut polis Stockholm.

    Minggu lalu, Turkiye meminta Sweden mengenakan tindakan terhadap kumpulan pengganas selepas tunjuk perasaan di Stockholm yang menyaksikan penunjuk perasaan memuat naik rakaman provokasi serta ancaman sebagai bantahan terhadap Turkiye dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan.

    Sweden dan Finland secara rasmi memohon untuk menyertai NATO Mei lalu.

    Bagaimanapun, Turkiye yang juga ahli NATO selama lebih 70 tahun menyuarakan bantahan dan mendakwa kedua-dua negara menyokong kumpulan pengganas termasuk PKK dan Pertubuhan Fetullah (FETO).

    Pada Jun lalu, Turkiye dan kedua-dua negara Nordic itu menandatangani memorandum pada sidang kemuncak NATO untuk menangani kebimbangan keselamatan Ankara, merintis jalan bagi menjadi ahli dalam perikatan itu. – BERNAMA